1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. W-05(M)-40-01/2018 ANTARA ABDUL HALI …PERAYU DAN PEN...
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. W-05(M)-40-01/2018 ANTARA ABDUL HALI …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN (Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya Di Kuala Lumpur Perbicaraan Jenayah No.45B-36-05/2017 Antara Pendakwa Raya Dan Abdul Hali) KORAM: AHMADI HAJI ASNAWI, HMR ABDUL RAHMAN SEBLI, HMR KAMARDIN HASHIM, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Ini adalah rayuan perayu yang telah didapati bersalah dan dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas pertuduhan berikut: “Bahawa kamu pada 16.10.2016, jam lebih kurang 10.55 malam, bertempat di rumah No. 483-C, Jalan Kelapa Hijau, Segambut Bahagia, di dalam Daerah Sentul, dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah melakukan kesalahan membunuh Mat Hosen (No. PP: W840397) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 302, Kanun Keseksaan.” [2] Kami telah mendengar dan seterusnya menolak rayuan perayu berdasarkan kepada alasan-alasan berikut. Kes Bagi Pihak Pendakwaan [3] Si mati (Mat Hosen), isterinya Ari Muningsih (SP-8) dan anaknya yang masih kecil mendiami rumah No. 483-C, Jalan Kelapa Hijau, Segambut Bahagia (tempat kejadian pembunuhan) bersama dengan Perabun, isterinya dan seorang anak mereka. [4] Sarin Sanur (rakan perayu) juga tinggal di rumah tersebut. 3 [5] Rumah tersebut mengandungi 2 buah bilik, satu bilik dihuni oleh si mati dan keluarganya dan satu bilik lagi dihuni oleh Perabun dan keluarganya. Sarin Sanur pula duduk/tidur di ruang tamu. [6] Perayu pula adalah jiran si mati di kampung mereka di Indonesia. [7] Satu minggu sebelum kejadian pembunuhan tersebut, perayu datang ke rumah si mati dan telah dibenarkan oleh si mati untuk menumpang di rumah tersebut. [8] Perayu tidur di ruang tamu bersama Sarin Sanur. [9] Dua atau tiga hari sebelum pembunuhan si mati, SP-8 terdengar perayu memberitahu si mati bahawa ada seseorang menyuruh dia untuk membunuh si mati. Perayu menjawab “tak” sambil tersenyum apabila si mati bertanyakan sama ada dia benar-benar ingin membunuhnya. [10] Pada masa kejadian (pada kira-kira jam 10.55 malam, 16.10.2016), hanya si mati, SP-8, anaknya dan perayu sahaja yang berada di rumah 4 tersebut. Perabun, isteri dan anaknya keluar ke pasar malam. Demikian juga dengan Sarin Sanur. Fakta ini tidak dicabar oleh perayu. [11] Menurut SP-8, pada masa yang material tersebut, si mati sedang tidur di ruang tamu, anaknya sedang bermain telefon bimbit di sisinya dan perayu pula menonton TV (juga di ruang tamu). Beliau juga berada di ruang tamu, tetapi kemudiannya ke dapur untuk memasak. [12] Semasa di dapur, SP-8 melihat perayu mundar mandir dan berulang alik dari ruang tamu ke dapur, dan dari dapur ke tandas, yang berhadapan dengan dapur. Akhirnya SP-8 diberitahu oleh perayu bahawa dia hendak mengambil wudhu untuk solat. [13] Selepas itu SP-8 ke ruang tamu diikuti oleh perayu. [14] Perayu memberitahu SP-8 dia ingin bersolat di sebelah si mati yang sedang tidur. 5 [15] Namun perayu masuk ke dalam bilik tidur si mati/SP-8 setelah diminta oleh SP-8 untuk solat di bilik tidur tersebut. [16] SP-8 kembali ke dapur setelah beliau melihat perayu membentang sejadah di bilik tidur. [17] Sejurus kemudian, SP-8 mendengar bunyi yang sangat kuat dari ruang tamu. Beliau lari ke ruang tamu dan mendapati si mati berlumuran darah. Beliau juga nampak sebilah pisau di sisi si mati dan anak kecilnya masih bermain telefon bimbit di sebelah si mati. [18] SP-8 juga melihat kelibat perayu keluar dari rumah melalui pintu utama ke arah jalanraya. Ketika itu perayu berkopiah, memakai kain sarung dan berbaju kemeja. [19] Setelah itu SP-8 keluar dari rumah, berteriak minta tolong kerana waktu itu hujan dan tidak ramai orang berada di luar rumah. 6 [20] SP-8 mengaku beliau tidak nampak perayu memegang pisau. Beliau juga mengaku tidak nampak perayu menikam si mati. [21] SP-8 turut menyatakan perayu bekerja kontrak dengan si mati dan pasport perayu dipegang oleh si mati. [22] Perayu telah ditangkap oleh Koperal Othman bin Yusuf (SP-7) dari Cawangan Kereta Peronda IPD, Sentul, kira-kira 40 minit selepas pembunuhan si mati. SP-7, yang ketika itu sedang berkawal di luar jalan masuk ke lokasi rumah tersebut, melihat perayu berdiri agak lama di tiang lampu elektrik di seberang jalan rumah tersebut, dalam hujan gerimis. Apabila didekati dan disoal, perayu memberitahu SP-7 bahawa dialah yang menikam orang dalam rumah tersebut. (Hakim bicara yang bijaksana menolak pengakuan tersebut apabila didapati pengakuan tersebut bertentangan dengan s.25 Akta Keterangan, 1950). [23] SP-7 bersama-sama Koperal Rozaini bin Abu Bakar (SP-6) telah membawa perayu ke rumah si mati dan ditunjukkan kepada SP-8. SP-8 lantas menjerit menyatakan perayulah orang yang telah membunuh si mati. Ketika ditahan, perayu berkopiah warna biru, memakai kain sarung 7 dan berbaju kemeja dalam keadaan basah dan kotor. Pakaian yang dipakai oleh perayu sama seperti deskripsi yang diberikan oleh SP-8. [24] Ahli patologi, Dr. Siew Sheue Feng (SP-9) menyatakan kematian si mati berpunca dari luka tikaman yang menembusi rusuk dan jantung sebelah kanan di mana jantung tersebut telah mengalami “a cut through the heart on the right side of the ventricle septum and an injury cut on the aorta”. Menurut SP-9, kecederaan sebegitu yang menembusi sangkar rusuk hingga sampai ke jantung dengan kedalaman mencecah 20 sentimeter memerlukan tenaga (force) yang kuat untuk dilakukan. Laporan bedah siasat SP-9 adalah eksibit P13. [25] SP-9 turut menyatakan luka pendarahan sedemikian tidak membawa kepada instant death tetapi ia boleh mengambil masa sehingga lebih kurang 30 minit untuk seseorang itu mati. [26] Hakim bicara yang bijaksana mendapati secara prima facie bahawa perayu adalah pelaku yang menyebabkan kecederaan tikaman ke atas si mati yang membawa kepada kematian si mati dan perbuatan perayu 8 tersebut adalah terjatuh dalam tafsiran membunuh seperti diperuntukkan di bawah s.300(c) Kanun Keseksaan (KK). [27] Justeru, perayu telah dipanggil untuk membela diri. Perayu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi. Pembelaan Perayu [28] Perayu mengakui si mati adalah jiran sekampungnya di Indonesia. [29] Perayu turut mengaku dia menumpang di rumah si mati dan menyatakan dia dan Sarin Sanur bekerja dengan si mati. Pasportnya dipegang oleh si mati sebagai majikannya. [30] Perayu menyatakan selain dari dirinya, rumah tersebut turut dihuni oleh si mati, isterinya (SP-8), anaknya yang masih kecil, Perabun, isteri Perabun dan Sarin Sanur. 9 [31] Terdapat 2 buah bilik di rumah tersebut. Si mati dan keluarganya menghuni satu bilik dan satu bilik lagi didiami oleh Perabun dan keluarganya. Sarin Sanur dan dirinya pula tidur di ruang tamu. [32] Menurut perayu, semasa kejadian kesemua 7 orang penghuni rumah tersebut berada dalam rumah tersebut. Dia berulang alik ke tandas/bilik untuk mengambil wudhu untuk solat Maghrib. [33] Perayu menyatakan dia solat Maghrib di ruang tamu. Semasa solat, dia tidak tahu di mana SP-8 berada. Isteri Perabun pula berada dalam biliknya manakala Sarin Sanur dan Perabun berada di ruang tamu. [34] Selesai solat, perayu menyatakan dia keluar dari rumah untuk membeli rokok di kedai yang terletak kira-kira 10 meter dari rumah si mati. [35] Perayu mendengar jeritan semasa balik dari membeli rokok. Dia bergegas memasuki rumah tersebut dan mendapati isteri si mati tidak ada di rumah. Dia melihat si mati ditikam dan terdapat banyak darah. Dia juga melihat anak si mati di sisi si mati. 10 [36] Perayu menafi terlibat menikam si mati. Dia tidak nampak kejadian berlaku, tidak mengesyaki sesiapa dan tidak tahu siapa yang bermusuhan dengan si mati. [37] Perayu seterusnya menyatakan semasa bertemu dan disoal oleh SP-7, dia ada memberitahu SP-7 bahawa ada orang mati di rumah tersebut. Dia menafikan membuat pengakuan kepada SP-7 bahawa dia telah membunuh si mati. [38] Perayu turut menyatakan dia berada di kawasan tiang elektrik selama 20 minit sebelum didatangi oleh SP-7. [39] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa keterangan perayu dan 2 orang saksi yang dipanggilnya gagal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Pihak pendakwaan pula telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. Dengan itu perayu disabitkan bersalah dan dikenakan hukuman gantung hingga mati. 11 Rayuan Perayu [40] Peguam bela perayu yang bijaksana menghujahkan bahawa kualiti pengecaman orang yang bertanggungjawab menikam si mati adalah lemah. [41] Dihujahkan bahawa SP-8, saksi utama pihak pendakwaan, mengakui tidak melihat kejadian tikaman tersebut. Beliau tidak nampak siapa yang menikam si mati. [42] Dihujahkan juga bahawa SP-8 tidak melihat perayu membawa pisau semasa kejadian atau sejurus sebelum kejadian. Pisau yang dirampas di tepi si mati pula tidak datang dari dapur SP-8. [43] Seterusnya dikatakan SP-8 hanya melihat kelibat orang lari keluar. Ia hanya a fleeting glance. Beliau gagal untuk mengecam kelibat orang yang lari keluar tersebut dan hanya mengandaikan orang itu adalah perayu sebab pada masa itu hanya perayu sahaja yang ada di rumah tersebut. 12 [44] Dihujahkan juga bahawa hakim bicara yang bijaksana gagal untuk memberi tumpuan tentang isu identiti dan betapa perlu keterangan sokongan untuk menyokong keterangan SP-8 dalam keseluruhan hal keadaan kes ini. [45] Kewujudan puntung-puntung rokok yang mengandungi profil DNA 4 orang lain menimbulkan kemungkinan lebih dari seorang yang terlibat dalam pembunuhan si mati. [46] Dikatakan Sarin Sanur gagal dikesan namun percakapannya ada direkodkan. Walau bagaimanapun pihak pendakwaan gagal untuk mengemukakan rakaman percakapan tersebut. Ini mengundang pengenaan adverse inference rule di bawah s.114(g) Akta Keterangan, 1950, memihak kepada pihak pembelaan. [47] Keberadaan penghuni-penghuni lain dari rumah tersebut ketika kejadian pembunuhan tersebut tidak disiasat untuk mengetepikan keterlibatan mereka dengan kematian si mati. 13 [48] Pada akhirnya dihujahkan bahawa pembelaan perayu bukanlah satu pembelaan yang inherently incredible iaitu perayu keluar untuk membeli rokok dan apabila kembali ke rumah, dia mendapati si mati terlantar berlumuran darah. Dihujahkan bahawa hakim bicara gagal untuk memberikan penilaian yang sewajarnya ke atas pembelaan ini. Keputusan Kami [49] Pada hemat kami isu tentang kualiti pengecaman perayu oleh SP- 8 perlu dinilai dengan mengambil kira hal ehwal keadaan keseluruhan keterangan yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan. [50] Pertamanya, tidak ada cabaran tentang kualiti pencahayaan rumah tersebut. Tidak ada dakwaan bahawa rumah tersebut dalam keadaan gelap sehingga menyukarkan seseorang itu untuk membuat pengecaman. Dengan demikian vision SP-8 tidak terhalang untuk membuat pengecaman dengan positif tanpa dibatasi oleh kualiti pencahayaan. [51] Selanjutnya, perayu bukan orang asing kepada SP-8. Perayu adalah jiran sekampung si mati di Indonesia. Satu minggu sebelum 14 kejadian pembunuhan tersebut, perayu datang ke rumah si mati/SP-8 dan sejak hari tersebut, si mati menumpang tinggal di rumah tersebut. Selain dari menumpang tinggal di rumah tersebut, perayu juga bekerja makan gaji dengan si mati. Tempoh satu minggu tersebut memberi peluang kepada SP-8 untuk benar-benar mengenali wajah serta susuk tubuh perayu. [52] Pendek kata, malam kejadian SP-8 melihat kelibat perayu keluar melalui pintu utama rumah tersebut bukanlah pertama kali SP-8 melihat perayu. SP-8 telah melihat wajah dan susuk tubuh perayu selama satu minggu sebelum kejadian pada malam tersebut. Perayu bukan orang asing kepada SP-8. Perayu makan, minum, tidur, mandi di rumah si mati/SP-8 selama satu minggu sebelum pembunuhan si mati. [53] Tambahan pula, sebelum kejadian tikaman yang menimpa si mati tersebut, SP-8 melihat perayu mundar mandir ke dapur, ke bilik air dan ke ruang tamu sehingga akhirnya dia memberitahu SP-8 bahawa dia hendak solat di sebelah si mati yang sedang tidur di ruang tamu. Perayu beralih masuk ke bilik tidur si mati/SP-8 setelah diminta oleh SP-8 untuk solat di bilik tersebut. 15 [54] Perihal keterangan SP-8 bahawa perayu bersolat di bilik tidur tersebut tidak dicabar oleh perayu. Perayu juga tidak meletakkan kepada SP-8 bahawa dia solat di ruang tamu di sebelah si mati yang sedang tidur. [55] Sejurus selepas perayu masuk ke bilik tersebut untuk solat dan SP- 8 kembali ke dapur, SP-8 mendengar bunyi yang amat kuat dari ruang tamu. Beliau bergegas ke ruang tamu dan nampak si mati terbaring dengan berlumuran darah. Beliau juga nampak kelibat perayu keluar dari rumah melalui pintu utama. [56] SP-8 yakin kelibat tersebut adalah perayu kerana pada waktu itu tidak ada orang lain di rumah tersebut selain perayu, si mati, anak kecil mereka dan SP-8 sendiri. Tambahan pula selepas itu perayu tidak ada lagi kelihatan di rumah tersebut. Dan, kalau perayu sedang bersolat, semestinya solatnya belum selesai dan perayu masih berada di atas sejadah kerana tempoh waktu antara perayu mula bersolat dan bunyi yang amat kuat tersebut sangat singkat. 16 [57] Keterangan SP-8 bahawa perayu tidak ada di rumah atau tidak kembali ke rumah tersebut setelah SP-8 melihat perayu keluar dari rumah tersebut juga tidak dicabar oleh perayu. [58] Perihal keterangan perayu bahawa dia keluar untuk membeli rokok selepas selesai solat dan masuk semula ke dalam rumah tersebut merupakan satu keterangan afterthought kerana keterangan tersebut tidak pernah diletakkan kepada SP-8 semasa SP-8 disoal balas. [59] Mengambil kira keseluruhan keterangan seperti dibentangkan di atas, pada hemat kami keterangan SP-8 bahawa beliau nampak kelibat perayu keluar dari pintu utama rumah tersebut bukan satu fleeting glance kerana SP-8 sememangnya sudah mengenali wajah dan susuk tubuh perayu dari seawal seminggu sebelum si mati ditikam. Tidak ada keraguan bahawa kelibat yang SP-8 nampak keluar melalui pintu utama rumah tersebut adalah perayu sendiri. [60] Seterusnya keterangan SP-8 bahawa perayu berkain sarung dan berbaju kemeja ketika keluar dari pintu utama rumah tersebut adalah 17 konsisten dengan keterangan SP-7 bahawa ketika beliau menangkap perayu, perayu sememangnya berkain sarung dan berbaju kemeja. [61] Perayu juga tidak pernah mencadangkan kepada SP-8 bahawa dia tidak berada di rumah tersebut pada setiap masa yang material tersebut. Juga tidak dicadangkan kepada SP-8 atau saksi-saksi pendakwaan lain bahawa perayu tidak pernah pada bila-bila masa ada menikam si mati. Juga tidak dicadangkan bahawa semasa perayu bersolat, ada orang lain telah masuk ke dalam rumah tersebut untuk mencederakan si mati. [62] Pada hemat kami pengecaman SP-8 terhadap perayu sebagai orang yang lari keluar dari pintu utama rumah tersebut adalah selamat. Perayu bukan orang asing kepada SP-8. Keterangan mengikut keadaan tersebut adalah mencukupi untuk mengaitkan perayu dengan pembunuhan si mati. [63] Hakim bicara yang bijaksana yang melihat dan mendengar sendiri keterangan yang diberikan oleh SP-8 mendapati (di m.s. 16, para 17, RR- 1): “17. Mahkamah ini mempercayai SP8 memberi keterangan yang benar sebab beliau memberitahu yang beliau melihat kelibat seseorang lari 18 keluar dari pintu rumah memakai baju seakan warna cerah tetapi kurang pasti. SP8 boleh sahaja mereka-reka cerita dan SP8 juga mengakui bahawa semasa tertuduh memberitahu ada orang suruh tertuduh membunuh suaminya SP8 memberitahu bahawa pada malam selepas itu beliau dan suami tidak ada berbincang tentang apa yang tertuduh katakan itu walhal boleh sahaja direka-reka cerita untuk memperkuatkan keterangan ke arah tertuduh”. [64] Kami tidak mempunyai alasan untuk mengganggu dapatan hakim bicara yang bijaksana di atas. [65] SP-10 (Abdul Hail bin Ahmad Tarmizi) adalah Pegawai Sains di Jabatan Kimia, Petaling Jaya. Beliau telah menerima pakaian perayu dari pegawai penyiasat kes iaitu : (i) sehelai kain sarung (eksibit P23A); (ii) sebuah ketayap (eksibit P23B); dan (iii) sehelai kemeja (eksibit P24). Beliau mengesahkan ketiga-tiga eksibit ini tidak ada kesan darah mahu pun profil DNA si mati. [66] Lantas dihujahkan bahawa keterangan SP-10 tersebut menunjukkan ketidakterlibatan perayu dengan pembunuhan si mati. Keterangan ini telah meneutralisasikan apa-apa perkaitan perayu dengan kematian si mati. 19 [67] Namun SP-10 menjelaskan bahawa ketiadaan kesan darah atau profil DNA si mati pada ketiga-tiga pakaian perayu tersebut berkemungkinan kerana pakaian-pakaian tersebut basah terkena hujan. Ini konsisten dengan keterangan SP-8 dan SP-7 yang menyatakan sememangnya hari hujan pada masa kejadian. SP-7 juga menyatakan ketika ditangkap, pakaian perayu basah dan kotor kerana kehujanan. [68] Tambahan pula, ahli patologi, SP-9, menyatakan oleh kerana luka tersebut merupakan luka tikaman yang dikenakan semasa mangsa/si mati berbaring, darah tidak akan memancut-mancut keluar dari kesan tikaman tersebut. Sebaliknya darah akan mengalir masuk untuk memenuhi kesemua rongga-rongga dan ruang-ruang kosong dalam tubuh si mangsa/si mati terlebih dahulu sebelum mengalir keluar dari tubuh mangsa. Keterangan ini menjelaskan kenapa darah tidak memercik atau memancut keluar dari tempat tikaman di tubuh si mati, lalu mengenai pakaian perayu. Keterangan SP-9 pula tidak dicabar oleh keterangan saksi pakar lain. [69] Jelas ketiadaan kesan darah atau profil DNA si mati pada pakaian-pakaian perayu tidak exonerate perayu dari kesalahan/pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. 20 [70] Perayu turut menghujahkan bahawa kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rakaman percakapan Sarin Sanur setelah gagal untuk mengesan saksi tersebut adalah fatal, yang mewajarkan pemakaian adverse inference rule di bawah s.114(g), Akta Keterangan 1950. [71] Adalah undang-undang yang mantap bahawa dalam konteks kes ini, adverse inference rule di atas hanya terpakai atas kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan keterangan-keterangan dan saksi-saksi yang material dan relevan sahaja bagi merungkai sepenuhnya naratif kes pendakwaan. Hanya kegagalan untuk mengemukakan saksi-saksi atau keterangan-keterangan yang material sahaja yang mewajarkan pemakaian adverse inference rule tersebut, untuk memihak kepada pihak pembelaan. [72] Dalam kes ini keterangan SP-8 bahawa Sarin Sanur tidak berada di rumah tersebut sebelum dan semasa kejadian tidak pernah dicabar oleh pihak pembelaan. Menurut SP-8, Sarin Sanur ke pasar malam pada masa yang material tersebut. Perihal Sarin Sanur ada di rumah tersebut semasa kejadian hanya ditimbulkan oleh perayu semasa perayu memberi keterangan di peringkat kes pembelaan. Pada hemat kami, ini 21 merupakan satu keterangan afterthought yang membawa weightage yang minimal. [73] Dalam keadaan yang sedemikian, keterangan Sarin Sanur jika boleh diperolehi (available), bukanlah keterangan yang material atau relevan. Pastinya beliau tidak akan mengetahui apa yang sebenarnya berlaku berkenaan dengan tikaman yang dikenakan ke atas si mati atau siapa pelakunya. Keterangan beliau tidak akan memberi sebarang efek kepada mana-mana pihak. Ia adalah keterangan yang redundant. Demikian jugalah kedudukannya tentang rakaman percakapannya. Rakaman tersebut tidak dapat memberi pencerahan tentang keseluruhan naratif kes pihak pendakwaan. Oleh itu kegagalan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rakaman percakapan Sarin Sanur tidak fatal serta tidak menimbulkan kewajaran adverse inference rule tersebut dipakai, memihak kepada pihak pembelaan. [74] Seterusnya kewujudan puntung rokok yang mempunyai profil DNA 4 orang lain tidak menunjukkan keterlibatan 4 orang lain itu. Ini kerana keterangan SP-8 bahawa pada masa kejadian tersebut tidak ada orang lain di rumah tersebut selain si mati, perayu, SP-8 dan anak kecil si 22 mati/SP-8 tidak pernah goyah serta tidak pernah dicabar oleh pihak pembelaan. [75] Dalam pembelaannya, perayu menyatakan dia keluar daripada rumah tersebut selepas selesai bersolat dan apabila kembali ke rumah, dia mendapati si mati terlantar di atas lantai dengan berlumuran darah, isterinya (SP-8) menangis di sisinya dan anak kecil mereka turut berada di sekitarnya. [76] Dihujahkan oleh peguam bela yang bijaksana bahawa pembelaan ini tidaklah inherently incredible. Dihujahkan selanjutnya bahawa hakim bicara yang bijaksana gagal untuk membuat penilaian yang sewajarnya ke atas pembelaan ini. [77] Sehubungan dengan pembelaan tersebut hakim bicara yang bijaksana mendapati, di m.s. 49, para 88, alasan penghakiman, Jilid 1, RR : 23 “88. Pembelaan tertuduh adalah ‘after thought’ yang mana gagal disoal isteri SP-8 semasa memberi keterangan dalam banyak perkara, iaitu:
i
(i) Terdapat ramai orang lain pada masa kejadian di ruang tamu walhal SP-8 hanya menyatakan bahawa hanya beliau, suami (si mati) dan anak kecilnya dan tertuduh yang ada pada masa itu. Mengapa tidak dicadangkan siapa yang ada di ruang tamu pada masa kejadian kepada SP-8.
subparagraph
(ii) Tertuduh tiada di dalam rumah semasa kejadian si mati ditikam, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan beliau keluar membeli rokok di t...
(ii) Tertuduh tiada di dalam rumah semasa kejadian si mati ditikam, tertuduh dalam pembelaannya menyatakan beliau keluar membeli rokok di tepi rumahnya dan apabila balik melihat si mati telah ditikam. Tertuduh dalam pembelaannya mengakui masuk ke dalam rumah dan melihat si mati ditikam dengan banyak darah dan isteri dan anak si mati masih di sisi suami (si mati). Mengapa tidak dicadangkan kepada SP8 semasa SP8 memberi keterangan yang beliau balik semula ke dalam ruang tamu melihat si mati berlumuran darah.
subparagraph
(iii) ……………...” [78] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara yang bijaksana tersebut. Seperti yang dinyatakan dalam perenggan...
(iii) ……………...” [78] Kami bersetuju sepenuhnya dengan dapatan hakim bicara yang bijaksana tersebut. Seperti yang dinyatakan dalam perenggan-perenggan yang terdahulu, perayu gagal untuk mencabar fakta-fakta material yang diketengahkan oleh pihak pendakwaan, khususnya melalui keterangan SP-8 dan hanya menimbulkannya ketika dia (perayu) memberikan keterangan. Tidak syak lagi bahawa pembelaan perayu adalah satu afterthought semata-mata. Kami tidak ada alasan untuk mengganggu dapatan hakim bicara yang bijaksana tersebut. 24 Kesimpulan [79] Di atas segala alasan yang diperincikan di perenggan-perenggan di atas, kami mendapati bahawa rayuan perayu tidak mempunyai sebarang merit. Sabitan dan hukuman ke atas perayu adalah selamat. Dengan itu kami menolak rayuan perayu seraya mengekalkan dan seterusnya mengesahkan sabitan dan hukuman yang telah dikenakan ke atas perayu oleh Mahkamah Tinggi. BERTARIKH: 21HB. NOVEMBER 2019 ( AHMADI HAJI ASNAWI ) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Peguam bela Perayu: Saha Deva A. Arunasalam Tetuan Saha Deva & Associates Peguambela dan Peguamcara Peguambela Responden: Puan Dhiya Syazwani Izyan bt Mohd Akhir Timbalan Pendakwaraya Jabatan Peguam Negara
Something wrong on this page?
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.