Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-82D-1-12/2024 PENDAKWARAYA LAWAN ARPAISAN BIN ARFA (No. K/P: 821211-12-5363) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-82D-1-12/2024
Magistrates Court of Malaysia11 Nov 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“ppeal upheld a rape conviction based upon the results of tests carried out on a specimen of body fluid obtained from the accused for medical reasons whilst he was on remand. In AG for Quebec v. Begin [1955] SCR 593 it was held that even if a blood sample was obtained from the accused without his consent it is admissibl”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN MALAYSIA NO. KES: AG-82D-1-12/2024 PENDAKWARAYA LAWAN ARPAISAN BIN ARFA (No. K/P: 821211-12-5363) ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Arpaisan Bin Arfa (selepas ini dirujuk sebagai “Tertuduh”) telah dituduh bagi kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (“ADB”). Pertuduhan ke atas Tertuduh adalah seperti berikut: Pertuduhan: Bahawa kamu pada 18/10/2024 jam lebih kurang 3.15 petang, di Pejabat Narkotik IPD Kuala Kangsar di dalam daerah Kuala Kangsar, di dalam Negeri Perak, didapati telah memasukkan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Dengan itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah Sek 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh di hukum di bawah sek 15(1) Akta yang sama.
2
Pada peringkat akhir kes perbicaraan di peringkat pendakwaan, dan selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan masing-masing; pada 11 November 2025, saya telah membuat keputusan dengan melepaskan dan membebaskan Tertuduh daripada pertuduhan. [B] Kes Pendakwaan
3
Dalam kes ini, pihak pendakwaan telah memanggil empat orang saksi, iaitu: Inspektor Muhamad Ainfikri Bin Ngassri, pegawai yang menjalankan ujian saringan air kencing (selepas ini dirujuk sebagai “SP1”); Inspektor Mohd Shafari Bin Mohd Rakbi, pegawai pengiring Tertuduh semasa ujian saringan air kencing dijalankan (selepas ini dirujuk sebagai “SP2”); Inspektor Muhammad Hafizuddin Bin Mazlan, pegawai penyiasat kes (selepas ini dirujuk sebagai “SP3”); dan Puan Nur Hidayah Binti Ismail, Pegawai Sains yang menjalankan ujian makmal ke atas sampel air kencing Tertuduh (selepas ini dirujuk sebagai “SP4”). [4] Ringkasan naratif kes pendakwaaan adalah seperti berikut: Pada 18 Oktober 2024 jam lebih kurang 3.15 petang bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar, SP1 telah mengarahkan SP2 dan Sub Inspektor (SI) Ahmad bin Jaafar untuk mengiringi Tertuduh ke tandas untuk membolehkan Tertuduh memberikan sampel urin di dalam botol bernombor siri D0015992 yang dipilih sendiri oleh Tertuduh. Setelah sampel urin telah diberikan, Tertuduh telah membawa botol yang berisi urin tersebut ke tempat ujian saringan urin dijalankan dan SP1 telah membuat ujian saringan awal urin menggunakan enam jenis jalur ujian iaitu bagi ujian pengesanan dadah jenis Morphine, Methamphetamine, Amphetamine, THC, Ketamine dan Benzo. Hasil ujian saringan awal mengesahkan urin Tertuduh mengandungi dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Seterusnya, pada 21 Oktober 2024, SP3 telah menghantar botol yang mengandungi sampel urin Tertuduh ke Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur untuk dianalisa dan telah diterima oleh SP4. SP4 telah menganalisa urin tersebut dan mengesahkan sampel urin milik Tertuduh mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Amphetamine dan Methamphetamine adalah dadah yang disenaraikan di
Schedule
Jadual Pertama Bahagian 3 Akta Dadah Berbahaya 1952. [5] Berikut merupakan senarai eksibit dan penyata saksi yang telah ditandakan oleh Mahkamah ini sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan: P1 Laporan Polis Kuala Kangsar 5203/24 P2 Gambar barang kes (6 bungkusan dan bersama jalur ujian (test strip)) P3(A-D) 4 keping gambar barang kes (botol urin) P4 Sampul barang kes PDRM tandaan ‘HM1’ ID4A Sampul spesimen dari Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur, nombor siri DRL07549 P4B Botol urin P5 Sampul barang kes PDRM tandaan ‘HM’ P5(A-F) 6 keping jalur ujian tandaan ‘AF1-AF6’ P6 Borang Permintaan Ujian Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing P7 Borang akuan serah/ terima barang kes P8(A-D) 4 keping gambar tempat kejadian P9 Plastik container pakej ID10 Laporan Ujian Pengesanan Dadah Dalam Air Kencing P11 Rajah kasar tempat kejadian P12 Laporan Patologi, nombor makmal 2496054996 PSP4 Penyata Saksi SP4 [C] Beban Pembuktian di Akhir Kes Pendakwaan [6] Dalam perbicaraan kes jenayah, adalah menjadi tugas pihak pendakwaan untuk membuktikan suatu kes prima facie terhadap seseorang Tertuduh. Ini adalah selaras dengan seksyen 180 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593]. [7] Dalam kes Abdullah bin Atan v. PP and other appeal [2020] 9 CLJ 151, Mahkamah Persekutuan telah menerima pakai tafsiran prima facie seperti yang diputuskan dalam kes Public Prosecutor v. Ong Cheng Heong [1998] 6 MLJ 678, iaitu seperti berikut: “As to what constitutes ‘a prima facie’ case, the judgment of Vincent Ng J (as he then was) in Public Prosecutor v Ong Cheng Heong [1998] 6 MLJ 678; [1998] 4 CLJ 209 is instructive. Although Ong Cheng Heong was decided prior to the amendment in 2006, we respectfully endorse His Lordship’s views, at p 691 (MLJ); p 225 (CLJ): What then constitutes a ‘prima facie case’? ‘Prima facie’ means on the face of it or at first glance. …perhaps the most appropriate definition of ‘a prima facie case’ could be found in the Oxford Companion of Law (p 987), which has it as: ‘A case which is sufficient for an answer. While prima facie evidence is evidence which is sufficient to establish a fact in the absence of any evidence to the contrary, but is not conclusive’. It would follow that there should be credible evidence on each and every ingredient of the offence. Credible evidence is evidence which has been filtered and which was gone through the process of evaluation. Any evidence which is not safe to be acted upon, should be rejected. At pg.224, his Lordship said: “…to me, maximum evaluation simply means evaluation, on a prima facie basis, of each and every essential ingredient of the charge as tested in cross-examination. In other words, maximum evaluation connotes quantitative rather than qualitative evaluation of the evidence; with focus more on the evidential burden in terms of evidence led, rather that the persuasive burden in terms of qualitative degree of proof.” [8] Berdasarkan nas undang-undang di atas, Mahkamah hendaklah membuat penilaian yang maksimum terhadap semua keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk setiap elemen yang terdapat dalam pertuduhan ke atas seseorang yang dituduh sebelum menentukan sama ada suatu kes prima facie dapat dibuktikan. [9] Dalam kes ini, Tertuduh telah dituduh melakukan kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang mana, pihak pendakwaan perlu menyakinkan Mahkamah dengan berjaya memenuhi elemen seperti berikut: i. Tertuduh memasukkan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine; dan ii. Amphetamine dan Methamphetamine disenaraikan di bawah Bahagian lll Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952. [10] Saya telah meneliti keseluruhan keterangan dan eksibit yang dikemukakan dan mendapati bahawa rantaian keterangan dan rantaian barang kes dalam kes ini, bermula selepas Tertuduh memliih botol sampel urin sehingga sampel dianalisa tidak terputus, walaupun pembelaan cuba menyatakan rantaian barang kes telah terputus dan keputusan analisa diragui. [11] Dalam kes ini, saya berpuas hati dengan keterangan yang diberikan bahawa: i. Sebagaimana yang disediakan pihak polis, Tertuduh telah memilih sendiri botol urin daripada sampul bernombor siri D0015992 yang berada dalam keadaan baik dan tidak tercemar; ii. Tertuduh telah diiringi oleh SP2 iaitu seorang pegawai polis yang berpangkat Inspektor dan SI Ahmad bin Jaafar ke tandas untuk mengisi air kencing dalam botol yang dipilihnya tersebut; iii. Setelah air kencing gagal dikeluarkan oleh Tertuduh, air minuman telah diberikan oleh SP1 untuk memudahkan Tertuduh untuk mengeluarkan air kencing. Hanya selepas cubaan kali ketiga, Tertuduh telah memberikan sampel urinnya sambil disaksikan oleh SP2 dan SI Ahmad. Tertuduh telah mengeluarkan urinnya yang dimasukkan dalam botol yang dipegang sendiri oleh Tertuduh; iv. Selepas Tertuduh telah memberikan urinnya di tandas, Tertuduh telah menutup sendiri botol urin tersebut dan diiringi SP2 dan SI Ahmad untuk membawa sendiri botol urin tersebut ke tempat ujian saringan awal urin dilakukan; v. SP1 telah menjalankan ujian saringan awal terhadap urin Tertuduh di hadapan Tertuduh dan turut disaksikan SP2 dan SI Ahmad dengan menggunakan 6 jenis jalur ujian masing-masing untuk ujian kehadiran dadah berbahaya jenis Morphine, Amphetamine, Methamphetamine, Ketamine, THC dan Benzo; vi. Daripada keenam-enam jalur ujian yang digunakan oleh SP1, jalur ujian Amphetamine & Methamphetamine menunjukkan urin Tertuduh adalah positif manakala jalur ujian lain menunjukkan tanda negatif; vii. SP1 kemudian memaklumkan hasil ujian saringan awal tersebut kepada Tertuduh dan arahkan Tertuduh untuk menutup botol urin tersebut; viii. SP1 telah mengisi butiran Tertuduh dengan tepat pada label pelekat botol urin milik Tertuduh dan botol urin Tertuduh telah dimateraikan dengan materai keselamatan secara sempurna di hadapan Tertuduh; ix. Satu laporan polis sebagaimana eksibit P1 kemudiannya dibuat oleh SP1. SP1 juga menyediakan dokumen yang dieksibitkan sebagai P6 sebelum menyerahkan Tertuduh bersama-sama dengan botol yang berisi air kencing Tertuduh dan ekshibit-ekshibit lain kepada SP3. Bagi tujuan penyerahan tersebut, eksibit P7 telah disediakan dan ditandatangani oleh SP1 dan SP3; x. SP3 kemudiannya telah menyimpan botol urin tersebut di dalam peti sejuk yang berada dalam keadaan berkunci. Pada 21 Oktober 2024, SP3 kemudiannya menghantar botol urin tersebut ke Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur dan diserahkan kepada SP4 di kaunter makmal. Ruangan bahagian 5 eksibit P6 telah ditandatangani oleh SP4 bagi tujuan penerimaan barang kes untuk dianalisa; xi. SP4 telah menganalisa sampel dalam botol urin tersebut dan mengesahkan sampel tersebut mengandungi dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine seperti mana disenaraikan di Bahagian III Jadual Pertama ADB 1952. [D] Dapatan Mahkamah [12] Berkenaan elemen pertama seperti yang dinyatakan pada perenggan 9, saya merujuk kepada anggapan undang-undang di bawah perenggan 37(k) ADB yang memperuntukkan seperti berikut: "Presumptions 37. In all proceedings under this Act or any regulation made thereunder-a) - (j)... (k) if a person is charged for an offence of consuming a dangerous drug or administering a dangerous drug to himself or suffering any other person to administer a dangerous drug to him, and any dangerous drug is found in the urine of the person charged as a result of a urine test conducted under section 31A, the person shall be presumed, until the contrary is proved, to have consumed the drug or to have administered the drug to himself or to have suffered any other person to administer the drug to him in contravention of this Act or its regulations." [13] Pemakaian peruntukan di atas perlu dirujuk silang dengan peruntukan di bawah seksyen 31A ADB. Secara ringkasnya, untuk mengguna pakai anggapan tersebut, pendakwaan perlu membuktikan terlebih dahulu fakta-fakta asas yang relevan yang berkaitan dengan elemen Tertuduh memasukkan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya, seperti berikut: (i) sebelum ujian saringan awal dilakukan, Tertuduh telah ditangkap (sama ada tangkapan sebenar atau tangkapan konstruktif) kerana melakukan kesalahan di bawah ADB 1952; (ii) jika pengambilan spesimen urin Tertuduh tidak boleh secara praktikalnya dilakukan dalam tempoh yang munasabah oleh seseorang pegawai perubatan, seseorang pegawai polis yang tidak rendah pangkatnya daripada Sarjan atau mana-mana pegawai kastam dibenarkan untuk mengambil sampel urin Tertuduh bagi tujuan pemeriksaan; (iii) sampel urin Tertuduh hendaklah dianalisa oleh Pegawai Sains lantikan Kerajaan; (iv) dadah yang dikesan dalam analisis sampel urin Tertuduh adalah dadah berbahaya seperti mana yang disenaraikan di Bahagian III atau IV Jadual Pertama ADB 1952; dan (v) tidak ada apa-apa pemutusan dalam rantaian keterangan serta barang kes. Isu pertama (i) Adakah Tertuduh telah ditangkap (sama ada tangkapan sebenar atau tangkapan konstruktif) kerana melakukan kesalahan di bawah ADB 1952? [14] Bagi kes ini, isu pokok yang perlu ditentukan terlebih dahulu adalah berkenaan pematuhan pra-syarat keperluan tangkapan ke atas Tertuduh sebelum pengambilan sampel air kencing dijalankan. [15] Adalah ditekankan bahawa hanya seseorang yang telah ditangkap (“arrested person”) bagi kesalahan atau disyaki melakukan kesalahan di bawah ADB boleh dikehendaki oleh pihak polis menjalani ujian saringan air kencing. Tangkapan tidak semestinya bermaksud seseorang itu digari secara fizikal dimana keadaan sedemikian dirujuk sebagai actual arrest dalam undang-undang. Namun, tangkapan juga boleh wujud dalam bentuk tangkapan konstruktif (constructive arrest). [16] Saya merujuk kepada prinsip dalam kes PP v Mohd Safwan Husain [2017] 7 CLJ 685, di mana Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penentuan isu tangkapan perlu bergantung kepada fakta dan keadaan sesuatu kes. Dalam kes yang dirujuk ini, keterangan menunjukkan bahawa tindakan polis terhadap Responden bukanlah dibuat secara kebetulan. Pihak polis telah menerima maklumat bahawa seorang anggota di balai berkenaan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, dan hasil risikan tersebut mengarah terus kepada Responden. Malah, pihak polis telah memastikan Responden berada bertugas pada hari serbuan, menggambarkan bahawa beliau sudah pun menjadi sasaran operasi sejak awal. [17] Berdasarkan keseluruhan keadaan itu, Mahkamah Rayuan menyimpulkan bahawa penahanan Responden pada ketika beliau diarahkan memberikan sampel air kencing sebenarnya sudah pun mengambil bentuk satu tangkapan. Kesimpulan tersebut turut diperkukuhkan melalui laporan polis yang secara jelas menyatakan bahawa operasi dijalankan berasaskan maklumat mengenai penglibatan seorang anggota polis dalam kegiatan dadah. [18] Berdasarkan keterangan dalam kes di hadapan saya, saya mendapati bahawa SP1 telah diarahkan untuk menjalankan ujian rambang terhadap tiga orang anggota polis, seorang dari bahagian jenayah dan dua orang dari bahagian lain. Arahan ini diberikan oleh Ketua Bahagian Narkotik Daerah dan Ketua Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard tanpa menyenaraikan nama mana-mana anggota secara spesifik, termasuk Tertuduh. [19] Apabila dinyatakan bahawa Tertuduh merupakan seorang yang dijalankan ujian secara rambang, adalah menjadi pandangan saya bahawa Tertuduh tidak boleh dianggap berada di bawah tahanan konstruktif hanya kerana beliau berada bersama SP1 sepanjang masa yang material di dalam bilik narkotik atau diiringi oleh SP2 dan SI Ahmad ke tandas untuk memberikan sampel air kencingnya, memandangkan fakta dan keadaan kes ini tidak menunjukkan bahawa pihak polis pada ketika itu mengesyaki Tertuduh telah terlibat dengan aktiviti dadah atau mengambil dadah dan perlu mendapatkan sampel air kencing dengan segera sebelum kesan dadah hilang daripada tubuhnya. Ini juga bukanlah kes di mana pada masa Tertuduh diarahkan untuk memberikan sampel air kencing, Tertuduh telah ditangkap atas pertuduhan melakukan kesalahan di bawah ADB atau disyaki melakukan kesalahan dalam keadaan yang memberikan alasan munasabah untuk mempercayai bahawa pemeriksaan terhadap dirinya akan memberikan bukti mengenai pelakuan suatu kesalahan di bawah ADB. [20] Saya berpendapat bahawa fakta dan keadaan kes menunjukkan bahawa ini adalah satu pemeriksaan rawak yang dijalankan oleh SP1, dan bahawa penangkapan hanya akan dibuat sekiranya terdapat bukti kesalahan di bawah seksyen 15(1)(a) ADB diperoleh. Tertuduh hanya disyaki melakukan kesalahan di bawah ADB selepas beliau memberikan sampel air kencingnya, dan justeru, penangkapan hanya berlaku selepas itu. [21] Keterangan SP1 semasa pemeriksaan balas disalin semula sebagaimana berikut: Inspektor ada pengetahuan yang disebabkan dia ditukarkan ke narkotik, ujian dijalankan? Tiada arahan formal. Saya diarahkan untuk buat ujian rambang bukan sahaja kepada satu, tapi kepada 3 anggota. Siapa arahkan? Ketua Bahagian Narkotik Daerah dan Ketua Cawangan Integiti & Pematuhan Standard. Arahan tersebut dikeluarkan ke atas nama anggota spesifik? Tidak, ujian rambang. Seorang jenayah dan 2 lagi bahagian lain.” [22] Keterangan ini turut disokong oleh eksibit P1, yang menyatakan bahawa Tertuduh ditangkap selepas ujian saringan air kencing dilakukan. Ini turut disahkan oleh keterangan SP1 sendiri semasa pemeriksaan balas: Pohon rujuk P1. Setuju dalam laporan polis ini, tangkapan dibuat setelah ujian saringan air kencing ini dijalankan? Setuju.” [23] Keterangan SP3, pegawai penyiasat kes, sepatutnya menjadi salah satu elemen terpenting yang mengukuhkan kes pendakwaan dengan menjelaskan secara jelas dan terperinci tentang perjalanan siasatan. Namun, dalam keadaan ini, keterangannya bukan sahaja gagal menyokong naratif pihak pendakwaan, malah sebaliknya menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap kes. [24] Sebagai penyiasat utama, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memberikan gambaran yang lengkap dan meyakinkan tentang urutan tindakan polis, termasuk soal sekiranya berlakunya tangkapan dan proses pengambilan sampel urin. Malangnya, keterangannya jelas tidak sejajar dengan versi pendakwaan. Sebaliknya, keterangan SP3 ini menghancurkan naratif pendakwaan, meletakkan pertikaian serius terhadap kredibiliti keseluruhan prosedur pengambilan sampel urin, dan gagal membaiki kelemahan kes sebagaimana yang sepatutnya diharapkan daripada seorang pegawai penyiasat. Dalam erti kata lain, bukannya membantu; keterangannya secara nyata melemahkan kes pendakwaan dan meninggalkan ruang keraguan yang signifikan terhadap jalan cerita pihak pendakwaan. [25] Saya menyalin semula keterangan SP3 sebagaimana berikut: Inspektor tidak ada pengetahuan berkenan tangkapan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum ujian saringan air kencing dijalankan? Tak setuju Kenapa? Tangkapan dibuat lepas didapati bersalah Bersalah tu apa? Contoh kes diterima sekarang, kes 15(1)(a). Semasa pemeriksaan urin dibuat, ujian saringan awal polis dibuat. Tangkapan dibuat setelah saringan awal air kencing didapati positif dadah berbahaya Dalam kes ini, Inspektor setuju OKT ditangkap selepas ujian saringan air kencing dijalankan? J; Setuju Sepanjang tempoh sebelum urin dijalankan, OKT tak ditangkap? Setuju” [26] Keterangan saksi paling penting dalam kes ini iaitu SP3 dengan jelas menunjukkan bahawa Tertuduh bukan seseorang yang telah ditangkap sewaktu ujian saringan urin dijalankan. Sebagai saksi terpenting yang sepatutnya mahir dan berpengetahuan dalam tatacara pengendalian kes-kes yang disiasat, sudah pasti keterangan SP3 ini amat material bagi menjelaskan atau memperbetulkan percanggahan dalam keterangan saksi-saksi lain. [27] Walau bagaimanapun, dalam membuat analisis menyeluruh, saya turut mengambil kira dua perkara yang dinyatakan oleh SP1, di mana pertama; beliau seolah-olah menyatakan bahawa ujian air kencing dijalankan selepas terdapatnya risikan kes narkotik yang cenderung merujuk kepada Tertuduh (digambarkan seakan-akan sasaran). Keterangannya disalin semula sebagai mana berikut: Siapa yang tentukan anggota mana yang perlu dibuat ujian? Pertama, pertimbangan daripada rekod dan laporan risikan. Kedua, OKT juga pernah diberikan amaran penglibatan aktiviti dipercayai aktiviti dadah. Jadi ianya rutin risikan dan operasi yang biasa yang melibatkan anggota untuk pemutihan. Sekiranya ada laporan, kita kena jalankan segera. …. Dalam kes ini, ada laporan ke atas OKT terlibat dengan aktiviti dadah? Nama OKT ada disebut dalam percakapan risikan dalam beberapa tangkapan sebelum ini. Jadi ini adalah rutin Tangkapan sebelum ini merujuk kepada siapa? Tangkapan merujuk kepada tangkapan kes dadah di daerah Kuala Kangsar.” [28] Kedua, keterangan SP1 yang menggambarkan seolah-olah Tertuduh telah ditahan sebelum ujian air kencing dibuat: Setuju dengan saya, tangkapan ke atas OKT dibuat selepas ujian saringan air kencing? Tak setuju. OKT ditahan di perkarangan IPD dan dibawa ke Pejabat Narkotik untuk dibuat ujian saringan air kencing.” [29] Namun demikian, keterangan ini dilihat bercanggah dengan keterangan awalnya dan saksi-saksi lain, terutamanya SP3, yang secara jelas menyatakan bahawa Tertuduh belum ditangkap semasa ujian dijalankan. Saya tidak boleh menerima cebisan keterangan tersebut tanpa bukti sokongan yang kukuh, memandangkan terdapat keterangan lain yang bercanggah dan eksibit P1 jelas menyokong versi yang bercanggah. [30] Saya turut merujuk kepada bahagian pertama eksibit P1 yang menyebut “Bersangkut Kuala Kangsar Rpt 5199/2024”. Laporan 5199/2024 ini berkemungkinan merujuk kepada tangkapan yang dimaksudkan oleh SP1 di IPD. Namun, ketiadaan maklumat terperinci mengenai laporan tersebut dan kegagalan pihak pendakwaan mengemukakannya di Mahkamah tidak membolehkan saya membuat sebarang inferens yang memihak kepada pendakwaan. [31] SP1 juga mengakui bahawa Tertuduh hadir secara sukarela dan hanya ditahan selepas ujian saringan awal menunjukkan air kencing Tertuduh positif, maka meskipun terdapat keterangan Tertuduh telah ditahan di perkarangan IPD, secara substantifnya dan setelah menilai dari segenap fakta dan keadaan; tiada sebarang tindakan yang memenuhi elemen tangkapan Tertuduh di bawah ADB. Sekali pun Tertuduh dianggap sebagai sasaran oleh SP1 (walaupun dalam arahan yang diberikan tidak menyasarkan mana-mana orang), saya mengambil perhatian bahawa SP1 sendiri mengesahkan ujian dilakukan sebagai satu rutin risikan dan operasi dan bukanlah dari hasil siasatan khusus atau tangkapan bersasar. Sebaliknya ia merupakan satu sebahagian daripada prosedur rambang yang lazim sebagai kawalan dalaman dan pematuhan pentadbiran jabatan untuk tujuan “pemutihan”. [32] Semasa pemeriksaan dilakukan, saya sendiri ada bertanya kepada SP1 sebagaimana berikut: “Crt: Tadi Inspektor ada katakan mengenai rutin. Apa maksud rutin ini? Rutin adalah untuk amalan bahagian risikan dan operasi, sekiranya IS kita rakam ada nama, lebih-lebih lagi nama penjawat awam, iaitu baju biru sama dengan kami; apa tindakan yang dilakukan adalah untuk pastikan dia tidak terlibat. Jadi, caranya bagaimana:- kita perlu urin, Tuan. Jadi, untuk saya jawab kepada pihak atasan dan pihak OCPD nanti “ [33] Keterangan ini, saya lihat sebagai niat SP1 untuk melaksanakan tindakan pentadbiran dan pelaporan kepada pihak atasan dan bukan siasatan atau penguatkuasaan di bawah ADB. Ianya bertujuan memastikan integriti anggota dan memperkukuh akauntabiliti pasukan. Kehadiran Tertuduh dan pelaksanaan ujian urin tersebut tidak boleh ditafsir sebagai satu bentuk tangkapan kerana istilah rutin yang digunakan SP1 membawa maksud bahawa prosedur tersebut merupakan tindakan biasa dan berjadual, dan bukan tindakan penahanan di bawah ADB. Berdasarkan keterangannya, prosedur yang telah berlaku digambarkan sebagai prosedur dalaman polis yang lahir daripada kuasa pentadbiran dan bukan prosedur penyiasatan dan pengkuatkuasaan di bawah ADB atau Kanun Tatacara Jenayah. Daripada keseluruhan keterangan juga, tidak dilihat sebagai niat menahan dan menangkap, tetapi seakan urusan tatatertib atau pun proses yang diberi nama oleh SP1 sendiri sebagai; ujian rambang. [34] Saya turut memetik keterangan SP1 yang mana turut jelas menunjukkan tiada tangkapan dilakukan sebelum ujian urin dilaksanakan ke atas Tertuduh: Apa peranan Inspektor lagi bagi kes ini selepas serahan? Selepas serahan kepada IO, saya bertanya kepada OKT sekiranya perlukan apa-apa lagi. Didapati pada hari kejadian, OKT tiada apa-apa lagi tuntutan. Saya bawa OKT untuk diserahkan ke lokap IPD Kuala Kangsar sebagaimana arahan KPD untuk tangkapan selepas urin positif dan tindakan siasatan. [35] Sewaktu pemeriksaan semula, SP1 juga memberi keterangan seperti berikut: Tadi peguam bertanya soalan mengenai P1, dimana peguam kata bahawa tangkapan dibuat selepas ujian dijalankan. Inspektor setuju tapi seakan mahu terangkan sesuatu tadi. Sila terangkan. Merujuk kepada P1, lebih kurang jam 1515 petang, setelah proses urin berjalan lancar dan OKT berjaya beri sampel urin, saya jalankan ujian saringan awal air kencing dengan 6 test stips dan dapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kemudiannya saya tangkap dan maklum sebab-sebab tangkapan dan kes disiasat di bawah seksyen 15(1)(a). Itu yang dinyatakan sebagaimana repot P1. Walau bagaimana pun, report urin positif ini bukan satu ini sahaja. Kerana ada 2 lagi tangkapan lain pada masa yang sama. Jadi bagi OKT Arpaisan, urin positif, tindakan tangkapan dijalankan.” [36] Setelah meneliti semua keterangan saksi pendakwaan dan mengambil kira semua inferens munasabah yang boleh dibuat daripada keterangan tersebut, dan setelah saya merujuk kepada kes Public Prosecutor v. Mohd Radzi Abu Bakar [2005] 2 MLRA590; [2005] 6 MLJ 393; [2006] 1 CLJ 457 dimana Mahkamah Persekutuan menekankan bahawa jika keterangan itu boleh membawa kepada dua atau lebih inferens, maka inferens yang paling memihak kepada Tertuduh hendaklah diambil. Tambahan lagi, inferens yang mencadangkan tiada tangkapan dilakukan sebelum ujian saringan awal air kencing ke atas Tertuduh turut disokong penuh oleh keterangan SP3 dan eksibit P1. Maka, saya berpendapat bahawa Tertuduh mempunyai kelebihan dalam kes ini. [37] Persoalan yang turut timbul kini ialah sama ada sampel air kencing Tertuduh, walaupun diperoleh dengan cara yang tidak sah yang mana Tertuduh belum ditangkap, boleh diterima sebagai bukti kerana kepentingannya terhadap kes ini. Saya menyedari prinsip dalam kes Hanafi Mat Hassan v. PP [2006] 3 CLJ 269 yang mana Mahkamah Rayuan menyatakan sebagaimana berikut: “It is therefore clear that the court has no discretion to refuse to admit evidence on the ground that it was illegally obtained if it is relevant. This rule applies, inter alia, to cases involving illegal searches, evidence obtained by secret listening devices or by undercover police operations. It also applies to evidence obtained by unfair procedures. Thus in R v. Apicella [1986] 82 Cr App R 295 the English Court of Appeal upheld a rape conviction based upon the results of tests carried out on a specimen of body fluid obtained from the accused for medical reasons whilst he was on remand. In AG for Quebec v. Begin [1955] SCR 593 it was held that even if a blood sample was obtained from the accused without his consent it is admissible to prove intoxication. It follows that the evidence relating to the blood sample taken from the accused is admissible as it is relevant even if it was taken without his consent.” [38] Walau bagaimana pun, Mahkamah mempunyai budi bicara untuk mengecualikan keterangan yang menimbulkan prejudis, terutamanya apabila kesan prejudis itu melebihi nilai probatif keterangan tersebut. Dalam hal ini, apabila sesebuah peruntukan undang-undang atau Akta telah menyediakan prosedur khusus, prosedur tersebut mesti dipatuhi dengan teliti, dan kes-kes common law sepatutnya tidak boleh menggantikan atau mengatasi peruntukan Akta serta prinsip Perlembagaan Persekutuan. [39] Prinsip ini adalah jelas dinyatakan dalam kes Mahkamah Rayuan, Aizuddin Syah Ahmad v. PP [2019] 3 CLJ 318, di mana Mahkamah turut menyatakan bahawa pelanggaran terhadap s. 31A(1A) ADB, tidak dapat dibetulkan melalui prinsip common law. Mahkamah Rayuan dalam kes ini juga menyatakan bahawa setiap peruntukan statut jenayah mesti dipatuhi dengan ketat, dan kegagalannya menghasilkan pelanggaran undang-undang. Jadi, prinsip ini terpakai bagi kes Tertuduh di hadapan saya bagi kes ini. Memandangkan terdapat perlanggaran serius terhadap keperluan seksyen 31A ADB, saya berpandangan bahawa bukti yang dikemukakan adalah cacat dan bahaya untuk diterima bagi membuktikan kesalahan ke atas Tertuduh. [40] Selanjutnya, dinyatakan oleh Mahkamah Rayuan sebagaimana berikut: “[15] We have read the appeal records and the able submission of learned counsel for the appellant as well as the learned Deputy Public Prosecutor. After giving much consideration, we took the view that the appeal must be allowed. Our reasons inter alia are as follows: (a) In the instant case, it is not in dispute that there was a breach of s. 31A(1A) of DDA 1952. The said breach cannot be overcome by the principles set out in the common law case of R v. Karuma as well as R v. Sang. (b) A provision of criminal statute must be strictly followed failure will amount to breach of rule of law. (c) This is a fit and proper case for the urine sample to be excluded and/or expunged from the evidence. By doing so, there will not be any incriminating evidence sufficient to convict the accused.” [41] Walaupun isu (i) ini sudah cukup untuk menjejaskan dan meruntuhkan keseluruhan kes pendakwaan, bagi memastikan perbicaraan ini diberikan pertimbangan yang menyeluruh, saya akan tetap membincangkan isu elemen-elemen yang telah dinyatakan di perenggan 11. Perbincangan tersebut akan dikemukakan secara bersatu pada perenggan seterusnya, dengan tujuan memberi gambaran lengkap terhadap keseluruhan perjalanan fakta dan hujah pihak-pihak, serta memastikan bahawa setiap aspek yang relevan diperiksa dengan teliti sebelum saya mencapai keputusan muktamad. Isu kedua (ii) Adakah sampel urin Tertuduh telah diambil oleh seorang pegawai polis yang pangkatnya lebih tinggi daripada Sarjan? Isu ketiga (iii) Adakah sampel urin Tertuduh dianalisa oleh Pegawai Sains lantikan Kerajaan? Isu keempat (iv) Adakah dadah yang dikesan dalam analisis sampel urin Tertuduh adalah dadah berbahaya seperti mana yang disenaraikan di Bahagian III atau IV Jadual Pertama ADB 1952? Isu kelima (v) Adakah terdapat putusnya rantaian keterangan serta barang kes? [42] Adalah jelas berdasarkan fakta kes bahawa SP1 yang berpangkat Inspektor telah mengambil sampel urin milik Tertuduh. Proses ini turut disaksikan dan dibantu oleh SI Ahmad dan SP2 sendiri yang mengiringi Tertuduh untuk memberikan sampel air kencingnya. Begitu juga dengan analisis sampel urin yang telah dilakukan oleh SP4 yang jelas merupakan seorang Pegawai Sains yang berkelayakan dan dilantik oleh pihak Kerajaan. Perkara-perkara ini tidak langsung dapat dicabar dan diragui, justeru elemen bagi isu (ii) dan (iii) telah dipenuhi. [43] Berkaitan isu (iv) dan (v), pihak pembelaan telah membangkitkan isu bahawa terdapat kemungkinan alat yang digunakan tidak tepat dan ketiadaan pengemukaaan sijil kalibrasi sepanjang tempoh perbicaraan. Pembelaan juga cuba membangkit keraguan tentang prosedur yang dilakukan oleh SP4 yang memastikan dan memilih dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine, dan bukannya dadah jenis Methylenedioxyamphetamine (MDA) atau Methyleedioxymethampetamine (MDMA) yang dikesan dalam sampel air kencing Tertuduh. Sedangkan, menurut pembelaan lagi, MDA dan MDMA mempunyai cut of values yang sama dengan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. [44] Dalam meneliti perkara-perkara ini, saya merujuk dan berpegang teguh kepada prinsip dalam kes Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] 1 CLJ 250 yang menyatakan seperti berikut: “…We are therefore of the view, that in this type of cases where the opinion of the chemist is confined only to the elementary nature and identity of substance, the Court is entitled to accept the opinion of the expert of its face value, unless it is inherently incredible or the defence calls evidence in rebuttal by another expert to contradict the opinion. So long as some credible evidence is given by the chemist to support his opinion, there is no necessity for him to go into details of what he did in the laboratory, step by step…” [Penekanan ditambah] [45] Berkaitan ketepatan alat analisis yang menurut pembelaan tidak tepat kerana tidak dikalibrasi dan ketiadaan pengemukaan sijil; saya merujuk kepada kes PP v. Mahathir Usman & Anor [2022] 1 LNS 194 yang mempunyai isu yang hampir serupa dengan kes ini: “Issue – whether the weighing scale used by PW1 was inaccurate [21] It was submitted for the 1st accused that there was doubt as to the accuracy of the weighing scale used by PW1 in her analysis. It was contended that based on the certificates of calibration of the weighing scales (exhibits "P20" & "P21"), the last time they were calibrated was on 05.03.2018. However, there was no evidence to show that a repeatability test and one-point test had been carried out subsequent to the said date in accordance with the equipment performance verification manual (exhibit "D2") which stated that full calibration of the equipment was to be done for the initial 3 years, and thereafter a repeated test every 6 months and a one-point check conducted every month. [22] In rebuttal, learned Deputy Public Prosecutor ("DPP") referred to PW1's evidence that the weighing scale she used was last calibrated in 2017 and that based on the standard operating procedure of the Pusat Jaminan Kualiti Jabatan Kimia Malaysia, the validity period of the calibration was for 3 years (see Q/A 21, 22 & 23, NOP). [23] Further, learned DPP referred to the case of Munusamy v. PP [1987] CLJ Rep 221; [1987] 1 CLJ 250; [1987] 1 MLJ 492, where the court held that the court is entitled to accept the opinion of the expert on its face value unless it is inherently incredible. [24] I did not find the findings of PW1 and or her evidence to be inherently incredible so that it was further necessary to pin point with precision the calibration date of the weighing scale used – see Munusamy v. PP; PP v. Lam San [1991] 1 CLJ Rep 391; [1991] 3 CLJ 2410; [1991] 3 MLJ 426. [Penekanan ditambah] [46] Bersandarkan kepada kes-kes di atas, saya mendapati bahawa cabaran pihak pembelaan terhadap kredibiliti prosedur SP4 tidak mempunyai asas kukuh. Pembelaan telah mempertikaikan ketepatan instrumen yang digunakan oleh SP4 serta mendakwa bahawa peralatan tersebut tidak dikalibrasi. Namun, SP4 secara jelas tidak pernah mengesahkan bahawa instrumen berkenaan gagal dikalibrasi atau tidak memenuhi piawaian makmal. Saya juga berpuas hati bahawa tiada sebarang indikasi, sama ada melalui soal balas atau keterangan lain, yang menunjukkan bahawa instrumen yang digunakan oleh SP4 adalah rosak, tidak tepat, atau tidak berfungsi dengan sempurna. [47] Begitu juga persoalan yang dibangkitkan pembelaan mengenai prosedur yang dilakukan yang mana terdapat kemungkinan kehadiran dadah lain seperti MDA atau MDMA, memandangkan kedua-dua bahan ini mempunyai cut-off values yang sama dengan Amphetamine dan Methamphetamine. Saya berpandangan bahawa selagi SP4 telah memberikan asas saintifik yang munasabah bagi pendapatnya dan tiada percanggahan material atau bukti teknikal yang menunjukkan sebaliknya, merujuk kepada kes Munusamy Vengadasalam v. PP [1987] 1 CLJ 250, Mahkamah boleh menerima keterangannya tanpa keperluan untuk beliau menghurai secara terperinci setiap langkah dan alasan bagi analisis yang dijalankan. [48] Berkaitan dengan isu spesimen air kencing milik Tertuduh yang dikatakan tidak diletakkan pada suhu yang sesuai, SP4 telah menjelaskan bahawa pendedahan sampel air kencing kepada suhu yang lebih tinggi daripada tidak menjejaskan integriti atau kualiti asas sampel berkenaan. Menurut beliau, faktor suhu hanya memberi kesan terhadap kestabilan bahan dadah yang terkandung dalam air kencing, di mana haba yang berlebihan boleh mempercepatkan proses penguraian bahan dadah dalam air kencing tersebut. [49] SP4 turut menegaskan bahawa kesan suhu panas bukanlah menyebabkan sampel menjadi tercemar, sebaliknya ia hanya berpotensi mengurangkan kuantiti dadah yang masih boleh dikesan dalam sampel. Dalam erti kata lain, sekiranya wujud sebarang kesan akibat pendedahan kepada suhu panas, ia adalah kesan yang cenderung memihak kepada Tertuduh kerana ia boleh menjurus kepada keputusan negatif bagi kehadiran dadah, sekaligus mengurangkan kemungkinan bahan tersebut dapat dikesan oleh SP4. [50] Oleh itu, keterangan SP4 secara jelas menunjukkan bahawa isu suhu tidak sama sekali membawa apa-apa bentuk prejudis terhadap Tertuduh. Malah, sekiranya benar suhu tinggi mempengaruhi kandungan dadah, ia hanya akan memberi kelebihan kepada Tertuduh dan bukan sebaliknya. [51] Selain itu, pembelaan turut membangkitkan isu berkaitan warna sampel air kencing Tertuduh yang dikatakan sepatutnya berwarna kuning cair dan bukannya keruh atau lebih pekat. Berdasarkan dakwaan tersebut, pembelaan mencadangkan bahawa sampel air kencing Tertuduh mungkin telah tertukar dengan sampel milik suspek lain. [52] Setelah meneliti keseluruhan keterangan, saya menolak dakwaan ini kerana warna sampel urin bukanlah faktor penentu pemilikan, dan tidak menjejaskan identiti sampel berkenaan. Keterangan SP1 dan SP2 adalah konsisten serta saling menyokong bahawa sampel dalam botol urin eksibit P4B adalah milik Tertuduh sendiri. Tertuduh mengisi botol tersebut sendiri, memegangnya sehingga menyerahkannya kepada SP1 untuk disel dan dimeterai, dan seterusnya label beridentiti butiran Tertuduh ditulis dan dilekatkan di hadapan SP2 dan Tertuduh sendiri. Tidak terdapat sebarang bukti berlaku pertukaran, kesilapan atau pelanggaran rantaian barang kes. Tidak juga dibuktikan dalam keterangan bahawa terdapat kekeliruan atau kesilapan berlaku, termasuk kemungkinan percampuran sampel air kencing Tertuduh dengan mana-mana individu lain. [53] Perbezaan pengamatan manusia terhadap warna adalah perkara biasa dan bukan boleh disimpulkan berpandukan logik akal semata-mata. Oleh itu, perbezaan takrifan “kepekatan warna”, tidak mempunyai nilai probatif dalam menentukan pemilikan sampel, dan tidak menjejaskan rantaian bahawa air kencing tersebut adalah milik Tertuduh. [54] Justeru, bagi isu (iv) dan (v), perkara ini turut memihak kepada pihak pendakwaan dan laporan patologi yang telah dieksibitkan sebagaimana P12 tidak perlu dipertikaikan lagi. [E] Keputusan Mahkamah [55] Mahkamah ini menegaskan bahawa di akhir kes pendakwaan, saya perlu membuat analisis maksimum ke atas keseluruhan keterangan. Mahkamah berpandukan kepada prinsip yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan di dalam kes PP v. Lee Hock Lai [2004] 1 CLJ 57, yang telah menghuraikan maksud penilaian maksima seperti berikut; "In my view the "maximum evaluation" refers to a proper and complete evaluation of all the evidence adduced to determine whether a prima facie case has or not been made out Thus, all the evidence adduced has to be scrutinised properly and this should not be just a perfunctory, cursory evaluation or an exercise of skimming over the surface of the evidence only. The prosecution must make out the ingredients of the charge with the evidence adduced. If the evaluation of the evidence results in doubts in the prosecution's case at this stage of the proceedings itself then it cannot be said that a 'prima facie' has been made out the defence ought not to be called merely to clear or clarify the doubts. The benefit of the doubt, if any, at the end of the prosecution's case must go to the accused." [56] Saya sekali lagi merujuk kepada prinsip dalam kes Mahkamah Persekutuan, PP v Mohd Radzi Abu Bakar (supra). Sekiranya selepas penilaian maksimum dibuat dan keterangan pendakwaan membolehkan lebih daripada satu inferens, dan salah satu inferens tersebut memihak kepada Tertuduh, maka menjadi tanggungjawab Mahkamah ini untuk memilih dan menerima pakai inferens yang lebih menguntungkan pihak Tertuduh. [57] Justeru, walaupun perkara-perkara yang dinyatakan pada perenggan 42-54 memihak kepada pendakwaan; berdasarkan penilaian secara maksimum terhadap keterangan kesemua saksi pendakwaan dan pengemukaan segala eksibit, saya mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan elemen utama dan terpenting dalam kes ini dimana Tertuduh dalam kes ini dengan jelas tidak ditangkap bagi maksud untuk dijalankan ujian air kencing di bawah ADB. [58] Justeru, Mahkamah ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan suatu kes prima facie terhadap Tertuduh dan Tertuduh dengan ini dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Wang jaminan dipulangkan sepenuhnya kepada penjamin. Bertarikh pada 23 November 2025 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Majistret Mahkamah Majistret Kuala Kangsar Perak Darul Ridzuan Timbalan Pendakwa Raya : Nur Mirza Zulaikha Mohd Fadzhly Peguam bela : Adibah Alwi Tarikh keputusan : 11 November 2025
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.