The burden laid on the respondent who sought to disqualify the counsel to place before the court full particulars of the relevant confidential information that was disclosed. Although the table showed many exchange of emails, what was ultimately placed before the court was that one paragraph of the email dated 26 June 2019 which was found to be not confidential information. The respondent had not discharged its burden (see para 49). ANALISA DAN DAPATAN [36] Kes ini melibatkan pertikaian penggunaan kawasan Bersama di suatu projek pembangunan perumahan. Berdasarkan pliding, kedua-dua pihak bersetuju bahawa kawasan yang menjadi pertikaian adalah Kawasan Bersama dan bukan milik mana-mana individu. Ini bermakna kesemua pemilik fasa 1 dan fasa 2 berhak menikmatinya, tanpa dikhususkan kepada pemilik unit fasa 1 sahaja. [37] Encik Lai Chee Hoe, seperti mana-mana pemilik petak yang lain, telah dipilih sebagai ahli jawatankuasa Mesra Terrace MC secara sah melalui Mesyuarat Agung Tahunan di mana resolusi bagi pelantikan beliau telah dibincangkan dan diundi pada 29.6.2025 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bersama (“JMC”) yang turut diadakan pada 29.6.2025. [38] Pelantikan beliau merupakan satu urusan profesional yang diperuntukkan di bawah Rejim Pengurusan Strata tanpa sebarang bantahan. [39] Pelantikan Encik Lai Chee Hoe sebagai setiausaha Mesra Terrace adalah mengikut peruntukan berkanun dan profesional, yang diiktiraf di bawah Perenggan 2(5) Jadual Kedua Akta Pengurusan Strata 2013. [40] Saya mendapati, dari keterangan afidavit, pelantikan Tetuan Chee Hoe & Associates untuk bertindak bagi pihak Defendan telah di buat semata-mata dalam urusan profesional dan teratur. Ia bukan berdasarkan suatu perhubungan peribadi ataupun berdasarkan perhubungan peribadi yang menimbulkan sebarang konflik kepentingan. [41] Pihak plaintif yang ingin membatalkan kelayakan peguam atas alasan maklumat rahsia mestilah membuktikan kewujudan dan kaitan maklumat tersebut secara spesifik. Dakwaan samar-samar Plaintif adalah fatal (cacat sepenuhnya) kerana tanpa perincian, Mahkamah tidak dapat menilai risiko penyalahgunaan maklumat tersebut. [42] Saya mendapati Plaintif gagal mengenal pasti atau memperincikan jenis maklumat sulit dan rahsia yang didakwa berada dalam milikan Encik Lai Chee Hoe. [43] Tidak ada material yang dikemukakan oleh plaintif menyatakan bahawa peguam cara defendan telah mendapat maklumat sulit berdasarkan hubungan fiduciary yang akan menyebabkan percanggahan kepentingan. Kes Mirza Mohamed Tariq Beg Mirza HH Beg v Margaret Low Saw Lui & Ors [2009] 4 CLJ 303 Mahkamah Rayuan meletakkan beban berat ke atas pemohon di dalam permohonan sebegini , dengan menyatakan seperti berikut: “[16] … In order to bar a solicitor or other fiduciary from acting, the applicant must place before the court full particulars of the relevant confidential information that was allegedly disclosed to the solicitor or fiduciary. Mere general or vague allegations are insufficient. [44] Apa-apa maklumat sulit tersebut yang dimaksudkan oleh pihak plaintif di dalam permohonan ini, ia mesti didedahkan untuk pertimbangan Mahkamah. Dakwaan secara am sahaja tidak mencukupi. Tanpa maklumat lengkap, bagaimana mungkin Mahkamah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan ini. Tidak akan dipanggil sebagai saksi [45] Defendan tidak bercadang memanggil Encik Lai Chee Hoe sebagai saksi. Plaintif juga tidak menyatakan bahawa beliau akan dipanggil sebagai saksi plaintif. Tidak ada ketentuan juga samada individu berkenaan akan dipanggil sebagai saksi kerana senarai saksi belum difailkan oleh kedua-dua pihak. [46] Di peringkat ini adalah pra matang untuk memberikan satu perintah yang mengarahkan peguam cara defendan menarik diri dari mewakili atau hilang kelayakan dari menjadi peguam defendan. [47] Jika di suatu masa kemudian, wujud keadaan sedemikian di mana Encik Lai Chee Hoe akan dipanggil sebagai saksi, maka pihak plaintif boleh mengemukakan permohonan baharu untuk menghilangkan kelayakan peguam cara defendan dari mewakili defendan. [48] Berdasarkan pliding, pertikaian hanya melibatkan penggunaan Kawasan Bersama sahaja. Plaintif mendakwa penggunaan Kawasan Bersama ini dihadkan kepada pemilik unit fasa satu sahaja. Manakala pihak defendan menyatakan penggunaannya tidak dihadkan kepada pemilik fasa satu sahaja, malah ia bebas digunakan oleh pemilik fasa satu dan dua dan juga pelawat jika perlu. [49] Di peringkat ini memandangkan belum ada ikatan dokumen difailkan, agak sukar untuk menentukan samada dokumen-dokumen yang akan digunakan sebagai bukti merupakan maklumat yang didapati secara sulit dan akan menyebabkan kedudukan firma guaman peguam cara defendan berada dalam keadaan serba salah atau memalukan untuk terus bertindak. KESIMPULAN [50] Berdasarkan alasan-alasan di atas, saya mendapati pihak plaintif gagal mengemukakan bukti dan alasan yang melepasi tahap yang diperlukan untuk melucutkan kelayakan peguam cara defendan. [51] Oleh yang demikian, permohonan pihak plaintif ditolak dengan kos sebanyak RM3,000.00 Bertarikh pada hari ini 23.12.2025 Zaman Mohd Noor Hakim Mahkamah Sesyen 1 Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur