Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN RAYUAN SIVIL NO.: BA-12B-34-03/2024
BA-12B-34-03/2024
High Court of Malaysia22 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN RAYUAN SIVIL NO.: BA-12B-34-03/2024
1
TIEW CHERN WEE
2
LIM MEI LING (NO. K/P :771018-10-5448) ... PERAYU – PERAYU DAN CHEN ENG KEONG (L) (NO. K/P :770607-14-6083) ... RESPONDEN (DALAM MAHKAMAH SESYEN DI SEPANG DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA GUAMAN NO.: BK-A52-5-10/2020 ANTARA CHEN ENG KEONG [NO. K/P: 770607-14-6083] … PLAINTIF
1
TIEW CHERN WEE [NO. K/P: 770618-10-5287]
2
LIM MEI LING [NO. K/P: 771018-10-5448] … DEFENDAN-DEFENDAN)
1
Ini adalah rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang telah membenarkan tuntutan Plaintif selepas perbicaraan penuh. Di Mahkamah Sesyen, Plaintif telah memfailkan tindakan terhadap Defendan-Defendan berasaskan dakwaan kewujudan satu perjanjian lisan, dan menuntut bayaran sejumlah RM101,332.00 yang dikatakan sebagai hak bahagian Plaintif daripada pelaburan tersebut.
2
HMS mendapati bahawa Plaintif (Responden) telah berjaya membuktikan kewujudan perjanjian lisan antara pihak-pihak dan seterusnya membenarkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan.
3
Defendan-Defendan (Perayu) tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan telah memfailkan rayuan ini.
4
Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak, meneliti Rekod Rayuan dan membaca hujahan bertulis yang dikemukakan, saya telah membenarkan rayuan ini dan mengetepikan keputusan HMS.
5
Responden kini merayu ke Mahkamah Rayuan maka berikut adalah alasan penghakiman saya.
6
Pihak-pihak akan dirujuk sebagaimana kedudukan mereka di Mahkamah Sesyen.
7
Plaintif, Chen Eng Keong, dikatakan terlibat bersama Defendan Pertama dan seorang pihak ketiga (Ng Weng Kang (SP2)) dalam suatu urusan pelaburan wang ke dalam simpanan deposit tetap bagi tujuan memperoleh keuntungan faedah dari bank. Plaintif mengatakan beliau telah menyumbang wang ke dalam pelaburan tersebut dan berhak kepada bahagian keuntungan serta wang pokok mengikut nisbah/pecahan jumlah pelaburan masing-masing yang dipersetujui secara lisan.
8
Defendan Pertama, Tiew Chern Wee, adalah individu yang menurut dakwaan Plaintif turut terlibat dalam urusan pelaburan tersebut dan merupakan pihak yang menguruskan akaun bank ke mana wang hasil pengkreditan deposit tetap dimasukkan. Defendan Pertama juga dikatakan bertanggungjawab membuat pembayaran kepada pihak-pihak yang terlibat berdasarkan nisbah yang dipersetujui.
9
Defendan Kedua, Lim Mei Ling, adalah pemegang bersama akaun bank dengan Defendan Pertama. Plaintif mengatakan Defendan Kedua turut terlibat dalam pengurusan dan pengeluaran wang daripada akaun tersebut, termasuk pembayaran kepada Ng Weng Kang, dan oleh itu bertanggungan bersama Defendan Pertama terhadap tuntutan Plaintif.
10
Pada atau sekitar November 2016, Plaintif bersama Defendan Pertama dan Ng Weng Kang telah bersetuju untuk mengumpulkan sejumlah wang untuk dimasukkan ke dalam beberapa akaun simpanan deposit tetap di institusi perbankan.
11
Tujuan pelaburan adalah bagi memperoleh keuntungan faedah, yang kemudiannya akan dibahagikan antara pihak-pihak mengikut nisbah yang dipersetujui secara lisan. Keterangan mengatakan nisbah pelaburan mereka adalah Plaintif 28%, Ng Wee Kang 10% dan Defendan-Defendan 62%.
12
Plaintif seterusnya memplidkan bahawa beberapa akaun simpanan deposit tetap telah diwujudkan atas nama Plaintif dan/atau Defendan-Defendan, dan bahawa wang tersebut telah ditunaikan dari semasa ke semasa. Plaintif menyatakan bahawa hasil penunaian deposit tetap tersebut telah dikreditkan ke dalam akaun bank Defendan Pertama dan Defendan Kedua (dipegang secara akaun bersama).
13
13.
Preamble
Menurut Plaintif lagi, Defendan-Defendan telah membuat bayaran kepada Ng Weng Kang berdasarkan nisbah yang dipersetujui (RM36,190.00), namun gagal atau enggan membayar bahagian Plaintif.
14
Plaintif seterusnya menyatakan bahawa kegagalan tersebut telah menyebabkan Plaintif mengalami kerugian, dan oleh itu Plaintif menuntut pembayaran jumlah yang didakwa sebagai bahagiannya daripada Defendan-Defendan berjumlah
15
Defendan-Defendan pula menafikan kewujudan sebarang perjanjian lisan yang mengikat seperti yang didakwa oleh Plaintif. Defendan-Defendan menegaskan bahawa tiada persetujuan yang jelas berhubung tarikh pembentukan perjanjian, tempoh pelaburan, syarat pengeluaran wang, kaedah pembahagian keuntungan, atau obligasi pembayaran kepada Plaintif.
16
Defendan-Defendan juga memplidkan bahawa terdapat percanggahan dalam penyataan Plaintif berhubung bila persetujuan tersebut dikatakan bermula, termasuk rujukan kepada tahun yang berbeza. Menurut Defendan-Defendan, wang yang dimasukkan ke dalam akaun mereka adalah berkaitan dengan urusan kewangan lain, termasuk bayaran yang bersifat bayaran hutang atau pengurusan kewangan dalaman, dan bukan hasil daripada satu pelaburan bersama seperti yang didakwa oleh Plaintif.
17
Defendan-Defendan juga mengatakan, jika pun wujud apa-apa perjanjian lisan, ianya satu kontrak yang menyalahi undang-undang kerana balasan atau tujuannya adalah haram.
18
Defendan-Defendan seterusnya menegaskan bahawa Plaintif gagal menyokong dakwaannya dengan dokumen bertulis, walaupun urusan tersebut melibatkan jumlah wang yang besar, dan oleh itu tuntutan Plaintif adalah tidak berasas dan tidak dibuktikan.
19
Dari alasan penghakiman, dapatan HMS adalah seperti berikut:
1
HMS mendapati bahawa Plaintif telah berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian.
2
HMS menerima versi Plaintif dan menyatakan bahawa keterangan Plaintif yang disokong oleh keterangan lisan saksi Ng Weng Kang (SP2) serta keterangan dokumentari adalah lebih berkemungkinan untuk diterima.
3
HMS mendapati bahawa terdapat satu perjanjian lisan antara Plaintif dan Defendan-Defendan berkaitan kemasukan wang ke dalam simpanan deposit tetap bagi tujuan memperoleh keuntungan.
4
HMS menerima fakta bahawa wang hasil penunaian/pengkreditan simpanan deposit tetap telah dimasukkan ke dalam akaun Defendan-Defendan.
5
HMS mendapati bahawa Defendan-Defendan telah membuat bayaran kepada Ng Weng Kang mengikut nisbah yang dipersetujui, dan kegagalan membuat bayaran kepada Plaintif adalah bertentangan dengan persetujuan tersebut.
6
HMS menyatakan bahawa walaupun beban pembuktian terletak pada Plaintif namun, memandangkan Defendan yang mendakwa sebaliknya, maka beban berpindah kepada Defendan-Defendan untuk membuktikan dakwaan mereka.
7
Versi Defendan-Defendan bahawa wang yang didepositkan adalah milik Chen Wee Mun dan nisbah pegangan adalah berkait dengan syarikat Maxcomponent, tidak dibuktikan.
8
Berdasarkan dapatan-dapatan tersebut, HMS membenarkan tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan. Isu Rayuan
20
Berdasarkan hujahan bertulis pihak-pihak, isu-isu yang perlu diputuskan dalam rayuan ini adalah seperti berikut:
1
Sama ada Plaintif mempunyai bukti yang mencukupi untuk membuktikan kewujudan satu perjanjian lisan antara pihak-pihak seperti yang didakwa.
2
Sama ada, berdasarkan keseluruhan keterangan dokumentari dan lisan, perjanjian lisan tersebut benar-benar wujud dan mengikat pihak-pihak.
3
Sama ada HMS telah terkhilaf dalam menilai dan menjawab isu-isu untuk dibicarakan yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak di peringkat Mahkamah Sesyen.
4
Sama ada HMS telah tersilap dalam menilai beban pembuktian, termasuk sama ada beban tersebut telah dialihkan kepada Defendan-Defendan.
5
Sama ada dapatan HMS adalah selari dengan pliding dan keterangan, atau sama ada wujud departure from pleadings seperti yang dihujahkan oleh Perayu.
6
Sama ada Plaintif telah berjaya membuktikan sumbangan wang, nisbah pembahagian dan hak kepada jumlah yang dituntut. Prinsip Asas Rayuan
21
Dalam mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan selepas perbicaraan penuh, prinsip undang-undang adalah mantap bahawa, dapatan fakta oleh mahkamah bicara tidak akan diusik melainkan jika mahkamah bicara melakukan kesilapan undang-undang atau terdapat keputusan fakta yang ternyata salah/khilaf (plainly wrong). Keputusan yang jelas salah atau khilaf berlaku apabila mahkamah bicara gagal atau tidak cukup penghayatan kehakiman terhadap bukti yang dikemukakan (insufficient judicial appreciation of the evidence) – rujuk Dream Property Sdn Bhd v Atlas Housing Sdn Bhd [2015] 2 MLJ 441.
22
Sesuatu dapatan fakta juga tidak akan diganggu oleh mahkamah yang menjalankan bidang kuasa rayuan kecuali terdapat kekhilafan nyata oleh hakim bicara. Di peringkat rayuan juga, saya hanya akan campur tangan dalam keadaan HMS telah tersalah arah dalam keputusan beliau (rujuk kes Merita Merchant Bank Singapore Ltd v Dewan Bahasa dan Pustaka [2014] 9 CLJ 1064 - It is trite law that an appellate court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the court of first instance to which the law entrust the primary duty of evaluation of the evidence. However, the appellate court is under a duty to intervene in a case where the trial court has so fundamentally misdirected itself. Analisa dan Dapatan
23
Saya ulangi dan ambil maklum akan prinsip bahawa Mahkamah yang mendengar rayuan lazimnya tidak akan mengganggu dapatan fakta Mahkamah bicara yang telah mendengar keterangan saksi secara langsung. Prinsip ini telah ditegaskan dalam kes Gan Yook Chin & Anor v Lee Ing Chin & Ors [2004] 4 MLJ 1 (FC). Walau bagaimanapun, prinsip yang sama juga menetapkan bahawa campur tangan adalah dibenarkan apabila dapatan dibuat secara khilaf, tanpa pertimbangan yang betul terhadap fakta dan undang-undang, atau apabila Mahkamah bicara gagal menjawab isu-isu material yang perlu diputuskan.
24
Dalam kes ini, isu-isu untuk dibicarakan telah dikenal pasti sebagai satu kayu ukur dan panduan untuk Mahkamah bicara memutuskan pertikaian antara pihak-pihak dengan lebih teratur. Isu-isu tersebut boleh disemak semula di penghujung kes setelah selesai keterangan saksi diambil agar ianya lebih tepat dan relevan.
25
Prinsip bahawa pertikaian mestilah diputuskan mengikut isu yang telah dipersetujui supaya keputusan yang diberikan menjawab semua pertikaian telah ditegaskan dalam Peh Swee Chin v Beh I Hock [1996] 3 MLJ 478 (FC).
26
Saya mendapati bahawa dalam kes ini, HMS telah gagal memberikan tumpuan bagi menjawab isu-isu yang telah disenaraikan dan dipersetujui oleh pihak-pihak, menjadikan keputusan yang dibuat khilaf dalam mempertimbangkan keadaan fakta dan undang-undang. Kegagalan untuk menangani isu-isu teras tersebut meletakkan dapatan HMS dalam kategori dapatan yang tidak selamat untuk dikekalkan di peringkat rayuan.
27
Pendekatan ini selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam Wawasan Raya (M) Sdn Bhd & Anor v Marc Service Residence Management Corporation [2025] 4 MLRA 1, di mana ditegaskan bahawa kegagalan Mahkamah bicara untuk memutuskan pertikaian berdasarkan isu-isu yang telah dipersetujui, atau kegagalan menjawab isu-isu material tersebut, merupakan suatu kesilapan undang-undang yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.
28
Berhubung beban pembuktian, saya bersetuju bahawa beban membuktikan kes kekal terletak pada Plaintif. Penafian oleh Defendan tidak menjadikan beban tersebut beralih kepada Defendan. Prinsip ini adalah selaras dengan Seksyen 101 dan 103 Akta Keterangan 1950 serta ditegaskan dalam Letchumanan Chettiar Alagappan (As executor to SL Alameloo Achi (deceased) & Anor v Secure Plantataion Sdn Bhd (2017) 5 CLJ 418 bahawa Plaintif mesti membuktikan elemen asas kausa tindakannya. Saya petik kenyataan Mahkamah Persekutuan berkait scenario jika pun pembelaan mungkin gagal, tidak menjadikan tuntutan Plaintif pasti berjaya – “[63] There is no law which says that a claim automatically succeeds if the defence fails. A claim succeeds only if a prima facie claim is made out or the cause of action if admitted, and there is no defence”.
29
Daripada keterangan bukti yang dikemukakan, saya mendapati bahawa formation atau pembentukan satu perjanjian yang mengikat pihak-pihak adalah sangat kabur dengan terma yang tidak jelas. Plaintif bergantung kepada hanya pengesahan Ng Weng Kang mengenai kewujudan perjanjian lisan. Telah diputuskan dalam kes Tinduk Besar Estate Sdn Bhd v Tinjar Co (1979) CLJU 119 dimana Mahkamah Persekutuan menggariskan panduan yang wajar dalam pertimbangan penerimaan keterangan lisan iaitu – “For myself, I would with respect feel somewhat safer to refer to and rely on the acts and deeds of a witness which are contemporaneous with the event and to draw the reasonable inferences from them than to believe his subsequent recollection or version of it, particularly if he is a witness with a purpose of his own to serve and if it did not account for the statements in his documents and writings. Judicial reception of evidence requires that the oral evidence be critically tested against the whole of the other evidence and the circumstances of the case. Plausibility should never be mistaken for veracity.” - Penekanan ditambah -
30
Walaupun terdapat dakwaan bahawa pihak-pihak telah bersetuju untuk memasukkan sejumlah wang bagi tujuan keuntungan, syarat pembayaran dan cara pembahagian tidak jelas. Plaintif gagal membuktikan jumlah yang disumbang oleh setiap seorang serta bagaimana persetujuan peratusan nisbah dibuat dan ditetapkan. Prinsip bahawa sesuatu perjanjian, termasuk perjanjian lisan, mesti mempunyai terma yang pasti telah ditegaskan dalam Karuppannan s/o Chellappan v Chong Lee Chin [2000] 7 MLJ 356 (CA). Tambahan lagi kewujudan perjanjian lisan itu tidak boleh di anggap atau diteka kerana ia mengundang spekulasi yang mana tidak bersandarkan bukti yang jelas. Mahkamah Rayuan mengesahkan kedudukan ini dalam kes Ranggong Jenau & Others v BLD Resources Sdn Bhd (2017) 1 LNS 2164 – “[32] The burden of proof placed on the Plaintiff is very strict. There is no room for any guesswork, speculation, surmises or conjecture, i.e is acting on a mere possibility”.
31
Saya juga berpandangan terdapat percanggahan tentang tarikh bermulanya persetujuan yang tidak dijelaskan dengan memuaskan. Tambahan pula, fakta bahawa sejumlah wang telah dimasukkan bagi pihak dan sebagai bayaran hutang sepihak kepada pihak yang lain (dakwaan mengenai penglibatan Chen Wee Mun dan syarikatnya, Servico Laser & Services) telah menyulitkan lagi pembuktian mengenai tujuan sebenar wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun.
32
Keterangan yang bercanggah tanpa penjelasan yang munasabah, seperti yang dihujahkan oleh Perayu, melemahkan kes Plaintif, selaras dengan prinsip dalam Chua Tiong Tiong v Chua Ah Chye [2000] 2 MLJ 241 (HC).
33
Saya juga bersetuju dengan hujahan Defendan-Defendan bahawa Plaintif gagal memberikan penjelasan mengapa urusan ini tidak dibuat secara bertulis, walaupun melibatkan jumlah wang yang besar. Dalam menilai kebarangkalian komersial, Mahkamah berhak mengambil kira ketiadaan dokumentasi bertulis, seperti yang diiktiraf dalam Yong Mok Hin v United Malay States Sugar Industries Ltd [1967] 2 MLJ 9 (PC).
34
Akhir sekali, penama Chen Wee Mun tidak dipanggil oleh Plaintif bagi menyangkal alegasi Defendan-Defendan bahawa beliau sebenarnya yang menyumbang untuk bahagian Plaintif. Kegagalan memanggil saksi material ini memberi kesan kepada kebenaran dan kekuatan kes Plaintif, dan membolehkan satu inferens yang tidak memihak kepada Plaintif dibuat, selaras dengan prinsip dalam Allied Bank (Malaysia) Bhd v Yau Jiok Hua [1998] 1 MLJ 321 (CA).
35
Oleh yang demikian, saya mendapati bahawa dapatan HMS dalam membenarkan tuntutan Plaintif adalah khilaf dan bersandarkan fakta yang tidak selamat, dan ini merupakan satu keadaan yang membolehkan Mahkamah ini campur tangan.
36
Dari pengamatan saya juga, pihak-pihak sendiri tidak jelas tentang apakah sebenarnya yang telah mereka persetujui. Daripada keterangan dan hujahan yang dikemukakan, terma-terma asas urusan ini adalah kabur, tidak konsisten dan berubah-ubah. Dalam keadaan di mana asas persetujuan dan obligasi pihak-pihak adalah kabur, saya berpendapat bahawa Mahkamah tidak seharusnya diminta untuk menguatkuasakan atau memberikan perintah berdasarkan suatu pengaturan yang tidak ditentukan dengan jelas oleh pihak-pihak itu sendiri.
37
Berdasarkan keseluruhan alasan di atas, saya berpendapat bahawa HMS telah terkhilaf dalam dapatan beliau apabila membenarkan tuntutan Plaintif. HMS gagal memberikan tumpuan untuk menjawab isu-isu yang telah disenaraikan, dan keputusan yang dibuat tidak selari dengan keadaan fakta serta prinsip undang-undang yang terpakai.
38
Saya selanjutnya mendapati bahawa Plaintif gagal membuktikan kewujudan satu perjanjian yang mengikat dengan terma-terma yang jelas, termasuk berhubung pembentukan perjanjian, sumbangan wang, nisbah pembahagian serta tujuan sebenar wang dimasukkan ke dalam akaun Defendan-Defendan.
39
Oleh itu, rayuan ini adalah bermerit.
40
Dengan itu, rayuan dibenarkan, keputusan HMS diketepikan, dan tuntutan Plaintif ditolak. Kos rayuan ditetapkan sebanyak RM5,000.00, tertakluk kepada alokator. Bertarikh: 16 Januari 2026 ~signed~ (NOOR HAYATI BINTI HAJI MAT) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM, SELANGOR Peguam bagi pihak Perayu-Perayu: Teaw Zhen Yang Tetuan Chambers of Jason Chew Peguam bagi pihak Responden: Allen Miranda a/l Emmanuel Tetuan Suraiya Arif,
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.