Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA
JA-12B-47-08/2022
High Court of Malaysia27 Feb 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“rtion.”. [36] Mengenai awad RM5,000.00 bagi “muscle wasting”, Plaintif berhujah awad tersebut adalah munasabah dan adil berdasarkan keputusan kes Juliah Binti Samsuri Iwn Kamarajan A/L Suburamaniam [2018] MWU 1664. [37] Mahkamah mendapati HMS tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mengawadkan gantiru”
“hindari beliau daripada kembali ke kerjanya seperti sebelum kemalangan. Untuk menyokong hujahannya, Defendan teleh merujuk kepada kes Muhammad Saiful Adli bin Md Nasir and Anor v Zulkarnain bin Ahmad [2019] AMEJ 1151 dan kes Yang Yap Fong & Anor v Leong Pek Hoon & Anor [1987] 2 MLJ 201. [55] Selanjutnya, Defendan berhu”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA
1
ANTARA TSEN NYUK LIN
2
TSEN SOO KIAT (NO. K/P: 790516-12-5197) … PERAYU-PERAYU DAN DANIEL JEBARAJ A/L THAMARAISELVAN (NO. K/P: 940812-09-5157) …RESPONDEN (DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO. JA-B53KJ-207-12/2019) ANTARA DANIEL JEBARAJ A/L THAMARAISELVAM (NO. K/P: 940812-09-5157)
1
DAN TSEN NYUK LIN
2
TSEN SOO KIAT (NO. K/P: 790516-12-5197) ...DEFENDAN-DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Untuk kemudahan rujukan, pihak-pihak yang dirujuk di sini adalah pihak-pihak yang disebut sebagai pihak-pihak dalam prosiding di Mahkamah Sesyen. [2] Defendan telah merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”) mengenai isu liabiliti dan kuantum. [3] Mahkamah setelah meneliti rayuan yang difailkan oleh Defendan (Lampiran 1), telah menolak rayuan Defendan dengan kos sebanyak RM1,500.00 tertakluk kepada kos alokatur, yang dibayar oleh Defendan kepada Plaintif. Latar Belakang [4] Kes ini merupakan suatu kes kemalangan jalan raya yang berlaku pada 22.1.2018 jam lebih kurang pukul 1.30 pagi (“hari kejadian”) di Jalan Sutera Danga, Taman Sutera, Johor Bahru yang melibatkan motorsikal nombor pendaftaran JQJ 3073 yang ditunggang oleh Plaintif dengan motorkar nombor pendaftaran AHB 8818 yang dipandu oleh Defendan Pertama dan kenderaan itu dimiliki oleh Defendan Kedua. [5] Plaintif telah menuntut gantirugi am, gantirugi khas, kehilangan pendapatan, faedah dan juga kos disebabkan kecederaan, kehilangan dan kerugian yang dialami olehnya akibat daripada kemalangan jalan raya tersebut. [6] Plaintif telah memanggil tiga (3) orang saksi untuk memberikan keterangan, iaitu pegawai penyiasat (SP1), bekas majikan Plaintif (SP2) dan Plaintif sendiri (SP3). [7] Plaintif di dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau menunggang motorsikal JQJ 3073 pada hari kejadian dan sedang berhenti di depan lampu isyarat kerana masa itu lampu isyarat adalah merah. Semasa menunggu di depan lampu isyarat, tiba-tiba beliau nampak sebuah motorkar datang daripada belakang dan melanggar motorsikal beliau. Beliau telah mengalami kecederaan dan dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Plaintif telah menuntut gantirugi am bagi kecederaan seperti yang berikut:
a
closed fracture distal third left fibula; dan
b
muscle wasting [8] SP1 memaklumkan bahawa hasil siasatan menunjukkan bahawa Defendan Pertama telah cuai dan telah mengeluarkan saman terhadap Defendan Pertama di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas LN 166/59, iaitu kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan di dalam kes ini (sila rujuk ekshibit P2). [9] Defendan tidak memanggil sebarang saksi dan telah diarahkan oleh HMS untuk menutup kes pada 15 Disember 2021 kerana Defendan gagal hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan pada hari tersebut. Oleh itu, HMS telah menggunakan (invoked) seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap Defendan. [10] HMS pada 9 Ogos 2022 telah membenarkan tuntutan Plaintif dan mendapati Defendan adalah 100% bertanggungan atas kemalangan jalan raya pada hari kejadian. HMS telah, antara yang lain, mengawadkan gantirugi seperti yang berikut:
a
gantirugi am secara keseluruhan adalah sebanyak RM25,000.00 dengan faedah 5% setahun atas gantirugi am dari tarikh penyerahan saman sehingga tarikh penghakiman;
b
gantirugi khas sebanyak RM471,096.13 dengan faedah 2.5% setahun atas RM34,986.13 dari tarikh kemalangan iaitu 22.1.2018 sehingga tarikh penghakiman dan tiada faedah atas jumlah RM436,200.00;
c
faedah 5% setahun ke atas jumlah keseluruhan jumlah penghakiman RM496,096.00 dari tarikh penghakiman iaitu 9.8.2022 sehingga tarikh penyelesaian bayaran sepenuhnya; dan
d
kos sebanyak RM20,788.00. Hujahan Pihak-Pihak Isu Liabiliti [11] Defendan telah berhujah bahawa HMS telah tersilap dan/atau terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menghakimi bahawa Defendan bertanggungan liabiliti sebanyak 100% dalam kes ini, tanpa mengambil kira kecuaian bersama pihak Plaintif. [12] Plaintif di dalam keterangannya menyatakan pada masa tersebut lampu isyarat adalah merah manakala Defendan di dalam laporan polis dan rakaman percakapan yang menyatakan lampu isyarat pada masa yang tersebut adalah berwarna hijau. [13] Plaintif juga menyatakan pada masa yang tersebut beliau adalah penat selepas bekerja sepenuh masanya dan dengan itu Defendan berhujah keadaan Plaintif yang penat pada masa itu berkemungkinan besar menjejaskan kebolehannya untuk memberi perhatian yang secukupnya kepada keadaan jalan raya. [14] SP1 semasa disoal balas telah menyatakan terdapat dua versi yang berbeza yang mana satu pihak menyatakan lampu isyarat merah manakala satu pihak lagi menyatakan ia adalah warna hijau. Tiada CCTV di lokasi kemalangan dan tiada saksi bebas yang telah melihat bagaimana kemalangan tersebut berlaku. Namun demikian, SP1 memilih untuk mempercayai versi Plaintif. [15] Defendan selanjutnya berhujah tiada keterangan atau bukti bebas yang menyokong dakwaan Plaintif bahawa pada masa tersebut, lampu isyarat merah merupakan isu yang belum ditentukan Terdapat percanggahan isu sama ada pada masa tersebut, lampu isyarat di lokasi kemalangan berwarna merah ataupun hijau. Persoalan ini tidak pernah dijelaskan atau dibangkitkan oleh HMS di dalam alasan penghakimannya. [16] Oleh itu, Defendan berhujah bahawa Plaintif sepatutnya menyumbang cuai sebanyak 15% dan dengan itu keputusan HMS yang memutuskan bahawa Plaintif adalah 100% bertanggungan harus diketepikan oleh Mahkamah ini. [17] Sebagai balasan, Plaintif telah berhujah bahawa keterangan SP1 adalah selaras dan menyokong keterangan yang diberikan oleh Plaintif, iaitu pada masa tersebut Plaintif menunggang motorsikalnya sedang berhenti di depan lampu isyarat yang merah dan ketika itu motorkar yang dipandu oleh Defendan telah melanggar motorsikal Plaintif daripada bahagian belakang. [18] SP1 menyatakan bahawa motorsikal Plaintif mengalami kerosakan pada handle set lampu depan, set cover body, pemijak kaki, brek kaki dan brek tangan, rim tayar di bahagian belakang dan keseluruhan bahagian belakang motorsikal Plaintif manakala kerosakan motorkar Defendan adalah di bahagian hadapan sebelah kanan, bumper, bonet, set lampu kanan, mudguard kanan, rim tayar, arm kanan, cermin besar pecah dan juga beg udara kiri serta kanan. [19] Plaintif selanjutnya berhujah Defendan tidak hadir ke Mahkamah untuk memberikan keterangan pada tarikh yang diberikan oleh Mahkamah. HMS telah menggunakan (invoked) seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 terhadap Defendan dan mendapati Defendan adalah bertanggungan 100% kepada kemalangan jalan raya tersebut. Oleh itu, keputusan HMS adalah betul dan tidak harus diubah oleh Mahkamah ini. Prinsip yang mengawal rayuan [20] Adalah undang-undang mantap bahawa Mahkamah tidak akan bercampur tangan dan mengubah keputusan HMS melainkan Mahkamah mendapati HMS telah secara nyata tersilap (plainly wrong) di dalam membuat dan/atau mencapai sesuatu keputusan. Prinsip telah ditentukan dalam kes Mahkamah Persekutuan di dalam kes Ng Hoo Kui & Anor v Wendy Tan Lee Peng (administratix for the estate of Tan Ewe Kwang, deceased) & Ors [2020] 12 MLJ 67. [21] Berdasarkan kes Ng Hoo Kui (supra), Mahkamah perlu memutuskan isu-isu yang berikut:
a
bagi isu liabiliti, sama ada HMS telah membuat penghargaan kehakiman yang mencukupi (sufficient judicial appreciation) keterangan yang dikemukakan apabila HMS memutuskan versi Plaintif adalah lebih berkemungkinan (more probable) dan Defendan adalah bertanggungan 100% atas kemalangan jalan raya tersebut; dan
b
bagi isu kuantum, sama ada penilaian gantirugi yang dibuat oleh HMS adalah betul berdasarkan laporan penilaian yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Isu Liabiliti [22] HMS telah menyatakan di perenggan 12 Alasan Penghakiman bahawa “semua keterangan dan juga versi yang diberikan oleh Plaintif bagaimana kemalangan berlaku telah gagal dicabar, disangkal dan dinafikan serta dipertikaikan oleh Defendan dalam kes ini. Oleh itu, daripada segi liabiliti, Mahkamah dengan ini mendapati Defendan adalah 100% bertanggungan atau cuai di dalam kes kemalangan jalan raya ini. Selanjutnya Mahkamah juga mendapati bahawa tidak terdapat sebarang kecuaian sumbangan (contributory negligence) yang telah dilakukan atau telah dibuktikan telah dilakukan oleh Plaintif di dalam tindakan ini…”. [23] Dalam hal ini, Mahkamah ini mendapati bahawa Defendan tidak hadir di Mahkamah untuk memberikan keterangan bagi menyangkal versi Plainif telah menyebabkan inferens buruk (adverse infenrece) terhadap Defendan. Oleh yang demikian, keterangan Plaintif dan dapatan SP1 berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, mengenai bagaimana kemalangan jalan raya berlaku telah diterima oleh HMS. Defendan didapati tidak memberikan alasan kegagalan hadir ke Mahkamah Sesyen untuk memberi keterangan pada 15 Disember 2021. [24] Mahkamah ini mendapati HMS telah menggunakan pendekatan yang betul (right approach) dalam menentukan isu liabiliti. HMS telah mendengar dan menilai keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi Plaintif dan telah memutuskan versi Plaintif adalah lebih berkemungkian bagaimana kemalangan jalan raya berlaku pada hari kejadian. Sehubungan itu, Mahkamah mendapati HMS tidak tersilap atau terkhilaf dalam memutuskan isu liabiliti. Maka keputusan HMS yang memutuskan Defendan adalah bertanggungan 100% atas kemalangan jalan raya dikekalkan. Isu Kuantum [25] Pihak Defendan merayu kepada Mahkamah ini atas isu kuantum bagi Plaintif. Berdasarkan hujahan dibuat, Mahkamah merumuskan bahawa Defendan hanya merayu keputusan HMS bagi perkara-perkara yang berikut:
a
closed fracture distal third left fibula;
b
muscle wasting;
c
kehilangan pendapatan Plaintif semasa cuti sakit dan selepas cuti sakit; dan
d
kehilangan pendapatan separa masa depan. [26] Adalah undang-undang mantap bahawa Mahkamah di peringkat rayuan tidak harus bercampur tangan mengenai penilaian gantirugi yang dibuat oleh HMS dan hanya bercampur tangan jika HMS telah menggunakan pendekatan yang salah dalam membuat keputusannya atau membuat kesilapan dalam penilaian yang dibuat. Sila rujuk kes Tan Kuan Yau v Suhindrimani [1985] 2 MLJ
22
[27] Dalam kes Laksamana Realty Sdn Bhd v Goh Eng Hwa [2006] 1 MLJ 675, Mahkamah telah merujuk kepada kes Tan Kuan Yau v Suhindrimani [1985] 1 CLJ 429 dan telah memutuskan— “The principle that could guide this court in determining whether it should interfere with the quantum of damages is crystal clear. What is also clear is that much depends on the circumstance of each case, in particular the amount of the award. In a particular case therefore it is for the appeal court to consider whether in the light of the circumstance of that case there is an erroneous estimate of the amount of the damage in that either there was an omission on the part of the Judge to consider some relevant materials or he had admitted for purposes of assessment some irrelevant considerations. If the court is satisfied or convinced that the Judge has acted upon wrong principles of law then it is justified in reversing; indeed it is its duty to reverse the finding of the trial Judge.”. [Penekanan ditambah] [28] Mahkamah Tinggi dalam kes Kovalan a/l Rajoo v Hanif bin Muhamad Pauzi [2016] 2 CLJ 965 telah merujuk kepada kes Tan Kuan Yau (supra) dan memutuskan seperti yang berikut: “ [12] In light of the above Federal Court’s decision, the legal proposition in an appeal against an award for damages could be surmised as follows:
i
The onus on an appellant is a heavy one;
II
(ii) The appellant must satisfy the appellate court—
a
that the trial judge acted on wrong principle of law; or
b
the damages awarded is so extremely high or low to make it an entirely an erroneous estimate of damages, in other words, it is plainly unreasonable; or
c
the trial judge omitted to consider some relevant materials or admitted some irrelevant considerations, resulting in the award of damages being wholly inaccurate. In other words, if the trial judge had considered the relevant materials or did not take into consideration the irrelevant considerations, the trial judge would have come to an award entirely different from the one he had awarded;
III
(iii) the award of damages in each case stands by itself; and
IV
(iv) it is not enough for the appellant to show there is a balance of opinion or preference. [13] The mere fact that one judge’s award is different from another judge’s award does not form as a basis for an appellate court to disturb the awad of damages by the lower court. The award of damages in every case stands by itself – it depends on the age, sex and degree of injury and the chances and degree of recovery as well. Occasionally, it also depends on the available options for medical treatments. [14] A compendium is merely a compilation of information on court awards of damages. The information in the compendium may indicate the trend of the award of damages outside the range found in the compendium is not necessarily a reason for the appellate court to disturb the award of damages. The appellate court will only disturb the trial judge’s award of damages if and only if the trial judge’s award of damages is so very wrong or seriously wrong that no reasonable judge would have awarded the amount for the same set of facts. [15] An award of damages leaning to one end of the scale found in a compendium does not tantamount to an award that is very wrong or seriously wrong; it is merely the exercise of the trial judge’s discretion. This does not form a basis for an appellate court to interfere with the discretion of the trial judge. The compendium’s scale should not be used as a basis for an appeal against the exercise of the judge’s discretion in deciding the award of damages. [16] The appellate court should not interfere with the exercise of discretion by the trial judge unless the award of damages is so very wrong or seriously wrong that it is plainly unreasonable.”. [Penekanan ditambah] [29] Berpandu kepada prinsip yang diputuskan dalam kes Tan Kuan Yau (supra), Mahkamah perlu mempertimbangkan gantirugi am dan gantirugi khas yang merupakan isu yang dibangkitkan dalam rayuan Defendan. Closed fracture distal third left fibula dan muscle wasting [30] Plaintif telah berhujah bahawa awad yang diberikan oleh HMS bagi gantirugi am adalah manifestly high secara khususnya bagi kecederaan "closed fracture distal third left fibula" dimana HMS telah mengawadkan jumlah RM20,000.00 sedangkan jumlah yang dibenarkan oleh nas undang-undang adalah sekitar RM12,000.00 sehingga RM14,500.00 sahaja. [31] HMS telah merujuk kepada Revised Compendium of Personal Injury Awads bertarikh 16.10.2018 di mana awad kecederaan bagi fibula adalah antara RM12,000.00 sehingga RM14,500.00. Oleh itu, HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila telah membuat keputusan untuk memberikan awad sebanyak RM20,000.00 kerana berpendapat bahawa ianya adalah berpatutan serta tidak berlebihan bagi kecederaan ini. [32] Berdasarkan kepada laporan-laporan pakar pihak Plaintif dan Defendan, ianya adalah jelas bahawa kecederaan Plaintif tersebut telah berlaku pada kaki yang tidak dominan, "fracture" tersebut telah cantum dengan sempurna ("united") dan tidak ada sebarang shortening terhadap kaki Plaintif. Tambahan pula, berdasarkan kepada laporan pakar Defendan yang merupakan laporan terkini, Plaintif dapat berjalan seperti biasa (normal gait), berdiri atas satu kaki dan mencangkung. Plaintif juga dapat bergerak dengan penuh dan sempurna. [33] Oleh yang demikian, memandangkan Plaintif telah sembuh sepenuhnya melainkan kewujudan "muscle wasting" yang hanya dinyatakan di dalam laporan perubatan pakar Plaintif, oleh itu, awad sebanyak RM20,000.00 yang telah diawad oleh HMS adalah manifestly high dan/atau execessive. [34] Seterusnya, Defendan juga berhujah bahawa jumlah RM5,000.00 yang telah diawadkan oleh HMS untuk "muscle wasting" bukan sahaja manifestly excessive tetapi satu jumlah awad global seharusnya diberikan dan bukannya satu awad berasingan sepertimana yang telah diberikan oleh HMS atau secara alternatif, Defendan berhujah berdasarkan laporan pakar Plaintif yang menyatakan “muscle wasting” hanya 1cm sahaja dan dengan itu pemberian awad RM5,000.00 adalah excessive dan harus diketepikan oleh Mahkamah. [35] Plaintif berhujah bahawa awad RM20,000.00 bagi kecederaan "closed fracture distal third left fibula" adalah adil dan munasabah kerana menurut Laporan Pakar daripada Century Orthopaedic Specialist Clinic yang bertarikh 31.10.2019 di muka surat 48 Rekod Rayuan menyatakan seperti yang berikut: “A limp when he walks, weakness of left lower limb, difficulties in standing, walking for more than short periods, walking briskly, climbing stairs, lifting heavy loads, kneeling and sitting on the floor and squatting for more than short periods and pain of left lower limb on sustained exertion.”. [36] Mengenai awad RM5,000.00 bagi “muscle wasting”, Plaintif berhujah awad tersebut adalah munasabah dan adil berdasarkan keputusan kes Juliah Binti Samsuri Iwn Kamarajan A/L Suburamaniam [2018] MWU 1664. [37] Mahkamah mendapati HMS tidak terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila mengawadkan gantirugi am sebanyak RM25,000.00 iaitu RM20,000.00 bagi “closed fracture distal third left fibula” dan RM5,000.00 bagi “muscle wasting”. HMS telah memberikan awad lebih tinggi daripada apa yang dinyatakan dalam Revised Compendium of Personal Injury Awads bertarikh 16.10.2018, tidak menjadi alasan untuk Mahkamah ini bercampur tangan dan mengubah keputusan HMS itu. [38] Oleh itu, Mahkamah mendapati bahawa HMS telah menggunakan pendekatan yang betul dalam pentaksiran gantirugi dan amaun yang ditaksirkan adalah tidak excessive dan dengan itu, Mahkamah memutuskan bahawa keputusan HMS bagi gantirugi am sebanyak RM25,000.00 dikekalkan. Kehilangan pendapatan dalam tempoh cuti sakit (“MC”) [39] Defendan berhujah bahawa HMS telah terkhilaf dari segi undang- undang dan fakta apabila menilai pendapatan bersih bulanan Plaintif sebelum kemalangan sebanyak SGD1,600.00. Memandangkan jumlah gaji bulanan Plaintif adalah tidak tetap dan dengan itu purata gaji bersih bulanan pendapatan Plaintif sebanyak SGD1,220.53 harus digunakan dalam perkiraan kehilangan pendapatan. Perkiraan Defendan adalah seperti dinyatakan dalam muka surat 17 Hujahan Bertulis Defendan (Lampiran 8). [40] Defendan seterusnya berhujah bahawa berdasarkan dokumen yang dikemukakan sebagaimana yang ditunjukkan dalam muka surat 60 dan 61 Rekod Rayuan, tempoh cuti sakit yang diberikan adalah daripada 22.1.2018 hingga 20.2.2018 dan 21.3.2018 hingga 24.4.2018. Maka MC yang diberikan kepada Plaintif bukanlah berterusan. [41] Oleh itu, Defendan berhujah bahawa jumlah cuti sakit adalah 58 hari dan bukannya 3 bulan sepertimana yang diputuskan oleh HMS. Maka, jumlah kehilangan gaji Plaintif adalah RM7,079.07 tolak 1/3 bagi kos sara hidup, adalah RM4,719.40 sahaja. [42] Plaintif pula berhujah bahawa keputusan HMS adalah munasabah dan berpatutan memandangkan Plaintif tidak diberikan gaji semasa MC tersebut. Plaintif selanjutnya berhujah jumlah purata gaji Plaintif yang dikira oleh Defendan adalah tidak tepat kerana Defendan gagal mengambil kira gaji Defendan bagi 13 bulan bonus. Oleh itu, perkiraan purata gaji bulanan Defendan semasa bekerja di KFC, Singapura adalah SGD1,600.00. [43] HMS telah mengawadkan kehilangan pendapatan sewaktu Plaintif di dalam MC selama tiga (3) bulan tersebut yang berjumlah RM9,600.00 yang berkira seperti yang berikut: SGD1,600.00 x 3 bulan = SGD4,800.00 SGD4,800.00 x RM3.00(kadar pertukaran) = RM14,400.00 RM14,400.00 – 1/3 (kos sara hidup) iaitu RM14,400.00 – RM4,800.00 = RM9,600.00. [44] HMS berpendapat bahawa jumlah sebanyak RM9,600.00 ini adalah amat wajar, munasabah dan juga berpatutan serta tidak berlebihan untuk diberikan kepada Plaintif sebagai kehilangan gaji sewaktu di dalam tempoh MC iaitu untuk tempoh masa selama 3 bulan tersebut. [45] Mahkamah mendapati perkiraan gaji yang dibuat oleh HMS adalah berpatutan dengan mengambil kira Plaintif tidak dapat gaji sepanjang tempoh MC. Mahkamah juga mendapati Peguam Defendan tidak mencabar gaji bulanan SGD1,600.00 yang dinyatakan oleh Plaintif semasa pemeriksaan balas dan cadangan perkiraan gaji purata sebagaimana yang dihujahkan oleh Defendan di peringkat rayuan, tidak ditanya kepada Plaintif semasa perbicaraan. Maka, Mahkamah berpendapat cadangan perkiraan gaji purata sebanyak SGD1,220.53 yang dibangkitkan di peringkat rayuan tidak boleh diambil kira kerana Plaintif tidak diberikan peluang untuk menjelaskan cadangan itu. [46] Mengenai perbezaan perkiraan jumlah MC berdasarkan sijil sakit yang ditunjukkan dalam muka surat 60 dan 61 Rekod Rayuan, Mahkamah berpendapat HMS mengambil kira tempoh 3 bulan dan tidak berdasarkan jumlah hari dalam sijil sakit, adalah satu tempoh masa yang munasabah dan ia tidak menjadi alasan untuk Mahkamah ini mengubah keputusan tersebut. Ini disokong oleh kes Kovalan a/l Rajoo (supra) yang antara yang lain, memutuskan bahawa— “[16] The appellate court should not interfere with the exercise of discretion by the trial judge unless the award of damages is so very wrong or seriously wrong that it is plainly unreasonable”. . [Penekanan ditambah] Kehilangan pendapatan selepas tempoh cuti sakit [47] Defendan berhujah bahawa HMS telah terkhilaf segi undang-undang dan fakta apabila membenarkan awad kehilangan pendapatan selepas MC iaitu sebelum Plaintif mendapat kerja di Kamachi Enterprise selama 8 bulan tanpa sebarang bukti. Tidak ada sebarang surat pemberhentian yang dikemukakan Plaintif untuk membuktikan beliau telah diberhentikan oleh KFC Singapura. Maka, tidak wujud apa-apa dokumen, termasuk KWSP bagi tahun 2018 dan 2019, untuk mengesahkan bahawa Plaintif tidak bekerja dalam tempoh 8 bulan ini sebelum mendapatkan pekerjaan dengan Kamachi Enterprise. [48] Plaintif tidak diberikan MC selepas 24.04.2018 dan/atau sijil kerja ringan untuk menyokong dakwaan bahawa beliau tidak dapat bekerja dan/atau tidak bekerja sepanjang tempoh tersebut. Oleh itu, HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memberikan awad sebanyak RM25,600.00. [49] Secara alternatif, Defendan berhujah bahawa sekiranya Mahkamah berpendapat bahawa HMS tidak terkhilaf di dalam keputusannya di dalam mengawadkan kehilangan gaji selepas MC sebelum mendapat kerja di Kamachi Enterprise (yang mana dinafikan), HMS telah terkhilaf apabila membuat keputusan bahawa multiplicand di dalam kes ini adalah SGD1,600.00 untuk sebulan. lni adalah kerana, purata gaji Plaintif hanyalah SGD 1,220.53 x 3 = RM3,661.59 sebulan dimana 1/3 harus dipotong bagi kos sara hidup (living expenses) yang menjadikan jumlah gaji sebulan Plaintif adalah RM2,441.06. Maka, untuk kehilangan pendapatan selama 8 bulan ianya adalah RM19,528.48 yang mana dijulatkan kepada RM19,528.50. [50] Sebagai balasan, Plaintif telah berhujah bahawa Plaintif telah cuba kerja semula dengan KFC tetapi tidak berjaya. Plaintif telah cuba mencari kerja lain di Singapura dalam tempoh 8 bulan itu. Namun disebabkan kecederaan yang dialami, Plaintif tidak dapat membuat kerja-kerja berat dan hanya boleh membuat kerja-kerja ringan sahaja. Keterangan-keterangan Plaintif adalah di muka surat 59 dan 60 Rekod Rayuan Tambahan. Keterangan Plaintif disokong oleh Dr. Teo daripada Century Orthopeadic Specialist yang menyatakan dalam laporan pakarnya bahawa Plaintif— "suffers a limp when he walks. He also suffers weakness of the left lower limb. He has difficulties in standing, walking for more than short periods, walking briskly, climbing stairs, lifting heavy loads, kneeling and sitting on the floor and squatting for more than short periods. He also suffers from pain of the left lower limb on sustained exertion… …. is unable to perform the routine tasks associated with his job as a KFC kitchen worker. Based on the Guidelines on Impairment and Disability Assessment of Traumatic Injuries, Occupational Diseases and Invalidity (SOCSO), he has 4% whole person impairment (WPI) ". [51] Plaintif telah menerangkan bahawa semasa beliau bekerja di Singapura pada tahun 2018, tiada pembayaran caruman KWSP. Bekas majikan Plaintif, SP2 memaklumkan bahawa syarikatnya tidak membayar caruman KWSP kepada Plaintif semasa beliau bekerja di Kamachi Enterprise. [52] HMS yang mendengar keterangan saksi-saksi telah mendapati keterangan yang dikemukakan oleh pihak Plaintif adalah lebih dipercayai (more reliable). Sebagaimana yang diputuskan di perenggan 45 atas, purata gaji bulanan yang dicadangkan oleh Defendan sebanyak SGD1,220.53 tidak boleh diambil kira sebagai purata gaji bulanan Plaintif. Mahkamah mendapati tidak terdapat kesilapan yang dibuat oleh HMS dalam mencapai keputusan tersebut. Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan keputusan HMS untuk mengawadkan kehilangan pendapatan selama 8 bulan bagi jumlah RM25,600.00 dikekalkan. Kehilangan pendapatan separa masa depan [53] Defendan berhujah bahawa HMS telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila membenarkan awad kehilangan pendapatan separa masa depan sewaktu bekerja di Kamachi Enterprise dan ia adalah bertentangan dengan laporan pakar yang dibuat oleh Putra Medical Centre yang bertarikh 4.3.2020, yang merupakan pemeriksaan terkini Plaintif (sila rujuk muka surat 54 sehingga 58 Rekod Rayuan) yang mana pakar Orthopedik telah menyatakan bahawa “he has no maior functional or occupational limitations. He is fit to continue with his current occupation as a van driver and gradually return to more vigorous activities such as sports. He also does not require any active management for now." [54] Oleh itu, Defendan berhujah Plaintif boleh melakukan pekerjaannya seperti sebelum kemalangan. HMS juga terkhilaf apabila menghakimkan bahawa keadaan terkini Plaintif akan menghindari beliau daripada kembali ke kerjanya seperti sebelum kemalangan. Untuk menyokong hujahannya, Defendan teleh merujuk kepada kes Muhammad Saiful Adli bin Md Nasir and Anor v Zulkarnain bin Ahmad [2019] AMEJ 1151 dan kes Yang Yap Fong & Anor v Leong Pek Hoon & Anor [1987] 2 MLJ 201. [55] Selanjutnya, Defendan berhujah dan menegaskan bahawa Plaintif akan beransur pulih sehingga tahap di mana beliau boleh bersenaman dan dengan itu, Plaintif tidak akan terhindar daripada memperolehi pekerjaan akan membayar gaji yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat daripada keterangan Plaintif yang menunjukkan Plaintif telah membuat kerja-kerja berat di Kamachi Enterprise yang sememangnya memerlukan kekuatan fizikal (physical strength) yang lebih berbanding dengan kerja yang dilakukan oleh Plaintif di KFC Singapura. Plaintif di dalam keterangannya tidak pernah menyatakan bahawa beliau terpaksa meletak jawatan di syarikat Kamachi Enterprise disebabkan kesukaran melakukan kerja-kerja berat. Beliau hanya sekadar menyatakan bahawa skop kerja di syarikat Fungates Superflow Foundation adalah lebih ringan. [56] Plaintif pula berhujah bahawa Plaintif telah cuba mengurangkan kerugiannya (mitigate his losses) dengan mendapatkan pekerjaan di Malaysia. Plaintif telah bekerja di Kamachi Enterprise mulai Januari 2019 sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,200.00. Bekas majikan Plaintif, SP2 telah mengesahkan Plaintif telah bekerja setahun di Kamachi Enterprise dan tugasnya adalah agak berat di mana beliau terpaksa mengangkat dan mengalihkan barang-barang berat di mana pekerja-pekerja yang lain terpaksa membantu beliau. Oleh itu, setelah setahun bekerja di Kamachi Enterprise, Plaintif telah bertukar kerja di Fungates Superflow Foundation pada 1.2.2020 sebagai seorang pemandu van dengan pendapatan sebanyak RM1,200.00 sebulan. Tugas Plaintif di Fungates Superflow Foundation ini adalah agak ringan di mana Plaintif hanya perlu membawa penumpang-penumpang di dalam motorvan sahaja. [57] Di dalam kes ini, HMS telah memutuskan bahawa pada masa kemalangan tersebut berlaku Plaintif berumur 24 tahun iaitu di bawah 30 tahun. Maka menurut Seksyen 28(2)(d) Akta Undang-Undang Sivil (Pindaan) 1984, “purchase years” atau “multiplier” yang digunakan adalah untuk tempoh selama 16 tahun (192 bulan). Memandangkan Plaintif telah mendapat gantirugi untuk tuntutan selama tempoh MC selama 3 bulan dan selepas tempoh MC selama 8 bulan seperti tersebut di atas, maka tempoh 192 bulan tersebut harus ditolak 11 bulan iaitu selama 181 bulan. Oleh itu, untuk kekusutan pendapatan (partial loss of earning capacity) Plaintif ini sewaktu bekerja di Kamachi Enterprise dan/atau Fungates Superflow Foundation tersebut HMS memberikan jumlah RM434,400.00 yang dikira seperti berikut: SGD1,600.00 x RM3.00(Kadar pertukaran) = RM4,800.00 RM4,800.00 – RM1,200.00 = RM3,600.00 RM3,600.00 – 1/3 (kos sara hidup) iaitu RM3,600.00 – RM1,200.00 = RM2,400.00 RM2,400.00 x 181 bulan = RM434,400.00. [58] Mahkamah mendapati terdapat percanggahan pandangan oleh dua pakar yang memeriksa Plaintif, iaitu—
a
laporan daripada Century Orthopaedic Specialist Clinic yang bertarikh 31.10.2019 (“laporan pakar pertama”) yang menyatakan bahawa “unable to perform the routine tasks associated with his job as KFC Worker. Currently he is unemployed. Base on the Guidelines on Impairment and Disability Assessment of Traumatic Injuries, Occupational Diseases and Invalidity (SOSCO), he has 4% whole person impairment (WPI)”; dan
b
laporan daripada Putra Medical Centre yang bertarikh 4.3.2020 (“laporan pakar kedua”) yang menyatakan bahawa “is currently having the above residual disability. Nevertheless, he has no major functional or occupational limitations. He is fit to continue with his current occupational as a van driver and gradually return to more vigorous activities such as sports. He also does not require any active management for now.” [59] Terdapat perbezaan masa selama 5 bulan antara laporan pakar pertama dibuat dengan laporan pakar kedua. Namun begitu, laporan pakar kedua menyatakan bahawa Plaintif masih mengalami “residual disability”. Ini menunjukkan Plaintif masih tidak berkeupayaan menjalankan tugasan harian seperti terdahulu. HMS telah memilih untuk bergantung kepada laporan daripada laporan pakar pertama yang lebih komprehensif dalam menilai gantirugi. [60] Mahkamah berpendapat bahawa HMS telah mendengar dan menilai keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak dan telah memutuskan keterangan pihak Plaintif dan laporan pakar pertama adalah lebih dipercayai. Mahkamah mendapati keputusan HMS mengawadkan jumlah sebanyak RM434,400.00 bagi kekusutan pendapatan (partial loss of earning capacity) untuk Plaintif di dalam kes ini adalah wajar, munasabah dan juga berpatutan serta tidak keterlaluan dengan mengambil kira keadaan Plaintif selepas kemalangan. Oleh itu, keputusan HMS mengenai awad bagi kekusutan pendapatan berjumlah RM434,400.00 dikekalkan. [61] Merujuk kepada kes Sivalingam A/L Periasamay v Periasamy & Anor(1995) 3 MLJ 395, Mahkamah Rayuan telah menyatakan bahawa – “(1) It is trite law that an appellate court will not readily interfere with the findings of fact arrived at by the trial court to which the law entrusts the primary task of evaluation of the evidence. However, the appellate court has a duty to intervene where a trial court has so fundamentally misdirected itself, that one may say that no reasonable court which had properly directed itself and asked the correct questions would have arrived at the same conclusion.”. [Penekanan ditambah] [62] Oleh itu, berpandukan kepada prinsip yang ditentukan dalam kes Sivalingam A/L Periasamy (supra), Mahkamah memutuskan bahawa keputusan HMS mengenai awad bagi kekusutan pendapatan berjumlah RM434,400.00 dikekalkan. Kesimpulan [63] Berdasarkan alasan-alasan tersebut di atas, Mahkamah menolak
Lampiran
Lampiran 1 dengan kos sebanyak RM1,500.00 tertakluk kepada kos alokatur, dibayar oleh Defendan kepada Plaintif. Bertarikh 7 Mei 2023 Ditandatangan oleh: ………………………….. Wong Mee Ling Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Johor Bahru Johor Darul Ta’zim. Peguam: Bagi Perayu/Defendan : Tetuan Gan, Ho dan Razlan Hadri Suite K-3-10, Level 3 Block K, Solaris Mont’ Kiara No. 2, Jalan Solaris 50480 Kuala Lumpur Bagi Respondent/Plaintif : Tetuan Zaman & Associates Suites 12-01 & 12-02 Tingkat 12, Menara TJB No. 9, Jalan Syed Mohd Mufti 80000 Johor Bahru Kes-kes yang dirujuk: 1. Ng Hoo Kui & Anor v Wendy Tan Lee Peng (administratix for the estate of Tan Ewe Kwang, deceased) & Ors [2020] 12 MLJ 67 2. Tan Kuan Yau v Suhindrimani [1985] 2 MLJ 22 3. Laksamana Realty Sdn Bhd v Goh Eng Hwa [2006] 1 MLJ 675 4. Kovalan a/l Rajoo v Hanif bin Muhamad Pauzi [2016] 2 CLJ 965 5. Muhammad Saiful Adli bin Md Nasir and Anor v Zulkarnain bin Ahmad [2019] AMEJ 1151 6. Yang Yap Fong & Anor v Leong Pek Hoon & Anor [1987] 2 MLJ 201 7. Sivalingam A/L Periasamy vPeriasamy & Anor (1995) 3 MLJ 395 Akta yang dirujuk 1. Akta Keterangan 1950 2. Akta Undang-Undang Sivil (Pindaan) 1984 Tarikh Pendengaran : 12.02.2023 Tarikh Keputusan : 27.2.2023
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.