(ii) Hakim bicara bijaksana terkhilaf dalam membuat dapatan berkaitan elemen pertuduhan. [10] Berhubung alasan pertama, peguambela terpelajar Perayu berhujah bahawa semasa kes pendakwaan lagi Perayu telah mengemukakan kepada pegawai penyiasat iaitu SP5 bahawa Perayu tiada pengetahuan berkenaan barang kes dadah. Perayu juga telah memberitahu SP5 bahawa beliau adalah seorang ‘innocent carrier’ yang bertindak atas arahan "Syed Afridi" untuk membawa safron ke Malaysia. [11] SP5 mengesahkan beliau tidak menyiasat latar belakang Perayu serta identiti pihak ketiga yang mana Perayu sepatutnya menyerahkan barang kes. SP5 juga tidak membuat apa-apa siasatan terhadap telefon yang dirampas daripada Perayu walaupun ada cabaran bahawa telefon tersebut berbunyi beberapa kali semasa Perayu ditangkap. Kerana ini, mengikut hujahan peguambela terpelajar, Perayu telah diprejudiskan dan Perayu dinafikan satu-satunya peluang untuk menunjukkan bahawa dia hanyalah seorang ‘innocent carrier’. [12] Peguambela terpelajar seterusnya berhujah bahawa fakta Perayu telah membawa dadah tersebut semata-mata tidak menjadikan beliau seorang pengedar. la bergantung kepada hal keadaan dan fakta setiap kes termasuk kuantiti dadah dan apa-apa transaksi yang mana Perayu bercadang untuk melaksanakannya. Di sini, wujud kekhilafan apabila hakim 10 bicara bijaksana gagal untuk mempertimbangkan bahawa keseluruhan fakta kes pendakwaan hanya menunjukkan satu kes pemilikan pasif sahaja. [13] Peguambela terpelajar seterusnya mendakwa hakim bicara bijaksana telah menggunakan seksyen 2 Akta dan juga anggapan pemilikan di bawah seksyen 37(d) Akta. Namun, tidak ditunjukkan di dalam alasan penghakiman bahawa hakim bicara bijaksana telah mengarahkan mindanya bahawa pemakaian seksyen 2 Akta memerlukan lebih daripada pemilikan pasif semata-mata dan hakim bicara bijaksana gagal mengambil kira tiadanya ‘overt act’ di pihak Perayu serta terkhilaf apabila gagal mengambil kira tindak-tanduk (‘conduct’) Perayu yang memihak kepada pembelaan seperti memberi kerjasama dan perbuatan Perayu membuka sendiri balutan di kedua-dua kaki Perayu. [14] Berhubung alasan kedua, peguambela terpelajar berhujah bahawa hakim bicara bijaksana telah terkhilaf dalam membuat dapatan berkaitan elemen pertuduhan. Mengikut hujahan peguambela terpelajar, hakim bicara bijaksana telah mendapati wujudnya kes prima facie dengan mengguna pakai seksyen 2 Akta dan juga anggapan pemilikan di bawah seksyen 37(d) Akta. Peguambela terpelajar merujuk kepada perenggan 3 di muka surat 22 Alasan Penghakiman Jilid 1 Rekod Rayuan di mana hakim bicara bijaksana berkata: "Bagi elemen (c), saya bersetuju dengan pihak pendakwaan. Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya juga adalah terpakai di dalam kes ini. Saya berpendapat bahawa seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya adalah terpakai". 11 Sedangkan di akhir kes pembelaan pula, hakim bicara bijaksana selanjutnya hanya menyatakan seperti berikut di muka surat 30 Alasan Penghakiman di Rekod Rayuan Jilid 1: "Secara keseluruhannya, saya berpendapat pembelaan Tertuduh adalah tidak masuk akal dan gagal untuk menimbulkan satu keraguan yang munasabah di atas kes pihak pendakwaan. Saya juga berpendapat pihak pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah." [15] Berdasarkan kedudukan di atas, peguambela terpelajar berhujah tidak ada dapatan yang jelas di akhir kes pembelaan sama ada elemen pengedaran telah berjaya dibuktikan berdasarkan anggapan (‘presumed trafficking’) atau keterangan terus (‘actual trafficking’). Hakim bicara bijaksana telah hanya mengarahkan minda beliau di akhir kes pembelaan terhadap beban untuk menimbulkan keraguan munasabah sahaja. Peguambela terpelajar selanjutnya berhujah di akhir kes pembelaan dimana hakim bicara bijaksana telah gagal untuk mendapati sama ada Perayu berjaya mematah anggapan atau tidak sedangkan hakim bicara bijaksana telah menggunakan anggapan seksyen 37(d) di akhir kes pendakwaan. Oleh itu, mengikut peguam terpelajar sabitan tidak lagi selamat dan wajar diketepikan. [16] Secara alternatifnya, peguambela terpelajar bagi pihak Perayu berhujah memandangkan keterangan adalah mencukupi (‘overwhelming’) yang menunjukkan adanya kesalahan memiliki dadah oleh Perayu, maka peguambela terpelajar menggesa kami menggantikan sabitan dengan kesalahan memiliki sahaja di bawah seksyen 12(2) Akta yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2) Akta. 12 Pertimbangan dan keputusan kami [17] Berhubung alasan pertama, diperhatikan bahawa teras penghujahan peguambela terpelajar bagi pihak Perayu adalah fakta yang ada hanya menunjukkan Perayu hanyalah seorang pembawa tidak bersalah (‘innocent carrier’) yang sekadar mempunyai pemilikan pasif atas dadah tersebut tanpa sebarang bukti bagi menunjukkan Perayu mengedar dadah tersebut. [18] Pembelaan pembawa tidak bersalah ini telah diperjelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Munuswamy Sundar Raj v PP [2016] 1 CLJ 357. Mahkamah memutuskan: “[8] ….The defence of innocent carrier is a valid defence that could be alluded to by an accused person, and in this case the appellant. A plethora of cases sprinkles the legal journals in Malaysia and suffice if we merely refer to a chosen few to clarify this defence without the need for comprehensive judicial activism. The Court of Appeal in Venkatesan Chinnasami v. PP [2011] 1 LNS 1736 put it aptly in the following terms: “... A defence of innocent carrier refers to a state of affairs where an accused person acknowledges carrying, for example a bag or a box, as in the case before us, containing the dangerous drugs but disputes having knowledge of the drugs. Whether it will succeed or not would very much depend on the facts of each case.” [9] As said above it is imperative that the success of the defence of innocent carrier depends very much on the facts of each case, a matter that falls within the realm of the trial judge. Ignorance simpliciter is not 13 sufficient to let an accused person off the hook as otherwise every other accused person will allude to that defence. It needs more than that. Without any reason for suspicion, or there is no right or opportunity of examination, ignorance may be a good defence. A hypothetical scenario could be when an accused person receives a package which contains illicit drugs from say, England when not a shred of evidence could establish him having been aware of the circumstances of the drugs being sent to him or having any nexus to him. Prior to the parcel appearing at his door step he would not have had any reason for suspicion or the opportunity to inspect the parcel bearing in mind that the package was beyond his reach until it reached his hands. The rider is that everything depends on the facts.” [19] Berdasarkan autoriti kes di atas, adalah jelas bahawa berjaya atau tidak pembelaan pembawa tidak bersalah yang dibangkitkan bergantung atas fakta setiap kes dan dapatan fakta pula adalah dalam bidang tugas hakim bicara bijaksana. [20] Dalam kes ini, hakim bicara bijaksana menyedari bahawa Perayu cuba membangkitkan pembelaan pembawa tidak bersalah dan setelah memberi pertimbangan sewajarnya atas pembelaan tersebut, hakim bicara bijaksana mendapati Perayu bukan seorang pembawa tidak bersalah. Hakim bicara bijaksana menyebut di perenggan 3 pada muka surat 27 Jilid 1 Rekod rayuan: “Di dalam kes ini, saya bersetuju dengan pihak Pendakwa Raya bahawa Tertuduh tidak menafikan bahawa sewaktu ditangkap, dadah yang menjadi subject matter di dalam kes ini berada di dalam milikannya. Walau bagaimanapun, Tertuduh menafikan bahawa beliau tahu apa yang dibawanya melalui 2 bungkusan plastik P9A dan P10A adalah dadah. 14 Dengan keterangan sebegini Tertuduh cuba menunjukkan bahawa beliau adalah seorang “innocent carrier.” [21] Hakim bicara bijaksana membuat kesimpulan bahawa Perayu bukan seorang pembawa tidak bersalah (‘innocent carrier’) berdasar penemuan beliau bahawa cerita Perayu berhubung kenapa dan bagaimana dia ke Malaysia; kewujudan penama “Syed Afridi” dan perjumpaan dan perhubungan Perayu dengan “Syed Afridi” adalah tidak munasabah dan hanyalah rekaan Perayu. Hakim bicara bijaksana menulis dalam alasan beliau: “Tertuduh menyatakan bahawa kedatangannya ke Malaysia adalah untuk pengurusan Tertuduh bekerja dan menetap di Malaysia. Namun sehingga kini tiada sebarang keterangan untuk menyokong dan membuktikan bahawa ianya benar. Tiada keterangan juga yang membuktikan bahawa "Syed Afridi" benar-benar wujud di sepanjang waktu material tersebut. Tambahan pula menurut SP3, SP4 dan SP5, Tertuduh tidak pernah menyebut atau memaklumkan penama “Syed Afridi” ini. Keterangan Tertuduh berkenaan kehadiran beliau ke Malaysia teramatlah diragui dan seterusnya tidak munasabah. Tertuduh memaklumkan semasa tarikh tangkapan, itu adalah kali pertama. Alasan-alasan beliau untuk datang ke Malaysia semakin tidak munasabah apabila menyatakan bahawa beliau datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pekerja kontraktor pada ketika umur beliau sudah pun 63 tahun. Tambahan lagi, ini merupakan kali pertama Tertuduh datang ke Malaysia, tetapi Tertuduh tidak mengetahui nama dan siapakah orang yang perlu Tertuduh jumpai di Malaysia. Tertuduh hanya sekadar menyatakan bahawa terdapat panggilan telefon semasa beliau ditahan polis tetapi hanya sekadar mengagak bahawa itu mungkin panggilan daripada seseorang yang menunggu beliau di sini. Oleh itu, keterangan Tertuduh berkenaan kedatangan beliau ke Malaysia ini adalah tidak masuk akal. Tertuduh gagal untuk memaklumkan kepada 15 mana-mana pegawai polis berkenaan wujudnya seseorang yang akan menunggu Tertuduh di Malaysia. Keadaan bertambah parah apabila Tertuduh sendiri tidak tahu atau tidak kenal siapakah orang yang perlu Tertuduh jumpa semasa di Malaysia. Mengenai seorang yang bernama "Syed Afridi" pula, pembelaan Tertuduh adalah beliau seorang innocent carrier terhadap P9A dan P10A tersebut adalah amat meragukan. Ini kerana pada awal lagi cerita bagaimana P9A dan P10A tersebut wujud adalah tidak logik. P9A dan 10A tersebut dikatakan telah dimasukkan ke dalam beg yang dibawa oleh "Syed Afridi". Pengenalan Tertuduh dan "Syed Afridi" ini juga menjadi seribu satu tanda, apabila Tertuduh berkenalan dengan Syed Afridi semasa dalam perjalanan di dalam bas dari Islamabad ke Rawalpandi di mana pada masa itu Tertuduh telah meluahkan perasaan berkenaan masalah kewangan Tertuduh kepada "Syed Afridi". Lalu Syed Afridi menawarkan peluang pekerjaan kepada Tertuduh di Malaysia. Tertuduh terus bersetuju dan telah menyerahkan pasport beliau kepada "Syed Afridi" untuk pengurusan lanjut. Apa yang dimaksudkan dengan keterangan tersebut, tidaklah diterangkan oleh Tertuduh, maka jelaslah keterangan Tertuduh ini adalah sekadar keterangan rekaan Tertuduh bagi mewujudkan seseorang bernama "Syed Afridi" ini.” [22] Setelah kami meneliti alasan penghakiman yang ditulis oleh hakim bicara bijaksana, kami berpuas hati bahawa hakim bicara bijaksana telahpun menilai pembelaan pembawa tidak bersalah yang cuba dibangkitkan oleh Perayu dan akhirnya hakim bicara bijaksana telah membuat keputusan bahawa penama “Syed Afridi” ini hanyalah rekaan tertuduh semata-mata. [23] Setelah kami meneliti fakta bahawa dadah yang dirampas tersebut tersorok dengan rapi dengan cara diikat pada kedua-dua bahagian betis Perayu dan dibawa merentasi beberapa benua untuk dibawa masuk ke 16 Malaysia, kami dapati hakim bicara bijaksana adalah betul apabila memutuskan Perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah tersebut dan di dalam proses mengedarkan dadah tersebut seperti diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta. Perayu mempunyai banyak masa dan peluang untuk memeriksa apa yang diikat di betisnya. Pembelaan pembawa tidak bersalah tidak dibuktikan dalam kes ini. [24] Berhubung kegagalan pegawai penyiasat menyiasat latar belakang Perayu serta identiti pihak ketiga yang dibangkitkan oleh peguambela terpelajar Perayu, kami bersependapat dengan Timbalan Pendakwa Raya bahawa berdasarkan fakta kes ini, kegagalan pegawai penyiasat untuk menyiasat latar belakang Perayu serta identiti pihak ketiga tidak memudaratkan kes pendakwaan. Dalam kes ini kami dapati ini bukan satu kes di mana Pegawai penyiasat dengan sengaja tidak melakukan apa-apa penyiasatan. Ini adalah satu kes di mana siasatan lanjutan tidak dapat dilakukan kerana ketiadaan maklumat lanjut diperolehi. [25] Keterangan SP5 iaitu pegawai penyiasat kes jelas menunjukkan walaupun nama Syed Afridi ada disebut dalam rakaman percakapan Perayu, namun tiada siasatan berjaya dilakukan kerana ketiadaan nama penuh, alamat atau lain-lain maklumat peribadi diberi oleh Perayu untuk SP5 memulakan siasatan. Apa yang dimaklumkan kepada SP5 oleh Perayu adalah Syed Afridi tidak berada di Malaysia tetapi berada di Pakistan dan tiada alamat di Pakistan dibekalkan. SP5 juga menegaskan tidak pernah dimaklumkan nombor telefon Syed Afridi ada dalam telefon Perayu. Dalam keadaan sebegini, kami dapati “kegagalan” pegawai penyiasat menyiasat Syed Afridi atau pihak ketiga tidak melemahkan kes pendakwaan dan tidak boleh dijadikan alasan untuk kami mengganggu dapatan hakim bicara 17 bijaksana bahawa Syed Afridi hanyalah watak rekaan yang direka oleh Perayu. [26] Berhubung hujahan peguambela terpelajar bahawa hakim bicara bijaksana terkhilaf apabila mengguna pakai takrif mengedar seperti diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta terhadap Perayu sedangkan tiada “overt act” di pihak Perayu, kami berpendapat perlu dan bermanfaat diperturunkan di sini kata-kata Lord Diplock dalam kes Ong Ah Chuan v PP [1981] 1 MLJ 64 dan diterimapakai oleh Ariffin FCJ dalam kes PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan [2006] 2 CLJ 129 seperti berikut: "Proof of the purpose for which an act is done, where such purpose is a necessary ingredient of the offence with which an accused is charged, presents a problem with which criminal courts are very familiar. Generally, in the absence of an express admission by the accused, the purpose with which he did an act is a matter of inference from what he did. Thus, in the case of an accused caught in the act of conveying from one place to another controlled drugs in a quantity much larger than is likely to be needed for his own consumption the inference that he was transporting them for the purpose of trafficking in them would, in the absence of any plausible explanation by him, be irresistible - even if there were no statutory presumption such as is contained in section 15 of the Drugs Act. As a matter of common sense the larger the quantity of drugs involved the stronger the inference that they were not intended for the personal consumption of the person carrying them, and the more convincing the evidence needed to rebut it…” [27] Berbalik kepada rayuan ini, berdasarkan fakta dadah seberat 1,289 gram tersebut terikat di kedua-dua betis Perayu dan Perayu mempunyai pengetahuan mengenai dadah tersebut dan membawanya dari Pakistan ke 18 Malaysia dan berpandukan keputusan kes Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v Abdul Manaf Muhamad Hassan (supra), kami bersependapat dengan hakim bicara bijaksana yang mendapati Perayu mengedarkan dadah tersebut seperti diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta. Justeru itu kami dapati alasan pertama yang dibangkitkan oleh Perayu tiada bermerit. [28] Berhubung alasan kedua yang dibangkitkan oleh Perayu, peguambela terpelajar Perayu berhujah terdapat kecelaruan sama ada hakim bicara bijaksana memutuskan Perayu mengedar dadah tersebut berdasarkan “actual trafficking” atau dianggap mengedar. Ini adalah kerana di akhir kes pendakwaan, hakim bicara bijaksana berkata di perenggan 3 di muka surat 22 Alasan Penghakiman Jilid 1 Rekod Rayuan "Bagi elemen (c), saya bersetuju dengan pihak pendakwaan. Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya juga adalah terpakai di dalam kes ini. Saya berpendapat bahawa seksyen 37(d) Akta Dadah Berbahaya adalah terpakai" sedangkan di akhir kes pembelaan pula, hakim bicara bijaksana mendapati pembelaan Perayu tidak masuk akal dan gagal untuk menimbulkan satu keraguan yang munasabah di atas kes pendakwaan tanpa menyebut sama ada pembelaan telah mematah anggapan bawah seksyen 37 (d) atau tidak. [29] Kami telah meneliti alasan penghakiman hakim bicara bijaksana dan mendapati memang benar hakim bicara bijaksana ada menyebut seksyen 37 (d) secara sepintas lalu. Walaupun begitu, seksyen 37 (d) Akta merujuk kepada anggapan berhubung pemilikan di mana diperuntukkan: “(d) any person who is found to have in his custody or control anything whatsoever containing any dangerous drug shall, until the contrary is proved, be deemed to have been in possession of such drug and shall, until the contrary is proved, be deemed to have known the nature of such drug” 19 dan bukan merujuk kepada anggapan pengedaran. Dari alasan penghakiman hakim bicara bijaksana adalah jelas hakim bicara bijaksana mendapati Perayu mengedar dadah berdasarkan definisi seksyen 2 Akta dan bukan dengan mengguna pakai anggapan. Ini dapat dilihat dengan jelas dalam alasan penghakiman bermula perenggan terakhir di muka surat 22 hingga muka surat 23 Jilid 1 Rekod Rayuan di mana hakim bicara bijaksana menulis: “Adalah jelas memandangkan dadah yang diikat di kedua-dua betis Tertuduh menunjukkan Tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah tersebut dan di dalam proses mengedarkan dadah tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya. Saya juga berpuas hati dengan pihak pendakwaan bahawa Tertuduh telah menyembunyikan dadah di dalam pembebat kaki diikat kemas di kedua-dua betis Tertuduh dengan cara yang cukup sempurna untuk mengaburi mata-mata penguatkuasaan, adalah jelas menunjukkan bahawa ia adalah untuk tujuan pengedaran.” Dan di akhir kes pembelaan pula hakim bicara bijaksana mendapati pembelaan Perayu gagal menimbulkan satu keraguan yang munasabah di atas kes pendakwaan. [30] Setelah keseluruhan alasan penghakiman diteliti, kami yakin walaupun hakim bicara bijaksana ada menyebut seksyen 37 (d) secara sepintas lalu, keputusan hakim bicara bijaksana adalah berdasarkan Perayu mempunyai milikan berdasarkan keterangan terus tanpa bergantung atas anggapan milikan bawah seksyen 37 (d) dan hakim bicara bijaksana mendapati Perayu terlibat dalam aktiviti mengedar seperti ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta tanpa bergantung atas mana-mana anggapan. Dalam keadaan sedemikian, tidak timbul isu sama ada Perayu telah berjaya 20 mematahkan mana-mana anggapan. Juga tidak timbul isu kegagalan hakim bicara bijaksana membuat dapatan sama ada mana-mana anggapan telah dipatahkan atau tidak kerana sememangnya tiada anggapan yang pernah diguna pakai oleh hakim bicara bijaksana. Jika sekiranya anggapan pemilikan dan pengetahuan di bawah s.37(d) Akta telah digunapakai sekalipun oleh hakim bicara, kegagalan hakim bicara membuat dapatan sama ada anggapan tersebut telah dipatahkan atau tidak, tidak memprejudiskan perayu dan tidak berlaku kegagalan keadilan oleh kerana walaupun hakim bicara yang bijaksana telah menggunakan beban yang lebih rendah iaitu atas keraguan munasabah, perayu masih gagal untuk mengetepikan (disloge ) kes prima faice pihak pendakwaan. Kesimpulan [31] Berdasar alasan-alasan di atas, kami sebulat suara mendapati kedua-dua alasan rayuan yang dibangkitkan Perayu tiada bermerit. Kami dapati tiada apa-apa kesilapan di pihak hakim bicara bijaksana dalam mendapati Perayu bersalah dengan kesalahan mengedar. Sabitan dan hukuman dalam kes ini adalah selamat dan disokong dengan cukup keterangan. Justeru itu Rayuan Perayu ditolak. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan dan hukuman dikekalkan. Bertarikh 9.10.2019 t.t MOHAMAD ZABIDIN BIN MOHD DIAH Hakim Mahkamah Rayuan, Malaysia 21 Mewakili Perayu: Ariff Azami bin Hussein [Tetuan Azizzul & Ariff] Mewakili Responden: Dhiya Syazwani Izyan binti Mohd Akhir Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara