Berdasarkan pliding dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah telah merumuskan lima (5) isu undang-undang utama, iaitu: Pertama, sama ada Plaintif telah memenuhi syarat Seksyen 145(1)(a) atau (b) KTN sehingga membolehkan Mahkamah menggunakan kuasa khasnya untuk menamatkan pemilikan bersama dan membuat perintah terhadap hartanah tersebut. Kedua, sama ada Plaintif mempunyai asas undang-undang untuk memaksa Defendan memindahkan keseluruhan ½ bahagian tidak berbaginya kepada Plaintif, berdasarkan Seksyen 145 dan 417 KTN, perenggan 3 Jadual AMK 1964, Aturan 31 KKM 2012, serta dakwaan kewujudan perjanjian melalui perbualan ‘WhatsApp’ yang didakwa memenuhi Seksyen 10(1) Akta Kontrak 1950. Ketiga, sama ada tuntutan Plaintif adalah adil, munasabah dan selaras dengan prinsip ekuiti, termasuk dari sudut doktrin pengayaan tidak wajar (‘unjust enrichment’) dan prinsip ‘clean hands’ apabila memohon remedi ekuiti. Keempat, berkaitan kedudukan hak milik berdaftar Defendan dan prinsip ‘indefeasibility’ di bawah KTN, serta isu kelewatan tindakan Plaintif, sama ada faktor-faktor ini menjadi halangan tambahan kepada relif yang dipohon. Kelima, bagi Tuntutan Balas Defendan, sama ada Defendan telah berjaya membuktikan asas kontraktual atau ekuiti yang mencukupi untuk menuntut jumlah RM169,783.81 terhadap Plaintif. ANALISIS DAN DAPATAN MAHKAMAH Isu 1: Sama ada Plaintif telah memenuhi syarat Seksyen 145(1)(a) dan (b) KTN untuk menamatkan pemilikan bersama.