Fakta kes sepertimana yang telah diringkaskan dalam penghakiman Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi adalah seperti berikut. “Fakta Kes … [2] Secara ringkas fakta kes seperti berikut. Pada 5/9/2018 jam lebih kurang 4.30 pagi SP12 bersama teman lelakinya, OKT1 bersama Tuah dan OKT2 menaiki kereta Kia Forte No. Pendaftaran WVH 2421 milik OKT1 pergi ke rumah OKT1 di Temerloh. Setelah sampai di Temerloh lebih kurang jam 6.40 pagi, mereka pergi ke 4 rumah saudara OKT1 dan tinggalkan Tuah dan OKT2 di situ manakala OKT1 membawa SP12 ke rumahnya di Taman Temerloh Jaya. OKT1 berjumpa dengan Amir dan diberitahu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Temerloh ada menelefon memberitahu akan melepaskan Aiman iaitu abang OKT1 yang telah ditangkap oleh AADK. Pada jam 9.00 pagi SP12, OKT1 dan bapa OKT1 pergi ke Pejabat AADK Temerloh tetapi dimaklumkan mereka tidak boleh melepaskan Aiman. [3] Pada jam 12.00 tengahari, SP12, OKT1, OKT2 dan Tuah pergi ke rumah SP9. Di rumah itu SP12 nampak OKT2 sedang mengasah besi dengan mesin grinder. SP12 nampak Amir [Mohamad Amiruddin bin Alias] dan adiknya [Mohamad Amirul Azizi bin Alias] iaitu SP10 ada datang ke rumah SP9 dengan menaiki sebuah motosikal. OKT1 menyuruh Amir mencari dan membawa orang yang memetik nama Aiman sehingga ditangkap AADK. [4] Pada jam 4.30 petang, Amir bersama simati dan SP6 tiba di rumah SP9. SP12 nampak OKT1 dan OKT2 ada bercakap dengan simati dan Tuah di bawah pokok tepi pagar hadapan rumah tetapi tidak tahu apa yang dibincangkan. Setelah Amir beredar, SP12 nampak Tuah dan OKT2 menarik simati masuk ke dalam kereta Kia Forte dan duduk di bahagian belakang. SP12 yang ikut sama dalam kereta mengatakan OKT1 ada singgah di gerai teh ais tepi jalan dan berjumpa seseorang. Apabila Amir dan SP10 tiba di situ dengan menaiki kereta jenis Proton Saga BLM, OKT1 menyuruh Amir dan SP10 mengikutnya. [5] Mereka pergi ke tempat kejadian dan setelah sampai OKT1 membawa simati keluar dari kereta dikuti oleh Tuah, Amir dan SP10 ke dalam pondok. SP12 yang berada dalam kereta nampak seperti berlaku pergaduhan lalu merakamkan dengan menggunakan kamera telefon bimbitnya kejadian tersebut. SP12 melihat OKT2 memeluk bahu simati yang duduk di sebelahnya dalam pondok itu. SP12 nampak simati keluarkan sesuatu dan mereka bergelut. Ketika itu SP12 nampak OKT2 telah menikam simati beberapa kali tetapi tidak 5 tahu bahagian mana. SP12 nampak ada percikan darah dari badan simati terkena kerusi pondok dan pakaian yang dipakai oleh OKT-OKT. Tuah lari dan masuk kereta bersama SP12. Selepas itu SP12 melihat OKT1 lari menuju ke arah simati dengan tiba-tiba sambil memegang sebatang besi bentuk T [P46A] dan memukul kepala simati beberapa kali sehingga memercik darah terkena kerusi pondok dan pakaian OKT-OKT. [6] SP12 merampas P46A dari OKT1 dan memberikan pada Tuah. SP12 dan Tuah pergi dekat simati. SP12 bertanya simati ‘ni ke budak yang mu petik tu’ sambil tunjuk ke arah SP10 tetapi simati menafikannya. Semasa itu SP12 nampak simati dalam keadaan lemah dan mengerang kesakitan. Akibat berang, SP12 menampar pipi kanan simati dan Tuah menumbuk simati di bahagian muka masing-masing satu kali. Semasa masuk semula dalam kereta, SP12 melihat Amir menumbuk simati satu kali hingga dua batang gigi palsu simati tercabut dan terpelanting. Selepas itu OKT-OKT terus menumbuk, menyepak sehingga simati jatuh ke lantai dan darah keluar dengan banyak. OKT-OKT juga memijak simati sehingga simati dilihat dalam keadaan sangat lemah, memegang perut dan menyebut kalimah Allah sebanyak tiga kali. [7] SP12 keluar semula dari kereta dan menyuruh OKT-OKT berhenti memukul simati. Selepas mendengar jeritan ‘polis’ SP12, OKT1, OKT2 dan Tuah lari masuk ke dalam kereta Kia Forte dan beredar diikuti oleh Amir dan SP10 dalam kereta Proton Saga BLM. Dalam perjalanan OKT1 singgah di perhentian bas untuk membersihkan badan dari kesan darah simati. SP12 nampak OKT2 membuang pisau [P45A] bersama kain merah jambu [P47A] di kawasan perhentian bas. [8] Selepas itu mereka pergi ke rumah Aiman dan OKT 1 telah menukar baju. OKT1 ada berjumpa ayahnya dan menukar kereta Kia Forte dengan Honda City dan bersama-sama SP12, OKT2 dan Tuah terus balik ke Kuala Lumpur. Setelah mengetahui simati mati, Tuah 6 telah menghilangkan diri. Pada jam 12.00 malam, 6/9/2018 semasa SP12, OKT-OKT berada di ladang kelapa sawit Batang Kali, OKT2 telah membuang telefon bimbit simati yang diambilnya. Selepas itu SP12, OKT1 dan OKT2 sering bertukar kereta dan berpindah randah untuk elak dikesan polis. [9] SP10 yang berada di pondok itu ada melihat kejadian dan menyokong keterangan SP12. SP10 mengatakan OKT1 yang menyuruh Amir membawa simati ke rumah SP9 dan di sana beliau ada melihat OKT2 mengasah objek besi. Setelah simati sampai bersama SP6 di rumah SP9, OKT1 mencabut kunci motosikal SP6 dan berlaku kekecohan. Amir memujuk OKT1 supaya memulangkan semula kunci motosikal itu dan SP6 beredar dan meninggalkan simati di situ. OKT1 mengajak Amir dan SP10 pergi tempat kejadian. [10] Sampai di sana OKT2 keluar dari kereta sambil mengheret simati ke pondok. Setelah simati duduk OKT2 meletakkan kakinya di atas peha simati. SP10 yang berada di pondok mendengar OKT2 berkata kepada simati ‘siapa yang buat Aiman sampai kena 39(C)’ sambil menikam satu kali di peha kiri dan beberapa kali di bahagian dada dan badan simati dengan sebilah pisau yang dibalut kain, P45A dengan tangan kanan. Simati merayu kepada OKT2 ‘kita tak buat abe’. OKT1 keluar daripada kereta dan mengambil spanar T, P46A dari bonet belakang pergi ke arah simati dan memukul beberapa kali bahagian kepala simati. Tuah ada menyepak dan menumbuk beberapa kali simati. Selepas OKT1 berkata kepada Amir ‘semalam dia dah projek Aiman, lepas tu, dia nak projek adik awak pulak’. Setelah dengar begitu Amir terus menumbuk satu kali muka simati. Apabila melihat begitu SP10 menarik tangan Amir dan membawanya ke keretanya. Masa itu SP12 juga keluar dari kereta dan menampar muka simati satu kali. Setelah mendengar jeritan ‘polis’ kesemua mereka beredar dari situ.