bahawa Hakim Bicara telah terkhilaf apabila gagal untuk mempertimbangkan pembelaan perayu (that the learned trial Judge erred when His Lordship failed to appreciate the defence case). Keputusan Mahkamah Ini [17] Peguambela terpelajar berhujah bahawa Hakim Bicara pada akhir kes pendakwaan tidak menyatakan dengan jelas sama ada kes terhadap perayu diasaskan kepada pengedaran langsung dadah atau diasaskan kepada peruntukan anggapan pengedaran. Peguambela terpelajar seterusnya berhujah, berdasarkan kepada alasan penghakiman di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara telah mendapati perayu mengedar dadah dalam maksud seksyen 2 ADB 1952. Peguambela terpelajar selanjutnya berhujah, semasa menimbang kes pembelaan, Hakim Bicara telah menggunapakai peruntukan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) ADB 1952. Justeru itu, peguambela terpelajar berhujah dapatan dan keputusan oleh Hakim Bicara tersebut menimbulkan kesamaran dan ketidaktentuan apabila menggunapakai kedua-dua peruntukan undang-undang terhadap perayu, iaitu pengedaran secara langsung dan anggapan pengedaran, dan yang demikian telah menyalaharahkan dirinya di sisi undang-undang. Peguambela terpelajar berhujah di atas kesilapan tersebut, sabitan terhadap perayu tidak boleh dikekalkan. Peguambela terpelajar merujuk kepada keskes Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshhamiardestani v Public Prosecutor [2014] 4 CLJ 406, Mohamad Hanafi bin Mohamad Hashim v Pendakwa Raya [2016] 3 MLJ 723, Nguyen Quoc Tuan v Public Prosecutor [2016] 6 MLJ 156, Soorya Kumar Narayanan v PP [2009] 6 CLJ 257, dalam menyokong hujahannya. [18] Mahkamah ini mendapati hujahan oleh peguam terpelajar bagi pihak perayu dalam isu ini tidak mempunyai merit. Di akhir kes pendakwaan, Hakim Bicara dengan jelas membuat dapatan dan memutuskan bahawa perbuatan perayu membawa dadah yang menjadi perkara pertuduhan adalah terjumlah kepada perbuatan pengedaran sebagaimana maksud seksyen 2 ADB 1952 (muka surat 19 Rekod Rayuan Jilid 1). Dapatan dan keputusan Hakim Bicara di akhir kes pendakwaan, jelas melihatkan bahawa Hakim Bicara membuat dapatan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perayu telah melakukan perbuatan mengedar dadah berbahaya seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952, iaitu membawa (carrying) (muka surat 21 Rekod Rayuan Jilid 1). [19] Justeru, beban pembelaan diri oleh perayu hanya untuk mengemukakan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan (Mat v Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ 263, PP v Saimin [1971] 2 MLJ 16). [20] Di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara mengulangi lagi bahawa perbuatan perayu membawa dadah di dalam P14A dan P14C dalam bagasi P12 adalah terjumlah kepada pengedaran secara langsung seperti yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 ADB 1952 (muka surat 34 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara mendapati perayu telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan (muka surat 35 Rekod Rayuan Jilid 1). Jelasnya, Hakim Bicara tidak meletakkan beban pembuktian yang lebih tinggi terhadap perayu. Mahkamah ini berpendapat walau pun Hakim Bicara ada merujuk kepada peruntukan seksyen 37(da)(xvi) ADB 1952 semasa menimbangkan kes pembelaan perayu, tetapi Hakim Bicara tidak menjadikan peruntukan anggapan pengedaran tersebut sebagai asas sabitan terhadap perayu (muka surat 34 Rekod Rayuan Jilid 1). Beban pembelaan masih kekal pada tahap menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan, iaitu pada tahap di bawah daripada atas imbangan kebarangkalian (balance of probabilities) sekiranya peruntukan anggapan pengedaran digunapakai (lihat PP v Ku Yahya Ku Bahari & Anor [2002] 1 CLJ 113). Justeru itu, perayu telah tidak diprejudiskan dalam isu beban pembuktian pembelaan dan tiada sebarang ketidakadilan yang menjurus kepada “miscarriage of justice”. [21] Dalam kes Seyedalireza Seyedhedayatollah Ehteshshamiardestani (supra), Mahkamah Tinggi telah menggunapakai kedua-dua anggapan di bawah seksyen 37(d) dan (da) ADB 1952, secara alternatif apabila memanggil perayu dalam kes tersebut membela diri, yang mencerminkan ketidaktentuan hakim bicara dalam membuat dapatan sama ada terdapat milikan sebenar atau milikan anggapan dan sama ada pengedaran sebenar atau anggapan pengedaran. Kecacatan yang serupa berlaku dalam kes Nguyen Quoc Tuan v Public Prosecutor [2016] 6 MLJ 156. Sabitan terhadap perayu dalam kedua-dua kes tersebut telah diketepikan. [22] Ketidaktentuan yang serupa juga berlaku dalam kes Mohamad Hanafi bin Mohamad Hashim Iwn Pendakwa Raya (supra) di mana Mahkamah Tinggi menggunapakai kedua-dua anggapan statutori di bawah seksyen 37(d) ADB 1952 untuk elemen milikan mens rea dan seksyen 37(da) ADB 1952 untuk elemen pengedaran apabila memanggil perayu dalam kes tersebut membela diri (kes sebelum ADB 1952 dipinda yang membenarkan kedua-dua anggapan digunapakai mulai 15 Februari 2014). [23] Nas-nas yang dirujuk oleh peguam perayu boleh dibezakan faktanya. Kecacatan bersifat ketidaktentuan tersebut tidak terdapat dalam kes perayu di Mahkamah ini. Sejak daripada kes pendakwaan sehingga di akhir kes pembelaan, Hakim Bicara hanya merujuk dan menggunapakai definasi seksyen 2 ADB 1952 dalam membuat dapatan dan keputusannya. Tiada dapatan berbentuk alternatif oleh Hakim Bicara. [24] Alasan ini ditolak sebagai tidak bermerit. [25] Alasan kedua yang dihujahkan oleh peguambela terpelajar ialah kegagalan Hakim Bicara menimbangkan pembelaan perayu. Peguambela terpelajar menghujahkan bahawa Hakim Bicara juga tidak memberikan sebarang pertimbangan ke atas pernyataan beramaran perayu (D43). Peguambela terpelajar merujuk kepada kes Prasit Punyang v PP [2014] 1 MLRA 387 dalam menyokong hujahannya bahawa adalah menjadi satu tugasan bagi Hakim Bicara di bawah seksyen 182A(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk menimbangkan keseluruhan keterangan termasuk pernyataan beramaran perayu yang dikemukakan sebagai eksibit D43 dalam menentukan sama ada pembelaan perayu telah dapat menimbulkan apa-apa keraguan terhadap kes pendakwaan sebelum Hakim Bicara boleh memutuskan bahawa kes pendakwaan telah dibuktikan tanpa keraguan yang munasabah. [26] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) terpelajar dalam hujahan balas berhujah bahawa walau pun Hakim Bicara tidak secara spesifik merujuk kepada D43 tetapi Hakim Bicara telah menimbangkan kes pembelaan diri perayu dengan kes pendakwaan secara keseluruhan. TPR terpelajar berhujah Hakim Bicara telah menimbangkan keseluruhan keterangan termasuk keterangan perayu semasa pembelaan diri dan pernyataan beramaran perayu D43 dalam perkara dakwaan perayu berkaitan peranan rakan perayu bernama Dossoupacome, dalam mana setelah membuat penilaian, Hakim Bicara memutuskan pembelaan perayu tersebut hanya merupakan pembelaan yang difikirkan kemudian atau "an afterthought". TPR terpelajar juga berhujah kewujudan watak bernama Dossoupacome yang dikatakan oleh perayu sebagai tuanpunya beg besar tidak pernah ditimbulkan oleh perayu semasa SP4 memberi keterangan. TPR terpelajar menghujahkan watak Dossoupacome hanya ditimbulkan oleh perayu melalui pernyataan beramaran perayu (D43) yang diberikan setelah enam hari perayu ditahan. TPR seterusnya menghujahkan kecuali perayu menyebutkan nama Dossoupacome, tiada butiran lanjut lain diberikan oleh perayu untuk siasatan dapat dilakukan ke atas watak tersebut. TPR juga menghujahkan, jika D43 diteliti, perayu dalam D43 mengatakan telah mengenali Dossaupacome selama 2 tahun. Walau bagaimana pun semasa memberi keterangan pembelaan, perayu mengatakan teleh mengenali Dossoupacome selama 6 bulan. Percanggahan tersebut gagal dijelaskan oleh perayu dan kredibiliti keterangan perayu adalah dipersoalkan. [27] Hakim Bicara telah menimbangkan pembelaan perayu seperti yang dapat dilihat di muka surat 25 hingga 33 Rekod Rayuan Jilid 1. Dalam menimbang dan menilai kes pembelaan, Hakim Bicara menyebut sejumlah 28 kali nama Dossoupacome dan pada akhirnya membuat dapatan bahawa watak Dossoupacome tersebut adalah merupakan suatu watak 'fictitiuos' (muka surat 29 dan 35 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara juga merujuk kepada percakapan beramaran perayu D43 sebagai membentuk keseluruhan keterangan pembelaan perayu bagi pertimbangan bersama semua keterangan yang lain (muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1). Di akhir pertimbangan tersebut, Hakim Bicara memutuskan seperti berikut (muka surat 35 Rekod Rayuan Jilid 1): “...menilai serta menimbang kepada keseluruhan keterangan secara keseluruhannya, dengan ini mencapai suatu keputusan iaitu tertuduh di peringkat akhir kes pembelaan ini telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.”. [28] Di dalam kes Prasit Punyang v PP (supra), Mahkamah Tinggi telah gagal sama sekali menimbangkan pernyataan beramaran perayu ('exh D1'). Perayu dalam kes tersebut di dalam pernyataan beramaran yang diberikan kepada pihak polis sehari selepas tangkapan telah menimbulkan nama "Mail" sebagai orang yang membekalkan dadah cannabis dan "Mail" tersebut juga adalah tuanpunya bot di mana dadah cannabis dijumpai tersembunyi dalam bahagian belakang bot. Tiada siasatan oleh pihak polis ke atas watak "Mail". Hakim Bicara juga tidak membuat apa-apa pertimbangan ke atas pernyataan beramaran perayu berkaitan watak "Mail" yang disebutkan oleh perayu. Mahkamah Rayuan telah membenarkan rayuan perayu dan sabitan diketepikan. [29] Berbalik kepada rayuan ini. Mahkamah ini mendapati Hakim Bicara telah menimbangkan keseluruhan keterangan. Dalam perkara pembelaan perayu, Hakim Bicara merujuk sebanyak 28 kali watak Dossoupacome sebelum membuat dapatan ke atasnya. Keterangan lisan perayu tidak banyak berbeza dengan kandungan percakapan beramaran perayu (D43). Hakim Bicara jelas telah merujuk kepada D43 disamping keterangan lisan perayu (muka surat 27 Rekod Rayuan Jilid 1). Hakim Bicara juga telah membuat dapatan bahawa perayu bukan seorang "innocent carrier" dadah tersebut seperti yang diputuskan di muka surat 33 Rekod Rayuan Jilid 1 (lihat PP v Herlina Purnama Sari [2017] 1 MLRA 499 FC, Reza Malek Zadeh Sahabah v PP [2014] 3 MLJ 380). Mahkamah ini berpendapat Hakim Bicara telah mematuhi kehendak seksyen 182A (1) Kanun Tatatcara Jenayah (Akta 593). Justeru itu, hujahan oleh peguambela terpelajar bahawa Hakim Bicara telah gagal mempertimbangkan pembelaan perayu, khususnya percakapan beramaran perayu D43 tidak mempunyai merit. [30] Peguambela terpelajar juga ada berhujah bahawa Hakim Bicara telah khilaf kerana menggunapakai peruntukan di bawah seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950, terhadap perayu kerana kegagalan perayu membawa keterangan yang boleh membuktikan wujudnya watak bernama Dossoupacome. Mahkamah ini berpendapat hujahan tersebut tidak mempunyai merit. Hakim Bicara telah membuat dapatan bahawa watak Dossoupacome tersebut tidak wujud dan hanya suatu rekaan oleh perayu (muka surat 29 Rekod Rayuan Jilid 1). Oleh itu, walau pun Hakim Bicara ada merujuk kepada pemakaian seksyen 114(g), perkara tersebut tidak mendatangkan prejudis terhadap pengadu kerana watak Dossoupacome telah diputuskan sebagai watak 'fictitios'. Tahap beban ke atas pembelaan masih kekal untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Perayu tidak dikenakan beban yang lebih tinggi daripada itu. Justeru, Mahkamah ini dapati perayu tidak diprejudiskan. Kesimpulan [31] Berdasarkan alasan-alasan yang telah kami huraikan, Mahkamah ini mendapati YA Hakim Bicara telah mengarahkan dirinya dengan betul mengenai undang-undang yang terpakai dan telah meneliti keseluruhan keterangan yang dikemukakan dalam kes ini. Tidak terdapat sebarang alasan atau merit bagi Mahkamah ini mengganggu keputusan Hakim Bicara tersebut (lihat Sheo Swamp v King Emperor AIR [1934] PC 22; Reza Malek Zadeh Sahabali v PP [2014] MLRHU 1815, [2014] 3 MLJ 380, Sainal Abidin Mading v PP [1999] 4 CLJ 215). Sabitan terhadap perayu adalah selamat. [32] Justeru, Mahkamah ini mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi. (YAACOB BIN HAJI MD. SAM) Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia Bertarikh 15 Januari 2018 Peguamcara bagi pihak perayu: Hisyam Teh Poh Teik Tetuan Teh Poh Teik Peguambela & Peguamcara Unit 11.08, Tingkat 11 Menara TJB, No.9, Jalan Syed Mohd Mufti 80000 Johor Bahru, Johor Peguamcara bagi pihak Responden: Adam bin Mohamed Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Bahagian Perbicaraan & Rayuan Aras 5, No.45, Lot 4G7, Presint 4, Persiaran Perdana 62100 Putrajaya