Dihujahkan pokok dan tanah adalah satu kerana lekat mati kepada tanah. Maka, Plaintif-Plaintif tidak layak mendapat manfaat daripadanya secara ekuiti kerana tanah kerajaan yang tidak lagi menjadi persoalan fakta/undang-undang memandangkan ia adalah milik Defendan-Defendan. Analisis dan dapatan [20] Isu utama di dalam kes ini adalah sama ada Plaintif-Plaintif berhak ke atas pokok-pokok getah yang ditanam oleh mereka? [21] Berdasarkan keterangan saksi-saksi sama ada saksi Plaintif-Plaintif atau saksi Defendan-Defendan, satu keterangan dokumentari adalah jelas bahawa tanah tersebut adalah tanah kerajaan yang dirancang untuk dibangunkan sebagai "kawasan penempatan berkelompok" di bawah Akta GSA. [22] Dalam kes ini, Mahkamah telah memutuskan bahawa dari sudut undang-undang, tanah yang menjadi subjek tindakan ini merupakan tanah milik Kerajaan. Namun demikian, pada pandangan Mahkamah ini, penemuan tersebut tidak semestinya menamatkan persoalan sama ada Plaintif-Plaintif mempunyai apa-apa hak yang boleh diiktiraf terhadap hasil penjualan pokok-pokok getah yang telah ditebang. [23] Modus pelaksanaan adalah secara membangunkan bersama tanah hutan oleh peserta-peserta atau peneroka yang terpilih dengan kos perbelanjaan dibelanjakan atau didahulukan oleh FELCRA sehinggalah ia mengeluarkan hasil. Setelah mengeluarkan hasil, peneroka-peneroka akan membayar semula kepada FELCRA segala perbelanjaan memajukan KRBT tersebut melalui potongan dari hasil jualan (daripada hasil jualan tersebut, peneroka-peneroka juga dibayar dividen setelah ditolak kos perbelanjaan yang didahulukan oleh FELCRA). [24] Walau bagaimanapun, rancangan pembangunan KRBT sebagai suatu kawasan penempatan berkelompok di bawah Akta GSA tidak berjaya diteruskan apabila tiada pewartaan di bawah seksyen 4 Akta GSA dibuat dan tiada perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan FELCRA. Oleh yang demikian, tanah KRBT tersebut masih kekal sebagai tanah Kerajaan melainkan mana-mana tanah yang telah diberimilik kepada individu peneroka. [25] Walau bagaimanapun, berdasarkan keterangan yang ada, pengusahaan ladang getah dan sawit di atas tanah tersebut tetap berterusan hingga melepasi 30 tahun, malah ada sebahagian besar Plaintif-Plaintif yang telah diberikan geran hakmilik untuk rumah kediaman mereka dalam KRBT tersebut. [26] Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan Plaintif-Plaintif bahawa tanaman getah di kawasan berkenaan bukanlah tumbuh secara semula jadi tetapi telah diwujudkan hasil usaha, tenaga kerja, pengorbanan masa dan komitmen para peneroka selama puluhan tahun. Sepanjang tempoh tersebut, Plaintif-Plaintif telah bertindak atas kepercayaan bahawa penyertaan mereka dalam rancangan tersebut akan memberikan manfaat ekonomi kepada mereka sebagai peserta rancangan pembangunan tanah berkenaan. [27] Dalam hal ini, Mahkamah ini berpendapat bahawa ekuiti sentiasa melihat kepada fakta sesuatu kes dan ciri-ciri transaksi yang wujud, bukannya semata-mata kepada tafsiran undang-undang yang ketat. Pada hemat Mahkamah ini, adalah tidak selaras dengan tuntutan keadilan sekiranya pihak yang telah mengusahakan, memelihara dan membangunkan tanaman tersebut selama lebih tiga dekad dinafikan sepenuhnya daripada menikmati apa-apa manfaat daripada hasil yang terhasil daripada tanaman berkenaan. [28] Mahkamah ini mendapati bahawa hubungan antara pihak-pihak dalam kes ini bukanlah hubungan penceroboh (squatters) dan pemilik tanah. Sebaliknya, Plaintif-Plaintif ditempatkan dan dibenarkan mengusahakan kawasan tersebut dalam suatu rancangan pembangunan yang diwujudkan oleh Kerajaan sendiri. Dalam keadaan sedemikian, Mahkamah ini berpendapat bahawa prinsip ekuiti menghendaki supaya sumbangan Plaintif-Plaintif terhadap pokok-pokok getah tersebut diiktiraf. [29] Mahkamah ini mendapati bahawa sepanjang tempoh lebih tiga dekad, Plaintif-Plaintif telah bertindak berdasarkan suatu jangkaan yang munasabah (legitimate expectation) bahawa penyertaan mereka dalam rancangan pembangunan tersebut akan memberikan manfaat ekonomi kepada mereka sebagai peserta yang sah. Mahkamah ini menerima bahawa jangkaan tersebut bukanlah suatu harapan yang bersifat subjektif semata-mata. Sebaliknya, jangkaan tersebut lahir daripada tindakan, representasi dan pengiktirafan berterusan oleh pihak-pihak berkuasa terhadap kedudukan Plaintif-Plaintif sebagai peserta rancangan berkenaan. [30] Dalam undang-undang ekuiti, prinsip asasnya ialah ekuiti akan campur tangan bagi menghalang pihak yang telah mendorong atau membenarkan suatu kepercayaan tertentu daripada bertindak secara tidak konsisten sehingga menyebabkan ketidakadilan kepada pihak yang telah bergantung kepada kepercayaan tersebut. Mahkamah ini merujuk kepada kes Boustead Trading (1985) Sdn. Bhd. V Arab Malaysian Merchant Bank Berhad [1995] 4 CLJ 283 yang memutuskan - “[2] Masanya telah tiba bagi Mahkamah ini mengiktirafkan bahawa doktrin estopel adalah prinsip yang fleksibel melalui mana keadilan dilakukan menurut keadaan kes tersebut. Estopel adalah doktrin yang mempunyai kegunaan yang luas dan boleh digubalkan dalam pelbagai sifat fakta bagi mencapai keadilan. Sesungguhnya keadaan-keadaan dalam mana doktrin tersebut boleh beroperasi adalah tidak berakhir.” [31] Plaintif-Plaintif telah membuktikan suatu hubungan yang lama, berterusan dan diiktiraf dengan kawasan yang diusahakan serta tanaman yang menjadi subjek utama dalam tuntutan ini. Maka, Mahkamah ini berpendapat bahawa ekuiti tidak akan membenarkan Defendan-Defendan menafikan sepenuhnya manfaat yang terhasil daripada usaha Plaintif-Plaintif setelah Kerajaan sendiri selama bertahun-tahun membenarkan dan mengiktiraf penglibatan mereka dalam pembangunan kawasan tersebut. [32] Walaupun Mahkamah tidak mengisytiharkan Plaintiff-Plaintiff sebagai pemilik tanah, Mahkamah ini mendapati bahawa Plaintiff-Plaintiff mempunyai kepentingan ekuiti yang mencukupi untuk menuntut hasil yang diperoleh daripada penjualan pokok-pokok getah tersebut. Sekiranya keseluruhan hasil tersebut diberikan kepada Defendan-Defendan tanpa sebarang pampasan kepada Plaintiff-Plaintiff, keadaan tersebut akan menyebabkan Defendan-Defendan menerima manfaat yang tidak sepatutnya atas pengorbanan Plaintiff-Plaintiff. [33] Mahkamah ini juga mengambil kira bahawa tuntutan Plaintif-Plaintif bukanlah untuk mendapatkan hakmilik tanah, tetapi terhad kepada hasil yang diperoleh daripada penjualan pokok-pokok getah yang telah diusahakan oleh mereka. Setelah menimbangkan keseluruhan keadaan kes, Mahkamah ini berpuas hati bahawa Plaintif-Plaintif telah membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa mereka mempunyai kepentingan ekuiti yang mencukupi untuk menuntut hasil daripada penebangan dan penjualan pokok-pokok getah tersebut. Dengan itu, tuntutan Plaintif-Plaintif bagi hasil pokok-pokok getah adalah dibenarkan atas asas ekuiti.