Merancang dan melaksanakan program pemulihan ladang dengan baik, teguh dan berdaya saing serta dapat membekalkan buah-buahan yang bermutu tinggi. [17] Pada 5 September 2016, perayu telah mempengerusikan satu mesyuarat pengurusan (ekshibit P11) berkaitan persediaan dan pembahagian tugas untuk Mesyuarat Agong Tahunan kali ke-42 yang akan diadakan pada 17 September 2016. [18] Di dalam mesyuarat tersebut, perayu telah mengarahkan ketua unit operasi iaitu Muhammad Fauzi bin Alias (SP4) untuk mengambil ikan kerapu hybrid di Pusat Pembenihan dan Asuhan Ikan Marin, Kg Air Tawar Di Kg Demong, Besut, Terengganu. Ikan-ikan tersebut diambil bertujuan untuk diberikan sebagai cenderahati kepada orang-orang kenaman (VIP) yang akan hadir nanti. [19] Mengikut SP4, beliau telah berjumpa dengan perayu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung nombor telefon pengurus ikan kerapu dan alamat tempat mengambil ikan tersebut. SP4 turut bertanya kepada perayu mengenai bayaran yang harus dibayar bagi pengambilan ikan-ikan tersebut, namun perayu mengatakan bahawa SP4 hanya perlu mengambil sahaja ikan tersebut tanpa perlu membuat apa-apa bayaran. [20] Pada pagi 17 September 2016, sebelum mesyuarat bermula, SP4 bersama tiga (3) pegawai Pertubuhan Peladang yang lain telah pergi S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow mengambil ikan kerapu tersebut darpada penternak ikan marin iaitu Tuan Fakaruddin bin Tuan Kadir (SP2). [21] SP2 bersama isterinya Zunainaa binti Abdul Majid (SP3) merupakan pengusaha ikan kerapu yang didaftarkan di atas nama Perniagaan Zunainaa Abdul Majid yang terletak di Tanjung Demong, Besut, Terengganu. SP3 mengesahkan bahawa beliau telah dihubungi melalui telefon oleh seorang pegawai Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu berhubung tempahan ikan kerapu sebanyak 20 ekor sebagai cenderahati kepada VIP di dalam program Pertubuhan Peladang tersebut. [22] Lebih kurang seminggu selepas SP3 menerima panggilan telefon tersebut, sekali lagi SP3 telah dihubungi melalui telefon oleh pegawai Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu yang mengesahkan mahu membeli sebanyak 14 ekor ikan kerapu hybrid sahaja. Namun begitu, SP2 tetap menyediakan 20 ekor sebagaimana tempahan asal kerana SP2 berniat hendak memberikan secara percuma sahaja ikan-ikan tersebut kepada Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu. [23] Pada 17 September 2016, menurut SP2 semasa berada di pusat pembenihan ikan, beliau telah didatangi oleh tiga (3) individu yang menaiki Ford Ranger berwarna hijau. Salah seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai wakil Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan kedatangan mereka adalah untuk mengambil ikan yang telah ditempah oleh pegawai atasan mereka. SP2 menyerahkan tujuh bekas polisterin berisi 20 ekor ikan kerapu tersebut kepada mereka. Setelah meletakkan kesemua bekas polisterin tersebut ke dalam S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow kenderaan, mereka pun terus beredar. SP2 sahkan tiada pembayaran dibuat ketika mereka mengambil ikan-ikan tersebut. [24] Lebih kurang 3 ke 4 hari selepas itu, semasa SP2 berada di pusat pembenihan ikan, SP2 didatangi oleh seorang individu yang tidak kenalinya. Individu tersebut memperkenalkan diri sebagai Haji dan daripada Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (kemudiannya dicamkan sebagai perayu). Tujuan kedatangan perayu adalah untuk membuat bayaran bagi 20 ekor ikan kerapu, bekas polisterin dan ais yang dipesan sebelum ini. SP2 memaklumkan kepada perayu bahawa SP2 telah berniat untuk memberikan ikan dan barangan tersebut secara percuma sahaja kepada pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu. Malah mengikut SP2 lagi sebelum ini pun banyak pejabat kerajaan yang datang untuk membeli ikan tersebut tetapi SP2 memberikannya secara percuma sahaja. Namun begitu perayu tetap berkeras untuk membuat bayaran dan perayu terus memasukkan sejumlah wang ke dalam poket baju melayu yang dipakai oleh SP2 ketika itu lalu perayu pun berlalu pergi dari tempat itu. [25] Setelah pulang ke rumahnya, SP2 pun mengira wang tersebut dan mendapati ianya berjumlah RM300.00. Menurut SP2 harga bagi 20 ekor ikan kerapu tersebut dianggarkan sekitar RM700.00, bagi bekas polisterin RM72.00, bagi ais RM10.00. Keseluruhan harga kos adalah di dalam lingkungan RM782.00. SP2 mengesahkan beliau tidak ada mengeluarkan sebarang resit pembelian kepada perayu mahupun kepada Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu atas urusan tersebut kerana sejak dari awal lagi SP2 memang berniat untuk memberikan ikan-ikan tersebut secara percuma sahaja. S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow [26] Puan Rahana binti Embong (SP7) selaku Kerani Akaun di Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu menyatakan bahawa beliau telah menerima satu resit bertarikh 17 September 2016 daripada Zunainaa Usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan Gerai Kerapu bernilai RM 600.00 (ekshibit P8) daripada perayu. [27] SP7 mengesahkan pada resit ekshibit P8 tersebut terdapat tandatangan perayu. SP7 mengenali tandatangan dan tulisan perayu setelah lama bekerja di bawah pengurusan dan selian perayu. SP7 juga mengesahkan pada ekshibit P8 terdapat tulisan tangan perayu bertulis “goodies untuk VVIP mesyuarat Agong PPNT pada 17/9/2016". [28] Setelah perayu membuat pengesahan melalui tulisan dan tandatangannya pada ekshibit P8 tersebut, SP7 kemudiannya telah memproses bayaran bagi resit tersebut dengan menyediakan General Payment Voucher iaitu ekshibit P16. Ekshibit P16 disahkan dan diperiksa oleh Puan Mazila binti Mansor (SP8) selaku Pengurus Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan Puan Haziroh binti Mohd Ayob (SP9) selaku Penolong Akauntan di Pertubuhan Peladang tersebut. [29] Setelah baucar bayaran ini telah siap mendapat pengesahan dan kelulusan, SP7 telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM967.00 dan jumlah ini termasuk RM600.00 bagi tuntutan ikan kerapu kepada perayu di biliknya pada 29 September 2016. S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow Pembelaan Perayu • Perayu banyak membawa masuk projek besar ke dalam Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu termasuklah projek kambing biri-biri dopper; • Pada bulan April 2017, semasa perayu sedang bermesyuarat di Melaka, Unit Intergriti Lembaga Pertubuhan Peladang telah datang ke Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan telah mengambil seberkas baucar-baucar bayaran di pejabat tersebut termasuklah baucar bayaran milik perayu sendiri; • Perayu ada bertanya kepada pegawai intergriti sekiranya terdapat sebarang permasalahan. Namun pegawai tersebut menyatakan tiada apa-apa yang perlu dirisaukan; • Pada bulan Mei dan Jun 2017, semasa bermesyuarat di Kuala Lumpur, perayu telah berjumpa dengan Pengarah Unit intergriti, Encik Salleh Kabul. Beliau memaklumkan kepada perayu bahawa tiada apa-apa yang perayu perlu dibimbangkan; • Semasa mesyuarat kakitangan Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu berkaitan persediaan Mesyuarat Agong Lembaga Pertubuhan Peladang, perayu telah mengarahkan Muhammad Fauzi bin Alias (SP4) untuk menguruskan pengambilan ikan kerapu hybrid di Tanjung Demong; S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow • Perayu telah mengarahkan SP4 untuk membuat bayaran semasa mengambil ikan kerapu hybrid tersebut, tetapi SP4 tidak berbuat demikian; • Semasa dalam perjalanan balik ke Kota Bharu, perayu telah singgah di rumah Tuan Fakaruddin bin Tuan Kadir (SP2) dan membuat bayaran sebanyak RM600 bagi ikan kerapu hybrid tersebut. Walau bagaimanapun, perayu tidak ingat sama ada SP2 ada mengeluarkan resit bayaran atau tidak kepada perayu pada malam itu; • Perayu terlupa resit ekshibit P8 ini diterima daripada siapa. Perayu mengesahkan tulisan dan tandatangan yang terdapat pada ekshibit P8 tersebut adalah miliknya; • Perayu perlu menandatangani resit ekshibit P8 ini kerana ianya tidak bercetak. Perayu menulis di atas resit itu untuk memberi penjelasan kepada semua kakitangan Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan pegawai terlibat serta bagi tujuan koding perbelanjaan Mesyuarat Agong; • Perayu menulis pada ekshibit P8 kerana kebetulan mempunyai kelapangan dan bagi memudahkan pegawai akaun untuk memasukkan koding perbelanjaan Mesyuarat Agong; • Bagi resit-resit lain, sama ada perayu akan menurunkan tulisan tangannya ataupun tidak ia bergantung kepada kelapangan perayu; S/N d1yEziHbZUuqYZuJEk0qow • Jika ekshibit P8 ini palsu, sepatutnya Puan Mazila binti Mansor (SP8) dan Puan Haziroh binti Mohd Ayob (SP9) memberitahu perayu namun tiada apa-apa masalah pun yang timbul berkenaan resit tersebut. Semasa juruaudit dalaman Lembaga Pertubuhan Peladang membuat semakan, tiada juga apa-apa masalah yang berbangkit. Oleh itu resit ekshibit P8 tersebut adalah sah; • Perayu mengesahkan ada menerima bayaran sebagaimana ekshibit P16; • Pada 4 Oktober 2016, Puan Haziroh binti Mohd Ayob (SP9) ada tandatangan pada ekshibit P16. Jika SP9 tidak bersetuju, baucar ini boleh saja di reverse balik oleh SP9; dan • Pertuduhan yang dibuat terhadap perayu adalah semata-mata untuk mengenakannya.