Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. : JA-12B-81-11/2025
JA-12B-81-11/2025
High Court of Malaysia10 Apr 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“atau telah mempertimbangkan bahan-bahan yang tidak relevan, sehingga menghasilkan awad yang berbeza sama sekali daripada apa yang sepatutnya diawadkan. [Lihat : Kovalan Rajoo v. Hanif Muhamad Pauzi [2015] MLRHU 938, Tan Kuan Yau v Suhindrimani [1985] 2 MLJ 22, dan Kow Ah Dek & Anor. v. K. Ratnasingam [1981] 2 MLJ 24].”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM MALAYSIA RAYUAN SIVIL NO. : JA-12B-81-11/2025
1
ZULKARNIN BIN HUSSEIN [NO. K/P : 710531-01-5751]
2
YAP CONTRACTOR [NO. SYARIKAT : JM0069291-H] …PERAYU-PERAYU
1
MD RASIDI BIN GAZALI [NO. K/P : 850314-01-5805] (SEORANG KURANG UPAYA MEMBAWA TINDAKAN MELALUI RESPONDEN KEDUA, NUR AFIKA BINTI AZMAN [NO. K/P : 910521-01-5690] SEBAGAI ISTERI DAN
2
NUR AFIKA BINTI AZMAN [NO. K/P : 910521-01-5690] (MEMBAWA TINDAKAN SEBAGAI SEORANG ISTERI DAN WAKIL LITIGASI YANG SAH SERTA TANGGUNGAN KEPADA MD RASIDI BIN GAZALI [NO. K/P : 850314-01-5805]) …RESPONDEN-RESPONDEN DALAM MAHKAMAH SESYEN DI JOHOR BAHRU DALAM NEGERI JOHOR DARUL TA’ZIM MALAYSIA GUAMAN NO. : JA-B53KJ-52-03/2024
1
MD RASIDI BIN GAZALI [NO. K/P : 850314-01-5805] (SEORANG KURANG UPAYA MEMBAWA TINDAKAN MELALUI RESPONDEN KEDUA, NUR AFIKA BINTI AZMAN [NO. K/P : 910521-01-5690] SEBAGAI ISTERI DAN
2
NUR AFIKA BINTI AZMAN [NO. K/P : 910521-01-5690] (MEMBAWA TINDAKAN SEBAGAI SEORANG ISTERI DAN WAKIL LITIGASI YANG SAH SERTA TANGGUNGAN KEPADA MD RASIDI BIN GAZALI [NO. K/P : 850314-01-5805]) …PLAINTIF-PLAINTIF
1
ZULKARNIN BIN HUSSEIN [NO. K/P : 710531-01-5751]
2
YAP CONTRACTOR [NO. SYARIKAT : JM0069291-H] …DEFENDAN-DEFENDAN
1
Ini adalah rayuan oleh Perayu-Perayu (Defendan-Defendan) terhadap sebahagian keputusan Hakim Mahkamah Sesyen (“HMS”), yang diberikan pada 31 Oktober 2025 berkenaan isu kuantum dalam tuntutan ganti rugi am dan khas akibat kemalangan jalan raya.
2
Untuk kemudahan rujukan dan keselarasan, pihak-pihak akan dirujuk sepertimana di Mahkamah Sesyen, iaitu Perayu-Perayu sebagai Defendan-Defendan dan Responden-Responden sebagai Plaintif-Plaintif.
3
Pihak-pihak telah menfailkan hujahan bertulis dan ikatan otoriti serta berhujah secara lisan atas satu isu khusus berkaitan kos penjagaan dan ini adalah keputusan Mahkamah.
4
Fakta ringkas kes ini adalah seperti berikut. Pada 15.03.2023, lebih kurang jam 10.30 pagi, satu kemalangan jalan raya telah berlaku di Simpang Tiga Jalan Peradin/Belokok antara motorsikal No. : JNB 5711 yang ditunggang oleh Plaintif Pertama dan motorlori No. : JTR 9204 yang dipandu oleh Defendan Pertama. Defendan Kedua adalah syarikat pemilik motorlori tersebut.
5
Pihak-pihak telah merekodkan persetujuan atas isu liabiliti di mana Defendan-Defendan bertanggungan cuai sebanyak 90% manakala Plaintif-Plaintif bertanggungan cuai sebanyak 10%. Perbicaraan diteruskan dengan Bicara Taksiran.
6
Plaintif Pertama merupakan seorang yang kurang upaya (“OKU”) akibat kecederaan kepala dan kecederaan-kecederaan lain yang dialaminya dalam kemalangan ini. Beliau membawa tindakan ini melalui Plaintif Kedua, Nur Afika Binti Azman, iaitu isterinya dan wakil litigasi yang sah. Plaintif Pertama sendiri tidak memberikan keterangan kerana mengalami masalah psikiatri.
7
Setelah meneliti keterangan saksi-saksi dan Hujahan Bertulis pihak-pihak, HMS telah, antara lain, membenarkan awad-awad tertentu yang kini dicabar dalam rayuan ini. Rayuan Defendan-Defendan adalah terhad kepada enam isu sahaja, iaitu –
a
Kos rawatan masa hadapan cervical decompression surgery - RM 26,666.66;
b
Kos penjagaan pra-bicara - RM17,400.00;
c
Kos penjagaan pasca bicara - RM50,000.00;
d
Kehilangan pendapatan Plaintif Pertama - RM29,866.66;
e
Kehilangan pendapatan masa hadapan Plaintif Pertama - RM100,000.00; dan
f
Faedah dan kos.
8
Saya turut membuat pemerhatian bahawa Memorandum Rayuan mengandungi beberapa alasan tambahan termasuk berkenaan awad kos dokumen dan beberapa lain-lain perkara namun, alasan-alasan tersebut tidak dikemukakan dalam Hujahan Bertulis Perayu-Perayu mahupun semasa hujahan lisan dan saya menganggapnya sebagai tidak diteruskan.
9
Prinsip undang-undang berkenaan campur tangan mahkamah rayuan terhadap penilaian ganti rugi oleh mahkamah bicara adalah mantap dan tidak dipertikaikan oleh kedua-dua pihak. Mahkamah di peringkat rayuan hanya akan campur tangan sekiranya mahkamah berpuas hati bahawa –
a
hakim bicara telah bertindak atas prinsip undang-undang yang salah;
b
jumlah ganti rugi yang diawadkan adalah sangat tinggi atau sangat rendah sehingga merupakan suatu anggaran yang jelas tidak munasabah; atau
c
hakim bicara telah tidak mempertimbangkan bahan-bahan yang relevan atau telah mempertimbangkan bahan-bahan yang tidak relevan, sehingga menghasilkan awad yang berbeza sama sekali daripada apa yang sepatutnya diawadkan. [Lihat : Kovalan Rajoo v. Hanif Muhamad Pauzi [2015] MLRHU 938, Tan Kuan Yau v Suhindrimani [1985] 2 MLJ 22, dan Kow Ah Dek & Anor. v. K. Ratnasingam [1981] 2 MLJ 24].
10
Berdasarkan prinsip di atas, berikut adalah analisa dan dapatan Mahkamah bagi setiap isu yang dirayu. Isu (A) : Kos Rawatan Masa Hadapan Cervical Decompression Surgery (RM26,666.66)
11
HMS telah membenarkan awad sebanyak RM26,666.66, iaitu 1/3 daripada jumlah RM80,000.00 yang dituntut, bagi kos rawatan masa hadapan cervical decompression surgery atas alasan bahawa prosedur ini telah dicadangkan oleh Pakar Ortopedik Plaintif, Dr. Teo Pock Chin, untuk memulihkan jari-jari Plaintif Pertama yang lemah.
12
Defendan-Defendan berhujah bahawa HMS telah gagal merujuk kepada laporan Dr C.S. Kumar, Pakar Ortopedik Defendan yang disediakan berdasarkan pemeriksaan yang lebih terkini. Pakar Defendan melaporkan bahawa fracture C7 transverse process Plaintif Pertama telah bercantum, merupakan suatu stable fracture yang tidak melibatkan saraf tunjang dan bahawa kelemahan bilateral anggota atas Plaintif Pertama adalah berkaitan dengan kesan kecederaan kepala, bukan kecederaan tulang belakang. Pakar Defendan jelas menyimpulkan bahawa Plaintif Pertama tidak memerlukan cervical spine decompression surgery.
13
Plaintif-Plaintif pula berhujah bahawa Plaintif Pertama sememangnya mengalami kesakitan dan kelemahan di bahagian jari dan tangan yang mempengaruhi kefungsiannya dan beliau berhak mendapatkan rawatan yang terbaik. Plaintif-Plaintif turut menegaskan bahawa HMS hanya membenarkan 1/3 daripada jumlah yang dituntut, menunjukkan pertimbangan yang telah diambil.
14
Setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak, saya mendapati terdapat merit dalam rayuan Defendan-Defendan seperti yang berikut –
a
Laporan Pakar Ortopedik Defendan adalah laporan yang lebih terkini dan menggambarkan keadaan fizikal Plaintif Pertama pada takat yang lebih hampir dengan perbicaraan. Prinsip bahawa laporan perubatan yang lebih terkini patut diberi keutamaan telah dinyatakan dalam Muhamad Sulaiman v. Siti Naquiah Abdul Razak & Anor [2016] 1 LNS 732 dan Muhammad Hanif Ishak v. Mohammad Syazwan Mohamad Fuad & Anor [2017] 1 LNS 372.
b
Pakar Defendan telah jelas melaporkan bahawa fracture C7 transverse process telah bercantum dan merupakan suatu stable fracture. Kelemahan bilateral anggota atas Plaintif Pertama dikenal pasti sebagai kesan kecederaan kepala, bukan kecederaan tulang belakang;
c
walaupun Plaintif Pertama sememangnya mengalami kelemahan anggota atas, prosedur cervical decompression surgery adalah spesifik kepada kecederaan tulang belakang. Sekiranya kelemahan tersebut berpunca daripada kecederaan kepala sebagaimana dilaporkan oleh Pakar Defendan, maka prosedur pembedahan tulang belakang bukan merupakan rawatan yang sesuai;
d
Alasan Penghakiman HMS pada hakikatnya hanya menyatakan bahawa Plaintif Pertama tidak wajar dinafikan haknya untuk mendapatkan rawatan yang terbaik dan oleh kerana tiada keterangan menyatakan pembedahan tersebut tidak boleh dilakukan di hospital kerajaan, Mahkamah hanya membenarkan 1/3 daripada jumlah yang dituntut. Saya mendapati Alasan Penghakiman HMS tidak memberikan penjelasan mengapa saranan Pakar Plaintif dipilih berbanding Pakar Defendan dan tidak pula menjelaskan bagaimana kelemahan jari Plaintif Pertama dikaitkan dengan kecederaan C7 transverse process fracture yang bersifat stabil dan telah bercantum;
e
Plaintif Pertama juga tidak lagi menerima rawatan susulan ortopedik dari Jabatan Ortopedik, yang menyokong dapatan Pakar Defendan bahawa tiada keperluan untuk pembedahan lanjut; dan
f
saranan Pakar Plaintif sendiri (Dr. Teo Pock Chin) bagi cervical decompression surgery adalah suatu saranan bersyarat sahaja, iaitu "If condition is worsening, he needs cervical decompression surgery". Saranan tersebut bukanlah suatu saranan kategorikal atau muktamad, sebaliknya bergantung kepada keadaan Plaintif Pertama bertambah teruk pada masa hadapan. Prinsip undang-undang jelas mengariskan bahawa suatu saranan bersyarat seumpama itu tidak mampu memenuhi standard strict proof yang dikehendaki bagi tuntutan ganti rugi khas. [Lihat : Muhamad Sulaiman v. Siti Naquiah Abdul Razak & Anor [2016] 1 LNS 732]. Oleh itu, saya berpandangan bahawa walaupun HMS membenarkan 1/3 daripada jumlah yang dituntut atas alasan-alasan yang dinyatakan di perenggan (d) di atas, sifat bersyarat saranan Pakar Plaintif itu sendiri sudah memadai untuk menggugat asas tuntutan ini secara keseluruhannya.
15
Oleh yang demikian, saya berpuas hati bahawa HMS telah terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan laporan Pakar Defendan yang lebih terkini dan gagal memberikan alasan yang mencukupi untuk memilih saranan Pakar Plaintif. Oleh itu, awad sebanyak RM26,666.66 bagi item ini adalah diketepikan. Isu (B) : Kos Penjagaan Pra-Bicara (RM17,400.00)
16
Bagi isu ini, pertikaian utama adalah berkenaan tahap kebergantungan Plaintif Pertama untuk aktiviti harian (ADL). Defendan-Defendan merujuk kepada laporan Jabatan Rehabilitasi Hospital Sultanah Aminah dan menegaskan skor Modified Barthel Index (MBI) Plaintif Pertama adalah 93/100, menunjukkan hanya sedikit kebergantungan. Plaintif-Plaintif pula merujuk kepada laporan yang sama dan menyatakan skornya adalah 10/30. Saya turut mengambil maklum bahawa HMS dalam Alasan Penghakimannya sendiri telah memetik laporan Jabatan Rehabilitasi sebagai melaporkan “MBI score 10/30” dan sebarang pertikaian terhadap angka tersebut sepatutnya diuji semasa pemeriksaan balas pegawai yang menyediakan laporan. Walau apa pun, saya berpandangan, persoalan tafsiran tepat skor MBI tidak menentukan keputusan Mahkamah ini, kerana saya bersandar pada penilaian GOSE (Glasgow Outcome Scale Extended) yang lebih komprehensif, yang merangkumi keupayaan kognitif dan bukan sekadar keupayaan ADL fizikal.
17
Walau bagaimanapun, saya mengambil kira keterangan keseluruhan termasuk laporan pakar neuropsikiatri Dr. Norhashim yang jelas melaporkan bahawa Plaintif Pertama mengalami defisit kognitif yang teruk termasuk masalah memori jangka pendek dan panjang, masalah perhatian, kelemahan fungsi eksekutif, masalah pembelajaran, masalah bahasa dan kelemahan motor-persepsi. Pada skala GOSE, Plaintif Pertama diklasifikasikan di bawah kategori upper severe disability, yang bermakna beliau memerlukan bantuan separa penuh dalam ADL dan tidak berupaya untuk bekerja.
18
Hujahan Defendan-Defendan bahawa Jabatan Rehabilitasi bukan jabatan pakar dan oleh itu skor MBI tidak boleh dirujuk adalah tidak bermerit. Skor MBI merupakan suatu alat penilaian klinikal yang standard dan diiktiraf secara antarabangsa, yang secara lazimnya ditadbir oleh profesional rehabilitasi yang terlatih. Walau apa pun, saya telah merujuk kepada penilaian GOSE yang lebih komprehensif oleh pakar neuropsikiatri, yang mengambil kira bukan sahaja keupayaan fizikal tetapi juga defisit kognitif Plaintif Pertama.
19
Saya mengambil perhatian terhadap hujahan Defendan-Defendan bahawa Plaintif Pertama telah menunjukkan pemulihan yang baik dari segi ortopedik, termasuk keupayaan melakukan aktiviti harian dengan kesukaran hanya dalam mengangkat barang berat. Namun, keperluan penjagaan Plaintif Pertama tidak berpunca daripada keilatan ortopedik semata-mata. Keterangan pakar neuropsikiatri dengan jelasnya menunjukkan defisit kognitif yang teruk termasuk masalah memori, kelemahan fungsi eksekutif dan masalah perhatian. Seseorang yang berupaya secara fizikal untuk melakukan aktiviti harian masih memerlukan pengawasan dan bantuan sekiranya fungsi kognitifnya terjejas teruk. Klasifikasi GOSE sebagai upper severe disability secara khususnya mengambil kira keseluruhan keupayaan fungsional, bukan keupayaan fizikal sahaja.
20
Plaintif Kedua (SP4) turut memberi keterangan bahawa Plaintif Pertama memerlukan penjagaan dan pengawasan selepas kemalangan dan bahawa beliau tidak memerlukan penjagaan sebelum kemalangan. Keluarganya terpaksa menutup perniagaan untuk menjaga Plaintif Pertama di hospital.
21
Tempoh penjagaan pra-bicara yang dikira oleh Plaintif-Plaintif adalah 29 bulan (15.03.2023 hingga 03.09.2025) pada kadar RM1,000.00 sebulan, berjumlah RM29,000.00. HMS membenarkan hanya RM17,400.00, iaitu jumlah yang lebih rendah daripada yang dituntut.
22
HMS telah membuat pengiraan terperinci pada kadar RM600.00 sebulan untuk tempoh 29 bulan, iaitu suatu pengurangan ketara daripada kadar RM1,000.00 yang dituntut. Pengurangan kadar ini sendiri menunjukkan pertimbangan kehakiman yang berkadaran terhadap tahap kebergantungan Plaintif Pertama. Oleh itu, tiada sebab untuk Mahkamah rayuan campur tangan dalam pemberian awad ini.
23
Setelah meneliti keseluruhan keterangan, saya berpendapat bahawa awad penjagaan pra-bicara sebanyak RM17,400.00 adalah munasabah dan wajar memandangkan tahap keilatan Plaintif Pertama yang diklasifikasikan sebagai upper severe disability pada skala GOSE. Oleh itu, HMS tidak bertindak atas prinsip undang-undang yang salah dan awad tersebut bukanlah sangat tinggi sehingga merupakan suatu anggaran yang jelas tidak munasabah. Rayuan atas isu ini adalah ditolak. Isu (C) : Kos Penjagaan Pasca Bicara (RM50,000.00)
24
Defendan-Defendan berhujah bahawa awad RM50,000.00 ini tidak disokong oleh keterangan yang mencukupi memandangkan prognosis Jabatan Neurologi melaporkan overall prognosis Plaintif Pertama adalah “Good where handicap is expected transient”. Defendan-Defendan turut berhujah bahawa tiada pakar rehabilitasi yang dirujuk untuk menilai keperluan nursing care jangka panjang dan tiada keterangan dari Plaintif Kedua bahawa Plaintif Pertama memerlukan penjagaan sepanjang hayat.
25
Plaintif-Plaintif pula berhujah bahawa laporan pakar neuropsikiatri dan laporan neurosurgeri jelas menunjukkan Plaintif Pertama memerlukan bantuan dalam ADL. Pakar neurosurgeri Dr. Timothy Loh Chuh Yu mengesahkan Plaintif Pertama sebagai OKU yang tidak berupaya bekerja selamanya. Plaintif Kedua turut mengesahkan bahawa Plaintif Pertama masih memerlukan penjagaan selepas perbicaraan. Plaintif-Plaintif malah berhujah bahawa awad RM50,000.00 adalah terlampau rendah dan tidak setimpal.
26
Saya mengambil perhatian bahawa terdapat beberapa ketidaktentuan berkenaan tahap kebergantungan ADL Plaintif Pertama apabila laporan-laporan yang dirujuk oleh kedua-dua pihak memberi gambaran yang berbeza. Namun, saya berpendapat bahawa keterangan keseluruhan, secara khususnya laporan pakar neuropsikiatri yang mengklasifikasikan Plaintif Pertama di bawah kategori upper severe disability (GOSE), keterangan Plaintif Kedua, dan pengesahan status OKU oleh pakar neurosurgeri, secara keseluruhannya menyokong keperluan penjagaan pasca bicara untuk Plaintif Pertama.
27
Walau bagaimanapun, saya mengambil perhatian bahawa HMS sendiri dalam Alasan Penghakimannya menyatakan bahawa Plaintif Pertama tidak memerlukan penjagaan penuh sepanjang hayat tetapi masih memerlukan penjagaan yang minimal daripada ahli keluarganya. Saya turut membuat pemerhatian bahawa sekiranya jumlah RM50,000.00 itu dianggap sebagai mencerminkan kadar penjagaan minimal pada anggaran sekitar RM500.00 sebulan untuk tempoh lebih kurang 8 hingga 9 tahun, atau pada kadar yang lebih rendah untuk tempoh yang lebih panjang, jumlah tersebut berada dalam lingkungan munasabah memandangkan jangka hayat berbaki Plaintif Pertama yang masih panjang sebagai seorang lelaki berusia awal 40-an pada tarikh penghakiman dan tahap keilatan kognitifnya yang berkekalan. Saya tidak melihat keperluan untuk pengiraan multiplier yang formal dalam keadaan di mana award diberikan secara global bagi penjagaan minimal jangka pendek hingga sederhana, dan jumlah RM50,000.00 itu tidak boleh dikatakan sangat tinggi sehingga merupakan suatu anggaran yang jelas tidak munasabah. Oleh itu, awad sebanyak RM50,000.00 secara global bagi penjagaan pasca bicara, dalam konteks ini, adalah munasabah dan tidak merupakan suatu anggaran yang jelas tidak wajar. Sehubungan dengan itu, Rayuan atas isu ini adalah ditolak. Isu (D) : Kehilangan Pendapatan Plaintif Pertama (RM29,866.66)
28
Isu ini merupakan isu terpenting dalam rayuan ini. HMS telah membenarkan awad sebanyak RM29,866.66 bagi kehilangan pendapatan pra-bicara setelah menerima keterangan bahawa Plaintif Pertama bekerja sebagai pemandu lori semasa kemalangan dengan pendapatan RM1,600.00 sebulan.
29
Defendan-Defendan berhujah bahawa Plaintif-Plaintif telah gagal membuktikan bahawa Plaintif Pertama sememangnya bekerja dan menerima pendapatan pada masa kemalangan berlaku.
30
Saya telah meneliti keterangan dan mendapati ketidaktentuan yang material seperti berikut –
a
Plaintif Pertama didakwa bekerja di syarikat AK Ashari Enterprise sebagai pemandu lori. Namun, slip-slip gaji yang dikemukakan (Ekshibit P2) adalah daripada syarikat Darwis Salju Enterprise, suatu syarikat yang berbeza;
b
Saksi SP1 memberi keterangan bahawa dokumen slip gaji sebenarnya dihasilkan oleh syarikat Darwis Salju, bukan oleh syarikatnya. Beliau mendakwa hubungan subcon-maincon antara kedua-dua syarikat tetapi tiada sebarang bukti dokumentari dikemukakan untuk menyokong dakwaan ini. Beliau turut bersetuju bahawa carian SSM menunjukkan kedua-duanya adalah dua syarikat yang berbeza;
c
Saksi SP2 mengesahkan bahawa AK Ashari dan Darwis Salju bukan anak syarikat dan merupakan dua syarikat yang berbeza. Lebih penting lagi, SP2 memberi keterangan bahawa Plaintif Pertama tiada kaitan dengan perniagaan Darwis Salju dan di luar pengetahuannya;
d
slip-slip gaji tidak ditandatangani oleh Plaintif Pertama dan tidak mengandungi tandatangan SP2 mahupun cop perniagaan;
e
Tiada sebarang rekod kehadiran, kontrak pekerjaan, penyata EPF atau SOCSO atau rekod bank yang dikemukakan untuk membuktikan pekerjaan dan pembayaran gaji kepada Plaintif Pertama; dan
f
tiada bukti yang dikemukakan bahawa Plaintif Pertama telah menerima apa-apa bentuk bayaran daripada mana-mana syarikat terbabit. Saya mendapati bahawa walaupun Seksyen 25 Akta Kerja 1955 [Akta 265] yang menghendaki gaji dibayar melalui institusi kewangan tidak menentukan secara konklusif kewujudan atau ketiadaan sesuatu pekerjaan, namun, ketiadaan sebarang rekod bank apabila digabungkan dengan kelemahan-kelemahan keterangan lain di atas, menambah pemberat kepada kegagalan Plaintif-Plaintif memenuhi standard strict proof yang dikehendaki.
31
Saya merujuk kepada prinsip yang dinyatakan dalam Muhammad Hanif Bin Ishak, di mana Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa tuntutan kehilangan pendapatan memerlukan pembuktian yang ketat (strict proof). Oleh itu Mahkamah-mahkamah di peringkat Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen harus berwaspada daripada terlalu bebas dalam menerima keterangan yang tidak disokong oleh bukti dokumentari yang mencukupi.
32
Saya merujuk kepada keputusan Rayuan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam Rayuan No. Kes : JA-12B-29-10/2024, yang menegaskan bahawa ketiadaan bukti pendapatan yang boleh diterima mempunyai kesan langsung terhadap tuntutan kehilangan pendapatan dan kehilangan pendapatan masa hadapan. Prinsip asas beban bukti di bawah Seksyen 101 hingga 103 Akta Keterangan 1950 [Akta 56] menghendaki pihak yang mendakwa kerugian membuktikan kewujudan dan jumlah kerugian tersebut.
33
Saya juga mengambil maklum hujahan Plaintif-Plaintif yang merujuk kepada Mohamad Khirul Mizan Shafie & Anor v. Yue Ah Kai [2002] 3 MLRH 42 dan Leng Yang Sua & Anor. v. Ng Yen Kee & Anor [1986] CLJ Rep 448 bagi prinsip bahawa keterangan majikan tidak boleh ditolak bulat-bulat dan bahawa mahkamah harus membuat sesuatu awad berdasarkan keterangan terbaik yang ada. Namun, Mahkamah ini berpendapat bahawa kes ini berbeza secara material daripada keadaan dalam kes-kes tersebut. Di sini, bukan sahaja keterangan lisan yang lemah, malah keterangan dokumentari yang dikemukakan secara positif bertentangan dengan dakwaan Plaintif-Plaintif di mana slip gaji dikeluarkan oleh syarikat yang bukan majikan yang didakwa dan pemilik syarikat pengeluar dokumen itu sendiri menafikan sebarang kaitan dengan Plaintif Pertama.
34
Tambahan pula, kedua-dua kes ini sendiri tidak menerima keterangan secara bulat-bulat. Dalam Leng Yang Sua, Mahkamah membuat keputusan untuk tidak mengawadkan apa-apa bagi kehilangan pendapatan apabila keterangan dokumentari yang sepatutnya ada (seperti rekod akaun, jualan dan penyata cukai) tidak dikemukakan. Dalam Mohamad Khirul Mizan Shafie, Mahkamah mengurangkan jumlah awad daripada RM400.00 kepada RM300.00 sebulan disebabkan ketiadaan keterangan dokumentari sokongan, walaupun pekerjaan disahkan oleh majikan. Maka, kedua-dua otoriti yang dirujuk oleh Plaintif-Plaintif sebenarnya menyokong penerapan prinsip strict proof yang lebih ketat, bukan sebaliknya.
35
Oleh yang demikian, saya berpuas hati bahawa HMS telah terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila membenarkan awad kehilangan pendapatan pra-bicara dalam keadaan di mana keterangan dokumentari yang dikemukakan tidak mampu membuktikan pekerjaan dan pendapatan Plaintif Pertama pada takat kemalangan, malah secara positif bertentangan dengan dakwaan Plaintif-Plaintif sendiri. Sehubungan dengan itu, awad sebanyak RM29,866.66 bagi item ini adalah diketepikan. Isu (E) : Kehilangan Pendapatan Masa Hadapan Plaintif Pertama
36
Isu ini adalah berkait secara langsung dengan Isu (D) di atas. Seksyen 28A(2)(c)(i) Akta Undang-Undang Sivil 1956 [Akta 67] memperuntukkan bahawa ganti rugi bagi kehilangan pendapatan masa hadapan tidak boleh diawadkan melainkan ianya dibuktikan atau diakui bahawa plaintif “was receiving earnings by his own labour or other gainful activity before he was injured”.
37
Mahkamah Agong dalam Tan Kim Chuan & Anor. v. Chandu Nair Krishna Nair [1991] 1 CLJ Rep 441 telah menegaskan bahawa ianya merupakan suatu prasyarat asas (essential prerequisite) bahawa dalam mengawadkan ganti rugi bagi kehilangan pendapatan masa hadapan atau kehilangan keupayaan menjana pendapatan, mestilah terdapat bukti bahawa plaintif sememangnya menerima pendapatan melalui pekerjaannya atau aktiviti lain sebelum beliau cedera. [Lihat : juga Dirkje Pieternella Halma v. Mohd Noor Baharom & Ors [1990] 1 CLJ Rep 99 dan Chong Chee Khong & Anor v. Ng Yeow Hin [1997] 4 CLJ SUPP 17].
38
Memandangkan saya telah mendapati di Isu (D) bahawa Plaintif-Plaintif gagal membuktikan bahawa Plaintif Pertama sememangnya bekerja dan menerima pendapatan yang sah sebelum kemalangan berlaku, maka prasyarat mandatori di bawah Seksyen 28A(2)(c)(i) Akta 67 tidak dipenuhi.
39
Saya turut mengakui bahawa keterangan perubatan dari pelbagai pakar, termasuk pakar psikiatri, ortopedik dan neurosurgeri, secara konsisten menunjukkan bahawa Plaintif Pertama tidak berupaya untuk kembali bekerja. Ini bukanlah suatu perkara yang dipertikaikan. Namun, isu yang perlu diputuskan di sini bukanlah sama ada Plaintif Pertama mampu bekerja, tetapi sama ada beliau telah membuktikan bahawa beliau sememangnya bekerja dan menerima pendapatan sebelum kemalangan. Ini merupakan prasyarat di sisi undang-undang.
40
Oleh yang demikian, awad sebanyak RM100,000.00 bagi kehilangan pendapatan masa hadapan adalah diketepikan.
41
Memandangkan awad-awad bagi kehilangan pendapatan pra-bicara, kehilangan pendapatan masa hadapan dan kos rawatan masa hadapan cervical decompression surgery telah diketepikan, maka, isu faedah ke atas awad-awad tersebut tidak lagi berbangkit.
42
Bagi awad-awad yang dikekalkan, iaitu kos penjagaan pra-bicara dan kos penjagaan pasca bicara, faedah hendaklah berjalan seperti yang diperintahkan oleh HMS dan faedah ke atas awad masa hadapan (kos penjagaan pasca bicara sebanyak RM50,000.00) hendaklah dikira dari tarikh penghakiman Mahkamah Sesyen sahaja, bukan dari tarikh kemalangan.
43
Berdasarkan pertimbangan di atas, keputusan Mahkamah ini adalah seperti berikut –
a
Rayuan Defendan-Defendan atas Isu (A) – kos rawatan masa hadapan cervical decompression surgery sebanyak RM26,666.66 adalah dibenarkan. Awad ini diketepikan;
b
Rayuan Defendan-Defendan atas Isu (B) – kos penjagaan pra-bicara sebanyak RM17,400.00 adalah ditolak. Awad ini dikekalkan;
c
Rayuan Defendan-Defendan atas Isu (C) – kos penjagaan pasca bicara sebanyak RM50,000.00 adalah ditolak. Awad ini dikekalkan;
d
Rayuan Defendan-Defendan atas Isu (D) – kehilangan pendapatan Plaintif Pertama sebanyak RM29,866.66 adalah dibenarkan. Awad ini diketepikan;
e
Rayuan Defendan-Defendan atas Isu (E) – kehilangan pendapatan masa hadapan Plaintif Pertama sebanyak RM100,000.00 adalah dibenarkan. Awad ini diketepikan;
f
Rayuan atas Isu (F) – faedah ke atas awad-awad masa hadapan yang dikekalkan hendaklah dikira dari tarikh penghakiman sahaja.
44
Secara ringkasnya, rayuan ini dibenarkan sebahagian. Jumlah ganti rugi khas keseluruhan yang diawadkan oleh HMS dikurangkan sebanyak RM156,533.32, iaitu jumlah keseluruhan awad-awad yang diketepikan (RM26,666.66 + RM29,866.66 + RM 100,000.00). Awad-awad lain yang tidak dirayu kekal sebagaimana yang diperintahkan oleh HMS.
45
Berkenaan kos, memandangkan rayuan ini dibenarkan sebahagian sahaja, Mahkamah ini memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing. Bertarikh : 10 April 2026 -signed-Dr Noradura binti Hamzah Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sivil 2 Johor Bahru Peguamcara Perayu-Perayu : : Samreet Singh Sagoo Tetuan Lovelace & Hastings Peguamcara Responden-Responden : :
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.