Seseorang pengendali berlesen yang tidak mematuhi mana-mana syarat yang dikenakan pada lessen pengendali itu di bawah seksyen ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. [11] Berdasarkan seksyen di atas, adalah jelas bahawa julat hukuman berbentuk denda adalah ‘tidak kurang daripada RM1000 tetapi tidak lebih daripada RM500,000’. Dengan demikian, penentuan kuantum denda terletak dalam budi bicara mahkamah yang wajib dilaksanakan secara kehakiman menurut prinsip pencegahan, konsistensi dan kepentigan awam. [12] Berdasarkan seksyen di atas, mahkamah ini percaya bahawa seksyen ini bertujuan untuk memastikan pematuhan ketat terhadap syarat-syarat lesen pengendali khususnya had berat dengan muatan (BDM). Peruntukan ini bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna jalan raya serta integriti infrastruktur. Oleh itu, mahkamah ini percaya bahawa hukuman bagi perlanggaran seksyen ini mesti dinilai bukan sekadar pada kesan serta-merta tetapi juga pada risiko yang diundang. [13] Merujuk kepada fakta bagi kes ini, lori bernombor pendaftaran AKU 2108 telah membawa muatan sehingga 44,260kg berbanding BDM yang dibenarkan iaitu 24,000kg dan hal ini ia membawa kepada lebihan sebanyak 20,260kg atau 84.42% di atas had yang dibenarkan. Angka ini pada hemat mahkamah adalah serius kerana lebihan muatan pada skala sedemikian meningkatkan risiko kegagalan sistem brek dan kestabilan kenderaan, memanjangkan jarak membrek dan mempercepat kehausan komponen kritikal. Secara prinsip, semakin tinggi peratus lebihan maka semakin berat keperluan hukuman untuk tujuan pencegahan umum. [14] Selain itu, kesalahan yang dilakukan oleh OKS dalam kes ini bersifat kesalahan perlanggaran terus terhadap syarat lesen pengendali sebagaimana yang telah digariskan oleh Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010. Kegagalan mematuhi syarat lesen, pada hemat mahkamah bukan sekadar ketidakpatuhan secara teknikal tetapi hal ini turut menggugat asas keizinan pengawalseliaan yang menjadi syarat kepada pengendalian kenderaan barangan berat di ruang awam. S/N Nswoj6LwqEKaRtwSaVhdTg [15] Walau bagaimanapun, dalam menjatuhkan sebarang denda, penilaian hukuman yang adil menuntut mahkamah ini untuk menimbang dan mengambilkira faktor-faktor meringankan yang relevan seperti berikut: a) Pertama, dalam rayuan hukuman OKS, OKS telah menyatakan bahawa ini merupakan kesalahan kali pertama dan tiada rekod lampau yang memburukkan. b) Kedua, muatan yang dibawa pada ketika itu merupakan tanah liat yang mana pada hemat mahkamah, merupakan suatu kargo yang secara inheren kurang berbahaya jika hendak dibandingkan dengan muatan lain misalnya kayu balak atau batang-batang besi. c) Ketiga, berdasarkan fakta kes, mahkamah ini percaya bahawa kerjasama yang baik telah diberikan oleh pemandu OKS yang telah meatuhi arahan pegawai JPJ apabila diarahkan untuk ke JPJ Ipoh bagi melakukan proses timbangan. OKS sendiri juga telah hadir sendiri ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan dan telah membuat pengakuan salah di peringkat awal sekaligus menjimatkan masa dan kos mahkamah. [16] Mahkamah ini dalam menjatuhkan sebarang hukuman denda hendaklah mengambil kira bahawa pengakuan salah merupakan satu faktor mitigasi yang signifikan memandangkan pengakuan salah yang dibuat di peringkat awal kes bukan sahaja menjimatkan masa dan kos Mahkamah tetapi juga menunjukkan keinsafan awal pihak OKS. Prinsip ini ada ditekankan dalam Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur iaitu kes MD Jahangir v PP [2020] MLRHU 152 di mana telah dinyatakan seperti berikut: [36] A guilty plea is a factor that should always be taken into account in assessing the appropriate sentence. This is well-settled. In the majority decision of the Federal Court in Sau Soo Kim v Publis Prosecutor [1975] 1 MLRA 176; [1975] 2 MLJ 134 Lee Hun Hoe CJ (Borneo) held as follows: “Whether a person is a hardened criminal or not, I feel that a plea of guilty should be treated as a mitigating factor. It not only serves the country a great expense of a lengthy trial but also saves time and inconvenience of many, particularly the witnesses…” [17] Oleh itu, dalam kes ini, mahkamah ini telah mengambil kira bahawa OKS telah membuat pengakuan salah di peringkat awal kes ini dan menimatkan masa dan kos mahkamah sekaligus menunjukkan bahawa OKS telah insaf dengan kesalahan yang dilakukan. Oleh itu, mahkamah ini berpuas hati jumlah denda yang dikenakan terhadap OKS adalah jumlah yang sewajarnya untuk memberikan pengajaran kepada OKS serta industri lain di luar sana bahawa Mahkamah mengambil serius akan kesalahan ini memandangkan kesalahan ini mendatangkan bahaya kepada nyawa pengguna jalan raya. S/N Nswoj6LwqEKaRtwSaVhdTg [18] Selanjutnya, prinsip kesepadanan (‘proportionality’) menuntut hukuman diletakkan pada spektrum yang mencerminkan kedua-dua sisi iaitu keseriusan objektif dan keadaan khas tertuduh. Dalam erti kata lain, hukuman hendaklah cukup berat untuk menzahirkan pencegahan namun tidak sehingga menjadi keterlaluan terhadap pesalah pertama. Mahkamah Rayuan dalam kes PP v Abdul Halim Ishak & Ors [2013] MLRAU 235 menyatakan: “…denunciation, in the context of sentencing, is achieved by the imposition of a sentence the severity of which makes a statement that the offence in question is not to be tolerated by society either in general or in a specific instance. The statement made may be directed at any combination of the public at large, victims, potential offenders and individual offenders. In part, its aims are similar to that of seterrence, it has also been seen to be associated with retribution.” [19] Berdasarkan otoriti di atas, walaupun mahkamah ini telah mengambil kira pengakuan salah awal OKS sebagai satu faktor mitigasi yang signifikan, Mahkamah dalam menjatuhkan hukuman tidak boleh mengabaikan elemen keadilan retributif yang merupakan salah satu objektif penting dalam menjatuhkan hukuman. Berdasarkan otoriti di atas, penjatuhan hukuman adalah dicapai dengan mengenakan hukuman yang cukup berat untuk menyampaikan mesej jelas bahawa kesalahan berkenaan tidak boleh ditoleransi oleh masyarakat sama ada dalam bentuk umum atau khusus. Prinsip ini menuntut agar hukuman yang dijatuhkan bukan sahaja menghukum pesalah tetapi juga memberi amaran keras kepada masyarakat dan industri berkaitan. [20] Dengan julat statutori yang sangat luas iaitu RM1000 – RM500,000, penetapan denda pada RM30,000 meletakkan kes ini jauh di atas ambang minimum dan dengan jelas berada di luar zon kesalahan ringan. Pada masa yang sama, hukuman denda ini tidak menghampiri julat atas yang lazim diperuntukkan bagi kes-kes yang memperlihatkan faktor pemberatan seperti rekod berulang, jenis muatan berbahaya atau elemen membahayakan yang nyata. Hukuman denda sebanyak RM30,000 adalah pada hemat mahkamah menandakan mesej pencegahan yang tegas kepada industri. [21] Kesimpulannya, setelah mengambil kira keseluruhan fakta bagi kes ini dengan mengambil kira kepentingan awam iaitu hak pengguna jalan raya yang berhak kepada perlindungan daripada risiko yang timbul daripada kenderaan lebih muatan tetapi pada masa yang sama, mahkamah ini turut percaya bahawa undang-undang tidak bertujuan memusnahkan entiti komersial secara serta-merta apabila matlamat pencegahan boleh tercapai melalui denda yang sewajarnya. Sehubugan itu, mahkamah ini berpuas hati bahawa jumlah hukuman denda yang diberikan adalah wajar dan terletak kukuh dalam julat statutori Seksyen 57(3) APAD 2010 selain mencerminkan keseriusan objektif melalui amaun yang signifikan. S/N Nswoj6LwqEKaRtwSaVhdTg ISU 2: SAMA ADA PERINTAH PENGEMBALIAN LORI KEPADA PEMILIK ADALAH SATU PERINTAH YANG TIDAK WAJAR [22] Seksyen 57 APAD 2010 hendaklah dibaca bersama Seksyen 80 Akta yang sama di mana Seksyen 80 memperuntukkan sedemikian: Seksyen 80 Kuasa untuk menyita kenderaan yang berkaitan bagi kesalahan tertentu