Content
DALAM MAHKAMAH SESYEN DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO. BA-A53KJ-461-12/2021 ANTARA BANGAJA RENGAN PLAINTIF
BA-A53KJ-461-12/2021
Sessions Court of Malaysia14 Jul 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DALAM MAHKAMAH SESYEN DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN GUAMAN NO. BA-A53KJ-461-12/2021 ANTARA BANGAJA RENGAN PLAINTIF
2
LIM SHYI YEE DEFENDAN ALASAN PENGHAKIMAN Pengenalan [1] Ini adalah rayuan Plaintif terhadap keputusan liabiliti dan kuantum yang diberikan oleh mahkamah pada 14/7/2025. [2] Tuntutan Plaintif adalah bagi gantirugi am dan ganti rugi khas, faedah bagi gantirugi am pada kadar 4% setahun dari tarikh kemalangan sehingga tarikh penyelesaian penuh dan faedah bagi gantirugi khas pada kadar 2% setahun dari tarikh kemalangan sehingga tarikh penghakiman dan selepas itu pada kadar 4% setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dan kos terhadap Defendan. [3] Tuntutan ini berbangkit akibat satu kemalangan jalan raya pada 10.7.2017 lebih kurang pukul 7.15 malam melibatkan Plaintif penunggang motorsikal dengan rnombor pendaftaran WC7462K dengan sebuah motorkar bernombor pendaftaran VY8683K yang dipandu oleh Defendan Pertama sebagai agen dan/atau pekerja Defendan Kedua Fakta Kes (Versi Kemalangan) [4] Terdapat 2 versi kemalangan. [5] Plaintif menyatakan ketika dia sedang menunggang motorsikal dari Jalan Ipoh menghala ke Subang Jaya melalui Jalan Lapangan Terbang tiba-tiba motorkar yang dipandu oleh Defendan Pertama dari arah yang sama telah melanggar Plaintif dari bahagian belakang. Lokasi kemalangan adalah selepas Plaza Tol Subang, Lebuhraya NKVE. Di dalam keterangannya, Plaintif mengakui bahawa dia telah keluar dari Plaza Tol Subang menggunakan lorong kereta dan bukan lorong motorsikal. Plaintif juga mengaku bahawa dia telah mencelah dari Lorong A-B ke Lorong E-F secara perlahan kerana keadaan jalan yang sesak. Semasa pemeriksaan balas, Plaintif mengakui dia telah ubah haluan dari kiri ke kanan jalan. Plaintif telah disaman di bawah Rule 6(2) LN 166/59 bagi kesalahan mengubah haluan secara cuai. [6] Defendan Pertama pula menyatakan, ketika dia sedang memandu di Lorong F dalam Rajah Kasar dari Pulau Pinang menghala ke Subang Jaya, Plaintif tiba-tiba datang dari arah kiri secara melintang masuk ke laluan Defendan Pertama. [7] Secara amnya, adalah dapatan fakta mahkamah ini bahawa tiada pertikaian antara Plaintif dan Defendan berhubung fakta bahawa kemalangan telah berlaku di antara motosikal yang ditunggang oleh Plaintif dan motokar yang dipandu oleh Defendan pada tarikh, masa dan tempat di atas. Apa yang menjadi persoalan adalah, siapakah yang lebih bertanggungan menyebabkan kemalangan ini? Keputusan Mahkamah (Liabiliti) [8] Setelah Mahkamah meneliti keterangan setiap saksi-saksi yang hadir memberi keterangan di Mahkamah, dan setelah mengkaji setiap ekshibit yang dikemukakan, dan selepas membaca dan meneliti hujahan bertulis yang diserahkan oleh peguam kedua pihak beserta otoriti-otoriti, adalah diputuskan di atas imbangan kebarangkalian bahawa dari segi liabiliti Plaintif adalah menyumbang cuai sebanyak 90% dan kedua-dua Defendan adalah bertanggungan 10% secara bersama di dalam kemalangan ini. [9] Di dalam kes sivil adalah menjadi prinsip undang-undang bahawa beban pembuktian sentiasa terletak di bahu Plaintif untuk membuktikan kecuaian Defendan dan bukan sebaliknya. Seksyen 101(1) Akta Keterangan 1950 menyatakan:- “Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan Penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang, dengan bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.” [10] Ini bermakna, Plaintif hendaklah di atas dasar kebarangkalian yang munasabah (balance of probabilities) membuktikan bahawa kemalangan adalah seperti mana yang didakwa oleh Plaintif. [11] Merujuk kepada kes Neo Chan Eng vs. Koh Yong Hoe (1960) 26 MLJ, di mana Hakim Neal J menyatakan:- “The onus of proving negligence on the part of the Defendant is on the Plaintfff, and the Plaintiff failed to discharge the onus either by his evidence or by cross-examination of the Defendant or by admission made by the Defendant. I am therefore forced with regret to dismiss her claim.” [12] Prinsip ini telah diterima pakai seperti mana dalam kes Ng Chui Sia vs. Maimon b. Ali [1983] 1 MLJ 110, di mana Mahkamah Tinggi bersetuju bahawa “When the accident harm is done, it is not for the doer to execute himself by proving that the accident was inevitable and there was negligence on his part. It is for the person who suffers harm to prove affiramtively that the accidental harm was due to the negligence of other person.” [13] Oleh kerana terdapat dua versi kemalangan, maka mahkamah bertanggungjawab untuk menentukan versi siapakah yang kebarangkaliannya lebih. Mahkamah dalam kes Noorianti binti Zainol Abidin & Ors. vs. Tang Lei Nge [1990] 2 MLJ 242 memutuskan seperti berikut:- “It has been stated in numerous cases that the fact that the evidence given by the witnesses of one party was unshaken or unbroken is not per se an all sufficient acid test or credibility and that the inherent probability or improbability of the fact in issue must be the prime consideration… It has also been said that a trial judge should not approach the case upon the basis of deciding which of the two conflicting stories he should believe but rather on the basis considering which version is inherently probable or improbable.” [14] Di dalam kes yang sedang dirayu ini, setelah mahkamah mengkaji keterangan senyap, keterangan saksi-saksi yang dikemukakan serta ekshibit yang dikemukakan separti rajah kasar dan kunci (ditanda sebagai P1), 12 keping gambar kenderaan dan tempat kemalangan (ditanda sebagai P2 [A - L]), laporan polis Plaintif (ditanda sebagai P3) dan laporan polis Defendan (ditanda sebagai D4), adalah dapatan mahkamah ini bahawa:- [a] Versi Defendan adalah kebarangkaliannnya lebih berkemungkinan (“probable”) berbanding versi Plaintif. Dapatan ini adalah seperti yang akan dibincangkan selanjutnya. [b] Adalah dapatan fakta mahkamah ini bahawa Plaintif telah menunggang motorsikalnya keluar dari lorong motorsikal di lorong paling kiri (laluan A-B) dan mengubah haluan ke kanan (laluan F). Walaupun Plaintif menyatakan dia keluar dan mengubah haluan secara perlahan, namun perbuatannya itu adalah satu kesalahan. Plaintif sendiri memilih untuk mengubah haluan walaupun tahu ia satu perbuatan yang sangat merbahaya. Jika dirujuk kepada Rajah Kasar, kawasan kemalangan adalah lebuhraya 5 lorong (Lorong A-B, B-C, C-D, D-E dan E-F), ini bermakna Plaintif melintas sebanyak 4 lorong di lebuhraya tersebut untuk pergi ke laluan E-F. Menurut keterangan dan laporan polis Plaintif, dia hendak ke Subang Jaya dari Jalan Ipoh. Oleh itu, Mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk Plaintif mengubah haluannya dari A-B hingga ke E-F jika hendak ke Subang Jaya. Tempat pertembungan yang ditanda “X” oleh Plaintif adalah berhampiran susur ke arah Subang Airport dan bukan ke arah Subang Jaya. Jika benar Plaintif hendak ke Subang Jaya, Plaintif hanya perlu bergerak terus di lorong A-B tanpa perlu mengubah haluannya. Malah Plaintif boleh terus menggunakan laluan motorsikal untuk ke Subang Jaya tanpa perlu keluar ke laluan kereta. [c] Mahkamah juga mendapati, Defendan adalah di laluan sahnya di lorong E-F kerana dia hendak balik ke rumahnya di Subang Jaya. Keterangan Defendan bahawa Plaintif dengan tiba-tiba datang dari arah kiri jalan secara melintang dan melanggar kereta Defendan di hadapan sebelah kanan tidak diragui oleh Mahkamah ini. Mahkamah membuat satu “judicial notice” bahawa adalah lumrah untuk penunggang motorsikal mencelah-celah di antara kenderaan ketika berada di atas jalan raya apatah lagi di dalam keadaan sesak (waktu kemalangan lebih kurang 7.15 malam). Sewaktu pemeriksaan semula, Defendan menyatakan, dia baru sahaja keluar dari tol dan ada banyak kereta, jalan sibuk jadi dia tidak memandu laju. Kelajuannya hanya 40 km/j. Menurut Defendan, dia hanya nampak motorsikal Plaintif bila jarak telah terlalu dekat dalam keadaan melintang. Peguam Plaintif membangkitkan isu bahawa fakta “motorsikal melintang” ini tidak dinyatakan dalam laporan polis Defendan dan ianya adalah satu “aftertaught” dan rekaan. Defendan mengakui ia tidak dinyatakan dalam laporannya, namun ia bukan satu rekaan. Malah, Mahkamah sendiri telah bertanya dengan Defendan untuk penjelasan dan Defendan mengulangi bahawa motorsikal Plaintif memang melintang di hadapan keretanya secara tiba-tiba dan dia tidak sempat mengelak lalu telah melanggar motorsikal Plaintif. Adalah dapatan fakta Mahkamah ini bahawa keterangan Defendan di atas bukanlah satu pemikiran terkemudian tetapi apa yang berlaku pada hari kemalangan. Menjadi satu lumrah untuk motorsikall tiba-tiba mencelah di hadapan kereta dan ini adalah atas risiko yg diambil oleh penuggang motorsikal sendiri. [d] Mahkamah juga mendapati bahawa kesan kerosakan kenderaan yang terlibat adalah selari dengan keterangan Plaintif dan Defendan iaitu motorsikal Plaintif melintang di hadapan kereta Defendan apabila Plaintif mengubah haluan. Penolong Pegawai Penyiasat mengakui bahawa gambar selepas kejadian kemalangan adalah seperti di muka surat 61 dan 62 Ikatan C. Dari kedua-dua gambar tersebut adalah jelas motorsikal telah jatuh secara melintang di hadapan kereta selari dengan bahagian bonet depan kereta. Peguam Plaintif menghujahkan bahawa kemalangan adalah akibat Defendan melanggar belakang motorsikal Plaintif. Mahkamah telah perhalusi hujahan ini dan bandingkan dengan kesan kerosakan kereta dan motorsikal. Tidak dinafikan kerosakan pada kereta adalah tertumpu pada bahagian depan seperti mana gambar-gambar di muka surat 58-
60
Gambar kerosakan motorsikal secara dekat tidak dikemukakan. Tiada keterangan diberikan oleh saksi-saksi Plaintif mengapa ia tidak dikemukakan. Justeru mahkamah telah melihat kepada laporan polis Plaintif yang menyatakan motorsikalnya rosak di bahagian cover set, lampu, panel, handle, brek, padel, ekzos dan lain-lain kerosakan. Berdasarkan kerosakan ini adalah jelas bahawa ianya adalah menyokong keterangan Defendan bahawa motorsikal Plaintif adalah melintang di hadapan kereta dan bukan sepertimana dakwaan Plaintif bahawa dia dilanggar dari belakang oleh Defendan. Jika motorsikal dilanggar dari belakang, bagaimanakah ia boleh jatuh dalam kedudukan sepertimana dalam gambar di muka surat 61 dan 62 tersebut. Keterangan kerosakan motorsikal di atas juga selari dgn keterangan motorsikal melintang kerana apabila motorsikal jatuh ia jatuh ke kiri dan ini selari dgn kerosakan di brek dan ekzos yang kedudukannya pada motorsikal adalah di bahagian kiri motorsikal. Tambahan pula, motorsikal bukannya bergerak dari arah yang sama bawah ke atas rajah kasar dan di laluan yang sama dengan kereta Defendan. [15] Di dalam kes yang sedang dirayu ini, oleh kerana terdapat dua keterangan yang berbeza, maka mahkamah telah mengguna pakai prinsip undang-undang yang digariskan oleh kes Lee Ewe Teik vs. Ariffin Hussain [1990] 2 CLJ (rep) 332 di mana diputuskan “in situation where both parties have given diametrically opposite versions as to how a collision occurred, the photographs, plan and measurements of the scene, and the nature of the damage to each vehicle must provide the most reliable guide by which their versions can be tested.” [16] Berdasarkan dapatan-dapatan di atas dan kes undang-undang, walaupun Peguam Plaintif menghujahkan bahawa kedua-dua pihak adalah sumbang cuai iaitu Plaintif telah mengubah haluan dan Defendan telah gagal mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan di lokasi tempat kemalangan kenderaan biasanya akan mencelah kerana dari plaza tol jalan akan mengecil (jumlah lorong berkurang), namun mahkamah berpendapat ia adalah tidak relevan dengan situasi kemalangan dalam kes ini kerana dari plaza tol kenderaan yang menggunakannya adalah kenderaan ringan dan berat yang beroda minima 4 tayar. Kenderaan beroda dua seperti motorsikal ada laluan khas motorsikal disediakan di lebuhraya ini. Justeru, di dalam kes ini, mahkamah mempunyai alasan yang sangat kukuh untuk membuat dapatan bahawa Plaintif adalah menyumbang cuai 90% kepada kemalangan ini kerana Plaintif sendiri memilih untuk membahayakan dirinya sendiri dengan mengubah haluan dari lorong pertama hingga ke lorong kelima. Mahkamah mendapati Defendan hanyalah bertanggungan 10% sahaja kerana sebagai pengguna jalan raya perlu betul-betul menumpukan perhatian pada semua arah pemanduan dan bukannya ke arah hadapan sahaja sebagaimana yang dinyatakan di dalam keterangannya. Keputusan Mahkamah (Kuantum) [17] Bagi isu kuantum, jumlah award yang diberikan oleh mahkamah ke atas ganti rugi am dan khas berdasarkan 100% liabiliti adalah: - Gantirugi Am a) Right eye periorbital hematoma RM 3,000.00 b) Intra-abdominal injury - ascending colon bowel contusion - pancreatic head injury grade 2 - right adrenal hematoma - large retroperitoneal hematoma RM 20,000.00 RM 12,000.00 RM 5,000.00 RM 4,000.00 c) Laporotomy RM 6,000.00 d) Right acromio-clavicular (AC) Joint disruption RM 20,000.00 e) C5 vertebral compression fracture RM 95,000.00 f) T3 spinous process chip fracture g) Fracture right transverse process L1-L4 vertebra h) Fracture of right 12th rib RM 4,000.00 i) Scars RM 6,000.00 j) Wasting of muscle RM 2,000.00 k) Pain and suffering for future operations RM 10,000.00 JUMLAH: RM 187,000.00 Gantirugi Khas 1) Kos pembedahan dan rawatan masa hadapan Ditolak 2) Pembedahan ‘scar revision for better Ditolak cosmesis’ 3) Fisioterapi RM60 x 3 sesi x 16 minggu = RM2,880.00 RM2,880.00 4) Kos perjalanan Ditolak 5) Berdasarkan Penyataan Tuntutan-Item a-e-Item f-Item h-Item i Di bawah kos ditolak ditolak ditolak JUMLAH: RM2,880.00 [18] Semua laporan perubatan, laporan pakar dan telah dipersetujui tertakluk kepada hujahan. i) Laporan Perubatan Plaintif dari Hospital Kuala Lumpu bertarikh 06.12.2017. ii) Laporan Perubatan Pakar Plaintif dari Gleneagles Kuala Lumpur yang bertarikh 23.06.2018. iii) Laporan Perubatan Pakar Plaintif dari Mahkota Medical Centre yang bertarikh 19.5.2018. iv) Laporan Perubatan Pakar Defendan dari Universiti Malaya Specialist Centre (UMSC) yang bertarikh 17.12.2018. [19] Mahkamah juga merujuk kepada kes Tabarani Mohd Arsad & Anor v Chan Tenn Yeu [1999] 3 CLJ di mana Mahkamah memutuskan seperti berikut :- “ The purpose and purport of awarding damages is to award the victim compensation for the wrong committed by the wrong doer. Syed Agil Barakbah FJ in Ong Ah Long v Dr. S. Underwood [1983] 2 MLJ 324 at p remarked as follows : ‘It must be borne in mind that damages for personal injuries are not punitive and still less a reward. They are simply compensation that will give the injured paerty reparation for the wrongful act and for all the natural and direct consequences of the wrongful act, so far as money can compensate. Damages are classified as general and special damages. After the Plaintiff succeeds in establishing liability he must prove damages and if he is unable to prove damages, he gets only nominal damages. (Guan Soon Tin Mining & Co. v Wong Fook Kum 1969 1 MLJ 99, 100, 103). Damages awarded to the victim is in the front of a civil remedy and its aim is simply put the injured party to his original position, as far as is humanly possible, by monetary means. In short, the compensation is strictly monetary”. [20] Di dalam menentukan jumlah ganti rugi am yang perlu diberikan, mahkamah telah merujuk kepada “REVISED COMPENDIUM OF PERSONAL INJURY AWARDS 2018” sebagai garis panduan agar jumlah award tersebut tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah. Mahkamah juga telah merujuk kepada kes undang-undang yang dihujahkan oleh kedua Peguam Plaintif dan Peguam Defendan dan adalah dapatan mahkamah ini bahawa jumlah award untuk gantirugi am terhadap Plaintif adalah sangat munasabah dan tidak berlebihan serta mengikut garis panduan dan nas undang-undang. [21] Bagi ganti rugi khas, kos pembedahan dan rawatan masa hadapan ditolak kerana Plaintif telah gagal untuk memplidkan tuntutan ini di dalam Pernyataan Tuntutannya. Hal ini boleh dirujuk di muka surat 2-3 Penyataan Tuntutan Plaintif, yang jelas menunjukkan bahawa bagi ganti rugi khas Plaintif hanya menuntut untuk laporan polis, laporan RIMV, rajah kasar, laporan perubatan, laporan pakar, kerosakan pakaian, tambang teksi untuk menjalani rawatan perubatan dan kehilangan pendapatan. Itu sahaja. [22] Dalam kes Sidek Ibrahim & Satu Lagi vs. Ibnu Asyakir Mohd Ghazali [2016] 8 CLJ 406 telah menyatakan seperti berikut:- “In the case of Mariam Mansor v JD Peter [1975] I LNS 101 …It is trite law that any claim for special damages must be specifically pleaded and strictly proved as opposed to general damages which is subject to assessment. In Yeap Cheng Hock v Kajima-Taisei Joint Venture [1973] 1 MLJ 230 Syed Agil Barakbah, J held: The general principle is that plaintiff must be prepared to prove his special damages unless it has been agreed. It not enough for him to write down the particulars and leave them for the court to decide. It is for him to prove them”. Berdasarkan otoriti di atas, keputusan mahkamah ini menolak tuntuan gantirugi khas bagi kos pembedahan dan rawatan masa hadapan adalah betul dan mengikut nas undang-undang kerana Plaintif sendiri telah gagal untuk memplidkannya di dalam Penyataan Tuntutan. [23] Tuntutan Plaintif untuk pembedahan ‘scar revision for better cosmesis’ juga mahkamah tolak kerana ia tidak diplidkan dan tiada cadangan dibuat oleh pakar defendan untuk rawatan ini dijalankan. Mahkamah terima keterangan pakar defendan kerana pakar defendan adalah pakar terkini yang ditemui oleh Plaintif. Beliau telah mengesahkan bahawa “the scars are not hypertrophic or keloid”. [24] Item (h) iaitu kos perjalanan bagi menjalani rawatan perubatan ditolak kerana isu ini tidak pernah ditaksirkan ketika perbicaraan. Malah tidak ada keterangan yang menunjukkan berapa jumlah dan bila perjalanan untuk rawatan itu dilakukan. Bagaimana perjalanan dilakukakan juga tidak pernah dibuktikan. [25] Item (i) iaitu kehilangan pendapatan pada kadar RM2,000.00 sebulan dari Juali 2017 hingga Ogos 2018 juga tidak dibenarkan oleh mahkamah kerana tiada bukti berkaitan pekerjaan Plaintif seperti slip gaji dikemukakan pada mahkamah sepanjang perbicaraan ini. [26] Selanjutnya, mahkamah telah awardkan kos mengikut skala. Manakala faedah dibenarkan sepertimana berikut :-
a
Gantirugi Am – 5% setahun dikenakan dari tarikh pemfailan saman hingga penghakiman.
b
Gantirugi Khas – 2.5% dari tarikh kemalangan hingga penghakiman.
c
Faedah 5% setahun untuk jumlah penghakiman dari tarikh keputusan hingga pembayaran. Dan selanjutnya diperintahkan pembayaran jumlah keseluruhan gantirugi dimasukkan ke dalam akaun pelanggan Tetuan Saleem Gill & Partners untuk dibayar kepada Plaintif. Kesimpulan [27] Sebagai kesimpulan, dapatan mahkamah untuk liabiliti dan kuantum adalah tepat, munasabah dan selari dengan “compendium” dan juga kes-kes duluan. BERTARIKH PADA 30 SEPTEMBER 2025. EMELIA KASWATI BINTI MOHAMAD KHALID HAKIM MAHKAMAH SESYEN SIVIL 5 MAHKAMAH SESYEN SHAH ALAM Bagi Plaintif Jetinder Singh a/l Ranjit Singh [Tetuan Saleem Gill & Partners] Bagi Defendan Kalaivani a/p Ramu [Tetuan S. G. Lingam & Co.]
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.