ANALISIS DAN KEPUTUSAN A. BEBAN PEMBUKTIAN DAN STANDARD BUKTI [7] Kami bersetuju dengan keputusan mahkamah-mahkamah bawahan bahawa prosiding pelucuthakan di bawah Seksyen 41 Akta SPRM 2009 adalah bersifat in rem dan bukannya in personam. [8] Mahkamah Persekutuan di kes JJ Power Groups Enterprise & Ors v Pendakwa Raya [2025] CLJU 225 telah mentafsirkan perunutkan Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang melibatkan perlucuthakan harta bila tiada pendakwaan atau keperluan sabitan bagi sesuatu kesalahan. Mahkamah Persekutuan telah memutuskan beban pembuktian adalah atas imbangan keberangkalain. Oleh kerana prosiding pelucuthakan di bawah Seksyen 41(1) dan (3) Akta SPRM 2009 juga berkaitan dengan tindakan in rem dan tiada pendakwaan atau sabitan bagi sesuatu kesalahan, standard pembuktian yang digunakan oleh mahkamah dalam menentukan sama ada harta yang dituntut adalah hal perkara atau digunakan dalam melakukan kesalahan adalah atas imbangan kebarangkalian dan bukannya melampaui keraguan munasabah. B. BUKTI PENDAKWA RAYA [9] Kami menolak hujahan Perayu bahawa Pendakwa Raya hanya bergantung kepada "pengataan kosong" dalam afidavit. Sebaliknya, kami dapati bahawa Pendakwa Raya telah mengemukakan keterangan dokumentar yang kukuh dan terperinci. Keterangan tersebut merangkumi jejak wang yang jelas dari akaun Hygenia Sdn. Bhd. ke akaun peribadi AAK, penyata bank yang menunjukkan pemindahan RM200,000 ke akaun Premium Agro Farm, bukti pembayaran RM115,000 dari Premium Agro Farm kepada penjual kereta, serta keterangan saksi-saksi yang relevan. [10] Keterangan ini bukan sekadar pengataan pegawai penyiasat tetapi disokong oleh dokumentasi yang lengkap. Pengataan pegawai penyiasat berdasarkan pengetahuan peribadi yang diperoleh semasa siasatan di bawah Seksyen 32 Akta SPRM 2009 adalah boleh diterima dan tidak boleh dikatakan sebagai keterangan dengar kata semata-mata. Kami berpuas hati bahawa keterangan yang dikemukakan dalam afidavit pegawai penyiasat tidak dapat disangkal oleh Perayu. Kami berpendapat bahawa keterangan seorang pegawai penyiasat mempunyai nilai keterangan yang tinggi melainkan disangkal dengan keterangan yang kukuh. Pegawai penyiasat adalah seorang penjawat awam. Semestinya segala tindak tanduk beliau dalam menjalankan siasatan adalah satu perkara yang beliau laksanakan dalam kapasiti rasmi beliau. Maka dengan itu, tiada alasan bagi mahkamah ini mempersoal keterangan seorang pegawai penyiasat selagi tindakan yang di ambil tidak menyalahi undang undang. C. KEPUASAN PENDAKWA RAYA DI BAWAH SEKSYEN 41(1) [11] Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 menghendaki Pendakwa Raya "berpuas hati" bahawa harta tersebut diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan kesalahan. Perkataan "satisfied" dalam konteks permohonan seperti ini adalah satu soalan fakta dan pertimbangan subjektif. Dalam kes ini, Pendakwa Raya telah menyatakan dengan jelas dalam afidavit bahawa beliau berpuas hati berdasarkan siasatan yang dijalankan. Kepuasan ini adalah berdasarkan bukti dan hasil sisasatan dan bukannya sekadar spekulasi. D. PEMBUKTIAN KAITAN DENGAN KESALAHAN [12] Pendakwa Raya telah berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa kereta Proton X70 tersebut adalah hal perkara yang berkaitan dengan kesalahan di bawah Seksyen 409 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Berkenaan dengan kesalahan pecah amanah jenayah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, adalah jelas bahawa AAK sebagai pengarah Hygenia Sdn. Bhd. telah diserahkan amanah ke atas wang pelaburan, namun beliau telah memindahkan RM3.875 juta tanpa kebenaran untuk kegunaan peribadi. Sebanyak RM115,000 daripada wang tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli kereta yang didaftarkan atas nama Perayu. [13] Berkenaan dengan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan iaitu penjawat awam menerima hadiah berharga, adalah jelas bahawa suami Perayu selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Terengganu yang juga Exco kerajaan Negeri adalah penjawat awam, manakala AAK mempunyai urusan rasmi dengan jabatan suami Perayu. Penerimaan kereta tersebut oleh Perayu melalui suaminya merupakan hadiah berharga tanpa balasan yang mencukupi yang diterima oleh penjawat awam daripada orang yang mempunyai urusan rasmi dengannya. E. ISU PEMBAYARAN BALIK [14] Kami bersetuju dengan analisis Mahkamah Sesyen bahawa dakwaan pembayaran balik sebanyak RM110,000 tidak dapat dibuktikan dengan memuaskan. Analisis terhadap penyata bank yang dilakukan oleh Mahkamah Sesyen menunjukkan bahawa hanya RM35,000 dalam transaksi yang sepadan dengan dakwaan pembayaran balik, dan bukannya RM110,000 seperti yang didakwa oleh Perayu. Dokumen AT-3 yang dikemukakan oleh Perayu didapati hanyalah senarai bertaip dan bukannya resit pembayaran yang sah. [15] Lebih penting lagi, walaupun sekiranya pembayaran balik telah dibuat, ia tidak mengubah status undang-undang kereta tersebut yang pada asalnya diperoleh melalui wang hasil jenayah. Seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Tinggi, walaupun benar bahawa Perayu dan/atau suaminya telah membuat pembayaran semula, ianya kekal tidak mengubah status undang-undang kereta tersebut kerana dari awal kereta telah didapati secara salah dan tidak sah di sisi undang-undang. F. PEMBELI SUCI HATI [16] Kami dapati Perayu bukanlah "pembeli suci hati dengan balasan berharga" seperti yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta SPRM 2009. Takrifan tersebut menghendaki pembelian dibuat "tanpa notis bahawa harta itu telah diperoleh berbangkit daripada pelakuan apa-apa kesalahan." Dalam kes ini, terdapat beberapa faktor yang menunjukkan Perayu bukan pembeli suci hati. [17] Pertama, pengaturan pembelian kereta melalui AAK adalah mencurigakan kerana tiada keperluan munasabah untuk membeli kereta melalui pihak ketiga yang bukan peniaga kereta. Kedua, Perayu dan suaminya gagal membuat siasatan yang wajar tentang sumber wang AAK untuk membeli kereta tersebut. Ketiga, AAK mempunyai hubungan kepentingan dan urusan rasmi dengan suami Perayu yang sepatutnya menimbulkan kewaspadaan. Keempat, pengaturan tersebut memberikan keuntungan yang tidak wajar kepada Perayu dengan membolehkannya mengelak faedah bank dan mendapat pembelian yang lebih murah. Kelima, adalah tidak munasabah untuk mempercayai seseorang yang hanya dijumpai sekali dengan transaksi sebesar RM115,000. [18] Mahkamah Sesyen telah membuat analisis yang menyeluruh tentang isu ini dan dengan tepat memutuskan bahawa adalah munasabah untuk Perayu dan suaminya mengambil tahu sumber wang yang digunakan oleh AAK untuk membayar nilai kereta tersebut secara sepenuhnya sebelum kereta didaftarkan atas nama Perayu. Tanpa mengetahui sumber wang tersebut, apa-apa pembayaran semula oleh Perayu tidak secara automatik menjadikan kereta tersebut layak untuk dikembalikan kepadanya.