(h) Di IPD Tanah Merah, OKT mengatakan bahawa dia dipaksa untuk menandatangani satu borang. [72] Berhubung dengan dadah yang dikatakan ditemui di dalam poket seluar jeans beliau, OKT1 mengatakan bahawa tidak mengetahui tentang kewujudan tiub yang mengandungi dadah tersebut. [73] OKT1 hanya mengetahui kewujudan dadah tersebut apabila diberitahu oleh seseorang di IPD Tanah Merah lebih kurang 3 jam selepas ditangkap: Ada seorang mari royat [beritahu] masa saya kena tangkap tadi ada pil kuda. Di dalam keterangannya OKT1 tidak menyebut langsung tentang penemuan dadah di dalam Eksh P38. [74] Ringkasnya, pembelaan OKT1 ialah beliau hanya berhasrat untuk singgah di wakaf untuk bersalam dengan OKT2. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian kerana beliau telah ditangkap terlebih dahulu. Lagipun tujuan OKT1 melalui jalan sawah tersebut adalah untuk ke Bukit Bunga bagi menyerahkan pistol tersebut kepada Abang Mat. Pembelaan OKT2 [75] Di dalam keterangan pembelaannya, OKT2 mengatakan bahawa pagi sebelum kejadian, beliau berada di rumahnya di Kg Lawang Batu Gajah iaitu bersebelahan dengan Kg Bendang Keladi iaitu lokasi kejadian. Pada masa yang material OKT2 telah dihubungi oleh OKT3. OKT3 memaklumkan hasrat beliau untuk mengunjungi rumah OKT2. [76] Tetapi kemudian OKT2 dan OKT3 telah berhubungan melalui telefon dan melalui perbualan tersebut, OKT2 meminta OKT3 untuk menunggu beliau di wakaf di lokasi kejadian. [77] OKT2 kemudian menunggang skuternya untuk berjumpa dengan OKT3 di wakaf seperti yang dijanjikan. Apabila OKT2 sampai di lokasi kejadian, dia melihat OKT3 sudah berada di situ dengan kereta OKT3 diparkir di sebelah wakaf. [78] Pada masa yang material, OKT2 di dalam keterangannya mengatakan tidak ada orang lain atau kenderaan lain yang berada di lokasi kejadian. [79] Menurut OKT2 sejurus selepas itu, dia melihat sebuah motorsikal berkuasa tinggi menuju ke wakaf. Di belakang motorsikal itu terdapat dua lagi motorsikal lain. Sebaik sahaja penunggang motorsikal pertama hendak menongkat motornya, ada jeritan “Polis”. OKT2 mengatakan bahawa dia tidak mengenali penunggang motorsikal pertama itu kerana pada sepanjang masa, penunggang motorsikal pertama tersebut memakai helmet. [80] OKT2 hanya mengenali penunggang motorsikal itu sebagai OKT1 selepas kejadian kejar mengejar dan tangkap dibuat. P/OKT2: Mohd Nazri [OKT1] larikan diri? OKT2: Setelah selesai semua baru saya kenal Mohd Nazri. [81] Di dalam keadaan kelam kabut itu OKT2 ditangkap dan kemudian di bawa ke IPD Tanah Merah. [82] OKT2 juga menafikan mempunyai apa-apa di dalam poket seluar yang dipakai olehnya kecuali duit, telefon tangan dan kad pengenalan. Berhubung dengan Borang Bongkar di dalam Eksh P33, OKT2 mengakui menandatanganinya. Pembelaan OKT3 [83] Di dalam keterangan pembelaannya, OKT3 menyatakan bahawa pagi sebelum kejadian, beliau ada berjumpa dengan bapa saudaranya yang di rujuknya sebagai “Pak Da” di rumah Pak Da. Mereka kemudian ke Hospital Tanah Merah untuk menziarahi anak Pak Da. [84] OKT3 bertanya kepada Pak Da samada ada lori sawit untuk dijual. Pak Da mencadangkan kepada OKT3 dia boleh menghubungi penarik kereta. Apabila membuat cadangan tersebut, OKT3 teringat kepada kawannya, iaitu OKT2 yang bekerja sebagai penarik kereta. [85] Dari Hospital Tanah Merah, OKT3 menghubungi OKT2 melalui telefon untuk berjumpa dengan beliau. Pada asalnya rancangan OKT3 adalah untuk berjumpa dengan OKT2 di rumah OKT2. Tetapi rancangan itu ditukar dan akhirnya mereka berjumpa di wakaf di lokasi berkenaan. [86] OKT3 pergi ke wakaf tersebut menggunakan kereta Perdana hitam. Sejurus selepas sampai di wakaf, OKT3 melihat OKT2 datang dengan skuternya. [87] OKT2 dan OKT3 berbual sebelum satu motorsikal berkuasa tinggi kelihatan menuju ke wakaf tempat mereka berdua berada. [88] Motorsikal berkuasa tinggi itu diikuti dengan dua buah motorsikal yang lain di belakang. [89] Pada masa itulah OKT3 terdengar jeritan “Polis” dan OKT3 melihat orang yang menunggang motorsikal berkuasa tinggi itu lari ke arah bendang padi. [90] OKT3 kemudian ditangkap dan orang yang menangkapnya memperkenalkan diri sebagai anggota polis. [91] Selepas ditangkap, OKT3 dibawa ke bilik “narkotik” di IPD Tanah Merah bersama dengan OKT2 dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya yang kemudian dirujuk sebagai OKT1. Sebelum daripada kejadian, menurut OKT3 dia tidak mengenali OKT1. [92] Semasa di IPD, OKT3 mengatakan dia diminta oleh polis untuk menandatangani satu borang. OKT3 menandatangani borang tersebut, yang menurut beliau, tanpa sempat membacanya. [93] OKT3 di dalam keterangan pembelaannya mengatakan bahawa dia tidak tahu menahu tentang dadah tersebut. Bahkan menurut OKT3 dia beritahu tentang dadah oleh polis semasa berada di IPD. Analisa [94] Di dalam sistem perbicaraan di negara kita, yang menggunakan sistem adversarial, amatlah penting untuk mana-mana OKT membangkitkan struktur pembelaan mereka di peringkat kes pendakwaan khususnya semasa pemeriksaan balas. [95] Tujuan pendekatan ini ialah, jika kes prima facie dapat dibuktikan dan OKT memilih untuk memberikan keterangan bersumpah di dalam membela diri, OKT tidak boleh membangkitkan satu line of defence yang tidak pernah dibangkitkan semasa kes pendakwaan. Kegagalan OKT untuk membangkitkan line of defence atau jalur pembelaan ini di peringkat kes pendakwaan akan menyebabkan OKT terdedah kepada alegasi pemikiran semula. [96] Kedudukan undang-undang ini dapat dilihat di dalam kes PP v Chong Boon Sim [2013] 9 MLJ 590 di mana Mahkamah Tinggi ada menyebut: At the defence stage, it would therefore appear imperative that this line of defence be tested against all the evidence adduced by the prosecution, including a consideration of whether all vital aspects of the aforesaid line of defence and matters related thereto, had been put to the appropriate prosecution witnesses or, in any case, properly raised during cross-examination of relevant prosecution witnesses. [97] Sebagaimana yang dinyatakan tadi kegagalan untuk mengemukakan soalan kepada saksi-saksi pendakwaan akan menyebabkan pembelaan OKT sebagai satu pemikiran semula. Mahkamah Rayuan di dalam kes Megat Hakim Megat Omar v PP [2009] 1 CLJ 154 MR memutuskan bahawa apa-apa pembelaan hendaklah dikemukakan kepada saksi-saksi pendakwa pada peringkat awal kes pendakwaan. Kegagalan berbuat demikian membolehkan mahkamah bicara berpendapat bahawa sesuatu jalur pembelaan itu adalah 'afterthought' atau rekaan yang baru dibuat. Abdul Hamid Embong HMR (kemudiannya HMP) ketika menyampaikan penghakiman Mahkamah mengatakan: … it is trite that his defence should be put to the prosecution at an early stage during the prosecution case. Failure to do so may move the trial court to dismiss a particular line of defence as an afterthought, or a recent invention … [98] Berhubung dengan jalur pembelaan OKT1, tidak ditimbulkan semasa pemeriksaan balas ke atas SP3 bahawa semasa turun dari motorsikalnya, OKT1 tidak membawa apa-apa ditangannya. Sebaliknya, soalan pemeriksaan balas yang dikemukakan oleh OKT1 ialah: P/OKT1: Memandangkan jarak kamu jauh iaitu 300m dari OKT, saya cadangkan kamu tak pasti pun beg plastik yang dibawa oleh OKT1 ada barang salah, ada kemungkinan dia bawa makanan atau sebagainya, setuju? [99] Daripada cadangan soalan semasa pemeriksaan balas ini, penafian OKT1 bahawa dia tidak tahu menahu tentang Eksh P38 tidak mempunyai kredibiliti. [100] Bahkan kewujudan “Abang Mat ” dan “Johari” dan kaitan mereka dengan pistol yang dibawa oleh OKT1 tidak juga ditimbulkan semasa pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan, khususnya SP3, SP5 dan SP6. [101] Oleh kerana perkara ini tidak dibangkitkan semasa pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan, Mahkamah ini menolak keterangan OKT1 bahawa kononnya beliau melalui wakaf tersebut menuju ke Bukit Bunga untuk membawa pistol kepada Abang Mat. Ia adalah satu pemikiran semula dan satu rekaan yang baru dibuat. [102] Lagipun jalur pembelaan ini tidak mempunyai kredibiliti kerana Abang Mat dan Johari yang dirujuk sebagai “Adik” oleh OKT1 tidak dipanggil untuk memberikan keterangan bagi pihak pembelaan. Mahkamah menggunakan anggapan bertentangan di bawah s 114(g) Akta Keterangan 1960. [103] Walau apapun, cadangan kononnya kemungkinan OKT1 membawa makanan, tidak boleh menggantikan keterangan afirmatif yang tidak dibangkitkan oleh OKT1 semasa memberikan keterangan di dalam pemeriksaan utama. Kedudukan undang-undang ini dinyatakan di dalam kes PP v. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (No 3) [1999] 2 MLJ 1, dalam mana telah diputuskan antara lain: A suggestion in cross-examination can only be indicative of the case put forward or the stand taken by the party on whose behalf the cross-examination is being conducted, but to no extent whatsoever can it be a substitute for evidence if it is clearly repudiated by the witness to whom it is made. [104] Berhubung dengan OKT2, terdapat satu aspek keterangan OKT2 di dalam pembelaannya yang menimbulkan persoalan. SP3 di dalam keterangannya mengatakan bahawa OKT2 dan OKT3 datang bersama-sama di dalam kereta Perdana hitam yang dipandu oleh OKT3. Menurut SP3: Seorang lagi lelaki keluar dari bahagian hadapan sebelah penumpang iaitu berada di dalam kandang tertuduh iaitu Ismail (OKT2). Kedudukan tengah-tengah, Apabila turun kedua-dua lelaki tersebut terus ke bawah bangsal tersebut dan telah duduk atas kerusi dan saling berhadap. [105] Sebaliknya, keterangan daripada OKT2 ialah beliau datang ke wakaf tersebut dengan skuter. Malangnya naratif OKT2 datang secara berasingan ini tidak dikemukakan kepada saksi-saksi pendakwaan, khususnya SP3. Kegagalan mengemukakan kedatangan OKT2 secara berasingan dengan skuter kepada SP3 dan SP5 semasa pemeriksaan balas mereka, telah menafikan peluang untuk SP3 dan SP5 memberikan penjelasan semasa kes pendakwaan. [106] Ia adalah satu pemikiran semula. [107] Oleh itu adalah menjadi dapatan fakta Mahkamah ini bahawa kononnya OKT2 berada di rumahnya di Kg Lawang Batu Gajah, kononnya dia dihubungi oleh OKT3 melalui telefon untuk berjumpa, kononnya dia pergi ke wakaf berkenaan secara berasingan dengan skuternya adalah satu rekaan semata-mata. Keterangan ini adalah ditolak. [108] Mahkamah mengekalkan penerimaan keterangan SP3 dan SP5 bahawa OKT2 dan OKT3 datang bersama-sama dengan kereta Perdana hitam yang di pandu oleh OKT3. Kewujudan skuter OKT2 adalah hanya satu rekaan yang lahir daripada satu pemikiran semula. [109] Apabila keterangan OKT2 terhadap isu kedatangan berasingan dan kewujudan skuter ini ditolak apa yang tinggal ialah penafian kosong di pihak OKT2 tentang pemilikan serta pengetahuan tentang dadah di dalam Eksh P38 yang dirampas di atas meja batu di wakaf tersebut. [110] Berhubung dengan pembelaan OKT3. OKT3 membangkitkan satu watak iaitu Pak Da di dalam keterangan pembelaannya. Malangnya watak Pak Da ini tidak pernah dikemukakan kepada saksi-saksi pendakwaan semasa pemeriksaan balas. [111] Menurut OKT3, Pak Da ini telah meninggal dunia. Tetapi OKT3 tidak mengemukakan apa-apa keterangan berdokumentari termasuk sijil kematian Pak Da kalau benar Pak Da ini wujud. Kegagalan ini, pada dapatan Mahkamah ini telah membangkitkan anggapan yang bertentangan di bawah s 114(g) Akta Keterangan. [112] Jika watak Pak Da ini tidak wujud, maka naratif tentang lori sawit juga adalah satu rekaan yang ditimbulkan oleh OKT3. OKT3 bekerja sebagai kelindan lori. Naratif tentang beliau mengambil inisiatif untuk membeli lori sawit “yang murah-murah dan tidak mempunyai insurans” adalah tidak logik kerana bukan tugas beliau untuk berbuat demikian. Kalaupun dia diarahkan oleh majikan beliau, siapakah majikan itu? Kenapakah majikan itu tidak dipanggil untuk memberikan keterangan? [113] Mahkamah ini juga meragui bahawa perjumpaan di wakaf sebelum OKT2 dan OKT3 ditangkap adalah berkisar kepada cadangan untuk membeli lori mengangkut sawit. Isu mencari lori mengangkut sawit ini hanya timbul ketika OKT3 memberikan keterangan. [114] Apa yang lebih pelik ialah OKT3 semasa menghubungi OKT2 melalui telefon tidak menyebut langsung tentang isu lori sawit ini. Isu membeli sebuah lori untuk mengangkut sawit bukanlah satu rahsia yang tidak boleh dizahirkan di dalam telefon sehingga terpaksa berjumpa di wakaf untuk diterangkan. [115] Oleh itu Mahkamah menolak naratif dari OKT3 tentang kewujudan Pak Da, cadangan dari Pak Da untuk mencari penarik kereta tentang lori sawit, kedatangan ilham secara tiba-tiba untuk menghubungi OKT2 kononnya untuk bertanya tentang lori sawit tersebut. Dapatan Mahkamah tentang pembelaan OKT-OKT [116] Selain daripada isu-isu yang dibincangkan di mana dapatan telah pun dibuat, satu lagi pembelaan yang dibangkitkan oleh peguam-peguam terpelajar OKT-OKT ialah lokasi di mana kejadian berlaku adalah di tempat awam. Peguam terpelajar OKT1 sebagai contoh, menghujahkan bahawa terdapat keterangan wakaf tersebut tidak mempunyai pagar dan bukan kawasan tertutup. Ia berada di tengah-tengah sawah yang luas. [117] Oleh itu menurut peguam terpelajar OKT1, orang lain selain dari OKT-OKT mempunyai akses kepada wakaf tersebut. [118] SP3 di dalam keterangannya mengatakan bahawa walaupun jarak di antara lokasi dengan tempat intipan beliau ialah lebih kurang 300 meter, pergerakan OKT-OKT dilihat dengan menggunakan binokular dan tidak ada halangan yang boleh menjejaskan penglihatan SP3. [119] Keterangan SP3 di dalam pemeriksaan utama ialah seperti berikut: TPR: Sebelum dia orang sampai dengan kereta [Perdana], apa ASP lihat di wakaf? SP3: Kosong. Tidak ada orang. TPR: Atas meja wakaf ada apa-apa? SP3: Tidak ada apa-apa. Meneliti keterangan secara keseluruhan selepas pembelaan menutup kes mereka, terdapat keterangan daripada OKT2 semasa pemeriksaan utama mengatakan: P/OKT2: Selain Mat Zainuddin [OKT3], siapa lagi yang ada? OKT2: Tak ada orang. Tak ada kenderaan lain. [120] Ringkasnya, di akhir kes pembelaan, Mahkamah bicara hendaklah menyemak semula semua keterangan yang dikemukakan berhubung dengan elemen-elemen pertuduhan dan kemudiannya memutuskan samada kes pendakwaan berjaya dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah. Pendekatan kehakiman ini telah disahkan oleh Mahkamah Rayuan di dalam kes PP v Tan Chai Hing [2018] 6 CLJ 436 MR bilamana Idrus Harun HMR merujuk kepada kes Jaafar Ali v PP [1998] 4 MLJ 406 dan membuat pengamatan berikut: Under s. 182A of the Criminal Procedure Code, it is clearly the duty of the court to consider all the evidence before it and it shall decide whether the prosecution has proved its case beyond reasonable doubt. This is a mandatory requirement as evident by the use of the word ‘shall’ in that section. What it entails is that, at the end of the defence, it is incumbent on the court to evaluate the entire evidence placed before it including the prosecution evidence. [121] Mengaplikasikan kedudukan undang-undang yang dinyatakan tadi, walaupun tempat itu adalah terbuka, terdapat keterangan bahawa: