PERBADANAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI PERAK ... RESPONDEN-RESPONDEN ALASAN PENGHAKIMAN A) PENDAHULUAN [1] Permohonan ini difailkan oleh Pemohon bagi mencabar keputusan hukuman buang kerja bertarikh 21.09.2021 serta keputusan rayuan bertarikh 11.07.2024 yang mengekalkan hukuman tersebut. [2] Pemohon memohon perintah Certiorari dan/atau Deklarasi untuk membatalkan keseluruhan keputusan tatatertib yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. [3] Permohonan ini difailkan di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan bersandarkan antara lain kepada Perkara 5, 132 dan 135 Perlembagaan Persekutuan serta Enakmen Badan Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Perak) 2003. B) LATAR BELAKANG KES [4] Pemohon, Azizul Rahman bin Mohammad @ Nadzri, telah mula berkhidmat dengan Responden Ke-6 pada 2 Januari 2008 sebagai Eksekutif Pengurusan Aset sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengurus Aset dan seterusnya dilantik secara pinjaman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ("KPE") pada 1 Januari 2016. [5] Pada 1 Januari 2018, beliau dilantik secara tetap sebagai KPE berdasarkan rekod prestasi yang didakwa cemerlang. Sepanjang tempoh tersebut, Pemohon turut memegang jawatan dalam syarikat milik Responden Ke-6, iaitu Solatis Power Sdn Bhd. [6] Sekitar Disember 2019, Responden Ke-5 dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan seterusnya menjadi Pengerusi Responden Ke-6. Susulan pelantikan tersebut, usaha penstrukturan semula pentadbiran Responden Ke-6 telah dicadangkan dan Pemohon diminta melepaskan jawatan KPE. [7] Rundingan telah berlangsung beberapa kali pada awal tahun 2020. Pemohon menyatakan bahawa beliau bersedia mempertimbangkan pelepasan jawatan tersebut tertakluk kepada terma-terma yang setara serta pampasan tertentu. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut tidak dimuktamadkan dan tiada persetujuan dicapai antara pihak-pihak. [8] Tidak lama selepas itu, Responden Ke-6 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berkaitan pelantikan dan pengurusan Pemohon. Pemohon telah ditangkap dan dibebaskan dengan jaminan pada November 2020, namun sehingga kini tiada pertuduhan jenayah difailkan terhadap beliau. Melalui surat bertarikh 6 April 2022, SPRM memaklumkan bahawa tiada tindakan pendakwaan diambil. [9] Pada 3 Disember 2020, Pemohon digantung kerja dengan bergaji penuh sementara menunggu siasatan lanjut. Penggantungan tersebut berlanjutan selama beberapa bulan. Pada 5 Ogos 2021, Jawatankuasa Tatatertib Responden Ke-6 mengeluarkan surat pertuduhan terhadap Pemohon di bawah Enakmen Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Perak) 2003. Pemohon memohon akses kepada dokumen-dokumen berkaitan bagi menyediakan representasi, namun mendakwa bahawa akses tersebut tidak diberikan sepenuhnya. Walau bagaimanapun, Pemohon tetap mengemukakan jawapan bertulis kepada pertuduhan. [10] Setelah meneliti jawapan tersebut, Jawatankuasa Tatatertib secara konsensus mendapati pertuduhan terbukti dan melalui surat bertarikh 21 September 2021 memaklumkan hukuman buang kerja terhadap Pemohon selaras dengan subkaedah 40(g) Enakmen Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Perak) 2003. [11] Pemohon telah mengemukakan rayuan pada 28 September 2021. Walau bagaimanapun, keputusan rayuan hanya dimaklumkan pada 11 Julai 2024, yang hampir tiga tahun kemudian dan Jawatankuasa Rayuan Tatatertib menolak rayuan serta mengekalkan keputusan buang kerja. C) HUJAHAN PEMOHON [12] Pemohon berhujah bahawa keseluruhan prosiding tatatertib adalah cacat dari sudut undang-undang dan prosedur. Pertama, Pemohon mendakwa bahawa beliau tidak diberikan peluang pendengaran lisan walaupun pertuduhan yang dikenakan adalah serius dan melibatkan implikasi reputasi serta kerjaya. Menurut Pemohon, representasi bertulis sahaja tidak memadai bagi menjamin hak pembelaan yang adil. [13] Kedua, Pemohon menyatakan bahawa beliau telah dinafikan akses kepada dokumen-dokumen penting yang diperlukan bagi menyediakan pembelaan yang efektif. Kegagalan memberikan dokumen tersebut, menurut Pemohon merupakan pelanggaran prinsip audi alteram partem dan menjadikan keseluruhan prosiding sebagai tidak adil. [14] Pemohon berhujah bahawa keputusan tatatertib dan keputusan rayuan tidak disertakan dengan alasan yang mencukupi serta tidak menunjukkan bahawa representasi beliau dipertimbangkan secara teliti. [15] Pemohon juga menegaskan bahawa kelewatan hampir tiga tahun dalam memutuskan rayuan adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan prinsip keadilan asasi. [16] Pemohon mendakwa bahawa tindakan tatatertib tersebut adalah bermotif mala fide dan merupakan kesinambungan usaha terdahulu untuk menyingkirkan beliau daripada jawatan KPE selepas rundingan penstrukturan semula gagal. [17] Oleh itu, Pemohon berhujah bahawa keputusan tersebut adalah ultra vires, tidak rasional dan wajar dibatalkan melalui perintah certiorari. D) HUJAHAN RESPONDEN [18] Responden pula berhujah bahawa Responden Ke-6 adalah sebuah badan berkanun yang tertakluk sepenuhnya kepada Enakmen Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Perak) 2003 dan bahawa segala tindakan tatatertib telah dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang tersebut. Surat pertuduhan telah dikeluarkan secara sah dan Pemohon telah diberikan peluang untuk mengemukakan representasi bertulis. [19] Responden menegaskan bahawa Jawatankuasa Tatatertib dan Jawatankuasa Rayuan bertindak secara kolektif dan keputusan dibuat secara konsensus, bukan oleh mana-mana individu secara bersendirian. Oleh itu, dakwaan bahawa keputusan dibuat secara sewenang-wenangnya adalah tidak berasas. [20] Responden turut berhujah bahawa skop semakan kehakiman adalah terhad kepada aspek proses, bidang kuasa dan kepatuhan kepada undang-undang dan bukan untuk Mahkamah menilai semula merit atau kebenaran fakta pertuduhan. [21] Menurut Responden, Pemohon pada hakikatnya cuba mengubah semakan kehakiman menjadi satu rayuan terhadap dapatan fakta Jawatankuasa Tatatertib. [22] Berhubung dakwaan mala fide dan kelewatan rayuan, Responden menafikan wujudnya niat jahat dan menyatakan bahawa keputusan rayuan dibuat setelah pertimbangan sewajarnya. Responden menegaskan bahawa tiada bukti kukuh dikemukakan bagi menyokong dakwaan mala fide tersebut dan bahawa keputusan yang dibuat adalah dalam lingkungan kuasa yang sah serta tidak menyalahi prosedur yang ditetapkan. E) DAPATAN MAHKAMAH [23] Mahkamah telah meneliti Afidavit Sokongan Pemohon, Afidavit Jawapan dan Afidavit Balasan yang difailkan oleh pihak-pihak serta hujahan bertulis yang dikemukakan. Setelah mempertimbangkan keseluruhan keterangan dan penghujahan yang ada, Mahkamah berpendapat bahawa isu utama yang perlu diputuskan bukanlah sama ada Pemohon sebenarnya bersalah atau tidak terhadap pertuduhan tatatertib yang dikenakan keatasnya. [24] Sebaliknya, persoalan yang perlu diputuskan adalah sama ada proses yang membawa kepada keputusan buang kerja tersebut telah dicemari oleh unsur ketidakpatuhan undang-undang, ketidakrasionalan atau ketidakadilan prosedur yang membolehkan campur tangan Mahkamah melalui bidang kuasa semakan kehakiman. [25] Adalah prinsip yang mantap bahawa Mahkamah dalam prosiding semakan kehakiman tidak berfungsi sebagai sebuah tribunal rayuan. Mahkamah tidak menilai semula merit sesuatu keputusan atau menentukan sama ada keputusan yang dibuat adalah keputusan yang paling tepat berdasarkan fakta. [26] Peranan Mahkamah adalah terhad kepada penelitian terhadap proses pembuatan keputusan bagi menentukan sama ada badan pembuat keputusan telah bertindak dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh undang-undang, mematuhi kehendak prosedur yang ditetapkan serta menghormati prinsip keadilan asasi. [27] Dalam kes ini, Mahkamah mendapati bahawa Responden Ke-6 merupakan sebuah badan berkanun yang tertakluk kepada Enakmen Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Perak) 2003. Tidak dipertikaikan bahawa Jawatankuasa Tatatertib mempunyai bidang kuasa yang sah untuk menjalankan prosiding tatatertib dan menjatuhkan hukuman termasuk hukuman buang kerja. [28] Oleh yang demikian, Mahkamah tidak mendapati sebarang isu berkaitan kekurangan bidang kuasa atau tindakan ultra vires yang boleh menjejaskan kesahan keputusan yang dicabar. [29] Mahkamah seterusnya meneliti aduan Pemohon bahawa beliau tidak diberikan peluang pendengaran lisan. Rekod menunjukkan bahawa surat pertuduhan telah disampaikan kepada Pemohon dan beliau diberikan peluang untuk mengemukakan representasi bertulis. Pemohon sememangnya telah menggunakan peluang tersebut dan mengemukakan jawapan bertulis terhadap pertuduhan yang dikenakan. [30] Mahkamah berpendapat bahawa prinsip keadilan asasi tidak semestinya menghendaki suatu pendengaran lisan diadakan dalam setiap kes tatatertib. Apa yang dituntut oleh undang-undang ialah peluang yang munasabah untuk didengar. [31] Dalam keadaan kes ini, Mahkamah mendapati peluang untuk mengemukakan representasi bertulis adalah memadai dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa ketiadaan pendengaran lisan telah menyebabkan ketidakadilan yang nyata kepada Pemohon. [32] Berhubung isu kegagalan mendedahkan dokumen tertentu, Mahkamah menerima bahawa pendedahan dokumen yang mencukupi merupakan salah satu elemen penting dalam memastikan seseorang yang dituduh dapat menyediakan pembelaannya dengan berkesan. [33] Walau bagaimanapun, dalam prosiding semakan kehakiman, adalah menjadi tanggungjawab Pemohon untuk menunjukkan bagaimana kegagalan mendapatkan dokumen tersebut telah menyebabkan prejudis sebenar terhadap pembelaannya. [34] Dalam kes ini, walaupun Pemohon mendakwa terdapat dokumen yang tidak diberikan, beliau tetap berjaya mengemukakan representasi bertulis terhadap pertuduhan yang dikenakan. Mahkamah mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang tidak diberikan itu adalah begitu material sehingga ketiadaannya telah menjejaskan keadilan keseluruhan prosiding. [35] Mahkamah turut mempertimbangkan dakwaan bahawa tindakan tatatertib yang diambil adalah bermotifkan mala fide dan merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyingkirkan Pemohon daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif selepas rundingan penstrukturan semula organisasi gagal mencapai persetujuan. [36] Walau bagaimanapun, dakwaan mala fide merupakan suatu dakwaan yang serius dan memerlukan pembuktian yang jelas serta kukuh. [37] Mahkamah berpendapat bahawa kronologi peristiwa yang dikemukakan oleh Pemohon, tanpa disokong oleh bukti yang meyakinkan, tidak memadai untuk membuktikan kewujudan niat jahat atau penyalahgunaan kuasa. [38] Sebaliknya, rekod menunjukkan bahawa pertuduhan telah dikeluarkan secara formal dan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib serta Jawatankuasa Rayuan secara kolektif mengikut mekanisme yang diperuntukkan oleh undang-undang. [39] Mahkamah seterusnya meneliti isu kelewatan dalam pelupusan rayuan tatatertib. Tidak dinafikan bahawa rayuan yang difailkan pada 28 September 2021 hanya diputuskan pada 11 Julai 2024. [40] Mahkamah bersetuju bahawa kelewatan tersebut adalah tidak memuaskan dan tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik. Namun demikian, kelewatan semata-mata tidak secara automatik menjadikan sesuatu keputusan pentadbiran itu tidak sah di sisi undang-undang. [41] Bagi membolehkan campur tangan kehakiman diberikan, Pemohon perlu menunjukkan bahawa kelewatan tersebut telah menyebabkan ketidakadilan substantif atau prejudis yang tidak boleh diperbaiki. Berdasarkan fakta kes ini, Mahkamah tidak mendapati kewujudan prejudis sedemikian. [42] Setelah menilai keseluruhan keadaan, Mahkamah berpuas hati bahawa Pemohon pada hakikatnya mengundang Mahkamah untuk menilai semula merit pertuduhan dan dapatan fakta yang dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib. Namun demikian, perkara tersebut berada di luar ruang lingkup semakan kehakiman. Mahkamah tidak mendapati sebarang unsur illegality, irrationality atau procedural impropriety yang cukup serius untuk mewajarkan campur tangan kehakiman. F) KESIMPULAN [43] Atas alasan-alasan yang dinyatakan di atas, Mahkamah mendapati bahawa permohonan semakan kehakiman ini adalah tidak bermerit. Oleh yang demikian, permohonan Pemohon ditolak dengan kos sebanyak RM5,000.00 tertakluk kepada alokatur. Pihak-Pihak: Bagi Pemohon: Adibah binti Ishak; Tetuan Fatimawati Ismail & Co. Bagi Responden-Responden: Vinodsagaran a/l Gunasakaren dan Lim Kai Yi; Tetuan Law Chambers of Vin Sa & lan