kegagalan Ketua Jabatan untuk mendeposkan affidavit Analisis dan dapatan Mahkamah Isu (a); kegagalan Responden-responden mematuhi Peraturan 15 dan 16 PPLTPA [17] Keterangan di dalam kes ini menunjukkan Pemohon telah mengemukakan rayuan melalui surat rayuan Pemohon bertarikh 27/2/2018 kepada Responden Ketiga melalui Ketua Jabatan Pemohon, selepas menerima surat daripada Responden Pertama pada 23/2/2018 di mana Pemohon dibuang kerja. Surat rayuan yang dikemukakan oleh Pemohon kepada Responden Ketiga adalah dalam tempoh 14 hari dari tarikh terima surat keputusan daripada Responden Pertama. [18] Perkara ini telah diakui sendiri oleh pihak Responden Ketiga melalui ekshibit HM-4 yang dilampirkan di dalam Afidavit Jawapan Responden-responden (1) di Kandungan 9 yang dengan jelas menyatakan bahawa rayuan Pemohon telah diterima pada 27/2/2018. [19] Peraturan 15 dan 16 PPLTPA adalah jelas menyatakan bahawa kesemua pihak berkaitan tatatertib sama ada Ketua Jabatan, Lembaga Tatatertib maupun Lembaga Rayuan Tatatertib adalah secara mandatori perlu mematuhi tempoh masa yang ditetapkan. Perkara ini pernah dibincangkan oleh Mahkamah ini di dalam kes Mohd Shukri Roslan Iwn. Dato' Sri Hj Mustafar Hj Ali & Yang Lain [2022] 6 CLJ 253; [2022] MLRHU 561 di mana Mahkamah ini menyatakan bahawa Peraturan 15(2) PPLTPA adalah jelas menyatakan Ketua Jabatan "hendaklah" tidak lewat dari 30 hari dari tarikh penerimaan rayuan mengemukakannya kepada Lembaga Tatatertib. Perkataan hendaklah ataupun di dalam Bahasa Inggerisnya adalah "shall" membawa konotasi keperluan mandatori. [20] Berkaitan perkataan “shall” ini, Mahkamah Persekutuan di dalam kes Benjamin William Hawkes v. PP [2020] 8 CLJ 267; [2020] 5 MLJ 417 telah menjelaskan berkenaan tafsiran perkataan "shall" seperti berikut; "... Applying the principles as enunciated in the aforesaid cases, whether the word "shall" in a particular legislation is mandatory or directory depends upon the intention of the Legislature in question which is ascertained by looking at the whole scope of the statute to be construed. The use of the word "shall" would not by itself make a provision of the Act mandatory. It is to be construed with reference to the scheme of the statute and the context in which it is used. In Cheong Seok Leng v. PP [1988] 1 LNS 39; [1988] 2 MLJ 481 at 489 Chan Sek Keong JC (as he then was) explained the relevant rules of interpretation to be given to the word "shall" which appears in legislation as follows: ... [48] The purposive rule of interpretation must be adopted in interpreting s. 51A of the CPC, pursuant to s. 17A of the Interpretation Acts 1948 and 1967 which read as follows: 17A Regard to be had to the purpose of the Act In the interpretation of a provision of an Act, a construction that would promote the purpose or object underlying the Act (whether that purpose or object is expressly stated in the Act or not) shall be preferred to a construction that would not promote that purpose or object. [49] It is clearly untenable in this case to allude to the word 'shall' as mandatory, thus stultifying the justice of the case, when a document was not delivered to the accused persons before the commencement of the trial." [21] Terbaru, Mahkamah Persekutuan di dalam kes Bursa Malaysia Securities Bhd v. Mohd Afrizan Husain [2022] 4 CLJ 657 melalui penghakiman Hakim Nallini Pathmanathan HMP telah menjelaskan tafsiran perkataan "shall" seperti berikut; "[76] Rule 2.06 which is of central importance, prescribes how the AMLR is to be interpreted namely "in accordance with their spirit, intention and purpose". As well as in a way that "best promotes the principles on which they are based". [77] Regrettably, neither the High Court nor the Court of Appeal undertook any sort of consideration of the purpose nor principles set out in the rules in order to ascertain the meaning to be accorded to the word "shall" in r. 16.11(2). This was explained on the basis that as there was no ambiguity and there was no necessity to consider anything other than the express words used. This was understood to amount to a literal reading of the relevant rule falling for consideration. In so doing, the Court of Appeal misunderstood the function and purpose of the literal rule of statutory construction. Reading the express words set out in a statute in vacuo and without taking into consideration the context in which those words are utilised, does not amount to a literal approach to statutory interpretation. That is a grammatical application of the meaning of words. Section 17A of the Interpretation Acts 1948 and 1967 requires that the purpose and object of an Act and other instruments made under an Act must be undertaken when construing a statute. As s. 17A is a statutory provision, it must be complied with. Therefore, both the High Court and the Court of Appeal, in failing to undertake this task as provided for in s. 17A, committed an error of law." [22] Kedua-dua keputusan Mahkamah Persekutuan ini menekankan kepentingan untuk Mahkamah di dalam menafsirkan perkataan "shall" untuk menimbangkan peruntukan tersebut secara keseluruhan dengan mengambilkira seksyen 17A Akta Tafsiran 1948/1967. [23] Mahkamah ini ingin mengulangi apa yang dinyatakan oleh Mahkamah ini di dalam kes Mohd Shukri Roslan (supra) seperti berikut; "[24] Peraturan-peraturan tersebut meletakkan tanggungjawab kepada Lembaga Tatatertib bukan sekadar menyampaikan rayuan yang dikemukakan malahan ia menetapkan tanggungjawab untuk mengemukakan salinan rekod prosiding tatatertib serta alasan yang dipertimbang oleh Lembaga Tatatertib semasa membuat keputusan mereka. [25] Keperluan untuk mengemukakan rayuan pemohon dalam tempoh 30 hari, tidak hanya dinyatakan di dalam peraturan 15(2) namun diulang semula di dalam peraturan 15(3) dan hanya apabila ianya diterima, barulah Lembaga Rayuan mempunyai budi bicara untuk mengadakan suatu mesyuarat Lembaga Rayuan. [26] Lembaga Rayuan sepertimana di bawah peraturan 16(2) PPLTPA hanya boleh memutuskan sesuatu rayuan semata-mata atas merit rayuan tanpa menerima apa-apa pernyataan atau keterangan lanjut kecuali jika pada pendapatnya adalah patut untuk berbuat demikian. Oleh itu rayuan serta rekod prosiding dan alasan Lembaga Tatatertib adalah dokumen-dokumen asas yang penting bagi Lembaga Rayuan. [27] Apabila masa telah dinyatakan sebagai keperluan yang perlu dipatuhi bagi ianya dikemukakan, maka ianya perlu dipatuhi. Ia berkaitan dengan hak Pemohon untuk rayuannya didengari, bukan sahaja berdasarkan kepada rekod-rekod yang dikemukakan, malahan di dalam tempoh waktu yang telah dijamin oleh peraturan. Oleh itu, keperluan mematuhi tempoh masa ini adalah suatu yang mandatori dan kegagalan mematuhinya adalah bagi mahkamah satu ketidakaturan prosedur yang serius." [24] Mahkamah berpandangan bahawa keperluan di bawah Peraturan 15 dan 16 PPLTPA tersebut adalah satu peraturan yang mandatori dan Mahkamah tidak nampak sebarang alasan bagi Mahkamah ini untuk mengubah pandangan Mahkamah ini yang telah diberikan di dalam kes Mohd Shukri Roslan (supra). [25] Jika diteliti kepada kedua-dua Afidavit Jawapan Responden I dan II tersebut, tiada sebarang keterangan atau penjelasan yang dibuat oleh Responden-responden berkaitan bilakah Ketua Jabatan atau Lembaga Tatatertib mengemukakan rayuan Pemohon tersebut. Mahkamah tidak dikemukakan sebarang keterangan berkaitan berkaitan tarikh pengemukaan maupun penerimaan rayuan tersebut. [26] Peguam Persekutuan di dalam hujahannya berpendirian bahawa pendengaran rayuan Pemohon telah didengar sebaik kesemua dokumen yang diperlukan di bawah PPLTPA telah diterima. Bagi Peguam Persekutuan, keperluan memenuhi had masa tersebut bukanlah satu yang mandatori dan ianya tidak memprejudiskan Pemohon. Malahan ditekankan bahawa adalah tidak munasabah hanya kerana ketakpatuhan had masa boleh menjejaskan keputusan Responden 2 dan Responden 3. [27] Mahkamah berpandangan bahawa hujahan Peguam Persekutuan adalah sukar untuk diterima. Ini kerana apabila masa telah dinyatakan sebagai keperluan yang perlu dipatuhi, maka ianya perlu dipatuhi. Ini kerana ia berkaitan dengan hak pemohon untuk rayuannya didengari, bukan sahaja berdasarkan kepada rekod-rekod yang dikemukakan, malahan di dalam tempoh waktu yang telah dijamin oleh peraturan. Oleh itu, keperluan mematuhi tempoh masa ini adalah suatu yang mandatori dan kegagalan mematuhinya adalah bagi mahkamah satu ketidakaturan prosedur yang serius. [28] Di dalam masa yang sama, Responden bukan sahaja gagal untuk memenuhi keperluan tersebut, malahan gagal untuk menyediakan alasan bagi Mahkamah ini mempertimbangkan sama ada kelewatan yang berlaku adalah wajar. [29] Sehubungan dengan itu, bagi isu ini, Mahkamah merumuskan bahawa telah wujud ketidakpatuhan keperluan prosedur yang mandatori apabila Responden gagal mematuhi Peraturan 15 dan 16 PPLTPA dan ia menjejaskan dengan secara langsungnya keputusan yang telah dibuat oleh Responden. Isu (b); kelewatan di dalam pemberitahuan keputusan rayuan tatatertib ke atas Pemohon [30] Isu ini berbangkit berikutan dakwaan Pemohon bahawa telah wujud kelewatan selama 4 tahun 10 bulan dan 29 hari oleh Responden Ketiga untuk memaklumkan keputusan rayuannya. Peguam Pemohon menghujahkan bahawa apabila wujud kelewatan dan ianya tidak diberi penjelasan, maka semakin lama penangguhan, semakin sukar bagi badan disiplin untuk mewajarkan prosiding terhadap Pemohon. Selanjutnya, kelewatan yang lama mungkin, apabila ditambah dengan beberapa keadaan lain, menjadi bukti kukuh pengampunan ("condonation") di pihak majikan atas salah laku pekerja. (rujuk; Public Services Commision Malaysia & anor v. Vickneswary RM Santhivelu [2008] 6 CLJ 573; [2008] 2 MLRA 273). [31] Peguam Pemohon sekali lagi membawa perhatian Mahkamah ke atas keputusan Mahkamah ini di dalam isu yang sama di dalam kes Mohd Shukri Roslan (supra) apabila Mahkamah ini menyatakan; "[29] Selanjutnya Peguamcara Pemohon menghujahkan bahawa keputusan Lembaga Rayuan hanya dimaklumkan kepada Pemohon selepas 3 tahun dan 8 bulan melalui surat bertarikh 2 Februari 2021. Malahan pemakluman ini hanya dimaklumkan kepada Pemohon susulan daripada surat-surat yang telah dikemukakan oleh Peguamcara Pemohon kepada pihak Responden. [30] Mahkamah turut mendapati bahawa tiada penjelasan yang diberikan oleh Responden di atas kelewatan ini selain dari menyatakan bahawa surat telah dikemukakan kepada alamat terakhir Pemohon yang merupakan alamat semasa tindakan tatatertib dijalankan ke atas Pemohon. [31] Keperluan untuk memaklumkan Pemohon adalah jelas dinyatakan didalam Peraturan 20 PPLTPA yang mengkehendaki sesuatu keputusan Lembaga Rayuan diberitahu kepada Pemohon secara bertulis. Namun ia tidak pula menyatakan tempoh waktu yang perlu diambil bagi memaklumkannya." [32] Peguam Persekutuan sebaliknya menghujahkan bahawa kelewatan tersebut adalah disebabkan oleh kegagalan Pemohon untuk memaklumkan Ketua Jabatannya alamat tempat tinggalnya sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 52 PPPA (K&T). Oleh itu, apabila surat keputusan rayuannya telah diserahkan ke alamat terakhir yang diketahui oleh Responden 1, maka ianya telah dianggap sebagai telah diserahkan kepada Pemohon sepertimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan 52(2) PPPA (K&T) seperti berikut; “(2) Any notice, document or communication left at or posted to or sent by any other reasonable means to the address for service furnished under subregulation (1) shall be deemed to have been duly served on or communicated to the officer.” [33] Peguam Persekutuan telah menghujahkan bahawa Responden telah mematuhi keperluan penyerahan keputusan tersebut dan telah mengekshibitkan kad AR sepertimana di ekshibit "HM-7" dan menghujahkan bahawa beban kini berbalik kepada Pemohon untuk membuktikan sebaliknya. [34] Peguam Pemohon sebaliknya mempertikaikan ekshibit “HM-7” ini berdasarkan semakan ke atas nombor pengesanan EN330436870MY yang dibuat oleh Pemohon. Berdasarkan ekshibit “E” di Kandungan 11, Peguam Pemohon menghujahkan bahawa surat tersebut telah dialamatkan ke Nilai, Negeri Sembilan. Ini menimbulkan keraguan berkaitan siapakah dan kenapakah ianya di Nilai, Negeri Sembilan. [35] Mahkamah berpandangan bahawa hujahan peguam adalah agak janggal apabila hanya merujuk kepada semakan ke atas nombor pengesanan sahaja tanpa penjelasan oleh pihak Pos Malaysia. Ia tidak lain hanyalah merupakan andaian peguam Pemohon sahaja. Sedangkan ekshibit “HM-7” dengan jelas menunjukkan bahawa ia ditujukan kepada Pemohon dengan alamat di Rumah Sureng, Sungai Seremban, 97000 Bintulu, Sarawak. Ianya juga telah ditandakan sebagai “Tidak dituntut/unclaimed”. Alamat ini adalah disahkan sebagai alamat Pemohon. Oleh itu, bantahan peguam ini pada pandangan Mahkamah adalah tidak berasas. [36] Persoalan kedua yang berbangkit adalah dokumen apakah yang dikatakan dipos oleh Responden 3 kepada pemohon. Ini kerana di dalam Afidavit Jawapan Responden-responden (1), hanya dinyatakan; “pada 6/9/2019, Ketua Jabatan Pemohon telah menyerahkan sesalinan Surat Keputusan Responden Ketiga melalui serahan secara pos laju ke alamat kediaman terakhir Pemohon. Namun yang demikian, surat tersebut dikembalikan”. [37] Surat tersebut tidak diekshibitkan oleh pihak Responden namun ianya telah diekshibitkan oleh Pemohon sebagai sebahagian dari ekshibit “C” di dalam Afidavit Sokongan Pemohon di Kandungan 3. Oleh itu, tidak timbul apakah surat yang telah dipos kepada Pemohon. [38] Di atas pertimbangan ini, Mahkamah memutuskan bahawa Responden-responden telah menjalankan tanggungjawab statutorinya secara munasabah untuk memaklumkan Pemohon. Oleh yang demikian, Mahkamah memutuskan bahawa isu ini tidak memberi kesan ke atas keputusan Responden-responden ke atas Pemohon. Isu (c); kegagalan Responden-responden mematuhi Peraturan 20 PPLTPA dan Peraturan 53 PPA (K&T) [39] Bagi isu ini, asas hujahan peguam Pemohon adalah pemberitahuan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib kepada Pemohon adalah cacat dan tidak sah kerana keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib sepatutnya dimaklumkan atau diberitahu oleh Pengerusi Lembaga Rayuan Tatatertib kepada Pemohon dan bukannya diberitahu oleh Encik Ikhbal Hanam Bin Mukras bagi pihak Setiausaha. Bahkan keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib ini juga tidak diberitahu kepada Pemohon sendiri dan hanya diberitahu kepada majikan Pemohon. Pemohon hanya mengetahui berkenaan status keputusan rayuan Pemohon apabila Pemohon hadir ke pejabat majikan pada 18/03/2022. [40] Asas hujahan peguam Pemohon adalah berdasarkan kepada Peraturan 20 PPLTPA dan Peraturan 53(1) PPA (K&T). [41] Isu ini telah turut menjadi sebahagian dari isu yang telah Mahkamah ini ulas di dalam kes Mohd Shukri Roslan (supra) di mana Mahkamah menyatakan bahawa Mahkamah ini terikat dengan 2 keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes Marzuki Abdul Aziz v. Ketua Polis Negara & Anor [2003] 3 CLJ 315 dan Dato' Saadon Othman v. Lembaga Tatatertib Awam Kumpulan Pengurusan (No 1) & Ors [2019] 1 LNS 980. Mahkamah ini telah memutuskan; "Di atas pertimbangan ini serta keterikatan Mahkamah ini ke atas keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, Mahkamah merumuskan bahawa bagi isu ini ia tidak bermerit dan sekaligus tidak menjejaskan keputusan yang telah dibuat oleh responden ke atas Pemohon." [42] Sehubungan dengan itu, Mahkamah ini menegaskan bahawa Mahkamah ini masih terikat dengan keputusan-keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Sehubungan dengan itu, Mahkamah dengan ini memutuskan bahawa isu ini tidak bermerit. Isu (d); kegagalan Responden-responden mematuhi prosedur tindakan tatatertib di bawah Peraturan 32 dan 33(2) PPA(K&T) [43] Di dalam hujahannya, peguam Pemohon membawa perhatian Mahkamah ini ke atas Peraturan 32(1)(b) PPA (K&T) yang menyatakan apabila suatu Perintah Pengawasan telah dibuat terhadap seseorang pegawai di bawah mana-mana undang-undang berhubungan pencegahan jenayah, maka suatu kewajipan mandatori bagi Ketua Jabatannya hendaklah memohon bagi mendapatkan suatu salinan perintah terbabit. [44] Seterusnya Peraturan 32(2) (PPA (K&T) 1993) menyatakan apabila Perintah terbabit sudah diterima, Ketua Jabatan hendaklah mengemukakannya kepada Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan berserta dengan rekod perkhidmatan pegawai itu dan perakuan Ketua Jabatan. [45] Kedua-dua Peraturan ini dihujahkan menjadi satu keperluan mandatori agar Ketua Jabatan membuat pengesyoran dan perakuan sama ada seseorang pegawai itu patut dibuang kerja ataupun alternatif yang lebih ringan iaitu diturunkan pangkat. Pertimbangan pihak Lembaga Tatatertib hanyalah untuk menimbang laporan, rekod perkhidmatan dan Perakuan Ketua Jabatan yang dikemukakan kepadanya seperti dinyatakan dalam Peraturan 33 (2) PPA (K&T), dan membuat dapatan bahawa pegawai itu patut dibuang kerja atau mengenakan suatu hukuman yang lebih ringan. Namun keputusan ini hanya boleh dibuat sekiranya kesemua dokumen sudah ada. [46] Isu yang sama turut berbangkit di dalam kes Mohd Shukri Roslan (supra) dan Mahkamah ini ingin mengulangi pendirian Mahkamah bahawa surat sepertimana di Ekshibit HM-4 tidak menyatakan apakah pertimbangan-pertimbangan Lembaga Tatatertib sebelum membuat keputusan ke atas kes Pemohon. Surat tersebut hanya menyatakan: "setelah menimbangkan dengan teliti memutuskan tuan bersalah". Tiada sebarang rujukan dibuat sama ada ke atas rekod perkhidmatan Pemohon mahupun perakuan Ketua Jabatan. [47] Persoalan yang perlu diputuskan oleh Mahkamah adalah sama ada Peraturan 32 tersebut secara khususnya perakuan Ketua Jabatan adalah satu yang mandatori. Di dalam kes Subramanyam Sannasy v. SAC II Syed Alwi Syed Hamid & Anor [2010] 2 CLJ 677, Mahkamah Persekutuan berhadapan dengan isu sama ada surat pembuangan kerja di bawah prosiding disiplin yang dimulakan di bawah Peraturan 33 tanpa menyatakan yang sama di dalam surat pembuangan kerja, menyebabkan surat pembuangan kerja salah dan terbatal dan tidak mempunyai efek. Surat Lembaga Tatatertib tersebut menyatakan: "Pada menjalankan kuasa-kuasa tatatertib yang telah diwakilkan kepada Lembaga Tatatertib oleh Suruhanjaya Pasukan Polis mengikut PU(B) 441 bertarikh 14 Disember 2000, saya SAC II Syed Alwi bin Syed Hamid, Pengerusi Lembaga Tatatertib setelah meneliti fakta sabitan bersama-sama Ahli Lembaga Tatatertib serta syor Ketua Polis Daerah Batu Pahat selaras dengan kehendak Peraturan 37, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dengan ini memutuskan kamu dikenakan hukuman 'buang kerja' di atas sabitan Mahkamah tersebut selaras di bawah Peraturan 38 (g), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 ". [48] Di dalam keputusannya Mahkamah Persekutuan telah mengambil kira keseluruhan konteks surat dan menyatakan bahawa ianya telah dipatuhi dengan ketat kerana perakuan Ketua Jabatan telah menyatakan berkenaan syor sejajar dengan Peraturan 37. [49] Di dalam kes di hadapan Mahkamah kini, Pengerusi Lembaga Tatatertib telah mendeposkan afidavit seperti berikut: "8.2. Pada 24.1.2017, setelah menerima sesalinan Perintah Tahanan Tersebut beserta rekod perkhidmatan Pemohon dan Perakuan Ketua Jabatan, Lembaga Tatatertib telah bersidang dan setelah mempertimbangkan dengan teliti, memutuskan bahawa Pemohon dikenakan hukuman buang kerja mengikut peraturan 38(g) PPPA (K&T) 1993 berkuatkuasa pada 24.1.2017”