Preamble
Menurut versi plaintif, kemalangan tersebut berlaku semasa beliau sedang menunggang motorsikal tersebut dari Pasir Mas ke Tanah Mrerah apabila sebuah motokar yang dipandu oleh defendan datang dari arah bertentangan, memotong kenderaan lain di hadapan defendan dan memasuki laluan sah plaintif. Defendan kemudian melanggar sisi motorsikal plaintif dan telah menyebabkan berlaku kemalangan. [7] Defendan pula di dalam keterangannya [SD3], mengatakan bahawa kemalangan tersebut berlaku semasa beliau memandu motokar beliau dari arah Kuala Krai ke Rantau Panjang. Apabila sampai di Kg. Galok, tiba-tiba motorsikal yang ditunggang oleh plaintif datang dari arah hadapan bersama dengan 5 buah motorsikal yang lain. Motorsikal yang ditunggang oleh plaintif berada di garisan tengah jalan dan telah melanggar mud guard kanan bahagian depan motokar yang dipandu oleh plaintif. [8] Adalah tidak dipertikaikan bahawa plaintif, semasa kemalangan berlaku, tidak mempunyai lesen memandu yang sah. [9] Setelah menimbang keterangan pihak-pihak, keterangan SP1, Sjn Maziah Mohamad selaku penolong pegawai penyiasat trafik IPD 4 Pasir Mas dan juga keterangan senyap yang lain, HMS yang bijaksana telah membuat dapatan bahawa liabiliti ialah 80% terhadap defendan. [10] Alasan yang dikemukakan oleh HMS yang bijaksana adalah seperti berikut. [11] Harus diingat bahawa versi plaintif dan defendan adalah bertentangan di antara satu dan yang lain. Plaintif mengatakan bahawa defendan memasuki laluannya yang sah lalu menyebabkan pelanggaran dan defendan pula mengatakan sebaliknya, iaitu plaintif telah memasuki ke dalam laluannya yang sah. [12] Melalui keterangan SP1, kerosakan yang dialami oleh kenderaan terbabit adalah seperti berikut. Motorsikal plaintif mengalami kerosakan penghadang angin pecah, lampu hadapan pecah dan handle bengkok. Manakala kerosakan yang dialami oleh motokar defendan ialah kerosakan kemek mud guard depan kanan, tayar depan kanan pecah, pintu depan kanan kemek, fender kemek, cermin depan pecah dan cermin pintu depan kanan pecah. [13] Menurut HMS yang bijaksana, keterangan senyap ini menyokong versi plaintif kerana kerosakan kepada motokar defendan menyokong bahawa impak berlaku kepada sisi kanan plaintif. [14] HMS mengambil maklum bahawa plaintif di dalam keterangannya mengatakan bahawa defendan datang dari arah bertentangan telah: 5 Memotong motokar yang berada di hadapannya lalu memasuki ke laluan saya dan melanggar sisi kanan saya. Akibat dari itu saya terjatuh dan tidak sedarkan diri. HMS yang bijaksana seterusnya mendapati bahawa pengataan plaintif di atas isu ini tidak diperiksa balas oleh peguam defendan. Kegagalan untuk memeriksa balas di atas satu keterangan yang penting, menurut HMS yang bijaksana boleh dianggap sebagai satu penerimaan kepada keterangan tersebut; Noor Azahar Habin v Rajaswari Sithampara Pillay & Anor [1991] 3 CLJ Rep 339. [15] Selain daripada itu, plaintif juga di dalam keterangannya telah membuat tandaan “X” di titik pertembungan yang ditandakan sebagai Eksh P1 dan P1k. Tandaan titik pertembungan versi plaintif ini tidak pernah dicabar oleh peguam defendan semasa pemeriksaan balas. Rujukan di buat kepada kes Ooi Cheng Huat lwn. Koek Choo Heng & 1 Lagi [2017] 1 LNS 557 di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa apabila plaintif telah membuat tandaan "X" di tempat pelanggaran dan ia tidak dicabar oleh defendan maka Mahkamah menganggap ianya sebagai satu pengakuan oleh defendan. [16] HMS juga membuat dapatan bahawa keterangan defendan, SD3, sebagai tidak konsisten. Sebagai contoh, di dalam laporan polis defendan iaitu Eksh D16, defendan mengatakan bahawa motorsikal plaintif datang dari arah hadapan dan masuk laluannya. Di dalam keterangan lisannya pula, SD3 mengatakan motorsikal 6 yang ditunggang oleh plaintif datang dari arah kehadapan dan di atas garisan tengah jalan “bersama lebih kurang 5 buah motorsikal yang lain lagi”. [17] Berkaitan dengan ini, HMS yang bijaksana juga membuat dapatan bahawa kes defendan ini tidak diplidkan di dalam Pembelaan. [18] Berhubung dengan skop sumbang cuai, HMS yang bijaksana, setelah merujuk kepada kes Chu Kim Sing & Anot v Abdul Rahman bin Amin [1999] 6 MLJ 433, memutuskan bahawa memiliki lesen memandu atau tidak bukanlah satu faktor kecuaian plaintif. Menurut HMS yang bijaksana faktor sumbang cuai hanya dapat dipertimbangkan jika ada keterangan bahawa plaintif tidak mengambil segala tindakan yang boleh untuk mengelakkan kemalangan. [19] Di dalam dapatan HMS yang bijaksana, plaintif di dalam menunggang motorsikalnya, tidak sepatutnya menghampiri garisan putus-putus. Tindakan plaintif menghampiri garisan putus-putus tersebut boleh dirumuskan bahawa plaintif telah melakukan perbuatan yang boleh menyumbang kepada kemalangan tersebut. [20] Rujukan telah dibuat kepada kes Abdul Khoder bin Shafie v Low Yam Chai [1989] 2 MLJ 483 di mana Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa andai kata plaintif kekal berada di sebelah kiri jalan, kemalangan tersebut dapat dielakkan. [21] Berpandukan kepada kes tersebut, HMS menyimpulkan bahawa sebuah motorsikal perlu ditunggang di tepi jalan dan bukannya di 7 tengah-tengah jalan bagi memberi ruang kepada plaintif untuk mengelak dari berlakunya kemalangan. Menurut HMS, cara tunggangan plaintif iaitu hugging the centre of the road. Ringkasnya, adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa seorang pemandu atau penunggang mesti berupaya untuk menjangka pengguna lain di jalan raya; Chai Phin Chong & Anor v Zainal Abidin Mohd Salleh & Anor [1998] 4 CLJ 833. [22] Oleh itu sebagai kesimpulan di atas, HMS merumuskan bahawa plaintif adalah sumbang cuai sebanyak 20%. Di Mahkamah Tinggi [23] Di hadapan saya, peguam terpelajar defendan menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah khilaf apabila membuat dapatan bahawa kes defendan tidak diplidkan di dalam Pembelaan. Menurut peguam terpelajar jelas samada di dalam pliding atau semasa perbicaraan plaintif telah tidak diperdayakan. Lagipun Pembelaan defendan adalah memadai untuk menjelas isu-isu fakta dan juga memberikan notis yang sewajarnya kepada plaintif; Red and Yellow Omnibus Co Sdn Bhd & Anor v Chuah Lay Boon [1993] 2 CLJ 480. [24] Kedua, menurut peguam terpelajar defendan, telah khilaf apabila gagal membuat apresiasi fakta kepada keterangan SP1, iaitu pegawai penyiasat. Peguam terpelajar seterusnya menghujahkan bahawa tidak terdapat di mana bahagian di dalam keterangan SP1 yang dapat disaring untuk merumuskan bahawa keterangan SP1 menyokong versi plaintif. 8 [25] Ketiga, peguam terpelajar menghujahkan bahawa HMS yang bijaksana telah khilaf apabila dia membuat rumusan yang tidak memihak kepada defendan di atas kelewatan defendan membuat laporan polis yang lewat 3 hari. Menurut peguam terpelajar, kelewatan 3 hari itu telah dijelaskan oleh defendan kerana “musim raya” dan “isterinya sakit perut kerana mengandung 8 bulan”. [26] Keempat, HMS yang bijaksana juga dihujahkan telah khilaf kerana gagal membuat penilaian yang sewajarnya tentang kononnya terdapat perbezaan di antara laporan polis defendan dan keterangan defendan semasa perbicaraan. Menurut peguam terpelajar, laporan polis defendan hanyalah bertujuan untuk memulakan siasatan dan oleh itu undang-undang tidak memerlukan dia menyatakan dengan terperinci tentang bagaimana kemalangan itu boleh berlaku; Chock Kek Ling v Patt Hup Transport Co Ltd & Ors [1966] 1 MLJ 120. [27] Kelima, adalah juga menjadi hujah defendan bahawa HMS yang bijaksana telah khilaf kerana memberikan penekanan yang lebih kepada keterangan lisan plaintif daripada keterangan senyap. Di dalam hujah peguam terpelajar defendan, semasa perbicaraan terdapat dua tandaan dibuat tentang titik pertembungan. Plaintif menandakan impak dengan “X”, manakala defendan membuat tandaan dengan “Y”. [28] Peguam terpelajar seterusnya menghujahkan bahawa jika benar impak itu berlaku di dalam laluan plaintif, maka semestinya serpihan komponen kenderaan berada di dalam laluan plaintif yang sah. Tetapi apa yang dapat dilihat daripada rajah kasar 9 serpihan komponen kenderaan berada di tengah jalan di dalam kawasan A2. [29] Akhirnya, peguam terpelajar defendan juga menghujahkan bahawa keputusan HMS yang bijaksana tidak dapat dipertahankan kerana terdapat kontradiksi di dalam alasan penghakiman beliau. Di dalam satu segi menurut peguam terpelajar, HMS yang bijaksana membuat dapatan bahawa impak tersebut berlaku di tandaan X. Tetapi di dalam masa yang sama, HMS juga mendapati bahawa berlaku sumbang cuai di pihak plaintif. Jika benar impak tersebut berlaku di tandaan X, maka ianya berlaku di dalam kawasan laluan sah plaintif dan dapatan sumbang cuai plaintif tidak dapat dipertahankan. [30] Oleh itu adalah menjadi hujah peguam terpelajar defendan bahawa liabiliti sepatutnya menjadi 50:50 di antara plaintif dan defendan. Analisis dan Dapatan Tentang Liabiliti [31] Berhubung dengan isu pliding, kalaupun saya menerima hujah peguam terpelajar defendan bahawa Pembelaan defendan adalah memadai, dan defendan dibenarkan mengembangkan pembelaan tersebut menerusi keterangan lisan, ia tidak juga dapat membantu kes defendan. [32] Kalau pun kita menerima buat seketika tentang “kehadiran 5 buah motorsikal yang lain lagi” ia tidak membantu apa-apa di dalam menentukan versi mana yang lebih munasabah. 10 [33] Harus diingat bahawa isu di hadapan mahkamah bicara dan juga di hadapan Mahkamah ini ialah versi siapakah yang lebih munasabah. HMS setelah meneliti kedua-dua versi dan keterangan senyap mendapati versi plaintif dan tandaan impak “X” adalah lebih munasabah. [34] Jika dilihat, tandaan “X” adalah lebih jauh dari garisan putus-putus jika dibandingkan dengan tandaan “Y”. Oleh kerana kejadian tersebut berlaku menghampiri garisan putus-putus, adalah tidak mustahil untuk serpihan kenderaan berada di antara laluan A2 dan A3. Dari satu segi ia tidak banyak membantu. [35] Tetapi pada hemat Mahkamah ini, apabila plaintif di dalam keterangannya secara afirmatif membuat tandaan “X” dan dia tidak diperiksa balas tentang posisi tersebut maka HMS adalah tidak khilaf apabila menerima versi plaintif sebagai lebih munasabah. [36] Semasa pemeriksaan balas, plaintif tidak diajukan dengan soalan yang tandaan itu salah. Sebaliknya: P/Dfd: Faham soalan saya? Kita tandakan X di sini ni, adakah daripada ingatan kita sendiri ataupun kita diajar untuk tandakan X di sini? SP3: Ingatan. Dengan lain perkataan, SP3 tidak diajukan dengan soalan pengataan bahawa sebenarnya titik pertembungan tersebut ditempat lain selain daripada X. 11 [37] Sebaliknya, semasa di periksa balas, defendan, SD3 telah diajukan dengan soalan bahawa impak pertembungan tersebut berlaku di tandaan X dan bukan “Y”. P/Pff: Tadi Amil ada tandakan “Y” di tempat kemalangan. Cadangan saya, tempat kemalangan itu sebenarnya di “X”. SD3: Ini “Y” lah. [38] Di dalam kes Ooi Cheng Huat, semasa pemeriksaan utama plaintif telah dirujuk kepada Eksh P1 iatu rajah kasar tempat kemalangan. Di dalam Eksh P1, yang telah dilakarkan oleh SP1, SP1 telah membuat tandaan “X”. Tanda “X” ialah tempat berlakunya kemalangan tersebut. Keterangan ini juga gagal dicabar oleh defendan pertama. Mahkamah Tinggi memutuskan adalah menjadi undang-undang mantap bahawa apa yang tidak dicabar atau dipertikaikan dan diandaikan sebagai diterima oleh pihak yang satu lagi. [39] Dengan hormatnya dapatan Mahkamah Tinggi di dalam kes Ooi Cheng Huat adalah berpaksikan kepada prinsip undang-undang yang jelas. Di dalam kes Soon Peng Yam & Anor v Bank of Tokyo-Mitsubishi (Malaysia) Bhd [2004] 2 MLJ 31 MR, Mahkamah Rayuan memutuskan antara lainnya bahawa kegagalan untuk memeriksa balas di atas satu aspek penting keterangan hendaklah dianggap sebagai penerimaan keterangan tersebut: Alauddin HMR (kemudiannya PMR) membuat pengamatan berikut: 12 “…His evidence was never cross-examined (see p 159 appeal record). Thus it must be accepted that the failure to cross-examine the defendants on important aspects of their evidence must be treated as acceptance of those part of their evidence… [40] Berdasarkan kepada autoriti tersebut dan dengan hormatnya, Mahkamah ini berpendapat bahawa dapatan HMS yang bijaksana bahawa kemalangan tersebut berlaku di tandaan “X” adalah tidak khilaf. Ia tidak diasaskan kepada apresiasi kehakiman yang khilaf yang mewajarkan campur tangan rayuan. [41] Atas alasan-alasan tersebut dapatan HMS yang bijaksana tentang liabiliti adalah disahkan dan rayuan tentang liabiliti adalah ditolak. Rayuan terhadap Kuantum [42] Berhubung dengan rayuan terhadap kuantum, isu utama ialah berhubung dengan prostesis. [43] Di hadapan saya, peguam terpelajar plaintif merujuk kepada kes Wong Kuan Tay v Rohaizad Othman & Anor [2015] 4 CLJ 902 MR. Di dalam kes tersebut, Dalam kes Wong Kuan Kay, Mahkamah Rayuan memutuskan jangka hayat Plaintif adalah selama 30 tahun memandangkan Plaintif berumur 16 tahun pada masa kemalangan. Tuntutan plaintif untuk nursing care, fisioterapi, kos pengangkutan dan diapers adalah sebanyak RM520,800.00. Mahkamah telah menolak 1/3 dari jumlah RM520,800.00 untuk 13 kontingensi menjadikan jumlah yang Plaintif berhak sebanyak RM347,200.00 sahaja. [44] Mahkamah ini dengan hormatnya bersetuju bahawa berlainan dengan Wong Kuan Kay, tuntutan plaintif adalah terhadap kos prostesis bagi amputation of leg, dan bukannya tuntutan nursing care di mana Mahkamah mempunyai budibicara untuk membuat penolakan 1/3 daripada jangka hayat plaintif. [45] Tidak juga ada keterangan di Mahkamah bicara samada melalui laporan pakar plaintif atau defendan bahawa kecederaan yang dialami oleh plaintif akan mengurangkan jangka hayat plaintif yang mewajarkan penggunaan budibicara oleh Mahkamah bicara untuk membuat potongan 1/3 daripada jangka hayat plaintif. [46] Atas dasar itu, Mahkamah ini dengan hormatnya bersetuju dengan HMS yang bijaksana bahawa tidak ada material di hadapan Mahkamah bagi membolehkan Mahkamah menggunakan budi bicara tersebut. [47] Sekali lagi saya katakan bahawa, defendan tidak dapat menunjukkan kepada Mahkamah ini bahawa HMS yang bijaksana telah gagal menggunakan budibicaranya yang mewajarkan satu campur tangan kehakiman. [48] Atas alasan tersebut, rayuan terhadap kuantum juga ditolak dan keputusan Mahkamah Sesyen Pasir Mas dikekalkan. [49] Kos ditetapkan sebanyak RM7,000 tertakluk kepada alokatur. 14 Tarikh: 25 Ogos 2020. (DATO’ WAN AHMAD FARID BIN WAN SALLEH) Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu.