Content
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: W-05(M)-201-07/2020 ANTARA AZROL NIZAM BIN MOHD ZAID (NO. K/P: 880303-14-5791) … PERAYU DAN PENDAKWA RAYA … RESPONDEN (Dalam Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur Dalam Wilayah Persekutuan, Malaysia Perbicaraan Jenayah No: WA-45A-14-03/2018 Antara Pendakwa Raya Dan Azrol Nizam bin Mohd Zaid (No. K/P: 880303-14-5791) KORAM HAS ZANAH MEHAT, HMR HAJI AHMAD NASFY HAJI YASIN, HMR CHE MOHD RUZIMA GHAZALI, HMR 17/05/2022 10:01:26 W-05(M)-201-07/2020 Kand. 38 PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Azrol Nizam bin Mohd Zaid (perayu) telah dituduh dengan dua pertuduhan sepertimana berikut: PERTUDUHAN PERTAMA Bahawa kamu pada 18.11.2017 jam lebih kurang 5.15 petang di premis Blok C-14-10 PPR HiIiran Ampang, dalam Daerah Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah didapati mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 266.22 gram. Oleh itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah seksyen 39B(2) Akta yang sama. PERTUDUHAN KEDUA Bahawa kamu pada 18.11.2017 jam lebih kurang 5.15 petang di premis Blok C-14-10, PPR Hiliran Ampang, dalam daerah Wangsa Maju, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, telah didapati dalam milikan kamu dadah berbahaya iaitu Cannabis seberat 121.26 gram. Oleh itu kamu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen dan Akta yang sama. Pada 29.6.2020 Hakim Mahkamah Tinggi (HMT) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mendapati perayu bersalah dan telah disabitkan di atas kedua-dua pertuduhan. Bagi pertuduhan pertama, perayu telah dijatuhkan hukuman gantung di leher sampai mati. Manakala bagi pertuduhan kedua, perayu dijatuhkan hukuman penjara selama 2 tahun daripada tarikh ditangkap iaitu pada 18.11.2017. Terkilan dengan keputusan, perayu merayu terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan HMT bagi pertuduhan pertama sahaja. Fakta Kes Pihak Pendakwaan [2] Berdasarkan maklumat yang diterima mengenai kegiatan pengedaran dadah berbahaya, Inspektor Pathmanathan a/l Balakrishnan (SP3) telah mengetuai sepasukan polis daripada Cawangan Narkotik, IPD Wangsa Maju telah pergi ke sebuah pangsapuri yang beralamat C- 14-10, PPR Hiliran Ampang, Jalan Ampang, Kuala Lumpur (tempat kejadian) pada 18.11.2017 pada pukul 5.15 petang. [3] Setiba di tempat kejadian, SP3 dapati bahawa pintu hadapan tertutup dan dikunci dari dalam. Setelah SP3 mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki Melayu bernama Muhammad Azwan Shah bin Jefree Ganji @ Jefre Francis (Azwan) telah membuka pintu. memperkenalkan diri sebagai polis dengan menunjukkan kad kuasa. SP3 bertanya kepada Azwan di mana "Along". Azwan telah membawa SP3 ke bilik kedua sebelah kanan di tempat kejadian (bilik tersebut). [4] Bilik tersebut dikunci daripada dalam. SP3 mengetuk pintu bilik tersebut beberapa kali sambil memanggil nama "Along". Pintu bilik tersebut dibuka oleh seorang lelaki Melayu yang kemudiannya dikenali dan dicam sebagai perayu. SP3 bertanya kepada perayu sama ada dia adalah "Along". Perayu hanya berdiam diri serta kelihatan gelisah dan takut. [5] SP3 masuk ke dalam bililk tersebut untuk membuat pemeriksaan. SP3 nampak beberapa bungkusan plastik lut sinar dan juga sebuah kotak kayu di atas lantai bilik tersebut. Hasil pemeriksaan, SP3 menemui: a) lima paket plastik lut sinar yang mengandungi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine; b) satu paket plastik lut sinar yang mengandungi lima paket plastik kecil berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki dadah berbahaya jenis Methamphetamine; c) Satu kotak kayu yang mengandungi satu paket plastik lut sinar berisi ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis Cannabis; d) satu dompet warna coklat jenama "Ceve" mengandungi satu kad pengenalan atas nama perayu; e) dua alat penimbang; f) dua peralatan yang disyaki digunakan untuk menghisap dadah; dan g) satu plastik berwarna merah yang mengandungi beberapa paket plastik. [6] Hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah almari dalam bilik tersebut, SP3 menemui; a) sebuah kotak plastik mengandungi kad perniagaan bertulis “Manta Poulty Farm” dengan nama perayu di atasnya berjawatan sebagai “Operation Executive”; b) sekeping gambar perayu; c) wang tunai berjumlah RM2,550.00; d) sehelai baju berwarna putih berjenama “S original”; dan e) sehelai baju berwarna hijau berjenama "We”. [7] SP3 menjalankan tangkapan ke atas perayu dan merampas barang-barang yang ditemui (barang kes). Perayu dan barang kes dibawa ke IPD Wangsa Maju. SP3 kemudiannya menyerahkan perayu dan barang kes kepada pegawai penyiasat, lnspektor Mohamad Shah Rizan bin Said (SP4). [8] SP4 telah menyerahkan barang kes yang disyaki dadah berbahaya kepada Dr. Vanitha Kunalan (SP5), seorang ahli kimia di Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis. Setelah SP5 menjalankan pemeriksaan dan analisis ke atas barang kes yang disyaki dadah berbahaya tersebut, beliau mendapati bahawa bahan ketulan mampat daun kering adalah dadah jenis "Cannabis" seberat 121.26 gram dan ketulan-ketulan serbuk dan kristal adalah merupakan dadah jenis “Methamphetamine" seberat 266.22 gram (dadah tersebut). SP5 juga mengesahkan bahawa dadah tersebut disenaraikan sebagai dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952. Dapatan HMT di Akhir Kes Pendakwaan [9] Berhubung dengan jenis dadah, HMT berpendapat bahawa laporan SP5 adalah sah dan boleh diterima. Laporan SP5 juga tidak dicabar oleh pihak pembelaan. HMT berpuas hati bahawa dadah tersebut yang dirampas daripada perayu adalah dari jenis dadah yang disenaraikan sebagai dadah berbahaya di bawah ADB 1952 dan beratnya adalah sama sepertimana yang dinyatakan di dalam pertuduhan-pertuduhan terhadap perayu. [10] Berkait dengan elemen pemilikan, HMT menerima keterangan SP3 sebagai yakin dan tegas semasa menyatakan bahawa perayu sedang berada di dalam bilik tersebut ketika serbuan dibuat. HMT mendapati perayu mempunyai kawalan fizikal terhadap dadah tersebut dan mempunyai niat untuk berurusan dengannya. Ini kerana, pintu bilik di mana perayu berada serta di mana dadah tersebut dijumpai berkunci dari dalam dan hanya perayu sahaja berada di dalam bilik tersebut. Dadah tersebut juga ditemui di atas lantai bilik tersebut dan boleh dilihat dengan jelas oleh perayu. Jarak dekat di antara perayu dengan dadah tersebut merupakan satu faktor yang relevan untuk membuktikan kawalan. Selain itu, keadaan perayu yang nampak gelisah dan takut semasa diserbu adalah juga suatu fakta yang relevan. Reaksi dan kelakuan perayu boleh digunakan untuk membuat kesimpulan terhadap pengetahuan perayu ke atas dadah tersebut. [11] Bagi elemen pengedaran pula, dadah jenis Methamphetamine yang dirampas dari perayu adalah seberat 266.22 gram. Oleh sebab berat tersebut adalah melebihi 50 gram, HMT mendapati bahawa perayu adalah dianggap mengedar dadah tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952. [12] HMT mendapati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap perayu dan telah memanggil perayu membela diri di atas tuduhan mengedar dadah tersebut. Pembelaan Perayu [13] Perayu mengaku bahawa dia memang tinggal di tempat kejadian bersama ibu, adik perempuan dan juga adik lelakinya, iaitu Azwan. Perayu juga mengaku bahawa bilik tersebut adalah biliknya sendiri. [14] Menurut perayu, seorang rakan yang bernama Adib telah menelefonnya pada kira-kira pukul 4.45 petang pada hari kejadian. Perayu telah dikenalkan kepada Adib oleh rakannya yang bernama Hisham di sebuah restoran lebih kurang lima hingga enam bulan sebelum ditangkap. Semenjak berkenalan, Adib sering datang ke tempat kejadian. Adib pernah bertanya kepada perayu sama ada dia hisap dadah. Perayu telah memberitahu Adib bahawa dia bukanlah seorang penagih, tetapi ada menghisap dadah sekali-sekala. Adib telah minta izin untuk menghisap dadah dalam bilik tersebut kerana tidak selamat untuk hisap di rumahnya sendiri. Semenjak itu, Adib telah sebanyak lima hingga enam kali datang ke bilik tersebut untuk menghisap dadah dengan perayu sebelum ditangkap. [15] Menurut perayu lagi, pada hari kejadian Adib telah memberitahunya bahawa dia berada di kawasan tempat kejadian dan menyatakan hasrat untuk singgah. Apabila Adib sampai dia mengetuk pintu dan dibuka oleh Azwan. Perayu dan Adib kemudiannya masuk ke bilik tersebut. Adib mengeluarkan beberapa alatan menghisap dadah dari beg sandang berwarna biru yang dibawanya. Perayu dan Adib kemudiannya menghisap dadah selama sepuluh hingga lima belas minit di dalam bilik tersebut. [16] Selesai menghisap dadah, perayu keluar dahulu daripada bilik tersebut kerana Adib ingin membuat panggilan telefon kepada bapanya. Adib kemudiannya keluar dari bilik tersebut dan memberitahu perayu bahawa dia perlu beredar kerana ingin pergi ke rumah makciknya yang duduk di kawasan berdekatan. Menurut perayu, hanya dia dan Azwan yang berada di ruang tamu tempat kejadian apabila Adib beredar. Arwah ibu, bapa dan adik perempuannya berada di dalam bilik masing-masing pada waktu tersebut. [17] Perayu sedang berbaring di ruang tamu apabila dikejutkan oleh ketukan pintu yang kuat dan Azwan telah membuka pintu. SP3 dan pasukan beliau kemudiannya masuk. Perayu pada mulanya menyangka bahawa SP3 dan pasukannya adalah perompak. Walau bagaimanapun, SP3 telah memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mencari orang yang bernama Along. Perayu dan Azwan terpinga-pinga seketika, kerana tidak tahu siapakah Along yang dimaksudkan. Beliau kemudiannya teringat bahawa ada seorang rakan Adib yang pernah memanggil Adib dengan nama Along. [18] Perayu menyatakan bahawa SP3 dan pasukannya telah masuk ke dalam bilik tersebut dan menjumpai dadah tersebut. Perayu ada beritahu SP3 bahawa dadah tersebut bukanlah miliknya. Perayu tidak memeriksa bilik tersebut setelah Adib beredar dan menyatakan bahawa dadah tersebut semestinya milik Adib. Perayu juga menyatakan bahawa dia ada memberitahu SP4 tentang Adib semasa direman dan telah juga memberitahu nombor telefon Adib yang ada di dalam telefon bimbitnya yang telah dirampas oleh pihak polis. Perayu menyatakan bahawa SP4 tidak melakukan sebarang siasatan terhadap Adib. [19] Perayu menyatakan bahawa pihak pendakwaan sepatutnya memanggil Azwan untuk memberi keterangan, kerana ada dua versi yang berbeza berkenaan tangkapan. Hanya Azwan yang boleh mengesahkan sama ada perayu berada dalam bilik tersebut ataupun di ruang tamu semasa ditangkap. Kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil Azwan boleh diambil kira sebagai tindakan untuk menyembunyikan fakta material. Inferens bertentangan terhadap pihak pendakwaan di bawah seksyen perenggan 114(g) Akta Keterangan 1950 (AK 1950) terpakai. Dapatan HMT Di Akhir Kes Pembelaan [20] Pembelaan perayu berkisarkan pada watak bernama Adib. Perayu telah menyatakan bahawa dadah tersebut yang dirampas dari bilik tersebut adalah kepunyaan Adib. Dadah tersebut dibawa oleh Adib untuk mereka berdua menghisap dadah dalam bilik tersebut dan telah ditinggalkan oleh Adib. Perayu menyatakan bahawa dia tidak masuk kembali ke dalam bilik tersebut setelah Adib pergi dan tidak tahu dadah tersebut yang telah ditinggalkan oleh Adib. [21] Persoalan pertama adalah sama ada watak Adib wujud. Watak Adib tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan. Saksi utama pendakwaan, iaitu SP3 yang merupakan pegawai serbuan dan SP4, pegawai penyiasat tidak disoal tentang watak Adib semasa pemeriksaan balas. Jika benar perayu telah memberitahu SP4, maka SP4 perlu disoal balas tentang Adib, sama ada beliau telah melakukan siasatan dan sebagainya. HMT mendapati bahawa tidak ada sebarang maklumat yang telah diberikan oleh perayu kepada SP4 untuk siasatan lanjut dilakukan. [22] HMT menyimpulkan bahawa watak Adib tidak wujud dan hanyalah suatu yang difikirkan kemudian oleh perayu. HMT juga berpendapat bahawa tidak ada keperluan untuk pihak pendakwaan memanggil Azwan sebagai saksi kerana SP3 telah memberi keterangan bahawa perayu berada di dalam bilik tersebut semasa serbuan. Oleh itu, tiada keperluan untuk membangkitkan inferens bertentangan terhadap pihak pendakwaan kerana tidak memanggil Azwan memberi keterangan. [23] HMT mendapati bahawa perayu gagal di atas imbangan keberangkalian untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap milikan dadah tersebut, dan juga anggapan berkanun pengedaran di bawah perenggan 37(da) ADB 1952. HMT juga dapati bahawa perayu adalah bersalah menurut peruntukan seksyen 182A(2) KTJ kerana pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes terhadap OKT di luar keraguan munasabah terhadap pertuduhan pertama di bawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952. Rayuan Perayu [24] Perayu mengemukakan 11 alasan rayuan dalam Petisyen Rayuan. Dalam hujahan bertulis yang difailkan dan semasa berhujah secara lisan di hadapan kami, peguam perayu telah meringkaskan alasan rayuan hanya kepada 3 alasan sahaja. Pertama, dihujahkan bahawa HMT khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa anggapan bertentangan di bawah perenggan 114(g) AK 1950 terpakai terhadap kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan Azwan sebagai saksi pendakwaan. Kedua, HMT telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal memutuskan bahawa rantaian keterangan telah terputus apabila dadah tersebut yang dirampas tidak sama dengan dadah yang dikemukakan semasa peringkat perbicaraan dan ketiga, semasa berhujah secara lisan peguam perayu mengemukakan hujahan tambahan iaitu HMT telah khilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira pembelaan yang dikemukakan perayu, sebaliknya HMT mendapati bahawa watak Adib hanyalah suatu yang difikirkan kemudian oleh perayu. Dapatan Kami [25] Undang-undang berhubung dengan campur tangan mahkamah di peringkat rayuan ke atas keputusan hakim bicara adalah mantap. Kelebihan hakim bicara melihat dan mendengar sendiri saksi-saksi memberikan keterangan perlu diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Mahkamah Persekutuan di dalam kes Amri Ibrahim & Anor v PP [2017] 1 CLJ 617 telah memutuskan: [51] It is trite law that the view of the trial judge as to the credibility of a witness must be given proper weight and consideration. An appellate court should be slow in disturbing such finding of fact arrived at by the trial judge, who had the advantage of seeing and hearing the witness, unless there were substantial and compelling reasons for disagreeing (see Herchun Singh & Ors v PP [1969] 1 LNS 52; [1969] 2 MLJ 209). Sementara itu, di dalam kes Davendar Singh A/L Sher Singh v Pendakwa Raya [2012] MLJU 321 Mahkamah ini melalui keputusan Azhar Mohamed HMR (beliau ketika itu) telah memutuskan: [9] To begin with, we are mindful of the principle of law as submitted by Puan Nurul Huda Nur A'ini, the learned deputy public prosecutor that in respect of an appeal which really turns upon a question of fact, an appellate court is generally very reluctant to disturb a finding of fact by any trial judge for the reason that as trier of fact the trial judge has audio-visual advantage which we do not have. Nonetheless, it would be open to us to upset the findings made by a trial judge if such a finding is not supported by evidence or the decision is against the weight of the evidence or there is no proper judicial evaluation of the evidence or there is misdirection in law or the trial court has fundamentally misdirected itself. In this regard, judicial appreciation and evaluation of evidence is at the heart of the duty of the learned trial judge. It is the duty of the learned trial judge to undertake a positive evaluation of the evidence, which includes a careful analysis of the credibility and reliability of the witnesses for the prosecution (see: Balachandran v Public prosecutor [2005] 1 CLJ 85). It is also his duty to consider the entire evidence presented before him, including the evidence which favours the defence. On what constitutes judicial appreciation of evidence, it is apt to bear in mind the following words of Gopal Sri Ram JCA (as he then was) in Lee Ing Chin v Gan Yook Chin [2003] 2 MLJ 97 : A judge who is required to adjudicate upon a dispute must arrive at his decision on an issue of fact by assessing, weighing and, for good reasons, either accepting or rejecting the whole or any part of the evidence placed before him. He must, when deciding whether to accept or to reject the evidence of a witness, test it against relevant criteria. Thus, he must take into account the presence or absence of any motive that a witness may have in giving his evidence. If there are contemporary documents, then he must test the oral evidence of a witness against these. He must also test the evidence of a particular witness against the probabilities of the case. A trier of fact who makes findings based purely upon the demeanour of a witness without undertaking a critical analysis of that witness' evidence runs the risk of having his findings corrected on appeal. It does not matter whether the issue for decision is one that arises in a civil or criminal case: the approach to judicial appreciation of evidence is the same. Jelasnya, keputusan hakim bicara tidak boleh secara sewenang-wenangnya diusik, di antara lainnya semata-mata atas alasan bahawa mahkamah di peringkat rayuan mempunyai pandangan yang berbeza. [26] Berbalik kepada rayuan di hadapan kami, peguam perayu memberikan fokus kepada 3 isu dalam hujahannya. Secara umumnya, ketiga-tiga isu yang dihujahkan iaitu isu berhubung dengan anggapan bertentangan di bawah perenggan 114(g) AK 1950, isu tentang rantaian keterangan dan isu mengenai pertimbangan HMT ke atas keterangan pihak pembelaan adalah secara langsung berkisar di sekitar isu yang berkait tugas kehakiman hakim bicara. Peguam perayu menegaskan bahawa HMT telah melakukan kesilapan semasa membuat pertimbangan sehingga menjejaskan hak perayu untuk mendapatkan keadilan. [27] Sebagai permulaan, kami akan membuat pertimbangan ke atas isu ketiga yang dibangkitkan peguam perayu. Dalam hujahannya, peguam perayu menegaskan bahawa HMT gagal memberikan pertimbangan ke atas keterangan berhubung dengan versi pihak pembelaan iaitu berhubung dengan kewujudan ‘Adib’ yang dikatakan datang dan telah meninggalkan dadah tersebut yang ditemui dalam bilik tersebut. [28] Bagi membuat pertimbangan berhubung dengan isu ketiga, Alasan Penghakiman (AP) hakim bicara dan nota keterangan yang ada dalam Rekod Rayuan kami teliti. Tumpuan kami adalah terhadap aspek penghayatan secara kehakiman hakim bicara ke atas keseluruhan keterangan yang ada. Hakim bicara akan melakukan salah arah yang serius sekiranya didapati gagal membuat penilaian secara positif atau gagal melakukan analisis secara kritikal ke atas keterangan yang ada di hadapan beliau. [29] Dalam AP, khususnya di bawah tajuk ‘Analisis pembelaan’ yang bermula daripada perenggan [45] hingga perenggan [52], hakim bicara telah menyatakan secara ringkas bentuk pembelaan yang dibangkitkan perayu di perenggan [45] sepertimana berikut: Pembelaan tertuduh adalah berkisarkan watak yang bernama Adib. Tertuduh telah menyatakan bahawa dadah yang dirampas dari bilik tersebut adalah kepunyaan Adib. Menurut tertuduh, dadah tersebut dibawa oleh Adib apabila mereka berdua menghisap dadah di dalam bilik tersebut dan telah ditinggalkan oleh Adib. Menurut tertuduh, beliau telah keluar dari bilik tersebut dahulu kerana hendak memberikan ruang kepada Adib yang ingin menelefon bapanya. Tertuduh menyatakan bahawa beliau tidak masuk kembali ke dalam bilik tersebut setelah Adib pulang, dan tidak tahu dadah yang telah ditinggalkan oleh Adib. [30] Semasa membuat pertimbangan ke atas persoalan sama ada wujudnya watak ‘Adib’ di perenggan [53] AP, hakim bicara membuat kesimpulan bahawa watak ‘Adib’ tidak ditimbulkan pihak perayu semasa di peringkat kes pendakwaan. Saksi-saksi utama pendakwaan iaitu SP3 dan SP4 tidak disoal tentang watak ‘Adib’ semasa disoal balas. Hakim bicara seterusnya mendapati bahawa tidak ada sebarang maklumat yang telah diberikan oleh perayu kepada SP4 untuk dijalankan siasatan lanjut. Dengan merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Tan Kim Ho & Anor v PP [2009] 3 CLJ 236; [2009] 3 IMLJ 151 dan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Muhammad Faizal bin Dzulkifli v PP [2017] 3 CLJ 424;[2017] 2 MLJ 228, hakim bicara mendapati bahawa watak ‘Adib’ tidak wujud dan pembelaan yang dikemukakan perayu hanyalah suatu yang difikirkan kemudian. Berasaskan dapatan tersebut, hakim bicara memutuskan bahawa perayu gagal dalam pembelaannya. [31] Ironinya, dapatan hakim bicara tersebut bertentangan dengan fakta yang jelas dapat dilihat dalam nota keterangan. Di muka surat 51 dan 52 Rekod Rayuan Jilid 2 (RRJ2), SP3 telah disoal balas oleh peguam perayu berhubung dengan kewujudan ‘Adib’ sepertimana berikut: Baik lnspektor, saya katakan kepada lnspektor bahawa Tertuduh di dalam kes ini Azrol Nizam ini tidak dipanggil dengan, Tertuduh dalam kes ini Azrol Nizam ini tidak dipanggil dengan nama Along. Tak setuju. Saya katakan kepada lnspektor, Along ini dia meruiuk kepada seorang lelaki Melayu bernama Adib, setuju tak setuju? Tak setuju. Adib ya, A-d-i-b. Tak setuju. Saya katakan kepada lnspektor Adib ini dia berumur 28 tahun pada masa tangkapan. Tak setulu, bukan Adib, tak setuju. Ya? Bukan Adib, tak setuju. Tak setuju la? Ya. Tak pa lnspektor, saya katakan. Ok. Dan saya katakan kepada lnspektor Adib ini dari segi fizikal dia, ketinggian dia adalah lebih rendah kepada ketinggian Tertuduh, di paras bahu Tertuduh. Tak setuju, tak benar. Seorang yang berbadan tidak gempal, baik, dan berkulit cerah, setuju tak setuju? Tak, tidak setuju. Dan saya katakan Adib tersebut adalah tinggal Bukit Belacan, Ampang. Tak setuju. Dan saya katakan kepada Inspektor, sejurus sebelum serbuan berlaku ke rumah tersebut, Adib baru saja keluar daripada rumah tersebut. Tak setuju. Dan saya katakan kepada lnspektor bahawa Adib ini dia pergi ke rumah tersebut sekurang-kurangnya 3 atau 4 kali seminggu dan memang akan berada di dalam bilik tersebut. Tak setuju. Sementara itu, SP4 turut disoal balas oleh peguam perayu sebagaimana yang dapat dilihat di muka surat 73 dan 74 RRJ2 sepertimana berikut: Baik, saya katakan kepada lnspektor, arahan yang saya terima adalah bahawa semasa siasatan, OKT telah maklumkan kepada lnspektor bahawa terdapat seorang lelaki Melayu bernama Adib dikenali sebagai Along. Setuju tak setuju ada terdapat seorang lelaki Melayu bernama Adib dikenali sebagai Along' setuju? Tak setuju Tuan. Saya katakan juga kepada lnspektor bahawa semasa siasatan OKT ada maklumkan kepada lnspektor bahawa Adib tersebut baru saja keluar dari rumah tempat kejadian sebelum serbuan berlaku. Maaf Tuan, saya tak setuju. NMI Saya juga katakan kepada lnspektor bahawa OKT berikan maklumat berkenaan Adib ini tentang di mana Adib tinggal iaitu di Bukit Belacan di Ampang dan juga physical feature Adib. Saya tak setuju Tuan. Macam mana tinggi dia. Saya tak setuju. Dan juga saya katakan kepada lnspektor bahawa OKT ada maklumkan kepada lnspektor bahawa nombor telefon Adib ada dalam handphone, setuju? Maaf Tuan, OKT tak maklumkan apa-apa berkaitan dengan Adib. [32] Daripada nota keterangan tersebut, jelaslah bahawa terdapat percanggahan yang sangat nyata di antara dapatan yang dibuat hakim bicara berbanding dengan keterangan yang ada di hadapan beliau. Hakikatnya, hakim bicara gagal memberikan pertimbangan yang sewajarnya ke atas keterangan yang ada semasa membuat keputusan. Dalam keadaan tersebut, kami dapati keputusan hakim bicara yang mendapati bahawa pembelaan perayu adalah pembelaan yang difikirkan semula adalah satu salah arah yang serius. Sewajarnya, hakim bicara beri pertimbangan ke atas pembelaan yang dikemukakan perayu dan buat keputusan sama ada pembelaan perayu dapat meragukan kes pendakwaan atau sebaliknya berdasarkan keseluruhan keterangan. [33] Berhubung dengan isu yang sama iaitu mengenai salah arahan, kami juga mendapati bahawa hakim bicara telah melakukan satu lagi salah arah ketika membuat pertimbangan yang membawa kepada keputusan di akhir kes pembelaan. Menurut AP hakim bicara, perayu mempunyai milikan ke atas dadah tersebut setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan perayu mempunyai kawalan fizikal dan berniat untuk berurusan dengan dadah tersebut berdasarkan keterangan secara langsung. Lihat perenggan [27] AP. Bagi eleman pengedaran pula, anggapan di bawah s 37(da)(xvi) ADB 1952 telah diguna pakai oleh kerana berat dadah tersebut adalah melebihi 50 gram. Lihat perenggan [29] AP. Berdasarkan dapatan tersebut, hakim bicara telah memutuskan wujud kes prima facie terhadap perayu di akhir kes pendakwaan. [34] Kemudiannya, di bawah tajuk ‘Keputusan’ di perenggan [53] AP, hakim bicara telah memutuskan sebagaimana berikut: Setelah mempertimbangkan dan menganalisis semua keterangan dan hujah-hujahan peguam-peguam terpelajar bagi dua-dua pihak, Mahkamah ini dapati bahawa tertuduh telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan munasabah di atas keseimbangan keberangkalian terhadap milikan dadah tersebut, dan juga anggapan berkanun pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. Mahkamah ini juga dapati bahawa tertuduh adalah bersalah menurut peruntukan seksyen 182A(2) KTJ, kerana pihak pendakwaan telah berjaya untuk membuktikan kes mereka terhadap terluduh di luar keraguan munasabah terhadap pertuduhan pertama dibawah seksyen 39B(1)(a) ADB 1952, dan pertuduhan kedua di bawah seksyen 6 ADB 1952. (penekanan kami tambah) Daripada keputusan tersebut, hakim bicara telah mengenakan beban yang sama ke atas perayu untuk berjaya dalam pembelaannya, iaitu ‘di atas keseimbangan kebarangkalian’ terhadap elemen pemilikan dan juga elemen pengedaran dadah tersebut. [35] Kami dapati bahawa keputusan tersebut silap. Hakim bicara telah tersalah arah apabila meletakkan beban yang lebih berat ke atas perayu iaitu di atas imbangan kebarangkalian untuk menimbulkan keraguan ke atas elemen pemilikan, sedangkan pendakwaan tidak bergantung kepada anggapan undang-undang di bawah perenggan 37(d) ADB 1952 bagi membuktikan elemen pihak pemilikan dan hakim bicara sendiri telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan elemen pemilikan melalui keterangan langsung di akhir kes pendakwaan. Hakim bicara sepatutnya membuat pertimbangan yang berbeza ke atas pembelaan perayu berhubung dengan elemen pemilikan dan pengedaran dadah tersebut di akhir kes pembelaan. Bagi elemen pemilikan, perayu hanya perlu kemukakan pembelaan yang dapat menimbulkan keraguan yang munasabah sahaja. Sementara itu, bagi elemen pengedaran pula, perayu perlulah kemukakan pembelaan di atas imbangan kebarangkalian bagi menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan memandangkan adanya anggapan di bawah perenggan 37(da) ADB