Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN PERBICARAAN JENAYAH NO. BA-45A-31-06/2020, BA-45-21-06/2020 & BA-45-29-09/2020 PENDAKWA RAYA LAWAN WAN MOHD HERDY BIN WAN HAMID (NO. KPT: 851004-10-5201) ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Wan Mohd Herdy bin Wan Hamid (“Tertuduh”) telah dituduh dalam 3 kes yang dibicarakan bersama (joint trial) dengan keseluruhannya 3 pertuduhan iaitu pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] (“ADB 1952”), pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen 12(2) ADB 1952 dan pertuduhan bagi kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 [Akta 366]. [2] Ketiga-tiga pertuduhan terhadap Tertuduh adalah seperti berikut: Pertuduhan Pertama (ekshibit P3) “Bahawa kamu pada 14.6.2019 jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di tepi Jalan Tiram Buruk, Kg Parit Serong, 45500 Tanjung Karang, di dalam daerah Kuala Selangor, di Negeri Selangor Darul Ehsan telah mengedar dadah jenis METHAMPHETAMINE seberat 92.91 gram. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama.” Pertuduhan Kedua (ekshibit P4) “Bahawa kamu pada 14.6.2019 jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di tepi Jalan Tiram Buruk, Kg Parit Serong, 45500 Tanjung Karang, di dalam daerah Kuala Selangor, di Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati ada dalam milikan kamu dadah berbahaya jenis KETAMINE seberat 3.60 gram. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) Akta yang sama.” Pertuduhan Ketiga (ekshibit P5) “Bahawa kamu pada 14.6.2019 jam lebih kurang 10.30 malam bertempat di tepi Jalan Tiram Buruk, Kg Parit Serong, 45500 Tanjung Karang, di dalam daerah Kuala Selangor, di Negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati ada dalam milikan kamu 3 keping foil yang setiap foil mengandungi 10 biji tablet yang mengandungi ETIZOLAM seberat 5.84 gram. Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 30(5) Akta yang sama.” [3] Di akhir perbicaraan (at the conclusion of the trial), Mahkamah ini pada 30.8.2022 telah mensabitkan Tertuduh ke atas ketiga-tiga pertuduhan kesalahan tersebut dan memerintahkan supaya Tertuduh dikenakan hukuman gantung di leher sampai mati menurut seksyen 277 Kanun Tatacara Jenayah bagi Pertuduhan Pertama. Manakala bagi Pertuduhan Kedua dan Pertuduhan Ketiga masing-masing dikenakan hukuman pemenjaraan selama 3 tahun yang berjalan serentak (concurrent) daripada tarikh tangkap yang terawal iaitu 14.6.2019. [4] Melalui notis-notis rayuan yang telah difailkan pada 14.9.2022, Tertuduh telah merayu terhadap keseluruhan keputusan bagi ketiga-ketiga kes atau pertuduhan tersebut. Ringkasan Kes Pendakwaan [5] Perbicaraan kes pendakwaan telah bermula pada 19.1.2022 dan pihak pendakwaan telah menutup kes pendakwaan pada 27.4.2022 setelah memanggil seramai 9 orang saksi pendakwaan seperti berikut: SP1 - Wan Rahimah binti Wan Ahmad (Ahli Kimia); SP2 - Kpl Shaharuddin bin Hashim (Jurufoto); SP3 - Sjn Subry bin Hussain (Jurustor); SP4 - Insp Noridzham bin Rambeli (Pegawai serbuan); SP5 - Ganesan a/l Murugaih (Kawan SP8); SP6 - ASP Rahimi bin Hamzah (Pegawai Penyiasat); SP7 - Insp Mohd Amin Shukery b. Khamis (Anggota serbuan); SP8 - Koh Che Kau @ ‘Ubi’ (Kawan Tertuduh); dan SP9 - Insp Mohamad Suhaimi b Rajami (Peg Penyiasat ganti). [6] Pada 14.6.2019 jam lebih kurang 8.00 malam, Insp Noridzham bin Rambeli (SP4) telah menerima maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan Kampung Parit Serong, Tanjung Karang, Selangor. [7] Lanjutan daripada maklumat yang diterima itu, pada jam 9.30 malam SP4 telah mengadakan taklimat di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuala Selangor (“BSJND Kuala Selangor”) kepada 10 orang anggota serbuan yang terdiri daripada Insp Azren, Insp Mohd Amin Shukery b. Khamis (SP7), Sjn Shahdan, Sjn Izi, Sjn Jayabalan, Kpl Shaharuddin bin Hashim (SP2), Kpl Nafizi, Kpl Basir, Kpl Hasirul dan Kpl Anuar. [8] Pada jam lebih kurang 9.45 malam, pasukan serbuan yang dipecahkan kepada 3 pasukan telah bergerak ke kawasan Kg Parit Serong dengan menaiki 3 buah kenderaan pasukan yang tidak berlambang. Pasukan serbuan telah sampai di lokasi iaitu kawasan satu lorong di Jalan Tiram Buruk, Kampung Parit Serong (“Lorong tersebut”) dan membuat pemerhatian di kawasan tersebut lebih kurang 5 minit dalam jarak 20-30 meter. [9] Pada jam lebih kurang 10.30 malam, SP4 telah nampak sebuah motorsikal jenis Honda CBR 1000 berwarna kuning tanpa nombor pendaftaran (“Motorsikal tersebut”) yang ditunggang oleh seorang lelaki melayu memasuki Lorong tersebut menuju ke arah salah sebuah rumah. Lelaki yang menunggang Motorsikal tersebut dicamkan sebagai Tertuduh. Walau bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran pasukan serbuan di kawasan tersebut, Tertuduh telah membuat pusingan-U dan mula memecut. [10] Pasukan serbuan telah mengejar Tertuduh hingga menyebabkan Tertuduh hilang kawalan lalu melanggar salah satu tembok batu di tepi Lorong tersebut dan terjatuh. 2 orang anggota serbuan iaitu Insp Mohd Amin Shukery b. Khamis (SP7) dan Kpl Nafizi telah menangkap Tertuduh yang pada masa itu menyandang di belakangnya satu beg galas berwarna hitam kuning (ekshibit P23). [11] SP4 telah memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menunjukkan kad kuasa polis. Hasil pemeriksaan oleh SP4 ke atas beg galas tersebut didapati mengandungi yang berikut: