Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR KEBANKRAPAN NO.: WA-29NCC-907-07/2022 PERKARA: VASANTHE A/P NARAYANASAMY …PENGHUTANG PENGHAKIMAN EX-PARTE: A GANASAN A/L K.ARUMUGAM …PEMIUTANG KEHAKIMAN
WA-29NCC-907-07/2022
High Court of Malaysia22 Jun 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR KEBANKRAPAN NO.: WA-29NCC-907-07/2022 PERKARA: VASANTHE A/P NARAYANASAMY …PENGHUTANG PENGHAKIMAN EX-PARTE: A GANASAN A/L K.ARUMUGAM …PEMIUTANG KEHAKIMAN
1
Ini adalah rayuan oleh Vasanthe a/p Narayanasamy (Perayu/JD) terhadap keputusan Timbalan Pendaftar yang telah diberikan pada 22 Jun 2023 yang telah menolak permohonan Penghutang Penghakiman (JC) dalam Kandungan 28 iaitu untuk membatalkan/ mengenepikan Petisyen Pemiutang bertarikh 1/11/2022 yang difailkan oleh Pemiutang Penghakiman (Petisyen Pemiutang tersebut).
2
Alasan-alasan kepada permohonan (Perayu/JD) telah dinyatakan di dalam afidavit sokongan mereka dalam Kandungan 29. Terdapat 2 isu yang ditimbulkan oleh Perayu/JD iaitu:- 1) Amaun yang masih terhutang adalah kurang daripada RM100,000.00 dan mengingkari seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi (Pindaan) 2020; dan 2) Perayu/JD adalah seorang yang ‘solven’ di mana beliau telahpun membayar RM149,712.00 sejak bulan Februari 2023 sehingga kini meninggalkan baki sebanyak RM99, 848.00 sahaja.
3
Dalam afidavitnya, Perayu/JD menyatakan bahawa Peguamnya telah membuat cadangan penyelesaian bersama JC melalui satu surat bertarikh 2/2/2023 dan 15/2/2023 supaya amaun terhutang dibayar secara ansuran bulanan dan satu cek berjumlah RM80,000.00 dihantar bersama sebagai wang pendahuluan. Sebagai ansuran pertama, cek berjumlah RM33,912.00 telah dihantar melalui surat bertarikh 15/3/2023 dan cek kedua berjumlah RM35,800.00 pula melalui surat beertaarikh 3/4/2023 seperti yang dijanjikan.
4
Perayu/JD seterusnya menyatakan bahawa beliau percaya JC telah menebus cek berjumlah RM80,000.00 dan RM33,912.00 namun JC telah mengembalikan cek berjumlah RM35,800.00 walaupun Perayu/JD sedia untuk membayar. Perayu/ JD merasakan tindakan JC ini mempunyai ‘mala fide’ kerana sengaja tidak mahu menerima cek tersebut. [5] Perayu/ JD kemudian dari itu telah mendepositkan sejumlah wang sebanyak RM44,500.00 ke dalam akaun RHB Bank Berhad milik JC dan percaya setelah menolak bayaran-bayaran tersebut amaun yang terhutang adalah sebanyak RM91,148.00 sahaja. Oleh yang demikian, amaun sebanyak RM91, 148.00 adalah bertentangan dengan seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi (pindaan) 2020 di mana seseorang hanya boleh diisytiharkan sebagai bankrap sekiranya hutang beliau adalah sekurang-kurangnya RM100,000.00 pada tarikh perintah kebankrapan dibuat. [6] Bagi isu yang kedua, Perayu/JD menegaskan bahawa beliau adalah seorang yang ‘solven’ di mana beliau berupaya untuk membayar jumlah yang terhutang sebanyak RM91,148 dan dalam tempoh dua (2) bulan mampu untuk membayar sejumlah RM158,412.00. Perayu/JD hanya memerlukan sedikit masa sahaja lagi untuk menyelesaikan hutang tersebut. [7] Berdasarkan alasan-alasan dia atas, justeru Perayu/JD memohon supaya permohonan ini dibenarkan dan Mahkamah membatalkan petisyen pemiutang tersebut. [8] JC dalam menjawab alegasi-alegasi yang dibangkitkan oleh Penghutang Penghakiman melalui afidavit jawapannya dalam Kandungan 34 menegaskan bahawa Petisyen Pemiutang bertarikh 1/11/2022 yang difailkan olehnya adalah 3 berdasarkan Notis Kebankrapan bertarikh 20/7/2022 (Notis Kebankrapan). Notis Kebankrapan ini dikeluarkan berasaskan satu penghakiman terus yang diberikan terhadap Perayu/JD melalui tindakan Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur guaman no. WA-A52NCVC-595-09/2021. Oleh kerana jumlah yang terhutang setakat 20/7/2022 adalah sebanyak RM249,560.00 (amaun terhutang) oleh itu ia adalah selaras dengan keperluan di bawah seksyen 5(1) (a) Akta Insolvensi (pindaan) 2020. [9] JC kemudiannya menyatakan bahawa Notis Kebankrapan tersebut telah disempurnakan penyerahannya secara penyampaian ganti pada 30/9/2022 dan selepas itu tiada sebarang pembayaran atau apa-apa tuntutan balas atau tolakan dibuat oleh Perayu/JD. Oleh kerana perbuatan kebankrapan telah dibuat oleh Perayu/JD pada 12/10/2022, maka pemfailan Petisyen Pemiutang tersebut adalah sah mengikut peruntukan seksyen 5(1)(c) Akta Insolvensi. Justeru pemfailan Saman Dalam Kamat bagi Kandungan 28 adalah bersifat ‘untenable and unfounded in law and ought to be struck out’. [10] JC selanjutnya menyatakan bahawa sebarang tawaran untuk menyelesaikan amaun terhutang dibuat selepas Petisyen Pemiutang tersebut diserahkan secara serahan tangan kepada Perayu/JD pada 9/11/2022. JC pada setiap masa telah menolak tawaran penyelesaian hutang oleh Perayu/JD dan menuntut amaun terhutang hendaklah dibayar sekaligus. Dengan maksud lain, JC tidak bersetuju dengan apa-apa cadangan penyelesaian yang dibuat oleh Perayu/JD. Akan tetapi, Perayu/JD walaupun cadangan penyelesaiannya telah ditolak oleh JC masih memberi jumlah bayaran secara berperingkat atas alasan yang hanya diketahuinya sendiri. Walaupun Peguamcara JC telah menghantar suratnya yang bertarikh 16/2/2023 untuk menyatakan mengapa bayaran dibuat secara separa tidak akan diterima akan tetapi Perayu/JD masih berdegil dan menghantar satu cek di bawah nama firma peguamcara JD untuk jumlah RM33,912.00. Pegumacara JC kemudiannya menghantar surat bertarikh 20/3/2023 dan telah menolak tawaran penyelesaian Perayu/JD itu. Begitu juga dengan cek kedua berjumlah RM35,800.00, JC telah mengarahkan peguamcaranya untuk memulangkan cek tersebut dan menuntut agar pembayaran dibuat sekaligus untuk amaun terhutang tersebut. [11] JC seterusnya menyatakan bahawa beliau sangat terkejut apabila Perayu/JD telah tanpa pengetahuan JC telah mendepositkan sebanyak RM44,500.00 ke dalam akaun banknya walaupun Perayu/JD telah tahu berkenaan keenganan JC untuk 4 menerima apa-apa bayaran ansuran. JC seterusnya telah memindahkan semula jumlah sebanyak RM44.500.00 ke dalam akaun peguamcaranya. JC percaya bahawa tindakan peguamcara Perayu/ JD ini adalah tidak beretika dan peguamcara JC akan membuat aduan sewajarnya terhadap peguamcara Perayu/JC kepada Lembaga Tatatertib Peguambela & Peguamcara di Majlis Peguam Negara. [12] JC dalam afidavitnya menegaskan bahawa beliau percaya apa-apa pembayaran yang dibuat oleh Perayu/JC itu tidak menjadikan pengurangan keberhutangan penghakiman secara retrospektif dan tidak membuat Notis Kebankrapan mahupun Petisyen Pemiutang cacat atau tidak sempurna. Sesungguhnya pada setiap masa yang material JC telah mengarahkan peguamcaranya untuk menuntut jumlah penuh yang terhutang sebagaimana yang dinyatakan dalam Notis Kebankrapan tersebut dan segala bayaran yang telah diterima sebelum ini adalah tanpa prejudis kepada haknya untuk menuntut amaun terhutang tersebut.
13
Dalam menjawab isu Perayu/JD adalah seorang yang ‘solven’ ianya tidak relevan sama sekali kerana jika Perayu/JD adalah seorang yang ‘solven’ sepatutnya beliau membuat bayaran penuh ke atas amaun terhutang tersebut dan bukannya pembayaran secara separa.
14
Pemiutang Penghakiman menyimpulkan bahawa, oleh kerana Perayu/ JD telah gagal untuk menyelesaikan amaun terhutang atau jumlah penghakiman sejak tarikh penghakiman iaitu 21/2/2022 dan kemudiannya telah melakukan perbuatan kebankrapan, maka sewajarnya JC memulakan prosiding kebankrapan ini. Justeru Pemiutang Penghakiman memohon supaya permohonan Kandungan ini ditolak dengan kos.
15
Setelah membaca afidavit-afidavit daripada pihak Perayu/ JD dan JC dan tiada hujahan difailkan sebagaimana arahan Mahkamah pada 13/4/2023dan setelah memperhalusi secara maksima otoriti yang diberikan, Mahkamah mendapati Perayu/JC tidak mempunyai alasan yang bermerit terhadap kesemua alegasi yang 5 dinyatakan dalam afidavit yang difailkannya dan Mahkamah menolak Kandungan 28 dengan kos sebanyak RM1,000.00. Isu pertama yang dibangkitkan, untuk menentukan sama Amaun yang masih terhutang adalah kurang daripada RM100,000.00 dan mengingkari seksyen 5(1)(a) Akta Insolvensi (Pindaan) 2020
16
Mahkamah mendapati, penghakiman yang diperolehi daripada Mahkamah Sesyen bertarikh di Kuala Lumpur guaman no. WA-A52NCVC-595-09/2021 adalah muktamad dan oleh kerana jumlah yang terhutang setakat 20/7/2022 adalah sebanyak RM249,560.00 oleh yang demikian itu ia adalah selaras dengan seksyen 5(1) (a) Akta Insolvensi (pindaan) 2020. Telah jelas di sini bahawa isu yang dibangkitkan oleh Penghutang Penghakiman ini tidak bercanggah dengan apa-apa keperluan bagi sesuatu petisyen pemiutang itu boleh difailkan sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah seksyen 5(1) Akta Insolvensi 1967, maka Petisyen Pemiutang ini adalah sempurna. Isu kedua, sama ada Perayu/JD adalah seorang yang ‘solven’ di mana beliau telahpun membayar RM149,712.00 sejak bulan Februari 2023 sehingga kini meninggalkan baki sebanyak RM99, 848.00 sahaja.
17
Dalam memutuskan isu kedua ini, Mahkamah menggunakan pendekatan yang mudah dan logik dimana, jika benar Perayu/JC mengatakan dirinya ‘solven’, tidak wujud isu amaun yang tertunggak dibayar secara ansuran yang mana ia tidak dipersetujui oleh JC, dan kelakuan peguamcara Perayu/JD memindahkan ansuran sebanyak RM44,500.00 ke dalam akaun peguamcara JC secara tidak disedari dan pada masa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar pada tarikh 13/4/2023 peguamcara Perayu/JC mendesak Timbalan Pendaftar untuk mengarahkan peguamcara JC memulangkan wang tersebut adalah suatu tindakan yang tidak beradab serta menghina Mahkamah. Peguamcara Perayu/JD turut memaklumkan kepada anak guamnya yang hadir bersama dengan mengatakan Puan Timbalan Pendaftar tidak mahu mendengar alasan serta penjelasannya, jelas ini merupakan suatu alegasi yang mempertikaikan bidangkuasa Mahkamah dalam memberikan arahan dan keputusan bagi setiap permohonan yang difailkan. Mahkamah setelah 6 meneliti Petisyen Pemiutang yang difailkan oleh JC, jelas menunjukkan keperluan-keperluan seperti yang dinyatakan dalam seksyen 5(1) Akta Insolvensi telahpun dipenuhi oleh Pemiutang Penghakiman.
18
Daripada dapatan-dapatan Mahkamah ini yang telah dihuraikan di atas, Mahkamah telah berpuashati di mana setiap isu yang dibangkitkan oleh Penghutang Penghakiman sehingga merayu terhadap keputusan Timbalan Pendaftar telahpun dijawab dengan asas serta bukti yang kukuh. Oleh yang demikian itu, Mahkamah mendapati bahawa permohonan Penghutang Penghakiman di dalam kandungan 28 ini tidak bermerit dan haruslah ditolak. t.t (PUAN NURUL ‘AIN BINTI ABDUL RAHIM) Timbalan Pendaftar Bahagian Kebankrapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Bertarikh: 17 Julai 2023
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.