(iii) Tertuduh mengedar dadah tersebut. Intipati (i) – Jenis dan berat dadah yang dirampas [37] Berdasarkan keterangan ahli kimia (SP1) PK MT mendapati intipati (i) berjaya dibuktikan. Kepakaran SP1 serta prosedur analisa/ujian kimia yang dilakukan oleh beliau adalah tidak dipertikaikan. Begitu juga dengan hasil ujian kimia yang diperolehi oleh SP1 bagi dadah/barang kes (Ekshibit P9[1-53]), adalah tidak disangkal. SP1 dalam Laporan Kimia (Ekshibit P10) mengesahkan bahawa serbuk dalam 53 kapsul tersebut adalah kokain (cocaine) seberat 573.1gram. Kokain disenaraikan dalam Jadual Pertama ADB 1952. Di perenggan 53 AP beliau, berdasarkan keterangan SP1 yang diterima sebagai saksi yang benar dan tulus, PK MT mendapati intipati (i) telah terbukti. Berdasarkan prinsip yang diputuskan dalam kes Munusamy Vengadasalam v Public Prosecutor [1987] 1 CLJ 250, kami bersetuju dengan dapatan beliau di atas. Intipati (ii) - Jagaan, kawalan dan pengetahuan ke atas dadah tersebut. [38] Bagi Intipati (ii), PK MT menerima keterangan saksi-saksi Pendakwaan (SP1 hingga SP17) yang beliau dapati saksi-saksi yang kredibel. Beliau mendapati rakaman imej X-Ray (Ekshibit P24) serta gambar (Ekshibit P5[1-149]) memenuhi elemen/intipati milikan fizikal Tertuduh ke atas dadah tersebut yang mengundang pemakain anggapan pengetahuan menurut seksyen 37 (d) ADB 1952, sepertimana dapatan beliau di perenggan 93 AP di mana beliau menyatakan: “[93] Faktor jagaan dan kawalan Tertuduh terhadap 53 kapsul mengandungi dadah telah dibuktikan di peringkat prima facie. Keterangan saksi-saksi pendakwaan di peringkat kes pendakwaan, imej x-ray yang disahkan serta gambar P5(1-149) memenuhi elemen milikan fizikal dan fakta ini mengandungi pemakaian anggapan pengetahuan di bawah seksyen 37(d) ADB 1952. [39] Berdasarkan dapatan beliau, di perenggan 57 dan 59 AP, PK MT mendapati Tertuduh mempunyai milikan fizikal ke atas dadah tersebut dan dengan menggunapakai peruntukan seksyen 37(d) ADB 1952, mendapati Tertuduh mempunyai pengetahuan ke atas dadah yang dirampas dari Tertuduh. PK MT mendapati fakta bahawa Tertuduh telah membawa dadah tersebut daripada luar negara (Nigeria) ke Malaysia dengan cara menelan kapsul dadah tersebut membuktikan perbuatan mengedar sepertimana definisi di bawah seksyen 2 ADB 1952 dilakukan. Kami mendapati dapatan beliau adalah selari dengan keterangan yang dikemukakan. Kami mendapati peguam Tertuduh gagal menunjukkan sebarang kekhilafan di pihak PK MT di sini. Berdasarkan keterangan tersebut di atas, kami bersetuju dengan dapatan/keputusan PK MT di atas. Intipati (iii) - Adakah Tertuduh mengedar dadah tersebut? [40] PK MT mendapati fakta bahawa kapsul-kapsul dadah tersebut telah ditelan oleh Tertuduh dan dibawa dalam perut Tertuduh dari luar negara ke dalam negara ini, telah memenuhi takrifan mengedar di bawah seksyen 2 ADB 1952 dimana, terdapatnya tindakan “conveying” dan “transporting” oleh Tertuduh. Menurut PK MT, tindakan/cara ekstrim dadah tersebut dibawa oleh Tertuduh membolehkan Mahkamah membuat inferens bahawa tujuannya adalah untuk pengedaran. Oleh itu, beliau mendapati intipati (iii) telah terbukti. [41] Kami bersetuju dengan dapatan PK MT bahawa elemen mengedar sepertimana definisi di bawah seksyen 2 ADB 1952 berjaya dibuktikan oleh pihak Pendakwaan. Pada hemat kami, berdasarkan keadaan dan fakta sepertimana yang dirujuk oleh PK MT di atas, peguam Tertuduh gagal menunjukkan kepada kami bahawa PK MT telah terkhilaf secara nyata dalam dapatan beliau berhubung intipati (iii) di atas. Rumusan dan Dapatan kami bagi Isu (a) - kes prima facie [42] Berdasarkan dapatan kami di atas bagi Isu (a), kami mendapati peguam Tertuduh gagal menunjukkan dari segi mana PK MT telah terkhilaf dalam mendapati SP1 hingga SP17 adalah saksi yang kredibel dan dalam menerima keterangan mereka sebagai benar. Kami juga mendapati tiada alasan kukuh diberikan bagi membolehkan kami mengusik dapatan PK MT bahawa rantaian barang kes dadah adalah utuh dan tidak terputus. Kami juga mendapati elemen pengedaran telah terbukti sepertimana dapatan oleh PK MT. Kami dapati dapatan tersebut adalah selari dengan keterangan yang dikemukakan. [43] Kami dapati dapatan hujahan peguam bahawa PK MT gagal membuat pertimbangan maksima ke atas keterangan, tidak bermerit. Jelas daripada AP beliau PK MT telah mempertimbangkan keterangan di peringkat kes Pendakwaan dengan halus dan secara terperinci. Oleh itu, kami mendapati PK MT tidak terkhilaf dalam mendapati/memutuskan di akhir kes Pendakwaan bahawa satu kes prima facie di bawah seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) telah berjaya dibuktikan sepertimana Pertuduhan dan PK MT tidak terkhilaf dalam memanggil Tertuduh untuk membela diri. [44] Selanjutnya, kami beralih kepada Isu (b). Isu (b) - Adakah PK MT terkhilaf dalam mendapati bahawa Tertuduh gagal menimbulkan keraguan ke atas kes Pendakwaan? Adakah anggapan seksyen 37(d) ADB 1952 gagal disangkal oleh Tertuduh? [45] Secara ringkasnya, Tertuduh tidak menafikan telah menelan 53 kapsul-kapsul tersebut. Tertuduh juga tidak mempertikaikan keterangan bahawa semasa ditahan oleh pihak KASTAM di KLIA pada hari kejadian, kapsul-kapsul tersebut berada dalam perut Tertuduh dan kapsul-kapsul tersebut telah dikeluarkan dari dalam perut Tertuduh melalui proses pembuangan air besar semasa di HTAR, Klang. Namun, Tertuduh menafikan mengetahui bahawa kandungan kapsul-kapsul tersebut adalah dadah. Tertuduh mendakwa Tertuduh telah dipaksa dengan kematian oleh “Simeone”, majikan Tertuduh di Nigeria, untuk menelan kapsul tersebut, untuk di bawa ke Thailand, melalui (transit) Malaysia. Simeone mengugut akan membunuh Tertuduh dan ahli keluarga nya. Tertuduh mendakwa telah memberitahu kejadian tersebut kepada rakan Tertudah, “Ossai Ikenna Amos” sebelum berlepas ke Malaysia dan memintanya untuk membuat laporan polis. [46] Tertuduh menafikan keterangan SP3 bahawa Tertuduh telah ditahan semasa di KLIA. Sebaliknya, Tertuduh mendakwa Tertuduh sendiri yang menyerah diri kepada SP3 setiba di KLIA, setelah merasa perut beliau tidak selasa/sakit. Tertuduh sendiri telah berjumpa SP3 dan memberitahu bahawa Tertuduh dipaksa menelan kapsul-kapsul berisi steroid untuk mengelak cukai. [47] Peguam berhujah yang PK MT telah gagal menimbang dan membuat penilaian yang maksima ke atas keterangan pembelaan. Oleh itu, dapatan beliau di akhir pembelaan adalah salah (erroneous), membuat sabitan ke atas Tertuduh menjadi tidak selamat. [48] Dengan hormatnya, kami tidak dapat bersetuju dengan peguam Tertuduh kerana berdasarkan AP beliau adalah jelas PK MT telah memberikan pertimbangan yang sepenuhnya dan mendalam ke atas keterangan pihak Pembelaan. Ini jelas dapat dilihat dari kupasan fakta dan keterangan Pembelaan di perenggan 90 hingga 116 AP beliau. Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan Tertuduh, PK MT mendapati versi Tertuduh yang mengaitkan kapsul-kapsul dadah tersebut dengan Simeone adalah suatu yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan keterangan. PK MT mendapati dalam keadaan tersebut, watak dan peranan yag dimainkan oleh Simeone sebagai satu rekaan. Pada hemat kami, PK MT memberikan alasan yang kukuh (cogent) kenapa versi keterangan Tertuduh berhubung kewujudan dan peranan Simeone tidak diterima oleh beliau sebagai benar. Di perenggan 95 hingga 100 AP beliau, PK MT merumuskan pembelaan Tertuduh berhubung Simeone sepertimana berikut: [95] Dakwaan Tertuduh berkenaan Simeone ini tidak selari dengan butiran eksibit-eksibit yang dikemukakan berkaitan perjalanan Tertuduh dari Lagos ke Addis Ababa dan KLIA. Naratif Tertuduh adalah dia dipaksa menelan kapsul-kapsul di hotel berdekatan lapangan terbang Lagos sebelum berlepas ke Addis Ababa pada 14.07.2018. Kemudian Simeone dan Tertuduh menaiki penerbangan sama ke Addis Ababa dan Tertuduh terus dihantar oleh Simeone ke pintu berlepas untuk ke KLIA (perenggan 4, 5 dan 6 PSD2). [96] Penerbangan Tertuduh dari Lagos ke Addis Ababa disokong oleh boarding pass P38. Dakwaan Tertuduh yang Simeone terbang bersamanya ke Addis Ababa dan terus menghantarnya ke pintu berlepas untuk penerbangan ke KLIA seolah-olah disokong oleh P40 iaitu jadual perjalanan (travel itinerary) yang dirampas daripada Tertuduh yang menunjukkan penerbangan ke KLIA pada 14.07.2018, jam 23:20, malam. Walau bagaimanapun, dakwaan Tertuduh ini tidak disokong oleh keratan boarding pass penerbangan ke KLIA P39 yang menunjukkan tarikh penerbangan ke KLIA bukan pada 14.07.2018 tetapi ialah pada 15.07.2018 jam 22:35. Tertuduh sampai ke KLIA pada 16.07.2018