- Court
- Sessions Court of Malaysia
- Decision date
- 24 Dec 2025
- Case number
- WA-B52NCvC-372-08/2023
- Coram
- Puan Siti Fatimah Binti Talib
- Practice area
- 1. Tindakan guaman sivil di hadapan Mahkamah ini berakar umbi daripada pertikaian sivil antara tuan tanah (landlord) dan penyewa (tenant) berkaitan premis perniagaan runcit makanan dan minuman (F&B). Plaintif, Armani Citarasa Sdn Bhd, selaku pemilik dan pengurus kompleks komersial “The Republik” yang terletak di Damansara Heights, Kuala Lumpur, memfailkan tuntutan utama terhadap Defendan, Happy Stan Sdn. Bhd., atas premis pelanggaran material dan repudiasi Perjanjian Sewa. Hubungan kontraktual dan fakta-fakta pokok antara para pihak adalah seperti yang dipersetujui di dalam Fakta-Fakta Dipersetujui yang difailkan pada 6.9.2024 (kandungan 52). 2. Melalui Perjanjian Sewa bertarikh 8 Mei 2022 (Ikatan Dokumen Bersama Bahagian B, muka surat 1-78, “Perjanjian Sewa”), Plaintif telah menyewakan unit runcit komersial yang dikenali sebagai Lot M.06, Tingkat Mezzanine, The Republik, Bukit Damansara, Kuala Lumpur (“Premis Disewa”) kepada Defendan bagi tujuan pengoperasian restoran dan bar di bawah jenama “Happy Stan Bar” (rujuk Fakta Dipersetujui perenggan 4). 3. Tempoh penyewaan yang dipersetujui adalah sewaan untuk tempoh tetap (fixed-term tenancy) selama tiga (3) tahun berturut-turut, bermula dari 8 Mei 2022 dan dijadualkan tamat pada 7 Mei 2025, dengan kadar sewaan bulanan asas yang ditetapkan sebanyak RM8,211.00 (Klausa 4 Perjanjian Sewa dan fakta ini juga telah disahkan oleh SP1 Encik Shamsul Fahmi bin Mohamad Padzli, Pengarah Urusan Plaintif, di dalam Penyata Saksi SP1 (PSP1) di Soalan Jawapan 3). 4. Plaintif mendakwa Defendan telah melakukan beberapa siri pelanggaran waad kontraktual yang fundamental, termasuk bertukar-tukar waktu operasi perniagaan secara sepihak, menutup premis tanpa kebenaran, dan membiarkan bil utiliti elektrik tertunggak sehingga bekalan elektrik dipotong oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mana pemotongan bekalan elektrik telah berlaku pada 3.8.2023. Ini merupakan satu fakta yang juga telah dipersetujui di dalam Fakta-Fakta Dipersetujui di perenggan 6. 5. Tindakan dan/atau perbuatan Defendan ini telah melanggari klausa 8.1(a)(i) Perjanjian Sewa. Plaintif telah bertindak menamatkan Perjanjian Sewa melalui Notis Penamatan bertarikh 15 Ogos 2023 (Ikatan Dokumen Bersama Bahagian B, di mukasurat 142), memasuki semula premis, mengalihkan barangan Defendan, dan menuntut ganti rugi khas serta deklarasi keabsahan penamatan kontrak tersebut. 6. Defendan melalui Pembelaan Terpinda dan Tuntutan Balas Terpinda menafikan sebarang kemungkiran kontrak yang didakwa Plaintif. Defendan dalam pembelaannya menyatakan bahawa penutupan premis dari 2 Ogos 2023 hanyalah bersifat sementara bagi tujuan penstrukturan semula konsep perniagaan (regrouping), dan kontrak masih utuh berikutan sewa bulan Ogos 2023 telah pun dibayar dan dijelaskan sepenuhnya (rujuk Penyata Saksi SD1 (PSD1), Latifrizal Baharein bin Muhammad Ghazali selaku Pengarah Defendan). 7. Defendan kemudian telah memfailkan Tuntutan Balas bukan sahaja terhadap syarikat Plaintif, malah turut mengheret dua orang pekerja Plaintif, iaitu Khairina Izfa binti Abdul Hadi (Defendan Kedua dalam Tuntutan Balas) dan Mohd Azrulfaizal bin Che Seman (Defendan Ketiga dalam Tuntutan Balas) secara peribadi atas tort pencerobohan (trespass) dan konversi aset. Defendan dalam tuntutan balasnya turut memohon ganti rugi kerugian pengubahsuaian sejumlah RM720,000.00 dan kos penggantian aset sejumlah RM300,000.00. 8. Perbicaraan penuh bagi guaman sivil ini telah dijalankan di hadapan Mahkamah ini pada beberapa siri tarikh dan hari perbicaraan melibat 2 orang saksi Plaintif dan 2 orang saksi Defendan. 9. Setelah meneliti keseluruhan dokumen kertas kausa, pliding, dokumen-dokumen ekshibit yang terkandung di dalam Ikatan Dokumen Bersama Bahagian A, B dan C, Ikatan Dokumen Tambahan Palintif (ditandakan M), ikatan Dokumen Tambahan 1 & 2 Defendan (ditandakan E&F), pernyataan bertulis saksi-saksi, no
- Version
- Alasan Penghakiman 1
- Published
- 28 Jun 2026
- Source ID
- e6c34837-2440-4c73-b14d-94f865ed51d0