(c) tiada klausa yang memberi hak kepada Defendan untuk menamatkan Management Agreement maka kausa tindakan terhadap Defendan bahawa Defendan telah memungkiri Management Agreement secara unilateral adalah tidak berasas dan obviously unsustainable. [52] Keterangan SD2 (Norhafizah binti Hamid, mantan public relation officer kepada Defendan) adalah saksi yang paling rapat dengan Defendan khususnya mengenai pengaturan dan pengurusan aktiviti Defendan sebagai artis syarikat Plaintif. [53] Pada awal SD2 hendak memberi keterangannya di mahkamah terbuka, SD2 memberitahu Mahkamah ini bahawa beliau menerima surat bertarikh 25-8-2022 daripada peguam cara Plaintif yang dialamatkan kepada SD2 di mana SD2 dilarang memberitahu apa-apa rahsia syarikat Plaintif dalam perbicaraan kes ini, peguam cara Plaintif terpelajar bangun untuk menyatakan bahawa surat tersebut tiada kaitan dengan kes di hadapan Mahkamah ini. Peguam cara Plaintif terpelajar memberitahu Mahkamah bahawa SD2 ada hutang dengan Plaintif. [54] Berdasarkan keterangan SD2 ini, walaupun SD2 menjadi saksi bagi Defendan, SD2 hanya menceritakan mengenai aktiviti yang dilakukan oleh Defendan dalam memenuhi obligasinya di bawah perjanjian pengurusan. Tiada apa-apa keterangan SD2 memprejudiskan Plaintif dan dalam pemeriksaan balas oleh peguam cara Plaintif terpelajar, SD2 menyatakan bahawa susunan projek dan aktiviti Defendan tidaklah pada atau membebankan Defendan. SD2 juga mengakui bahawa SD2 ada menasihati Defendan untuk tidak meneruskan aktiviti/projek apabila SD2 mendapati Defendan mengalami kemalangan. [55] Perenggan 6 dan 7 Pembelaan memplidkan bahawa Plaintif telah melanggar perjanjian pengurusan di mana “the management duties” yang perlu dilaksanakan oleh Plaintif telah tidak dilaksanakan. Tuntutan balas Defendan terhadap Plaintif menuntut jumlah wang sebanyak RM33,420.00 sebagai bayaran yang masih belum dibayar oleh Plaintif kepada Defendan. [56] Mahkamah ini membenarkan tuntutan balas bagi jumlah wang sebanyak RM33,420.00 dibayar oleh Plaintif kepada Defendan. Dalam keterangan SP3 (rujuk Q&A no. 52 PSP-3) dan Ekshibit P6 (Ikatan Dokumen Bersama - Bahagian C pada muka surat 29) dengan jelas menyatakan bahawa Plaintif telah menahan bayaran baki sebanyak RM30,240.00 mengikut klausa 6.3(c) setelah Plaintif mendapati bahawa Defendan memungkiri perjanjian pengurusan. Plaintif menahan bayaran ini bagi tujuan digunakan sebagai pampasan bagi apa-apa kerugian yang dialami oleh Plaintif atas kemungkiran Defendan berkenaan dengan perjanjian pengurusan tersebut. [57] Dalam membenarkan tuntutan balas ini, hakikat bahawa Plaintif menahan baki bayaran yang sememangnya milik Defendan yang telah melaksanakan tugasnya mengikut aktiviti yang ditetapkan oleh Plaintif atas alasan “bagi tujuan digunakan sebagai pampasan bagi apa-apa kerugian yang dialami oleh Plaintif atas kemungkiran Defendan berkenaan dengan perjanjian pengurusan tersebut” adalah suatu alasan yang tidak berasas. Terma dalam perjanjian pengurusan tidak memperuntukkan klausa mengenai “penahanan baki bayaran sebagai pampasan”. Kegagalan Plaintif untuk membuktikan tuntutannya terhadap Defendan atas kausa tindakan “breach of contract” yang ditolak oleh Mahkamah, membolehkan Mahkamah ini memutuskan bahawa apa-apa baki bayaran yang tertunggak kepada Defendan hendaklah dibayar oleh Plaintif. Sama ada Plaintif berhak memperoleh jumlah ganti rugi sebanyak RM401,000.00 bagi pembatalan projek-projek Plaintif? [58] Perenggan 26 pernyataan tuntutan terpinda memplidkan bahawa 17 projek yang telah disalurkan oleh pihak ketiga kepada Plaintif bagi pengiklanan, penampilan dan pengambaran Defendan sebagai duta produk, iklan, host bagi produk, sesi modelling dan pelakon drama yang mana tarikhnya ialah dari Januari hingga Disember 2021 adalah berjumlah RM401,000.00. [59] Perenggan 27.2 pembelaan terpinda, Defendan memplidkan bahawa tuntutan ganti rugi berjumlah RM401,000.00 adalah bagi projek yang dibuat selepas Plaintif menerima notis penamatan perjanjian pengurusan dan/atau selepas 30-1-2021 iaitu hari terakhir Defendan berada di bawah pengurusan Plaintif. [60] Perenggan 46 jawapan kepada pembelaan, Plaintif memplidkan bahawa mengikut perjanjian pengurusan, Defendan dikehendaki untuk bekerja selama 5 tahun dan keputusan Defendan untuk menamatkan perjanjian pengurusan adalah secara pra matang. Plaintif menafikan tindakan Defendan untuk menamatkan perjanjian pengurusan itu memandangkan Plaintif telah mula berunding dengan pihak ketiga demi mendapatkan projek seperti yang disenaraikan di bawah perenggan 26 pernyataan tuntutan. Plaintif memplidkan bahawa usaha yang dimulakan oleh Plaintif bukannya dalam masa terdekat tetapi ianya dimulakan beberapa bulan sebelum Defendan menamatkan kontrak secara pra matang. [61] Tuntutan ganti rugi berjumlah RM401,000.00 terhadap Defendan diambil oleh Plaintif atas alasan utama penamatan secara pra matang. Plaintif menegaskan bahawa Defendan perlu “bekerja” di bawah naungan syarikat Plaintif selam 5 tahun. Jika Defendan gagal untuk mencapai tempoh 5 tahun maka Defendan adalah “bersalah” dan telah memungkiri perjanjian pengurusan. [62] Selanjutnya, Plaintif “invoke” klausa 6.6 perjanjian pengurusan di mana Defendan telah bersetuju untuk menanggung segala kerugian perbelanjaan dan/atau kerugian masa depan yang dialami oleh Plaintif akibat perlanggaran perjanjian pengurusan tersebut. [63] Mahkamah ini mendapati bahawa dokumen yang dikemukakan oleh Plaintif (Ekshibit P5) untuk membuktikan bahawa Plaintif mengalami kerugian sebanyak RM401,000.00 itu adalah merujuk kepada projek yang akan diperoleh oleh Plaintif melalui artisnya iaitu Defendan. [64] Keterangan SP3 semasa diperiksa balas menyatakan bahawa 17 projek tersebut adalah suatu sebut harga yang diberikan oleh Plaintif kepada pihak-pihak ketiga yang berhasrat untuk mengambil Defendan bagi produk, iklan dll. SP3 bersetuju dengan peguam cara Defendan terpelajar bahawa tiada kontrak bertulis dimeterai di antara pihak-pihak untuk mengambil Defendan bagi produk, iklan dll. [65] Penelitian Mahkamah ini ke atas Ekshibit P5 adalah jelas menunjukkan bahawa pihak-pihak yang ingin menawarkan projek kepada artis naungan Plaintif iaitu Defendan baharu pada peringkat “bertanyakan” kepada Plaintif mengenai harga jika mereka mengambil Defendan. Perbualan WhatsApp antara pihak-pihak ketiga dengan Plaintif atau wakil Plaintif diakhiri dengan “tq for the rate”, “thanks for your revert… Will share with the team and keep you posted on the updates”, “okay, tq”, “Alright, noted” dan lain-lain. [66] Oleh yang demikian, Mahkamah ini menolak tuntutan Plaintif bahawa berlaku kemungkiran dan/atau perlanggaran terma perjanjian bagi setiap 17 projek yang disebut sebagai gagal disempurnakan oleh Defendan. [67] Selanjutnya, notice of demand bertarikh 17-12-2020 yang dikeluarkan oleh peguam cara Plaintif kepada Defendan iaitu lebih kurang 17 hari selepas surat penamatan perjanjian pengurusan bertarikh 30-11- 2020 menyatakan bahawa “Breach of Management Agreement dated 28- 8-2020” dan menghendaki Defendan untuk menarik balik surat penamatan tersebut dalam masa 7 hari. [68] Mahkamah mendapati bahawa Plaintif menghendaki Defendan untuk melaksanakan terma sebagaimana perjanjian pengurusan selama tempoh 5 tahun dan surat penamatan Defendan itu dibuat secara unilateral dan dengan itu Defendan bertanggungan terhadap kemungkiran kontrak dengan Plaintif. Di sini, adalah jelas bahawa kemungkiran kontrak yang disebut oleh Plaintif itu bukanlah bagi projek yang telah disempurnakan oleh Defendan dari mula menjadi artis naungan Plaintif sehingga ketika surat penamatan Defendan itu dihantar kepada Plaintif. [69] Keengganan Plaintif melepaskan Defendan daripada perjanjian pengurusan itu disebut sebagai Defendan telah memungkiri perjanjian pengurusan secara unilateral. Sedangkan dan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam alasan penghakiman dalam perenggan terdahulu adalah jelas bahawa perjanjian pengurusan itu sendiri tiada “exit clause” diperuntukkan kepada artis di bawah naungan Plaintif. [70] Mahkamah ini selepas mendengar keseluruhan keterangan di hadapannya secara perbicaraan penuh, adalah jelas dan pasti bahawa atas apa yang diplidkan oleh pihak-pihak, tiada keterangan yang mampu ditunjukkan oleh Plaintif bahawa Defendan gagal menyempurnakan obligasinya di bawah perjanjian pengurusan. Oleh itu, kausa tindakan Plaintif bahawa Defendan memungkiri perjanjian pengurusan adalah suatu kecacatan besar dan “case Plaintiff could be ruled to have been fatal”. [71] Tidaklah perlu Mahkamah menegaskan bahawa adalah sesuatu yang kritikal bahawa Plaintif sebagai pihak yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Defendan menanggung beban untuk membuktikan tuntutannya di sisi undang-undang. Dokumen yang dirujuk dan dikemukakan di hadapan Mahkamah ini baik oleh Plaintif mahupun Defendan seperti perjanjian pengurusan, adalah tidak berkemungkinan untuk Mahkamah ini membenarkan tuntutan Plaintif. [72] Secara keseluruhannya, adalah menjadi analisis Mahkamah ini mendapati bahwa terdapat “a paucity of evidence to warrant the finding of a valid claim against the Defendant on the balance of probabilities”. Plaintif gagal membuktikan kesnya berdasarkan keterangan dan di bawah undang-undang. Rumusan [73] Berdasarkan penelitian Mahkamah ini selepas meneliti semua dokumen dan keterangan lisan dan dokumentar yang dibentangkan oleh pihak-pihak di hadapan Mahkamah ini, dan hujahan bertulis serta hujahan balasan pihak-pihak, Mahkamah ini mendapati atas imbangan kebarangkalian, Plaintif gagal membuktikan tuntutannya terhadap Defendan. [74] Oleh yang demikian pada 26-10-2022, Mahkamah ini memutuskan −