Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KANGAR DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: RA-45A-18-12/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
RA-45A-18-12/2022
High Court of Malaysia10 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“used to verify the originality of this document via eFILING portal 14 discount, but we are of the view that there are exceptions to this rule. In our opinion, one of these are the offences under the Dangerous Drugs Act 1952… Death sentences and heavy penalties have been introduced but we find drug addicts everywhere…””
“] As far back as 1976, His Lordship Hashim Yeop A. Sani, J (as he then was) in PP v. Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102, in a landmark judgment, after tracing the series of legislative amendments to the Dangerous Drugs Ordinance, 1952 enhancing the penalties prescribed therein, remarked that: "It is common sense to say th”
“25. Dalam kes Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] CLJU 252; [2004] 1 LNS 252; [2004] 4 MLJ 249, Mahkamah Rayuan telah mengulas mengenai keseriusan kes-kes berkaitan dadah seperti berikut: "... The Government and the legislature have taken very serious views”
“rify the originality of this document via eFILING portal 12 determined on its own merits. But in every case the Courts must be realistic and rational." [See also Union of India v. Kuldeep Singh AIR [2004] SC 827]””
“2. Khairil Anwar bin Abdul Rahim v Public Prosecutor [2016] MLJU 227 534.12 gram cannabis Mahkamah Rayuan: 12 tahun penjara dan 10 sebatan **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 15”
“Seksyen 6 Akta 234 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama di mana mahkamah-mahkamah duluan telah memutuskan seperti berikut: No Nama Kes Berat Dadah Hukuman 1. PP v Chuks Nmandi [2017] MLJU 792 950 gram cannabis Mahkamah Rayuan: 15 tahun penjara dan 10 sebatan dikekalkan.”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KANGAR DALAM NEGERI PERLIS, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: RA-45A-18-12/2022 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
TUAN AMIRULDIN BIN TUAN ALI
2
ANAS BIN SHAKIR (NO. K/P: 890722-09-5089)
1
Kes ini melibatkan satu pertuduhan ke atas tertuduh-tertuduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan [Akta 574].
2
Pada 23/1/2026, tertuduh 1 telah mengaku salah ke atas pertuduhan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta 234 dan telah disabitkan. Tertuduh 1 telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dari tarikh tangkap dan dikenakan 15 sebatan. Selanjutnya pada 10/4/2026 pihak Pendakwa Raya (PR) telah menawarkan Pertuduhan Pilihan (P15) kepada tertuduh 2 di bawah Seksyen 6 Akta 234 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama.
3
Pertuduhan pilihan (P15) ke atas tertuduh 2 adalah seperti berikut: "Bahawa kamu pada 24 Januari 2022 jam lebih kurang 08.40 pagi, di hadapan sebuah rumah tidak bernombor, Jalan Simpang Empat, Kampung Lat Seribu, 02700 Simpang Empat, di dalam Daerah Kangar, di dalam Negeri Perlis, telah memiliki dadah berbahaya iaitu seberat 24,5341.2 gram cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama”
4
Pertuduhan pilihan (P15) tersebut telah dibacakan kepada tertuduh 2 dan tertuduh 2 telah mengaku memahami pertuduhan pilihan tersebut serta telah faham sifat serta akibat ke atas pengakuan salahnya. Mahkamah ini selanjutnya telah mensabitkan tertuduh dan telah menjatuhkan hukuman lapan belas tahun (18) tahun penjara dari tarikh tangkap dan mengenakan sebanyak 10 sebatan ke atas tertuduh 2.
5
Tertuduh 2 tidak berpuas hati atas sabitan dan hukuman tersebut dan kini tertuduh 2 merayu ke atas keputusan tersebut.
6
Berdasarkan kepada Fakta Kes (P16) yang diakui oleh tertuduh, pada 24/01/2022 jam lebih kurang 8.30 pagi, bertindak atas satu maklumat aktiviti pengedaran dadah, ASP G/17724 Mohd Helmy Bin Suhaimi (pengadu) bersama-sama pegawai dan anggota Pasukan Tindakan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman telah membuat pemantauan di sekitar kawasan Simpang Empat, Kangar, Perlis di mana pengadu secara kebetulan telah nampak sebuah kenderaan jenis Ford Ranger No. Pendaftaran VGT3753 sedang keluar dari lorong tepi Masjid Al Hidayah Kg Titi Beratap, Simpang Empat Perlis dan masuk ke Jalan Tuanku Syed Putra lalu menghala ke arah Alor Setar.
7
Berdasarkan maklumat kenderaan Ford Ranger yang diperolehi, Pengadu dan pasukannya telah mengekori kenderaan Ford Ranger berkenaan. Apabila menyedari kehadiran pihak pasukan serbuan, pemandu Ford Ranger tersebut tiba-tiba memecut laju.
8
Pengadu dan pasukannya telah bertindak mengejar kenderaan Ford Ranger tersebut dalam tempoh masa lebih kurang 20 minit sehinggalah kenderaan Ford Ranger tersebut kemudiannya memasuki ke satu jalan kecil di kawasan Kampung Lat Seribu, Simpang Empat, Kangar, Perlis dan terus melarikan diri sehingga akhirnya telah melanggar dinding sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Simpang Empat, Kampung Lat Seribu 02700 Simpang Empat, Kangar, Perlis.
9
Kemudiannya, pengadu dan salah seorang anggota pasukan serbuan iaitu D/Sjn 138540 Iskandar telah nampak tertuduh 1 keluar dari bahagian pemandu kenderaan Ford Ranger tersebut dan lari ke arah sawah padi di bahagian belakang rumah. Pada masa yang sama pengadu juga nampak tertuduh 2 telah keluar dari bahagian penumpang hadapan kenderaan dan lari memasuki rumah yang dilanggar tersebut (rumah tersebut).
10
Pengadu telah mengarahkan Insp Badrol, D/Sjn 138540 Iskandar, D/Kpl 169708 Adli Hafiz, D/Kpi 176871 Amiruddin, D/Kpl 184093 Abdul Afiq dan L/Kpl 202177 Emaludin untuk mengejar tertuduh 1 dan tertuduh 1 berjaya ditangkap di kawasan bendang belakang rumah. Manakala pengadu, D/Kpl 169095 Ridzuan, D/Kpl 169135 Akmal, L/Kpl 202003 Nickson, L/Kpl 204115 Michael dan L/Kpl 208747 Jamali berjaya menahan tertuduh 2 yang bersembunyi dalam bilik air rumah tersebut. Kedua-dua tangkapan kemudiannya dibawa ke kenderaan Ford Ranger tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
11
Dengan disaksikan tertuduh-tertuduh, pengadu membuat pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Ford Ranger No. Pendaftaran VGT3753 dan menjumpai kunci/alat kawalan bertulisan FORD di bahagian tempat meletakkan barang berdekatan tombol gear kenderaan berkenaan.
12
Pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan tersebut pula mendapati ianya ditutupi oleh kanvas. Dengan disaksikan oleh tertuduh-tertuduh, pengadu telah membuka kanvas penutup tersebut dan mendapati di dalam muatan bahagian belakang kenderaan Ford Ranger tersebut terdapat empat guni berwarna putih, tiga guni berwarna hijau dan dua kotak berwarna putih.
13
Pemeriksaan pengadu ke atas kandungan guni-guni dan dua kotak berkenaan pengadu telah menemukan: a) satu guni plastik berwarna putih bertulis SPECIAL BROILER FINISHER PELLETS di dalamnya masing-masing berisi 32 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas warna kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 31,649 gram; b) satu guni plastik berwarna putih bertulis POULTRY BROILER FINISHER PELLETS 405 di dalamnya masing-masing berisi 35 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas warna kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 34,717 gram; c) satu guni plastik berwarna putih bertulis YENG LEE FEED SDN BHD di dalamnya masing-masing berisi 35 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas wana kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 34,470 gram; d) satu guni berwarna putih bertulis PK AGRO-INDUSRIAL PRODUCTS (M) SDN BHD di dalamnya masing-masing berisi 35 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas wama kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 34,568 gram; e) satu guni berwarna hijau di dalamnya masing-masing berisi 34 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas warna kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 33,627 gram; f) satu guni berwarna hijau di dalamnya masing-masing berisi 35 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas warna kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 34,520 gram; g) satu guni berwarna hijau di dalamnya masing-masing berisi 32 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas wama kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 31,955 gram; h) satu kotak berwarna putih bertulis KERRY EXPRESS di dalamnya masing-masing berisi 19 slab berbalut plastik lutsinar dan kertas warna kekuningan berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 18,905 gram; dan i) satu kotak berwarna putih bertulis KERRY EXPRESS di dalamnya masing-masing berisi 12 slab berbalut plastik lutsinar berisi mampatan dedaun kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 11,880 gram.
14
Seterusnya pengadu menangkap tertuduh-tertuduh dan merampas kesemua barang kes untuk tindakan lanjut. Pengadu turut merampas kenderaan jenis Ford Ranger No Pendaftaran VGT3753 beserta satu kunci/ alat penggera berlogo Ford.
15
Tertuduh-tertuduh dan barang rampasan di bawa balik ke Pejabat Bahagian/Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Perlis Daerah Kangar, Perlis.
16
Barang-barang kes dadah telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dan telah dianalisis oleh ahli kimia, Puan Faesmaziana binti Napiah. Hasil ujian dan analisis dadah, ahli kimia telah mengesahkan bahawa kesemua dadah yang dirampas adalah dadah jenis cannabis dengan berat keseluruhan seberat 245,341.2 gram. Hujahan mitigasi peguam tertuduh 2
17
Peguam tertuduh 2 dalam hujahan mitigasinya telah menyatakan bahawa tertuduh 2 ketika ditangkap berumur 32 tahun dan kini berumur 36 tahun. Tempoh selama 4 tahun di dalam tahanan reman telah membuat tertuduh 2 sangat menyesal akan perbuatannya dan menginsafkan tertuduh 2.
18
Peguam tertuduh 2 berhujah bahawa pengakuan salah tertuduh 2 telah menjimatkan kos dan masa mahkamah serta semua pihak yang terlibat dengan kes ini tanpa perlu melalui satu proses perbicaraan yang panjang.
19
Di samping itu, tertuduh 2 masih lagi bujang dan semasa ditangkap bekerja sebagai pesawah dengan pendapatan RM600 sebulan. Tertuduh 2 merupakan anak sulung dari 5 adik beradik serta masih mempunyai tanggungan ibu bapa yang masing-masing berumur 65 dan 62 tahun.
20
Peguam tertuduh 2 turut memohon mahkamah mengambil kira fakta bahawa tertuduh 2 adalah pesalah kali pertama dan memohon hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dikenakan terhadap tertuduh 2. Hujahan pemberatan hukuman Timbalan Pendakwa Raya (TPR)
21
Tuan TPR menegaskan bahawa kesalahan dadah yang dilakukan oleh tertuduh 2 adalah kesalahan yang serius dan berat. Ini kerana dadah adalah ibu kepada kesalahan yang lain. Kesalahan dadah boleh menyebabkan kehilangan nyawa, merosakkan struktur keluarga serta masyarakat secara umum. Oleh itu, kepentingan awam hendaklah diberikan keutamaan mengatasi kepentingan peribadi tertuduh 2.
22
Tuan TPR turut memohon mahkamah mengambil kira faktor berat dadah yang sangat banyak di dalam kes ini iaitu seberat 245,341.2 gram yang pastinya jika dadah sebanyak ini berjaya tersebar ke masyarakat, ia pasti akan mendatangkan impak yang amat buruk buat masyarakat.
23
Tuan TPR selanjutnya menghujahkan bahawa tiada langsung faktor-faktor mitigasi ataupun alasan-alasan yang boleh terpakai bagi mewajarkan pengurangan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan tertuduh 2 ini. Analisis dan dapatan mahkamah
24
Faktor utama yang perlu diberi penekanan dalam penentuan hukuman adalah kepentingan awam. Akta 234 telah digubal dengan memperuntukkan hukuman yang berat bagi kesalahan seperti yang dipertuduhkan terhadap tertuduh 2 sebagai langkah menangani masalah penyalahgunaan dadah yang semakin serius di negara ini.
25
Dalam kes Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] CLJU 252; [2004] 1 LNS 252; [2004] 4 MLJ 249, Mahkamah Rayuan telah mengulas mengenai keseriusan kes-kes berkaitan dadah seperti berikut: "... The Government and the legislature have taken very serious views in the abuse of usage of dangerous drugs. Drug addictions are rampant and the Government as well as the legislature have tried to curb these addictions especially amongst youths but met with little success. Death sentences and heavy penalties have been introduced but we find drug addicts everywhere. The addiction to drugs have led to other offences such as thefts, burglary and snatch thefts. Some of these offences lead to serious consequences….The seriousness of the offences on drugs have been made known since the seventies. Eminent judges have expressed this in so many cases."
26
Selanjutnya, Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwaraya lwn Saifulzainizam Mat Nasir [2021] 1 LNS 1074 turut menegaskan bahawa kesalahan berkaitan dadah merupakan kesalahan yang serius dan wajar dikenakan hukuman berat: “[16] We note that over the past decades the superior Courts have time and again emphasised the importance of passing deterrent sentences for drug offenders in view of the public interest element and the need to protect society from these offenders. We take judicial notice of the prevalence of this category of offences until today without any signs of abatement. [17] As far back as 1976, His Lordship Hashim Yeop A. Sani, J (as he then was) in PP v. Loo Choon Fatt [1976] 1 LNS 102, in a landmark judgment, after tracing the series of legislative amendments to the Dangerous Drugs Ordinance, 1952 enhancing the penalties prescribed therein, remarked that: "It is common sense to say that behind these legislative exercises was the government's realisation albeit gradual, of the problem of drug abuse in this country, the degenerating effect of the misuse of dangerous drugs and the attendant dangers it has posed to society itself. The amendments passed by Parliament therefore reflect the public policy. It must be presumed that behind the public policy is the consideration of public interest. The change in the attitude of the legislature itself during the last three years reflects the seriousness of the problem. In my view the Courts will not be performing their functions honestly if the seriousness of the situation is not reflected in the sentence imposed or if the sentence appears to defeat the object of the statute. This is not saying that the Courts in the treatment of drug offences should at all times be severe. Each case has to be determined on its own merits. But in every case the Courts must be realistic and rational." [See also Union of India v. Kuldeep Singh AIR [2004] SC 827]”
27
Berkaitan prinsip menjatuhkan hukuman mahkamah turut terpanggil untuk merujuk kes Mohamed Abdullah Ang Swee Kang v Public Prosecutor [1988] 1 MLJ 167, di mana Mahkamah Agong telah menyatakan mengenai prinsip penghukuman seperti berikut: “In assessing the length of custodial sentence, the court must look at the overall picture in perspective by considering, first, the gravity of the type of offence committed, secondly, the facts in the commission of the offence, thirdly, the presence or absence of mitigating factors, and further the sentences that have been imposed in the past for similar offences to determine the trend of sentencing policy, if any. The fact that a sentence of imprisonment is imposed as a deterrent does not justify the sentencer in passing a sentence of greater length than the facts of the case warrant. The gravity of the type of offence involved must be considered in the light of the particular facts of the offence.”
28
Pengakuan salah tertuduh 2 dalam kes ini melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta 234 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama, yang dengan jelas memperuntukkan bahawa sabitan bagi kesalahan yang melibatkan 200 gram atau lebih cannabis membawa hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada lima (5) tahun, serta hukuman sebatan tidak kurang daripada sepuluh (10) kali sebatan.
29
Berdasarkan kepada beratnya hukuman yang diperuntukkan, mahkamah berpendapat bahawa kesalahan ini adalah satu kesalahan yang serius dan oleh itu hukuman yang berat adalah wajar dikenakan. Ia bagi mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh 2 serta sebagai pengajaran kepada tertuduh 2 agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
30
Adalah menjadi satu prinsip yang mantap bahawa pengakuan salah boleh diambil kira sebagai faktor mitigasi dalam penentuan hukuman. Walau bagaimanapun, dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan awam, khususnya kesalahan berkaitan dadah, walaupun pengakuan salah telah direkodkan, mahkamah masih berkewajipan untuk memastikan hukuman yang dijatuhkan adalah tegas, berpadanan dan berfungsi sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, malah kepada masyarakat umum yang saban hari terdedah kepada kes-kes seumpama ini di media massa dan media sosial.
31
Dalam hal ini, mahkamah merujuk kepada kes Tia Ah Leng (supra) yang antara lain menyatakan: “It is true that the general rule is, when imposing a sentence, the court should take into consideration the fact that an accused person who has pleaded guilty be given certain credit and discount, but we are of the view that there are exceptions to this rule. In our opinion, one of these are the offences under the Dangerous Drugs Act 1952… Death sentences and heavy penalties have been introduced but we find drug addicts everywhere…”
32
Sehubungan dengan itu, mahkamah mengambil pendirian bahawa bagi kesalahan berat khususnya yang melibatkan dadah, kepentingan awam hendaklah mengatasi rayuan mitigasi yang bersifat peribadi, walaupun tertuduh telah mengaku bersalah.
33
Mahkamah juga telah merujuk kepada berapa kes duluan yang melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta 234 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta yang sama di mana mahkamah-mahkamah duluan telah memutuskan seperti berikut: No Nama Kes Berat Dadah Hukuman 1. PP v Chuks Nmandi [2017] MLJU 792 950 gram cannabis Mahkamah Rayuan: 15 tahun penjara dan 10 sebatan dikekalkan.
2
Khairil Anwar bin Abdul Rahim v Public Prosecutor [2016] MLJU 227 534.12 gram cannabis Mahkamah Rayuan: 12 tahun penjara dan 10 sebatan
3
Mohd Shaiful bin Saad v Public Prosecutor [2015] 3 MLJ 657 204.26 gram cannabis Mahkamah Rayuan: 13 tahun penjara dan 10 sebatan dikekalkan.
34
Berdasarkan kepada kes-kes duluan seperti yang telah dirujuk di atas, mahkamah mendapati kecenderungan hukuman yang dijatuhkan adalah hukuman penjara melebihi jumlah 10 tahun penjara dan juga dikenakan 10 sebatan.
35
Selain itu, mahkamah mengambil perhatian serius berkaitan jumlah dadah yang terlibat dalam kes ini. Berat dadah keseluruhan adalah 24,5341.2 gram iaitu hampir 26 kali ganda lebih berat dari hukuman-hukuman yang pernah dijatuhkan oleh mahkamah-mahkamah duluan sepertimana yang dirujuk di atas.
36
Akhir sekali, mahkamah turut mengambilkira peranan oleh tertuduh 2 yang menaiki kenderaan tersebut bersama-sama tertuduh 1. Tindakan tertuduh 2 melarikan diri sebaik kenderaan tersebut terbabas serta bertindak menyembunyikan diri menunjukkan pengetahuan tertuduh 2 berkaitan kewujudan dadah tersebut.
37
Setelah mengambil kira kesemua faktor-faktor dan prinsip undang-undang yang sedia ada, mahkamah ini berpandangan hukuman 18 tahun penjara bermula dari tarikh tangkap dan 10 kali sebatan yang dijatuhkan ke atas tertuduh 2 adalah wajar dan adil. Bertarikh: 18hb. Jun, 2026 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi Malaya Kangar, PERLIS Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : TPR Mohd Hadi Hakimi Bin Harun Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis Aras 3, Blok B, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, Persiaran Wawasan 01000 Kangar, Perlis Bagi Pihak Tertuduh Kedua : Encik Rafidi Bin Mohamad Tetuan Shamsudin Bahari & Rafidi Peguam Bela dan Peguam Cara No. K-5 Tingkat Atas Jalan Syed Sheikh, Pekan Baru 09100 Baling, Kedah Tarikh Keputusan : 10 April 2026 Undang-Undang Yang Dirujuk : Akta Dadah Berbahaya 1952 Kanun Keseksaan Kes-Kes Yang Dirujuk : Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] CLJU 252; [2004] 1 LNS 252; [2004] 4 MLJ 249 Pendakwaraya lwn Saifulzainizam Mat Nasir [2021] 1 LNS 1074 Mohamed Abdullah Ang Swee Kang v Public Prosecutor [1988] 1 MLJ 167 PP v Chuks Nmandi [2017] MLJU 792 Khairil Anwar bin Abdul Rahim v Public Prosecutor [2016] MLJU 227 Mohd Shaiful bin Saad v Public Prosecutor [2015] 3 MLJ 657
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.