Future Treatment. PENDENGARAN RAYUAN [11] Rayuan pihak-pihak telah didengar pada 7 dan 17.7.2023. [12] Adalah undang-undang mantap bahawa Mahkamah rayuan tidak akan mengusik keputusan mahkamah bicara melainkan Mahkamah mendapati terdapat salah arah fakta dan undang-undang yang substantial. Untuk berjaya dalam rayuannya perayu hendaklah membuktikan bahawa keputusan mahkamah bicara tersebut adalah “plainly wrong”. Mahkamah bicara mempunyai kelebihan secara langsung untuk melihat dan menilai saksi yang memberi keterangan di hadapannya serta berpeluang meneliti “demeanour” saksi: Rasidin Bin Partojo v Frederick Kiai [1976] 2 MLJ 214. [13] Mahkamah rayuan pula akan menyemak dan meneliti proses penilaian yang dibuat oleh mahkamah bicara atas keterangan dan penggunaan undang-undang yang relevan dalam sesuatu kes apabila mencapai keputusannya. Oleh itu, walaupun perayu menyenaraikan berapa pun alasan dalam Memorandum Rayuan, tugas mahkamah rayuan adalah memastikan sama ada perayu telah membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian. [14] Daripada pemerhatian Mahkamah ini, isu-isu yang dibangkitkan oleh Plaintif dalam hujahannya boleh disimpulkan seperti berikut bagi tujuan rayuan ini: i. HMS adalah terkhilaf apabila “biased” dalam meneliti keterangan Plaintif dan SP4 yang merupakan saksi mata kejadian (very suspicious mind with a Jaundiced Eye). Perkara ini dapat dilihat dalam pemilihan perkataan-perkataannya dalam Alasan Penghakiman HMS tersebut; ii. HMS terkhilaf apabila mendapati keterangan Plaintif adalah berbeza-beza dan “ditokok tambah” (perenggan 38, 47 dan 78 dalam Alasan Penghakiman); iii. HMS terkhilaf dalam meletakkan liabiliti 80% atas Plaintif yang tidak disokong oleh keterangan, terutamanya keterangan senyap yang mana adalah lebih berkemungkinan berbanding versi Defendan-Defendan; iv. HMS terkhilaf apabila tidak mendapati Defendan-Defendan 100% cuai sedangkan Defendan Pertama sendiri mengakui dia melihat motorsikal Plaintif pada jarak 50-60 meter dan boleh mengelak kemalangan tersebut daripada berlaku; an v. HMS terkhilaf apabila gagal mengambil kira keterangan saksi bebas dalam memutuskan versi mana yang lebih berkemungkinan dan konsisten antara Plaintif dan Defendan-Defendan. [15] Teras rayuan Plaintif ialah bahawa terdapat kon keselamatan diletakkan di laluan kecemasan yang cuba dielak oleh Plaintif sehingga menyebabkan dia mengubah haluan lalu melanggar kereta yang dipandu oleh Defendan Pertama lalu dia terpelanting ke atas jalan raya. Plaintif berhujah Defendan Pertama dalam keterangannya sendiri mengakui tiada kerosakan dilihat kepada tayar sebelah kiri hadapan. Kerosakan yang jelas kelihatan di bahagian hadapan kiri kereta Defendan Kedua juga membuktikan bahawa Defendan Pertama yang telah melanggar motorsikal Plaintif yang mana adalah konsisten dengan keterangan Plaintif. Tetapi Plaintif tidak bersetuju kereta itu telah naik ke atas “handle” motorsikal dan ditegaskan kereta itu melanggar motorsikal sehingga menyebabkan kemalangan tersebut. Oleh itu, versi Plaintif yang dihujahkan lebih boleh dipercayai berbanding versi Defendan Pertama. Dihujahkan juga bahawa keterangan Defendan Pertama yang tidak konsisten semasa pemeriksaan balas menunjukkan bahawa dia seorang saksi yang tidak boleh dipercayai kerana keterangannya adalah bercanggah dengan keterangan senyap yang dirakam oleh pihak polis. PENILAIAN DAN DAPATAN MAHKAMAH A. LIABILITI i. Isu biasness HMS dan keterangan yang “ditokok tambah” [16] Isu (i) dan (ii) yang dibangkitkan oleh Plaintif menjurus kepada sikap HMS yang dikatakan “biased” dalam meneliti keterangan Plaintif dan SP4 yang merupakan saksi mata kejadian (very suspicious mind with a Jaundiced Eye). Alasan Penghakiman HMS tersebut dirujuk di ms 38 Nota Keterangan, di mana HMS telah menegur cara pengendalian kes ini oleh peguam Plaintif. HMS menyatakan peguam Plaintif kerap membawa keterangan baru dan tidak memberikan notis awal kepada mahkamah. Mahkamah ini mendapati HMS beberapa kali telah menegur peguam Plaintif (apabila Nota Keterangan kes ini diteliti). Oleh itu, Mahkamah berpandangan isu ini telah terjawab dengan sendirinya. ii. Isu liabiliti Plaintif [17] Mahkamah boleh mengulas ketiga-tiga isu dalam (iii), (iv) dan (v) di dalam perenggan-perenggan berikut. Plaintif turut berhujah dalam menilai keterangan saksi, walaupun saksi itu tidak goyah semasa disoal balas tidak bermakna fakta itu sahaja yang digunakan sebagai pertimbangan oleh hakim bicara. Perkara yang lebih penting ialah keterangan pihak mana yang lebih berkemungkinan apabila mahkamah bicara mendapati dua versi yang bercanggah antara satu sama lain: Mohd Yusof Bin Abdul Ghani v Tee Song Kee & Anor [1995] MLJU 344. Berpaksikan pada undang-undang yang mantap inilah maka Mahkamah ini mendapati mahkamah bicara telah mengapplikasikan prinsip yang betul dalam menilai keterangan saksi-saksi kes Plaintif dan Defendan-Defendan yang bercanggah dalam kes ini. Pertikaian yang utama ialah isu sama ada terdapat kon-kon yang cuba dielak oleh Plaintif di lorong kecemasan tersebut. Defendan Pertama pula bertegas tidak ada kon keselamatan di laluan kecemasan dan tidak nampak ada sebarang kon diletakkan di situ. Defendan Pertama mengatakan tayar kiri hadapan sememangnya pecah akibat keretanya ternaik ke atas “handle” motorsikal itu dan tayar telah ditukar sebelum pihak polis merakam gambar-gambar kerosakan kedua-dua kenderaan supaya dia boleh memandu pulang. Defendan Pertama juga telah merakam gambar kerosakan keretanya dengan telefon bimbitnya yang menunjukkan ada kesan goresan yang panjang pada bahagian bawah kiri kereta (D23(A-G)). [18] Antara keterangan lain yang biasa dibandingkan ialah laporan polis yang dibuat oleh pihak-pihak dalam sesuatu kes kemalangan jalan raya untuk menentukan versi mana yang lebih berkemungkinan berlaku apabila dibandingkan dengan keterangan senyap yang lain. Mahkamah ini telah meneliti dan mendapati bahawa laporan polis dibuat pada 4 masa yang berbeza dan yang paling hampir dengan masa kejadian ialah laporan yang dibuat oleh kakak Plaintif (SP3). Laporan polis oleh SP3, dibuat pada 7.12.2013 jam 12.39 tengah malam (P3) di ms 378, RRJ3. Laporan ini kandungannya tidak membantu Mahkamah tentang bagaimana kemalangan berlaku. [19] Laporan kedua dibuat oleh Defendan Pertama pada jam 11.05 pagi pada 7.12.2013 ditandakan D2 (ms 376 RRJ3). Defendan Pertama berumur 25 tahun pada masa kejadian dan bekerja sebagai anggota tentera. Defendan Pertama menyatakan dalam D2 dia ternampak seorang lelaki terbaring atas jalan dan keretanya terlanggar motorsikal yang berada di atas jalan. Kerosakan pada kereta ialah lampu signal hadapan kiri pecah, bumper hadapan kemek, bahagian body bawah kiri rosak dan lain-lain kerosakan belum dipastikan lagi. [20] Laporan ketiga (ID4) dibuat oleh Zulkifli Bin Ibrahim (SP4) seorang pekerja swasta berumur 41 tahun pada masa itu (ms 377, RRJ3). Dalam ID4 yang dibuat pada 14.12.2013, SP4 menyatakan apabila sampai di tempat kejadian malam itu dia nampak sebuah kereta nombor tidak diketahui telah melanggar sebuah motorsikal dan pada masa yang sama motorsikal itu telah terjatuh di tengah jalan. Kereta itu kemudiannya menggilis motorsikal itu. Tidak dinyatakan di dalam laporan polisnya di mana penunggang motorsikal itu terjatuh. [21] Semasa pemeriksaan balas SP1 mengaku telah mengambil percakapan SP4 hanya pada 3.11.2020 iaitu 7 tahun selepas kejadian dan ada disebut Plaintif terlambung dan jatuh di atas jalan selepas motorsikalnya dilanggar di bahagian hadapan. Perkara ini dinyatakan dalam pernyataan saksi yang difailkan di mahkamah. SP1 juga bersetuju lorong kecemasan tidak boleh digunakan sebagai laluan oleh kenderaan yang tidak mempunyai kecemasan (seperti motorsikal Plaintif). Pegawai polis ini juga bersetuju apabila ada halangan seperti kon, pengguna jalan raya yang berada di laluan itu perlu memperlahankan kenderaannya untuk memberi laluan kepada kenderaan yang datang barulah dia boleh mengubah haluannya (ms 22, Nota Keterangan). SP4 juga tidak menyatakan dalam laporan ID4 mengenai Plaintif memasang lampu isyaratnya sebelum mengubah haluan. Menurut SP1 pegawai penyiasat asal kes ini tidak bertanya soalan itu kepada saksi bebas, jadi aspek ini tidak disiasat. Walaubaimanapun, jika dilihat gambar P6E yang dikemukakan secara berasingan semasa perbicaraan, kon itu ada dalam gambar. Wujud persoalan, kenapa pegawai penyiasat asal tidak menyiasat dengan saksi-saksi tentang kewujudan kon, jika benar ada pada malam kejadian. [22] Laporan oleh Plaintif, seorang pelajar kolej berumur 18 tahun, dibuat seperti P1 pada 17.12.2013 iaitu 2 minggu selepas kejadian (ms 375 RRJ3). Plaintif menyatakan telah pengsan selepas kemalangan dan diwadkan selama 9 hari. Dia menyatakan dalam P1 bahawa dia mengelak kon dan tiba-tiba kereta Defendan Pertama melanggar belakang motorsikalnya. Motorsikalnya rosak teruk di bahagian belakang. Plaintif kemudian menjelaskan kesilapannya dengan mengatakan kerosakan di bahagian belakang dan apa yang hendak ditulis ialah kereta itu datang dari belakang. Plaintif memberitahu SP1 dia terlepas pandang akan percanggahan dalam laporan polis itu. SP1 juga bersetuju Plaintif tidak pernah membuat laporan pembetulan. [23] Dalam keterangan pemeriksaan balas SP1 dia mengatakan dalam siasatannya Plaintif tidak menyatakan ada kon dan cuma “Based on report only”. Di dalam pernyataan saksi SP1 dia menyatakan kemalangan boleh dielakkan jika Defendan mengambil perhatian kewujudan kon di laluan kecemasan tetapi SP1 juga memberitahu mahkamah bahawa Plaintif telah disaman (ms 24 Nota Keterangan). SP1 juga bersetuju pihak yang terhalang laluannya (Plaintif) ada tangungjawab untuk mengurangkan kelajuan kenderaannya dan memberi laluan sebelum menukar haluannya. [24] Beban pembuktian dalam kes ini terletak kepada Plaintif untuk membuktikan kecuaian Defendan Pertama yang dikatakan telah menyebabkan kemalangan dan kecederaan yang dialaminya. Mahkamah merujuk kepada kes Ong Cheng Wah & Anor v Supramaniam A/L Arjunan [2001] MLJU 291 di mana Mahkamah Tinggi Taiping memutuskan: “It is settled law that the onus is on the plaintiff to prove affirmatively that the accident occurred due to the negligence of the defendant and it is not for the defendant to excuse himself that he was not negligent. In (23) Ng Chui Sia v Maimon Bt. Ali [1983] 1 M.L.J. 110, His Lordship Hashim Yeop A. Sani J. said:- "In an action for negligence the onus of proving the allegation of negligence rests on the person who makes it unless there are disclosed facts which raise a presumption in favour of the plaintiff. The plaintiff must show affirmatively that there has been a breach of a specific or general duty by the defendant and this resulted in the damage to the plaintiff. If he fails to prove this the action must fail." (the emphasis is by this court)”. [25] Dalam kes ini, Pegawai Penyiasat (IO) asal, Insp. Moh Aznal, tidak dipanggil untuk memberi keterangan sedangkan dia masih bekerja dan tidak berada di luar Malaysia. Bukanlah dia tidak boleh dikesan dan dipanggil untuk memberi keterangan bagi menutup kelompangan tentang kenapa IO tersebut tidak menyiasat isu kon keselamatan pada masa kejadian. Sebaliknya IO gantian (SP1) yang mengambil percakapan saksi-saksi 7 tahun selepas kejadian. Di dalam hal ini, peruntukan s. Akta Keterangan 1950 adalah terpakai dan kegagalan memanggil IO asal kes ini sedikit sebanyak mencacatkan kes Plaintif yang memikul beban pembuktian atas tuduhan kecuaian terhadap Defendan-Defendan. Walaubagaimanapun, presumption of adverse inference di bawah s.114(g) tidak perlu digunakan dalam kes ini. [26] Mengenai isu gambar kelima (P6E) yang dikemukakan secara berasingan oleh SP2 dan penerangan saksi ini kenapa gambar ini tidak dicetak dan dikemukakan dengan 4 keping gambar yang lain, Mahkamah ini mendapati keterangan oleh SP2 tersebut tidak begitu meyakinkan pada tahap prima facie iaitu sesuatu credible evidence yang boleh dipercayai oleh Mahkamah. Gambar ini ada keraguan dan jika dilihat, pada cetakan 4 gambar P6(A-D) ada garisan-garisan yang mungkin dihasilkan oleh mesin pencetak tertentu tetapi gambar kelima itu tidak ada garisan yang sama. Oleh kerana kon keselamatan tidak ada ditandakan dalam rajah kasar, ada kemungkinan bahawa ia tidak wujud pada malam itu atau berada di tempat yang lain. Ini adalah dapatan fakta oleh HMS di perenggan 22 Alasan Penghakiman. SP2 pula bersetuju jika ada kon pada malam itu, sudah pasti IO akan melukisnya dalam rajah kasar tersebut. Telah dicadangkan kepada SP2 oleh sebab tiada kerosakan pada kanan motorsikal sebab itu SP2 tidak diarahkan untuk ambil gambar sisi kanan dan saksi ini bersetuju. Memandangkan isu kon keselamatan ini adalah teras kepada tuntutan Plaintif, HMS adalah berhak untuk membuat dapatan tersebut kerana IO asal kes tidak dipanggil untuk memberikan penjelasannya mengenai isu ini. [27] Mahkamah juga telah meneliti keterangan SP4 saksi bebas yang mengakui melihat kereta yang dipandu oleh Defendan Pertama melanggar motorsikal Plaintif. Keterangan oleh SP4 bahawa dia memandu sebuah kereta Kelisa pada masa kejadian dan berada 2 kereta di belakang motorsikal Plaintif. Di hadapannya ialah sebuah kereta Myvi. SP4 memandu kereta Kelisa di belakang kereta Myvi yang ciri fizikalnya adalah lebih tinggi dan di hadapan Myvi ialah kereta Defendan Pertama. SP4 berada di sebelah kanan keretanya (pemandu), sedangkan Plaintif berada di sebelah kiri jalan. Jalan raya atau highway tersebut adalah lurus di KM 201 dan keadaan adalah “sangat gelap” menurut kata SP4 dan tiada lampu di sepanjang jalan. Fakta yang tidak dipertikaikan ialah bahawa semua pemandu berada di lorong kiri lebuhraya. SP4 menyatakan dia telah nampak kejadian tayar hadapan motorsikal Plaintif dilanggar oleh kenderaan Defendan Pertama walaupun dia berada di sebelah kanan keretanya dengan jarak 2 buah kereta di hadapan dalam 30-40 kaki. Versi Defendan Pertama pula dia ternampak Plaintif sedang mengerekot di atas jalan (kemudian dia kata terbaring) dan terlanggar motorsikal Plaintif dengan sebelah kiri keretanya bergeseran dengan “handle” motorsikal tersebut. [28] Berdasarkan jarak kenderaan antara satu sama lain dan vantage point semua pemandu tersebut (tiada keterangan oleh pemandu Myvi) dan keadaan pencahayaan yang gelap, Mahkamah mendapati versi Defendan Pertama berbanding versi SP4 adalah lebih berkemungkinan berlaku dalam hal ini. Di perenggan 74 dalam Alasan Penghakiman HMS menyebut kenderaan mana yang menggilis badan Plaintif. Tetapi, Mahkamah ini mendapati tidak ada keterangan bahawa kereta Defendan Pertama atau kenderaan lain yang menggilis badan Plaintif sendiri dan fakta ini juga diakui oleh Plaintif. Kerosakan pada motorsikal adalah di bahagian hadapan dan bukan belakang. Apa yang digilis ialah bahagian hadapan motorsikal. Di sini, Mahkamah ini berpandangan berbeza dengan HMS. Versi asal Plaintif yang dinyatakan dalam laporan polisnya adalah bercanggah dengan silent evidence yang ada. Keterangan SP1 tidak begitu membantu Mahkamah kerana siasatan oleh SP1 telah dibuat 7 tahun selepas kejadian setelah dia mendapati terdapat kekeliruan mengenai isu kon keselamatan tersebut. [29] Keterangan Plaintif juga adalah bahawa dia hanya nampak 1 lampu kereta di belakangnya, implying bahawa ini adalah lampu kereta Defendan Pertama. Mahkamah tidak mendapat jawapan di mana lagi lampu 2 kereta yang berada di belakang motorsikal Plaintif, jika apa yang dikatakan oleh Plaintif dan SP4 adalah benar. Kebarangkalian yang lebih besar ialah bahawa kereta SP4 berada lebih jauh di belakang motorsikal dan kereta Defendan Pertama daripada yang dikatakan oleh SP4 di mahkamah. [30] Jika pun wujud kon keselamatan tersebut, berdasarkan pengakuan Plaintif sendiri bahawa walaupun dia nampak ada kereta di belakangnya dan tinggal jarak 2 kereta lagi namun dia tetap bergerak ke kanan untuk mengelak kon tersebut. Ini menunjukkan sikap terburu-buru Plaintif dalam menangani situasi semasa. Plaintif berkata bahawa dia mula nampak kon keselamatan dari jarak 9 meter atau lebih kurang 30 kaki dan kemudian dalam pemeriksaan balasnya dia menukar keterangannya dan mendakwa dia sudah nampak kon itu lebih awal lagi. [31] Sememangnya undang-undang jalanraya bahawa pemandu yang berada di kanan mempunyai right of way, dan Plaintif yang sepatutnya memberi laluan kepada kereta yang datang sebelum menukar haluan ke kanan. Cadangan ini dipersetujui oleh SP1. Mahkamah mendapati sikap Plaintif dalam hal ini dengan mengambil tindakan masuk ke laluan kereta dalam keadaan terburu-buru dan jika dia tidak masuk ke laluan itu, dan sebaliknya memperlahankan seketika motorsikalnya 2-3 saat untuk melepaskan kereta tersebut, kemalangan ini tidak akan berlaku. Sebenarnya Plaintif tidak boleh menunggang motorsikalnya di laluan kecemasan walaupun dia kata dia kelajuannya tidak laju dan dia tahu itu, tetapi jawapannya “bila ada kereta takkan nak lalu di lorong yang ada kereta”. Ini jawapan pengguna jalan raya yang mungkin kurang matang dan menunjukkan Plaintif tidak mahir dan/atau tidak tahu menggunakan jalan raya dengan betul walaupun dia ada lesen P. Dengan usia 18 tahun, Mahkamah ini mendapati sikap dan kekurangan pengalaman Plaintif di atas jalan raya telah menyumbang kepada kecuaiannya dalam kemalangan ini. Pergerakan secara tiba-tiba menukar lorong kebiasaannya boleh membuat pengguna jalan yang lain terkejut dan mungkin gagal mengawal kenderaan dengan baik. [32] HMS mendapati motorsikal Plaintif yang telah merempuh bahagian kiri kereta sehingga menyebabkan lampu hadapan kiri kereta pecah, apabila dia keluar ke kanan untuk mengelak kon tersebut. Ini bermakna HMS menerima keterangan bahawa kereta Defendan Pertama ada berlanggar dengan motorsikal Plaintif. Mahkamah ini mendapati dalam hal ini Defendan Pertama mengatakan dia tidak berlanggar dengan motorsikal Plaintif sehingga menyebabkan Plaintif terpelanting ke atas jalan raya. Bahagian bawah kiri kereta Defendan Pertama hanya melanggar/bergeseran dengan handle atau hadapan motorsikal. Setelah menimbangkan semula semua keterangan, Mahkamah ini bersetuju dengan dapatan HMS bahawa versi Defendan Pertama adalah lebih konsisten dengan kerosakan pada bahagian bawah kereta di sebelah kiri dan kerosakan pada hadapan motorsikal itu adalah disebabkan penggeseran kereta yang menggilis bahagian handle motorsikal seperti keterangan Defendan Pertama dan disokong oleh gambar motorsikal di ms. 150 dalam RRJ3. [33] Namun, Mahkamah ini lebih cenderung untuk membuat dapatan bahawa keterangan Defendan Pertama bahawa dia tidak berlanggar langsung dengan Plaintif yang menyebabkan Plaintif terpelanting dan jatuh ke atas jalan raya adalah lebih probable berdasarkan kerosakan pada kedua-dua kenderaan. Dapatan HMS dalam hal ini adalah berbeza dengan dapatan Mahkamah ini mengenai sama ada berlaku pertembungan antara kereta Defendan Pertama dengan motorsikal Plaintif yang menyebabkan Plaintif terlambung/terpelanting di atas jalan raya. Namun, Mahkamah ini bersetuju dengan HMS bahawa sememangnya cara Plaintif menunggang motorsikalnya dengan cuai telah menyumbang kepada berlakunya kemalangan apabila dia tidak berhati-hati mengubah haluan motorsikalnya. Hasilnya, setelah Mahkamah meneliti rationale HMS dalam mempertanggungkan Plaintif dengan 80% liabiliti, Mahkamah ini tidak akan mengusik keputusan HMS tersebut yang mempunyai kelebihan meneliti saksi-saksi yang memberi keterangan di mahkamah. [34] Mahkamah merujuk semula kepada kes Ong Cheng Wah (supra) di mana HMT telah memutuskan: “This court find that the plaintiff's evidence in court was a complete deviation as to how the accident occurred when compared to his police report exhibit P4 and that his evidence in court is highly suspect and requires satisfactory explanation for this material contradictions before the court could have accepted his evidence in his favour. There is no doubt that his evidence in court was an afterthought attempt and to exculpate himself from being responsible for the accident. On this ground alone the learned Sessions Court Judge should have dismissed the plaintiff's claim instead of attempting to justify to find for the plaintiff by stating that "since his evidence was not impeached," the court ought to believe that the plaintiff's evidence was probable without making any finding whether the material contradictions in the plaintiff's evidence has affected the credibility of the plaintiff. Consequently, the learned Sessions Court Judge should have held that on the balance of probabilities the plaintiff had failed to prove his case against the defendant. The learned Sessions Court Judge did not say that the plaintiff's version is more inherently probable but instead he just said that the court was satisfied that the plaintiff's version was probable when in fact it was against the weight of the evidence and yet he proceeded to find both parties equally responsible for the accident and accordingly, apportioned liability on a 50 : 50 basis without any proper legal basis.”. [35] Berbanding dengan kes ini, HMS meletakkan liabiliti Plaintif adalah 80% setelah mendapati versi Defendan Pertama adalah lebih konsisten dengan cara bagaimana kemalangan telah berlaku dan Plaintif yang cuai berlebihan dengan cara menunggang motorsikal tanpa berhati-hati apabila dia mengubah haluannya untuk mengelak kon keselamatan itu. Di dalam kes Uval & Anor v Zainal [1970] 1 MLJ 74, Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa: “As regards the apportionment of blame, we would follow the principle enunciated by the Court of Appeal in England in Brown v Thompson [1968] 2 All ER 708 711, affirming, among others, du Parcq L.J. in Ingram v United Automobile Service Ltd [1943] 1 KB 612 614, who said:- “It would seem to follow from the decision of the House of Lords in The Macgregor [1943] AC 197 that this court should not interfere with the apportionment of liability made by the judge at the trial unless there is some error of law or of fact in his judgment. I come to that conclusion particularly in view of the observations of Lord Wright in that case. In the present case the matter is perhaps one of academic interest because I should not have been prepared to differ from the judge in the apportionment that he has made, although, if I had tried the case, I should not necessarily have apportioned the damages in exactly the same way. This court has never taken the view that it should alter an apportionment unless there was something seriously wrong with it.”. [36] Seperkara lagi, Plaintif mengaku dia telah pengsan selepas kemalangan dan sedar semasa di hospital. Laporan perubatan yang dicatatkan oleh seorang doktor yang merawat Plaintif dan lebih hampir dengan masa material iaitu suatu contemporaneous document di ms. RRJ3 yang menyatakan di bahagian history yang diberikan pesakit, “Unsure of mechanism of injury. His alertness level or GCS 15/15. Noted by Dr Chan Choon Hua. Last seen by doctor on 1/6/2019 and prognosis was good.”. Mahkamah mendapati daripada catatan tersebut, Plaintif sendiri tidak pasti bagaimana kemalangan itu telah berlaku dan apakah yang menyebabkan kecederaan-kecederaan yang dialaminya. Oleh yang demikian, Plaintif tidak berjaya membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa Defendan Pertama yang telah memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan pada malam itu. Melihat kepada extent of injuries yang dialami oleh Plaintif, Mahkamah juga mendapati dia telah menunggang motorsikalnya lebih daripada kelajuan 70-80km/jam seperti yang dikatakan oleh Plaintif. B. KUANTUM [37] Mahkamah ini juga menilai keterangan Plaintif bahawa tidak ada dinyatakan di mana-mana yang dia telah mengambil langkah keselamatan untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan tersebut. Keterangan Defendan Pertama pula bahawa dia telah cuba mengelak Plaintif yang berada di atas jalan raya tetapi bahagian bawah kiri keretanya masih terkena juga handle motorsikal itu. Di dalam kes Foong Nan v Sagadevan [1971] 2 MLJ 24, Mahkamah Persekutuan menyatakan seperti berikut: “…Nowhere was there any evidence by the respondent of his taking any evasive action from the first sighting of the approaching car till the collision. With all respect, I think the judgment in this case took no notice of this vital fact. It is vital in that the respondent's own "share in the responsibility" for the accident should have been taken into account. Contributory negligence means the failure by a person to use reasonable care for the safety of himself, contributing, by his want of care, to his own injury. [Emphasis added] [38] Di dalam kes Laksamana Realty sdn Bhd [2005] 4 CLJ 871, mahkamah telah merujuk kes Tan Kuan Yau v Suhindrimani Angasamy [1985] 1 CLJ 429 di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan: "The principle that could guide this court in determining whether it should interfere with the quantum of damages is crystal clear. What is also clear is that much depends on the circumstances of each case, in particular the amount of the award. In a particular case therefore it is for the appeal court to consider whether in the light of the circumstances of that case there is an erroneous estimate of the amount of the damage in that either there was an omission on the part of the Judge to consider some relevant materials or he had admitted for purposes of assessment some irrelevant considerations. If the court is satisfied or convinced that the Judge has acted upon wrong principles of law then it is justified in reversing; indeed it is its duty to reverse the finding of the trial Judge." [Penekanan ditambah] [39] HMS telah membincangkan dengan panjang lebar isu kuantum dan alasan kenapa beliau mencapai keputusan sedemikian (rujuk kepada perenggan 83 – 105 dalam Alasan Penghakiman). Dalam hal ini, Mahkamah ini tidak mendapati HMS telah biased terhadap pihak Plaintif sehingga menyebabkan beliau memberikan award yang rendah kepadanya. Mahkamah ini berpandangan HMS ini adalah “prudent” dan telah mengambil pendekatan bahawa jika pembedahan itu boleh dilakukan di hospital kerajaan maka lebih baik dijalankan di situ untuk menjimatkan kos. [40] Mahkamah ini juga telah mengambil kira prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Chai Yee Chong v. Lew Thai [2004] 2 CLJ 321 mengenai hak untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital pilihan individu tersebut seperti berikut: “To summarise my view on the issue, every person has a right to seek medical treatment at a hospital of his choice be it at a government hospital or at a private hospital. But when it comes to awarding damages for such treatment, if the treatment is sought at a government hospital, the full amount expended and paid by the person should be awarded. But, if he seeks treatment at a private hospital, he has to prove, first that he is justified to seek treatment at a private hospital and, secondly, the amount incurred is reasonable. Regarding the first hurdle that he has to cross: