Tertuduh kedua hendaklah membayar denda RM10,000.00 bagi pertuduhan kedua. Tiada penangguhan diberikan untuk pembayaran denda. [11] Tertuduh Pertama (Ahmad Ammar bin Hassan) tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah ini seperti yang dinyatakan di atas, dan telah memfailkan Rayuan ke Mahkamah Rayuan. Maka Alasan S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 8 of 30 Penghakiman ini hanyalah berkaitan rayuan oleh tertuduh pertama sahaja. Fakta Kes [12] SP1 iaitu ASP Prabakaran A/L Krishnan yang bertugas sebagai Ketua di Bahagian Pengurusan Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah telah memberi keterangan bahawa kedua-dua tertuduh merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Seberang Jaya. [13] Tertuduh pertama berpangkat Lans Koperal manakala tertuduh kedua berpangkat Konstable dan mereka berdua bertugas sebagai anggota Unit Rondaan Bermotor pada masa kejadian seperti dalam pertuduhan. [14] Pengadu (SP2) ialah seorang peniaga makanan yang menjalankan perniagaan di Kawasan Taman Sutera, Seberang Jaya. Memandangkan perniagaan di situ kurang mendapat sambutan maka SP2 bercadang untuk mengubah tapak perniagaannya ke Kawasan yang lain. [15] SP2 telah meminta bantuan abangnya bernama Zulkhairi dan beberapa orang kawannya untuk memindahkan peralatan perniagaan tersebut dari kawasan perniagaan di Taman Sutera tersebut. [16] Pada 20.5.2017 jam lebih kurang 2.30am SP2 pergi ke tapak perniagaan tersebut dengan memandu sebuah kereta Proton Waja miliknya yang bernombor pendaftaran WMU 2557, dan bersama dengannya di dalam kereta tersebut ialah SP3 (Shamin bin Jamal), SP4 (Mohd Faizal bin Mansor @Jal) dan SP5 (Mohd Noorassmawie S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 9 of 30 bin Zulkifli @Mawi). Manakala Zulkhairi (SP7) dan Mohd Naim (SP6) juga pergi ke tapak perniagaan tersebut dengan menaiki sebuah van. [17] SP2 telah memandu kereta Proton Waja tersebut melalui lebuh raya, dan apabila tiba di Seberang Jaya, SP2 telah masuk ke Lorong Jenahak di sebelah bangunan TM. Manakala van yang dipandu oleh Zulkhairi telah menggunakan laluan yang lain iaitu Jalan AEON Big Seberang Jaya. [18] Apabila kereta SP2 sampai di Persiaran Jalan Jenahak, terdapat sekatan jalan raya yang dijalankan oleh 3 orang anggota polis yang beruniform. Salah seorang anggota polis tersebut telah menahan kereta yang dipandu oleh SP2. [19] Apabila kereta berhenti, anggota polis tersebut telah meminta SP2 menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu. SP2 telah menunjukkan Kad Pengenalannya dan lesen memandunya yang telah tamat tempoh kepada anggota polis tersebut. [20] Selanjutnya anggota polis tersebut telah membuat pemeriksaan ke atas kereta dan mendapati cukai jalan (road tax) juga telah tamat tempoh sejak 3.8.2016. SP2 telah memberikan gambaran bentuk tubuh anggota polis tersebut dengan menyatakan “Polis itu rendah dan berkulit putih”. SP2 telah camkan SP15 sebagai anggota polis yang menahan kereta dan membuat pemeriksaan tersebut. SP15 kemudiannya telah mengarahkan SP2 membawa keretanya ke tepi jalan. [21] Semasa di tepi jalan, tertuduh pertama telah menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kereta tersebut dan memeriksa kad S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 10 of 30 pengenalan SP2, SP3, SP4 dan SP5. Hasil pemeriksaan dan semakan dengan menggunakan “walkie-talkie”, tertuduh pertama mendapati SP2 dan SP3 mempunyai rekod jenayah berkaitan kesalahan dadah berbahaya. [22] Tertuduh pertama telah berkata kepada SP2 dan SP3 bahawa dia akan mengambil tindakan terhadap mereka. Selanjutnya SP2 telah merayu kepada tertuduh pertama agar tidak dikenakan apa-apa tindakan dan minta dilepaskan. [23] Tertuduh pertama telah meminta sejumlah RM 1000 (setiap seorang RM 500/-) daripada SP2 dan SP3 untuk melepaskan mereka dari sebarang tindakan undang-undang atas kesalahan mereka. [24] SP2 berkata kepada tertuduh pertama bahawa dia tidak mempunyai wang sebanyak tersebut. Sebagai respon, tertuduh pertama mengarahkan SP2 supaya meminta tolong daripada sesiapa untuk mendapatkan wang sejumlah yang diminta. SP2 telah menghubungi SP6 dan meminta tolong daripada SP6 untuk mendapatkan wang sejumlah RM1000 seperti yang diminta oleh tertuduh pertama. [25] Tertuduh pertama kemudiannya mengarahkan SP2 – SP5 untuk pergi ke Balai Polis Seberang Jaya. Keempat-empat mereka telah mengikuti arahan tertuduh pertama dan pergi ke Balai Polis Seberang Jaya dengan SP2 memandu kereta tersebut. [26] Sepanjang perjalanan ke Balai Polis, kereta mereka diiringi oleh tertuduh pertama, tertuduh kedua dan SP15 yang menunggang motorsikal. Pada masa tersebut semua kad pengenalan SP2 – SP5 dipegang oleh tertuduh pertama. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 11 of 30 [27] Apabila sampai di Balai Polis Seberang Jaya, tertuduh pertama dan tertuduh kedua berada di dalam pekarangan Balai, iaitu di bahagian hadapan Balai untuk menunggu kedatangan SP6 yang akan membawa wang. SP2 memberitahu tertuduh pertama bahawa SP6 hanya mempunyai wang sejumlah RM 500. [28] Sepanjang masa SP2 – SP5, tertuduh pertama dan tertuduh kedua berada di perkarangan Balai, SP2 dalam keterangannya menyatakan bahawa beliau mendapati SP15 tidak berada bersama tertuduh pertama dan kedua di perkarangan Balai kerana SP15 telah masuk ke dalam Balai. [29] SP2 telah meminta supaya tertuduh pertama dan tertuduh kedua melepaskan SP4 dan SP5 kerana mereka tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan. Tertuduh pertama telah mengembalikan kad pengenalan SP4 dan SP5, seterusnya tertuduh pertama telah membenarkan mereka memandu kereta Proton Waja yang tiada cukai jalan tersebut untuk balik ke rumah. [30] Semasa SP4 dan SP5 balik, SP2, SP3 dan kedua-dua tertuduh masih berada di hadapan Balai menunggu kedatangan SP6 yang akan membawa wang sejumlah RM 500. Selepas 30 – 45 minit, barulah SP6 sampai di luar kawasan Balai tersebut. [31] SP2 telah memaklumkan kedatangan SP6 pada tertuduh pertama, kemudiannya tertuduh pertama telah mengarahkan tertuduh kedua mengikuti SP2 dan SP3 pergi ke tempat van diberhentikan. Tertuduh kedua telah mematuhi arahan tertuduh pertama dan pergi mengikuti SP2 dan SP3 dengan menunggang motorsikal. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 12 of 30 [32] SP6 telah menyerahkan wang sejumlah RM500 kepada SP2 dengan disaksikan oleh SP3 dan tertuduh kedua. SP2 juga telah mengira wang tersebut dan kemudiannya menyerahkan kepada tertuduh kedua wang sejumlah RM500 iaitu dalam note RM 50 sebanyak 10 keping. [33] Tertuduh kedua telah menerima wang tersebut dan menyimpan di dalam poket seluar yang dipakainya. Selanjutnya dia telah mengembalikan kad pengenalan SP2 dan SP3 kepada mereka berdua. Tertuduh kedua juga mengarahkan SP2 dan SP3 untuk pulang. SP2, SP3, SP6 dan SP7 kemudiannya beredar dari perkarangan Balai dengan menaiki van tersebut. [34] Tertuduh pertama dan tertuduh kedua tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap SP2 yang memandu kereta menggunakan lesen memandu dan cukai jalan yang telah tamat tempoh. Tertuduh pertama dan tertuduh kedua juga tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang atas kesalahan SP3 yang dikatakan mempunyai rekod sabitan lalu. [35] Di akhir kes Pendakwaan, Hakim Bicara mendapati bahawa Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh atas kedua-dua pertuduhan, dan Hakim Bicara juga memutuskan bahawa anggapan undang-undang di bawah Seksyen 50 Akta SPRM telah timbul terhadap kedua-dua tertuduh, oleh yang demikian Hakim bicara memerintahkan untuk kedua-dua tertuduh membela diri. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 13 of 30 Kes pembelaan [36] Pihak pembelaan telah memanggil seramai dua orang saksi, iaitu kedua-dua tertuduh sendiri sebagai SD1 dan SD2. [37] Berdasarkan keterangan bersumpah oleh SD1 dan SD2, Mahkamah mendapati intipati kes yang diketengahkan oleh pihak Pembelaan bahawa SP15 merupakan dalang dalam kes ini. Keterangan SD1 dalam pemeriksaan utama dapatlah diringkaskan seperti berikut: [38] Pada 20/5/2017 SD1 memulakan kerja iaitu tugas rondaan di kawasan seberang Jaya bersama SP15 mengikut shif yang bermula jam 12.30 malam hingga 8.00 pagi. Semasa menjalankan tugas rondaan, SD1 dan SP15 menunggang motorsikal masing-masing. [39] Pada jam 1.00 pagi, SP15 dikatakan telah mengajak SD1 ke Jalan Jenahak untuk membuat “snap check”/sekatan jalanraya pada malam tersebut. Snap check telah dijalankan pada jam 1.30 pagi – 2.00 pagi di Jalan Jenahak. SD1 kemudiannya mengajak SD2 untuk datang membuat snap check bersama mereka. [40] Pada jam 2.00 pagi, SD1 nampak SP15 menahan kereta Proton Waja dan SP15 membuat pemeriksaan terhadap Kad Pengenalan pemandu (SP2) dan penumpang kereta (SP3-SP5) serta cukai jalan kereta tersebut. [41] SP15 memberitahu SD1 dan SD2 hasil pemeriksaannya dan SP15 telah mengarahkan SP2 memberhentikan kereta di tepi jalan iaitu di tempat SD1 dan SD2 berdiri. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 14 of 30 [42] Selanjutnya SD1 dan SD2 telah mengarahkan SP2 – SP5 keluar dari kereta untuk membuat pemeriksaan kad pengenalan mereka dengan menggunakan “walkie talkie” menghubungi bilik gerakan Balai Polis Seberang Jaya. SD1 telah dimaklumkan bahawa SP2 dan SP3 mempunyai rekod sabitan lalu berkaitan dadah. [43] Seterusnya SD1 telah membuat pemeriksaan di dalam kereta tersebut dan telah menjumpai satu pemetik api yang diubahsuai untuk menghisap dadah. SD1 telah memaklumkan kepada SP15 mengenai penemuan pemetik api tersebut dan juga rekod kesalahan lampau SP2 dan SP3. SD1 juga telah maklumkan kepada SP15 bahawa SP2 memandu lesen kelas D yang tamat tempoh serta cukai jalan kereta juga telah luput. [44] Selepas itu SP15 dikatakan telah menarik SP2 dan SP3 untuk sembang jauh sikit daripada SD1. Pada masa itu SD1 dan SD2 mengawal SP4 dan SP5. Kemudian SP15 telah datang ke arah SD1 dan SD2 serta menyatakan hendak membawa kesemua saspek ke Balai. [45] SP2 – SP5 telah menaiki kereta untuk pergi ke Balai dengan diiringi oleh SP15, SD1 dan SD2 yang menunggang motorsikal. Sampai di Balai, SP15 telah masuk ke bilik CPJ untuk membuat deraf repot. Manakala SD1 dan SD2 berada di luar bilik CPJ untuk mengawal SP2 – SP5. [46] Pada jam 3.45 pagi sebuah van telah sampai di luar pagar Balai, kemudiannya SP15 keluar dari bilik CPJ dan mengarahkan SD2 untuk mengikuti SP2 dan SP3 pergi kearah van tersebut. Selepas itu SD2 S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 15 of 30 kembali ke dalam Balai dan menyerahkan satu sampul kepada SP15. SD2 kemudiannya beredar dari kawasan Balai. SD1 tidak mengetahui kandungan sampul tersebut. SP2 dan SP3 telah beredar dari kawasan Balai dengan menaiki van. [47] Mengenai penyerahan wang, SD1 menyatakan bahawa SP15 telah membuka sampul surat tersebut dan mengeluarkan wang RM150.00 untuk diberi kepada SD1. Walaupun SD1 kehairanan mengenai pemberian wang tersebut kepadanya, tetapi SD1 tetap mengambilnya dan memasukkan dalam beg. [48] SD1 menyatakan bahawa dia berasa serba salah, dan mengambil wang tersebut kerana pada 21/5/2017 dia hendak melaporkan kepada pegawainya mengenai wang yang diberikan oleh SP15 kepadanya. [49] Pada 21/5/2017, di sebelah petang Pegawai SPRM telah datang ke rumah SD1 sebelum sempat SD1 membuat aduan kepada pegawai atasan mengenai duit tersebut. [50] Pegawai SPRM telah memeriksa beg SD1 dan menjumpai di dalam beg tersebut wang not RM 50. Kemudiannya pegawai SPRM meminta SD1 menandatangani satu kertas putih yang tercatit nombor siri wang. Nombor siri not RM50 yang dijumpai dalam beg SD1 adalah sama dengan senarai nombor siri di kertas putih tersebut. Kemudiannya SD1 ditangkap dan direman untuk siasatan lanjut. [51] SD1 selanjutnya menafikan meminta wang sejumlah RM 1000 daripada SP2 dan SP3. SD1 juga menafikan menerima wang sejumlah RM500 daripada SP2 dan SP3. SD1 juga menafikan pernah S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 16 of 30 membahagikan wang sejumlah RM500 kepada SD2, SP15 dan dirinya sendiri. [52] Keterangan SD2 juga menyokong keterangan SD1 bahawa idea untuk mengadakan snap check tersebut adalah daripada SP15 dan SP15 merupakan dalang dalam keseluruhan episod ini. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH INI [53] Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan dalam Petisyen Rayuan oleh tertuduh pertama, Mahkamah ini mendapati isu utama yang perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam rayuan ini, adalah: a) Samada kes prima facie telah berjaya dibuktikan di akhir kes pendakwaan; dan b) Samada Hakim bicara telah memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh-tertuduh; dan c) Samada hukuman yang dijatuhi terhadap tertuduh pertama mencukupi atau keterlaluan. Isu a: Samada kes prima facie telah berjaya dibuktikan di akhir kes pendakwaan [54] Hakim Bicara dalam memutuskan bahawa pihak Pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh telah dihuraikan secara komprehensif dalam alasan penghakiman beliau. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 17 of 30 [55] Hakim Bicara telah membuat analisis serta penilaian maksima terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan di akhir kes Pendakwaan, dan menyatakan bahawa Pendakwaan telah berjaya membuktikan kesemua elemen pertuduhan bagi kedua-dua pertuduhan. [56] Hakim Bicara memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh merupakan agen Kerajaan dengan merujuk kepada keterangan SP1 (ASP Prabakaran a/l Krishnan) yang bertugas sebagai Ketua di Bahagian Pengurusan Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah. [57] Dalam keterangannya SP1 telah membuat pengesahan bahawa kedua-dua tertuduh merupakan anggota polis yang bertugas di Balai Polis Seberang Jaya. Tertuduh pertama berpangkat Lans Koperal manakala tertuduh kedua berpangkat Konstable dan mereka berdua bertugas sebagai anggota Unit Rondaan Bermotor pada masa kejadian seperti dalam pertuduhan. [58] Mengenai pertuduhan pertama, Hakim bicara mendapati bahawa saksi-saksi pendakwaan telah mengemukakan keterangan yang mencukupi dan boleh dipercayai untuk membuktikan terdapatnya permintaan wang rasuah sebanyak RM1000.00 oleh kedua-dua tertuduh secara niat bersama daripada SP2 dan SP3 (iaitu setiap seorang saksi RM500) semasa berada di tepi jalan Jenahak setelah kereta yang dipandu oleh SP2 ditahan dalam sekatan jalanraya yang dikendalikan oleh tertuduh pertama, tertuduh kedua dan SP15. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 18 of 30 [59] Selanjutnya Hakim Bicara berpuashati bahawa keterangan SP2, SP3, SP4, SP5 dan SP15 adalah konsisten mengenai peristiwa penahanan kereta di sekatan jalanraya, pemeriksaan kad pengenalan, lesen memandu dan cukai jalan kereta oleh SP15 dan kemudiannya pemeriksaan dijalankan oleh tertuduh pertama. [60] Hakim bicara juga mendapati keterangan SP2 dan SP3 adalah konsisten mengenai permintaan wang oleh tertuduh pertama dalam kehadiran tertuduh kedua dan dikuatkan secara substantif oleh keterangan SP6 dan SP7, maka pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi dan boleh dipercayai bahawa terdapat permintaan wang oleh kedua-dua tertuduh. [61] SP15 dalam keterangannya mengesahkan bahawa beliau meminta SP2 membawa kereta ke tepi jalan untuk pemeriksaan lanjut dan kemudiannya SP15 telah meneruskan tugasannya dalam sekatan jalanraya. [62] SP15 juga menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam perbincangan permintaan wang oleh tertuduh pertama dan kedua terhadap SP2 dan SP3. SP15 juga mengesahkan bahawa beliau tidak mendengar perbualan dan perbincangan antara tertuduh pertama dengan SP2 dan SP3. [63] Selanjutnya keterangan SP2 – SP5, bahawa sementara menunggu kedatangan SP6 dan SP7 yang akan membawa wang, mereka diarahkan untuk pergi ke Balai Polis Seberang Jaya tetapi mereka berempat tidak dibawa masuk ke dalam Balai. Mereka hanya menunggu di kawasan parkir di Balai tersebut. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 19 of 30 [64] Berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan secara keseluruhannya, adalah jelas bahawa tindakan kedua-dua tertuduh tidak membawa SP2 – SP5 masuk ke dalam Balai untuk mengambil tindakan undang-undang atas kesalahan SP2 dan SP3 membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh secara niat bersama telah meminta daripada SP2 dan SP3 sejumlah RM1000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap SP2 dan SP3. [65] Mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Bicara telah membuat dapatan yang betul bahawa tujuan SP2 – SP5 diarahkan ke Balai Polis bukanlah untuk diambil tindakan undang-undang terhadap SP2 dan SP3 tetapi sebaliknya adalah untuk memastikan bahawa SP6 dan SP7 datang ke Balai Polis dengan membawa wang suapan yang diminta oleh kedua-dua tertuduh. [66] Selanjutnya berdasarkan keterangan semua saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah ini juga mendapati Hakim Bicara tidak terkhilaf dalam memutuskan bahawa elemen kedua bagi pertuduhan pertama (S. 16(a)(B) telah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan, iaitu kedua-dua tertuduh secara niat bersama telah membuat permintaan wang suapan sebanyak RM 1000 bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas SP2 dan SP3. [67] Selanjutnya berkenaan dengan pertuduhan kedua bahawa kedua-dua tertuduh telah menerima wang suapan, keterangan saksi-saksi bahawa sepanjang perjalanan ke Balai Polis Seberang Jaya, kad pengenalan SP2 – SP5 dipegang oleh tertuduh pertama. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 20 of 30 [68] Apabila sampai di Balai Polis, SP2 – SP5 bersama SD1 dan SD2 menunggu kedatangan SP6 dan SP7 di kawasan hadapan Balai Polis. Pada masa itu SP2 tidak nampak SP15 di luar atau di hadapan Balai, ini kerana SP15 telah masuk ke dalam bilik CPJ di dalam Balai. [69] SP2 telah memberitahu tertuduh pertama bahawa SP6 hanya membawa sejumlah RM500 sahaja kerana SP6 tidak mempunyai wang sebanyak yang diminta. SP2 juga telah meminta supaya SP4 dan SP5 dilepaskan kerana mereka tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan. [70] Atas permintaan SP2 supaya SP4 dan SP5 dilepaskan, maka tertuduh pertama telah mengembalikan kad pengenalan SP4 dan SP5 dan membenarkan mereka balik dengan memandu kereta yang tidak mempunyai cukai jalan tersebut. [71] SP2 dan SP3 masih menunggu kedatangan SP6 bersama kedua-dua tertuduh di kawasan hadapan Balai. Selepas 30 – 45 minit kemudiannya barulah SP6 dan SP7 sampai di luar kawasan Balai dengan membawa wang sejumlah RM500. [72] SP2 kemudiannya memberitahu tertuduh pertama bahawa SP6 telah sampai, lalu tertuduh pertama mengarahkan tertuduh kedua untuk mengikuti SP2 dan SP3 pergi ke tempat SP6 memberhentikan van. [73] SP6 telah menyerahkan wang sejumlah RM 500 kepada SP2. SP2 telah mengira jumlah wang tersebut di hadapan SP3 dan tertuduh kedua. Kemudiannya SP2 menyerahkan wang RM500 tersebut kepada tertuduh kedua dan dia telah menyimpan wang tersebut di dalam poket seluar yang dipakainya. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 21 of 30 [74] Tertuduh kedua kemudiannya telah menyerahkan kad pengenalan SP2 dan SP3 kepada mereka berdua dan mengarahkan mereka untuk balik. SP2 dan SP3 menaiki van bersama SP6 dan SP7 untuk balik ke rumah, manakala tertuduh kedua beredar masuk ke perkarangan Balai. Tertuduh kedua telah menyerahkan wang RM500 yang diterima daripada SP2 kepada tertuduh pertama. [75] Mahkamah ini mendapati bahawa keterangan SP2 mengenai penerimaan wang oleh tertuduh kedua telah disokong oleh keterangan SP3, SP6 dan SP7 yang mana keterangan mereka telah memberikan gambaran yang konsisten berdasarkan pemerhatian dan pengamatan mereka sendiri. [76] Mahkamah ini mendapati tiada percanggahan yang material dalam keterangan mereka, sebaliknya keterangan mereka adalah saling menyokong dan memperkukuhkan antara satu dengan yang lain. [77] Elemen menerima suapan oleh kedua-dua tertuduh adalah jelas terbukti apabila wang suapan yang diterima oleh tertuduh kedua turut dijumpai pada tertuduh pertama dan SP15. Ini berdasarkan nombor siri wang yang dijumpai adalah sama dengan nombor siri yang dicatitkan pada exhibit P7C oleh SP6 sebelum serahan wang dibuat kepada SP2. [78] Mahkamah mendapati penemuan wang bertanda dalam milikan tertuduh pertama merupakan satu keterangan bebas yang dapat menyokong keterangan saksi pendakwaan khususnya keterangan SP15 yang mengesahkan bahawa tertuduh pertama telah S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 22 of 30 membahagikan wang RM500 kepada tiga bahagian iaitu untuk tertuduh kedua, SP15 dan tertuduh pertama sendiri. [79] Isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua tertuduh bahawa SP15 merupakan dalang dan SP15 patut dipersalahkan, berdasarkan keterangan SP2 – SP5, bahawa mereka mengesahkan SP15 yang mula-mula menahan kereta yang dipandu oleh SP2 tetapi SP15 tidak terlibat dalam perbincangan dan permintaan wang. Hanya tertuduh pertama yang berbincang dan meminta sejumlah RM1000 daripada SP2 dan SP3 dalam kehadiran tertuduh kedua. [80] Seterusnya semasa di perkarangan Balai Polis, SP2 tidak nampak SP15 di perkarangan Balai kerana SP15 telah masuk ke dalam Balai dan SP15 berada di dalam bilik CPJ. Keberadaan SP15 di bilik CPJ tersebut membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dalam apa-apa urusan antara kedua-dua tertuduh dengan SP2 dan SP3. [81] Mahkamah ini mendapati dakwaan tertuduh pertama dan tertuduh kedua kononnya SP15 terlibat dalam permintaan dan penerimaan wang rasuah tersebut adalah tidak bermerit. Dakwaan tersebut tidak memprejudiskan, tidak memberi kesan dan tidak mengganggu kualiti keterangan Pendakwaan berkaitan dengan elemen pertuduhan. [82] Selanjutnya Mahkamah mendapati tertuduh pertama dan kedua mempunyai minda “corrupted” sejak dari awal lagi iaitu bermula di Jalan Jenahak sehinggalah di perkarangan Balai. Berdasarkan keterangan SP2 – SP5, peranan SP15 adalah semata-mata menahan kereta, memeriksa kad pengenalan dan lesen SP2 serta memeriksa cukai jalan kenderaan tersebut. SP15 tidak berada bersama tertuduh S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 23 of 30 pertama dan tertuduh kedua semasa berlakunya permintaan wang dan penerimaan wang. [83] Berdasarkan kronologi kejadian dan tindakan oleh kedua-dua tertuduh, Mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan adalah mencukupi untuk membuktikan wujudnya niat bersama oleh kedua-dua tertuduh dalam permintaan suapan seterusnya menerima suapan tersebut daripada SP2. [84] Mahkamah ini mendapati bahawa hakim bicara telah dengan betul memutuskan bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai niat bersama dalam mencapai maksud mereka dalam kes ini. [85] Setelah meneliti semua keterangan saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan Hakim Bicara bahawa semua saksi pendakwaan merupakan saksi-saksi yang kredibel dan keterangan yang dikemukakan telah berjaya membuktikan elemen-elemen pertuduhan bagi kedua-dua pertuduhan. Mahkamah ini juga mendapati bahawa kesemua saksi pendakwaan tiada apa-apa niat untuk menganiaya kedua-dua tertuduh. [86] Selanjutnya Hakim bicara adalah betul apabila memutuskan bahawa anggapan di bawah S. 50(1) ASPRM terpakai setelah satu kes prima facie telah berjaya dibuktikan. Justeru kedua-dua tertuduh perlu dipanggil untuk membela diri untuk mematahkan anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian dengan membuktikan bahawa wang yang diterima tersebut bukan wang rasuah. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 24 of 30 Isu b: Samada Hakim bicara telah memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh-tertuduh [87] Mahkamah ini mendapati bahawa Hakim Bicara telah memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap pembelaan yang dikemukakan oleh kedua-dua tertuduh. Ini dapat dilihat di dalam Alasan penghakimannya dalam Rekod rayuan Jilid 1 di mukasurat 80 – 104. [88] Keseluruhan keterangan SD1 dan SD2 bahawa mereka tidak terlibat dalam perbuatan meminta dan menerima rasuah seperti dalam pertuduhan, sebaliknya SP15 merupakan dalang dalam kejadian ini. [89] Hakim bicara mendapati keterangan SD1 dan SD2 yang tersebut merupakan pemikiran kemudian (after thought explanation) dan ciptaan baru (recent invention). Mahkamah ini mendapati bahawa adalah kelebihan pada Hakim bicara yang telah melihat demenour SD1 dan SD2 semasa memberi keterangan. [90] Pemerhatian oleh Hakim Bicara yang tersebut dapat dilihat dalam Alasan penghakimannya di perenggan 96 - 98 di mukasurat 97 – 99 RR Jilid 1. Eperti yang dinyatakan di atas bahawa Hakim bicara mempunyai kelebihan audio-visual yang jelas yang tidak diberikan kepada mahkamah yang mendengar rayuan. Oleh itu Mahkamah ini tidak akan dengan mudah campur tangan dalam penilaian yang dibuat oleh Hakim Bicara dan tiada alasan untuk Mahkamah ini campur tangan dalam penemuan fakta oleh Hakim Bicara. S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 25 of 30 [91] Hakim bicara juga mendapati bahawa keterangan SD1 dan SD2 adalah bertentangan dengan keterangan yang dikemukakan oleh saksi-saksi pendakwaan dan Mahkamah ini mendapati Hakim bicara telah dengan betul memutuskan bahawa Pembelaan yang dikemukakan merupakan penafian semata-mata dan fikiran terkemudian (after thought). [92] Hakim bicara juga telah dengan betul memutuskan bahawa sifat pembelaan yang dikemukakan tidak mampu untuk mematahkan anggapan statutori di bawah Seksyen 50 Akta SPRM atas imbangan kebarangkalian. [93] Berdasarkan analisis Hakim bicara terhadap keterangan saksi-saksi pembelaan, maka sabitan terhadap tertuduh pertama atas kedua-dua pertuduhan adalah selamat, sah dan betul. Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat tiada apa-apa kekhilafan oleh Hakim bicara yang boleh dikemukakan untuk rayuan (no appelable error). Isu c: Sama ada hukuman keatas perayu adalah wajar [94] Hakim bicara dalam menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh pertama telah mengambil kira bahawa setiap pertuduhan boleh membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang dari 5 kali nilai suapan dan tidak kurang dari RM10,000.00 yang mana lebih tinggi. [95] Hakim bicara setelah mendengar rayuan dan hujah pemberatan hukuman oleh pendakwa raya, menjatuhkan hukuman penjara 12 S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 26 of 30 bulan dan denda RM10,000.00 tidak bayar 6 bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan terhadap tertuduh pertama. [96] Mahkamah ini berpendapat bahawa hukuman yang telah dijatuhkan keatas tertuduh pertama seperti yang dinyatakan di atas adalah bersesuaian dan berpadanan iaitu ianya tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan dengan mengambil kira bahawa ini merupakan kesalahan pertama oleh tertuduh pertama. (Rujuk kes Gan Kim Hua v. PP [1983] CLJ 552). KESIMPULAN [97] Dari penelitian Mahkamah ini, Hakim Bicara telah mengambil kira semua keterangan sebelum membuat keputusan mensabitkan tertuduh pertama atas kedua-dua pertuduhan tersebut. Hakim bicara telah dengan betul mendapati keterangan yang dikemukakan oleh tertuduh pertama telah gagal mematahkan anggapan di bawah seksyen 50(1) Akta SPRM 2009 dan selanjutnya Hakim Bicara telah memutuskan bahawa pembelaan tertuduh pertama sebagai rekaan baru (recent invention), pemikiran kemudian (after thought) dan penafian semata-mata. [98] Hakim Bicara telah mempertimbangkan kedua-dua versi kes pendakwaan dan pembelaan dan telah memutuskan bahawa versi pendakwaan adalah dipercayai. Mahkamah ini berpendapat hujahan peguambela bahawa Hakim bicara gagal menilai keseluruhan keterangan secara objektif dan maksima adalah tidak berasas. [99] Mahkamah ini juga mendapati bahawa tiada salah arah oleh Hakim bicara dalam memutuskan kes ini yang membolehkan Mahkamah ini S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 27 of 30 menganggu dapatan-dapatan yang diputuskan seperti yang dihurai dalam kes TAN KIM HO & ANOR v. PP [2009] 3 CLJ 236: "It is an established principle that when dealing with finding at facts the trial judge is more offen than not, in a better position to decide. The appellant court must be reluctant to interfere with findings unless the facts obviously disclose the courts below had clearly and wrongly evaluated the facts". [100] Setelah menimbangkan dengan teliti semua keterangan serta hujahan oleh kedua-dua pihak, Mahkamah ini mendapati dan memutuskan bahawa Hakim bicara telah membuat keputusan yang betul apabila mendapati tertuduh pertama bersalah dan mensabitkannya atas kedua-dua pertuduhan tersebut. [101] Mahkamah ini berpuashati bahawa sabitan dan hukuman terhadap tertuduh pertama adalah selamat. Mahkamah memutuskan bahawa rayuan tertuduh pertama terhadap sabitan dan hukuman adalah ditolak dan keputusan Hakim bicara dikekalkan. Bertarikh: 7 September 2023 ………………………….. (FATHIYAH BINTI IDRIS) Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Butterworth Pulau Pinang S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 28 of 30 PIHAK-PIHAK: PA-42LB-26-12/2019 Bagi pihak Perayu: Noor Azura binti Zulkiflee Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pulau Pinang Bagi pihak Responden: Dev Kumarendran (mewakili OKT1) Tetuan Kumar & Co. Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang Hari Praassad Rao (mewakili OKT2) Tetuan Chandra Segaran Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 29 of 30 PA-42S(A)-1-12/2019 Bagi pihak Perayu: Dev Kumarendran (mewakili OKT1) Tetuan Kumar & Co. Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang Hari Praassad Rao (mewakili OKT2) Tetuan Chandra Segaran Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang Bagi pihak Responden: Noor Azura binti Zulkiflee Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pulau Pinang S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig Page 30 of 30 PA-42H-27-12/2019 Bagi pihak Perayu: Noor Azura binti Zulkiflee Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Pulau Pinang Bagi pihak Responden: Dev Kumarendran (mewakili OKT1) Tetuan Kumar & Co. Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang Hari Praassad Rao (mewakili OKT2) Tetuan Chandra Segaran Peguam bela dan peguam cara Butterworth, Pulau Pinang S/N iEdDaZZMy0ChBEh7kgweig