Keterangan bertulis melalui penyata saksi dan keterangan lisan semasa soal balas saksi-saksi Plaintif, dipetik seperti berikut: A. Plaintif SP1: i. SP1 tahu bersabit kebenaran sementara ini kerana bapanya A Rahman telah memberitahu SP1 dan ahli keluarga bahawa keizinan yang diberi ialah untuk membina dan menetap sementara di atas tapak di atas harta (tanah) SP1 (lihat: Penyata saksi QA4) ii. Kebenaran yang diberi oleh A Rahman hanyalah sementara, yang diberi hanya kepada ibu Defendan Zainab Binti Hj Mohsin untuk menetap sementara di atas tapak rumah; iii. Ia tidak boleh diwarisi oleh keluarga/anak-anak Zainab; iv. Dengan kematian A Rahman (pada 1995) dan kematian Zainab (pada 2015), keizinan kepada Zainab telah luput (lihat: QA9); v. Tanah telah dipindahmilik kepada SP1 dari ibunya pada 15.6.2005 dengan SP1 membayar cukai tanah bermula tahun 2018-2020. vi. Pada 2016, Aishah (kakak Defendan), suami Aishah bernama ‘Samsudin’ dan adik Defendan bernama ‘Man’ berjumpa SP1 (termasuk ahli keluarga SP1 lain iaitu Umi Kalthom Bte A Rahman dan adik iaitu Saifulbahri Bin A Rahman) berhubung status rumah Zainab; vii. SP1 telah beri mereka tempoh 3 tahun dari 2016 hingga 2019 untuk Defendan meruntuhkan struktur bangunan, membersihkan tapak dan memberi milikan kosong kepada SP1; viii. SP1 turut meminta kad pengenalan Aishah, Samsudin dan Man untuk membuat surat perjanjian berkenaan tempoh 3 tahun serta syarat yang dinyatakan; ix. Ketiga-tiga kemudian mungkir, sebaliknya menyarankan tuntutan SP1 dibuat terhadap Defendan. B. SP2 Kakak Plaintif Umi Kalthom i. Kebenaran sementara diberi oleh bapanya A Rahman kepada Zainab; ii. Kebenaran sementara ini telah dikatakan untuk setakat tempoh hayat Zainab; iii. Namun SP2 kemudian bersetuju bahawa tiada tempoh ditetapkan oleh A Rahman semasa kebenaran lisan diberikan; iv. SP2 juga bersetuju tiada terma atau syarat yang menghalang waris-waris ibu Defendan Zainab mewarisi harta atau rumah tersebut; v. Tidak ada pihak Plaintif yang menghalang ibu Defendan Zainab daripada membesarkan rumah dari semasa ke semasa sekitar tahun 1983 hingga Zainab meninggal dunia pada tahun 2015; C. SP3 Abang Plaintif Ismail Abdul Rahman i. Penyata saksi SP3 hanya menyebut A Rahman memberi keizinan sementara; ii. Semasa bicara, semasa disoal balas SP3 menyatakan keizinan diberi A Rahman tiada tempoh, SP3 menyatakan “saya rasa dia (A Rahman) cakap selagi hidup”; iii. SP3 setuju Ikatan Pliding juga tidak menyebut “keizinan selama tempoh selagi hidup”; iv. SP3 setuju ibu Defendan terpaksa menambak tanah untuk membina rumah kerana ia tanah berpaya, tidak rata dan berair; v. Perbincangan kedua selepas tahun 2016 di antara Plaintif serta yang lain dan ibu Defendan Zainab berlaku pada tahun 2019 di mana SP3 telah menawarkan opsyen kepada Zainab sama ada membeli tanah tersebut pada nilai RM200,000/= atau menerima pampasan pada jumlah RM30,000/= untuk keluar; vi. SP3 setuju pliding menyebut keizinan tamat apabila Zainab meninggal dunia; D. SP5 Adik Plaintif Mohd Hafiz i. Bapa SP5 iaitu A Rahman ada menceritakan kepada SP5 membenarkan Zainab menumpang di atas tanah tersebut; ii. Keizinan diberi oleh A Rahman kepada Zainab untuk menetap sementara sahaja atas tapak; iii. Walau bagaimanapun, SP5 kemudian menyatakan tidak pasti ada tempoh atau tidak yang diberi; iv. Tidak setuju tanah berpaya; v. Keterangan lisan SP5 ialah ibunya iaitu Alinatul Saadiah tidak ada beri kebenaran untuk Zainab duduk dan bina rumah atas tapak; vi. Ini bertentangan daripada apa yang dinyatakan dalam penyata saksi SP5 yang menyatakan “bapa, ibu dan kakak (Plaintif) memberi keizinan…”; vii. SP5 setuju rumah yang dibina Zainab kini berusia 40 tahun dan mana-mana ahli keluarga Plaintif tidak ada membantah bila penambahbaikan dibuat pada rumah tersebut,