Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BA-23NCvC-24-04/2021
/akn/my/judgment/high-court/2026/cf833d99-a0bd-4120-8a02-c65e2fbb8468
High Court of Malaysia20 Jan 2026BA-23NCvC-24-04/2021
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“(C) Sdn Bhd v Persatuan Penduduk Taman Myra Meranti Puchong Selangor [2025] MLRHU 1209, Taff Vale Railway Co v Amalgamated Society of Railway Servants [1901] AC 426, dan Keighley Maxted & Co v Durant [1901] AC 240.”
“selaras dengan prinsip dalam kes OIB Properties (C) Sdn Bhd v Persatuan Penduduk Taman Myra Meranti Puchong Selangor [2025] MLRHU 1209, Taff Vale Railway Co v Amalgamated Society of Railway Servants [1901] AC 426, dan Keighley Maxted & Co v Durant [1901] AC 240.”
“ma ada peruntukan kontrak yang jelas atau liabiliti bersama sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 10 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Rujukan kepada kes Eastern Shipping Co Ltd v Quah Beng Kiong [1924] AC 177 menyokong keperluan ini.”
“dijangka. Prinsip ini ditegaskan dalam kes Hock Wee Nurseries Sdn Bhd v Fajar Saga Sdn Bhd [2010] 15 MLRH 669 dan berpunca daripada prinsip jiran (neighbour principle) dalam kes Donoghue v Stevenson [1932] AC 562. **Note : Serial number will be used to verify the originality of this document via eFILING portal 16”
“tidak diberikan semata-mata kerana seseorang Defendan didapati bertanggungjawab. Kategori di mana ganti rugi tersebut boleh diberikan adalah terhad, seperti yang dinyatakan dalam kes Rookes v Barnard [1964] AC 1129 dan ditegaskan semula dalam kes Sambaga Valli. Mesti terdapat perlakuan yang menindas, sewenang-wenangnya”
“perasaan, maruah atau kepentingan seumpamanya. Prinsip ini telah dibincangkan dalam kes Sambaga Valli a/p KR Ponnusamy v Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors [2018] 1 MLJ 784 dan Broome v Cassell & Co Ltd [1972] AC 1027.”
“asasnya bertujuan untuk sumbangan, indemniti, atau relif berkaitan yang timbul daripada tindakan utama. Saya merujuk kepada kes MRCB Builders Sdn Bhd v Kwang Li Construction & Transportation Sdn Bhd [2020] MLRHU 1636 dan TCG Majujaya Bina Sdn Bhd v WLT Project Management Sdn Bhd [2025] MLRHU 2891 yang menyokong prinsip”
“nya tanah (proprietary rights) tanpa ada kuasa yang nyata (express authority). Ini selaras dengan prinsip dalam kes OIB Properties (C) Sdn Bhd v Persatuan Penduduk Taman Myra Meranti Puchong Selangor [2025] MLRHU 1209, Taff Vale Railway Co v Amalgamated Society of Railway Servants [1901] AC 426, dan Keighley Maxted & C”
“aripada tindakan utama. Saya merujuk kepada kes MRCB Builders Sdn Bhd v Kwang Li Construction & Transportation Sdn Bhd [2020] MLRHU 1636 dan TCG Majujaya Bina Sdn Bhd v WLT Project Management Sdn Bhd [2025] MLRHU 2891 yang menyokong prinsip bahawa prosiding pihak ketiga bukanlah saluran yang sesuai untuk memuktamadkan”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO.: BA-23NCvC-24-04/2021
1
ZETI ISMARIZAN BINTI ISA
2
SHAHRUDDIN BIN MOHAMAD NOR
3
ROZANA BINTI BASIR
4
MOHD NOOR SAM BIN KASAH
5
NOR FARIZA BINTI NGAH
6
HASSANNUDDIN BIN SULAIMAN (NO. K/P: 610308-04-5159) …PLAINTIF-PLAINTIF (Dirujuk juga secara kolektif sebagai ‘Plaintif-Plaintif’) DAN 21/04/2026 11:07:10 BA-23NCvC-24-04/2021 Kand. 227 SPRING ENERGY SDN BHD (NO. SYARIKAT: 446344-H) …DEFENDAN
1
MUHAMMAD FAIZAL BIN M. HAIRI, sebagai Pengerusi Bagi Persatuan Penduduk Bukit Damar Dengkil
2
MUHAMMAD FAIZAL BIN M. HAIRI
3
MOHAMAD HUSSIN BIN SEMAIL (NO. K/P: 670627-03-5323) …PIHAK KETIGA ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan
1
Tindakan ini difailkan oleh Plaintif-Plaintif yang merupakan tuan punya berdaftar bagi beberapa bidang tanah di Bukit Damar, Dengkil, terhadap Defendan, sebuah syarikat yang menjalankan kerja-kerja tanah dan pembinaan.
2
Pertikaian ini timbul daripada kerja-kerja tanah dan pembinaan jalan yang dijalankan oleh Defendan di sekitar kawasan yang melibatkan tanah-tanah milik Plaintif. Plaintif-Plaintif mendakwa bahawa kerja-kerja tersebut telah dijalankan tanpa persetujuan mereka, menyebabkan gangguan fizikal ke atas tanah mereka, menjejaskan kemudahan (amenity) sedia ada pada tanah tersebut, serta mengganggu penggunaan asal tanah iaitu bagi tujuan kediaman.
3
Defendan juga telah memulakan prosiding pihak ketiga terhadap Pihak Ketiga (Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Damar Dengkil (Persatuan) dan dua orang ahli lain dalam kapasiti peribadi), bagi menuntut sumbangan atau indemniti berhubung apa-apa keputusan liabiliti terhadap Plaintif-Plaintif. Secara alternatif, Defendan juga memohon ganti rugi atas pelanggaran perjanjian dan tort penipuan. Prosiding pihak ketiga tersebut telah didengar bersama dengan tindakan utama.
4
Selepas perbicaraan, saya telah membenarkan tuntutan Plaintif-Plaintif sebahagiannya. Saya mendapati bahawa Defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga dan telah memungkiri tugas tersebut. Saya telah membenarkan ganti rugi am (untuk ditaksir) tetapi menolak ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, serta menolak relif injunksi. Tuntutan pihak ketiga oleh Defendan juga ditolak.
5
Kedua-dua pihak telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Plaintif-Plaintif merayu terhadap kuantum dan penolakan ganti rugi tambahan, manakala Defendan merayu terhadap dapatan liabiliti dan penolakan tuntutan terhadap pihak ketiga. Pihak-Pihak
6
Plaintif Pertama ialah Zeti Ismarizan binti Isa. Suaminya, Muhammad Ariff bin Che Daud, (PW-2) telah memberikan keterangan utama dalam menjelaskan kronologi aduan serta isu persetujuan. Plaintif Kedua ialah Shahruddin bin Mohamad Nor. Plaintif yang seterusnya, adalah Rozana binti Basir, Mohd Noor Sam bin Kasah, Nor Fariza binti Ngah, dan Hassanuddin bin Sulaiman, merupakan tuan punya berdaftar bagi tanah-tanah yang terjejas di Bukit Damar.
7
Defendan adalah Spring Energy Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam kerja-kerja tanah dan pembinaan.
8
Prosiding pihak ketiga telah dibawa terhadap Muhammad Faizal bin M. Hairi, dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Damar Dengkil, manakala Muhammad Faizal bin M. Hairi dan Mohamad Hussin bin Semail telah disaman dalam kapasiti peribadi mereka. Dari fakta yang dipersetujui, menunjukkan bahawa Mohamad Hussin bin Semail merupakan ahli biasa dan bekas Pengerusi Persatuan dari 8.4.2016 hingga 18.7.2020. Isu yang perlu diputuskan
9
Pihak-pihak telah memfailkan isu-isu yang dipersetujui. Saya telah mempertimbangkan isu-isu tersebut. Walau bagaimanapun, selepas meneliti pliding, keterangan lisan dan dokumentari, serta hujahan bertulis semua pihak, saya berpendapat bahawa isu-isu tersebut bertindih dan dirangka terlalu luas. Saya berpandangan isu-isu dominan yang memerlukan penentuan adalah seperti berikut:
Subsection
(1) Sama ada Defendan telah memasuki dan menjalankan kerja yang menjejaskan tanah Plaintif-Plaintif tanpa persetujuan yang sah, dan sama ada ini merupakan satu pencerobohan.
Subsection
(2) Sama ada Defendan mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap Plaintif-Plaintif dalam menjalankan kerja-kerja tersebut, dan jika ya, sama ada kewajipan tersebut telah dimungkiri.
Subsection
(3) Sama ada Plaintif-Plaintif telah membuktikan kerugian atau kerosakan yang boleh dituntut, dan jika ya, setakat mana kerugian tersebut telah dibuktikan.
Subsection
(4) Sama ada perjanjian CSR bertarikh 26.4.2017 (perjanjian CSR) memberi kuasa sah kepada Defendan untuk memasuki tanah Plaintif-Plaintif, dan apakah kesan undang-undang mengenai peranan Persatuan di bawah perjanjian tersebut.
Subsection
(5) Sama ada Plaintif-Plaintif dihalang (estopped) daripada menafikan persetujuan (consent) atau kuasa yang diberikan (authority).
Subsection
(6) Sama ada Defendan berhak kepada sumbangan atau indemniti daripada Pihak Ketiga berhubung tuntutan Plaintif-Plaintif.
Subsection
(7) Sama ada Defendan telah membuktikan tuntutan alternatifnya terhadap Pihak Ketiga atas pelanggaran perjanjian CSR dan tort penipuan (deceit).
Subsection
(8) Apakah relif dan ganti rugi, jika ada, yang wajar diberikan. Latar Belakang Fakta
10
Tindakan ini timbul lantaran kerja-kerja tanah dan pembinaan jalan yang dijalankan di kawasan Bukit Damar, Dengkil.
11
Plaintif-Plaintif merupakan tuan punya bagi beberapa lot bersebelahan yang terletak dalam Lot 282 di Mukim Dengkil, Daerah Sepang. Setiap Plaintif telah membeli lot masing-masing antara tahun 2007 hingga 2008 daripada pemaju asal. Keterangan menunjukkan bahawa tanah-tanah tersebut dibeli untuk tujuan kediaman dan masih kekal dalam keadaan semula jadi sebelum kejadian yang membawa kepada tindakan ini.
12
Pada 26.4.2017, Defendan dan Persatuan telah menandatangani satu dokumen yang merujuk kepada sebagai program “Corporate Social Responsibility (CSR) Programme to Persatuan Penduduk Bukit Damar Dengkil to construct Link Road from End of Persiaran Cyber Point Selatan, End of Persiaran Selatan, Internal Access Road at Lot 281 & 282 and Adjacent to Lot 283 (283 & 284) to Kampung Bukit Damar”.
13
Keterangan saksi Defendan menjelaskan bahawa skop projek termasuklah pembinaan jalan, pengorekan dan pengangkutan keluar tanah lebihan, pembinaan saliran sementara, serta pelarasan semula sempadan lot yang berkenaan.
14
Perkataan sebenar klausa material dalam surat bertarikh 26.4.2017 adalah penting. Klausa tersebut memperuntukkan seperti berikut: “Besides, Persatuan Penduduk Bukit Damar Dengkil shall be responsible to notify all relevant parties for consent from Setia Haruman Sdn Bhd, local council MPS and PTG as compliances and to obtain consent from Lot 281, 282 land owners to/for commencing earthwork and road work construction.”
15
Melalui keterangan saksi, telah dibuktikan bahawa Persatuan telah memperoleh persetujuan daripada Plaintif Ketiga dan Plaintif Keenam bagi tujuan kerja-kerja tersebut.
16
Defendan mengatakan bahawa ia telah dimaklumkan dan menerima representasi dari Pihak Ketiga bahawa semua kelulusan dan persetujuan telah diperoleh dan bahawa ia boleh memulakan kerja pembinaan. Bergantung kepada representasi tersebut dan berdasarkan arahan Pihak Ketiga yang bertindak bagi pihak Persatuan, Defendan telah menjalankan kerja-kerja tersebut sekitar Mei 2017.
17
Pihak Ketiga menafikan perkara tersebut. Keterangan mereka adalah bahawa perjanjian tersebut masih tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk keperluan mendapatkan persetujuan tuan tanah dan kelulusan pihak berkuasa. Mereka juga menegaskan bahawa syarat-syarat tersebut masih tidak dipenuhi. Mereka menafikan bahawa telah memberi arahan kepada Defendan untuk memulakan kerja atau membuat representasi bahawa semua persetujuan telah diperoleh.
18
Plaintif-Plaintif mendakwa bahawa Defendan telah memasuki tanah mereka tanpa persetujuan dan menjalankan kerja pembersihan, perataan, pengorekan dan pembinaan jajaran jalan yang mengubah keadaan semula jadi tanah. Gambar-gambar yang dikemukakan jelas menunjukkan perubahan keadaan fizikal tanah.
19
Plaintif-Plaintif juga menyatakan bahawa aktiviti tersebut menyebabkan perubahan kepada bentuk muka bumi, ketidakstabilan tanah, dan gangguan terhadap penggunaan tanah bagi tujuan kediaman.
20
Selanjutnya, Muhammad Ariff bin Che Daud telah membuat aduan kepada pihak berkuasa dan juga laporan polis. Saksi Defendan mengakui bahawa pada 24.4.2018, mereka telah menerima aduan tersebut dan telah merujuk hal berkenaan kepada Persatuan.
21
Defendan juga menyatakan bahawa ia sebenarnya bertindak dengan niat baik dan bergantung kepada representasi Persatuan. Walau bagaimanapun, mereka bersetuju bahawa mereka tidak membuat pengesahan secara pasti mengenai samada persetujuan kesemua tuan tanah yang berkenaan telah diperoleh. Defendan juga menekankan bahawa kerja-kerja yang mereka telah lakukan akan memberi manafaat kepada tuan-tuan punya tanah kerana akan menyediakan akses kepada persekitaran tanah tersebut.
22
Kerja-kerja tersebut telah siap sepenuhnya sekitar Oktober 2019 and projek telah diserahkan kepada Persatuan. Tidak berpuas hati dengan keadaan tanah-tanah mereka, Plaintif-Plaintif telah mengeluarkan surat tuntutan pada November 2020 dan seterusnya memfailkan tindakan ini. Prosiding Pihak Ketiga
23
Defendan telah memulakan prosiding pihak ketiga terhadap Persatuan dan ahli jawatan kuasanya (office bearers). Defendan menuntut sumbangan atau indemniti berhubung apa-apa liabiliti yang mungkin dikenakan terhadapnya dalam tuntutan Plaintif. Secara alternatif, Defendan menuntut ganti rugi terhadap Pihak Ketiga atas pelanggaran perjanjian CSR dan penipuan.
24
Asas tuntutan Defendan ialah bahawa Pihak Ketiga, melalui Persatuan, telah membuat representasi bahawa semua kelulusan dan persetujuan yang diperlukan telah diperoleh bagi projek pembinaan jalan, dan bahawa Defendan telah bergantung kepada representasi tersebut dalam memulakan dan menjalankan kerja-kerja tersebut.
25
Pihak Ketiga menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa perjanjian tersebut adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang belum dipenuhi.
26
Isu-isu yang timbulkan dalam prosiding pihak ketiga adalah juga berkait rapat dengan isu-isu dalam tindakan utama. Secara khususnya, persoalan sama ada persetujuan telah diperoleh, sama ada representasi telah dibuat, dan sama ada Defendan berhak bergantung kepada representasi tersebut adalah isu bersama dalam kedua-dua tuntutan.
27
Dalam keadaan ini, saya telah mengarahkan supaya prosiding pihak ketiga didengar dan diputuskan secara serentak dengan tindakan utama bagi mengelak dapatan yang tidak konsisten.
28
Saya juga mengarahkan agar prosiding pihak ketiga adalah terhad kepada penentuan sama ada Defendan berhak kepada sumbangan atau indemniti berhubung tuntutan Plaintif. Walaupun Defendan turut memplidkan tuntutan pelanggaran kontrak dan penipuan terhadap Pihak Ketiga, tuntutan tersebut hanya akan dipertimbangkan setakat mana ia menyokong hak kepada indemniti atau sumbangan dalam prosiding ini. Analisa dan Dapatan
29
Setelah meneliti pliding-pliding, keterangan lisan dan dokumentari, serta membaca hujahan bertulis dan mendengar secara lisan dari semua pihak dan atas imbangan kebarangkalian, saya membuat dapatan seperti berikut.
30
Saya mengambil maklum hujahan Defendan bahawa Plaintif-Plaintif tidak secara nyata memplidkan pencerobohan dan oleh itu sewajarnya terhad kepada hanya isu kecuaian. Walaupun benar bahawa pihak-pihak terikat kepada pliding masing-masing, Mahkamah berhak meneliti intipati fakta yang diplidkan secara keseluruhan.
31
Kes Plaintif-Plaintif, seperti yang diplidkan dan dibentangkan, adalah bahawa Defendan telah memasuki dan menjalankan kerja yang menjejaskan tanah mereka tanpa persetujuan serta menyebabkan gangguan fizikal dan kerugian. Fakta material tersebut telah dihuraikan sepenuhnya semasa perbicaraan. Tiada prejudis kepada Defendan dalam mempertimbangkan isu kemasukan tanpa kebenaran (pencerobohan) berdasarkan fakta tersebut. Oleh itu, saya akan mempertimbangkan kedua-duanya, pencerobohan dan kecuaian. Sama ada Defendan telah menceroboh tanah Plaintif
32
Undang-undang mengenai pencerobohan adalah jelas. Sebarang tindakan memasuki tanah dalam milikan seseorang yang lain tanpa kebenaran atau justifikasi, merupakan satu pencerobohan. Walaupun kemasukan sekadar melintasi sempadan, ia tetap satu pencerobohan. Kesalahan menceroboh adalah satu actionable per se dan tidak memerlukan pembuktian kerosakan sebenar. Bahawa Defendan percaya dirinya berhak untuk memasuki tanah tersebut juga tidak boleh diterima sebagai satu pembelaan. Prinsip ini dijelaskan dalam kes-kes Amsiah Rahim v Borneo Samudera Sdn Bhd [2024] 4 MLRA 710, MBf Property Services Sdn Bhd v Madihill Development Sdn Bhd (No 2) [1997] 4 MLRH 556 dan Tan Wee Choon v Ong Peck Seng & Anor [1985] 1 MLRH 350. Prinsip yang sama turut ditegaskan dalam kes Satwant Singh Mohan Singh & Satu Lagi v Majlis Perbandaran Selayang & Ors [2012] 6 MLRH 76 dan Chundi Incorporated Sdn Bhd v Masmirin Development Sdn Bhd [2014] 5 MLRH 447 dimana telah diputuskan bahawa tindakan memasuki tanah tanpa kebenaran boleh terjumlah kepada satu pencerobohan dan pendudukan secara tidak sah.
33
Plaintif-Plaintif telah membuktikan bahawa mereka adalah tuan punya berdaftar dan Defendan telah menjalankan kerja-kerja yang mana telah dibuktikan menjejaskan keadaan tanah tersebut. Defendan tidak menafikan bahawa ia telah menjalankan kerja tersebut. Oleh itu, beban kini beralih kepada Defendan untuk menjelaskan fakta yang mewajarkan kemasukannya dalam tanah tersebut.
34
Pembelaan Defendan adalah bersandarkan terma dalam perjanjian CSR dan representasi yang didakwa dibuat oleh Pihak Ketiga bahawa semua persetujuan telah diperoleh. Dakwaan ini perlu diteliti dengan rapi.
35
Terma dan perkataan yang digunakan dalam perjanjian CSR adalah penting. Keterangan menunjukkan bahawa Persatuan dikehendaki untuk "obtain consent from Lot 281 & 282 landowners for commencing earthwork and roadwork construction." Saya berpendapat ini bukan satu syarat sampingan, tetapi satu syarat duluan yang jelas sebelum kerja boleh dimulakan.
36
Klausa tersebut juga menunjukkan perbandingan yang jelas. Persatuan hanya dikehendaki memaklumkan kepada pihak berkuasa, tetapi wajib mendapatkan persetujuan tuan-tuan tanah. Ini menunjukkan bahawa persetujuan tuan tanah adalah keperluan mandatori dan bukan sekadar prosidur.
37
Fakta yang dipersetujui selanjutnya mengesahkan bahawa terdapat dua orang Plaintif telah memberikan persetujuan dan tiada bukti dikemukakan bahawa Plaintif lain telah memberi persetujuan. Juga tiada bukti bahawa Plaintif-Plaintif telah memberi kuasa kepada Persatuan untuk bertindak dan membuat keputusan bagi pihak mereka.
38
Saya tidak menerima hujahan Defendan bahawa ia boleh bergantung kepada Persatuan sebagai satu badan yang mewakili Plaintif-Plaintif. Walaupun Persatuan boleh memainkan peranan pentadbiran atau sebagai perantara, kapasiti undang-undangnya adalah terhad. Ia tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengikat hak milik tuan punya tanah (proprietary rights) tanpa ada kuasa yang nyata (express authority). Ini selaras dengan prinsip dalam kes OIB Properties (C) Sdn Bhd v Persatuan Penduduk Taman Myra Meranti Puchong Selangor [2025] MLRHU 1209, Taff Vale Railway Co v Amalgamated Society of Railway Servants [1901] AC 426, dan Keighley Maxted & Co v Durant [1901]
39
Sebarang kuasa untuk memberikan persetujuan bagi pihak tuan tanah mesti dibuktikan samada sebagai actual authority atau ostensible authority sebagaimana dijelaskan dalam kes Freeman & Lockyer v Buckhurst Park Properties (Mangal) Ltd [1964] 2 QB 480. Dalam kes ini, tiada bukti sedemikian dikemukakan. Maka Defendan tidak boleh bergantung kepada representasi yang dikatakan untuk justifikasi memasukki tanah milik Plaintif-Plaintif bagi tujuan kerja-kerja tersebut.
40
Kepercayaan Defendan bahawa persetujuan telah diperoleh bukanlah satu pembelaan. Pencerobohan adalah tort liabiliti ketat (strict liability tort). Persoalannya bukan apa yang dipercayai oleh Defendan, tetapi sama ada kuasa sah itu wujud. Berdasarkan keterangan, ianya tidak wujud.
41
Oleh itu, saya dapati bahawa Defendan telah memasuki tanah Plaintif tanpa justifikasi yang sah. Maka elemen pencerobohan telah dibuktikan. Sama ada Defendan mempunyai dan melanggar kewajipan berjaga-jaga
42
Plaintif-Plaintif juga bergantung kepada tuntutan tort kecuaian. Undang-undang mengiktiraf bahawa pihak yang menjalankan kerja tanah mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap tuan tanah bersebelahan untuk mengelakkan kemudaratan yang boleh dijangka. Prinsip ini ditegaskan dalam kes Hock Wee Nurseries Sdn Bhd v Fajar Saga Sdn Bhd [2010] 15 MLRH 669 dan berpunca daripada prinsip jiran (neighbour principle) dalam kes Donoghue v Stevenson [1932] AC 562.
43
Defendan telah menjalankan kerja pengorekan, perataan dan pembinaan yang menjejaskan tanah Plaintif-Plaintif. Risiko gangguan fizikal dan kehilangan amenity adalah jelas boleh dijangka. Maka terdapat hubungan kedekatan (sufficient proximity) yang mencukupi antara Defendan dan Plaintif-Plaintif.
44
Oleh yang demikian, saya mendapati bahawa kewajipan berjaga-jaga wujud.
45
Isu seterusnya ialah pelanggaran atau kemungkiran kewajiban tersebut. Defendan menyatakan bahawa ia bertindak berdasarkan arahan dan bergantung kepada representasi Persatuan. Walau bagaimanapun, saya dapati, Defendan sendiri tidak menafikan keperluan persetujuan dari tuan-tuan tanah sebelum kerja boleh dimulakan. Dari keterangan bukti yang dikemukakan, syarat tersebut jelas masih tidak dipenuhi.
46
Seorang kontraktor yang munasabah tidak boleh meneruskan kerja yang menjejaskan tanah persendirian tanpa memastikan persetujuan diperoleh. Defendan mempunyai keupayaan untuk mengesahkan perkara tersebut tetapi gagal berbuat demikian dan memilih untuk sekadar menganggap ianya telah diperoleh.
47
Maka saya dapati bahawa Defendan telah melanggar kewajipan untuk berjaga-jaga. Tindakan Defendant ini tidak selari dengan tugas berhati-hati secara munasabah bagi seorang kontraktor. Kesan perjanjian CSR
48
Defendan telah bergantung kepada perjanjian CSR. Pihak Ketiga pula menyatakan bahawa perjanjian tersebut adalah bersyarat.
49
Undang-undang adalah jelas bahawa sesuatu kontrak yang tertakluk kepada syarat duluan (conditional contract) hanya akan berkuat kuasa selepas syarat tersebut dipenuhi. Ini disokong oleh kes National Land Finance Co-operative Society Ltd v Sharidal Sdn Bhd [1983] 1 MLRA 127 dan Zainon Noordin v Dwiprofil (M) Sdn Bhd [2023] 4 MLRA 311.
50
Dalam kes ini, kehendak mendapatkan persetujuan tuan tanah tidak dipenuhi. Oleh itu, Defendan tidak boleh bergantung kepada perjanjian tersebut sebagai memberikan kuasa sah. Pemakaian prinsip Estoppel
51
Defendan berhujah bahawa Plaintif-Plaintif dihalang daripada menafikan wujudnya persetujuan. Untuk memakai prinsip ini (estoppel) undang-undang mensyaratkan adanya representasi yang jelas, pergantungan terhadap representasi tersebut, serta perubahan kedudukan akibat daripada pergantungan itu. Prinsip ini diperuntukkan di bawah seksyen 115 Akta Keterangan 1950 dan dijelaskan dalam kes Boustead Trading
Subsection
(1985) Sdn Bhd v Arab-Malaysian Merchant Bank Bhd [1995] 3 MLJ 331.
52
Tiada representasi sedemikian oleh Plaintif-Plaintif. Juga tiada dokumen atau perlakuan/tindakan yang menunjukkan persetujuan dibuat atau ditandatangani. Walaupun ada penyertaan dalam Persatuan atau perbincangan, ianya tidak bermaksud ada persetujuan.
53
Oleh itu saya menolak hujahan pergantungan kepada prinsip estoppel. Prosiding pihak ketiga
54
Defendan menuntut indemniti atau sumbangan. Bagi tujuan tersebut, undang-undang memerlukan kewujudan sama ada peruntukan kontrak yang jelas atau liabiliti bersama sepertimana yang diperuntukkan dalam seksyen 10 Akta Undang-Undang Sivil 1956. Rujukan kepada kes Eastern Shipping Co Ltd v Quah Beng Kiong [1924] AC 177 menyokong keperluan ini.
55
Dalam kes ini, saya dapati, liabiliti Defendan adalah berpunca daripada perbuatan mereka sendiri. Tiada klausa indemniti wujud yang mengikat antara Defendan dengan Pihak Ketiga dan Pihak Ketiga bukanlah tortfeasor bersama.
56
Saya dapati Defendan tiada hak kepada indemniti atau sumbangan. Penipuan
57
Defendan juga memplidkan penipuan. Elemen-elemen penipuan adalah ketat dan memerlukan bukti yang kukuh. Perlu dibuktikan bahawa representasi fakta adalah palsu, ada pengetahuan tentang kepalsuan atau kecuaian tersebut, ada niat untuk mendorong pergantungan, terdapat pergantungan sebenar dan ia telah mengakibatkan kerosakan atau kerugian. Saya merujuk kepada kes-kes berikut: Victor Cham & Anor v Loh Bee Tuan [2006] 1 MLRA 861, Derry v Peek (1889) 14 App Cas 337, Chu Choon Moui v Ngan Sew Tin [1985] 1 MLRA 444, dan Malaysia Debt Ventures Berhad v Cheah Yew Keat [2013] 6 MLRH 145.
58
Saya tidak berpuas hati bahawa penipuan telah dibuktikan. Kes Defendan sebahagian besarnya bergantung kepada dakwaan dan andaian mereka sendiri, dan bukan kepada suatu representasi yang jelas, spesifik dan terbukti. Pihak Ketiga menafikan representasi tersebut. Keterangan keseluruhan serta peruntukan klausa dalam perjanjian CSR dengan jelas menunjukkan bahawa kedudukan tersebut adalah bersyarat dan bukannya mutlak. Dalam keadaan tersebut, saya tidak berpuas hati bahawa Defendan telah membuktikan suatu representasi palsu yang jelas, spesifik dan bersifat penipuan berjaya dibuktikan. Maka, tort penipuan juga gagal dibuktikan oleh Defendan.
59
Berhubung relif kontraktual yang dituntut oleh Defendan (kemungkiran perjanjian CSR oleh Persatuan), saya menerima bahawa terdapat sedikit asas dalam aduan Defendan bahawa, berdasarkan versinya sendiri, Persatuan tidak memperoleh persetujuan yang diperuntukkan dalam perjanjian tersebut. Walau bagaimanapun, prosedur pihak ketiga pada asasnya bertujuan untuk sumbangan, indemniti, atau relif berkaitan yang timbul daripada tindakan utama. Saya merujuk kepada kes MRCB Builders Sdn Bhd v Kwang Li Construction & Transportation Sdn Bhd [2020] MLRHU 1636 dan TCG Majujaya Bina Sdn Bhd v WLT Project Management Sdn Bhd [2025] MLRHU 2891 yang menyokong prinsip bahawa prosiding pihak ketiga bukanlah saluran yang sesuai untuk memuktamadkan pertikaian kontraktual bebas yang lebih luas sekiranya ia tidak perlu bagi melupuskan pertikaian utama.
60
Setelah saya mendapati bahawa tiada sumbangan atau indemniti timbul, dan bahawa penipuan tidak dibuktikan, saya berpendapat tidak perlu dan tidak wajar untuk membuat dapatan yang lebih luas dan muktamad terhadap setiap pelanggaran kontrak yang didakwa antara Defendan dan Pihak Ketiga dalam tindakan ini, khususnya apabila tiada kerugian kontraktual yang berasingan dibuktikan dengan mencukupi. Isu-isu tersebut kekal terbuka untuk diputuskan, jika difikirkan perlu, dalam prosiding berasingan. Taksiran Gantirugi
61
Setelah mendapati wujudnya tanggungan liabiliti, saya beralih kepada penentuan jumlah ganti rugi.
62
Setelah pencerobohan dibuktikan, undang-undang mengiktiraf bahawa Plaintif-Plaintif berhak sekurang-kurangnya kepada ganti rugi am walaupun kerugian khusus tidak dibuktikan secara ketat. Ini merupakan prinsip yang mantap seperti yang dinyatakan dalam kes Amsiah Rahim v Borneo Samudera Sdn Bhd [2024] 4 MLRA 710, MBf Property Services Sdn Bhd v Madihill Development Sdn Bhd (No 2) [1997] 4 MLRH 556, Tan Wee Choon v Ong Peck Seng & Anor [1985] 1 MLRH 350, Satwant Singh Mohan Singh & Satu Lagi v Majlis Perbandaran Selayang & Ors [2012] 6 MLRH 76, dan Chundi Incorporated Sdn Bhd v Masmirin Development Sdn Bhd [2014] 5 MLRH 447.
63
Walau bagaimanapun, apabila Plaintif-Plaintif menuntut kerugian kewangan yang khusus, kerugian tersebut mestilah diplidkan secara khusus dan dibuktikan secara ketat. Ini kekal sebagai prinsip yang mantap seperti dalam kes Ong Ah Long v Dr S Underwood [1983] 1 MLRA 154 dan Goh Yin Peng & Satu Lagi v Tan Geok Hong & Satu Lagi [2019] 3 MLRH 207.
64
Dalam menaksir ganti rugi, saya telah mengambil kira keterangan Plaintif-Plaintif mengenai sifat asal dan penggunaan tanah mereka, gangguan fizikal yang disebabkan oleh kerja-kerja Defendan, perubahan keadaan dan amenity tanah tersebut, serta ketidakselesaan yang berpanjangan. Saya juga telah mempertimbangkan keterangan juru nilai.
65
Penilai, PW-8, menyatakan bahawa laporannya disediakan berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Plaintif-Plaintif, kecuali perkara-perkara tertentu seperti ketinggian tanah yang merupakan pemerhatiannya sendiri dan bahawa beliau telah melihat dokumen pihak berkuasa tempatan tertentu. Beliau juga mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa beberapa item dalam tuntutan, termasuk kos pembinaan rumah yang bersampingan, adalah bersifat anggaran berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Plaintif-Plaintif dan bukan berdasarkan formula penilaian yang khusus.
66
Keterangan PW-2 juga menunjukkan kesukaran dalam mengaitkan jumlah kerugian yang didakwa secara langsung dengan bukti dokumentari yang bebas. Apabila ditanya oleh Mahkamah mengenai ketiadaan dokumen yang menunjukkan niat meneruskan pembinaan rumah, PW-2 cuba bergantung kepada laporan penilai yang menyatakan “kerugian keseluruhan” dan bahawa projek tidak dapat diteruskan, tetapi beliau mengakui bahawa tiada bukti dokumentari berasingan mengenai niat tersebut selain daripada itu.
67
Oleh itu, saya menerima keterangan penilaian tersebut hanya setakat ia menyokong kes umum Plaintif-Plaintif bahawa keadaan, kegunaan dan amenity tanah mereka telah terjejas. Walau bagaimanapun, ia tidak memberikan asas pembuktian yang mencukupi untuk membolehkan saya membenarkan kesemua tuntutan jumlah yang dinyatakan sebagai ganti rugi khas.
68
Bagi tujuan ganti rugi khas, undang-undang memerlukan lebih daripada sekadar dakwaan dan anggaran. Ia memerlukan bukti. Ganti rugi khas mestilah diplidkan secara khusus dan dibuktikan secara ketat, saya merujuk kembali kepada kes Ong Ah Long dan Goh Yin Peng. Walaupun keterangan pakar boleh membantu Mahkamah, ia tidak mengikat dan mesti disokong oleh asas fakta yang kukuh, seperti yang dijelaskan dalam kes PP v Mohd Jamil bin Mohd Nor [2009] 6 MLJ 1. Mahkamah berhak menerima sebahagian daripada keterangan tersebut dan menolak bahagian lain yang tidak disokong (rujuk kes Datuk Jagindar Singh & Ors v Tara Rajaratnam [1983] 2
69
Dalam kes ini, penilaian tersebut sebahagiannya bergantung kepada maklumat yang diberikan oleh Plaintif-Plaintif dan sekadar membuat anggaran dan bukan kepada data yang disahkan secara bebas. Dalam keadaan tersebut, tuntutan kerugian yang dinyatakan tidak dibuktikan mengikut standard yang diperlukan dan tidak boleh dibenarkan.
70
Kesimpulan ini lebih kuat lagi terpakai kepada tuntutan berkaitan penanaman gaharu dan keuntungan yang diunjurkan. Dari keterangan PW-3, beliau menyatakan bahawa telah menanam pokok gaharu, membelanjakan wang untuk anak pokok, penyelenggaraan dan rawatan suntikan, dan menyatakan bahawa beliau mengalami kerugian terhadap nilai yang dijangka apabila tanah tersebut terjejas. Beliau juga mengakui bahawa beliau tidak mempunyai resit daripada penjual yang didakwa, tiada rekod pembelian, dan bahawa rekod pembelian tersebut hanya dicatat di Facebook atau media sosialnya. Apabila diminta menjelaskan asas kerugian tersebut, PW-3 menyatakan dan mengakui bahawa kerugian itu adalah berdasarkan anggarannya sendiri dan apa yang dilaporkan oleh penilai.
71
Pada hemat saya, ini tidak mencukupi. Tuntutan gaharu tersebut bukanlah satu akibat umum yang boleh diandaikan daripada pencerobohan. Ia merupakan satu tuntutan kerugian kewangan yang khusus. Oleh itu, ia memerlukan bukti yang terperinci mengenai penanaman, bilangan pokok, umur atau kematangan, perbelanjaan yang ditanggung, hasil yang dijangka, dan asas bagi keuntungan yang diunjurkan. Tiada satu pun daripada perkara tersebut dibuktikan dengan tahap kepastian yang diperlukan oleh undang-undang. Tuntutan tersebut, pada tahap terbaik, hanyalah anggaran tanpa sokongan rekod yang sewajarnya. Oleh itu, saya menolak tuntutan keuntungan gaharu tersebut.
72
Alasan yang sama terpakai kepada tuntutan jumlah lain. Saya tidak berpuas hati bahawa penyusutan nilai, kos pembinaan bersampingan, atau mana-mana tuntutan khusus lain telah dibuktikan dengan tahap pembuktian yang mencukupi berdasarkan keterangan yang ada. Bahan penilaian dan keterangan saksi membantu dalam menunjukkan bahawa terdapat gangguan dan ketidakselesaan yang sebenar. Walau bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk membenarkan tuntutan jumlah penuh yang dinyatakan.
73
Dalam keadaan tersebut, saya mendapati bahawa perintah yang wajar adalah ganti rugi am sahaja. Ianya berkesan sebagai pampasan kepada Plaintif-Plaintif bagi gangguan fizikal ke atas tanah mereka, kehilangan amenity, dan ketidakselesaan yang berpanjangan akibat kerja-kerja Defendan.
74
Saya juga tidak membenarkan relif ganti rugi teruk. Ganti rugi teruk adalah bersifat pampasan dan hanya diberikan apabila cara perlakuan salah tersebut menyebabkan kecederaan tambahan kepada perasaan, maruah atau kepentingan seumpamanya. Prinsip ini telah dibincangkan dalam kes Sambaga Valli a/p KR Ponnusamy v Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors [2018] 1 MLJ 784 dan Broome v Cassell & Co Ltd [1972] AC 1027.
75
Berdasarkan keterangan di hadapan saya, saya tidak berpuas hati bahawa perlakuan Defendan mencapai tahap tersebut. Gambaran yang lebih tepat ialah bahawa Defendan bertindak atas asas yang silap dan tanpa pengesahan yang sewajarnya, dan bukannya dengan niat jahat, penindasan atau penghinaan yang disengajakan.
76
Begitu juga, saya menolak untuk memberikan ganti rugi teladan. Ganti rugi teladan adalah luar biasa dan tidak diberikan semata-mata kerana seseorang Defendan didapati bertanggungjawab. Kategori di mana ganti rugi tersebut boleh diberikan adalah terhad, seperti yang dinyatakan dalam kes Rookes v Barnard [1964] AC 1129 dan ditegaskan semula dalam kes Sambaga Valli. Mesti terdapat perlakuan yang menindas, sewenang-wenangnya, tidak berperlembagaan, atau yang dikira untuk memperoleh keuntungan melebihi pampasan yang perlu dibayar. Berdasarkan fakta kes ini, saya tidak berpuas hati bahawa perlakuan Defendan tergolong dalam mana-mana kategori tersebut.
77
Relif injunksi yang dipohon juga ditolak. Keterangan menunjukkan bahawa kerja-kerja tersebut telah pun disiapkan dan diserahkan sekitar Oktober 2019. Dalam keadaan tersebut, hanya ganti rugi merupakan relif yang sesuai.
78
Berkait jumlah yang sesuai, saya menggunakan budi bicara saya, setelah mengguna pakai prinsip taksiran bagi tujuan pampasan dan mengambil pendekatan seragam demi konsistensi dan praktikal, saya membenarkan ganti rugi am sebanyak RM100,000 dibayar kepada setiap seorang Plaintif. Saya berpendapat bahawa jumlah ini adalah adil, munasabah dan berkadaran dengan kerosakan yang dibuktikan. Kesimpulan
79
Berdasarkan alasan di atas, tuntutan Plaintif terhadap Defendan dibenarkan sebahagiannya. Saya mendapati bahawa Defendan bertanggungjawab atas pencerobohan dan kecuaian. Saya menganugerahkan ganti rugi am sebanyak RM100,000.00 kepada setiap Plaintif. Tuntutan pihak ketiga oleh Defendan ditolak sepenuhnya.
80
Defendan diperintahkan membayar kos sebanyak RM20,000.00 kepada Plaintif dan RM10,000.00 kepada Pihak Ketiga, tertakluk kepada alokator. Bertarikh: 20 April 2026 ~signed~ (NOOR HAYATI BINTI HAJI MAT) HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA SHAH ALAM, SELANGOR Bagi pihak Plaintif : Khairul Azam bin Abdul Aziz bersama Nabil Nur Akmal bin Musa Tetuan Azam Aziz & Co. Bagi pihak Defendan : Marcus Tan bersama Chloe Fong Yin Kee Tetuan Ricky Tan & Co. Bagi pihak Ketiga : Shaik Mohamed Imran bin Mohd Ismet Bashah bersama Fairuz Zafirah binti Zainudin Merican Tetuan Farah A. Zabir & Partners
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.