Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA WRIT NO.: WA-23NCvC-51-07/2025
WA-23NCvC-51-07/2025
High Court of Malaysia16 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, MALAYSIA WRIT NO.: WA-23NCvC-51-07/2025
1
JEVENA BRAVO (No. K/P: 100108-01-0250, Pasport A56690153) [seorang kanak-kanak yang mendakwa melalui bapanya SRINIWASA A/L ATHANARIAN (No. K/P: 810814-08-6347) yang bertindak sebagai wakil litigasi untuk kanak-kanak yang dinamakan di atas]
2
SRINIWASA A/L ATHANARIAN (No. K/P: 810814-08-6347) ... PLAINTIF-PLAINTIF DAN DEEVARAJ A/L LOGANATHAN (No. K/P:901005-02-5871) ... DEFENDAN
1
Ini adalah permohonan Defendan untuk tuntutan Plaintif-Plaintif bertarikh 07.07.2025 dibatalkan. Permohonan ini adalah di bawah Aturan 18 kaedah 19(1)(a), (b), (c) dan (d).
2
Asas kepada permohonan ini adalah Plaintif Kedua tidak mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan bagi pihak Plaintif Pertama. Plaintif tiada kausa tindakan terhadap Defendan. Ia adalah remeh dan menyusahkan. Di samping itu ia juga menghalang dan melengahkan perbicaraan. Tuntutan Plaintif juga adalah mala fide.
3
Penelitian kepada afidavit sokongan Defendan menunjukkan bahawa Defendan adalah pengawal peribadi yang memastikan keselamatan seorang Sathya dan Plaintif Pertama. Ini adalah disebabkan Plaintif Kedua dikatakan mempunyai sejarah penderaan dan keganasan rumahtangga yang panjang terhadap Sathya.
4
Plaintif Kedua adalah bapa kepada Plaintif Pertama kanak-kanak. TIndakan Plaintif Pertama dan Kedua terhadap dakwaan bahawa Defendan telah melakukan tindakan tidak senonoh kepada Plaintif Pertama kanak-kanak.
5
Defendan menyatakan dalam afidavit sokongan ia adalah rekaan Plaintif-Plaintif semata-mata. Dia tidak pernah menyentuh kanakkan tersebut. Ini ditambah pula tiada laporan polis dibuat oleh Plaintif-Plaintif berkenaan kejadian tersebut. Tuntutan ini menurut Defendan adalah tindakan membalas dendam dan tekanan terhadap Sathya yang terlibat dalam prosiding keganasan rumahtangga dan perceraian yang sedang berjalan melibatkan Sathya dan Plaintif Kedua.
6
Pada masa yang sama Plaintif Kedua dikatakan tiada locus standi kerana Sathya ibu kandung, adalah penjaga sah dan orang yang bertanggungjawab berkenaan Plaintif Pertama dan bukannya Plaintif Kedua.
7
Plaintif Pertama telah memfailkan afidavit sokongan permohonan ini yang mengesahkan bahawa dia adalah di bawah jagaan dan pemeliharaan ibu kandungnya Sathya. Plaintif Pertama menyatakan dia tidak pernah disentuh atau diperlakukan tidak senonoh oleh Defendan. Malahan Plaintif Pertama tidak selesa apabila sering diintip kegiatannya oleh Plaintif Kedua. Plaintif Pertama berasa takut dan terancam ketika berada bersama dengan Plaintif Kedua.
8
Sathya ibu kepada Plaintif Pertama juga memfailkan afidavit sokongan dan menyatakan tindakan ini oleh Plaintif Kedua telah menjejaskan emosi Plaintif Pertama. Plaintif Kedua bukannya penjaga Plaintif Pertama yang sah. Dia tiada hak untuk bertindak bagi pihak Plaintif Pertama.
9
Sathya juga mengesahkan bahawa dia telah melantik Defendan sebagai pengawal peribadi untuk menjaga keselamatan dan anak-anaknya termasuk Plaintif Pertama. Ia adalah disebabkan sejarah penderaan rumahtangga yang dilakukan oleh Plaintif Kedua. Sathya juga telah mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan penderaan yang dilakukan oleh Plaintif Kedua. Dia juga mengesahkan Defendan tidak pernah menyentuh Plaintif Kedua atau membuat tindakan tidak senonoh ke atas Plaintif Pertama.
10
Plaintif Kedua di dalam afidavit jawapannya menafikan terlibat dalam penderaan keluarga. Plaintif Kedua menyatakan Defendan adalah pemandu yang digajikan oleh Sathya. la adalah tidak wajar dan mendedahkan Plaintif Pertama kepada tindakan Defendan yang membahayakan keselamatan Plaintif Pertama.
11
Plaintif Kedua mengatakan ketiadaan laporan polis berkaitan dengan tindakan Defendan adalah disebabkan Plaintif Kedua ingin memperolehi remedi sivil terlebih dahulu. Ia juga bagi menjaga emosi Plaintif Pertama sebagai seorang kanak-kanak. Plaintif Kedua mengatakan bahawa tindakan ini bukannya untuk membalas dendam kepada mana-mana pihak.
12
Defendan boleh mengemukakan permohonan untuk Mahkamah membatalkan suatu tindakan Plaintif. Ia bertujuan untuk Defendan tidak terus terlibat dengan tindakan sedangkan tindakan itu difailkan tanpa kausa tindakan, penyalahgunaan proses Mahkamah atau tindakan yang remeh atau menyusahkan.
13
Prinsip undang-undang berkenaan di dalam keadaan bagaimana suatu tindakan itu perlu dibatalkan atau sebaliknya telah diputuskan oleh Mahkamah atasan. Mahkamah Agung dalam kes Bandar Builder Sdn. Bhd. v. United Malayan Banking Corp Bhd [1993] 3 MLJ 36 telah memutuskan bahawa selagi pliding dapat menunjukkan terdapatnya kausa tindakan atau telah ditimbul isu untuk diputuskan oleh Mahkamah walaupun ia adalah satu kes yang lemah dan berkemungkinan tidak akan berjaya semasa perbicaraan bukannya alasan untuk membatalkan pliding.
14
Selain daripada itu dalam kes ini Mahkamah pula meneliti pliding yang difailkan bagi menentukan sama ada pliding boleh di bawah Aturan 18 kaedah 19(1)(a) dengan tidak menerima semata-mata kebenaran dakwaan yang dikemukakan oleh Plaintif. Pendekatan ini dinyatakan dalam Indah Desa Saujana Corp. Sdn. Bhd. & Ors v. James Foong Chen Yuen, High Court Malaya [2008] 2 MLJ 11.
15
Penelitian afidavit-afidavit pihak-pihak bersekali dengan pliding adalah didapati tindakan Plaintif ini adalah melibatkan tindakan Defendan terhadap Plaintif Pertama. Ia telah dinafikan oleh Defendan disokong dengan afidavit Plaintif Pertama dan Sathya. Adakah ini memadai untuk mengatakan bahawa Plaintif-Plaintif tiada kausa tindakan terhadap Defendan? Apa yang jelas dakwaan Plaintif Kedua dan Defendan ini memerlukan penelitian ketika perbicaraan. Ia tidak boleh diselesaikan dengan hanya berdasarkan kepada afidavit pihak-pihak pada peringkat ini.
16
Mahkamah juga berpendapat tindakan Plaintif Kedua memfailkan tindakan ini tidak termasuk penyalahgunaan proses seperti dalam kes Jasa Keramat Sdn Bhd v. Monatech (M) Sdn. Bhd. [1999] 4 MLJ 637. Ini adalah disebabkan di dalam kes ini Defendan menyatakan bahawa terdapat prosiding perceraian dan keganasan rumahtangga yang melibatkan Plaintif Kedua. Adakah dengan memfailkan tindakan ini di Mahkamah ini ia adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah?
17
Jika diamati kes Jasa Keramat (supra) adalah didapati sebelum tindakan dalam kes tersebut difailkan telah terdapat tindakan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi untuk satu injuksi mareva, terdapat tindakan Saman Pemula untuk menghalang penimbangtara meneruskan timbangtara. Seterusnya tindakan untuk menggantung prosiding di dalam tindakan tersebut pada masa yang sama telah direkodkan penghakiman persetujuan. Oleh itu dalam kes tersebut Mahkamah berpendapat ia adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah dan tindakan itu dibatalkan.
18
Sebaliknya, dalam kes ini tiada petanda yang menunjukkan bahawa tindakan ini adalah untuk menghalang prosiding yang sedang berjalan iaitu prosiding perceraian dan keganasan rumahtangga yang melibatkan Plaintif Kedua. Apa yang ada hanyalah dakwaan Defendan sahaja. Ia tidak membolehkan Mahkamah ini memutuskan bahawa adanya penyalahgunaan proses Mahkamah yang boleh menyebabkan Mahkamah membatalkan tuntutan ini.
19
Apa yang perlu dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam kes ini bahawa afidavit Plaintif Pertama, Sathya yang mengatakan bahawa Defendan tidak pernah menyentuh atau berkelakuan tidak senonoh kepada Plaintif Pertama adalah jelas dan nyata Plaintif-Plaintif tiada kausa tindakan terhadap Defendan. Ini adalah keterangan utama berkenaan tuntutan ini telah menafikan kejadian tersebut. Pada hemat Mahkamah ia adalah dakwaan Plaintif perkara yang tidak membolehkan ianya dijadikan asas untuk membatalkan tindakan ini. la perlu diputuskan oleh Mahkamah ketika perbicaraan kelak.
20
Akhir, setelah meneliti afidavit-afidavit pihak-pihak, menunjukkan pihak-pihak Mahkamah ini berpendapat adalah tidak sesuai untuk kes ini dibatalkan di bawah Aturan 18 kaedah 19(1)(a), (b), (c) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Permohonan ini ditolak dengan kos. Bertarikh: 22hbMei 2026 ROSLAN BIN MAT NOR HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA KUALA LUMPUR Peguam Bagi Pihak: Sreedhara Naidu Plaintif-Plaintif (Tetuan Naidu Chambers) Peguam Bagi Pihak : Chan Wai Yeen Defendan S. Santhi (Tetuan Karmen, Yeen, Kim & Co)
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.