Fakta kes adalah sepertimana terkandung di dalam Rekod Rayuan (RR) Jilid 1 di m/s 27 – 29 seperti berikut: “[10] Mangsa iaitu SP2 ialah anak SP1 yang merupakan anak ketiga daripada 5 beradik. SP2 berusia 15 tahun 10 bulan sewaktu kejadian ini berlaku. Kejadian berlaku pada 30/4/2020 (dalam bulan Ramadhan) pada jam lebih kurang 5.00 petang. Hubungan SP2 dengan OKT pula ialah bapa saudara memandangkan hubungan ibu SP2 iaitu SP1 dengan isteri OKT iaitu SD2 adalah adik-beradik (adik dengan kakak). [11] Kejadian ini berlaku sewaktu SP2 sedang tidur di atas sofa 3seater di rumah datuknya dalam keadaan badannya mengiring dengan badannya dan muka SP2 mengadap TV. SP2 terasa payudaranya dipegang sewaktu sedang tidur oleh satu tangan yang datangnya dari arah belakang sofa tempat SP2 tidur. SP2 membuka matanya dan nampak bayang OKT dari kaca TV yang tidak menyala (off mode) yang dia nampak tangan OKT lah yang memegang buah dadanya. SP2 tepis tangan OKT dan menoleh ke belakang. Dia melihat OKT sedang berdiri rapat dengan belakang sofa. SP2 menyatakan tangan kiri OKT memegang buah dada SP2 di kedudukan X3 dari kedudukan OKT berdiri bertanda Y [eksibit P2(E)]. SP2 memandang OKT dengan pandangan yang tidak suka. OKT lantas beredar ke dapur. Manakala SP2 menyatakan dia dalam keadaan takut terus pergi ke bilik tidur ibunya dan menangis kepada ibunya. Namun tidak menceritakan kejadian tersebut kepada ibunya. Ini disahkan oleh ibu SP2 yang telah bertanyakan sebab dia menangis namun SP2 enggan bercerita. [12] Dalam keterangan SP1 (ibu) pula mengesahkan, dia telah melihat perubahan tingkah laku anaknya sejak kejadian tersebut, yang sebelum ini suka bergurau namun telah berubah menjadi seorang yang pendiam, suka menangis dan kerap berkurung di dalam bilik. SP2 juga tidak fokus kepada pembelajaran kelas online walhal beliau sebelum ini seorang pelajar yang aktif. [13] SP1 mengesahkan bahawa SP2 hanya menceritakan tentang kejadian pada 30/4/2020 tersebut kepadanya pada bulan Mei 2020. SP1 sangat terkejut lalu bertanyakan kepada anak-anak perempuannya yang lain sama ada turut menjadi mangsa cabul OKT. SP1 menjelaskan SP2 mula mengalami gangguan emosi dan gangguan tidur. Pada 20/7/2020, SP1 telah membawa SP2 ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan kerana SP1 merasakan anaknya mendapat tekanan perasaan. [14] SP2 telah diperiksa oleh SP3 (Dr. Ezirra) seorang Doktor di Jabatan Kecemasan. Sewaktu ditemu bual, SP2 telah menceritakan seluruh kejadian yang berlaku kepadanya dan menceritakan dia alami trauma. Trauma tersebut telah menyebabkan SP2 hampir ingin membunuh diri kerana merasakan maruah dirinya telah tercemar akibat perbuatan OKT. SP2 menyatakan kepada SP3 bahawa kejadian itu adalah kejadian kedua yang berlaku kepadanya. Kali pertama berlaku sewaktu SP2 berumur 13 tahun yang berlaku pada tahun 2017 sewaktu cuti sekolah. [15] Kejadian pada tahun 2017 berlaku semasa SP2 bercuti di rumah OKT sendiri. SP2 menyatakan kejadian pada tahun 2017, OKT juga mencabulnya dengan menyentuh buah dada dan kemaluannya. SP2 menyatakan kejadian pertama ini telah menyebabkan beliau trauma dan fobia dan perasaan ini tidak pernah hilang, beliau rasa tidak selesa apabila berada dekat dengan ayah sendiri serta ahli keluarga yang lain kerana takut kejadian tersebut berulang lagi. Namun SP2 berjaya menyembunyikan kejadian itu daripada pengetahuan ahli keluarga dan cuba bereaksi secara normal di hadapan ahli keluarga kerana takut untuk bercerita kepada sesiapa. [16] Apabila kejadian yang sama berlaku untuk kali kedua, SP2 menyatakan beliau begitu takut, trauma dan rasa tertekan kerana ianya perkara yang berulang serta takut akan berlaku lagi pengulangan kejadian yang sama pada masa akan datang. Akibatnya, kejadian itu telah memberi kesan atau gangguan emosi dan tekanan yang hebat kepada emosinya sehingga beliau menjadi murung dan ingin membunuh diri. [17] SP3 iaitu doktor tersebut telah membuat laporan polis Beranang/001502/20 atas kejadian yang berlaku. Perlu dijelaskan juga di sini, bagi kejadian yang berlaku di rumah OKT pada tahun 2017, pertuduhan bagi kejadian tersebut, terdapat permohonan TPR untuk DNAA. Maka HMS terdahulu telah pun DNAA kes tersebut. Oleh itu hanya pertuduhan pada tahun 2020 sahaja yang dibicarakan di hadapan Mahkamah ini.”