Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA SELANGOR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO.: BJ-B51-3-06/2021 ANTARA AZHANI BIN MARLAN @ ABD HALIM (NO. K/P: 770714-10-5981) …PLAINTIF
BJ-B51-3-06/2021
Sessions Court of Malaysia15 Aug 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“57. Seterusnya, merujuk kepada kes Rookes v. Barnard [1964] AC 1129, telah dijelaskan bahawa adalah wajar untuk membenarkan pemberian ganti rugi teladan apabila terbukti wujud tindakan yang menindas, sewenang-wenangnya, atau tidak berperlembagaan oleh penjawat awam.”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH SESYEN DI KUALA SELANGOR DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN, MALAYSIA GUAMAN SIVIL NO.: BJ-B51-3-06/2021 ANTARA AZHANI BIN MARLAN @ ABD HALIM (NO. K/P: 770714-10-5981) …PLAINTIF
1
SARJAN MOHD TERMIZI BIN ZULKOPLI
2
KOPERAL AZIZUL
3
ASP ASMADI BIN HUSSIN KETUA BAHAGIAN SIASATAN TRAFIK
4
KERAJAAN MALAYSIA …DEFENDAN-DEFENDAN PENGHAKIMAN
1
Plaintif (Azhani bin Marlan @ Abd Halim), seorang guru, telah memfailkan satu tindakan sivil terhadap Defendan Pertama iaitu Sarjan Mohd Termizi, Defendan Kedua (Koperal Azizul), Defendan Ketiga (ASP Asmadi bin Hussin) dan Defendan Keempat (Kerajaan Malaysia). Tindakan sivil ini adalah berasaskan tort penahanan salah terhadap Plaintif dan kenderaannya, pencerobohan, conversion, detinue, pelanggaran tugas statutori danhak Perlembagaan, serta pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution) rentetan daripada pengeluaran 3 saman trafik dan penyitaan kereta milik Plaintif jenis Nissan Fairlady dengan nombor pendaftaran WKN 688 yang didakwa dilakukan secara tidak sah pada 04.02.2018.
2
Setelah pihak-pihak selesai memfailkan pliding dan dokumen masing-masing, kes ini telah ditetapkan untuk bicara penuh.
3
Setelah Mahkamah mendengar dan meneliti keterangan saksi-saksi Plaintif dan Defendan-Defendan serta selepas mempertimbangkan hujahan-hujahan bertulis yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak, didapati bahawa, di atas imbangan kebarangkalian, tuntutan Plaintif yang terdapat di perenggan 56, Penyata Tuntutan adalah dibenarkan setakat bagi item (b), (c), (d), (e), (g), (h), (j), (k), (l) dan
m
(m). Ini bermakna tuntutan Plaintif di item (a), (f), (i), (n) dan (o) telah ditolak.
4
Selain itu, ganti rugi bagi penahanan salah terhadap Plaintif dibenarkan sebanyak RM10,000.00, ganti rugi bagi tort penahanan salah, pencerobohan, tort conversion dan detinue terhadap kenderaan no. WKN 688 dibenarkan sebanyak RM50,000.00 dan ganti rugi teladan dibenarkan sebanyak RM15,000.00. Turut dibenarkan faedah dan kos mengikut skala.
5
Perincian penuh bagi butiran bagi item-item yang dibenarkan adalah seperti yang berikut: Item b. Deklarasi bahawa Plaintif telah ditahan secara salah lebih 1 jam oleh Defendan Ketiga pada 04.02.2018 di lbu Pejabat Polis Sabak Bernam, di Sungai Besar, Selangor; Item c (dengan pindaan oleh Mahkamah). Deklarasi bahawa penahanan kenderaan WKN 688 milik Plaintif oleh Defendan Pertama hingga Defendan Ketiga bermula 04.02.2018 sehingga 05.03.2018 adalah tidak sah dan batal kerana bertentangan dengan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Item d. Deklarasi bahawa Defendan Pertama dan Defendan Kedua telah melakukan salah tahan, tort pencerobohan, tort conversion dan detinue ke atas harta Plaintif apabila Defendan menahan kenderaan WKN 688 milik Plaintif bermula 04.02.2018 sehingga 05.03.2018. Item e. Deklarasi bahawa Defendan-defendan telah melanggar hak kebebasan Plaintif dan Hak terhadap Harta Benda bawah Artikel 5 dan Artikel 13(2) Perlembagaan Persekutuan apabila menahan secara salah lebih 1 jam di Balai Polis Sungai Besar dan menahan dan menyita kenderaan WKN 688 milik Plaintif secara salah dan tanpa notis sita/perintah Mahkamah sejak 04.02.2018 hingga 05.03.2018. Item g. Perintah supaya senarai hitam terhadap nama Plaintif untuk pembaharuan Lesen Kenderaan Motor [LKM] berkaitan/bersangkutan 3 Saman Trafik POL 257 C0601G00983 bertarikh 4.2.2018 dan Saman Trafik: BE-86POL-1812-03/2018 dan kes Saman Trafik: BE-86POL-2113-04/2018 dan BE-86POL-2114- 04/2018 hendaklah dibatalkan dan dipadamkan rekodnya daripada rekod pihak Defendan-defendan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan; Item h. Deklarasi bahawa Defendan Keempat adalah bertanggungan secara beralih/gantian terhadap kecuaian dan ketinggalan dilakukan Defendan Pertama hingga Ketiga semasa menjalankan tugas mereka sebagai anggota dan pegawai polis trafik; Item j. Perintah supaya Defendan-Defendan membayar Plaintif untuk gantirugi bagi tort pencerobohan dan tort conversion dan detinue ke atas harta Plaintif iaitu kereta WKN 688 untuk satu jumlah yang akan ditentukan Mahkamah ini atau untuk ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini. Item k (dengan pindaan oleh Mahkamah). Perintah supaya Defendan-Defendan membayar gantirugi teladan kepada Plaintif bagi penahanan salah kenderaan WKN 688 milik Plaintif sebanyak jumlah yang akan ditentukan Mahkamah yang Mulia ini atau jumlah lain untuk ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini. Item l. Perintah supaya Defendan-Defendan membayar gantirugi kepada Plaintif untuk penahanan salah Plaintif lebih 1 jam di Balai Polis Sungai Besar sebanyak jumlah yang akan ditentukan Mahkamah Mulia ini atau jumlah lain untuk ditaksirkan oleh Mahkamah yang Mulia ini. Item m (dengan pindaan oleh Mahkamah). Perintah supaya Defendan-Defendan membayar kepada Plaintif untuk gantirugi pelanggaran tugas statutori terhadap Perkara 5 dan 13(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
6
Tidak berpuashati dengan keputusan itu, pihak Defendan telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap sebahagian keputusan itu. Alasan penghakiman ini disediakan bagi tujuan rayuan itu.
7
Pada 04.02.2018, kenderaan jenis Nissan Fairlady (WKN 688) milik Plaintif mengalami kerosakan akibat “overheating” dan telah diletakkan di dalam petak parkir Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) di hadapan bengkel ST Used Car and Auto Services, Sungai Besar, Selangor.
8
Kenderaan berada dalam keadaan statik, enjin dimatikan, dan bonet hadapan dibuka.
9
Selepas itu Defendan Pertama dan Defendan Kedua tiba dan kemudiannya disertai oleh Defendan Ketiga. Atas arahan Defendan Ketiga, Defendan Pertama dan Defendan Kedua telah mengeluarkan 3 saman trafik terhadap Plaintif bagi kesalahan tiada Lesen Kenderaan Motor/Cukai Jalan, memandu berbahaya/potong barisan dan nombor plat fancy).
10
Walaupun kenderaan itu rosak, Defendan Ketiga mengarahkan Plaintif memandu kenderaan tersebut ke Balai Polis Sungai Besar dengan diiringi Defendan Pertama dan Defendan Kedua.
11
Apabila tiba di balai polis, Plaintif telah diarah oleh Defendan Ketiga untuk "tidak ke mana-mana" dan ditahan di situ selama lebih 1 jam. D3 turut didakwa mengejek dan memalukan profesion Plaintif sebagai guru di khalayak ramai.
12
Kenderaan Plaintif itu disita bermula 04.02.2018 sehingga 05.03.2018 (30 hari) dengan tampalan kertas "KENDERAAN DISITA" pada cermin kereta tanpa sebarang notis sitaan diberikan kepada Plaintif dan tanpa sebarang kebenaran/perintah daripada Majistret.
13
Kenderaan itu hanya dilepaskan selepas peguam Plaintif menghantar Notis Tuntutan bertarikh 19.02.2018.
14
Semasa hari perbicaraan kes saman trafik di Mahkamah Majistret, Plaintif telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA; Discharge Not Amounting to an Acquittal) pada 08.09.2020 kerana Defendan Ketiga selaku saksi utama gagal hadir perbicaraan sebanyak 2 kali.
15
Berkenaan isu penahanan salah terhadap Plaintif (false imprisonment), Defendan menafikan berlakunya sebarang tangkapan, sama ada secara fizikal mahupun secara konstruktif. Plaintif dikatakan berada di tempat awam (balai polis), tidak pernah digari, tidak dimasukkan ke dalam lokap, dan sebenarnya bebas untuk pergi ke mana-mana asalkan tanpa keretanya. Malah Plaintif sendiri dikatakan mengaku beliau tidak berasa terancam semasa itu.
16
Berkenaan isu sitaan kenderaan, conversion, detinue dan pencerobohan harta, Defendan menyatakan bahawa penyitaan kenderaan Plaintif adalah sah di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kuasa ini digunakan untuk menghalang Plaintif daripada meneruskan kesalahan trafik memandangkan cukai jalan kereta tersebut telah tamat tempoh dan menggunakan rekabentuk nombor pendaftaran yang fancy.
17
Berkenaan ketiadaan notis sitaan secara bertulis, Defendan menyatakan bahawa Seksyen 64(4) APJ 1987 hanyalah satu arahan prosedur (directory), dan bukannya bersifat mandatori. Oleh kerana Plaintif telah berada di lokasi kejadian dan sedia maklum bahawa keretanya disita, tujuan notis itu (iaitu untuk memaklumkan pemilik) telah tercapai dan ketidakpatuhan ini tidak menjadikan sitaan tersebut tidak sah.
18
Menjawab dakwaan Plaintif tentang isu pelanggaran Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan Akta Polis 1967, Defendan menggunakan maksim undang-undang Generalia specialibus non derogant. APJ 1987 adalah undang-undang yang spesifik/khusus untuk mengawal selia sitaan kenderaan motor, maka ia mengenepikan pemakaian undang-undang umum seperti KTJ dan Akta Polis.
19
Berkaitan isu pendakwaan berniat jahat (malicious prosecution), Defendan menghujahkan bahawa keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan Plaintif bukanlah satu “keputusan yang menyebelahi Plaintif” kerana Plaintif masih boleh didakwa semula.
20
Defendan Pertama, Kedua dan Ketiga mempunyai "reasonable and probable cause” untuk mengeluarkan saman terhadap Plaintif kerana mereka adalah saksi mata (eye witnesses) yang nampak sendiri kesalahan trafik dilakukan oleh Plaintif. Tambahan pula, Defendan bukan pihak pendakwa raya yang mempunyai kuasa memulakan pendakwaan di mahkamah.
21
Berkenaan isu kuantum dan ganti rugi teladan, Defendan mendakwa Plaintif gagal sama sekali untuk membuktikan sebarang kerugian sebenar hasil daripada kegagalan pihak polis memberikan notis sitaan.
22
Tuntutan Plaintif juga dikatakan tidak berasas kerana Defendan tidak mempunyai apa-apa niat jahat (malice), dendam, atau menunjukkan pengabaian hak secara melampau (contumelious disregard) terhadap Plaintif yang boleh membenarkan mahkamah memberikan ganti rugi teladan. Defendan dan Plaintif langsung tidak mengenali antara satu sama lain sebelum kejadian tersebut berlaku.
23
Bagi tuntutan di item (b) dan (l), Mahkamah mendapati bahawa arahan Defendan Ketiga (D3) yang menyatakan secara tegas kepada Plaintif agar "tidak dibenarkan ke mana-mana" semasa di Balai Polis Sungai Besar telah membentuk penahanan secara konstruktif (constructive arrest) sedangkan kesalahan trafik adalah suatu kesalahan tidak boleh tangkap (non-seizable) di bawah Seksyen 23 Kanun Tatacara Jenayah.
24
Hujahan Defendan bahawa tiada penahanan dikenakan terhadap Plaintif kerana tiada penggunaan gari atau tiada kemasukan ke dalam lokap tidak boleh diterima. Undang-undang memperakui prinsip bahawa elemen paksaan psikologi dan dominasi kawalan oleh pihak berkuasa ke atas individu biasa sudah memadai untuk menyebabkan kehilangan hak kebebasan diri menurut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
25
Prinsip utama dalam kes Shaaban & Ors v. Chong Fook Kam & Anor [1960] 2 MLJ 219 menetapkan bahawa tangkapan telah sah berlaku sebaik sahaja pihak polis menggunakan sebarang bentuk perkataan atau tindakan yang menghalang kebebasan pergerakan seseorang. Mahkamah memutuskan bahawa tangkapan tidak semestinya memerlukan penahanan fizikal seperti penggunaan gari atau dimasukkan ke dalam lokap. Penahanan secara konstruktif (constructive arrest) boleh berlaku sekiranya pihak polis, melalui perkataan atau tingkah laku, menjelaskan bahawa mereka akan menggunakan kekerasan (jika perlu) untuk menghalang individu tersebut daripada pergi ke mana-mana tempat yang beliau mahu.
26
Di dalam kes ini, walaupun Plaintif tidak digari, arahan tegas Defendan Ketiga di balai polis bahawa Plaintif "tidak dibenarkan ke mana-mana" yang disokong oleh kehadiran anggota-anggota polis beruniform, telah melengkapkan elemen paksaan dan halangan pergerakan yang menepati takrifan "constructive arrest". Maka biarpun Plaintif dikatakan tidak berasa terancam, ia terjadi kerana Plaintif menuruti kehendak pihak polis ketika itu dengan kekal berada di balai polis itu.
27
Bagi tujuan penetapan jumlah pampasan yang bersesuaian, rujukan dibuat kepada kes Mohd Hady Ya'akop lwn Hassan Marsom [2018] 7 CLJ 403. Kes Mahkamah Persekutuan ini merupakan panduan penting mengenai penetapan liabiliti dan penaksiran pampasan ganti rugi dalam situasi salah guna kuasa polis, penahanan yang salah, penahanan reman yang tidak sah, dan pelanggaran hak kebebasan diri di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.
28
Pihak Defendan menghujahkan bahawa prinsip pemberian ganti rugi yang tinggi dalam kes Mohd Hady Ya'akop tidak boleh digunapakai dalam kes ini kerana kes itu melibatkan penahanan reman selama 14 hari yang disusuli dengan elemen keganasan pihak polis, sedangkan Plaintif dalam kes ini hanya mendakwa ditahan selama 1 jam di kawasan awam balai polis tanpa sebarang insiden sentuhan fizikal atau kekasaran. Oleh itu, menurut Defendan, sekiranya penahanan salah dibuktikan sekalipun, Plaintif hanya layak menerima ganti rugi nominal yang jauh lebih rendah.
29
Namun begitu, Mahkamah ini mendapati bahawa perbuatan Defendan yang menyekat kebebasan Plaintif secara menindas tidak boleh dikompromi, meskipun dalam tempoh masa yang singkat. Mahkamah hendaklah memberi isyarat bahawa mahkamah sedia memberikan pampasan yang besar bagi penindasan terhadap kebebasan dan reputasi seseorang akibat perbuatan salah ejen kerajaan. Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa ganti rugi sebanyak RM10,000.00 adalah berpatutan dan sesuai bagi tuntutan ini.
30
Bagi tuntutan di item (c), (e) dan (m), Mahkamah ini mendapati bahawa penahanan kenderaan Plaintif mulai 04.02.2018 sehingga 05.03.2018 adalah batal dan tidak sah kerana bertentangan dengan peruntukan mandatori Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987
31
Mahkamah mendapati bahawa kenderaan itu diletakkan di petak parkir Majlis Daerah, yang tidak mematuhi definisi "jalan raya"
Preamble
mengikut Seksyen 2 APJ 1987, sekaligus menafikan bidang kuasa pihak polis untuk menyita kenderaan itu.
32
Hujahan Defendan bahawa pengeluaran Notis Sitaan di bawah Seksyen 64(4) Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanyalah bersifat directory tidak diterima. Sekiranya ia benar bersifat directory, mengapakah Defendan-Defendan telah dengan kelam kabut mencari Plaintif sehingga ke sekolah untuk mengemukakan notis pemulangan kenderaan dan notis sitaan, sedangkan sebelum itu, permintaan Plaintif untuk pemulangan tidak diendahkan oleh Defendan. Keterangan menunjukkan bahawa Defendan hanya bertindak sedemikian selepas peguam Plaintif menghantar Notis Tuntutan bertarikh 19.02.2018 yang pada mulanya tidak diendahkan oleh pihak polis.
33
Walaupun dihujahkan bagi pihak Defendan bahawa polis terpaksa mencari Plaintif di sekolah kerana percubaan untuk menelefon Plaintif tidak berjawab, perkara itu tidak dibuktikan di Mahkamah. Tiada rekod panggilan telefon dikemukakan di Mahkamah.
34
Mahkamah berpendapat bahawa pelucutan hak ke atas harta perseorangan memerlukan pematuhan prosedur yang ketat. Dengan itu, tindakan menyita kenderaan Plaintif itu tanpa penyerahan notis sitaan adalah pelanggaran prosedur yang nyata. Seksyen 64 Akta APJ 1987 adalah peruntukan spesifik yang wajib dipatuhi oleh Defendan.
35
Kegagalan Defendan untuk mengemukakan sebarang notis sitaan terhadap kenderaan tersebut, dan ketiadaan perintah daripada Majistret, menyebabkan penahanan kenderaan itu menjadi suatu penahanan secara salah di sisi undang-undang. Jelas sekali bahawa Defendan-Defendan telah melanggar tugas statutori mereka.
36
Tambahan lagi, penahanan kenderaan yang melepasi tempoh 48 jam tanpa sebarang pelaporan atau kebenaran daripada Majistret merupakan suatu pelanggaran Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
37
Penahanan harta secara paksa ini secara langsung mencabuli hak perlindungan harta yang dijamin di bawah Perkara 13(2) Perlembagaan Persekutuan.
38
Kes Ketua Polis Negeri Sembilan & Anor v. Manoharan Dorasamy [2004] 1 CLJ 101 telah secara jelas mengesahkan bahawa penahanan sesuatu harta melebihi tempoh 48 jam tanpa dilaporkan kepada dan tanpa mendapat perintah daripada Majistret seperti yang dikehendaki menurut Kanun Tatacara Jenayah, adalah satu tindakan yang tidak sah dan salah di sisi undang-undang.
39
Bagi tuntutan di item (d) dan (j), Mahkamah mendapati bahawa perbuatan mengawal dan menahan kenderaan Plaintif selama 30 hari tanpa asas perundangan serta menafikan hak Plaintif untuk menggunakan kenderaan tersebut, secara langsung mensabitkan Defendan dengan liabiliti tort detinue dan penafian hak milik atau conversion.
40
Di dalam kes Mohd Adzlan Hj Zainal & Yang Lain lwn. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) [2015] 3 CLJ 315, Mahkamah telah memutuskan bahawa keengganan menyerahkan hak pemilikan harta kepada pemilik sebenar tanpa alasan yang dibenarkan undang-undang mewujudkan liabiliti pampasan terhadap tort detinue dan conversion.
41
Kes itu melibatkan situasi di mana pihak tuan tanah (MAIS) telah enggan memberikan milikan kosong dan kunci rumah kepada pembeli-pembeli hartanah. Oleh itu, mahkamah perlu menentukan sama ada pembeli-pembeli mempunyai hak milik yang sah ke atas unit-unit hartanah itu, sama ada hak tersebut dinafikan secara tidak sah oleh defendan, dan sama ada keengganan menyerahkan hartanah itu adalah munasabah.
42
Mahkamah memutuskan bahawa keengganan untuk menyerahkan pemilikan harta kepada pemilik yang sah tanpa sebab yang munasabah telah memenuhi elemen-elemen tort detinue dan conversion.
43
Sama seperti keengganan MAIS menyerahkan kunci rumah kepada pembeli yang sah dalam kes Mohd Adzlan, Mahkamah mendapati bahawa Defendan-Defendan telah bertindak menahan dan memegang kenderaan Plaintif selama 30 hari tanpa mengikut peruntukan undang-undang yang sah. Keengganan Defendan mengembalikan kereta tersebut kepada Plaintif selaku pemilik yang sah terjumlah kepada penafian hak milik (conversion) dan penahanan harta secara salah (detinue).
44
Di dalam kes Mohd Adzlan juga, mahkamah telah meneliti "kemunasabahan" keengganan pihak defendan menyerahkan harta. Di dalam kes ini, Makamah turut mendapati bahawa penahanan kenderaan Plaintif adalah tidak munasabah dan menyalahi undang-undang, memandangkan kenderaan itu telah rosak dan diletakkan di petak parkir Majlis Daerah yang pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyita kenderaan itu.
45
Berkenaan isu kuantum yang bersesuaian, Defendan merujuk kepada kes Mohd Adzlan dan menghujahkan bahawa mahkamah dalam kes itu hanya memberikan ganti rugi sebanyak RM10,000.00 bagi setiap orang untuk tort detinue/conversion.
46
Namun begitu, Mahkamah berpendapat bahawa fakta kes itu boleh dibezakan dengan kes ini kerana penahanan kenderaan Plaintif selama sebulan itu bukan sahaja menyebabkan Plaintif kehilangan hak kegunaan kereta, malah mengakibatkan kemerosotan nilai kenderaan secara mendadak sehinggakan Plaintif akhirnya terpaksa menjual kenderaan tersebut pada harga yang jauh lebih rendah berikutan kerosakan dan stigma "kenderaan disita polis".
47
Oleh itu, Mahkamah berpendapat bahawa ganti rugi sebanyak RM50,000.00 adalah berpatutan dan sesuai bagi tuntutan ini.
48
Berkenaan tuntutan di item (j), Mahkamah mendapati bahawa bahawa Defendan Pertama, Defendan Kedua dan Defendan Ketiga merupakan penjawat awam dan anggota polis yang bertugas di bawah seliaan dan penggajian Defendan Keempat.
49
Malah turut didapati bahawa segala tindakan yang dilakukan oleh Defendan Pertama hingga Ketiga; termasuklah pengeluaran saman trafik, penahanan Plaintif dan penyitaan kenderaan Plaintif, telah dilakukan semasa mereka sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pegawai polis trafik.
50
Dengan itu, menurut prinsip vicarious liability, majikan (Defendan Keempat) mempunyai tanggungan undang-undang terhadap sebarang tindak-tanduk, kecuaian, atau ketinggalan yang dilakukan oleh pekerja atau ejennya (Defendan Pertama hingga Ketiga) sepanjang tempoh mereka menjalankan tugas itu.
51
Defendan Keempat juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang kerugian dan kesengsaraan yang dihadapi oleh Plaintif akibat daripada arahan dan kegagalan prosedur yang dilakukan oleh anggota-anggotanya di bawah peruntukan Akta Prosiding Kerajaan 1956, selagi mereka bertindak dalam urusan tugas rasmi. (Dirujuk Seksyen 5 dan 6 Akta Akta Prosiding Kerajaan 1956).
52
Di dalam kes Maslinda Ishak v. Mohd Tahir Osman & Ors [2009] 6 CLJ 653, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa Kerajaan Malaysia adalah bertanggungjawab secara beralih (vicariously liable) ke atas perbuatan anggota keselamatan yang telah mengambil gambar mangsa tanpa kebenaran semasa dalam tahanan. Walaupun perbuatan mengambil gambar itu adalah satu salah laku yang tidak dibenarkan, ia tetap berlaku semasa anggota tersebut sedang melaksanakan tugas rasminya menjaga tahanan.
53
Oleh sebab itu, meskipun tindakan Defendan Pertama hingga 3 (menyita tanpa notis dan menahan Plaintif secara salah) adalah bertentangan dengan undang-undang (APJ 1987 dan KTJ), tindakan mereka itu masih dilakukan semasa mereka melaksanakan tugas rasmi. Oleh itu, Defendan Keempat adalah wajib bertanggungjawab terhadap tindak tanduk mereka dan bertanggungan bagi membayar ganti rugi yang ditetapkan oleh Mahkamah.
54
Berkenaan tuntutan di item (k), Mahkamah ini berpendapat bahawa ganti rugi teladan adalah diwajibkan sebagai amaran keras kepada salah laku ejen kerajaan. Tindakan Defendan-Defendan mempunyai unsur niat jahat (malice) yang melampaui batas kewajipan tugas rasmi mereka. Mahkamah mendapati bahawa Defendan Ketiga sememangnya sengaja meneruskan pengeluaran 3 saman trafik itu walaupun sudah mengetahui ianya tiada asas, dan akhirnya pendakwaan tidak dapat diteruskan atas kegagalan kehadiran Defendan Ketiga sendiri ke Mahkamah Majistret semasa hari perbicaraan. Perlu juga diambil perhatian bahawa tindakan Defendan menahan Plaintif di balai polis adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa yang serius dan melanggar hak Perlembagaan Plaintif.
55
Oleh yang demikian, adalah wajar bagi tuntutan Plaintif di item (g) bagi membatalkan senarai hitam terhadap nama Plaintif turut dibenarkan. Ini kerana kes terhadap Plaintif masih boleh diteruskan (perintah DNAA sahaja dikeluarkan) dan pendakwaan masih boleh diteruskan sehingga Plaintif membayar saman trafik itu.
56
Mahkamah juga mendapati bahawa Plaintif tidak perlu membuktikan Defendan Ketiga telah memaklumkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengemaskini status senarai hitam nama Plaintif. Ini kerana seperti yang dinyatakan oleh Plaintif, beliau telah disaman oleh pihak polis. Maka untuk meletakkan beban itu kepada Plaintif adalah melampau kerana perkara itu tidak mungkin boleh diketahui oleh Plaintif.
57
Seterusnya, merujuk kepada kes Rookes v. Barnard [1964] AC 1129, telah dijelaskan bahawa adalah wajar untuk membenarkan pemberian ganti rugi teladan apabila terbukti wujud tindakan yang menindas, sewenang-wenangnya, atau tidak berperlembagaan oleh penjawat awam.
58
Kes Sambaga Valli KR Ponnusamy v. Datuk Bandar Kuala Lumpur & Ors [2017] 1 LNS 500 pula mengesahkan bahawa elemen niat jahat dan kelakuan yang tidak mengendahkan hak plaintif secara melampau (contumelious disregard) melayakkan plaintif untuk menerima ganti rugi teladan.
59
Oleh itu, Mahkamah ini berpendapat award sejumlah RM15,000.00 adalah bersesuaian bagi tuntutan ini. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai hukuman tetapi merupakan suatu langkah pencegahan agar ejen kerajaan tidak lagi menggunakan kuasa statutori sewenang-wenangnya terhadap orang awam.
60
Berdasarkan keterangan dan penjelasan yang dikemukakan di atas, Mahkamah ini berpendapat keputusan untuk membenarkan sebahagian tuntutan Plaintif beserta award dengan kos mengikut skala adalah wajar dan munasabah mengambilkira perlakuan Defendan-Defendan dan kerugian dan kecederaan yang telah dialami oleh Plaintif. Bertarikh pada 05 Mei 2026. (Ahmad Faizadh Bin Yahaya) Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Selangor Selangor Darul Ehsan. Bagi pihak Plaintif: Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail Peguambela & Peguamcara No. 53A, Tingkat 1 Jalan Melati 3/17 Bandar Malawati 45000, Kuala Selangor Selangor Darul Ehsan. Bagi pihak Defendan: Jabatan Peguam Negara Bahagian Sivil No. 45, Persiaran Perdana Presint 4 62100, Putrajaya.
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.