Lampiran
Lampiran 79 – Rayuan JD terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang diberikan pada 28 haribulan November 2024 yang memutuskan bahawa permohonan Saman Dalam Kamar oleh JD untuk mengenepikan BN dan CP dilampiran 50 ditolak dengan kos sebanyak RM1,000.00. ii. Lampiran 80 – Rayuan JD terhadap keputusan Penolong Kanan Pendaftar yang diberikan pada 28 haribulan November 2024 yang memutuskan bahawa permohonan Saman dalam Kamar oleh JC dilamp. untuk meminda jumlah tuntutan JC terhadap JD dalam BN dan CP dibenarkan tanpa kos. 3. Pada 9.3.2026, Mahkamah ini telah memutuskan bahawa kedua-dua Notis Rayuan Kepada Hakim Dalam Kamar dikemukakan oleh JD dilamp. 79 dan 80 ditolak dengan kos. JD yang tidak berpuashati dengan keputusan tersebut telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan sebagaimana lampiran-lampiran dibawah: i. Lampiran 103 – Notis Rayuan oleh JD terhadap keputusan Mahkamah ini yang menolak rayuan JD terhadap keputusan PKP bertarikh 28.11.2024 yang menolak permohonan JD dilampiran 50. ii. Lampiran 104 – Notis Rayuan oleh JD terhadap keputusan Mahkamah ini yang menolak Notis Rayuan Kepada Dalam Kamar yang dikemukakan oleh JD terhadap keputusan PKP bertarikh 28.11.2024 yang telah membenarkan permohonan JC dilamp. 51. 4. Untuk kemudahan, memandangkan kedua-dua rayuan di atas adalah berkenaan pihak-pihak dan perkara yang sama, maka kedua-dua rayuan tersebut akan dibincangkan secara bersekali dalam alasan penghakiman ini. LATAR BELAKANG KES 5. Dalam tindakan ini, Notis Kebankrapan (BN) terhadap JD adalah berdasarkan satu penghakiman muktamad yang telah diperolehi oleh JC melalui satu tindakan sivil yang dimulakan oleh JC terhadap JD di Mahkamah Sesyen iaitu BA-B54-18-08/2021. Antara terma-terma penghakiman muktamad tersebut adalah: i. Plaintif/JC diberikan milikan kosong hartanah yang dipegang di bawah H.S (D) 239855, PT1014m Seksyen 24, Bandar Shah Alam; ii. Jumlah faedah sebanyak RM268,536 setakat 31.8.2021 dan berterusan; iii. Jumlah kutipan sewa sebanyak RM335, 806 setakat 31.8.2021 dan berterusan. iv. Kos. 6. JD yang tidak berpuashati dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang membenarkan penghakiman Muktamad tersebut telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan pihak JD. Masih tidak berpuashati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuannya, JD telah memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Rayuan. 7. Mahkamah Rayuan mengekalkan hampir keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen kecuali pada bahagian berikut: i. Perenggan 5 penghakiman bertarikh 8.12.2021 dimana jumlah sewa yang dibenarkan adalah untuk tahun 2021 sahaja. ii. Perenggan 7 mengenai kos juga tidak dibenarkan. 8. Ekoran dari keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, terdapat perubahan pada jumlah tuntutan pihak JC terhadap JD seperti yang tercatit di dalam BN dan CP. Atas alasan tersebut, JC telah memfailkan permohonan Saman Dalam Kamar di lamp. 51 untuk meminda jumlah tuntutan berkenaan bagi memastikan jumlah yang dituntut adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan. 9. Pada masa yang sama, JD telah memfailkan permohonan Saman Dalam Kamar lamp. 50 untuk mengenepikan BN dan CP atas alasan jumlah yang dituntut dalam kedua-dua dokumen tersebut adalah tidak tepat dan berlebihan. Seperti yang telah dinyatakan di atas, PKP telah membenarkan permohonan pindaan JC dilampiran 51 dan menolak permohonan JD dilampiran 50. 10. JD yang tidak berpuashati dengan kedua-dua keputusan tersebut telah memfailkan Notis Rayuan Kepada Hakim Dalam Kamar (lamp. 79 dan 80) dan kedua-dua notis rayuan tersebut telah ditetapkan untuk pendengaran dihadapan Mahkamah ini. Setelah Mahkamah ini meneliti kedua-notis rayuan tersebut, Mahkamah memutuskan bahawa kedua-dua notis rayuan tersebut ditolak dengan kos. Berikut adalah alasan-alasan terhadap keputusan Mahkamah ini. 11. Isu-isu yang dibangkitkan oleh JD i. JD membangkitkan isu bahawa penghakiman muktamad yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tidak lagi berkuatkuasa apabila Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian daripada rayuan JD. Kesan daripada perintah Mahkamah Rayuan, terdapat perubahan pada jumlah yang dituntut oleh JC didalam BN dan CP. Oleh itu, JD mendakwa bahawa kedua-dua BN dan CP adalah defektif dan layak untuk diketepikan. ii. Ini adalah kerana BN telah dikeluarkan berdasarkan kepada jumlah penghakiman yang tidak tepat kerana jumlah tersebut tidak mencerminkan jumlah keberhutangan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. CP yang dikeluarkan berdasarkan perbuatan kebankrapan dari kemungkiran JD terhadap BN tersebut juga turut menjadi satu dokumen yang tidak teratur. iii. Tindakan yang sepatutnya diambil oleh JC berikutan dengan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut adalah dengan menarik balik tindakan kebankrapan terhadap JD. 12. Isu-Isu yang dibangkitkan oleh JC i. JC mengakui keputusan Mahkamah Rayuan telah mengubah jumlah yang terhutang dan menjadikan jumlah tersebut berbeza dengan jumlah yang tercatit pada penghakiman muktamad yang menjadi asas kepada pengeluaran BN. ii. Bagaimanapun, JC berhujah bahawa perbezaan tersebut tidak menjadikan BN dan CP sebagai tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasa. iii. Terdapat peruntukan yang jelas yang membenarkan pihak JC untuk meminda jumlah yang terdapat dalam BN dan CP supaya jumlah tuntutan tersebut menyamai jumlah yang dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan. JC juga berhujah bahawa pindaan tersebut boleh dibenarkan selagi mana pindaan tersebut tidak bersifat mala fide dan memprejudiskan pihak JD. iv. Atas alasan tersebut, JC telah memasukkan permohonan Saman Dalam Kamar lamp. 51 untuk meminda jumlah yang tercatit dalam BN dan CP untuk menjadikan jumlah tersebut selari dengan perintah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. DAPATAN MAHKAMAH 13. Meneliti keterangan-keterangan dan fakta-fakta yang dikemukakan, Mahkamah berpandangan bahawa persoalan-persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah ini adalah: i. Sama ada JC boleh dibenarkan untuk meminda jumlah keberhutangan yang tercatat dalam BN dan CP berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang telah membenarkan sebahagian rayuan JD sehingga mengurangkan jumlah tuntutan asal yang tercatat dalam dokumen-dokumen tersebut. ii. Sama ada berikutan berlakunya perbezaan jumlah yang terhutang dalam BN dan CP tersebut telah menjadikan dokumen-dokumen berkenaan defektif dan boleh diketepikan. 14. Isu pertama yang perlu diputuskan iaitu sama ada JC boleh memohon untuk meminda jumlah tuntutan yang terdapat pada BN dan CP untuk mencerminkan jumlah penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan yang sedikit berbeza berbanding jumlah penghakiman asal. 15. Secara prinsipnya, Mahkamah mempunyai budibicara untuk meminda mana-mana dokumen bertulis di dalam prosiding kebankrapan i.e. Notis Kebankrapan atau Petisyen Pemiutang selagi mana pindaan tersebut tidak mengubah dokumen-dokumen tersebut secara substantial dan tidak memprejudiskan JD. 16. Mahkamah merujuk kepada s 93(3) of the Insolvency Act 1967 yang menyebut: “ 3) The court may at any time amend any written process or proceeding upon such terms, if any, as it thinks fit to impose.” 17. Persoalan yang harus diputuskan adalah sama ada pindaan yang dipohon oleh JC dalam permohonan Saman Dalam Kamarnya dilampiran 51 adalah satu permohonan pindaan yang substansial sehingga mengubah karekter dokumen-dokumen tersebut. JD menyatakan bahawa pindaan kepada jumlah tuntutan di BN dan CP adalah satu perubahan ketara yang menjadikan dokumen-dokumen berkenaan menjadi tidak teratur dan wajar diketepikan. 18. Meneliti fakta-fakta yang dikemukakan, Mahkamah menolak dakwaan JD. Sebaliknya, Mahkamah mendapati bahawa pindaan yang dipohon oleh pihak JC adalah satu pindaan yang wajar dibenarkan kerana ianya tidak menukar intipati atau “substance” BN dan CP tersebut. 19. Mahkamah ini mendapati Mahkamah Rayuan tidak mengenepikan penghakiman muktamad yang dimasukkan oleh Mahkamah Sesyen secara keseluruhannya. Berdasarkan terma-terma perintah Mahkamah Rayuan, terma-terma utama penghakiman muktamad berkenaan masih dikekalkan. Dibawah perintah Mahkamah Rayuan, JD masih bertanggungan untuk membayar sejumlah pembayaran kepada JC seperti kutipan sewa dan faedah seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen. 20. Perbezaaannya adalah, Mahkamah Rayuan hanya membenarkan kutipan tunggakan sewa untuk tahun 2021 sahaja, berbanding dengan terma di dalam Penghakiman Muktamad yang membenarkan tunggakan sewa untuk jangka tempoh yang lebih lama. Mahkamah ini berpandangan bahawa perbezaan ini hanya merujuk kepada jumlah tuntutan sahaja dan tidak mengubah sifat dan terma yang termaktub dalam penghakiman muktamad tersebut, iaitu JD masih bertanggungan untuk membayar sejumlah wang kepada JC walaupun dalam jumlah yang berkurangan. 21. Atas alasan tersebut, Mahkamah berpandangan bahawa pindaan yang dipohon bagi mencerminkan pengurangan jumlah ini tidak memprejudiskan atau menyebabkan sebarang ketidakadilan yang ketara kepada JD. Ini adalah kerana, perintah Mahkamah Rayuan tidak sekali-kali melepaskan JD daripada tanggungan untuk membuat pembayaran kepada JC. 22. Mahkamah merujuk kepada seskyen 131 Insolvency Act yang berbunyi: “Formal defect not to invalidate proceedings No proceeding in bankruptcy shall be invalidated by any formal defect or by any irregularity, unless the court before which an objection is made to the proceeding is of opinion that substantial injustice has been caused by the defect or irregularity and that the injustice cannot be remedied by any order of that court.” 23. Peruntukan di atas jelas menyatakan bahawa sebarang kecacatan formal atau ketidakteraturan kepada mana-mana prosiding kebankrapan tidak menjadikan prosiding tersebut tidak sah sekiranya Mahkamah berpandangan bahawa kecacatan atau ketidakteraturan tidak menyebabkan ketidakadilan yang jelas dan ketara atau memprejudiskan pihak JD. (Rujuk kes Ambank (M) Bhd v Lim Sue Beng [2019] 4 MLJ 701) 24. Dalam tindakan ini, Mahkamah berpandangan bahawa pindaan yang dipohon oleh JC tidak menyebabkan sebarang ketidakadilan yang tidak boleh diperbaiki kepada JD. Mahkamah juga berpendapat pindaan tersebut tidak bersifat mala fide. Ini adalah kerana perintah Mahkamah Rayuan hanya membawa sedikit perubahan kepada amaun yang perlu dibayar. Malah, keputusan Mahkamah Rayuan tersebut telah mengesahkan bahawa JD masih berhutang dengan JC, hanya dengan kuantum yang diselaraskan. Pihak JD juga tidak pada bila-bila masa telah dikelirukan berkenaan dengan pengurangan jumlah hutang tersebut. 25. Pada masa yang sama, jumlah tuntutan tersebut juga masih melepasi had semasa untuk memfailkan petisyen kebankrapan terhadap seseorang individu di Malaysia, i.e. melebihi RM100,000. (rujuk s 5(1)(a) Insolvency Act 1967). 26. Atas alasan-alasan di atas, Mahkamah memutuskan untuk mengekalkan keputusan PKP terpelajar yang telah membenarkan permohonan JC untuk meminda jumlah tuntutan tersebut. 27. Untuk Isu kedua, JD mendakwa perubahan jumlah yang terhutang dalam BN dan CP berikutan perintah Mahkamah Rayuan tersebut telah menjadikan BN dan CP defektif dan boleh diketepikan. 28. Berdasarkan alasan-alasan yang telah dibincangkan di atas, Mahkamah turut berpandangan bahawa perubahan pada jumlah tuntutan di dalam BN tidak menjadikan BN dan CP defektif. Oleh itu, Mahkamah berpandangan bahawa keputusan PKP yang telah menolak permohonan JD untuk mengenepikan BN dan CP adalah keputusan yang telah dibuat bersandarkan prinsip-prinsip undang-undang yang terpakai dan wajar dikekalkan. KONKLUSI 29. Berdasarkan alasan-alasan di atas, Mahkamah ini memutuskan atas imbangan kebarangkalian bahawa kedua-dua Notis Rayuan Kepada Hakim Dalam Kamar dilampiran 103 dan 104 ditolak dengan kos. Bertarikh : 04 Jun 2026 WAN FADHILAH NOR BINTI WAN IDRIS HAKIM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM SELANGOR DARUL EHSAN Bagi pihak Perayu : Encik Ambbi Balakrishnan Tetuan Ambbi Balakrishnan & Associates Bagi pihak Responden : Encik Mugilan Chandran Tetuan Gurmit Sodhi Chambers