Subparagraph
(iii) Rayuan No. T-05(SH)-333-08/2019 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (“Pertuduhan Ketiga”). [3] Tiga pertuduhan yang dikemukakan terhadap perayu ialah seperti berikut: Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu pada 2 Oktober 2014, jam lebih kurang 6.00 petang, bertempat di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, di dalam Daerah Setiu, di dalam Negeri Terengganu Darul Iman, telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Rohadi bin Yaakob (No. K/P: 700607-03-5507) dan oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu pada 2 Oktober 2014, jam lebih kurang 6.29 petang, bertempat di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Permaisuri, di dalam Daerah Setiu, di dalam Negeri Terengganu Darul Iman telah memberitahu anggota polis bernama Rosli bin Mohamad, seorang penjawat awam melalui maklumat bertulis iaitu Sg. Tong Report: 436/14 dengan menyatakan “Pada 2.10.2014 jam lebih kurang 6.00 petang semasa memandu kereta untuk balik ke rumah di alamat Kg. Jelapang, Setiu, Terengganu, saya telah ditahan oleh 2 lelaki Melayu yang dikenali nama Adi dan Ya dengan menggunakan parang panjang dan saya telah mengelak dan terlanggar kedua-dua lelaki tersebut”, yang kamu ketahui sebagai palsu dengan niat bahawa perlakuan sedemikian itu adalah berkemungkinan akan menyebabkan penjawat awam tersebut tidak mengambil tindakan terhadap kamu yang telah membunuh penama Rohaidi bin Zakaria dan mencederakan Zakaria bin Taib dengan cara melanggar mereka, yang penjawat awam tersebut tidak akan lakukan sekiranya kedudukan sebenar fakta berkenaan maklumat sedemikian diketahui olehnya, dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.” Pertuduhan Ketiga “Bahawa kamu pada 2 Oktober 2014 jam lebih kurang 6.00 petang, bertempat di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, di dalam Daerah Setiu, di dalam Negeri Terengganu Darul Iman, telah melakukan suatu perbuatan cuba membunuh iaitu dengan cara melanggar Zakaria bin Taib (No. K/P: 710517-03-5625) dengan menggunakan kereta jenis Proton Gen 2 nombor pendaftaran WMT 5016 sehingga menyebabkan kecederaan yang mana kamu mengetahui dan dalam hal yang demikian bahawa sekiranya perbuatan kamu itu menyebabkan kematian, maka kamu akan bersalah bagi kesalahan membunuh. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.” [4] Kami telah mendengar rayuan-rayuan ini. Selepas menimbangkan hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak, meneliti rekod-rekod rayuan dan menganalisis undang-undang yang berkaitan, kami berpendapat rayuan-rayuan ini tidak mempunyai merit. Justeru, kami sebulat suara menolak rayuan-rayuan perayu dan mengesahkan sabitan dan hukuman-hukuman oleh Hakim Bicara. NARATIF KES PENDAKWAAN [5] Pada 2.10.2014, jam lebih kurang 5.00 petang, simati dan Ismail bin Mat Sulaiman yang juga dikenali dengan Pok Chu Usin (SP17) berada di sebuah warung yang dikenali sebagai Kedai Kopi Yati untuk minum kopi. Ketika mereka berada di warung tersebut, perayu telah datang dengan menaiki sebuah kereta Gen 2 nombor pendaftaran WMT 5016 dan bertanya kepada pelanggan bernama Ibnu Abbas tentang samada terdapat sesiapa di warung tersebut yang bercakap tentang hal diri perayu. [6] Melihatkan keadaan tersebut, simati telah menegur perayu sambil menasihatkannya. Perayu telah membalas balik teguran tersebut dan menyatakan, “kamu tak payah campur hal orang, cara hal sendiri sahaja”. Ekoran daripada itu, pertengkaran mulut telah berlaku antara perayu dengan simati yang mana menyebabkan kedua-dua pihak telah mengeluarkan parang. Walau bagaimanapun, parang tersebut hanya dipegang oleh simati dan erayu masing-masing kerana kedudukan mereka agak jauh iaitu lebih kurang 20 kaki. [7] SP17 kemudiannya telah meleraikan pertengkaran tersebut dan apabila pertengkaran telah berhenti, SP17 pun beredar untuk pulang ke rumahnya. Pada masa tersebut, Zakaria bin Taib (SP8) dan Zulkiflee bin Alias (SP12) telah datang ke Kedai Kopi Yati apabila mengetahui berlaku pertengkaran antara perayu dan simati. Setelah tiba di kedai tersebut, keadaan telah pun reda. SP8 pun mengajak simati untuk balik ke rumahnya. SP8 dan simati telah beredar dengan menaiki motorsikal masing-masing untuk pulang ke rumah. Pada ketika itu juga perayu dikatakan telah berkata, “aku akan tepuhmu (langgarmu) sampai mapuh (mampus/mati)” beberapa kali. Ini telah didengar oleh mereka-mereka yang berada di kedai tersebut. SP8 tidak menghiraukan kata-kata perayu tersebut dan meneruskan perjalanan untuk pulang ke rumah bersama-sama simati. Perayu telah dilihat bergerak menghala ke atas, namun begitu telah menukar haluan keretanya dan memecut laju ke arah laluan yang dilalui oleh SP8 dan simati dari arah bertentangan. [8] Semasa SP8 dan simati melalui jalan di hadapan rumah Zakaria bin Gani (SP6), perayu telah melanggar SP8 yang berada di laluan kiri jalan dari arah belakang sehingga menyebabkan SP8 melambung dan jatuh ke atas cermin hadapan kereta perayu. Perayu seterusnya telah membelok sedikit ke kanan dan melanggar pula motorsikal simati yang berada di laluan kanan jalan juga daripada arah belakang sehingga menyebabkan simati melambung sehingga 6-7 kaki dan jatuh ke atas jalan raya. Pada masa itu juga, SP8 yang berada di atas bonet hadapan kereta perayu turut terjatuh ke atas jalan. [9] Perayu telah meneruskan perjalanan ke hadapan, yang mana kemudiannya telah membuat pusingan ‘U’ di satu simpang lebih kurang 100 meter di hadapan lalu berpatah balik ke arah simati dan SP8. Perayu telah melanggar dan menggilis simati dan SP8 buat kali kedua sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada simati dan kecederaan teruk kepada SP8. Perayu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Kedai Kak Yati dan telah memberhentikan keretanya. Seterusnya, dia memberitahu kepada mereka yang berada di kedai tersebut, “aku dah tepuh dah, tengoklah ingat aku tidak berani.” Kata-kata tersebut telah didengar oleh SP18 iaitu Pok De Kamal. [10] Akibat daripada perlanggaran tersebut, simati telah mengalami 35 kecederaan yang teruk pada tubuhnya, keretakan tulang tengkorak, kepatahan tulang rusuk dan pendarahan pada paru-paru. Punca kematian simati telah disahkan oleh pakar forensik, Dr. Zuraida bint Md Zainuri (SP5) yang mana menyatakan bahawa kecederaan yang dialami oleh simati adalah serius dan peluang simati untuk hidup amatlah tipis. [11] SP8 pula mengalami kecederaan parah di kepala, dada dan anggota lain, yang mana kesan kecederaan tersebut adalah selari dengan satu kemalangan berimpak tinggi, yang mana jika ianya tidak dirawat secepat mungkin boleh membawa maut. Kedua-dua simati dan SP8 telah dihantar ke Bahagian Kecemasan Hospital Setiu Manakala perayu telah membuat satu laporan polis sepertimana P64. Walau bagaimanapun, laporan tersebut adalah satu maklumat palsu untuk mengelakkan dirinya daripada dikenakan tindakan kerana melanggar simati dan SP8. [12] Simati telah disahkan meninggal dunia oleh SP10 semasa dibawa ke Hospital Setiu. SP8 pula telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut. Pemeriksaan oleh Dr. Sarah Atiqah (SP7) terhadap SP8 mengesahkan bahawa SP8 mengalami kecederaan otak akibat keretakan tulang kepala dan muka, kepatahan tulang-tulang rusuk dan juga kepatahan tulang tangan kanan yang mana jika ianya tidak dirawat secepat mungkin boleh membawa maut. DAPATAN HAKIM BICARA DI AKHIR KES PENDAKWAAN [13] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara setelah menimbang keterangan saksi-saksi pendakwaan telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan satu kes prima facie keatas ketiga-tiga pertuduhan tersebut. Pertuduhan Pertama