Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN BUTTERWORTH NEGERI PULAU PINANG GUAMAN SIVIL NO: PB-B53-2-07/2023 ANTARA AMANAH RAYA BERHAD … PLAINTIF
PB-B53-2-07/2023
Sessions Court of Malaysia15 May 2026
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN BUTTERWORTH NEGERI PULAU PINANG GUAMAN SIVIL NO: PB-B53-2-07/2023 ANTARA AMANAH RAYA BERHAD … PLAINTIF
1
LETRIK MK SDN BHD … DEFENDAN PERTAMA
2
PLC CREDIT & FACTORING SDN BHD … DEFENDAN KEDUA ALASAN PENGHAKIMAN
1
Plaintif dan Defendan Pertama merayu terhadap keputusan Mahkamah ini selepas perbicaraan penuh.
2
Perbicaraan penuh telah dijalankan dengan 3 saksi Plaintif, 1 saksi Defendan Pertama dan 2 saksi Defendan Kedua.
3
Secara ringkasnya, tuntutan Plaintif terhadap Defendan-Defendan ialah bahawa Defendan Pertama telah secara salah menanggalkan dan membawa keluar pendawaian kabel elektrik dari Papan Suis Utama (Main Switch Board) yang disambungkan ke sub-panel di dalam kilang milik Plaintif, yang didakwa terjumlah kepada tort konversi.
4
Lanjutan daripada itu, Plaintif menuntut supaya Defendan Kedua dipertanggungjawabkan atas prinsip ejen-prinsipal.
5
Plaintif telah merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah seperti berikut: a) Tidak membenarkan sebarang kuantum ganti rugi khas untuk jumlah sebanyak RM 800,000-00 dibayar oleh Defendan Pertama kepada Plaintif; b) Menolak tuntutan ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap Defendan Pertama; dan c) Hanya membenarkan kuantum sebanyak RM 150,000.00 sebagai ganti rugi am dibayar oleh Defendan Pertama kepada Plaintif.
6
Defendan Pertama pula merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah bahawa tuntutan Plaintif terhadap Defendan Pertama dibenarkan untuk Gantirugi Am sebanyak RM150,000.00 dibayar oleh Defendan Pertama kepada Plaintif dan kos mengikut skala.
7
Plaintif merupakan pemegang amanah kepada Kumpulan Wang Bersama, iaitu satu dana yang dibentuk bawah Seksyen 25 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995. Plaintif adalah pemilik berdaftar bagi suatu hartanah yang beralamat di No. 1572, Jalan Besar Valdor, Mukim 12, Seberang Perai Selatan, 14200 Sungai Bakap, Pulau Pinang yang dipegang di bawah Geran No. Hakmilik 74361, Lot 1215, Mukim 12, Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bersama-sama dengan sebuah kompleks bangunan kilang tiga (3) tingkat yang dibina di atas hartanah tersebut (selepas ini akan dirujuk secara silih berganti sebagai “Hartanah tersebut” atau “Kilang tersebut”).
8
Kilang tersebut dilengkapi dengan pendawaian kabel elektrik dari Papan Suis Utama (Main Switch Board) yang disambung ke sub-panel (komponen elektrik dan mekanikal) untuk membolehkan beberapa peralatan elektronik mendapat akses elektrik dan beroperasi (selepas ini dirujuk sebagai “Kabel Penyambung tersebut”).
9
Plaintif telah memasuki satu perjanjian jual beli dengan sebuah syarikat yang dikenali sebagai BW Yee Seng Steel Sdn Bhd (“BWYS”) untuk menjual Kilang tersebut bersekali dengan Kabel Penyambung tersebut.
10
Defendan Kedua adalah pemilik kepada beberapa mesin dan peralatan berat sebagaimana yang dinyatakan dalam Lampiran A kepada satu Perintah Injuksi Mandatori yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi (selepas ini dirujuk sebagai “Mesin & Peralatan Berat tersebut”). Defendan Kedua telah mengambil alih milikan Mesin & Peralatan Berat tersebut daripada Biosis Cosmeceuticals Sdn Bhd (“BC”) apabila BC gagal membayar balik pembiayaan yang diberikan oleh Defendan Kedua kepadanya melalui beberapa perjanjian sewa beli melibatkan kesemua Mesin & Peralatan Berat tersebut.
11
Pada setiap masa yang material, kesemua Mesin & Peralatan Berat tersebut telah dibawa masuk dan dipasang ke dalam Kilang tersebut oleh syarikat lain berkaitan BC ketika syarikat tersebut menyewa dan beroperasi di Kilang tersebut. Mesin & Peralatan Berat tersebut juga telah ditinggalkan dalam keadaan terbiar oleh syarikat penyewa apabila syarikat tersebut meninggalkan Kilang tersebut.
12
Setelah Defendan Kedua mendapat milikan ke atas Mesin & Peralatan Berat tersebut, Defendan Kedua memohon kebenaran Plaintif supaya Mesin & Peralatan Berat tersebut dibenarkan berada di Kilang tersebut sehingga dibawa keluar oleh Defendan Kedua kelak.
13
Sekitar tahun 2021, Plaintif kemudiannya telah dimaklumkan oleh Defendan Kedua bahawa Defendan Pertama berminat membeli Mesin & Peralatan Berat tersebut. Defendan Kedua telah memohon kebenaran Plaintif untuk membenarkan Defendan Pertama masuk ke dalam Kilang bagi menjalankan kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut.
14
Plaintif telah dimaklumkan oleh Defendan Kedua berkenaan surat Defendan Pertama yang dialamatkan kepada Defendan Kedua yang mana surat-surat tersebut adalah berkenaan, antara lainnya, tempoh masa yang diperlukan oleh Defendan Pertama untuk membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut dan juga berkenaan aku janji Defendan Pertama kepada Defendan Kedua sekiranya terdapat apa-apa kerosakan ke atas Kilang tersebut.
15
Pada setiap masa yang material, kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut akan dijalankan secara berperingkat melalui beberapa fasa. Fasa pertama akan bermula pada 18.05.2021 hingga 22.05.2021.
16
Setelah Plaintif memberikan kebenaran bertulis kepada Defendan Kedua, Defendan Pertama telah mula menjalankan kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut daripada Kilang tersebut.
17
Defendan Pertama kemudiannya telah membawa keluar bersama Kabel Penyambung tersebut dari Kilang tersebut tanpa kebenaran Plaintif. Plaintif kemudiannya telah terpaksa membayar ganti rugi kepada BWYS untuk jumlah sebanyak RM 800,000-00 atas kehilangan Kabel Penyambung tersebut. Tuntutan Plaintif ke atas Defendan Pertama
18
Tuntutan Plaintif ke atas Defendan Pertama adalah berkenaan Tort Konversi (Tort of Conversion) lanjutan daripada tindakan Defendan Pertama yang telah mencabut dan membawa keluar Kabel Penyambung tersebut tanpa kebenaran Plaintif selaku pemilik.
19
Sekiranya Paintif berjaya membuktikan tuntutan di atas, Defendan Pertama perlu membayar balik jumlah RM800,000.00 yang terpaksa ditanggung oleh Plaintif sebagai satu ganti rugi khas. C. FAKTA-FAKTA YANG DIPERSETUJUI (ANTARA PLAINTIF
20
Plaintif adalah sebuah syarikat berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mempunyai alamat pendaftaran di Tingkat 11, Wisma AmanahRaya, No, 2, Jalan Ampang, 50508 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan alamat perniagaan di Tingkat Bawah, Wisma Amanah Raya, No, 2, Jalan Ampang, 50508 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan. Plaintif juga merupakan pemegang amanah kepada Kumpulan Wang Bersama iaitu satu dana yang dibentuk dibawah Seksyen 25 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
21
Defendan Pertama adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mempunyai alamat Pendaftaran dan alamat Perniagaan di No. 9, Persiaran Perusahaan Kledang Utara ¼, Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Menglembu, 31450 Ipoh, Perak.
22
Defendan Kedua adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan berdaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang mempunyai alamat pendaftaran di Aras 16 Menara Bank Pembangunan, Bandar Wawasan No. 1016, Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan dan alamat Perniagaan di Aras 18 Menara Bank Pembangunan, Bandar Wawasan No. 1016, Jalan Sultan Ismail, 50250 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
23
Defendan Kedua telah memaklumkan kepada Plaintif bahawa syarikat Defendan Pertama telah bersetuju untuk membeli kesemua Mesin & Peralatan Berat tersebut daripada Defendan Kedua.
24
Defendan Kedua juga telah memohon supaya Plaintif dapat membenarkan lawatan tapak bersama-sama dengan Defendan Pertama dijalankan di Kilang tersebut.
25
Pada masa yang sama, syarikat BW Yee Seng Steel Industries Sdn. Bhd. (“BWYS”) berminat untuk membeli Hartanah tersebut daripada Plaintif. Lanjutan daripada itu, Plaintif dan BWYS telah menjalankan beberapa rundingan bagi tujuan penjualan Hartanah tersebut kepada BWYS.
26
Melalui emel bertarikh 11.05.2021, Defendan Pertama telah mengesahkan bahawa wakil daripada Defendan Pertama akan hadir semasa kerja-kerja fasa pertama membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut dijalankan untuk tempoh bermula 18.05.2021 sehingga 22.05.2021.
27
Defendan Pertama telah menjalankan kerja-kerja fasa pertama membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut bermula pada tarikh 18.05.2021 sehingga 22.05.2021 secara berperingkat dengan kehadiran wakil daripada Amanah Raya Hartanah Sdn Bhd (ARH) dan Defendan Kedua.
28
Semasa Defendan Pertama sedang menjalankan kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut, Defendan Pertama juga telah membuat tawaran untuk membeli dan membawa keluar saki-baki barangan (scraps) yang ditinggalkan oleh CLS dan/atau CPS (“Saki Baki Barangan tersebut”) daripada Hartanah tersebut untuk jumlah RM105,000.00. Defendan Pertama juga berakujanji untuk menjalankan pembaikan kecil dan kerja-kerja pembersihan ke atas Hartanah tersebut supaya Hartanah tersebut berada dalam kondisi yang baik sebelum milikan kosong diserahkan kepada BWYS.
29
Memandangkan tempoh untuk serahan milikan kosong semakin dekat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan pada ketika itu menyukarkan Plaintif untuk menyusun sebarang lawatan tapak susulan dengan BWYS, Plaintif telah bersetuju dan menerima tawaran Defendan Pertama tersebut. Keputusan itu juga dibuat memandangkan Defendan Pertama pada masa itu masih lagi berada di tapak Hartanah tersebut bagi menjalankan kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut.
30
Melalui surat peguamcara BWYS bertarikh 22.09.2021, BWYS telah menyatakan bahawa berdasarkan kepada pemeriksaan ke atas Hartanah tersebut yang dibuat pada 24.09.2021 dengan kehadiran wakil daripada kedua-dua pihak, BWYS mendapati bahawa terdapat kondisi Hartanah tersebut berbeza dengan kondisi asal sebelum Perjanjian Jual Beli tersebut ditandatangani. Antara lainnya, BWYS menyatakan bahawa Kabel Penyambung tersebut telah ditanggalkan dan telah memohon supaya Plaintif membaik pulih keadaan tersebut.
31
Lanjutan daripada itu, Plaintif melalui ARH telah mengeluarkan surat peringatan bertarikh 27.09.2021 dan 28.09.2021 kepada Defendan Pertama antara lainnya menuntut Defendan Pertama menggantikan dan/ atau mengembalikan Kabel Penyambung tersebut pada atau sebelum 12.10.2021 yang mana sekiranya gagal, Plaintif akan menuntut sebarang kos yang perlu ditanggung oleh Plaintif.
32
Melalui surat bertarikh 01.10.2021, Defendan Pertama menyatakan bahawa syarikat tersebut tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan kabel kecuali kabel-kabel yang bersambung dengan Mesin & Peralatan Berat tersebut.
33
Melalui surat bertarikh 04.10.2021 yang dikeluarkan oleh ARH bagi pihak Plaintif, Plaintif telah menyatakan, antara lainnya, seperti berikut:
33
33.1 Bahawa Defendan Pertama telah menanggalkan dan membawa keluar Kabel Penyambung tersebut daripada Hartanah tersebut yang mana Kabel Penyambung tersebut bukan sebahagian daripada item yang dibenarkan untuk dibawa keluar daripada kilang tersebut;
33
33.2 Bahawa Defendan Pertama telah dimaklumkan secara spesifik oleh wakil ARH semasa lawatan tapak bertarikh 10.04.2021 bersama-sama dengan wakil BWYS bahawa Kabel Penyambung tersebut tidak boleh ditanggalkan dan dibawa keluar;
33
33.3 Bahawa sekiranya Defendan Pertama gagal untuk membaik pulih situasi tersebut, Plaintif akan mengambil tindakan yang perlu bagi menuntut sebarang ganti rugi daripada Defendan Pertama.
34
Defendan Pertama kemudiannya telah menghantar satu surat bertarikh 12.10.2021 yang mana Defendan Pertama menyatakan seperti berikut:
34
34.1 Defendan Pertama hanya membawa keluar kabel yang bersambung dengan Mesin & Peralatan Berat tersebut;
34
34.2 Dalam apa jua keadaan, Kabel Penyambung tersebut bukan kepunyaan Plaintif sebaliknya telah dipasang oleh penyewa terdahulu yang mana hak pemilikan telah diambil alih oleh Defendan Kedua. Oleh itu, hanya Defendan Kedua yang berhak membuat sebarang aduan;
34
34.3 Wakil ARH telah menyaksikan kerja-kerja membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut termasuk juga Kabel Penyambung tersebut dan tidak membuat sebarang bantahan;
34
34.4 Bahawa Kabel Penyambung tersebut dibawa keluar berdasarkan kepada pembelian Mesin & Peralatan Berat tersebut daripada Defendan Kedua dan oleh itu, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan hubungan di antara Defendan Pertama dan Plaintif.
35
Plaintif kemudiannya, telah mengeluarkan Notis Tuntutan melalui Tetuan Zaid brahim & Co kepada Defendan Pertama pada 05.01.2022 bagi menuntut Jumlah Ganti Rugi tersebut (selepas ini dirujuk sebagai “Notis Tuntutan tersebut”).
36
Defendan Pertama telah melalui Tetuan BH Koh, Soong, Zarin & Partners, membalas Notis Tuntutan tersebut dengan mengeluarkan surat bertarikh 25.01.2022 dan menyatakan antara lainnya, Defendan Pertama tidak menerima arahan daripada Plaintif dan hanya bertindak seperti yang dibenarkan oleh Defendan Kedua. D. ISU-ISU UNTUK DIBICARAKAN (ANTARA PLAINTIF
37
Samada tindakan Defendan yang mengeluarkan kabel penyambung terjumlah kepada satu perbuatan tort konversi terhadap Plaintif?
38
Samada Plaintif berhak menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap Defendan yang dinyatakan dalam relief-relief di Perenggan 57 di Pernyataan Tuntutan Terpinda?
39
Beban Pembuktian di dalam kes sivil adalah sentiasa di atas bahu Plaintif di atas imbangan kebarangkalian.
40
Rujukan dibuat kepada peruntukan seksyen 101–103 Akta Keterangan 1950 seperti berikut: “Section 101. Burden of proof.
1
Whoever desires any court to give judgment as to any legal right or liability, dependent on the existence of facts which he asserts, must prove that those facts exist.
2
When a person is bound to prove the existence of any fact, it is said that the burden of proof lies on that person. Section 102. On whom burden of proof lies. The burden of proof in a suit or proceeding lies on that person who would fail if no evidence at all were given on either side. Section 103. Burden of proof as to particular fact. The burden of proof as to any particular fact lies on that person who wishes the court to believe in its existence, unless it is provided by any law that the proof of that fact shall lie on any particular person”. UNDANG-UNDANG BERKENAAN TORT KONVERSI
41
Mahkamah Rayuan di dalam kes OSK TRUSTEE BHD & ANOR v. METROPLEX HOLDINGS SDN BHD [2019] 10 CLJ 1 telah membuat rujukan kepada Halsbury’s Laws of Malaysia dalam memutuskan bagaimana tort konversi boleh dilakukan: “Conversion exists in three forms. The first consists of a positive wrongful act of dealing with the goods in a way which is inconsistent with the rights of the owner, and an intention in so doing to deny the owner's rights or to assert a right inconsistent with them. This inconsistency with the owner's rights provides the basis of the action. There need not be any knowledge on the part of the person sued that the goods belong to someone else; nor need there be any positive intention to challenge the true owner's rights. The action is not one in which fraud is a necessary ingredient, although a conversion may involve a fraud. Goods may be the subject of successive and independent conversions by persons dealing with them in such a manner and with such an intention. The second form of conversion relates to the defendant wrongfully detaining the goods of the plaintiff. The normal method of establishing a wrongful detention is to show that the plaintiff made a demand for the return of the goods and that the defendant refused after a reasonable time to comply with that demand. In many cases this form of conversion will coincide the first. The third form of conversion is committed where goods are wrongfully disposed of by the defendant.”
42
YA Mary Lim JCA telah menyatakan di dalam kes OSK TRUSTEE BHD & ANOR v. METROPLEX HOLDINGS SDN BHD (supra) berkenaan dengan Tort Konversi seperti berikut:
1
“The essence of the tort of conversion is the wrongful appropriation of another’s chattels. Further, it is conversion when there is lack of mandate or authorisation before the goods of another are taken, detained, sold or dealt with in such a manner as to usurp the rights, title, ownership or possession of the other. However, not every intromission amounts to conversion. If the appellants act in relation to the goods would be justified or excusable in a person who knew he was not dealing with his own property, it is not conversion. (paras 28 & 29)
2
The rules on how the tort of conversion exists are clear and consistent in that the action lies only where it can be proved that the claimant has possession or a right to immediate possession of the goods in issue. The burden is on the plaintiff to prove that it is his chattel which has been converted; that the chattels or goods which form the subject matter of the tort are the plaintiff’s; and not the other way round. It is also the plaintiff’s burden to prove that he has the necessary right to sue for the tort of conversion and seek the particular remedies set out in the statement of claim. (padas 32 & 43).”
43
Berdasarkan kepada otoriti-otoriti di atas, untuk membuktikan tort konversi, Plaintif memikul beban atas imbangan kebarangkalian untuk membuktikan bahawa: a) Plaintif adalah pihak yang mempunyai hak dan/ atau pemilik kepada sesuatu harta yang menjadi subjek pertikaian; b) Defendan mempunyai niat untuk mengubah dan/atau menukar kepenggunaan ke atas sesuatu harta yang menjadi subjek pertikaian yang mana perbuatan Defendan telah menghalang dan/atau menafikan hak Plaintif ke atas sesuatu harta yang menjadi subjek pertikaian; c) Perbuatan Defendan seperti yang disebutkan di atas telah menyebabkan kerugian kepada Plaintif.
44
Plaintif telah memanggil 3 saksi Plaintif dan Defendan Pertama memanggil seorang saksi di dalam perbicaraan ini seperti berikut: Saksi Plaintif: SP1 - Mardiana binti Ishak SP2 - Pee Lai Meng SP3 - Husin Bin Jidin Saksi Defendan Pertama SD1-1 - Ow Kok Chee Saksi Defendan Kedua SD2-1 - Harman bin Saringat SD2-2 - Asamawi bin Sulaiman
45
Setelah meneliti keterangan saksi-saksi, eksibit-eksibit yang dikemukakan, dan hujah-hujah kesemua pihak, di atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah mendapati bahawa: 1) Defendan Pertama mendakwa kabel-kabel penyambung tersebut adalah sebahagian daripada Mesin dan Peralatan Berat yang dibeli daripada Defendan Kedua. Walaubagaimanapun, merujuk kepada dokumentasi, kabel-kabel tersebut tidak disenaraikan di dalam Letter of Offer dan senarai Invois barangan-barangan yang dijual oleh Defendan Kedua kepada Defendan Pertama. 2) Saksi Defendan Kedua En. Harman semasa Pemeriksaan Balas bersetuju bahawa Defendan Kedua bukan pemilik kepada apa-apa kabel dan tidak menjual apa-apa kabel dalam Kilang tersebut kepada Defendan Pertama: “ALA : Baik. Jadi, ok. Cadangan saya, kita dah lihat dokumen-dokumen ini. Jadi, cadangan saya, En Harman boleh setuju tak setuju. Apa sahaja kabel-kabel yang berada di dalam kilang tersebut, ya, memandangkan ianya memenangkan [10:21:47AM], ianya bukan sebahagian daripada lampiran daripada perintah Mahkamah, ianya bukan milik syarikat Defendan Kedua apa sahaja kabel kat kilang. Setuju? HARMAN : Setuju. ALA : Baik. Jadi, memandangkan syarikat Defendan Kedua bukan pemilik kepada apa-apa kabel di dalam kilang tersebut, syarikat Defendan Kedua, PLC tak boleh bagi apa-apa arahan atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk bawa keluar apa-apa kabel. Setuju? HARMAN : Setuju.” 3) Daripada keterangan saksi-saksi dan eksibit-eksibit yang dikemukakan, kabel-kabel tersebut dipasang oleh penyewa-penyewa lama hartanah tersebut. Apabila Plaintif mengambil milikan hartanah tersebut, Plaintif memiliki segala yang ada di hartanah tersebut kecuali dapat dibuktikan sebaliknya oleh pihak-pihak yang berkenaan, seperti Defendan Kedua. 4) Memandangkan kabel-kabel yang berada di dalam kilang milikan Plaintif tersebut, dan bukan dimiliki oleh Defendan Kedua, maka Defendan Kedua tidak boleh menjual sesuatu yang bukan milikan beliau kepada Defendan Pertama, maxim Nemo dat quod non habet terpakai. 5) Defendan Pertama telah mengaku di dalam Pembelaan dan keterangan bahawa Defendan Pertama telah membawa keluar Mesin dan Peralatan Berat tersebut Bersama dengan kabel penyambung: Perenggan 23(viii) Pembelaan Defendan Pertama “Semasa D1 mengeluarkan Mesin dan Peralatan Berat tersebut termasuk kabel penyambung, perkara ini adalah disaksikan wakil D2 dan Plaintif dan kedua-dua tidak pernah membuat sebarang bantahan” 6) Adalah prinsip undang-undang yang mantap bahawa pihak-pihak adalah terikat dengan pliding mereka. Rujukan dibuat kepada kes MOK SIOU MIN v. HAMPSHIRE RESIDENCES MANAGEMENT CORPORATION & ORS [2018] 1 LNS 333 dimana Mahkamah Tinggi telah merujuk kepada ratio oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes Saiman bin Umar v. Lembaga Pertubuhan Peladang and another appeal [2015] 9 CLJ 153. 7) SD1-1 semasa memberi keterangan melalui penyata saksinya juga telah mengakui bahawa Defendan Pertama telah mengeluarkan kabel-kabel yang bersambung dengan Mesin & Peralatan Berat tersebut: “18 : … Defendan Pertama hanya terima arahan dari Defendan Kedua tentang apa yang boleh ditanggalkan dan dibawa keluar dari premis Plaintiff. Kabel-kabel yang ditanggalkan adalah dipasang pada mesin-mesin tersebut dan bukannya milik premis tersebut…” 8) Selanjutnya Mahkamah mendapati surat bertarikh 28.04.2021 juga hanya membenarkan pengeluaran Mesin & Peralatan Berat yang disenaraikan dalam Lampiran A, dan kabel penyambung tidak termasuk di dalam senarai tersebut. 9) Perbuatan Defendan Pertama sedemikian sememangnya akan menyebabkan kerugian kepada Plaintif. 10) Oleh yang demikian, di atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah Berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Defendan Pertama.
46
Samada Plaintif berhak menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan terhadap Defendan yang dinyatakan dalam relief-relief di Perenggan 57 di Pernyataan Tuntutan Terpinda?
i
Ganti Rugi Khas RM800,000 Mahkamah mendapati Plaintif telah gagal membuktikan gantirugi khas RM800,000 secara ketat. Oleh yang demikian, tuntutan ganti rugi khas ditolak. Ini kerana: a) Plaintif mendakwa telah membayar RM800,000 kepada BWYS sebagai pampasan. b) Walaubagaimanapun, bukti yang dikemukakan oleh Plaintif hanyalah dokumen pemindahan wang tanpa pengesahan penerimaan. Dokumen tersebut juga hanya ditanda sebagai “ID” sahaja dan bukannya eksibit. c) Tiada saksi daripada BWYS dipanggil. d) Quatation kabel “P2” yang dikemukakan ialah menurut keperluan BWYS, yang termasuk penambahbaikan. e) Tiada bukti terperinci kos pemasangan semula kabel dikemukakan. f) Prinsip undang-undang menetapkan bahawa ganti rugi khas mesti dibuktikan secara ketat. g) Sekiranya barayan Plaintif kepada BWYS benar, tiada bukti bahawa kesemua RM800,000.00 tersebut dibayar berkenaan dengan kehilangan kabel penyambung tersebut. h) Ini kerana Perjanjian antara Plaintif dan BWYS hanya ditandatangani pada 1.7.2021. i) Defendan Pertama telah menjalankan kerja-kerja fasa pertama membawa keluar Mesin & Peralatan Berat tersebut bermula pada tarikh 18.05.2021 sehingga 22.05.2021 secara berperingkat dengan kehadiran wakil daripada Amanah Raya Hartanah Sdn Bhd (ARH) dan Defendan Kedua. j) Semasa SP1 memberi keterangan, SP1 mengesahkan bahawa klausa 8.1 Perjanjian S&P antara Plaintif dan BWYS berkenaan penjualan kilang memperuntukan bahawa “vendor tidak warrant wiring dan piping” dan menjual kilang tersebut atas dasar “as is where is”. k) Oleh yang demikian, jika berdasarkan terma-terma Perjanjian S&P tersebut, BWYS hendaklah menerima hartanah tersebut dalam keadaan “as it where is” dan ia tidak termasuk wiring atau kabel. l) Oleh yang demikian, gantirugi sebanyak RM800,000.00 ditolak oleh Mahkamah. ii) Ganti Rugi Am m) Walaupun jumlah RM800,000 tidak dibuktikan, Mahkamah mendapati bahawa tindakan Defendan Pertama membawa keluar kabel penyambung yang bukan milik atau haknya, menyebabkan kerugian kepada Plaintif. n) Dalam menilai gantirugi Am yang berpatutan, Mahkamah telah mengambil kira bahawa:
i
Keterangan saksi Plaintif menunjukkan bahawa kabel-kabel tersebut telah dipasang lama, sekurang-kurangnya DB Board dipasang sejak tahun 2007.
II
(ii) Jumlah kabel yang dikeluarkan tidak dapat dikenalpasti. Walaupun Plaintif berhujah bahawa tanggungjawab telah beralih kepada Defendan Pertama, Mahkamah mendapati kabel tersebut dikeluarkan di bawah pengawasan Bersama pegawai atau lantikan pengawal keselamatan oleh Plaintif.
III
(iii) Quatation kabel “P2” yang dikemukakan ialah menurut keperluan BWYS, yang termasuk penambahbaikan.
IV
(iv) Semasa SP1 memberi keterangan, SP1 mengesahkan bahawa klausa 8.1 Perjanjian S&P antara Plaintif dan BWYS berkenaan penjualan kilang memperuntukan bahawa “vendor tidak warrant wiring dan piping” dan menjual kilang tersebut atas dasar “as is where is”. Oleh itu, pampasan yang Plaintif perlu bayar kepada BWYS tidak boleh menjadi asas dalam menilai gantirugi Am yang perlu dibayar.
v
Defendan Pertama telah membeli mesin dan peralatan daripada Defendan Kedua sebanyak RM680,000.00. Defendan Pertama juga telah membeli saki baki barangan di hartanah tersebut daripada Plaintif sebanyak RM105,000.00.
VI
(vi) Defendan Pertama telah menjual sebahagian Mesin dan Peralatan Berat yang dibeli daripada Defendan Kedua kepada BWYS. Antaranya “Gunset & Panel without cable” sebanyak RM 125,000.00. Rujuk Ikatan Dokumen Bersama bertanda “B”, di muka surat 165.
VII
(vii) Oleh itu, adalah jelas kabel penyambung tersebut bukan sesuatu yang “attach” dengan Mesin dan Peralatan Berat tersebut menurut dakwan Defendan Pertama, dan juga ialah sesuatu yang bernilai.
VIII
(viii) Mengambil kira faktor-faktor di atas, Mahkamah dengan itu mengawardkan ganti rugi am secara global sebanyak RM150,000.00 terhadap Defendan Pertama, yang mana Mahkamah berpendapat adalah munasabah dan tidak keterlaluan bagi kedua-dua pihak. iii) Ganti Rugi Teruk dan Teladan
47
Mahkamah mendapati Plaintif gagal membuktikan bahawa perbuatan Defendan Pertama mengeluarkan kabel penyambung dilakukan dengan berniat jahat, menindas atau dengan niat memperkayakan diri sendiri secara tidak wajar. Malahan seperti dakwaan Defendan Pertama, pengeluaran kabel tersebut dilakukan di bawah pengawasan pegawai dan/ atau pengawal keselamatan yang turut dilantik oleh Plaintif dan Defendan Kedua. Oleh itu, tuntutan ganti rugi teruk dan teladan ditolak.
48
Setelah meneliti keterangan saksi-saksi, eksibit-eksibit yang dikemukakan, dan hujah-hujah kesemua pihak, di atas imbangan kebarangkalian, Mahkamah mendapati bahawa Plaintif telah Berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Defendan Pertama. Oleh yang demikian, tuntutan Plaintif terhadap Defendan Pertama dibenarkan seperti berikut: i. Ganti rugi khas, gantirugi teruk dan teladan ditolak; ii. Ganti rugi am RM150,000 diberikan terhadap Defendan Pertama; iii. Faedah 5% setahun atas jumlah penghakiman dari tarikh penghakiman hingga penyelesaian penuh; dan iv. Kos terhadap D1 mengikut skala tetap. Bertarikh pada 28 Jun 2026 (OOI SHEOW YEAN) Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth Pulau Pinang. Peguam Plaintif: TETUAN YUSFARIZAL AZIZ & ZAID, Unit No. 01-26 & 01-27, Maxim Citylights Sentul, No. 25, Jalan Sentul Perdana, 51000 Kuala Lumpur. Peguam Defendan Pertama: Tetuan BH Koh, Soong, Zarin & Partners No. 1A & 3A, Medan Istana 2, Bandar Ipoh Raya, 3000 Ipoh, Perak.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.