KERAJAAN MALAYSIA … RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN [LAMPIRAN 18] A. PENDAHULUAN [1] Ini adalah permohonan oleh Pemohon di bawah Aturan 53 Kaedah 3(7) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan/atau di bawah Aturan 92 Kaedah 4 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk kebenaran melanjutkan tempoh masa bagi membuat Permohonan bagi Semakan Kehakiman. B. ALASAN-ALASAN PERMOHONAN [2] Pada 4.1.2022, Pemohon telah menerima Surat Tindakan Tatatertib di bawah Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Dan Tatatertib) 1993 Dengan Tujuan Buang Kerja Atau Turun Pangkat Di Bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Yang Sama (selepas ini dirujuk sebagai “Surat Tunjuk Sebab tersebut”) daripada Responden 1 bagi tujuan tindakan tatatertib atas 7 pertuduhan dan diberi tempoh masa dua puluh satu (21) hari untuk mengemukakan representasi bertulis yang mengandungi alasan-alasan bagi membebaskan diri Pemohon daripada pertuduhan-pertuduhan. [3] Pemohon telah mematuhi tempoh dua puluh satu (21) hari dan menghantar Surat Representasi Pemohon kepada Responden 1 melalui surat bertarikh 20.1.2022. [4] Pemohon juga telah mengemukakan representasi bertulis kepada Responden 1 bagi menjawab pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya dan sesalinan Surat Representasi itu telah Pemohon simpan di pejabat bagi tujuan rujukan dan memudahkan urusan berkaitan perkhidmatan Pemohon kelak. Ada waktu-waktu tertentu juga fail peribadi ini Pemohon bawa pulang ke rumah. [5] Pada 17.8.2023, melalui Superintendan Azizan bin Said di Pejabat Operasi, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, Pemohon telah menerima Surat Pemberitahuan Hukuman Tatatertib bertarikh 24.7.2023 oleh Lembaga Tatatertib yang dipengerusi oleh Responden 2 (selepas ini dirujuk sebagai “Surat Pemberitahuan tersebut”). Pemohon telah pulang ke rumah kerana hukuman buang kerja Pemohon telah berkuatkuasa mulai 13.7.2023 yang mana tarikhnya lebih awal dari tarikh pemberitahuan yang dimaklumkan kepada Pemohon. [6] Setelah menerima Surat Pemberitahuan tersebut, sekitar awal September 2023, Pemohon telah berjumpa dan mendapatkan khidmat peguam daripada Tetuan Adi Zulkarnain berkenaan dengan tindakan pemberhentian tersebut. Peguam Pemohon memerlukan dokumen-dokumen berkaitan terutama Surat Representasi yang telah dihantar kepada Responden 1 sebelum sebarang nasihat guaman dapat diberikan. Pemohon telah memberi akujanji kepada peguamnya untuk mendapatkan Surat Representasi tersebut. [7] Pemohon telah sedaya upaya mendapatkan Surat Representasi yang dihantar olehnya kerana ketika Surat Representasi itu disediakan, Pemohon bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Balai Polis Tun H.S Lee, IPD Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur. Namun, ketika pemberitahuan hukuman tatatertib dilaksanakan, Pemohon telah ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Kuala Lumpur. [8] Peguam Pemohon telah menasihati Pemohon bahawa terdapat kekeliruan sama ada Pengerusi Lembaga Tatatertib yang menghantar Surat Tunjuk Sebab itu adalah Pengerusi Lembaga Tatatertib yang sama membuat keputusan menjatuhkan hukuman atas Pemohon dan mengeluarkan pemakluman hukuman tataterib yang dikenakan terhadapnya. Pemohon tidak dapat memastikan perkara ini dan Pemohon perlu mendapatkan sesalinan Surat Representasi yang pernah dihantar oleh Pemohon. [9] Pemohon menyatakan sepanjang pengetahuannya, dia tidak pasti sama ada dia ada menerima pemakluman mengenai pertukaran Pengerusi Lembaga Tatatertib yang mengendalikan kesnya untuk menimbang dan/atau menilai representasi yang telah dihantar dan/atau menghantar representasi kepada Pengerusi Lembaga Tatatertib yang baru. [10] Setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mencari Surat Respresentasi itu dijalankan, Pemohon telah menghubungi peguamnya dan peguam Pemohon telah menghantar surat memohon dokumen kes tatatertib Pemohon dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pada 28.11.2023. Walau bagaimanapun, permohonan ini telah ditolak pada 28.12.2023 oleh JIPS. [11] Seterusnya, pada 3.12.2023, rumah Pemohon telah dipecah masuk dan berlaku kecurian dan satu laporan polis telah dibuat olehnya. Pada ketika ini, Pemohon tidak mengesyaki fail peribadinya juga mungkin hilang. [12] Pada April 2024, Pemohon telah mendapatkan khidmat nasihat guaman daripada Tetuan Rose Anuar Chambers dan sekali lagi peguam Pemohon membuat permohonan untuk mendapatkan laporan dan maklumat siasatan Lembaga Tatatertib bagi kes Pemohon dari JIPS Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, namun permohonan ini juga ditolak. Pada 9.6.2024, Pemohon telah membuat laporan polis berkenaan dengan kehilangan dokumen-dokumen peribadinya sepanjang perkhidmatan dengan PDRM. [13] Pemohon menyatakan adalah penting untuk dia mendapatkan Surat Representasi yang dihantar kepada Responden 1 dan/atau segala surat menyurat berkaitan dengan perjalanan proses tindakan tatatertibnya sehingga Pemohon dibuang kerja atas pertuduhan-pertuduhan yang dinyatakan dalam Surat Tunjuk Sebab dan Surat Pemberitahuan bagi mendapatkan nasihat perundangan yang sewajarnya bagi peguam Pemohon menyediakan kertas kausa untuk Permohonan Semakan Kehakiman ini. [14] Peguam Pemohon juga memaklumkan terdapat kekeliruan wujud kerana didapati ada dua (2) Pengerusi Lembaga Tatatertib yang berbeza yang telah mendengar dan memutuskan kes tindakan pembuangan kerja Pemohon. [15] Pemohon berhak untuk meneruskan Permohonan Semakan Kehakiman atas keputusan pembuangan kerja ini dalam tempoh tiga