Berdasarkan keterangan di atas, Mahkamah memutuskan bahawa elemen (b) iaitu pemilikan secara langsung telah dibuktikan tanpa perlu menggunakan anggapan di bawah s. 37(d) ADB 1952. [27] Apakah yang dimaksudkan oleh Hakim bicara dengan perkataan "Berdasarkan keterangan di atas"? Kami dapati ungkapan Hakim bicara tersebut adalah merujuk kepada perkara-perkara yang disebutkan di perenggan (5), (6), (7) dan (14) alasan penghakiman beliau. Hakim bicara merujuk kepada keterangan saksi-saksi SP6, SP7 dan SP8 berkaitan rampasan 56 ketulan kapsul daripada perayu setelah perayu mengeluarkan ketulan-ketulan kapsul daripada duburnya ketika buang air besar pada tarikh-tarikh dan masa yang dicatitkan oleh SP6, SP7 dan SP8 masing-masingnya. 4 kali perayu buang air besar dan setiap kali buang air besar terdapat ketulan kapsul keluar dari dubur perayu. YA Hakim bicara mengulangi semula fakta tersebut di perenggan (34) penghakiman beliau. Imbasan 'x-ray' melihatkan terdapat imej ketulan-ketulen berbentuk kapsul dalam perut perayu. YA hakim bicara membuat dapatan bahawa perayu mempunyai milikan sebenar (actual possession) terhadap dadah yang terdapat dalam perut perayu itu. Dapatan ini merujuk kepada elemen pemilikan yang merangkumi unsur kawalan dan jagaan yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan seperti mana yang disebutkan oleh Hakim bicara di perenggan (14) penghakiman beliau yang beliau berpuas hati telah dibuktikan. [28] Apabila penghakiman menzahirkan bahawa hakim bicara telah membuat dapatan milikan sebenar (actual possession) terhadap dadah tersebut oleh tertuduh iaitu perayu di sini, maka tiada lagi keperluan untuk bergantung kepada seksyen 37(d) DDA selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Tunde Apatira & Ors v PP [2001] 1 CLJ 38, yang mempunyai fakta yang serupa seperti kes di hadaan kami ini. Mahkamah Persekutuan memutuskan di muka surat 388 baris c-f seperti berikut: There is no dispute about the central facts relating to the possession of the drugs. It was established by the evidence and accepted by the learned judge that the drugs in question were found in packets within the stomachs of the appellants. Each appellant had swallowed a packet containing the drug. The learned trial judge found the appellants' version of how they had come to swallow the drugs in question as being implausible. The totality of the evidence reasonably supports the conclusion that the appellants were in actual possession of the prescribed drug at the time of their initial detention. It follows that even if the learned trial judge and the learned trial judges of the Court of Appeal had directed themselves in accordance with the law as laid by this court in Muhammed Hassan they would have arrived at the identical conclusion. To put it in another fashion, a reasonable tribunal armed with the same facts and properly directing itself would have concluded that the appellants were found in actual possession of the heroin in question, that is to say, independently of the presumption in s. 37(d) of the Act. Since the quantity of the heroin so found in the possession of the appellants was several times greater than the statutory minimum of 15 grammes, the court was entited to conclude that they were trafficking in the said drug. [29] Berdasarkan kepada huraian yang kami sebutkan di atas, kami dapati Hakim bicara tidak khilaf atau salaharahan dalam dapatan beliau. Ketiadaan pengataan Hakim bicara secara khusus menyebutkan unsur pengetahuan perayu tidak menjadikan dapatan Hakim bicara fatal disebabkan fakta kes adalah jelas dalam isu milikan terhadap dadah tersebut. Oleh itu hujahan peguamcara untuk isu ini tidak mempunyai merit. Sama ada terdapat lompangan (gap) dalam keterangan pengendalian barang kes dadah dan keraguan identiti dadah [30] Peguamcara menghujahkan terdapat keraguan terhadap pengendalian dan identiti dadah. Hujahan peguamcara ini diasaskan kepada keterangan pembelaan perayu (SD1) dan saksi-saksi SD2 dan SD3 yang mengatakan berlaku campur aduk ketulan kapsul yang keluar dari perayu dengan ketulan kapsul yang keluar dari SD2 da SD3 yang dikatakan diambil oleh polis dan diletakkan dalam beg plastik yang sama atau tidak diasingkan. Peguamcara juga membangkitkan isu perbezaan berat kasar timbangan atas 56 ketulan kapsul apabila keseluruhan berat kasar timbangan oleh SP6, SP7 dan SP8 berjumlah 840 gram berbanding dengan timbangan berat kasar oleh ahli kimia berjumlah 861.26 gram iaitu pertambahan 21.26 gram. Dihujahkan bahawa keraguan yang terdapat terhadap dadah terlibat menjadikan kes pendakwaan fatal. Peguamcara telah merujuk kes-kes otoriti berikut untuk menyokong hujahan: Gunalan a/l Ramachandran & Ors v Public Prosecutor [2004] 4 MLJ 489; Zaifull bin Muhammad v Public Prosecutor and another appeal [2013] 2 MLRA 546, [2013] 2 MLJ 348, Lim Poh Soon v PP [2013] 8 CLJ 800. [31] Kami meneliti alasan Hakim bicara berkaitan isu ini. Kami dapati Hakim bicara telah menimbangkan isu ini dengan terperinci seperti yang terdapat pada perenggan (17), (18), (19), (20), (21), (22), (23), (24), (29), (30), (31), (32), (33), (34), (35), (36) dan (37) alasan penghakiman beliau. YA Hakim bicara berpuas hati tiada putus keterangan dalam pengendalian barang kes dadah terlibat dan tiada keraguan terhadap identiti dadah tersebut. Dapatan Hakim bicara tersebut diasaskan kepada keterangan SP1, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP11, iaitu saksi-saksi pendakwaan yang mengendalikan barang kes dadah, 56 ketulan kapsul daripada masa ketulan-ketulan kapsul itu keluar dari dubur perayu hingga dikemukakan di mahkamah. Pada perenggan (18) penghakiman beliau, Hakim bicara telah membuat jadual colum membutirkan kronologi rampasan 56 ketulan kapsul dan tanda-tanda pengenalan yang dibuat oleh saksi SP6, SP7 dan SP8 atas ketulan kapsul yang dirampas. SP6 membuat tandaan R1-R7 atas 7 ketulan kapsul dan R8-R12 untuk 5 lagi ketulan kapsul. SP7 membuat tandaan H(1)-H(19) atas 19 ketulan kapsul yang dirampasnya. SP8 membuat tandaan ZZ(1)- ZZ(25) untuk 25 ketulan kapsul yang di rampasan olehnya. Tandaan-tandaan tersebut masih boleh kelihatan pada sebilangan bungkusan ketulan kapsul. SP5 mengesahkan terdapat tandaan-tandaan atas 56 ketulan kapsul yang diterima beliau sebelum dijalankan analisis kandungannya. SP11 menyaksikan tandaan-tandaan yang terdapat pada 56 ketulan kapsul yang telah dibuat oleh SP6, SP7 dan SP8. SP11 telah memberi keterangan tentang jagaan selamat barang kes dadah setelah menerima serahan 56 ketulan kapsul daripada SP6, SP7 dan SP8. SP1 juru photo telah memberi keterangan bagaimana ganbar barang kes diambil daripada mula barang kes tersebut dikeluarkan dan kemudiannya dibungkus oleh SP11 untuk dihantar ke Jabatan Kimia. Kesemua barang kes dadah telah dibuka dan dikemukakan di hadapan Hakim bicara. Saksi-saksii SP1, SP5, SP6, SP7, SP8 dan SP11 telah mencamkan barang kes dadah tersebut melalui tanda-tanda pengenalan yang mereka membuatnya sendiri atau melihat sendiri. Tidak terdapat sebarang cabaran terhadap integriti kotak bertanda 'E' yang terdapat barang kes dadah dan meterai Jabatan Kimia Malaysia atasnya. [32] Berdasarkan kepada keterangan yang terdapat. yang juga disokong oleh dokumen seperti gambar-gambar barang kes, borang bongkar, laporan polis dan borang serah menyerah, kami dapati Hakim bicara tidak khilaf dalam menerima keterangan pihak pendakwaan bahawa barang kes dadah terlibat telah dibuktikan identitinya yang bukan sahaja dibuktikan melalui tanda pengenalan barang kes tetapi juga pengendalian selamat barang kes. [33] Peguamcara perayu juga merujuk kepada kes Zuifull bin Muhammad v Public Prosecutor and another appeal (supra) untuk menyokong hujahannya dalam isu perbezaan berat dadah, iaitu pertambahan 20.21 gram. Mahkamah Persekutuan dalam kes ini telah membenarkan rayuan atas alasan pihak pendakwaan tidak dapat menjelaskan bagaimana boleh berlaku perbezaan dalam jumlah ketulan ganja yang menjadi perkara pertuduhan terhadap perayu. Terdapat percanggahan apabila saksi-saksi pendakwaan sendiri, iaitu pegawai serbuan (PW4), pegawai penyiasat (PW8) dan ahli kimia mengatakan hanya dua ketulan ganja yang dijumpai dan dibuat serahan sedangkan pertuduhan kes menyebut enam ketulan ganja menjadikan berat dadah cannabis tersebut juga berbeza. Percanggahan jumlah bilangan ketulan ganja amat ketara "dua ketulan" atau "enam ketulan" dan perkara itu telah gagal dijelaskan oleh pihak pendakwaan menyebabkan keraguan serius identiti dadah terlibat. Bagaimana pun, kami dapati kecacatan serius yang berlaku dalam kes tersebut tidak terdapat dalam kes rayuan di hadapan kami ini di mana saksi-saksi pendakwaan SP6, SP5, SP7, SP8 dan SP11 telah memberikan penjelasan bagaimana ketulan kapsul mengandungi dadah tersebut dibuat tandaan oleh mereka, kaedah timbangan yang dibuat oleh mereka untuk mendapatkan jumlah berat kasar dadah dan mencamkan semua 56 ketulan kapsul, serta keterangan pengendalian eksibit dadah tersebut yang tidak terputus. [34] Kes Gunalan Ramachandran & Ors (supra) yang dirujuk oleh peguamcara perayu juga tidak membantu hujahan beliau. Mahkamah Rayuan dalam kes ini menolak rayuan perayu terhadap sabitan. Mahkamah Rayuan mengatakan selain dari melihat keterangan lisan berkaitan pengendalian barang kes dadah terlibat, gambar-gambar barang kes dadah juga dapat membantu dalam pembuktian identiti dadah tersebut. Di dalam rayuan di hadapan kami, keterangan SP1 juru photo, SP6, SP7 dan SP8 yang setiap satu dari mereka menyaksikan dan merampas ketulan-ketulan kapsul yang perayu keluarkan dan membuat tandaan pengenalan atasnya, keterangan SP11 pegawai penyiasat dan SP5 ahli kimia, adalah lebih dari meyakinkan untuk diputuskan bahawa dadah dalam pertuduhan adalah dadah yang sama yang telah dirampas dan dikemukakan di mahkamah. Tidak lebih dan tidak kurang. [35] YA Hakim bicara telah menerima keterangan SP6, SP7, SP8, SP11 dan SP5 terhadap berat kasar 56 ketulan kapsul dadah dan berpuas hati dengan penjelasan berkaitan perbezaan berat kasar dadah tersebut. SP6, SP7 dan SP8 tidak menggunakan kaedah timbangan yang sama dengan kaedah timbangan SP5 dan alat timbang jabatan polis yang berbeza dengan alat timbang Jabatan Kimia yang telah dibuat tentusah ketepatannya dan perkara tersebut telah memungkinkan berlaku perbezaan kepada berat kasar. Tiada cabaran oleh pihak pembelaan terhadap SP5 berkenaan berat bersih dadah. YA Hakim bicara berpuas hati terhadap identiti 56 ketulan kapsul tersebut. Berdasarkan kepada pendekatan yang telah diambil oleh YA Hakim bicara terhadap isu berat kasar dadah, kami dapati dapatan Hakim bicara adalah teratur dan tidak terdapat apa-apa khilaf atau salaharahan terhadapnya. Oleh itu hujahan peguamcara perayu untuk isu ini tidak mempunyai merit. Sama ada s.114(g) terpakai terhadap kes pendakwaan kerana SP11 tidak mengemukakan ID proses menimbang barang kes 25 ketulan kapsul [36] Peguamcara perayu telah merujuk kepada keterangan SP11 semasa pemeriksaan balas di muka surat 71 Rekod Rayuan Jilid 2(2). Peguamcara menghujahkan SP11 ketika diperiksa balas telah memberikan keterangan bahawa SP11 ada membuat timbangan terhadap ketulan-ketulan dadah yang dibuat rampasan oleh SP8. Isu tersebut timbul kerana sebelumnya SP11 mengatakan semua anggota yang membuat rampasan dadah tersebut melakukan timbangan masing-masing dan SP11 mengambil timbangan mereka sebagai kiraan jumlah kasar berat 56 ketulan kapsul tersebut. Bagaimana pun SP11 membetulkan keterangannya selepas itu dengan mengatakan hanya dadah yang dirampas oleh SP8 dibuat timbangan oleh SP11 sendiri kerana SP8 tidak biasa dalam membuat timbangan dadah. Peguambela perayu di Mahkamah Tinggi telah meminta SP11 mengemukakan 'ID' (investigation diary) atas perkara tersebut tetapi tiada 'ID' dikemukakan oleh SP11. Atas latar belakang tersebut, peguamcara menghujahkan s. 114(g) Akta Keterangan 1950 terpakai terhadap kegagalan SP11 mengemukakan 'ID' yang diminta dikemukakan dan berlaku 'suppression of evidence' oleh pihak pendakwaan. Peguamcara merujuk kepada kes Munusamy v Public Prosecutor [1987] 1 MLJ 492 sebagai otoriti untuk menyokong hujahan beliau. [37] Kami dapati isu ketiadaan pengemukaan 'ID' oleh SP11 tidak terdapat dalam Petisyen Rayuan bertarikh 9.8.2019 yang difailkan oleh peguamcara perayu bagi pihak perayu. Bagaimana pun kami menggunakan budibicara kami untuk menimbangkan isu ini. Oleh kerana isu ini hanya melibatkan 25 ketulan kapsul yang dirampas oleh SP8, maka kami fokuskan pertimbangan kami hanya terhadap 25 ketulan kapsul tersebut. Keterangan SP8 mengatakan beliau telah merampas 25 ketulan kapsul yang keluar dari dubur perayu ketika perayu buang air besar pada 14.2.12, jam 9.00 pagi. SP8 telah membuat tandaan berikut atas bungkusan setiap ketulan kapsul : ZZ(1) - ZZ(25), tarikh 14.2.12 dan tandangan ringkas SP8. SP8 juga membuat laporan polis (P56) atas rampasan 25 ketulan kapsul tersebut. Pada jam 2.00 petang hari yang sama, SP8 membuat serahan 25 ketulan kapsul tersebut kepada SP11 di pejabat SP11 di IPD Sepang. SP11 kemudiannya telah mengarahkan SP1 untuk mengambil gambar barang kes dadah semasa proses pembungkusan dibuat oleh SP11 sebelum dadah terlibat dihantar kepada ahli kimia (SP5). Gambar 25 ketulan kapsul tersebut dapat dilihat di eksibit P7(1) (muka surat 19 Rekod Rayuan Jilid 3) dan telah dicamkan oleh saksi-saksi SP1, SP8 dan SP11. Tandaan yang dibuat oleh SP8 juga boleh dilihat jelas dalam gambar tersebut. Isu di sini hanya sama ada SP8 yang membuat timbangan atau SP11 yang membuat timbangan atas 25 ketulan kapsul tersebut untuk mendapatkan berat kasar dadah itu. SP8 dalam keterangannya tidak menyebut beliau ada membuat timbangan terhadap 25 ketulan kapsul itu. Sebaliknya SP11 mengatakan SP11 yang melakukan timbangan atas 25 ketulan kapsul tersebut. Untuk mendapatkan jumlah berat kasar keseluruhan 56 ketulan kapsul, SP11 mencampurkan berat kasar timbangan yang dibuat oleh SP6 dan SP7 untuk ketulan kapsul yang dirampas masing-masingnya dan berat kasar untuk 25 ketulan kapsul yang ditimbang oleh SP11. Berdasarkan kepada fakta dan keadaan yang terdapat, kami berpendapat ketiadaan pengemukaan 'ID' oleh SP11 tidak menjadi satu 'suppression' atau 'witholding' keterangan oleh pihak pendakwaan untuk mewajarkan s. 114(g) digunapakai terhadap kes pendakwaan. Tiada terputus rantaian keterangan pengendalian dadah tersebut dan identiti dadah tersebut juga telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan tanpa apa-apa keraguan terhadapnya. Oleh itu kami dapati tidak terdapat merit dalam hujahan peguamcara untuk isu ini. Hakim bicara khilaf dan salaharahan dalam menilai kes pembelaan [38] Peguamcara perayu merujuk kepada dapatan Hakim bicara di perenggan (37) alasan penghakiman yang memutuskan terdapat tarikh dan masa yang berbeza untuk pengeluaran ketulan-ketulan kapsul oleh SD3 berbanding dengan tarikh dan masa pengeluaran ketulan-ketulan kapsul oleh perayu dan oleh itu tidak berlaku percampuran ketulan kapsul perayu dan SD3. Peguamcara menghujahkan bahawa dapatan oleh Hakim bicara tersebut adalah salah kerana isu tentang tarikh dan masa SD3 serta SD2 mengeluarkan ketulan-ketulan kapsul ketika SD2 dan SD3 buang air besar telah dibuat pemeriksana balas dan dicabar oleh pihak pembelaan ketika SP6, SP7 dan SP8 memberi keterangan. Keterangan yang tidak dipertikaikan ialah perayu, SD2 dan SD3 telah ditahan dan ditempatkan di wad yang sama dan bilik yang sama dan menggunakan bilik air yang sama. Keterangan perayu ialah pihak polis telah mengambil ketulan-ketulan kapsul yang keluar daripada dubur perayu dan memasukkan ketulan-ketulan tersebut ke dalam beg plastik yang sama yang digunakan oleh pihak polis untuk memasukkan ketulan-ketulan kapsul yang dikeluarkan oleh SD2 dan SD3 yang membuang air besar pada masa yang sama dengan perayu dan ditandas yang sama. SP6, SP7 dan SP8 bagaimana pun tidak bersetuju dengan saranan pemeriksaan balas peguam bahawa telah berlaku campur aduk ketulan-ketulan kapsul yang diambil dari perayu dengan ketulan kapsul SD2 dan SD3. [39] Kami meneliti alasan penghakiman YA Hakim dalam isu sama ada berlaku percampuran ketulan-ketulan kapsul yang diutarakan oleh pihak pembelaan itu. Kami dapati Hakim bicara melalui penghakiman pada perenggan (6), (7), (8), (17), (19) dan (20) telah menimbangkan isu bagaimana ketulan-ketulan kapsul yang dikeluarkan oleh perayu dibuat rampasan oleh SP6, SP7 dan SP8 dari ketika ketulan itu keluar dari dubur perayu dan dibersihkan oleh perayu, sehingga SP6, SP7 dan SP8 masing-masingnya membuat serahan ketulan kapsul yang dirampas kepada SP11. Hakim bicara juga merujuk kepada keterangan SP1 yang merakamkan gambar-gambar ketulan kapsul yang dipegang oleh perayu dan diaturkan oleh perayu atas arahan SP6 dan SP7 masing-masingnya. Gambar-gambar tersebut boleh dilihat di eksibit P6(8),(9),(11),(12,(14) dan (15). Pada perenggan (24) dan (25) alasan penghakiman, Hakim bicara secara khusus menimbangkan isu "kemungkinan berlaku percampuran barang kes dengan tahanan lain yang juga ditahan dalam Wad 6C Bilik 28 yang sama". Hakim bicara membuat dapatan bahawa dakwaan pembelaan berlaku percampuran barang kes adalah tidak berasas. Kami dapati Hakim bicara juga dalam alasan penghakiman beliau pada perenggan (29),(30),(31),(32),(33),(34). (35),(36), dan (37) membuat pertimbangan di akhir kes pembelaan terhadap isu kemungkinan berlaku percampuran barang kes berdasarkan kepada keterangan yang diberikan oleh perayu, SD2 dan SD3 dan dibandingkan dengan keterangan SP6, SP7 dan SP8. Setelah membuat analisis terhadap semua keterangan tersebut, Hakim bicara menolak pembelaan perayu untuk isu berlaku percampuran barang kes tersebut. Kami tidak mendapati Hakim bicara melakukan kesilapan atau salaharahan dalam dapatan tersebut. Keterangan SP6, SP7 dan SP8 serta SP1 juru photo adalah jelas dalam rampasan, penandaan dan pengendalian barang kes dadah iaitu 56 ketulan kapsul yang dibuat rampasan daripada perayu. Oleh itu kami dapati hujahan peguamcara untuk isu ini tidak mempunyai merit. [40] Adalah prinsip undang-undang mantap mahkamah di peringkat rayuan sangat perlahan dan tidak boleh sewenangnya mencampuri dan mengubah dapatan fakta oleh hakim bicara yang mempunyai faedah audio-visual ke atas saksi-saksi yang memberi keterangan di hadapannya. Dalam kes Md Zainudin Raujan v PP [2013] 4 CLJ 21, Mahkamah Persekutuan memutuskan: [38] Assessing credibility is difficult and is best left to the trial judge who has the audio-visual advantage of a witness in action. In this case, the learned trial judge, in our view, had correctly evaluated PW5's evidence and found him to be a credible witness. The Court of Appeal had further assessed the learned trial judge's evaluation of that evidence and agrees with the learned judge's conclusion. [39] We have gone through the evidence thoroughly ourselves and have come to the same conclusion that PW5 is a credible witness. Having said that we found no compelling reasons which require our appellate interference." Kesimpulan [41] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, kami berpuas hati bahawa YA Hakim bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul terhadap undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini dalam membuat dapatan ke atasnya (Chan Chor Shuh v PP [2003] 1 CLJ 501). Kehendak seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) telah dipatuhi. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit untuk Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim bicara tersebut. Sabitan terhadap perayu adalah selamat. Rayuan perayu ditolak. [42] Justeru, Mahkamah ini mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. (YAACOB BIN HAJI MD. SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh 17 September 2020 Peguamcara bagi pihak Perayu: Afifuddin Ahmad Hafifi Tetuan Salehuddin Saidin & Associates Peguambela & Peguamcara No.14, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam Selangor Peguamcara bagi pihak Responden: Tetralina Ahmed Fauzi Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Aras 5, No. 45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya