Preamble
Mengikut Plaintif, di peringkat awalannya, perniagaan rumah penginapan tersebut berjalan lancar, namun selepas tiga tahun, Defendan Pertama dan Kedua telah berubah sikap, dimana peranan Plaintif diabaikan di dalam perbincangan dan keputusan mengenai perjalanan 5 perniagaan rumah penginapan tersebut. Mengikut Plaintif lagi, Plaintif membiarkan sahaja perkara itu memandangkan perniagaan rumah penginapan tersebut tetap berjalan lancar, sehinggalah pada pertengahan tahun 2014 apabila Plaintif mendapati bahawa perniagaan milikan tunggal ‘K De Impiana Villa’ telah ditukar kepada perniagaan ‘Sendirian Berhad’ dengan menggunakan nama ‘K De Impiana Villa Hotel Sdn Bhd’. [10] Carian dibuat Plaintif di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (‘SSM’), dan mendapati bahawa perniagaan ‘Sendirian Berhad’ tersebut telah ditubuhkan sejak 4/10/2010 lagi, di mana Defendan Pertama dan Defendan Kedua adalah Pengarah dan pemegang saham bagi syarikat tersebut bersama seorang Pengarah lain dimana Plaintif tidak pernah diajak berbincang dan dimasukkan sebagai Pengarah selaku pekongsi asal sebagaimana Perjanjian. [11] Semakan juga dibuat mengenai akaun perniagaan tersebut dan Plaintif mendapati akaun HSBC Bank telah ditutup sejak Oktober 2015 dan Plaintif tidak dimaklumkan mengenainya oleh Defendan-Defendan. Pihak bank juga memaklumkan kepada Plaintif bahawa Defendan Pertama telah gagal untuk menyerahkan maklumat terkini akaun perniagaan rumah penginapan tersebut kepada bank walaupun bank telah beberapa kali memberi peringatan untuk Defendan Pertama berbuat demikian. Kesemua bakinya yang sedia ada di dalam akaun bank tersebut sejumlah RM13,000.00 telah dikembalikan kepada Defendan Pertama selaku pemilik berdaftar akaun tersebut. 6 [12] Perkara ini diketahui oleh Plaintif melalui pihak bank tersebut apabila beliau tidak dibenarkan mendeposit wang hasil kutipan ke dalam akaun tersebut. [13] Tindakan-tindakan Defendan ini adalah bertentangan dengan Perjanjian tersebut. Menurut Plaintif, ini menunjukkan niat buruk Defendan-Defendan untuk menafikan hak-hak Plaintif sebagai pekongsi dan pengeluar modal bersama. Akibat daripada tindakan-tindakan Defendan-Defendan ini, Plaintif telah mengalami kerugian dan telah menfailkan tuntutan-tuntutan dan Perintah-Perintah berikut, seperti di dalam Penyata Tuntutan: a) Perlaksanaan Spesifik terhadap Perjanjian bertarikh 16 September 2008; b) Nama Plaintif dimasukkan sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ dengan perkongsian syer Plaintif dipindahkan dari perniagaan ‘K De Impiana Villa’; c) Pemulangan wang dalam akaun simpanan HSBC Bank berjumlah lebih RM13,000.00 yang didaftarkan di atas nama ‘K De Impiana Villa’. d) Gantirugi Khas sebanyak RM300,000.00; e) Gantirugi Am yang akan ditaksirkan; f) Faedah ke atas jumlah penghakiman sebanyak 5% setahun daripada tarikh bermula kausa tindakan hingga penyelesaian penuh; g) Kos. 7 C. KES DEFENDAN DAN TUNTUTAN BALAS DEFENDAN [14] Defendan-Defendan tidak menafikan mengenai Perjanjian bertarikh 16/9/2008 yang ditandatangani bersama Plaintif. [15] Menurut Defendan, modal keseluruhan adalah RM635,000.00 dan PIaintif tidak membayar keseluruhan 50% modal yang harus dibayar. PIaintif hanya membayar RM107,800.00 sahaja daripada kira-kira RM317,500.00 yang perlu dibayarnya untuk menanggung 50% daripada pegangannya. Justeru, Defendan menyatakan Plaintif mempunyai baki RM209,700.00 lagi yang belum dibayar. Maka Defendan menuntut balas jumlah ini daripada Plaintif. [16] Menurut Defendan-Defendan, sungguhpun Defendan Pertama adalah rakan kongsi, kesemua pengurusan mengenai perniagaan tersebut dikendalikan oleh Plaintif. Plaintif tidak pernah menunjukkan sebarang akaun berkenaan perniagaan tersebut sejak perniagaan ini mula beroperasi kepada Defendan Pertama dan Defendan Kedua tidak dimaklumkan kemajuan perniagaan tersebut. Defendan Kedua pula menyatakan bahawa perjanjian tersebut tidak melibatkan beliau kerana ianya ditandatangani diantara Plaintif dan Defendan Pertama yang merupakan isterinya dan beliau bekerja sebagai juruteknik yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan sahaja. [17] Defendan-Defendan menegaskan bahawa ‘K De Impiana Villa’ masih wujud dan beroperasi dan ianya tidak ditukar ke syarikat ‘Sendirian Berhad’. Namun lesennya tidak diperbaharui oleh Defendan Pertama bagi 8 tahun 2015 kerana Plaintif tidak mencukupkan bahagian modal 50% nya dan Plaintif gagal menyerahkan sebarang keuntungan kepada Defendan Pertama sejak perjanjian tersebut ditandatangani. Justeru Plaintif juga tidak berhak dimasukkan dirinya ke dalam syarikat ‘Sendirian Berhad’ tersebut. [18] Ke arah itu, Defendan-Defendan menuntut balas perkara-perkara berikut: a) RM250,000.00 sebagai baki bayaran modal Plaintif; b) Plaintif mengemukakan akaun perniagaan rumah penginapan tersebut yang diaudit; c) Plaintif membayar kepada Defendan-Defendan separuh daripada keuntungan perniagaan; dan d) Gantirugi Am dan Khas untuk ditaksirkan untuk Plaintif membeli bahagian Defendan Pertama di dalam perniagaan tersebut memandangkan Plaintif masih menjalankan perniagaan tersebut. D. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN [19] Isu-isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah adalah seperti berikut: I. Sama ada Plaintif berhak ke atas Pelaksanaan Spesifik berdasarkan Perjanjian yang telah kedua-dua pihak tandatangani bertarikh 16/9/2008 untuk memasukkan Plaintif sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ dan seterusnya perkongsian syer Plaintif dipindahkan ke syarikat ‘K De Impiana Hotel Villa Sendirian Berhad’ dan Plaintif dilantik sebagai salah seorang Pengarahnya. 9 II. Sama ada Plaintif berhak menuntut kembali wang RM13,000.00 yang berada di dalam akaun HSBC milik ‘K De Impiana Villa’ akibat kemungkiran Defendan Pertama terhadap Perjanjian tersebut. III. Sama ada Syarikat ‘K De Impiana Villa Hotel Sdn Bhd’ (Defendan Ketiga) adalah entiti yang sama dengan Syarikat ‘K De Impiana Villa’ dan Defendan Kedua dan Defendan Ketiga adalah berkaitan dengan ‘K De Impiana Villa’. IV. Sama ada Plaintif berhak memindahkan perkongsian syer perniagaan ‘K De Impiana Villa’ ke dalam ‘K De Impiana Villa Hotel Sdn Bhd’. V. Sama ada Defendan berhak kepada tuntutan-tuntutan balasnya, khususnya wang sebanyak RM250,000 tersebut. E. PENGANALISAAN DAN DAPATAN MAHKAMAH I. Sama ada Plaintif berhak ke atas Pelaksanaan Spesifik berdasarkan Perlanjian yang telah kedua-dua pihak tandatangani bertarikh 16/9/2008 untuk memasukkan Plaintif sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ dan seterusnya perkongsian syer Plaintif dipindahkan ke syarikat ‘K De Impiana Hotel Villa Sendirian Berhad’ dan Plaintif dilantik sebagai salah seorang Pengarahnya. II. Samada Plaintif berhak menuntut kembali wang RM13,000.00 yang berada di dalam akaun HSBC milik ‘K De Impiana Villa' akibat kemungkiran Defendan Pertama terhadap Perjanjian tersebut. [20] Isu I dan II akan dibincang dan dianalisa bersekali. 10 [21] Sejajar dengan seksyen 101(1) Akta Keterangan 1950, beban pembuktian sesuatu kes sepanjang perbicaraan terletak di atas bahu Plaintif dan akan berpindah kepada Defendan selepas beban tersebut dilepaskan. Seksyen 101 (1) Akta Keterangan berbunyi: “Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang, dengan bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.” [22] Ada baiknya mahkamah mulakan dengan penjelasan berkaitan perjanjian tersebut (P1), dengan merujuk kepada keterangan Plaintif iaitu SP1 di muka surat 9, Rekod Rayuan seperti berikut: “S: Boleh terangkan kepada mahkamah isi kandungan Perjanjian? Dalam Perjanjian ini saya dan Defendan Pertama bersetuju untuk berkongsi modal dan keuntungan sebanyak 50% seorang dalam perniagaan rumah penginapan tersebut. Selain itu, terdapat terma lain iaitu saya dan Defendan Pertama akan menguruskan rumah penginapan secara sama rata dan sebarang keputusan hendaklah dibincang dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak, rumah penginapan dijalankan di bawah pendaftaran perniagaan Defendan Pertama, saya dibenarkan memasukkan diri ke dalam perniagaan tersebut pada bila-bila 11 masa selepas Perjanjian ini ditandatangani menjadikan perniagaan tersebut sebagai satu perkongsian dengan asset dan liabiliti yang ditanggung sama rata dan sekiranya perniagaan menjadi maju maka kedua pihak bersetuju untuk menubuhkan satu syarikat Sdn Bhd dengan perkongsian syer dipindahkan dari perniagaan sedia ada tersebut. Kamu kata kamu pekongsi modal, tetapi kenapa tidak memasukkan nama kamu terus semasa pendaftaran perniagaan tersebut? Sebenarnya semasa Perjanjian ini ditandatangani, perniagaan tersebut sudah ditubuhkan oleh Defendan Pertama dan Defendan Kedua pada bulan April 2008. Tapi didaftarkan atas nama Defendan Pertama sahaja kerana Defendan Kedua bukan warganegara tempatan. Penglibatan saya dalam perniagaan ini bermula apabila Defendan Kedua datang berjumpa saya untuk mendapatkan modal bagi tujuan menggerakkan operasi perniagaan rumah penginapan tersebut. Oleh sebab itulah terdapat syarat bahawa saya boleh memasukkan diri pada bila-bila masa ke dalam perniagaan tersebut selepas Perjanjian ditandatangani pada September 2008.” [23] Klausa 2 & 3 Perjanjian Perkongsian tersebut (P1) ada menyatakan bahawa modal dan keuntungan sebanyak 50:50 patut disumbangkan dan diperolehi oleh pihak-pihak dan ianya disahkan melalui keterangan Defendan-Defendan dan Peguam Penyaksi (En. Tara Singh). Namun 12 Defendan menegaskan bahawa Plaintif hanya menyumbangkan RM107,800.00 sahaja yang tidak memenuhi 50% bahagiannya. [24] Daripada keterangan, mahkamah mendapati jumlah modal 50% yang perlu disumbangkan oleh Plaintif adalah dikira dari jumlah keseluruhan kos penginapan iaitu apabila bangunan dan ubahsuai bangunan penginapan siap beroperasi. Plaintif dalam pada itu telahpun mengeluarkan modal sebanyak RM294,576.90 dalam bentuk wang tunai, pindahan ke dalam akaun, cek, dan bayaran kepada pembekal dan ianya telah dibuktikan di mahkamah yang mulia ini. [25] Perkara ini disahkan sendiri melalui soal balas Defendan Pertama di mana beliau bersetuju dengan cadangan peguam Plaintif bahawa jumlah RM107,800.00 itu adalah modal dalam bentuk tunai dan pindahan akaun sahaja, tidak termasuk jumlah keseluruhan yang disumbangkan oleh Plaintif, seperti yang disentuh mahkamah sebelum ini. [26] Mahkamah ingin merujuk kepada keterangan Plaintif SP1 di muka surat 25, Rekod Rayuan, semasa disoal balas oleh Peguam Defendan: “S: Dalam kes ini, dalam pliding penyata tuntutan telah difailkan, anda katakan bahawa anda telah memberi modal sebanyak RM4294,576.90, betul? Ya, betul. 13 Anda katakan bahawa anda membuat bayaran terus ke dalam akaun Defendan Pertama dan bayar terus kepada pembekal, setuju? Setuju. (Rujuk muka surat 36, 37, 38 dan 39, lkatan D). Saya katakan kepada anda bahawa ikut rekod yang dokumen yang Encik Jamal berikan sendiri, hanya RM107,800.00 telah dibayar ke dalam akaun Defendan Pertama, setuju? Saya tidak kira berapa jawapannya, sebab saya ikut aturan yang saya bayar. Saya tidak pasti jumlah itu. Sebab bayaran yang pertama dalam akaun Defendan Pertama melalui akaun bank, saya transfer akaun.” [27] Mahkamah juga mendapati selain itu, Plaintif turut menyumbang wang sejumlah RM15,000.00 hasil penjualan tanah yang dibeli bersama Defendan-Defendan untuk modal bagi perniagaan rumah penginapan tersebut. Keterangan ini disokong sendiri oleh SD1 semasa disoal balas sebagaimana keterangannya di muka surat 72, Rekod Rayuan: “S. Bermakna perjanjian jual beli tanah ada kaitanlah? Untuk modal. Jadi, untuk beli tanah itu, yang dikatakan dalam perjanjian tersebut, ada disebut RM415,000.00 seorang, Puan Rosliza RM15,000,00.00 dan Encik Jamal RM15,000.00. Bagaimana bayaran dari Puan Rosliza, adakah bayaran tersebut dibuat? 14 Ada. Suami yang bayar. Ada sebarang resit dikemukakan? Tiada resit, mungkin dengan suami saya. Dengan kita ada? Dengan saya tiada.” [28] Dari keterangan-keterangan di atas, adalah menjadi dapatan mahkamah bahawa Plaintif bukan sahaja penyumbang modal melalui pindahan akaun kepada Defendan Pertama iaitu RM107,800.00, tetapi sejak dari awal Plaintif telah pun secara langsung menyumbang dalam bentuk wang tunai, pindahan ke dalam akaun, cek, dan bayaran kepada pembekal beserta modal hasil penjualan tanah bagi memastikan rumah penginapan dapat beroperasi dengan baik. [29] Mengenai kegagalan Plaintif untuk mengemukakan resit-resit pembuktian bayaran, Plaintif telahpun memberi penjelasan mengenai resit-resit tersebut apabila beliau mengatakan bahawa resit-resit itu telah diserahkan semuanya kepada Akauntan yang menyediakan akaun-akaun P9 dan P10 yang disediakan untuk tujuan penyediaan Penyata Cukai Pendapatan bagi Defendan Pertama. Akauntan tersebut iaitu Husin @ Che Mat, telah dilantik sendiri oleh Defendan Kedua. Hakim bicara telah menerimanya. Tidak ada sebab untuk mahkamah ini untuk menggangu dapatan ini. Perlu ditekankan disini di dalam Penyata Akaun berkenaan modal perniagaan adalah sebanyak RM600,000.00 dan kedua-dua pihak 15 bersetuju bahawa jumlah itu berdasarkan resit-resit perbelanjaan dan kos pengurusan penginapan tersebut. [30] Justeru itu, jika jumlah RM600,000.00 diambil kira sebagai modal, maka mahkamah bicara telah berpendapat bahawa jumlah sumbangan modal Plaintif sebanyak RM294,576.90 adalah mencukupi dan munasabah untuk ditafsirkan sebagai 50% kepada modal sebenar. Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Hakim Sesyen ini. [31] Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa segala dokumen yang diplidkan oleh Defendan di dalam ‘Bundle D’ dan ‘Bundle E’ bukanlah menunjukkan modal, sebaliknya liabiliti bulanan yang ditanggung oleh rumah penginapan tersebut. Justeru, Defendan Pertama sendiri gagal memuaskan hati mahkamah melalui pembuktian bahawa Defendan Pertama telah menyumbang modal sebanyak 50% seperti yang diperuntukkan di dalam Perjanjian (K De Impiana) untuk rumah penginapan ini kecuali ringkasan kos perbelanjaan yang disediakan oleh Defendan Kedua sahaja. [32] Justeru itu, sebaliknya mahkamah mendapati bahawa Defendan-Defendan telah gagal membuktikan bahawa pihak mereka telah melaburkan sejumlah modal seperti yang didakwa ke atas ‘K De Impiana’ dan hanya bergantung bukti terhadap dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Plaintif. Bahkan Defendan sendiri menuntut Plaintif mengemukakan resit-resit bayaran sedangkan Defendan-Defendan sendiri gagal berbuat demikian. 16 [33] Sebagai contoh, Defendan 1 sendiri tidak mengetahui kedudukan aset dan aliran tunai dan kos tanggungan bulanan untuk menguatkan dakwaannya bahawa beliau telah menyempurnakan 50% daripada kontribusi modalnya seperti di muka surat 77, Rekod Rayuan: “S: Seterusnya mengenai aset dan aliran tunai K De Impiana Villa Enterprise. Adakah kita tahu aliran tunai ataupun kos tanggungan bulanan K De Impiana Villa Enterprise? Tidak tahu. Adakah kita tahu senarai aset-aset K De Impiana Villa Enterprise? Tidak pasti. Sekiranya ada apa-apa aliran tunai atau apa-apa perubahan status aset K De Impiana Villa, kita pun tidak tahu? Tidak tahu.” [34] Mahkamah mendapati bahawa dakwaan Defendan Pertama bahawa beliau tidak pernah menerima keuntungan hasil daripada rumah penginapan tersebut adalah penafian semata-mata. Tidak pula beliau menunjukkan kepada mahkamah bahawa beliau benar-benar tidak menerima wang keuntungan tersebut melalui serahan penyata akaun atau lain-lain dokumen untuk dibuktikan kepada mahkamah. Sungguhpun beban adalah terletak kepada Plaintif untuk membuktikan tuntutannya, namun Defendan perlu juga membuktikan penafiannya. Apatah lagi Defendan juga mempunyai beban untuk membuktikan tuntutan balasnya di dalam kes ini. 17 [35] Dari keterangan yang ada di dalam Rekod Rayuan, mahkamah mendapati, pembahagian keuntungan perniagaan tersebut diberikan setiap bul an kepada Defendan Pertama dan Defendan Kedua selepas menolak bayaran liabiliti bulanan rumah penginapan tersebut. [36] Ke arah itu, keterangan SP1 mengenai perkara ini adalah relevan. Di muka surat 10, Rekod Rayuan, SP1 berkata: “S: Boleh terangkan kepada mahkamah bagaimana pula cara pembahagian keuntungan perniagaan dibuat? Duit keuntungan akan dikumpul dan dimasukkan ke dalam safety box. Pada setiap hujung bulan, duit keuntungan tersebut akan ditolak untuk pembayaran sewa bangunan, gaji pekerja, liabiliti perniagaan dan sebagainya. Baki daripada jumlah tersebutlah yang akan dibahagi dua kepada saya dan Defendan Pertama atau Defendan Kedua.” [37] Keterangan di atas menunjukkan bahawa keuntungan dibahagi dua dari bahagian Defendan diberi kepada Defendan Pertama. Keterangan yang ada juga menunjukkan adakalanya ianya diserahkan kepada Defendan Kedua bagi pihak Defendan Pertama dan Defendan Pertama telahpun sedia maklum berkenaan hal ini dan ini telah disahkan melalui keterangan saksi-saksi. [38] Mahkamah juga mendapati bahawa Defendan Pertama di dalam keterangannya mengesahkan bahawa beliau tidak terlibat secara Iangsung dalam pengurusan rumah penginapan ini. Hanya Defendan Kedua dan 18 Plaintif sahaja yang secara aktif menguruskan rumah penginapan tersebut. Berdasarkan keterangan Plaintif di atas, mahkamah menyimpulkan bahawa Plaintif telahpun menyerahkan hasil keuntungan setiap bulan kepada Defendan Pertama melalui Defendan Kedua. [39] Justeru mahkamah ini mendapati bahawa Defendan Pertama telah gagal membuktikan di atas imbangan kebarangkalian bahawa Plaintif tidak menyumbangkan modal dan membahagikan keuntungan sama rata. Sehubungan dengan itu, mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah memenuhi tanggungjawabnya dengan menyumbang 50% daripada modal perniagaan tersebut dan layak memasukkan dirinya sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ dan seterusnya boleh ‘diserapkan’ bersama di dalam syarikat (Sendirian Berhad) dan Plaintif dilantik sebagai salah seorang Pengarahnya melalui pemindahan syer dari syarikat ‘K De Impiana Villa’. [40] Ini adalah berdasarkan kepada 2 klausa di dalam perjanjian (P1) tersebut. Klausa 6 Perjanjian Perkongsian (P1) menyatakan bahawa Plaintif boleh pada bila-bila masa mendaftar secara rasmi sebagai rakan kongsi ‘K De Impiana Villa’. Klausa 8 pula menyatakan bahawa penubuhan syarikat ‘Sendirian Berhad’ boleh ditubuhkan dengan perpindahan syer sebagaimana perniagaan sedia ada sekiranya perniagaan menjadi maju. [41] Namun mahkamah mendapati, apa yang berlaku ialah Defendan Pertama telah melanggar Perjanjian Perkongsian tersebut di mana pada Oktober 2014, Defendan Pertama dan Defendan Kedua bersama seorang lagi telah bertindak menubuhkan syarikat ‘Sendirian Berhad’ menggantikan perniagaan sedia ada tanpa perbincangan dan persetujuan daripada 19 Plaintif. Di dalam erti kata yang lain, Plaintif telah dibelakangi oleh Defendan-Defendan. [42] Mahkamah berpendapat tindakan Defendan-Defendan untuk tidak memasukkan Plaintif sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa Hotel Sdn Bhd’ dan hanya kekal sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ bukan sahaja memprejudiskan Plaintif, tetapi mendatangkan ketidak adilan kepada Plaintif juga. Ini adalah kerana Plaintif telah dinafikan haknya untuk memainkan peranan penting di dalam perniagaan ini kerana Plaintif hanya boleh menguruskan rumah penginapan secara ala kadar sahaja. Tambah-tambah lagi dengan ketiadaan akaun kerana telah ditutup di atas tindakan Defendan, Plaintif terpaksa menolak tempahan pelanggan-pelanggan kerana tidak boleh menggunakan fasiliti bank seperti kad debit dan kad kredit dan lain-lain urusan yang berkaitan dengan pihak bank. [43] Mahkamah juga bersetuju dengan hujahan Plaintif bahawa tindakan Defendan menutup Akaun HSBC menunjukkan Defendan-Defendan tidak mahu memberi peluang kepada Plaintif untuk berurusan dengan pelanggan, pembekal dan agensi lain dalam mencari prospek, keuntungan dan mengembangkan perniagaan rumah penginapan ‘K De Impiana Villa’ tersebut. Mahkamah berpendapat tindakan-tindakan Defendan dengan membelakangi Plaintif ini dengan menubuhkan syarikat ‘Sendirian Berhad’ dan menutup akaun HSBC adalah untuk menjadikan perniagaan ini sebagai milikan keluarga dengan hanya Defendan Satu dan Dua (suami isteri) serta seorang lagi sebagai Pengarah. 20 [44] Mahkamah ingin merujuk kepada klausa 10 Perjanjian (P1) yang berbunyi: “Mana-mana pihak berhak untuk menjalankan haknya di bawah Perjanjian ini dan menuntut supaya pihak yang lain melakukan segala yang termaktub dalam Perjanjian ini, sekiranya berlaku pecah janji oleh pihak yang satu lagi.” [45] Daripada apa yang mahkamah perhatikan, Defendan-Defendan telah melanggar peruntukan seperti yang dirujuk di atas selain daripada peruntukan-peruntukan lain yang telah mahkamah sentuh sebelum ini. Mahkamah mendapati, Defendan Pertama telah sejak awal lagi telah melanggar peruntukan ini kerana sepatutnya perjalanan perniagaan adalah secara bersama oleh beliau sendiri dengan Plaintif, sebaliknya peranan Defendan Pertama dikendalikan oleh suami beliau, iaitu Defendan Kedua. [46] Oleh yang demikian, mahkamah mendapati Plaintif telah memenuhi dan mematuhi kehendak-kehendak Perjanjian tersebut. Oleh itu, Plaintif berhak ke atas perlaksanaan spesifik untuk dimasukkan sebagai Pengarah ‘K De Impiana Villa’ dan seterusnya perkongsian syer Plaintif dipindahkan ke dalam ‘K De Impiana Villa Hotel Sdn Bhd’ dan Plaintif dilantik sebagai salah seorang Pengarah di dalam syarikat itu sebagaimana di dalam Klausa 7 Perjanjian ‘K De Impiana Villa’ (P1). [47] Seksyen 4 & 11 Akta Relief Spesifik 1950 menyatakan: “4 Specific relief how given. 21