Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN, MALAYSIA, DI PUTRAJAYA (BIDANGKUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO. B-05(M)-108-03/2017 ANTARA AMALA JOHNSON …PERAYU DAN PENDAKWA RAYA …RESPONDEN (Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya Di Shah Alam Perbicaraan Jenayah NO.45A-131-06/2013 Antara Pendakwa Raya Dan Amala Johnson) KORUM: MOHTARUDIN BIN BAKI, HMR AHMADI BIN HAJI ASNAWI, HMR ZABARIAH MOHD. YUSOF, HMR 2 PENGHAKIMAN [1] Di Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam, perayu telah dituduh dengan pertuduhan berikut: “Bahawa kamu pada 5 Disember 2012, jam lebih kurang 8.30 malam di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1 (CPP-1), Balai Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di dalam Daerah Sepang, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu ketamine seberat 4028.4 gram dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama”. [2] Di akhir kes pembelaan, perayu telah didapati bersalah dan dijatuhi dengan hukuman gantung dengan menggunakan tali yang diikat di leher sampai mati. [3] Rayuan di hadapan kami adalah berkaitan dengan sabitan dan hukuman yang dikenakan ke atas perayu tersebut. [4] Kami telah mendengar dan seterusnya menolak rayuan perayu. [5] Sekarang kami perturunkan alasan-alasan kami. 3 Kes Bagi Pihak Pendakwaan Naratif kes pendakwaan seperti didapati oleh hakim bicara yang bijaksana adalah seperti berikut: [6] Pada 5.12.2012, pada lebih kurang 8.30 malam, SP-7 (Pegawai Kastam Mohd. Hasman bin Ramli) telah mengarahkan perayu untuk mengimbas beg-beg yang dibawanya iaitu (i) sebuah beg galas warna hijau jenama AOKING (eksibit P33); dan (ii) satu beg tangan berwarna kelabu (eksibit P34), di mesin pengimbas. [7] SP-7 juga nampak perayu memakai pas harian (eksibit P42(A) dan P42(B)) dan tag pergelangan tangan (eksibit P42(C)). [8] SP-6 (Pegawai Kastam Semberati a/p Chandrasegran) turut mengawasi perayu ketika itu. Menurutnya beliau nampak perayu kelihatan risau dan takut, manakala wajahnya pula pucat. Apabila ditanya, perayu memberitahu dia terbang dari Kolkota dan transit di Bangkok dan kemudiannya tiba di KLIA melalui penerbangan MAS 785. 4 [9] Perayu juga menyatakan kepada SP-6 bahawa dia telah terlepas penerbangannya ke Kuantan dan telah mengambil begnya (eksibit P33) yang telah didaftarkan masuk sebelum ini di pejabat Tuntutan Bagasi bagi membolehkan dia kembali mendapatkan penerbangan terus ke Kuantan. [10] Hasil imbasan menunjukkan wujudnya imej yang mencurigakan dalam beg P-33. [11] SP-7 seterusnya mengarahkan perayu untuk mengeluarkan semua barang dalam beg P33 dan beg yang kosong tersebut diimbas semula sebanyak 3 kali. Namun imbasan-imbasan tersebut masih menunjukkan imej yang mencurigakan dalam beg tersebut. Justeru itu perayu telah dibawa ke bilik CPP1 bersama bagasi-bagasinya untuk pemeriksaan yang lebih terperinci. [12] Setelah pegawai-pegawai Bahagian Penguat Kuasa yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat, SP-10 (Penolong Pengarah Kastam Muhamad Hasrul bin Mohd. Fauzi), tiba di bilik CPP1, SP-7 telah membongkar dan menandakan barang-barang kes yang dirampas dari perayu. 5 [13] SP-7 telah menandakan beg P33 dengan tandaan ‘A’. Setelah mengeluarkan pakaian-pakaian perayu, beliau telah menandakan kain pelapik di belakang beg dengan tandaan ‘A1’. Beliau seterusnya mendapati bahawa pelapik kain tersebut telah dibalut dengan kertas karbon (ditanda dengan ‘A1(2)’). Dengan menggunakan pisau, SP-7 telah mengoyakkan bungkusan kertas karbon tersebut dan mendapati ia mengandungi 14 bungkusan plastik lut sinar berbentuk silinder berisi serbuk putih disyaki dadah. 14 bungkusan plastik lut sinar ini telah ditanda oleh SP-7 dengan tandaan ‘A1(2) hingga A1(14)’ (eksibit P31A(1- 14)), berserta tarikh dan tandatangannya. [14] SP-7 kemudian mengambil sampel dari salah satu plastik silinder tersebut untuk diuji dengan test kit. Hasil ujian mendapati ia dadah jenis ketamine. [15] SP-7 kemudian membongkar pelapik plastik bahagian dalam hadapan beg tersebut. Juga terdapat pelapik lapisan kain yang ditanda sebagai ‘A2(1)’ dan balutan kertas karbon yang ditanda sebagai ‘A2(2)’. Selepas kertas karbon dikoyakkan, SP-7 mendapati 15 plastik lut sinar berbentuk silinder berisi serbuk putih disyaki dadah, ditanda sebagai 6 ‘A2(2)(1) hingga A2(2)(15)’ (eksibit P31B(1-15)). SP-7 juga telah menurunkan tandatangan dan tarikh rampasan tersebut. [16] SP-7 kemudiannya membuat laporan polis dan menyerahkan kes kepada SP-10 bersama-sama dengan perayu, barang-barang kes, Laporan Polis (eksibit P14), Senarai Bongkar (eksibit P13) dan Borang Serahan Kes (eksibit P15). [17] SP-10 telah meminta ahli kimia, SP-5 (Dr. Vanitha Kunalan), untuk mencerakinkan serbuk putih dalam kesemua silinder yang dirampas tersebut. SP-5 telah mengesahkan bahawa serbuk-serbuk tersebut adalah dadah jenis ketamine seberat 4028.4 gram (‘dadah tersebut’) yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘ADB 1952’). SP-5 juga telah menyediakan laporan analisisnya sebagaimana laporan kimia (eksibit P10). [18] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara yang bijaksana telah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perayu mempunyai kawalan dan jagaan ke atas beg yang mengandungi dadah tersebut dan dengan menggunakan anggapan statutori di bawah s.37(d), 7 ADB 1952, perayu dianggap memiliki dadah tersebut dan mempunyai pengetahuan mengenai dadah yang diisinya dalam beg tersebut sehinggalah dibuktikan sebaliknya. [19] Hakim bicara yang bijaksana juga mendapati bahawa tindakan perayu membawa dadah dengan cara tersembunyi tersebut adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran secara langsung seperti didefinisikan di bawah s.2, ADB 1952. Dadah yang dijumpai dalam keadaan tersorok dalam pelapik kain, dibungkus lagi dengan kain dan kertas karbon yang dijahit dalam beg P33 menunjukkan niat sebenar perayu untuk mengedarkan dadah tersebut. Malah dadah tersebut dibawa masuk dari luar negara dengan cara dibawa (carry) dalam beg P33 tersebut ke Malaysia. Tujuan perayu untuk mengedarkan dadah tersebut juga terserlah berdasarkan kepada jumlah berat dadah yang banyak. Anggaran berat kasar dadah yang diperolehi oleh SP-7 adalah 5.143 kg, bersamaan dengan berat beras sekampit yang pada lazimnya dijual di pasaraya-pasaraya di Malaysia. [20] Pada akhirnya, hakim bicara yang bijaksana telah mendapati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie ke atas perayu di atas tuduhan yang dikenakan terhadapnya. 8 Dengan itu perayu telah dipanggil untuk membela diri. Perayu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. Kes Pembelaan [21] Perayu menyatakan beliau berumur 48 tahun, suaminya telah meninggal dunia dan mempunyai seorang anak perempuan. Dia pernah bekerja sebagai pembantu rumah, pembantu kedai makan, pembantu hotel dan pekerja am di Singapura dan Hong Kong. [22] Perayu pernah datang ke Malaysia dan pergi ke Macau untuk memperbaharui visanya. [23] Perayu menyatakan bahawa kekasihnya, Salim, telah menawarkan kepadanya 5,000 rupee (RM312.50), yang bersamaan dengan sebulan gajinya sebagai pembantu rumah di Chennai, untuk menghantar kain ke Malaysia. 9 [24] Perayu menyatakan dia bersetuju dengan tawaran tersebut kerana waktu itu dia memerlukan wang untuk majlis perkahwinan anak perempuannya. [25] Salim kemudian menyuruh perayu untuk mengambil kain dari sepupunya, Kadir, di Kolkata. Kadir akan memberinya kain pakaian untuk dihantar ke Kuantan, Malaysia, berserta dengan tiket penerbangan ke Malaysia. [26] Di Kolkata, Kadir telah membawa dan seterusnya meninggalkan perayu di sebuah hotel. Lebih kurang 1 jam kemudian, Kadir kembali ke hotel tersebut dengan membawa sebuah beg galas berwarna hitam hijau, jenama AOKING (eksibit P33) yang berisi beberapa helai kain/sut Punjabi. [27] Kadir kemudian menyuruh perayu untuk memasukkan pakaiannya ke dalam beg P33. Perayu menyatakan dia telah memeriksa beg tersebut dengan menyentuh bahagian dalam beg dan merasakan beg tersebut keras di bahagian dalam dan luar. Dia bertanya Kadir tentang keadaan 10 beg tersebut dan Kadir memberitahu beg tersebut baru dibeli dan tidak ada apa-apa yang perlu ditakutkan. [28] Kadir seterusnya membawa perayu kembali ke Lapangan Terbang Kolkata. Dalam perjalanan, perayu telah dibawa untuk membeli seutas rantai emas dan sebuah beg tangan (eksibit P34). Kadir juga telah memberikan wang sebanyak RM1500.00 kepada perayu. Perayu juga telah diberi tiket penerbangan ke Kuantan, pergi dan balik. Kos penginapan di Kuantan juga disediakan dan ditanggung oleh Kadir. [29] Perayu juga dimaklumkan oleh Kadir bahawa seseorang akan menelefonnya sebaik sahaja perayu tiba di Kuantan. [30] Perayu telah ‘check-in’ beg P33 di Kolkata dan setelah transit di Bangkok selama 6 jam, perayu tiba di KLIA pada 5.12.2012, lebih kurang pada jam 2.30 petang. [31] Setelah menunggu lebih dari 4 jam di KLIA, perayu diberitahu bahawa dia telah terlepas penerbangannya ke Kuantan. Perayu 11 kemudian telah diarahkan oleh pegawai bertugas untuk ke tingkat 5, KLIA untuk urusan mengambil semula beg P33 dari Pejabat Tuntutan Bagasi. [32] Perayu telah pergi ke tingkat 5 untuk mendapatkan pas untuk masuk mengambil begnya di Pejabat Tuntutan Bagasi, Setelah mengambil beg P33, perayu telah ditahan oleh SP-7 dan anggota-anggotanya ketika hendak melepasi pemeriksaan Kastam. Perayu kemudian telah diarah untuk mengimbas beg-beg yang dibawa di mesin pengimbas. [33] Perayu menyatakan dia menerima pelawaan Salim kerana dia amat memerlukan wang untuk perkahwinan anaknya. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak tahu tentang dadah yang disembunyikan dalam beg galas P33 tersebut. [34] Perayu turut menyatakan bahawa dia telah disuruh untuk memasukkan sim kad ke dalam telefon bimbitnya apabila sampai di Kuantan dan ada orang yang akan menghubunginya untuk mengambil kain-kain tersebut. Perayu juga menyatakan dia tidak tahu siapa yang akan menjemputnya di Kuantan nanti. 12 [35] Di akhir kes pembelaan, hakim bicara yang bijaksana mendapati bahawa pembelaan perayu tidak boleh dipercayai dan gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes pihak pendakwaan. Mahkamah juga mendapati bahawa pembelaan pembawa ikhlas (innocent carrier) yang diutarakan oleh perayu tidak terpakai dalam hal-ehwal keseluruhan keadaan kes ini dan perayu gagal untuk menyangkal anggapan pengetahuan tentang dadah tersebut yang disorok dalam beg P33 tersebut. Sebaliknya pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah. [36] Dengan demikian, perayu telah disabitkan dengan kesalahan di bawah pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan dijatuhi hukuman gantung dengan menggunakan tali yang diikat pada lehernya hingga mati. Rayuan Perayu [37] Perayu telah mengunjurkan alasan-alasan rayuan berikut: