Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN NO KES: AG-83-59-04/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN CHANG CHOOK WEI [No. K/P: 881224-35-5429] ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
AG-83-59-04/2025
Magistrates Court of Malaysia2 Apr 2025
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Content
DALAM MAHKAMAH MAJISTRET DI KUALA KANGSAR DALAM NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN NO KES: AG-83-59-04/ 2025 PENDAKWARAYA LAWAN CHANG CHOOK WEI [No. K/P: 881224-35-5429] ALASAN PENGHAKIMAN [A] Pengenalan
1
Chang Chook Wei (selepas ini dirujuk sebagai “Tertuduh”) pada 2 April 2025 telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar di bawah satu kesalahan seksyen 506 Kanun Keseksaan.
2
Tertuduh yang memilih tidak diwakili oleh peguam telah mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Tertuduh telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 3 tahun dari tarikh sabitan serta denda RM10,000 (sekiranya gagal membayar denda, dikenakan hukuman 1 tahun penjara). Sewaktu alasan penghakiman ini disediakan, Tertuduh didapati tidak membayar denda yang diperintahkan. [B] Pertuduhan [3] Pertuduhan ke atas Tertuduh telah dibacakan dalam bahasa Mandarin dan adalah seperti di bawah: Pertuduhan:- Bahawa kamu pada 06/03/2025 jam lebih kurang 5.50 petang bertempat di No. 872, Persiaran Chandan 2/2, Taman Chandan Puteri, dalam daerah Kuala Kangsar, dalam Negeri Perak Darul Ridzuan, telah melakukan ugutan jenayah terhadap Muhammad Faiz bin Ahmad Mahmud (No.KPT:- 831003106271) dengan ugutan hendak menyebabkan kebinasaan kepada rumahnya dengan menggunakan api yang mana telah menyebabkan kegentaran kepadanya. Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen yang sama. Hukuman: Hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya. [C] Fakta kes [4] Fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwaan dan diakui oleh Tertuduh dalam bahasa Mandarin, tanpa sebarang syarat adalah seperti berikut: Pada 06/03/2025 jam lebih kurang 1755 hrs, semasa pengadu iaitu polis nama Sofyzal Bin Zainol, KPT 910212025205 sedang bertugas di Bilik Gerakan IPD Kuala Kangsar, telah terima panggilan dari CCC Perak Aduan MERS 999 memaklumkan berlaku kebakaran rumah berdekatan Kolej USAS Taman Chandan Putri, Persiaran Putri 2/2 Kuala Kangsar, Perak. DCC Kangsar maklum kejadian kepada URB 361 dan URB 359 dan arahkan ke lokasi kejadian. Seterusnya pengadu maklum kejadian kepada pegawai bertugas DCC Insp. Soffian Bin Rosman untuk makluman dan tindakan lanjut. Laporan polis seperti mana Kuala Kangsar/1095/25. Pada 06/03/2025 jam lebih kurang 1750 petang, semasa mangsa nama Muhammad Faiz Bin Ahmad Mahmud, KPT 831009106271 berada di rumah alamat 872 Persiaran Chandan 2/2 Taman Chandan Putri 33000 Kuala Kangsar, Perak, telah terdengar ada orang menjerit dari luar rumah dan mangsa telah pergi ke beranda tingkat atas rumah. Kemudian mangsa telah melihat asap hitam keluar dari garaj kereta. Mangsa telah turun ke tingkat bawah dan mangsa ternampak api di lantai garaj rumah. Mangsa telah membawa adik perempuan mangsa dan ayah mangsa untuk keluar daripada rumah melalui pintu belakang rumah. Mangsa cuba untuk masuk semula ke rumah tetapi tidak berjaya kerana asap hitam yang tebal. Mangsa telah meminta bantuan daripada jiran untuk menghubungi pihak bomba. Mangsa telah pergi ke hadapan rumah dan jiran mangsa telah menyerahkan sekeping nota ugutan yang ditampal di pagar rumah mangsa. Mangsa telah membaca nota ugutan tersebut yang bertulis: “MOHD FATHI BIN ABDUL KADIR M3515592Q KPT 880806-03-5121,PUAK CIBAI U BETTER CALL ME SETTLE IF U LOAN I TELL WORKER COME AGAIN BURN U FUCKING HOME!! CALL MAX WSP +6581088468/+6583468674 010–9176035.” Mangsa berasa amat terkejut dan takut membaca nota ugutan tersebut kerana rumah mangsa sedang musnah dalam kebakaran ketika itu. Disebabkan kejadian itu, rumah mangsa mengalami kebakaran keseluruhan rumah dan 2 buah kereta yang berada terbakar. Kebakaran tersebut telah menyebabkan kemusnahan keseluruhan rumah dan 2 buah kereta yang berada di garaj. Segala dokumen peribadi milik mangsa dan keluarga mangsa musnah dalam kebakaran. Laporan polis seperti mana Kuala Kangsar/1096/25. Pada 11/03/2025 jam lebih kurang 1000 pagi, pegawai tangkapan mengetuai sepasukan anggota dari JSJ IPD Kuala Kangsar telah tahan tertuduh di hadapan rumah alamat No. 36 Jalan Miri 1, Taman Beringin Kepong 52000 Kuala Lumpur dan telah memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dengan menunjukkan kad kuasa kepada tertuduh dan menerangkan sebab-sebab tangkapan kepada tertuduh. Laporan polis seperti mana Jinjang/4459/25. Hasil siasatan menunjukkan bahawa terdapat dua kesan cap jari tertuduh pada nota ugutan yang ditampal di pagar rumah mangsa. Oleh itu, tertuduh telah melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa Muhammad Faiz Bin Ahmad Mahmud KPT 831009106271 dengan ugutan hendak menyebabkan kebinasaan kepada rumahnya dengan menggunakan api yang mana telah menyebabkan kegentaran kepadanya. Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dan sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum di bawah peruntukan seksyen yang sama. [D] Prosiding di mahkamah
5
Selepas fakta kes dikemukakan dan ditanda sebagai P1, eksibit-eksibit berikut telah turut dikemukakan dan ditandakan oleh Mahkamah ini: P2- Laporan polis Kuala Kangsar 1095/25 P3- Laporan polis Kuala Kangsar 1096/25 P4- Laporan polis Jinjang 4459/25 P5- Laporan polis Kuala Kangsar 1199/25 P6- Laporan polis Kuala Kangsar 1201/25 P7- Laporan polis Kuala Kangsar 1222/25 P8- Laporan polis Simpang 654/25 P9- Rajah kasar P10(A-V)- 22 keping gambar tempat kejadian P11(A-L)- 12 keping gambar barang kes P12- Gambar nota ugutan P13(A-B)- 2 keping nota ugutan P14- Gambar barang yang dirampas 2 keping beserta resit P15(A-F)- 6 keping gambar CCTV P16- Borang serah menyerah barang kes 4 helai P17- Borang bongkar 4 helai P18- Laporan awal kebakaran/bomba P19- Plastik barang kes PDRM P19(A)- Beg galas warna kelabu tandaan XA8 P19(B)- Sweater warna hitam tandaan XA5 P19(C)- Seluar panjang warna hitam tandaan XA6 P19(D)- Topi warna putih tandaan XA7 P20- Plastik barang kes P20(A)- Sepasang kasut warna hitam tandaan XA2 P20(B)- Face mask warna hitam tandaan XA3 P20(C)- Face mask warna putih tandaan XA4 P21- Plastik barang kes PDRM P21(A)- Satu bungkus tisu tandaan XA1 P21(B)- Pemetik api warna hitam merah tandaan XB2 P21(C)- Resit pembelian minyak 11624485 tandaan XC1 P21(D)- Pendrive warna hitam tandaan XC2 P22- Sampul barang kes P22(A)- Kad pengenalan “Chang Chook Wei” tandaan XA1 P23- Sampul barang kes P23(A)- Anak kunci kereta proton saga no. VJM 9022
6
Kesemua eksibit telah ditunjukkan dan diterangkan kepada Tertuduh dalam bahasa Mandarin dan diakui olehnya tanpa sebarang syarat.
7
Setelah berpuas hati dengan akuan salah Tertuduh, akuan ke atas fakta kes dan kesemua eksibit yang dikemukakan, saya telah menerima dan merekodkan pengakuan salah Tertuduh seperti mana dalam pertuduhan.
8
Tertuduh yang memilih tidak diwakili peguam telah memohon peringanan bagi hukuman yang bakal dikenakan ke atasnya. Tertuduh memaklumkan: dirinya berusia 36 tahun, bekerja sebagai kontraktor, telah berkahwin dan isteri Tertuduh tidak bekerja; Tertuduh menanggung 3 orang anak yang masih bersekolah; Tertuduh menetap di Kuala Lumpur; nenek Tertuduh baru meninggal dunia pada 13.3.2025; Tertuduh seorang sahaja yang bekerja menanggung keluarga; Tertuduh mempunyai hutang dengan bank sebanyak RM500,000 dan dibayar oleh Tertuduh seorang sahaja; dan Tertuduh memohon dikenakan denda yang minimum dan memohon diberikan satu lagi peluang.
9
Pegawai Pendakwa sebaliknya memohon kepada Mahkamah ini agar menjatuhkan hukuman setimpal bersifat pengajaran ke atas Tertuduh.
10
Berdasarkan rekod, prosiding pada 2 April 2025 lalu telah dikendalikan secara teratur oleh Mahkamah ini. Tertuduh sendiri memilih untuk tidak diwakili peguam dan prosiding dikendalikan dalam bahasa pilihan Tertuduh. Pengakuan salah Tertuduh telah diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang selamat. Oleh yang demikian, saya telah menerima akuan salah Tertuduh dan mensabitkannya berdasarkan prosedur yang jelas selamat untuk diterima berdasarkan prinsip undang-undang yang sedia ada. [D] Hukuman
11
Saya berpandangan bahawa prinsip undang-undang perlu dilaksanakan sebaik mungkin dalam menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pesalah. Prinsip yang terkandung dalam Halsburys Laws of England Vol 9, perenggan 365 yang menyatakan seperti berikut telah dirujuk: “…The Court, in fixing the punishment for any particular crime, will take into consideration the nature of the offence, the circumstances in which it was committed, the provocation which he had received, if the crime is one of violence, the antecedents of the prisoner up to the time of the sentence, his age and character…”
12
Dalam menentukan hukuman yang sewajarnya yang patut dikenakan ke atas Tertuduh dalam kes ini, saya juga telah membuat rujukan ke atas kes Abdul Karim v Regina [1954] 1 LNS 3, dimana antara lain menyatakan seperti berikut: "… the particular offence and the particular offender, are the concern of the Court, whose business is to decide what punishment is merited upon the facts of the individual case within the limits the legislative has provided …"
13
Pada hemat Mahkamah ini, hukuman yang perlu dijatuhkan ke atas Tertuduh perlulah mencerminkan keseriusan kesalahan yang telah dilakukan olehnya. Saban hari, masyarakat dilaporkan dengan berita jenayah yang berkaitan dengan ugutan jenayah yang semakin berleluasa, tidak kira ugutan menyebabkan kecederaan, kematian, kebakaran dan sebagainya; sama ada dalam kalangan ahli keluarga atau pun dalam kelompok komuniti. Dalam kes yang melibatkan Tertuduh, Tertuduh memilih untuk menyampaikan ugutan melalui nota bertulis yang ditampal di kediaman mangsa, dengan kandungan yang menunjukkan niat menekan emosi mangsa agar memenuhi tuntutannya. Saya berpendapat bahawa hukuman yang diperintahkan perlu memberi amaran kepada Tertuduh dan masyarakat bahawa ugutan jenayah adalah satu bentuk “tekanan emosi” yang tidak patut dibenarkan untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian. Oleh itu, bagi menunjukkan mesej pencegahan badan kehakiman, saya memandang serius elemen ini dan menjadikannya sebagai satu faktor yang perlu dipertimbangkan.
14
Berdasarkan fakta kes ini, satu nota ugutan telah ditemui ditampal di pagar rumah mangsa. Nota tersebut mengandungi kata-kata yang jelas bersifat mengugut, menyentuh isu hutang dan menuntut agar perkara itu diselesaikan segera. Ayat-ayat dalam nota tersebut mengandungi amaran keras terhadap mangsa, serta menyatakan kemungkinan berlaku tindakan lebih agresif sekiranya permintaan pihak Tertuduh tidak dipenuhi.
15
Apa yang menjadikan tindakan Tertuduh ini begitu serius ialah latar masa dan keadaan semasa nota ugutan itu dijumpai. Nota tersebut tidak dijumpai dalam situasi biasa atau dalam suasana tenang, sebaliknya, ia ditemui dalam keadaan rumah mangsa sedang dijilat api. Ketika itu, api marak di bahagian garaj dan asap tebal sudah memenuhi ruang dalam rumah, memaksa penghuni melarikan diri melalui pintu belakang demi menyelamatkan nyawa. Kebakaran tersebut bukan sahaja menyebabkan kemusnahan menyeluruh kepada rumah dan dua buah kenderaan mangsa, tetapi turut menghanguskan dokumen-dokumen peribadi penting serta harta benda lain yang tidak ternilai.
16
Lebih daripada itu, kemunculan nota yang bernada ugutan keras dan penuh makian dalam suasana kekacauan ini bukan sahaja membayangkan keberanian Tertuduh dalam menyampaikan ancamannya, tetapi juga meningkatkan ketakutan terhadap keselamatan diri dan keluarga mangsa. Ketika seseorang sedang bergelut menyelamatkan nyawa dan harta benda, muncul pula satu ugutan bertulis yang menggambarkan seolah-olah tragedi yang sedang berlaku itu adalah sebahagian daripada amaran atau permulaan kepada tindakan lanjut yang lebih membinasakan. Dalam keadaan sedemikian, saya membayangkan bahawa ketakutan yang dialami mangsa bukan lagi bersifat anggapan atau kebimbangan biasa, tetapi ia adalah ketakutan yang sangat hebat dan menggerunkan.
17
Saya berpandangan sama ada Tertuduh melakukan kebakaran tersebut atau tidak bukanlah asas kepada sabitan dan penentuan hukuman. Namun begitu, hakikat bahawa ugutan tersebut dilakukan ketika kejadian kebakaran yang sedang berlaku pada harta benda mangsa telah menyebabkan ancaman dibawa ke tahap yang menakutkan. Hal ini membuktikan betapa perbuatan meninggalkan ugutan dalam situasi tersebut telah benar-benar memberi kesan mendalam kepada kesejahteraan mental, emosi dan keselamatan fizikal mangsa sekeluarga.
18
Ketakutan mangsa dan keluarganya tidak wajar dipandang ringan oleh saya. Mangsa merupakan individu yang berhak merasa selamat tinggal bersama keluarga di rumah mereka sendiri. Dalam kes ini, bukan sahaja keselamatan fizikal mangsa telah terjejas, malah ketenteraman psikologi telah terkesan sehingga bila-bila. Justeru, mangsa dan keluarganya wajar diberikan keadilan yang bukan sahaja berbentuk tindakan undang-undang, tetapi juga sokongan moral terhadap tindakan yang dilakukan oleh Tertuduh.
19
Ingin saya nyatakan bahawa sabitan dan hukuman ini adalah semata-mata berdasarkan pengakuan Tertuduh serta keterangan kukuh yang menyokong pertuduhan ugutan jenayah di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan – iaitu kehadiran nota ugutan untuk menyebabkan kebakaran dengan dua kesan cap jari milik tertuduh yang disahkan secara saintifik melalui analisis forensik. Oleh itu, tidak timbul sebarang anggapan atau inferens oleh Mahkamah ini bahawa Tertuduh terlibat dalam perbuatan membakar rumah mangsa. Sabitan dibuat atas asas yang khusus dan terbukti di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.
20
Walau apa pun, saya tidak boleh mengenepikan faktor mitigasi yang dikemukakan oleh Tertuduh. Pengakuan salah Tertuduh seawal tarikh sebutan kali pertama merupakan faktor utama mitigasi dimana Tertuduh telah menjimatkan masa dan kos semua pihak. Hukuman yang bakal dijatuhkan juga perlu mengambil kira fakta yang Tertuduh merupakan satu-satunya pencari nafkah bagi keluarganya. Tertuduh telah berkahwin dan menanggung seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga orang anak yang masih bersekolah. Tertuduh juga menetap di Kuala Lumpur dan keluarganya bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya. Saya juga mengambil maklum bahawa Tertuduh baru sahaja kehilangan neneknya pada 13 Mac 2025, dan perkara ini memberi kesan emosi kepada dirinya serta keluarganya dalam tempoh yang sama dengan prosiding kes ini.
21
Selain daripada tanggungan keluarga, Tertuduh juga menghadapi tekanan kewangan yang amat ketara. Difahamkan Tertuduh mempunyai hutang dengan bank berjumlah sekitar RM500,000, dan Tertuduh merupakan satu-satunya individu yang bertanggung jawab untuk melunaskan pembayaran tersebut. Keadaan ini telah memberi tekanan terhadap kehidupan Tertuduh yang saya percaya mungkin turut menyumbang kepada tindakannya dalam kes ini. Dalam hal ini juga, saya turut mempertimbangkan faktor yang Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
22
Mahkamah tidak menafikan bahawa faktor-faktor mitigasi ini memberi gambaran bahawa Tertuduh berada dalam keadaan terdesak dari segi kewangan dan emosi.
23
Saya juga telah mempertimbangkan rayuan Tertuduh agar dikenakan hukuman denda sahaja. Namun dalam situasi ini, hukuman denda semata-mata dilihat tidak wajar dengan kesalahan yang telah dilakukan. Saya berpendapat hukuman setimpal perlu dikenakan bagi mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dan memberi mesej pencegahan yang jelas kepada masyarakat. Namun pada masa yang sama, hukuman yang bakal diperintahkan sama sekali tidak menolak tepi kepentingan peribadi Tertuduh.
24
Justeru, setelah mensabitkan Tertuduh, Tertuduh diperintahkan untuk dikenakan hukuman pemenjaraan selama 3 tahun bermula daripada tarikh sabitan, 2 April 2025. Tertuduh juga dikenakan denda berjumlah RM10,000. Sekiranya Tertuduh gagal untuk membayar jumlah denda ini, Tertuduh diperintahkan untuk dipenjarakan bagi tempoh 1 tahun.
25
Mahkamah ini mendapati bahawa hukuman tersebut adalah sangat setimpal, seimbang dan pada masa yang sama tidak bersifat excessive dengan kesalahan yang dilakukan. Ia juga dilihat bersesuaian dengan kepentingan awam selain mengimbangi kepentingan Tertuduh dan rayuan mitigasi yang dikemukakannya. Bertarikh 4 Jun 2025 MOHD SHAZMEER BIN ZAMHARI Majistret Mahkamah Majistret di Kuala Kangsar Perak Darul Ridzuan Pegawai Pendakwa: Inspektor Yong Yi Yuan
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.