Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-37-11/2023
DA-12B-37-11/2023
High Court of Malaysia19 Feb 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO: DA-12B-37-11/2023
1
KHAIRUL ASRAF BIN KAMARUDIN (NO. K/P: 060226-03-0873) (Seorang kanak-kanak yang mendakwa melalui sahabat wakil dan BAPA yang sah,
2
MOHAMAD FAEZUDDIN BIN ISMAIL (NO. K/P: 051102-03-0041) (Seorang kanak-kanak yang mendakwa melalui sahabat wakil dan BAPA yang sah,
3
KAMARUDDIN BIN HUSSIN
4
HAMDAN BIN IBRAHIM
5
ISMAIL BIN MAT HUSSIN
6
MOHD AYOB BIN MOHAMAD (NO. K/P: 690911-03-5775) … PERAYU-PERAYU DAN MUHAMAD MUSTAQIM BIN ZULKEFLEE (NO. K/P: 940623-03-5357) … RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Ini adalah rayuan perayu-perayu (plaintif-plaintif) terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (HMS) yang bijaksana berkenaan liabiliti dan kuantum bagi satu tuntutan gantirugi kemalangan jalan raya. Bagi maksud alasan penghakiman ini, pihak-pihak akan dirujuk sebagai plaintif dan defendan sebagaimana kedudukan mereka dalam prosidng di Mahkamah Sesyen. Latar Belakang [2] Satu kemalangan jalan raya telah berlaku pada 14.06.2019 lebih kurang pukul 10.50 malam di Kampung Bukit Tok Ali iaitu di KM 31 Jalan Jeli - Dabong di antara plaintif-plaintif dengan defendan di mana plaintif pertama menunggang motosikal No. PCV 7163, plaintif kedua menunggang motosikal No. DCJ 9721 manakala defendan pula memandu motokar WSJ 2587. [3] Semasa kemalangan, plaintif pertama dan plaintif kedua adalah seorang kanak-kanak yang masing-masing berusia 13 tahun dan 14 tahun. [4] Oleh kerana plaintif-plaintif adalah kanak-kanak, pihak defendan telah membawa prosiding pihak ketiga terhadap pihak ketiga pertama sehingga pihak ketiga keempat atas kapasiti mereka sebagai bapa dan pemilik motosikal-motosikal yang ditunggang oleh plaintif pertama dan plaintif kedua. [5] Di akhir perbicaraan di Mahkamah Sesyen, HMS yang bijaksana telah memutuskan seperti berikut secara ringkasnya:
i
Plaintif pertama dan plaintif kedua bertanggungan sebanyak 60%, defendan bertanggungan sebanyak 40% dan pihak ketiga-pihak ketiga bertanggungan 100% dalam kemalangan tersebut;
II
(ii) Atas kiraan 100% liabiliti, Gantirugi Am kecederaan Plaintif Pertama ialah sebanyak RM331,000.00 dan Gantirugi Khas sebanyak RM139,743.00 manakala Gantirugi Am kecederaan Plaintif Kedua ialah sebanyak RM75,000.00 dan Gantirugi Khas sebanyak RM8,550.00; Keputusan penuh HMS adalah sebagaimana penghakiman bertarikh 31.10.2023 di dalam Rekod Rayuan Tambahan II (k.15) muka surat 6-13. [6] Tidak berpuas hati dengan keputusan HMS yang bijaksana tersebut, plaintif-plaintif telah merayu ke Mahkamah ini berkenaan liabiliti dan sebahagian kuantum. Defendan juga mengemukakan rayuan balas terhadap liabiliti dan sebahagian kuantum. [7] Mahkamah ini, setelah meneliti rekod-rekod rayuan, hujahan-hujahan serta autoriti-autoriti kedua-dua pihak telah memutuskan seperti berikut:-
i
Dari segi liabiliti, Mahkamah ini menolak rayuan plaintif-plaintif tetapi membenarkan rayuan balas defendan. Keputusan HMS yang menetapkan liabiliti plaintif-plaintif sebanyak 60% dan Defendan 40% adalah diketepikan. Defendan tidak menanggung sebarang liabiliti dalam kemalangan tersebut. Sehubungan dengan itu juga pihak-pihak ketiga juga tidak bertanggungan terhadap defendan dalam kemalangan tersebut.
II
(ii) Dari segi kuantum pula, Mahkamah ini hanya membenarkan sebahagian rayuan plaintif-plaintif berkenaan 2 perkara seperti berikut:-
a
Ganti rugi am bagi plaintif pertama berkenaan kecederaan “Open comminuted fracture midshaft right femur” telah dinaikkan daripada award HMS sebanyak RM50,000.00 kepada RM60,000.00; dan
b
Ganti rugi am bagi plaintif kedua berkenaan kecederaan “closed comminuted fracture proximal 3rd right femur midshaft right femur” telah dinaikkan daripada award HMS sebanyak RM30,000.00 kepada RM50,000.00;
III
(iii) Semua rayuan balas defendan berkenaan kuantum adalah ditolak menurut prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Kabushiki Kaisha Ngu V. Leisure Farm Corporation Sdn Bhd & Ors [2016] 6 MLRA 373 kerana perkara-perkara yang dirayu balas oleh defendan tersebut tidak terdapat dalam rayuan asal plaintif-plaintif. [8] Plaintif-plaintif yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah ini telah merayu kepada Mahkamah Rayuan berkenaan isu liabiliti sahaja. Oleh itu alasan penghakiman ini hanya berkisar tentang liabiliti sahaja. Isu liabiliti pihak-pihak [9] HMS yang bijaksana telah mendengar keterangan langsung kesemua saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini. Namun daripada keseluruhan keterangan saksi-saksi yang ada, HMS yang bijaksana telah mengatakan seperti berikut dalam perenggan 7 khususnya sub-perenggan (c) dan (d) alasan penghakimannya di mukasurat 18 Rekod Rayuan tambahan II (Kandungan No. 15):- Perenggan 7. “Meskipun kedua-dua pihak memberikan versi yang berbeza, Mahkamah ini setelah mendengar dan meneliti keterangan dan hujahan mendapati dan berpendapat bahawa Plaintif-Plaintif berkecuaian 60%, manakala Defendan berkecuaian 40% berdasarkan fakta-fakta berikut:-
c
Mahkamah mendapati bahawa kenderaan-kenderaan terlibat berakhir di laluan masing-masing, dan begitu serpihan-serpihan kenderaan-kederaan terlibat. Mahkamah tidak dapat membuat dapatan kenderaan yang mana yang mencerobohi laluan bertentangan tetapi kemalangan berkemungkinan besar berlaku di tengah-tengah laluan antara laluan motokar dan laluan motorsikal-motorsikal.
d
Sebagai penunggang motosikal, Plaintif-Plaintif hendaklah menunggang hampir ke garisan kiri jalan kecuali memotong. Kesan-kesan kemalangan di tempat kejadian menunjukkan bahawa jika benar motokar yang menceroboh laluan motorsikal sekalipun, kemalangan tidak akan berlaku kecuali motorsikal-motosikal ditunggang hampir dengan garisan tengah jalan. Bagaimana pun, seperti yang dinyatakan sebelum ini Mahkamah ini tidak dapat membuat dapatan pihak mana yang menceroboh laluan bertentangan. Penekanan ditambah [10] Bagi memudahkan rujukan, diperturunkan di sini lakaran rajah kasar tempat kejadian serta tandaan-tandaan yang dibuat oleh saksi-saksi seperti berikut:- Tandaan-Tandaan: O = Tandaan oleh SP4 (Plaintif 1) sebagai tempat kemalangan berlaku. P = Tandaan oleh SP4 (Plaintif 1) sebagai kedudukan motosikalnya sejurus sebelum kemalangan. Y = Tandaan oleh SP5 (Plaintif 2) sebagai tempat kemalangan berlaku. S = Tandaan oleh SP5 (Plaintif 2) sebagai kedudukan motosikalnya sejurus sebelum kemalangan. E1 - Tandaan oleh SP5 (Plaintif 2) sebagai tempat dia jatuh/berada selepas kemalangan. E2 - Tandaan oleh SP5 (Plaintif 2) sebagai tempat Plaintif 1 jatuh/berada selepas kemalangan. E3 - Tandaan oleh SP5 (Plaintif 2) sebagai tempat motosikal dia jatuh/berada selepas kemalangan. X = Titik kemalangan menurut SP1 (Pegawai Penyiasat). Z = Tandaan oleh SP3 berkenaan kedudukan motosikal Plaintif 2. M= Tandaan oleh SD1 (Defendan) sebagai tempat kemalangan antara motokarnya dengan motosikal Plaintif 1. Petikan keterangan SP1 (Pegawai Penyiasat). [11] SP1 (Pegawai Penyiasat) semasa pemeriksaan utama mengatakan bahawa dari hasil siasatannya, kemalangan berlaku di tengah garisan jalan. Kemudian semasa disoal balas, dia mengatakan bahawa kemalangan berlaku dalam laluan motokar myvi (motokar defendan) iaitu di tempat bertanda “X” dalam lakaran rajah kasar dan akhir sekali semasa disoal semula, dia mengatakan bahawa kemalangan bermula di tengah jalan dan membawa ke laluan motokar myvi. [12] SP1 juga memberi keterangan bahawa di tempat kejadian terdapat serpihan-serpihan dari rangka motosikal. Ada 2 buah motosikal terlibat dan bahagian komponen motosikal telah remuk habis berteraburan di atas jalan raya di kedua-dua bahagian jalan. SP1 walau bagaimanapun tidak melukis serpihan komponen motosikal tersebut dalam lakaran rajah kasar kerana dia percaya serpihan-serpihan tersebut telah dialihkan oleh orang awam kerana takut membahayakan pengguna jalan raya yang lain yang datang dari kedua-dua arah memandangkan kawasan tersebut adalah satu kawasan selekoh yang gelap. [13] SP1 kemudiannya telah merumuskan bahawa kemalangan tersebut telah berlaku di kawasan bertanda “X” dalam lakaran rajah kasar iaitu dalam laluan defendan berdasarkan kerosakan pada motosikal-motosikal dan kesan minyak di kawasan bertanda “D” dalam laluan motokar myvi defendan (di sepanjang D1 - D2) dalam lakaran rajah kasar. Petikan Keterangan SP4 (Plaintif 1) [14] Plaintif 1 (SP4) semasa memberi keterangan telah membuat penandaan “O” sebagai tempat kemalangan dan “P” sebagai tempat kedudukan motosikalnya sejurus sebelum kemalangan dalam lakaran rajah kasar. [15] Semasa disoal balas, SP4 memberi keterangan bahawa dia dan motosikalnya terjatuh dan terseret di laluan menghala Kuala Balah dan jatuh berhampiran dengan kawasan bertanda “B1” dalam lakaran rajah kasar. [16] Apabila dirujuk kepada lakaran rajah kasar, SP4 bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kemalangan berlaku dekat dengan kawasan bertanda “D1” dalam lakaran rajah kasar. [17] Selanjutnya dengan merujuk kepada lakaran rajah kasar juga, SP4 juga mengatakan dia faham bahawa “D1” tersebut adalah kesan minyak yang bermula di laluan kereta defendan. [18] Semasa disoal semula, SP4 mengatakan bahawa “D1” adalah tempat bermulanya kesan minyak hitam dan “D2” tempat ia berakhirnya. [19] Semasa disoal semula juga, SP4 mengatakan bahawa dia dilanggar di kawasan bertanda “O” dan selepas itu kereta defendan masuk ke laluan bertanda “D1” semula. Dan akhir sekali SP4 mengatakan bahawa kereta defendan telah melanggar dia di tengah-tengah jalan dan selepas itu kereta defendan membelok semula ke laluan defendan. Petikan keterangan SP5 (Plaintif 2) [20] SP5 telah membuat tandaan-tandaan berikut pada lakaran rajah kasar: - Tandaan “Y” sebagai tempat kemalangan berlaku. - Tandaan “S” sebagai kedudukan motosikalnya sejurus sebelum kemalangan berlaku. - Tandaan “T1” sebagai tempat dia jatuh atau berada selepas kemalangan. - Tandaan “T2” sebagai tempat plaintif 1 jatuh. - Tandaan “T3” sebagai tempat motosikal dia jatuh atau berada selepas kemalangan. [21] Semasa disoal utama, SP5 mengatakan bahawa kereta myvi telah melanggar Ashraf (plaintif 1) di Lorong SP5, selepas itu kereta tersebut melanggar SP5 pula dan kemudiannya berpusing semula ke laluan kereta tersebut. Selepas kemalangan, SP5 nampak kereta tersebut berada di belakang SP5 dalam jarak 40 meter. [22] Semasa disoal balas, SP5 mengatakan bahawa dia mula-mula nampak lampu kereta tersebut dalam jarak 30 - 40 kaki dan pada masa itu kereta tersebut berada dalam laluan defendan. Kereta tersebut telah masuk ke laluan SP5 dalam jarak 15 - 20 kaki dari SP5. SP5 bersetuju bahawa kawasan kemalangan tersebut adalah kawasan selekoh tajam. SP5 tidak bersetuju bahawa kereta tersebut hanya melanggar Ashraf (plaintif 1) tetapi tidak melanggar SP5. Petikan keterangan SD1 (Defendan) [23] SD1 membuat tandaan “M” pada lakaran rajah kasar sebagai tempat berlaku kemalangan antara motokarnya dengan motosikal PCV 7163 (motosikal plaintif 1). [24] SD1 memberi keterangan bahawa selepas motokarnya berlanggar dengan motosikal PCV 7163 (motosikal plaintif 1), motosikal tersebut telah terbabas ke sebelah kanan jalan dan melanggar satu lagi motosikal yang berada di belakangnya (motosikal plaintif 2). [25] SD1 tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa dalam mengambil selekoh ke kanan, dia telah memasuki ke laluan bertentangan dan telah melanggar kedua-dua buah motosikal tersebut. Hujahan peguam-peguam [26] Secara ringkasnya, kedua-dua pihak peguam plaintif dan defendan telah menghujahkan bahawa berdasarkan keseluruhan keterangan yang ada, pihak yang bertentangan sepatutnya menanggung 100% liabiliti dalam kemalangan tersebut. Sebagai tambahan peguam defendan turut menghujahkan bahawa pihak-pihak ketiga juga sepatutnya menanggung 100% liabiliti dalam kemalangan tersebut. Analisis dan dapatan Mahkamah [27] Pertamanya, Mahkamah ini mengambil ingatan daripada prinsip yang dinyatakan dalam kes-kes Ng Hoo Kui & Anor v. Wendy Tan Lee Peng, Administrator Of The Estates Of Tan Ewe Kwang, Deceased & Ors [2020] 10 CLJ 1; [2020] 12 MLJ 67 (FC); [2020] 8 AMR 22 dan Lee Hock Lai v. Yeoh Wah Pein [1998] 5 MLRH 207; [1999] 5 MLJ 172 bahawa mahkamah yang mendengar suatu rayuan tidak sepatutnya terlalu cepat untuk mencampuri keputusan mahkamah perbicaraan melainkan terdapat kesilapan yang nyata (plainly wrong) di pihak hakim perbicaraan dalam mencapai keputusannya. [28] Daripada petikan-petikan keterangan saksi-saksi di atas berkenaan kejadian kemalangan tersebut, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS yang bijaksana bahawa versi kejadian menurut pihak-pihak adalah sangat berbeza. [29] Mahkamah ini juga bersetuju dengan dapatan HMS yang bijaksana bahawa keterangan SP2 dan SP3 iaitu bapa plaintif 1 dan bapa plaintif 2 adalah merupakan saksi yang berkepentingan. Walau bagaimana pun Mahkamah ini berpendapat bahawa keterangan saksi berkepentingan tidak seharusnya ditolak secara terus. Ia masih boleh dipertimbangkan oleh mahkamah dengan cara yang sangat berhati-hati. Mahkamah ini tidak memberi perhatian serius kepada keterangan-keterangan SP2 dan SP3 memandangkan kedua-dua mereka hanya tiba di tempat kejadian selepas kemalangan berlaku dan mereka hanya berada sekejap sahaja di tempat kejadian sebelum pergi ke hospital. [30] Dalam kes ini, HMS yang bijaksana telah memutuskan bahawa plaintif-plaintif bertanggungan sebanyak 60% dan defendan bertanggungan sebanyak 40% walaupun dalam alasan penghakimannya HMS yang bijaksana telah mengatakan bahawa daripada keterangan yang ada, beliau tidak dapat membuat dapatan kenderaan yang mana telah menceroboh laluan bertentangan tetapi kemalangan berkemungkinan besar berlaku di tengah-tengah laluan antara laluan motokar dan laluan motosikal-motosikal. [31] Dengan hormatnya, Mahkamah ini berpendapat bahawa HMS yang bijaksana telah terkhilaf secara nyata dalam keputusannya berkenaan pembahagian liabiliti antara plaintif-plaintif dengan defendan dalam keadaan beliau sendiri tidak dapat menentukan siapakah yang telah menceroboh laluan yang bertentangan. [32] Apakah asas HMS yang bijaksana mengenakan atau meletakkan tanggungan 60% ke atas plaintif-plaintif dalam keadaan plaintif-plaintif tidak didapati menceroboh ke laluan defendan. Begitu juga apakah asas defendan dikenakan atau diletakkan tanggungan 40% dalam keadaan defendan tidak didapati menceroboh ke laluan plaintif-plaintif. [33] Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa dalam suatu kes kemalangan jalan raya, beban bukti terletak ke atas bahu plaintif untuk membuktikan defendan bertanggungan terhadap kemalangan tersebut. Prinsip ini dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Wong Thin Yit v. Mohamed Ali [1971] 1 MLRA 483 seperti berikut: “In a negligence action the onus of proof rests wholly on the plaintiff, whether or not the defendant gives evidence. The plaintiff cannot succeed without proof of the defendant’s negligence.” [34] Adalah satu pendekatan yang salah untuk menetapkan pembahagian liabiliti 50:50 atau 60:40 atau apa-apa kadar nisbah tanggungan yang lain kepada pihak-pihak tanpa dapat dibuktikan pihak mana yang bertanggungan. Dalam ketiadaan keterangan atau bukti yang boleh menyokong bahawa kemalangan tersebut telah disebabkan sepenuhnya atau disumbangkan oleh kecuaian defendan, maka tiada sebarang liabiliti boleh diletakkan ke atas defendan. Adalah menjadi tugas plaintif-plaintif untuk membuktikan defendan cuai dan meneybabkan kemalangan tersebut. Bukanlah menjadi tugas defendan untuk membuktikan bahawa dia tidak cuai. [35] Dalam kes Krishna Murthey & Anor v. Law Lye Chua [1992] 2 CLJ (Rep) 668 di muka surat 670 - 671 di mana KC Vohrah H telah mengatakan seperti berikut: “The point is that where the story of the plaintiff is disbelieved and that of the defendant is equally disbelieved, lability is not apportioned equally; liability has to be decided on onus of proof. What should be borne in mind are the words of Lord Dunedin quoted by H.T. Ong FJ (as he then was) in Loh Soh Ming & Anor v. Krishnan [1967] 1 MLJ 8 at p. 11 in the following passage: Last and by no means the least, in a case like this, where both the plaintiff’s and the defendant’s story had been equally disbelieved, I think the principle enunciated in Robins v. National Trust Co. [1927] AC. 515, 520 should have been applied. There it was said by Lord Dunedin as follows: Now, in conducting an inquiry, the determining tribunal, be it Judge or jury, will often find that the onus is sometimes on the side of conteding party, sometimes on the side of the other, or as it often expressed, that in certain circumstances the onus shifts. But onus as a determining factor of the whole case can only arise if the tribunal finds the evidence pro and con so evenly balanced that it can come to no such conclusion. Then the onus will determine the matter. Clearly the learned Judge in this case should have decided the case on the onus of proof. The onus is not on the defendant to prove that he was not negligent. As was succinctly pointed out by Hashim Yeop A. Sani J (as he then was) in Ng Chui Sai v. Maimon Bt. Ali [1983] 1 MLJ 110: In an action for negligence the onus of proving the allegation of negligence rests on the person who makes it unless there are disclosed facts which raise a presumption in favour of the plaintiff. The plaintiff must show affirmatively that there has been a breach of a specific or genuine duty by the defendant and this resulted in the damage to the plaintiff. If he fails to prove this the action must fail. [36] HMS yang bijaksana setelah mendengar secara langsung keterangan saksi-saksi yang hadir di hadapannya dan setelah meneliti semua keterangan yang ada, telah mendapati bahawa tiada bukti untuk menunjukkan defendan telah menceroboh ke laluan plaintif-plaintif. Atas dasar itu HMS yang bijaksana sepatutnya menolak tuntutan plaintif-plaintif kerana plaintif-plaintif telah gagal membuktikan kecuaian defendan. [37] Dalam situasi terdapatnya 2 versi kejadian yang bertentangan sebagaimana yang berlaku dalam kes ini, adalah penting untuk Mahkamah meneliti dan mendapatkan panduan serta petunjuk daripada bukti senyap (silent evidence) terutamanya lakaran rajah kasar yang disediakan oleh pegawai penyiasat dan juga gambar-gambar kenderaan dan tempat kejadian. [38] Lakaran rajah kasar dalam kes ini telah disediakan oleh SP1 yang telah pergi ke tempat kejadian lebih kurang 50 minit selepas kejadian dan pada masa itu kenderaan-kenderaan yang terlibat masih berada di sekitar kawasan kemalangan. [39] Daripada lakaran rajah kasar, dapat dilihat dengan jelas kesan-kesan di atas jalan raya di kawasan kejadian yang boleh memberi petunjuk berkenaan versi kejadian yang manakah yang lebih berkemungkinan berlaku. [40] Menurut kunci kepada rajah kasar, tandaan “D” adalah kesan minyak motokar WSJ 2587 iaitu motokar defendan dan jarak antara “D1” hingga “D2” ialah sepanjang 10.60 meter. Kesan minyak motokar defendan tersebut berada dalam laluan sah defendan. [41] Dalam ketiadaan kesan-kesan lain yang dicatatkan oleh SP1 dalam lakaran rajah kasar tersebut, Mahkamah ini berpendapat bahawa kesan minyak motokar defendan ini (“D”) adalah satu bukti senyap yang penting yang dapat memberi petunjuk dan dapat merungkai misteri versi kejadian manakah yang lebih berkemungkinan. [42] Tandaan “M” dan “X” yang ditandakan berhampiran dengan tandaan “D1” masing-masing merupakan tempat kemalangan yang dikatakan berlaku menurut keterangan SD1 (defendan) dan SP1 (pegawai penyiasat). Manakala SP4 (plaintif 1) mengatakan bahawa kemalangan berlaku di “O” dalam laluannya dan kemudiannya motokar defendan membelok semula ke laluannya di “D1”. SP5 (plaintif 2) pula mengatakan bahawa kemalangan berlaku di “Y”. [43] Berdasarkan kedudukan kesan minyak motokar defendan ini, versi kejadian menurut keterangan SP1 dan SD1 bahawa kemalangan berlaku dalam laluan defendan adalah lebih berkemungkinan. [44] Jika kemalangan berlaku di “O” dan kemudiannya motokar defendan memasuki semula ke laluannya di “D1” sebagaimana keterangan SP4 (plaintif 1) sudah tentu kesan minyak akan bermula sebaik sahaja selepas “O” dan berterusan membawa ke “D1”. Begitu jugalah sekiranya kemalangan berlaku di “Y” sebagaimana keterangan SP5 (plaintif 2). [45] Gambar-gambar motosikal yang terlibat yang berada di tepi jalan menunjukkan bahawa kedudukan motosikal-motosikal tersebut talahpun dialih sebelum SP1 sampai ke tempat kejadian. Keadaan sebuah motosikal yang remuk teruk menunjukkan impak perlanggaran secara terus atau langsung dengan motokar defendan. Manakala sebuah motosikal lagi yang bernombor DCJ 9271 (motosikal plaintif 2) yang menunjukkan kesan kerosakan di bahagian kanan serta calar-balar pada bahagian penghadang angin sebelah kanan dan tiada kerosakan teruk pada bahagian hadapan menunjukkan bahawa tiada impak secara langsung berlaku dari arah depan motosikal tersebut. Kerosakan pada motosikal plaintif 2 ini lebih selari dengan versi yang mengatakan bahawa motosikal plaintif 2 ini telah melanggar motosikal plaintif 1 selepas motosikal plaintif 1 berlanggar dengan motokar defendan dan bukannya motosikal plaintif 2 berlanggar secara langsung dengan motokar defendan. [46] Gambar-gambar motokar defendan pula menunjukkan bahawa kerosakan yang dialami oleh motokar defendan adalah lebih kepada bahagian sisi kanan depan iaitu bermula dari sisi kanan lampu depan sehingga ke pintu kanan depan. [47] Sekiranya motokar defendan yang memasuki laluan plaintif-plaintif dalam jarak 15 hingga 20 kaki dan melanggar plaintif-plaintif di kawasan bertanda “O” dan “Y”, sudah tentu kesan impak pada motokar defendan akan lebih tertumpu pada bahagian depan dan bukannya di bahagian sisi kanan seperti yang ditunjukkan dalam gambar-gambar di atas. [48] Dapat dilihat dengan jelas daripada gambar motokar defendan tersebut bahawa tayar depan kanan telah terpusing ke kanan dengan teruk. Sekiranya perlanggaran berlaku pada tandaan “O” dan “Y” sepertimana yang dikatakan oleh plaintif-plaintif, bagaimanakah motokar tersebut boleh bergerak semula ke kiri dan berada di tempat ia terhenti dalam keadaan tayar kanan yang sedemikian rupa. [49] Kesemua bukti-bukti senyap ini tidak menyokong keterangan dan versi plaintif-plaintif bagaimana kemalangan tersebut berlaku. [50] Dari segi hukum fizik dengan mengambil kira momentum dan daya inersia suatu kenderaan yang bergerak, kenderaan yang bergerak dari arah Jeli menuju ke Kuala Balah (dari arah atas ke bawah lakaran rajah kasar) sebagaimana arah pergerakan motosikal-motosikal plaintif-plaintif ketika melalui kawasan selekoh ke kiri akan lebih membuang ke sebelah kanan (membuang ke sebelah yang bertentangan dengan selekoh) iaitu ke arah laluan defendan. [51] Begitu jugalah bagi kenderaan yang datang dari arah Kuala Balah menuju ke Jeli (dari arah bawah ke atas lakaran rajah kasar) apabila melalui selekoh ke kanan akan lebih membuang ke sebelah kiri. [52] Kes Siti Rohani Bte Mohd Shah & Ors V Haji Zainal Bin Saifiee & Anor [2001] 5 MLJ 8 yang dirujuk oleh peguam plaintif adalah boleh dibezakan di mana kes tersebut melibatkan sebuah lori besar yang mengambil selekoh ke kanan yang dikatakan berkemungkinan memakan jalan (cut corners) dan memasuki laluan motosikal. Namun dalam kes ini, kenderaan defendan hanyalah sebuah motokar kecil iaitu myvi. Adalah tidak munasabah untuk mengaplikasikan anggapan yang dibuat berkenaan sebuah lori besar tersebut kepada sebuah motokar kecil myvi dalam kes ini bahawa ia juga akan memakan jalan apabila melalui selekoh ke kanan sebagaimana sebuah lori yang besar. Kesimpulan [53] Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah ini telah membenarkan rayuan balas defendan berkenaan liabiliti dan Mahkamah ini mengenepikan keputusan HMS yang bijaksana yang menetapkan liabiliti plaintif-plaintif sebanyak 60% dan defendan sebanyak 40%. Mahkamah ini memutuskan bahawa defendan tidak menanggung sebarang liabiliti dalam kemalangan tersebut. Atas dasar itu juga, pihak-pihak ketiga juga tidak menanggung sebarang liabiliti terhadap defendan. Alasan penghakiman ini bertarikh pada 07.05.2025. ……………………………………….. MOHD ROSLI BIN YUSOFF Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. Peguam Perayu: Siti Amira Binti Mohd Ariffin, Tetuan Azhar & Fazuny, No. F3 Lot 478, Seksyen 14, Jalan Bayam, 15200 Kota Bharu, Kelantan. Peguam Responden-Responden: Mohamed Faiz Asyraf Bin Razali, Tetuan Zaid Ibrahim & Co, Unit G-01, Residensi 2, Kedai Apartment Taman Iman Jaya, Jalan Wakaf Che Yeh, 15150 Kota Bharu Kelantan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.