Plaintif (Azhar bin Atan) dalam tindakan pertama merupakan pemilik berdaftar tanah HS(M) 3111, PTD 4221, Mukim Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor yang terletak dalam Kawasan Simpanan Melayu, mendakwa bahawa Tokoh Agro Sdn Bhd tanpa sebarang kebenaran telah menceroboh dan menduduki sebahagian hartanah tersebut, membersih serta mengerjakan tanaman seperti pokok pisang dan kelapa dan terus tinggal di atas tanah itu walaupun selepas satu notis bertarikh 18.12.2024 dihantar melalui peguamcara menuntut supaya segala pencerobohan dihentikan dan kawasan dikosongkan. Azhar turut mendakwa mengalami kehilangan manfaat menggunakan hartanah, kerosakan ke atas tanah dan menanggung kos melantik jurukur untuk menyediakan laporan teknikal. Oleh itu tuntutan Azhar terhadap Tokoh Agro Sdn Bhd (“Tokoh Agro”) antara lain adalah untuk deklarasi pencerobohan, perintah pengosongan dan injunksi untuk menghalang pencerobohan lanjut, pemindahan tanaman/struktur yang didirikan serta gantirugi am, gantirugi khas (termasuk kos jurukur) dan relief-relief lanjut yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.