Lampiran
Lampiran 29 berhubung permohonan Penghutang Penghakiman (JD) iaitu Chye Yian Soang untuk membatalkan dan mengenepikan Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan (Petisyen Pemiutang) bertarikh 27.9.2023 dibawah di bawah s. 5 Akta Insolvensi 1967 dan Keadah 17, Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017) LATAR BELAKANG FAKTA 1. Penghutang Kehakiman (JD) adalah seorang penjamin untuk menjamin pembayaran balik kemudahan pinjaman dan pembiayaan yang diberi oleh Pemiutang Penghakiman iaitu Affin Islamic Bank Berhad (JC) kepada Travelers Tours Malaysia Sdn Bhd (Penghutang Utama). Pada 18.1.2023 Penghutang Utama telah digulungkan atas permohonan JC, rujuk eksibit ‘CYS-3’ di Lampiran 30, Afidavit Sokongan JD bertarikh 27.10.2024. 2. Pada 18.8.2024 Perintah Penggulungan Syarikat bertarikh 18.1.2023 ke atas Penghutang Utama telah digantung selama enam (6 bulan) sehingga 18.2.2025, rujuk eksibit ‘CYS-4’ dalam Lampiran 30. 3. Notis Kebankrapan dan Petisyen Pemiutang telah difailkan setelah JC memperolehi perintah pada 13.6.2023 yang memberi kebenaran kepada JC untuk melaksanakan prosiding kebankrapan terhadap JD sebagai penjamin. Perbuatan kebankrapan telah berlaku akibat kegagalan JD mematuhi keperluan sebagaimana yang dikehendaki di dalam Notis Kebankrapan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan setelah Notis Kebankrapan diserahkan kepada JD. 4. Notis kebankrapan yang difailkan pada 5.4.2023 adalah atas Kapasiti JD sebagai Penjamin dibawah Seksyen 5(3)(b) Akta Insolvensi 1967 (AI 1967) dan Kaedah 97 Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017 (KKI 2017) yang gagal mematuhi Penghakiman Ingkar Kehadiran bertarikh 27.7.2022 dan setelah Penghutang Utama digulungkan melalui Perintah bertarikh 18.8.2023 yang masih sah dan berkuatkuasa. Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan difailkan setelah JC memperolehi perintah pada 13.6.2023 yang memberi kebenaran kepada JC untuk melaksanakan prosiding kebankrapan terhadap JD sebagai penjamin seperti di eksibit ‘SH-1’ di Lampiran 32 Afidavit Jawapan JC bertarikh 18.11.2024. 5. Pada 14.8.2023 perbuatan kebankrapan telah dilakukan oleh JD akibat kegagalan untuk mematuhi Notis Kebankrapan yang telah difailkan dan diserahkan oleh JC dalam tempoh masa. Akibat kegagalan JD mematuhi Notis Kebankrapan memberi hak kepada JC memfailkan Petisyen Kebankrapan bertarikh 27.9.2023 dan Petisyen Kebankrapan tersebut telah diserahkan kepada JD secara serahan kediri dan Afidavit Penyampaian telah difailkan pada 19.11.2023. 6. Berkenaan dengan Perintah Penggantungan (perintah tersebut) terhadap Penghutang Utama ia adalah penggantungan sementara dan tertakluk kepada Penghutang Utama membayar kepada JC wang sebanyak RM60,000.00 sebulan selama enam (6) bulan mulai hujung bulan September 2024. Walaubagaimanapun perintah tersebut gagal dipatuhi oleh Penghutang Utama dan JD yang berterusan gagal, enggan dan ingkar membayar jumlah wang sebanyak RM60,000.00 sebulan sebagaimana yang telah diperintahkan. 7. JC menegaskan tindakan JD ini bertujuan untuk melengahkan prosiding kebankrapan terhadap JD dan suatu tindakan pemikiran semula (afterthought) setelah Penyusunan Sukarela (Voluntary agreement) bertarikh 7.11.2023, eksibit ‘SH-4’ dan Perintah Lanjutan Penyusunan Sukarela, eksibit ‘SH-5’ bertarikh 29.9.2024 gagal dicapai oleh JD. 8. Pada 27.10.2024 JD telah memfailkan Saman Dalam Kamar untuk membatalkan Notis Kebankrapan bertarikh 5;4.2023 dan Petisyen Kebankrapan oleh JC bertarikh 27.9.2023. Pada 25.3.2025 Mahkamah Yang Mulia telah memerintahkan bahawa permohonan JD untuk membatalkan dan mengenepikan Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan bertarikh 7.9.2023 ditolak dengan kos sebanyak RM500.00 tertakluk kepada fi alokatur. Maka JD telah tidak berpuashati dan memfailkan Notis Rayuan kepada Hakim Dalam Kamar pada 26.3.2025 untuk perintah yang diperolehi di Lampiran 43. Rayuan kepada Hakim Dalam Kamar telah didengar pada 9.10.2025 pada hari yang sama juga telah menolak Notis Rayuan oleh JD/Perayu di Lampiran 50 dengan kos RM5000.00 dibayar oleh JD kepada JC. Akibat tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah ini, JD telah memfailkan rayuan ini ke Mahkamah Rayuan. RAYUAN KEPADA HAKIM DALAM KAMAR 9. Rayuan JD telah didengar oleh Mahkamah ini dan Mahkamah ini telah pada hari yang sama menyampaikan keputusan menolak Rayuan JD dengan kos RM5000.00 dibayar oleh JD kepada JC. JD kini merayu atas satu asas utama (sebagaimana dihuraikan dalam Hujahan JD di Lampiran 65 dan 67) bahawa: (i) Tiada ‘act of bankruptcy’ dilakukan oleh JD kerana JC belum menghabiskan kesemua cara (exhausted all its means) untuk menuntut balik Pembiayaan tersebut dan Travelers Tours sebagai Peminjam. JC pula di dalam Hujahannya di Lampiran 63 mengutarakan tiga (03) isu utama yang Mahkamah ini perlu putuskan iaitu : (i) Kelewatan JD memfailkan Permohonan dan mengenepikan Notis Kebankrapan dalam tempoh 07 hari selepas penyampaian adalah fatal; (ii) Sama ada Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan bertarikh 27.9.2023 adalah baik, sah dan teratur; dan (iii) JD tidak mempunyai alasan bermerit untuk membatalkan dan mengetepikan Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan. HUJAHAN PIHAK-PIHAK (a) Hujahan JD (Perayu) 10. Tiada ‘act of bankruptcy’ dilakukan oleh JD kerana JC belum menghabiskan kesemua cara (exhausted all means) untuk menuntut balik pembiayaan tersebut dan Penghutang Utama adalah peminjam. JD berhujah bahawa Seksyen 5(4) Akta Insolvensi 1967 memperuntukkan bahawa sebelum seseorang penjamin boleh dianggap telah melakukan “act of bankruptcy”, JC mestilah terlebih dahulu mengambil segala langkah munasabah untuk mendapatkan hutang daripada Penghutang Utama (principal debtor). 11. JD menyatakan bahawa JC masih mempunyai jalan remedi terhadap Penghutang Utama yang sedang dalam proses penggulungan, dan oleh itu, JC belum “exhausted all means” untuk mendapatkan semula hutangnya. 12. JD juga mendakwa bahawa beliau tidak diberi peluang yang wajar untuk mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan asal dan bahawa Notis Kebankrapan tersebut tidak wajar dikeluarkan dalam keadaan masih wujud prosiding penggulungan syarikat penghutang prinsipal. 13. Defendan merujuk kepada kes Hong Leong v Ong Moon Huat (2018) 1 LNS 1612, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa; [3] A purposive construction of the section as a whole discloses that the section seeks to introduce protection for the guarantor against whom bankruptcy proceedings are to be brought. The protection comes in the form of ensuring that enforcement has been exhausted in respect of the principal debtor to prior to the proceeding against the guarantor. It is to remedy the mischief of judgment creditors proceeding against the guarantors directly in bankruptcy rather than executing and enforcing against the principal debtor”. 14. JD juga merujuk kepada kes Mahkamah Tinggi iaitu kes Hong Leong Bank Berhad v Kharirulrizam Jamaludin [2016] 7 CLJ 335 yang menggunakan prinsip yang sama seperti di dalam kes Hong Leong v Ong Moon Huat (supra). 15. Beberapa kes lain juga dirujuk oleh JD berdasarkan Hujahan JD di Lampiran 65 dan 67. Oleh itu JD menegaskan Penghutang Utama masih ‘solvent’ pada masa kini dan berupaya untuk membayar hutangnya (able to pay its debts). JC gagal membuktikan dengan sebarang keterangan melalui affidavit bahawa mereka telah menghabiskan kesemua cara (exhausted all its means) untuk menuntut balik Pembiayaan tersebut daripada Penghutang Utama. (b) Hujahan JC (Responden) (i) Isu kelewatan JD memfailkan permohonan mengenepikan Notis Kebankrapan dalam tempoh 07 hari selepas penyampaian adalah fatal. JC berhujah bahawa JD telah melakukan perbuatan kebankrapan di bawah Seksyen 3 Akta Insolvensi 1967. Permohonan ini adalah lewat dan diluar masa tanpa sebarang kebenaran diperolehi di dalam tindakan ini dan gagal mematuhi undang-undang yang diperuntukan. 16. Notis Kebankrapan dan beserta Perintah Kebenaran bertarikh 13.6.2023 dalam tindakan ini telah pun diserahkan kepada JD secara penyampaian ganti melalui penambalan di premis pada 15.7.2023, penampalan di Mahkamah pada 26.7.2023 dan pengiklanan pada 26.7.2023 sebagaimana perintah penyampaian ganti yang diberikan pada 3.7.2023. 17. Perbuatan kebankrapan telah dilakukan pada 14.8.2023 menurut seksyen 3(1) (ii) Akta Insolvensi 1967 dan JC telah membuktikan penyampaian adalah sempurna di eksibit ‘SH-2’di Lampiran 32, Afidavit Jawapan JC. 18. Walaubagaimanapun SDK ini difailkan pada 27.10.2024 iaitu lebih kurang 1 tahun 2 bulan selepas perbuatan kebankrapan dilakukan tanpa sebarang kebenaran Mahkamah untuk memfailkan diluar tempoh masa serta tidak disokong dengan sebarang alasan akan kelewatan JD. Oleh itu perbuatan ini telah melanggar seksyen 3(1)(i) AI 1967 dan kaedah 92(1)(c) serta kaedah 93 KKI 2017. Selain itu JD merujuk kepada kes Gerald Giam Seng Teck; Ex-parte: Prime Credit Leasing Sdn Bhd (1999) MLJU 582 dan kes Re Lee Peak Sing: Ex- parte Malayan Banking Bhd (2012) 3 CLJ 338; ms 343 dan 344 dimana Mahkamah dalam kes ini memutuskan bahawa: “I find that since the word ‘must’ is employed in r,94 of the Bankruptcy Rules, this means that compliance is mandatory..” 19. Oleh itu seharusnya atas isu ini permohonan JD patut ditolak tanpa mengambil kira berapa hari kelewatannya kerana gagal mematuhi keperluan ‘statutory’. 20. Isu (ii) Oleh JC iaitu Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan bertarikh 27.9.2023 adalah baik, sah dan teratur. JC merujuk kepada seksyen 3(1)(i) AI 1968 yang mana kesemua keperluan d bawah seksyen tersebut telah dipatuhi oleh JC dan sekali lagi kes Re Lee Peak Sing: Ex-parte Malayan Banking Bhd [2012] (supra) dirujuk dan juga kes Shahfie bin Ahmad; ex-parte Azizi bin Yom Ahmad [2022] MLU 03725 dimana Y.A Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad (pada ketika itu) dalam memberikan penghakiman telah menyatakan seperti berikut: “[49] BN yang difailkan adalah berdasarkan jumlah penghakiman yang sah dan ianya tidak pernah diketepikan. Mahkamah tidak akan mengkaji semula penghakiman yang diperolehi secara sah.Perjanjian luar sekiranya wujud tidak akan dapat mengenepikan perintah yang telah diperolehi secara sah dan JC berhak untuk menguatkuasakan perintah asal yang masih lagi sah sehingga hari ini”. [52] Dalam kes ini juga tiada sebarang keterangan bahawa JD juga mempunyai tuntutan balas terhadap JC yang memungkinkan BN tersebut menjadi tidak teratur dan diketepikan oleh Mahkamah ini. 21. Oleh itu, JC menghujahkan bahawa tindakan rayuan JD adalah penyalahgunaan kuasa Mahkamah yang Mulia dan disebabkan Notis Kebanrkapan yang difailkan adalah berdasarkan penghakiman yang sah dan ianya tidak pernah diketepikan serta tiada sebarang keterangan bahawa JD mempunyai tuntutan balas terhadap JC yang memungkinkan Notis Kebankrapan tersebut menjadi tidak teratur dan diketepikan oleh Mahkamah ini. Oleh itu Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan bertarikh 27.9.2023 adalah baik, sah dan teratur. 22. Isu (iii) JD tidak mempunyai merit dalam mengenepikan Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan. JD di dalam afidavitnya membangkitkan bahawa satu Perintah Penggantungan telah diberikan ke atas Perintah Penggulungan Syarikat yang dijamin oleh JD sebagaimana perintah bertarikh 18.8.2024 dan akan tamat pada 18.2.2025 dan diperolehi selepas perbuatan kebankrapan dilakukan oleh Petisyen Kebankrapan diserahkan kepada JD. JD mendakwa perintah tersebut menjadikan syarikat ‘solvent’ berupaya membayar hutang (able to pay the debt). 23. JC berhujah bahawa perintah tersebut tidak menjadikan Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan oleh JC yang telah diserahkan kepada JD tidak sah dan salah disisi undang-undang. JC merujuk kepada seksyen 492 Akta Syarikat 2016. Oleh itu perintah tersebut tidak mengikat JC dan tidak menghalang tindakan kebankrapan ini terhadap JD. Tambahan pula perintah tersebut tertakluk kepada perintah untuk syarikat membayar kepada pempetisyen (JC) wang sebanyak RM60,000.00 sebulan selama 6 bulan mulai hujung bulan September 2024 yang mana perintah tersebut kini tidak lagi berkuatkuasa memandangkan JD gagal untuk mengikuti terma-terma yang ditetapkan oleh Mahkamah yang Mulia. Syarikat mahupun JD tidak berkeupayaan membayar jumlah yang terhutang berjumlah RM1,131,857.55 setakat 5.3.2023. 24. Berhubung isu ‘exhaustion of remedies’ ini juga, JC menegaskan bahawa prinsip tersebut tidak mewajibkan JC menunggu sehingga semua prosiding penggulungan selesai. Syarikat Travelers Tours iaitu Penghutang Utama telah pun digulung, dan tiada prospek realistik untuk mendapatkan semula hutang daripada syarikat tersebut. Maka, JC berhak untuk menuntut daripada JD sebagai penjamin bersama dan berasingan. 25. Oleh itu JC telah pun menghabiskan kesemua cara (exhausted all means) untuk menuntut balik pembiayaan tersebut dari Penghutang Utama. Oleh itu JC menghujahkan bahawa JD tidak mempunyai alasan bermerit untuk mengenepikan dan membatalkan tindakan kebankrapan ini. ANALISA DAN DAPATAN MAHKAMAH 26. Adalah menjadi undang-undang yang mantap bahawa apabila satu rayuan terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar (PKP) dibawa ke hadapan Hakim Dalam Kamar perkara tersebut akan didengar semula secara keseluruhan seolah-olah perkara itu datang dihadapan Hakim buat pertama kali. Prinsip ini telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Tuan Haji Ahmed Abdul Rahman v Arab Malaysian Finance Berhad [1996] 1 CLJ 241. 27. Prinsip yang telah diputuskan dalam kes tersebut turut diikuti oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Re: Sulaiman Sahari; Ex-Parte: Hafiz Khalid & Anor [2019] 1 LNS 1138, di mana Mahkamah memutuskan seperti berikut: “[10] Firstly, an appeal to the Judge in Chambers from a discretionary order of SAR is treated as if the matter comes before the Judge for the first time. In Seloga Jaya Sdn Bhd v Pembinaan Keng Ting (Sabah) Sdn BHd [1994] 2 CLJ 716, the Supreme Court cited with approval the decision of Lord Atkin in Evans v Bartlam [1937] as follows:- “(1) In an appeal from a discretionary order of the master to a Judge in Chambers, the Judge exercises his own discretion as though the matter comes before him the first time, unfettered by the previous exercise of the master’s discretion; and (2) So far as the master’s decision is concerned, the Judge will give it the weight it desertves.” (see Ahmed Ismail bin Hj Amin; ex parte Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja [2022] MLJU 129) [penekanan ditambah] 28. Pertama sekali Mahkamah ini merujuk kepada S.5 Akta Insolvensi berkenaan dengan prosedur bagi tindakan kebankrapan. Proses yang ditentukan adalah: (i) JC hendaklah mengambil tindakan kebankrapan terhadap Defendan tertakluk kepada semua 4 syarat yang dinyatakan di bawah S.5 (1)(a) – (d) AI 1967; (ii) Apabila JC ingin mengambil tindakan terhadap JD yang merupakan penjamin (disebabkan principal debtor telah digulungkan) maka permohonan JC adalah tertakluk kepada kehendak peruntukan s.5(3),(4),(5), (6) yang khusus mengenai penjamin. (iii) S. 5(3),(4), (5),(6) menyebut, s.5(3) – A petitioning creditor shall not be entitled to commence any bankruptcy action; (a) against a social guarantor; and (b) against a guarantor other than a social guarantor unless the petitioning creditor has obtained leave from the court. s.5(4) – before granting leave referred to in paragraph 3(b), the court shall satisfy itself that the petitioning creditor has exhausted all modes of execution and enforcement to recover the debts owed to him by the debtor. s.5(5) – where the petition is presented against a guarantor pursuant to subsection (4), a petitioning creditor shall state in his petition the particulars of his borrower. s.5(6) – for the purposes of subsection (4), modes of execution and enforcement shall include seizure and sale, judgment debtor summon, garnishment and bankruptcy or winding up proceedings against the borrower”. Seksyen 2 AI 1967 pula mentakrifkan “social guarantor” sebagai “a person who provides, not for the purpose of making profit, the following guarantees; (a) a guarantee for a loan, scholarship or grant for educational or research purposes; (b) a guarantee for a hire-purchase transaction of a vehicle for personal or non business use; and (c) a guarantee for a housing loan transaction solely for personal dwelling.” [penekanan ditambah] 29. Ini bermakna mereka yang menjamin selain daripada yang disebutkan itu termasuk dalam kategori “other than social guarantor”. Secara ringkasnya peruntukan-peruntukan di atas bermaksud: (i) tidak ada apa-apa prosiding kebankrapan yang boleh diambil terhadap seorang ‘social guarantor’ dibawah AI 1967. (ii) jika seseorang penjamin adalah “other than social guarantor’ maka prosiding kebankrapan boleh diambil terhadapnya, dengan syarat – (a) kebenaran Mahkamah diperoleh terlebih dahulu (with leave of the court) [s.5(3)(b)]; (b) sebelum kebenaran diberikan oleh Mahkamah, the court shall satisfy itself that the petitioning creditor has exhausted all modes of execution and enforcement to recover debts owed to him by the debtor [s.5(4)]; (c ) Permohonan bagi prosiding kebankrapan terhadap “óther than social guarantor’ ini hendaklah disertakan dengan segala butiran peminjam [s.5(5)]. (iii) s.5(6) menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan ‘modes of execution that must be exhausted”. (iv) Jika kehendak s.5 tidak dipatuhi maka petisyen kebankrapan hendaklah dibatalkan oleh Mahkamah seperti peruntukan di bawah s.5(7) – if the petitioning creditors fails to comply with the requirements of this section, the court shall dismiss the petition”. 30. Persoalan utama yang perlu diputuskan adakah JD adalah seorang penjamin “other than social guarantor’ dan jawapan nya adalah “ÝA” maka barulah prosiding kebankrapan dibawah Akta ini boleh diteruskan dan barulah s.5(4) – (6) adalah terpakai. 31. Didalam kes kita ini ‘leave’ telah pun diperolehi untuk diteruskan dengan tindakan kebankrapan dan Mahkamah telah pun membenarkan Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan diserahkan kepada Defendan dan Defendan telahpun menerimanya dan seperti yang dijelaskan di dalam latar belakang fakta kes ini sebagaimana di atas, iaitu pada 27.10.2024 JD telah memfailkan Saman Dalam Kamar untuk membatalkan Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan oleh JC bertarikh 27.9.2023. Pada 25.3.205 Mahkamah Yang Mulia (PKP) telah memerintahkan bahawa permohonan JD untuk membatalkan dan mengenepikan Notis Kebankrapan bertarikh 5.4.2023 dan Petisyen Kebankrapan bertarikh 7.9.2023 ditolak dengan kos sebanyak RM500.00 tertakluk kepada fi alokatur. Maka JD telah tidak berpuashati dan memfailkan Notis Rayuan kepada Hakim Dalam Kamar pada 26.3.2025 untuk perintah yang diperolehi di Lampiran 43. Rayuan kepada Hakim Dalam Kamar telah didengar pada 9.10.2025 pada hari yang sama juga telah menolak Notis Rayuan oleh JD/Perayu di Lampiran 50 dengan kos RM5000.00 dibayar oleh JD kepada JC. Akibat tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah ini, JD telah memfailkan rayuan ini ke Mahkamah Rayuan. ISU-ISU UNTUK DIPUTUSKAN (i) Sama ada permohonan JD untuk mengetepikan Notis Kebankrapan difailkan dalam tempoh tujuh (7) hari seperti dikehendaki undang-undang; (ii) Sama ada JC telah “exhausted all means” di bawah Seksyen 5(4) Akta Insolvensi 1967 sebelum memulakan prosiding kebankrapan terhadap JD; dan (iii) Sama ada Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan ini sah dan teratur di sisi undang-undang. Isu (i): Tempoh Masa Pemfailan 32. Berdasarkan rekod, Notis Kebankrapan beserta perintah kebenaran telahpun diserahkan kepada JD secara penyampaian ganti melalui penampalan di premis pada 15.7.2023, penampalan Mahkamah pada 26.7.2023 dan pengiklanan pada 26.7.2023 tetapi hanya memfailkan permohonan mengetepikan pada 27.10.2024 iaitu lebih kurang 1 tahun 2 bulan selepas perbuatan kebankrapan dilakukan tanpa sebrang kebenaran Mahkamah untuk memfailkan diluar tempoh masa serta tidak disokong dengan sebarang alasan kelewatan JD. Ini jelas melebihi tempoh tujuh (7) hari yang ditetapkan malah mencecah tempoh SETAHUN berdasarkan peruntukan di bawah S.3(1)(i) AI 1967 dan Kaedah 92 (1) (c), 92(2)(a) dan 93 KKI 2017. S.3(1)(i) A debtor commits an Act of Bankruptcy: “If a creditor has obtained a final judgment or final order against him for any amount and execution thereon not having been stayed has for any amount and execution thereon not having been stayed has served on him in Malaysia..a Bankruptcy Notice under this Act requiring him to pay the judgment debt or sum ordered to be paid in accordance with the terms of the judgment or order with interest quantified up to the date of the bankruptcy notice..he does not within seven days after service of the notice in case the service is effected in Malaysia…either comply with the requirements of the notice or satisfy the court that he has a counterclaim, set off or cross demand..” 33. Mahkamah ini merujuk kepada kes otoriti Defendan dan bersetuju dengan dapatan Hakim Low Hop Bing di dalam kes Gerald Giam Seng Teck; ex-parte: Prime Credit Leasing Sdn Bhd (1999) MLJU 582 memutuskan bahawa: “..in the light of the above authorities, it is my view that the Judgment Debtor having failed to give the requisite notice of dispute within seven days of the substituted service of the bankruptcy notice, which was on 13.11.1997, the Bankruptcy Notice shall not be invalidated. In order to dispute the validity of the Bankruptcy Notice it is incumbent on the Judgment Debtor to serve on the Judgment Creditor a notice of dispute on or before 20.11.1997, but as stated above, the Summon in Chambers in enclosure 17 was only filed on 16.3.1998 which is some 4 months later, which was far beyond the time frame prescribed in proviso (ii) to S.3(2)..” Kaedah 92(1)(c) Kaedah-Kaedah Insolvensi 2017 menyatakan: An intimation to the debtor if that he has any counterclaim, he must within the time specified in the notice file an affidavit to that effect..” Kaedah 92(2) – in the case of a notice- (a) served in Malaysia, the time shall be SEVEN DAYS; Kaedah 93 – (1) the filing an affidavit shall operate as an application to set aside the bankruptcy notice, (2) if the application cannot he headed before the time specified in the notice for compliance with its requirement. 34. Oleh itu Mahkamah ini berpendapat peruntukan tersebut adalah bersifat mandatori, dan kegagalan mematuhinya menjadikan permohonan JD tidak kompeten. 35. Oleh itu, Mahkamah bersetuju dengan hujahan JC bahawa permohonan JD sudah time-barred dan wajar ditolak atas alasan prosedural. Namun Mahkamah ini tidak akan menolak permohonan JD atas isu procedural semata-mata sebaliknya akan meliha kepada isu yang lebih material dan menjadi substance kepada permohonan ini sebagaimana isu-isu seterusnya. Isu (ii): Sama ada JC Telah “Exhausted All Means” di bawah Seksyen 5(4) 36. Seksyen 5(4) Akta Insolvensi 1967 memperuntukkan bahawa penjamin tidak boleh dianggap telah melakukan “act of bankruptcy” melainkan JC telah “mengambil segala langkah munasabah untuk mendapatkan hutang daripada penghutang asal”. 37. Prinsip ini dimaksudkan untuk melindungi penjamin daripada tindakan tergesa-gesa apabila masih wujud kemungkinan mendapatkan bayaran daripada penghutang asal. 38. Seksyen 5(4) AI 1967 mensyaratkan bahawa sebelum mahkamah memberi kebenaran terhadap penjamin, pemiutang hendaklah membuktikan telah mengambil semua langkah munasabah menuntut hutang daripada penghutang utama. S.5(4) mengkehendaki sebelum membenarkan leave di bawah s.5(3)(b) AI 1967 Mahkamah haruslah berpuashati bahawa JC telah melakukan semua cara has exhausted all modes of execution and enforcement to recover the debts owed to him by the debtor. 39. Di dalam kes Hong Leong Bank Bhd v Khairulnizam bin Jamaludin [2016] 4 MLJ 302’; [2016] 7 CLJ 335;(FC), Hasan Lah FCJ meringkaskan tujuan leave ini diperlukan dan syarat yang perlu dipatuhi adalah seperti berikut: “The purpose of having s.5(3) of the Act which was inserted by Act A1197 is to protect the social guarantor. There are cases where the creditors have been taking the easiest and shortest way out by claiming the defaulted loans from the guarantors directly without making serious effort to get payments from the principal borrowers. This provision will therefore protect these guarantors from being adjudged bankrupt easily..” 40. Didalam kes COA Hong Leong Bank Bhd v Ong Moon Huat and another appeal [2018] MLJU 1576; [2018] 1 LNS 1612, Nallini Patmanathan FCJ berpendirian yang sama menyatakan: “A purposive construction of the section as a whole discloses that the section seeks to introduce protection for the guarantor against whom bankruptcy proceedings are to be brought. the protection comes in the form of ensuring that the enforcement has been exhausted in respect of the principal debtor prior to proceeding against the guarantor. it is to remedy the mischief judgment creditors proceeding against the guarantors directly in bankruptcy rather than executing and enforcing against the principal debtor...” 41. Di dalam penghakiman tersebut selanjutnya memutuskan bahawa: “[6] We are further supported by the decision of the Federal Court in Khairulnizam’s case (Hong Leong Bank Bhd v Khairulnizam bin Jamaluddin (supra) which in paragraph 35 stipulates that: “In the instance case the Hight Court as mentioned earlier was satisfied from the affidavit evidence that the appellant had proved that it had exhausted all avenues to recover debts owed to him by the hirer. As such the appellant had satisfied the requirement of section 5(3) of the Act to commence the bankruptcy action against the respondent”. 42. Mahkamah telah meneliti hujahan kedua-dua pihak berkenaan keperluan bahawa JC mesti mengambil semua langkah munasabah untuk menuntut hutang daripada penghutang utama sebelum memohon kebenaran terhadap penjamin. 43. Dalam hal ini, Mahkamah bersetuju dengan hujahan JC bahawa, berdasarkan bukti yang dikemukakan, JC telah mengambil langkah yang munasabah untuk menuntut hutang daripada syarikat Penghutang Utama, termasuk melalui prosiding penggulungan yang sedang berjalan walaupun ada Perintah Penggantungan tiada apa-apa perintah yang diberikan oleh Mahkamah untuk JC meneruskan apa-apa tindakan ke atas JD sebagai Penjamin dan ianya tidak mengikat JC dan tidak menghalang tindakan kebankrapan terhadap JD. 44. Mahkamah juga mengambil kira bahawa Perintah Penggantungan itu juga tertakluk kepada perintah untuk Syarikat iaitu Penghutang Utama membayar kepada JC wang sebanyak RM60,000.00 sebulan selama 6 bulan mulai hujung bulan September 2024 dan sekarang Perintah Penggantungan tersebut TIDAK LAGI berkuatkuasa memandangkan JD gagal untuk mengikuti terma-terma yang ditetapkan oleh Mahkamah. Tambahan pula Mahkamah ini tidak menjumpai di mana-mana dalam Afidavit JD yang menyatakan bahawa JD berupaya membayar hutang tersebut. Oleh itu JC telah bertindak dengan kewajaran komersial yang munasabah dengan mengambil tindakan tersebut. 45. Mahkamah ini memetik kata-kata Prof Andrew Keay dan Dr Peter Walton dalam edisi ketiga buku Insolvency Law-Corporate and Personal di halaman 233, perenggan pertama menjelaskan bahawa; “The end of the company comes when it is dissolved. Liquidation is the process that prepares the company for dissolution. Winding up does not consist of an order that a company be wound up; rather it means the process whereby the assets of a company are collected and realised, the resulting proceeds are applied in discharging all its debts and liabilities and any balance which remains.. are distributed among the members according to their rights and interest..” 46. Jika badan perundangan bermaksud bahawa penggulungan syarikat Penghutang Utama harus ‘diselesaikan’ dan syarikat itu ‘dibubarkan’ sebelum kebenaran dapat diberikan berdasarkan s.5(4) AI 1967 seseorang akan menjangkakan Parlimen telah menyatakan keperluan itu dalam peruntukan yang jelas dan nyata untuk itu. S.5(3) – (6) AI 1967 adalah jelas dan nyata. Ia tidak mengandungi peruntukan yang tegas yang memerlukan ‘penyelesaian’ penggulungan atau ‘pembubaran’ syarikat tersebut sebelum kebenaran boleh diberikan bawah s.5(4) AI 1967. Perlindungan ini bagi penjamin adalah untuk meremedikan kerosakan pemiutang penghakiman meneruskan prosiding kebankrapan terhadap penjamin secara langsung dan bukannya kepada Penghutang Utama. Maka, Mahkamah berpuas hati bahawa syarat di bawah s. 5(4) telah dipenuhi. 47. Dalam kes ini, Penghutang Utama, Syarikat Travelers Tours (Malaysia) Sdn. Bhd. telah pun digulung dan tiada prospek realistik bahawa JC dapat memulihkan hutangnya melalui penggulungan tersebut. Maka, Mahkamah berpendapat JC telah memenuhi syarat “exhausted all means” di bawah Seksyen 5(4). 48. Dakwaan JD bahawa JC gagal mengambil langkah munasabah terhadap penghutang asal tidak disokong dengan bukti yang meyakinkan. Sebaliknya, bukti menunjukkan bahawa tindakan terhadap JD hanya diambil selepas kegagalan penghutang prinsipal dipastikan melalui proses penggulungan. Isu (iii): Sama ada JD Mempunyai Merit untuk Mengenepikan Notis dan Petisyen Kebankrapan 49. Setelah meneliti keseluruhan afidavit dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah mendapati bahawa JD tidak menunjukkan sebarang pembelaan substantif terhadap hutang yang menjadi asas kepada Notis dan Petisyen Kebankrapan ini. Hutang yang dituntut oleh JC berpunca daripada penghakiman Mahkamah yang sah dan masih berkuat kuasa. JD tidak menunjukkan bahawa penghakiman tersebut telah diketepikan, digantung, atau dibatalkan melalui sebarang prosiding lain. 50. Mahkamah mendapati bahawa alasan-alasan JD hanya bersifat spekulatif dan tidak disokong oleh fakta atau undang-undang. Tiada bukti menunjukkan sebarang ketidakteraturan dalam pengeluaran Notis atau Petisyen Kebankrapan yang boleh membawa kepada pembatalannya. Berdasarkan prinsip yang digariskan dalam kes Re: Lim Sow Hoon; Ex parte Malayan Banking Bhd [2018] 1 LNS 1611, mahkamah hanya akan membatalkan Notis atau Petisyen Kebankrapan jika terdapat bukti nyata bahawa tindakan itu disalahgunakan (abuse of process) atau mengandungi kecacatan yang memprejudiskan penghutang. Dalam kes ini, JD gagal menunjukkan apa-apa keadaan sebegitu. Maka, Mahkamah berpendapat bahawa JD tidak mempunyai merit substantif untuk mengenepikan Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan tersebut. KESIMPULAN 51. Berdasarkan keseluruhan fakta dan undang-undang, Mahkamah mendapati bahawa: (a) Permohonan JD difailkan di luar tempoh tujuh (7) hari yang diperuntukkan oleh bawah S.3(1)(i) AI 1967 dan Kaedah 92 (1) (c), 92(2)(a) dan 93 KKI 2017 dan oleh itu tidak kompeten; (b) JC telah “exhausted all means” sebagaimana dikehendaki oleh Seksyen 5(4) Akta Insolvensi 1967; dan (c) JD tidak mempunyai sebarang merit substantif untuk mengenepikan Notis dan Petisyen Kebankrapan tersebut. 52. Oleh yang demikian, rayuan JD adalah dengan ini ditolak, dan keputusan Penolong Kanan Pendaftar bertarikh 25 Mac 2025 disahkan sepenuhnya. Kos rayuan ini diberikan kepada JC RM5000.00. BERTARIKH : 19 NOVEMBER 2025 t.t MANIRA BINTI MOHD NOR PESURUHJAYA KEHAKIMAN MAHKAMAH TINGGI SIVIL 4 JOHOR BAHRU. Peguam bagi pihak Plaintif Nur Fauziah binti Basri bersama Farah Nuraliah binti Zainudin Tetuan Shahinuddin & Ranjit Johor Bahru Bagi Pihak Defendan` Yahya Chua Lau Kok Guan Liana & Kuan Johor Bahru