(b) Tertuduh dengan niat hendak mencabul kehormatan pengadu atau dengan pengetahuan bahawa perbuatan tersebut berkemungkinan akan mencabul kehormatan pengadu. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH [13] Dalam kes ini, pendakwaan telah memanggil seramai enam orang saksi. Walau bagaimanapun, kes pendakwaan pada asasnya bergantung kepada keterangan SP1, iaitu pengadu. Saksi-saksi lain, iaitu SP2, SP3 dan SP4 tidak melihat kejadian itu. Keterangan mereka hanya berkisarkan kepada apa yang telah diceritakan oleh SP1 kepada mereka dan tindakan susulan SP1 selepas kejadian itu. SP5 pula hanya penerima repot polis manakala SP6 ialah pegawai penyiasat. Sehubungan itu, penilaian utama dalam kes ini hendaklah ditumpukan kepada keterangan SP1, sama ada keterangannya adalah cukup kukuh, konsisten dan meyakinkan untuk membuktikan perbuatan “memeluk” sebagaimana pertuduhan pindaan. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [14] Dari sudut identiti pelaku, saya setuju dengan hujahan pendakwaan bahawa perkara ini bukanlah suatu isu berbangkit. SP1 telah mengenali tertuduh sejak sekian lama dengan panggilan “Din” atau “Poksu Din”, dan menganggap tertuduh seperti ahli keluarga sendiri. Pada penelitian saya, pengecaman tertuduh oleh SP1 ketika memberi keterangan di mahkamah juga tidak menunjukkan sebarang kesulitan di pihak SP1. [15] Walau bagaimanapun, pengecaman tersebut tidak secara langsung membuktikan elemen-elemen pertuduhan di bawah s. 354 KK. Meskipun SP1 kelihatan pasti tentang identiti pelaku, kepastian itu pada hemat saya tidak menjawab persoalan sama ada perbuatan “memeluk” sebagaimana dalam pertuduhan pindaan tersebut benar-benar berlaku, dan sama ada perbuatan tersebut dilakukan dengan niat hendak mencabul atau dengan pengetahuan ia akan mencabul kehormatan SP1. Mahkamah masih perlu meneliti keseluruhan keterangan SP1, khususnya jawapan-jawapan yang diberikannya semasa pemeriksaan balas, sebelum keterangan itu boleh dianggap selamat untuk disandarkan (lihat Mahinder Singh v. PP [1966] CLJU 95; [1967] 1 MLJ 126). [16] Dalam menilai keterangan SP1, saya mengambil panduan daripada prinsip yang telah digariskan dalam PP v. Datuk Haji Harun Haji Idris (No. 2) [1976] CLJU 184; [1977] 1 MLJ 15; PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No. 3) [1999] 2 CLJ 215; [1999] 2 MLJ 1 dan Mohammad Alam Mohammad Zakaria v. PP [2026] CLJU 716; [2026] MLJU 898. [17] Prinsip yang digariskan dalam kes-kes tersebut ialah percanggahan dalam keterangan seseorang saksi tidak dengan sendirinya menjadikan keterangannya tidak boleh dipercayai. Percanggahan dalam keterangan saksi boleh berlaku memandangkan setiap saksi tidak semestinya boleh S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA mengingati sesuatu kejadian dengan cara yang sama atau secara tepat dalam setiap butirannya. Perkara utama yang perlu diteliti ialah sama ada keterangannya konsisten dengan dirinya sendiri, mampu bertahan ketika diuji dalam pemeriksaan balas, selari dengan keterangan yang lain serta keadaan kes keseluruhan, dan wujud atau tidak kebarangkalian sesuatu fakta yang dipertikaikan itu. [18] Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakselarasan tertentu, persoalan yang perlu ditentukan ialah sama ada perkara tersebut menyentuh isu yang material sehingga boleh menjejaskan keseluruhan kredibiliti saksi tersebut. Mahkamah juga tidak terikat untuk menerima atau menolak keseluruhan keterangan mana-mana saksi. Mahkamah boleh menerima bahagian yang dipercayai dan menolak bahagian yang lainnya sekiranya mempunyai alasan untuk berbuat sedemikian. [19] Saya turut mengambil kira bahawa SP1 ialah seorang wanita warga emas berusia 80 tahun. Di awal keterangannya, SP1 menyatakan bahawa beliau berasa malu untuk menceritakan semula apa yang berlaku. Dalam keadaan ini, saya tidak mengharapkan SP1 untuk memberi keterangan yang sempurna dalam setiap perkara yang berlaku sewaktu hari kejadian, atau mengingati segala butiran mengenai perihal kejadian dengan tepat. [20] Namun begitu, faktor-faktor tersebut tidak bermakna bahawa beban pembuktian kes prima facie di bahu pendakwaan boleh diringankan, atau keterangan SP1 boleh dikecualikan daripada ujian penilaian maksimum. Mahkamah tetap perlu berhati-hati dalam menilai keseluruhan keterangan SP1 bagi menentukan sama ada keterangannya itu cukup selamat untuk menyokong suatu sabitan apabila tertuduh dipanggil membela diri tetapi memilih untuk berdiam diri. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [21] Semasa pemeriksaan utama, SP1 pada mulanya tidak memberikan keterangan yang begitu jelas dan secara langsung mengenai perbuatan kekerasan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh. Semasa SP1 ditanya apakah yang dilakukan tertuduh terhadap dirinya, SP1 jawab “tak dok buat gapo, dia hanya minta sajalah”. Apabila ditanya lagi apakah yang diminta oleh tertuduh, SP1 menyatakan tertuduh minta untuk bersetubuh, dan semasa tertuduh hendak memeluknya, SP1 tidak membenarkannya. [22] Di peringkat awal keterangan SP1 ini, keterangannya lebih merujuk kepada kata-kata tertuduh yang bersifat seksual, dan masih belum cukup jelas lagi tentang perbuatan kekerasan jenayah dengan cara “memeluk” sebagaimana pertuduhan pindaan. Keterangan SP1 ini lebih memberikan gambaran bahawa perbuatan “memeluk” itu belum sempat dilakukan oleh tertuduh kerana ia dihalang oleh SP1. [23] Hanya selepas soalan-soalan lanjut ditanyakan kepada SP1, beliau menyatakan bahawa tertuduh telah berdiri dan “pegang” atau “peluk” dirinya. Apabila SP1 diminta untuk melakukan demonstrasi cara tertuduh memeluknya, SP1 menunjukkan bahawa tertuduh memeluknya dari arah belakang (yang mana mahkamah merekodkan sebagai pelukan rapat dari belakang dengan tangan tertuduh di atas bahu SP1), sambil minta untuk menyentuh kemaluan SP1, bersetubuh dan “cekok” (genggam) kainnya. [24] Berdasarkan keterangan di peringkat pemeriksaan utama ini, pada dasarnya saya terima bahawa perbuatan tertuduh memeluk SP1 dari arah belakang tanpa kerelaannya, dan disertai dengan kata-kata yang bersifat seksual, boleh terjumlah kepada suatu perbuatan kekerasan jenayah dan membolehkan suatu inferens bahawa perbuatan itu dilakukan dengan niat atau dengan pengetahuan bahawa ia akan mencabul kehormatan SP1. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [25] Sungguhpun begitu, mahkamah tidak boleh berhenti menilai setakat pada bahagian keterangan SP1 yang boleh menyokong kes pendakwaan. Apabila keterangan SP1 kemudiannya diuji semasa pemeriksaan balas, ketidakjelasan mengenai perbuatan “memeluk” itu menjadi lebih ketara. [26] Semasa pemeriksaan balas, apabila dicadangkan bahawa adalah mustahil untuk tertuduh berbuat demikian kerana tertuduh dikatakan pergi menoreh pada waktu kejadian, SP1 jawab “dia tak buat apa-apa gitu jah. Kita bagi makan ayam dan dia pegang atas bahu”. Apabila dicadangkan bahawa tertuduh sebenarnya tidak berbuat apa-apa kepada dirinya, SP1 jawab “dia pegang saja. Dia mintak nak tapi saya kata tak bulih din”. [27] Apabila peguam terpelajar mencadangkan bahawa tertuduh tidak menyentuh apa-apa, SP1 sekali lagi jawab “dia pegang kak wea” (yang mana direkodkan oleh mahkamah saksi meletakkan tangan di atas bahu). Ketika peguam cuba dapatkan pengesahan lanjut, jawapan SP1: S: Pegang bahu? J: Ya, saya kata “tak bulih Din malu kat orang, lagi pun Din ni kak wea pelihara dan duduk sekali dari kecik lagi”. Kita pun kesian dekat dia anggap dia macam anak sendiri bagi makan nasi apa sekali. Mak dia tu tak ada mak sama mak adik beradik. S: Jadinya Din mintak benda tu pegang bahu kita, dan tak pegang tempat lain? J: Tak ada. [28] Jawapan-jawapan SP1 semasa pemeriksaan balas ini, pada hemat saya, menimbulkan ketidakpastian tentang perbuatan kekerasan jenayah yang dikatakan telah dilakukan oleh tertuduh pada hari kejadian. Semasa pemeriksaan utama, SP1 memberikan keterangan bahawa tertuduh telah S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA memeluknya dari belakang sambil menggenggam kainnya, dan meminta untuk menyentuh kemaluan SP1 dan bersetubuh. Apabila keterangan itu diuji dalam pemeriksaan balas, SP1 beberapa kali menyatakan tertuduh memegang bahunya sahaja sambil beliau menunjukkan bagaimana cara tertuduh memegang bahunya, dan tertuduh tidak memegang tempat lain. [29] Semasa pemeriksaan semula, pihak pendakwaan telah minta SP1 untuk menunjukkan sekali lagi cara tertuduh memeluknya dari belakang. SP1 kemudian menunjukkan bahawa beliau telah dipeluk oleh tertuduh secara rapat dari arah belakang sambil kainnya digenggam oleh tertuduh. Apabila ditanya sama ada badan tertuduh dengan badan SP1 rapat pada waktu itu, SP1 jawab “ya”. Kemudian, apabila ditanya sama ada tertuduh hanya peluk bahunya atau ada melakukan perkara lain, SP1 jawab “dia peluk sambil cengkam kain saya”. Ketika ditanyakan lagi sama ada bukan bahunya sahaja yang dipeluk oleh tertuduh, SP1 jawab “dia peluk bahu sahaja dan minta untuk kocak boleh ke sekali kak wan”. [30] Pada hemat saya, demonstrasi itu tidak boleh dinilai secara terasing daripada keterangan SP1 yang lain. Walaupun beliau menunjukkan sekali lagi tertuduh memeluknya rapat dari arah belakang sambil menggenggam kainnya, ia tidak sepenuhnya menghapuskan ketidakpastian yang timbul semasa pemeriksaan balas. Apabila keseluruhan keterangan SP1 diteliti secara bersama, saya mendapati keterangannya tidak memberikan satu versi yang kekal konsisten tentang perbuatan kekerasan jenayah dengan cara “memeluk” seperti yang dipertuduhkan dalam pertuduhan pindaan. [31] Saya terima prinsip bahawa seseorang saksi tidak selalunya dapat mengingati setiap butiran kejadian dengan sempurna dan tepat. Namun, saya berpendapat perubahan tersebut bukanlah suatu perubahan bersifat S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA kecil, remeh atau sampingan. Ia menyentuh isu material tentang apakah perbuatan kekerasan jenayah yang sebenarnya dikatakan dilakukan oleh tertuduh, iaitu sama ada tertuduh pegang bahu SP1 sahaja sambil minta bersetubuh, atau pelukan rapat dari arah belakang sambil menggenggam kainnya seperti yang ditunjukkan oleh SP1 benar-benar berlaku. [32] Saya tidak menafikan bahawa keterangan lisan SP1 ada mengandungi beberapa perbuatan fizikal lain yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh yang boleh terjumlah kepada perbuatan kekerasan jenayah. Namun, dalam keadaan pertuduhan telah dipinda oleh pihak pendakwaan kepada suatu perbuatan yang lebih khusus, iaitu “memeluk”, kejelasan serta ketekalan keterangan SP1 mengenai perbuatan itu menjadi sangat material sebelum mahkamah boleh memanggil tertuduh membela diri. [33] Saya mengambil maklum tentang prinsip bahawa mahkamah boleh mensabitkan seseorang tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan pengadu, jika keterangannya itu adalah luar biasa meyakinkan (unusually convincing) seperti yang dinyatakan dalam PP v. Mardai [1949] CLJU 65; [1950] 1 MLJ 33. Setelah meneliti keseluruhan keterangan lisan SP1 ini, saya tidak dapat memuaskan hati saya bahawa keterangannya itu adalah tergolong dalam kategori tersebut. [34] Dapatan ini tidak bermaksud bahawa SP1 ialah seorang saksi yang tidak boleh dipercayai (not credible). Dalam keadaan keterangan lisannya tidak memberikan kejelasan dan ketekalan yang mencukupi mengenai perbuatan “memeluk” tersebut, saya berpendapat bahawa adalah adil untuk mahkamah meneliti sama ada terdapat apa-apa keterangan lain yang dapat memberikan sokongan kepada keterangan lisan SP1 tentang perbuatan tersebut. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [35] Meskipun undang-undang tidak memerlukan keterangan SP1 untuk disokong dengan keterangan lain, kewujudannya adalah sangat diingini (highly desirable), lebih-lebih lagi dalam keadaan dan sifat kes seperti ini (lihat Samuel T. Ponampalam v. PP [1985] CLJ Rep 742). [36] Dengan itu, saya kini beralih kepada penilaian terhadap repot polis SP1, iaitu Ekshibit P1 (“P1”). Nilai keterangan P1 ini telah dijelaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam Balachandran (supra) bahawa sesuatu repot maklumat pertama bukanlah suatu keterangan yang substantif bagi membuktikan apa-apa perihal kejadian yang tertera di dalamnya sebagai benar. P1 ini hanya boleh digunakan untuk menyokong keterangan lisan SP1 di bawah s. 157 Akta Keterangan 1950 (“AK”), atau untuk mencabar kredibilitinya di bawah s. 145 Akta yang sama. [37] Dalam P1, perbuatan kekerasan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh ialah tertuduh memeluk SP1 dari belakang sambil berkata “buleh ko kocak sekali” dan secara tiba-tiba memasukkan tangannya ke dalam kain sarung yang dipakai oleh SP1, lalu memegang kemaluan SP1. [38] Saya menerima bahawa kandungan P1 telah pun menyebut tentang perbuatan tertuduh memeluk SP1 dari arah belakang. Bahagian ini boleh menyokong keterangan lisan SP1 tentang perbuatan kekerasan jenayah dengan cara “memeluk” itu, serta boleh menyokong pertuduhan pindaan tersebut. Meskipun P1 turut mengandungi aduan yang lebih serius, iaitu tertuduh memegang kemaluan SP1, hal ini tidak lagi menjadi isu utama yang perlu diputuskan kerana pertuduhan asal telah pun dipinda. [39] Walau bagaimanapun, kesukaran utama berhubung P1 ini bukanlah mengenai kebolehterimaannya (admissibility), tetapi sejauh manakah P1 S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA boleh diberikan berat (weight) sebagai repot maklumat pertama SP1 yang boleh menyokong keterangan lisannya tentang perbuatan “memeluk” itu, dan menghapuskan ketidakpastian yang timbul sebelum ini. [40] Dalam menentukan berat P1 ini, saya merujuk kepada prinsip yang digariskan dalam Lim Guan Eng v. PP [2000] 2 CLJ 541; [2000] 2 MLJ 577, di mana Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti berikut: “It is our view that under s. 157, a former statement made by a witness is admissible in order to corroborate his testimony. The weight of such a statement for the purpose of corroboration depends on the facts of a particular case. This view is supported by a long line of decided cases.” (Penekanan ditambah) [41] Semasa pemeriksaan utama, SP1 tidak mengakui bahawa P1 ialah repot polis yang dibuatnya. SP1 berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak pergi ke balai polis dan tidak membuat repot tersebut. Meskipun SP1 mengesahkan bahawa nama pengadu yang tertera di dalam P1 tersebut ialah namanya, beliau tidak pernah mengesahkan bahawa kandungannya adalah sama dengan apa yang telah diceritakannya kepada pihak polis, atau sama dengan apa yang berlaku kepadanya semasa hari kejadian. [42] Saya mengambil maklum hujahan pendakwaan bahawa faktor usia SP1 mungkin boleh menjelaskan mengapa beliau tidak dapat mengingati P1. Saya tidak menolak kemungkinan tersebut. Namun, jawapan SP1 ini bukan sekadar tentang ketidakupayaannya untuk mengingati butiran kecil seperti tarikh buat repot polis atau di manakah repot polis tersebut dibuat, tetapi beliau secara berulang kali menafikan bahawa beliau pergi ke balai polis dan membuat repot tersebut. Dalam keadaan ini, saya berpendapat S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA bahawa faktor usia sahaja tidak sepenuhnya menjelaskan mengapa SP1 menafikan dan tidak mengakui P1 sebagai repot polis yang dibuatnya. [43] Saya juga telah mempertimbangkan pengataan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan utama bahawa SP1 tidak boleh membaca. Namun, pengataan ini datangnya dari meja pendakwaan (statement from the bar), dan bukanlah suatu fakta yang dibuktikan melalui keterangan bersumpah. Dalam Ng Hee Thoong & Anor v. Public Bank Bhd [1995] 1 CLJ 609; [1995] 1 MLJ 281, Mahkamah Rayuan menegaskan: “… It is a principle fundamental to our system of adversarial litigation that evidence upon a matter must be given on oath. The practice of Counsel giving evidence from the Bar, as was done in this case, is to be deprecated. To act, as the learned Judicial Commissioner did in this case is to ignore the very basic tenets of the law of evidence that is applied by our Courts.” (Penekanan ditambah) [44] Jika diandaikan bahawa fakta itu benar SP1 tidak boleh membaca, saya berpendapat bahawa perkara tersebut hanya menjelaskan mengapa SP1 tidak dapat membaca atau mengecamkan P1. Ia tidak sepenuhnya menjelaskan mengapa SP1 menafikan bahawa beliau pergi ke balai polis dan membuat repot tersebut. [45] Meskipun begitu, saya telah mengambil kira keterangan saksi-saksi lain mengenai bagaimana P1 itu dibuat. SP3 menyatakan bahawa beliau sendiri telah membawa SP1 pergi ke balai polis dan berada bersama SP1 sewaktu P1 dibuat. SP5 pula kemudiannya telah mengesahkan bahawa memang SP1 sendiri yang membuat P1 tersebut manakala anaknya, SP3 hadir bersama. Dengan itu, saya menerima bahawa keterangan mereka S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA menyokong fakta bahawa SP1 sendiri yang membuat P1 tersebut. Atas alasan itu, P1 telah diterima masuk oleh mahkamah sebagai keterangan. [46] Namun, pengesahan yang dibuat oleh SP3 dan SP5 bahawa SP1 sendiri yang membuat P1 tersebut, tidak dengan sendirinya menjadikan setiap perbuatan yang tertera di dalamnya turut dibuktikan sebagai benar. Hakikatnya, mereka bukanlah saksi mata kepada kejadian tersebut. Oleh itu, keterangan mereka hanya membantu membuktikan pembuat sebenar P1 tersebut, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada perbuatan yang dinyatakan di dalamnya benar-benar berlaku. [47] Saya tidak mengatakan bahawa kandungan P1 itu tidak mempunyai nilai sokongan. Bahagian P1 yang menyebut tentang perbuatan tertuduh memeluk SP1 dari belakang boleh menyokong keterangan lisannya serta pertuduhan pindaan. Namun, dalam keadaan SP1 sendiri tidak mengakui P1 adalah repot polis yang dibuatnya, dan beliau juga tidak mengesahkan kandungannya sama seperti apa yang diceritakannya kepada pihak polis, saya tidak dapat memberikan P1 berat yang banyak (much weight). [48] Pada tahap tertinggi serta berdasarkan fakta dan keadaan kes ini, saya berpendapat bahawa P1 tersebut hanya mempunyai nilai sokongan yang terhad sebagai repot maklumat pertama atau aduan awal SP1. Nilai tersebut tidak mencukupi bagi menyokong keterangan lisan SP1 tentang perbuatan “memeluk” itu. Oleh itu, saya mendapati bahawa P1 tidak dapat membantu dalam menghapuskan ketidakpastian yang timbul daripada keterangan lisan SP1 mengenai perbuatan tersebut. [49] Saya kini beralih kepada penilaian terhadap keterangan SP2, SP3 dan SP4. Saya tidak menafikan bahawa keterangan mereka berkenaan S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA aduan, keadaan dan tindakan susulan SP1 selepas kejadian merupakan suatu fakta yang relevan di bawah s. 8 AK. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Mardai (supra), sesuatu aduan susulan yang dibuat oleh pengadu boleh mempunyai nilai sokongan jika aduan itu mengaitkan tertuduh dan dibuat pada kesempatan pertama yang munasabah selepas kejadian. [50] Namun, saya masih perlu menilai sejauh mana keterangan mereka tentang perkara-perkara tersebut dapat menyokong keterangan lisan SP1 mengenai perbuatan “memeluk” yang dipertuduhkan. [51] Dalam menentukan persoalan tersebut, saya mengambil panduan daripada prinsip yang telah digariskan oleh Mahkamah Rayuan dalam Lim Guan Eng v. PP & Other Appeals [1998] 3 CLJ 769; [1998] 3 MLJ 14 bahawa sesuatu keterangan sokongan yang sebenar (true corroboration) mestilah datang daripada sumber yang bebas dan menyentuh fakta yang material yang menjadi teras pertikaian (axis of the dispute). Keterangan seorang saksi tidak boleh dianggap sebagai keterangan sokongan bebas hanya kerana beliau mengulangi apa yang telah dikatakan oleh pengadu. [52] Prinsip yang sama juga dapat dilihat dalam Aziz Muhamad Din v. PP [1997] 1 CLJ Supp 523; [1996] 5 MLJ 473, di mana Augustine Paul H (beliau pada ketika itu) merujuk kepada R v. Whitehead [1929] 1 K.B. 99; [1928] All ER Rep 186 yang menyatakan seperti berikut: “Any such inference as to what the girl had told her mother could not amount to corroboration of the girl's story, because it proceeded from the girl herself; it was merely the girl's story at second hand. In order that evidence may amount to corroboration it must be extraneous to the witness who is to be corroborated. A girl cannot corroborate herself, otherwise it is only necessary S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA for her to repeat her story some twenty-five times in order to get twenty-five corroborations of it.” [53] Prinsip tersebut tidak bermaksud bahawa sesuatu keterangan sokongan hanya boleh datang melalui keterangan seseorang saksi mata. Dalam Attan Abdul Gani v. PP [1969] CLJU 12; [1970] 2 MLJ 143, Sharma H (beliau pada ketika itu) telah menjelaskan bahawa sesuatu keterangan sokongan boleh datang melalui keterangan keadaan (circumstantial) dan tidak semestinya perlu mengesahkan setiap perkara yang dikatakan oleh pengadu. Apa yang penting ialah keterangan itu mestilah datang daripada sumber yang bebas serta boleh mengaitkan tertuduh dengan kesalahan dalam sesuatu perkara yang material. [54] Maka, dalam menilai keterangan SP2, SP3 dan SP4, perkara utama yang perlu diteliti ialah sama ada keterangan mereka mengandungi apa-apa keterangan yang sememangnya datang daripada pengetahuan atau pemerhatian mereka sendiri, dan bukan semata-mata daripada apa yang diceritakan oleh SP1. Jika terdapatnya keterangan bebas itu, mahkamah perlu menilai sejauh manakah keterangan itu dapat mengaitkan tertuduh dengan perbuatan “memeluk” yang menjadi perkara material bagi kes ini. [55] Pada penelitian saya, kesimpulan daripada keterangan mereka bertiga adalah sama, iaitu mereka bukanlah saksi mata kepada kejadian. SP4 memberikan keterangan bahawa beliau hanya mengetahui kejadian tersebut daripada SP1. SP2 pula mengetahuinya daripada SP4 sebelum mendengar sendiri daripada SP1 manakala SP3 mengetahuinya daripada SP1 dan SP2. Dengan itu, jelaslah bahawa keterangan mereka mengenai perbuatan kekerasan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh datang daripada sumber yang sama, iaitu SP1. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [56] Walaupun terdapat percanggahan mengenai perbuatan kekerasan jenayah yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh—ada yang kata tertuduh cuba menyentuh atau meraba kemaluan SP1, dan ada juga kata tertuduh telah memeluk SP1—pada hemat saya, percanggahan tersebut bukanlah suatu percanggahan yang material sehingga boleh menjejaskan kredibiliti mereka. Hakikatnya, penceritaan mereka hanyalah berdasarkan kepada apa yang mereka dengar dan faham daripada cerita SP1 pada waktu dan keadaan yang berbeza. Atas alasan itu, saya tidak mempunyai asas untuk membuat dapatan bahawa mereka sengaja mereka-reka cerita, menokok tambah atau memberikan keterangan palsu. [57] Namun begitu, saya tetap perlu menjalankan penilaian ke atas berat keterangan SP2, SP3 dan SP4. Walaupun saya telah menerima bahawa keterangan mereka diberikan dengan jujur berdasarkan apa yang mereka dengar dan faham daripada SP1, sumber pengetahuan mereka mengenai kejadian tersebut tetap sama, iaitu SP1. Fakta tersebut juga tidak berubah semata-mata kerana sebahagian keterangan mereka tidak dicabar dalam pemeriksaan balas. Oleh itu, pengulangan cerita SP1 kepada tiga orang lain tidak menjadikan keterangan mereka sebagai tiga sumber sokongan bebas bagi membuktikan perbuatan “memeluk” tersebut. [58] Apabila diteliti secara menyeluruh keterangan SP2, SP3 dan SP4, saya mendapati bahawa bahagian keterangan mereka yang benar-benar datang daripada pengetahuan atau pemerhatian mereka sendiri hanyalah mengenai perkara-perkara yang berlaku selepas kejadian. Mereka dapat mengesahkan bahawa suatu aduan telah dibuat oleh SP1, aduan tersebut berkait dengan tertuduh, aduan tersebut adalah mengenai kata-kata atau perbuatan tertuduh yang bersifat seksual, dan keadaan emosi SP1 serta tindakan beliau selepas kejadian. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [59] Saya tidak menafikan bahawa keterangan tersebut adalah relevan dan mempunyai nilai sokongan. Namun, dalam keadaan kes ini, ia tidak dapat mengesahkan bentuk perbuatan fizikal sebenar yang berlaku pada hari kejadian. Fakta bahawa SP1 ada membuat aduan selepas kejadian dan reaksinya—sedih, marah atau takut—semasa menceritakan semula kejadian itu kepada SP2, SP3 dan SP4, juga selari dengan suatu reaksi ajakan bersetubuh, pegangan pada bahu, cubaan menyentuh kemaluan atau pelukan dari arah belakang. Oleh itu, perkara-perkara tersebut tidak dengan sendirinya mengaitkan tertuduh semata-mata kepada perbuatan “memeluk” sebagaimana yang dipertuduhkan. [60] Berdasarkan keseluruhan keterangan tersebut, saya berpendapat bahawa keterangan SP2, SP3 dan SP4 hanya mempunyai nilai sokongan yang terhad kepada pengesahan bahawa SP1 ada membuat suatu aduan awal yang mengaitkan tertuduh dengan suatu perlakuan bersifat seksual, serta keadaan dan tindakan susulan SP1 selepas kejadian. Mereka tidak dapat mengesahkan secara bebas mengenai perbuatan “memeluk” yang dikatakan oleh SP1. Oleh itu, keterangan mereka tidak dapat membantu dalam menghapuskan ketidakpastian yang timbul daripada keterangan lisan SP1 mengenai perbuatan tersebut. [61] Saya seterusnya menilai isu kegagalan SP6 menyiasat keberadaan tertuduh pada hari kejadian. Semasa pemeriksaan balas, SP6 mengakui tertuduh ada menyatakan dalam rakaman percakapannya bahawa beliau berada di kebun getah pada jam 9:00 pagi dan hanya pulang sekitar jam 1:00 tengah hari. SP6 juga mengakui bahawa beliau tidak menjalankan siasatan lanjut berkenaan dengan versi itu. Malah, semasa pemeriksaan utama, beliau turut menyatakan bahawa siasatannya hanya berdasarkan kepada keterangan yang diberikan oleh SP1. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA [62] Dalam keadaan itu, peguam terpelajar berhujah bahawa kegagalan SP6 dalam menyiasat versi tersebut telah mendatangkan prejudis kepada tertuduh dan membangkitkan inferens buruk (adverse inference) terhadap pihak pendakwaan di bawah s. 114(g) AK kerana telah menyembunyikan keterangan yang boleh memberikan kelebihan kepada tertuduh. Sebagai sokongan, peguam terpelajar telah merujuk kepada beberapa keputusan Mahkamah Persekutuan dalam Ghasem Hozouri Hassan v. PP [2018] 6 CLJ 133; [2019] 6 MLJ 231 dan Alcontara Ambross Anthony v. PP [1996] 1 CLJ 705; [1996] 1 MLJ 209. [63] Dengan hormatnya, saya tidak dapat bersetuju dengan hujahan itu. Mahkamah Persekutuan dalam Ghasem Hozouri Hassan (supra) secara jelas menyatakan keadaan-keadaan yang membangkitkan inferens buruk terhadap pihak pendakwaan adalah seperti berikut: “[48] The law pertaining to s. 114(g) of the Evidence Act is settled. Under s. 114(g) of the Evidence Act 1950, the court may presume that evidence which could be and is not produced would if produced be unfavourable to the person who withholds it. The usage of the word 'may' gives the discretion to the court whether or not to invoke the adverse inference to a given set of facts. It is not a mandatory inference. To draw an adverse inference against the prosecution, the court must be satisfied that the witness that was not offered was a material witness, the prosecution purposely withholds evidence which it possessed and which was always available; and that what the prosecution did was done with an ulterior motive to frustrate the defence. (Nanda Kumar Kunyikanan & Anor v. PP [2011] 8 CLJ 406).” (Penekanan ditambah) [64] Dalam keadaan kes ini, tiada sebarang keadaan yang menunjukkan bahawa pihak pendakwaan telah sengaja menyembunyikan mana-mana S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA saksi atau keterangan yang menyokong versi tertuduh. Pada hemat saya, isu yang timbul hanyalah tentang kegagalan SP6 menjalankan siasatan lanjut berkenaan versi tersebut, dan bukanlah suatu keadaan yang boleh ditafsirkan sebagai suatu perbuatan yang disengajakan. Sehubungan itu, saya tidak membuat sebarang inferens buruk terhadap pendakwaan. [65] Namun, kegagalan menyiasat mengenai keberadaan tertuduh pada waktu kejadian tidak boleh diabaikan. Dalam Alcontara Ambross Anthony (supra), Mahkamah Persekutuan telah menegaskan bahawa apabila satu versi lain telah dinyatakan oleh tertuduh dalam rakaman percakapannya, pihak polis mempunyai tanggungjawab untuk menyiasat sama ada versi itu benar atau tidak. Dalam erti kata lain, pihak pendakwaan mempunyai beban untuk menyangkal bahagian penting versi tersebut, dan beban itu tidak boleh dialihkan kepada tertuduh hanya kerana siasatan tidak dibuat. [66] Perlu ditegaskan di sini, saya tidak mengatakan bahawa saya telah menerima versi pembelaan tertuduh tentang beliau berada di kebun getah pada waktu kejadian. Kegagalan menyiasat tidak semestinya menjadikan kes pendakwaan “fatal” kerana kesannya bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes. Namun, dalam keadaan pengadu ialah satu-satunya saksi kepada kejadian, dan keterangannya tentang perbuatan “memeluk” itu tidak cukup jelas dan konsisten, saya berpendapat bahawa kegagalan menyiasat keberadaan sebenar tertuduh pada waktu kejadian menambah lagi kepada ketidakpastian yang timbul dalam kes pendakwaan. [67] Setelah meneliti keseluruhan keterangan pihak pendakwaan secara maksimum, khususnya keterangan lisan SP1 yang tidak begitu jelas dan konsisten, nilai sokongan P1 serta keterangan SP2, SP3 dan SP4 yang terhad, dan kegagalan SP6 menyiasat keberadaan tertuduh pada waktu S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA kejadian, saya mendapati bahawa ketidakpastian yang timbul berkenaan perbuatan “memeluk” tersebut masih belum dihapuskan. [68] Memandangkan keterangan pihak pendakwaan masih belum dapat menghapuskan ketidakpastian yang timbul mengenai perbuatan sebenar yang dikatakan dilakukan oleh tertuduh, dan dalam keadaan keterangan-keterangan yang sedia ada membenarkan lebih daripada satu inferens, saya hendaklah menerima inferens yang lebih memihak kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam Mohd Radzi Abu Bakar (supra). [69] Dalam keadaan tersebut, saya tidak bersedia mensabitkan tertuduh sekiranya beliau dipanggil membela diri tetapi memilih untuk berdiam diri. Pada hemat saya, memanggil tertuduh membela diri dalam keadaan kes pendakwaan masih ada keraguan atau ketidakpastian tentang perbuatan “memeluk” itu, bererti memanggilnya untuk menjelaskan versi perbuatan fizikal manakah yang telah timbul daripada keterangan pendakwaan yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian itu. Keadaan ini akan meletakkan beban yang tidak patut kepada tertuduh bagi membersihkan keraguan itu. Pendekatan ini ditegah oleh Mahkamah Persekutuan dalam Magendran Mohan (supra). KESIMPULAN [70] Oleh yang demikian, setelah menjalankan penilaian maksimum terhadap keseluruhan keterangan pendakwaan dan berdasarkan alasan-alasan tersebut, saya mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Sehubungan itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA Bertarikh: 31hb Julai 2026 -Signed- (TUN FAEZ FIKHRIE BIN TUN ASRUL SAINI) Majistret Mahkamah Majistret Tanah Merah PIHAK-PIHAK Bagi pendakwaan : Ahmad Irfan Aizat bin Mohd Daud Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Bagi tertuduh : Zuhaidie Akmal bin Hasan Basri Peguambela & Peguamcara Tetuan Zuhaidie & Co. S/N Msfrw78JEGWBwcmpbmfSA