Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN PERBICARAAN JENAYAH NO: BA-45A-55-04/2021 & 45A-60-04/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA …PENDAKWAAN DAN WAN MOHD EFIZAN BIN W. MOHD SHAMLI …TERTUDUH [NO. K/P: 880426-14-6081] PENDAHULUAN [ 1 ] Tertuduh dan isteri serta anak-anak kecil mereka tinggal di sebuah rumah sewa di No.6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang. Tertuduh dan isterinya Nurliza bt Abdullah (Tertuduh 2 / SP8) menduduki bilik utama rumah dan menyewakan 2 bilik lain kepada SP6 dan penama Amir Asrap. Pada tarikh 2.5.2020 lebih kurang jam 10.30 pagi rumah sewa Tertuduh telah diserbu oleh sepasukan polis yang telah membuat pemeriksaan di semua bilik-bilik rumah tersebut. [ 2 ] Hasil pemeriksaan polis dan pandu arah di dalam bilik tidur Tertuduh dan isterinya, dadah jenis Methamphetamine telah dijumpai di atas meja solek seberat 28.59 gram dan di dalam almari pakaian seberat 151.60 gram. [ 3 ] Hasil siasatan, Tertuduh telah dituduh di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB 1952”) – P2 dan bersama isterinya dituduh di bawah seksyen 12(2) / 39A(1) ADB 1952 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan - (P4) seperti berikut – BA-45A-55-04/2021 (Tertuduh) – P2 “Bahawa kamu pada 2 Mei 2020 jam lebih kurang 10.30 pagi, bertempat di No.6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang di dalam Daerah Sepang, di dalam negeri Selangor, telah mengedar dadah berbahaya seberat 151.60 gram Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama.” BA-45A-60-04/2021 (Tertuduh dan Nurliza bt Abdullah – SP8) – P4 “Bahawa kamu bersama-sama pada 2 Mei 2020 jam lebih kurang 10.30 pagi, bertempat di No.6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang di dalam Daerah Sepang, di dalam negeri Selangor, telah didapati memiliki dadah berbahaya seberat 28.69 gram Methamphetamine. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.” [ 4 ] Sebelum perbicaraan kes dimulakan pada 20.2.2022, Tertuduh 2 Nurliza bt Abdullah telah menukar pengakuannya dan mengaku salah kepada pertuduhan di bawah seksyen 12(2) / 39A(1) ADB 1952. Mahkamah mendapati Tertuduh 2 telah membuat pengakuan salah tanpa syarat dan menerima pengakuan tersebut lalu mensabitkan Tertuduh 2 dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkap. [ 5 ] Perbicaraan terhadap Tertuduh diteruskan dan di akhir kes pembelaan Tertuduh telah disabitkan dengan dua pertuduhan tersebut dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan di bawah seksyen 39B(2) ADB 1952 (P2) dan penjara lima tahun serta 3 sebatan bagi seksyen 12(2) / 39A(1) Akta yang sama (P4). Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap. Tertuduh tidak berpuas hati dan merayu terhadap keputusan tersebut. KES PENDAKWAAN [ 6 ] Pihak pendakwaan memanggil 9 saksi untuk membuktikan pertuduhan terhadap Tertuduh seperti berikut – SP1: Lans Koperal Siti Nurbalkis binti Ideris - jurustor; SP2: Dr. Nur Nazihah binti Md Shahari – Ahli Klmia; SP3: Asma Hatun binti Abdul Rahman – tuan rumah; SP4: Lans Koperal Muhamad Hazeem bin Alias; SP5: Jayasilan a/l Sinnathurai – Ahli Kimia; SP6: Mohd Hafiz bin Abdul Latif – saksi awam; SP7: Inspektor Muhammad Firdaus bin Ashaari – pegawai serbuan; SP8: Norliza binti Abdullah – isteri Tertuduh; dan SP9: Inspektor Mardiah binti Mohamed – pegawai penyiasat. [ 7 ] Secara ringkas, pada 2.5.2020 lebih kurang jam 10.30 pagi, berdasarkan maklumat, Pengadu Inspektor Muhammad Firdaus bin Ashaari (“SP7”) yang pada material bertugas sebagai Inspektor Operasi, Bahagian Siasatan Narkotik, IPK Negeri Sembilan bersama pasukannya telah membuat pemerhatian dan intipan ke atas sebuah rumah beralamat No.6, Jalan Sri Bayu, Taman Sri Bayu, Sungai Pelek, Sepang (“rumah tersebut”). Ini merupakan kedatangan kali kedua selepas risikan dibuat lebih awal. [ 8 ] Rumah tersebut jenis setingkat, dengan pintu yang bergril di depan dan belakang dengan tingkap bertutup. SP7 mendengar suara orang bercakap dari dalam bilik hadapan. SP7 meletakkan anggota di belakang rumah untuk kawalan dan bersama lain-lain anggota telah mengetuk pintu berkali-kali, memperkenalkan diri dan meminta penghuni rumah memberi kerjasama. Apabila tiada respon dari penghuni rumah, SP7 telah mengarahkan anggotanya menggunakan alat hydraulic untuk memotong mangga gril dan selepas itu menendang pintu rumah. [ 9 ] Setelah pintu terbuka, SP7 dan pasukannya memasuki rumah tersebut. SP7 dan Koperal Samad telah memasuki bilik nombor 1 dan lain-lain anggota diarahkan memeriksa bilik nombor dua dan tiga. Dalam bilik nombor satu, SP7 mendapati terdapat satu lelaki Melayu (Tertuduh) dan 1 perempuan Melayu (SP8/Tertuduh 2) sedang baring di atas katil. [ 10 ] SP7 memperkenalkan diri polis dan secara tiba-tiba Tertuduh telah bergelut dengan polis dan cuba melarikan diri. Tertuduh dapat ditahan dan pemeriksaan dalam bilik tersebut polis telah menjumpai beberapa barang kes disyaki dadah di atas meja solek yang dirampas. Tertuduh dan SP8 telah dibawa ke luar bilik dan diarahkan duduk di kerusi meja makan. Lain-lain penghuni biik nombor dua dan tiga juga dikumpulkan di situ selepas pemeriksaan dibuat. [ 11 ] Setelah soal-siasat dibuat ke atas Tertuduh, SP7 telah dipandu arah oleh Tertuduh ke dalam bilik nombor satu semula dan mengambil satu bungkusan plastik warna kuning dari dalam almari pakaian yang didapati mengandungi peket-peket plastik disyaki dadah berbahaya. Barang kes dadah juga dijumpai di dalam bilik ketiga yang dihuni oleh penama Amir Asrap. [ 12 ] Tertuduh, SP8 dan Amir Asrap bersama barang rampasan telah dibawa ke Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Sepang, Selangor untuk urusan dokumentasi dan penyerahan kepada Pegawai Penyiasat. Penghuni bilik nombor dua tidak ditahan kerana tiada barang salah dijumpai di dalam bilik tersebut. Tertuduh dan SP8 diserah kepada Inspektor Mardiah binti Mohamed sebagai Pegawai Penyiasat (SP9). Tangkapan Amir Asrap disiasat secara berasingan. [ 13 ] Barang kes dadah telah dihantar untuk analisa oleh Ahli Kimia SP2 dan didapati mengandungi dadah jenis Methamphetamine dengan berat bersih 28.59 gram (meja solek) dan di dalam almari pakaian seberat 151.60 gram. Barang kes dalam bungkusan plastik kuning dari dalam almari dan di atas meja solek bilik Tertuduh dikemukakan sebagai P9(1)(A) hingga (C), P14A(1-8), P15A(1), P16A(1) hingga (4), P16C(1) hingga (4), P16E(1) hingga (4), P16G(1) hingga (4) (secara kolektif dirujuk sebagai “dadah dalam almari” atau “dadah atas meja solek”). ANALISA KES PENDAKWAAN [ 14 ] Di akhir kes pendakwaan, mahkamah perlu memutuskan sama ada pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie atas pertuduhan terhadap Tertuduh. Dalam membuat keputusan ini mahkamah hendaklah membuat penilaian maksima semua keterangan yang telah dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan semua elemen pertuduhan terhadap Tertuduh. Lihat kes-kes PP v Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 6 MLJ 393; Looi Kow Chai & Anor v. PP [2003] 2 MLJ 65; Balachandran v. PP [2005] 1 CLJ 85. [ 15 ] Elemen-elemen yang perlu dibuktikan bagi kes BA-45A-55- 04/2021 (P2) iaitu pertuduhan mengedar dadah terhadap Tertuduh dalam kes ini ialah – a. Dadah tersebut adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta tersebut; b. Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea); dan c. Tertuduh telah mengedar dadah tersebut; Sementara bagi pertuduhan BA-45A-60-04/2021 (P4) terhadap Tertuduh dan SP8 adalah seperti berikut – a. Dadah tersebut adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta tersebut; b. Tertuduh dan SP8 mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea); dan c. Tertuduh dan SP8 mempunyai niat bersama seperti diperuntukkan di bawah seksyen 34 Kanun Keseksaan. Pertuduhan BA-45A-55-04/2021 (P2) mengedar dadah (Tertuduh) Elemen pertama – dadah Methamphetamine adalah sejenis dadah yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Akta tersebut: [ 16 ] Elemen ini telah dibuktikan melalui keterangan bertulis PSP2 dan keterangan lisan Ahli Kimia SP2 serta laporan kimia P25 yang disediakannya. Analisa kimia yang dijalankan oleh SP2 kemudiannya mengesahkan jenis dadah adalah Methamphetamine dengan berat bersih 28.59 gram bagi dadah atas meja solek dan 151.60 gram bagi dadah dalam almari. Tiada cabaran serius terhadap keterangan SP2 berkaitan hasil analisa. Mahkamah menerima hasil analisa dan keterangan SP5 selaras prinsip dalam kes Munusamy Vengadasalam v PP [1987] 1 CLJ 250 dan Tarmizi bin Yaacob dan satu lagi v PP [2006] 4 CLJ 472, [2006] 6 MLJ 197 (Mahkamah Rayuan). Elemen pertama telah dibuktikan. Elemen kedua - Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan dan pengetahuan terhadap dadah tersebut (milikan mens rea). [ 17 ] Rumah tempat kejadian adalah milik SP3 yang telah menyewakan rumah itu kepada Tertuduh berdasarkan perjanjian sewa rumah P17. SP3 telah memberi 1 set kunci kepada Tertuduh sahaja. SP3 pernah lihat orang lain tinggal bersama Tertuduh iaitu satu perempuan dan dua lelaki dewasa. Menurut SP3 tiada sesiapa telah menuntut apa-apa dari rumah itu selepas Tertuduh dan SP8 ditahan polis. [ 18 ] SP5, Ahli Kimia DNA bersama laporan kimia P35 (barang kes P36A hingga K) diambil dari bilik dan tandas Tertuduh mendapati hanya satu profil DNA yang tidak konklusif, lain-lain profil DNA didapati adalah campuran DNA SP8 dan Tertuduh. Kehadiran DNA Tertuduh dan SP8 mengesahkan mereka adalah penghuni bilik tersebut. [ 19 ] SP6 yang menghuni bilik kedua bersama isteri, anaknya dan rakan isterinya baru seminggu tinggal di rumah itu. SP6 mengesahkan hanya Tertuduh dan SP8 tinggal di bilik pertama dan SP6 serta keluarga tidak pernah memasuki bilik tersebut. SP6 juga menyatakan sepanjang pengetahuannya bilik ketiga dihuni oleh Amir Asrap seorang diri. [ 20 ] Pegawai serbuan SP7 dan pasukannya telah ke tempat kejadian selepas menerima maklumat tentang pengedaran dadah. Setelah mendekati pintu utama rumah, SP7 mendengar suara lelaki dan perempuan bercakap dari dalam bilik hadapan. SP7 mengetuk pintu, jerit polis dan meminta penghuni beri kerjasama. Setelah tidak mendapat maklum balas, SP7 mengarahkan agar mangga pintu gril dipotong dan masuk ke dalam rumah tersebut. SP7 dan satu anggota masuk ke dalam bilik hadapan dan mendapati seorang lelaki (Tertuduh) dan perempuan (SP8) di atas katil dalam keadaan takut. [ 21 ] Terdapat keterangan perbuatan yang relevan di bawah seksyen 8 Akta Keterangan 1950 berkaitan Tertuduh dalam dua keadaan –