(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) kerana memperedarkan dadah berbahaya jenis Cannabis seberat 7155 gram. Pertuduhan terhadap perayu adalah seperti yang berikut: “Bahawa kamu pada 19 Ogos 2010, jam lebih kurang 7.45 petang di Jalan bahagian belakang Blok A, Jalan 12, Medan Maju Jaya, Jalan Kelang Lama, di dalam Daerah Petaling, di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengedar dadah berbahaya jenis Cannabis sejumlah 7155 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952’. [2] Di akhir perbicaraan, perayu telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati. Terkilan dengan keputusan tersebut, perayu telah merayu ke mahkamah ini. [3] Setelah mendengar penghujahan kedua-dua pihak serta meneliti rekod rayuan, kami dengan sebulat suara memutuskan rayuan ini tidak bermerit. Keputusan Hakim bicara dikekalkan dan disahkan. Sekarang, kami perturunkan alasan-alasan kami. 3 Kes Pendakwaan [4] Fakta kes telah diterangkan dengan jelas dan terperinci oleh Hakim bicara dalam alasan penghakimannya di muka surat 411/412 Rekod Rayuan (RR) Jilid 4. Ikhtisarnya, bertindak atas maklumat yang diterima, pada 19.8.2010 lebih kurang pukul 7.45 petang, ASP Norosid bin Mamat (SP5) dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPK Selangor bersama-sama pasukannya telah menahan sebuah kereta Naza Citra bernombor pendaftaran WQY 4647 yang dipandu oleh perayu di jalan bahagian belakang Blok A, Jalan 12, Medan Maju Jaya, Jalan Kelang Lama, Selangor. [5] Setelah SP5 memperkenalkan dirinya, perayu telah cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan semasa pasukan SP5 hendak menahan perayu. Ini mengakibatkan perayu mengalami kecederaan di muka. [6] SP5 lantas memeriksa tubuh perayu tetapi tiada apa-apa barangan salah dijumpai. Bagaimanapun, setelah memeriksa kereta yang dipandu oleh perayu itu, SP5 telah menjumpai sebuah beg plastik hitam di tempat letak kaki penumpang belakang. Apabila beg tersebut dibuka, SP5 menemukan 8 ketulan mampat yang disyaki ganja/cannabis (P20-P36). [7] ASP Mohd Sahar bin Mohd Yunus, pegawai penyiasat (SP8), telah menghantar 8 ketulan tersebut ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis oleh Ahli Kimia. Setelah dianalisis, Ahli Kimia Puan 4 Maimunah bt Sulaiman (SP7) mengesahkan daun-daun kering tersebut ialah dadah jenis Cannabis, dadah berbahaya yang ditakrifkan dalam seksyen 2, ADB 1952 seberat 7,155 gram. Dapatan di Akhir Kes Pendakwaan [8] Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaan, Hakim bicara telah mendapati pendakwaan telah berjaya membangkitkan satu kes prima facie terhadap perayu. Hakim bicara telah menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan dan mendapati perayu, secara afirmatif, mempunyai kawalan dan milikan dengan pengetahuan ke atas beg plastik hitam yang mengandungi 8 ketulan dadah berkenaan di dalam kereta yang dipandunya bersendirian. [9] Selanjutnya, dadah tersebut telah disahkan oleh SP7 sebagai dadah jenis Cannabis seberat 7155 gram. Berdasarkan jumlah dadah tersebut, Hakim bicara telah mengguna pakai anggapan pengedaran dadah tersebut di bawah s 37(da) (vi) ADB, 1952. Dengan demikian, perayu telah dipanggil untuk membela diri. Kes Pembelaan [10] Perayu memberikan keterangan secara bersumpah. Secara ringkasnya: