(d) Rumah tersebut adalah tempat tinggal OKT dan keluarganya. [31] Peguam terpelajar OKT menimbulkan persoalan bahawa laluan itu adalah digunakan oleh penoreh getah sebagai laluan harian. Dengan lain perkataan, OKT tidak mempunyai akses tunggal terhadap laluan tersebut. [32] Keterangan daripada SP4 ialah semasa pasukan beliau sampai pada pukul 6 petang tidak ada orang lalu lalang samada menggunakan kereta atau motorsikal. SP4 juga di dalam pemeriksaan semula mengatakan bahawa sepanjang pemerhatian beliau dan pasukannya, tidak ada mana-mana orang lain, kecuali OKT. [33] Di dalam pemeriksaan balas, peguam terpelajar OKT juga membangkitkan tujuan OKT di belakang rumah adalah untuk mengambil burung-burung dan sangkar burung yang berada di belakang rumah beliau. [34] Kenyataan bahawa laluan tersebut adalah laluan penoreh getah tidak menjejaskan keterangan oleh SP4 bahawa OKT tunduk dan terus mencapai Eksh P7A. P7A adalah satu bekas plastik bertudung merah. Dari sudut mana sekalipun, Mahkamah ini tidak melihat di mana logiknya tindakan OKT untuk berhenti dan tunduk lalu mengambil Eksh P7A tersebut tanpa alasan yang munasabah. [35] Mengikut jalur soalan-soalan peguam terpelajar semasa pemeriksaan balas SP4, peguam terpelajar mengemukakan cadangan bahawa OKT keluar dari rumahnya untuk mengambil sarang burung yang berada di dalam semak kerana dibimbangi dimakan oleh pemangsa. [36] Kalau benar itu adalah tujuan sebenar OKT seperti yang dicadangkan oleh peguam terpelajar semasa pemeriksaan balas, Mahkamah ini tidak dapat melihat keperluan OKT untuk sengaja berhenti di dalam laluannya semata-mata untuk melihat dan memegang botol putih tersebut. Lebih-lebih lagi mengikut SP4 semasa pemeriksaan balas juga, botol putih di dalam Eksh P7A itu mempunyai bau “pil kuda” walaupun tanpa membuka botol. Peguam terpelajar juga tidak mempertikaikan bahawa botol tersebut mempunyai bau “pil kuda”. [37] Reaksi tabii seorang yang munasabah atau reasonable man apabila terserempak dengan objek yang berbau seperti itu ialah untuk mengelakkan diri. Tetapi OKT mengikut cadangan peguam terpelajar bertindak sebaliknya. Menurut keterangan SP4, OKT sengaja berhenti di mana botol putih itu berada untuk memegangnya. [38] Masih berkait dengan cadangan peguam terpelajar tentang tujuan OKT untuk pergi ke hutan pada masa yang material kerana mengambil sarang burung. Terdapat keterangan bahawa OKT “tidak berpakaian dan hanya berseluar pendek” semasa turun dari rumahnya. Oleh itu, setakat kes pendakwaan, Mahkamah ini tidak dapat melihat logik bagaimana seorang yang munasabah memasuki ke dalam hutan di dalam hari hampir gelap dan cuaca mendung dan hendak hujan, walaupun di belakang rumahnya, dengan hanya berseluar pendek tanpa baju. [39] Indikasi menunjukkan bahawa, melainkan dibuktikan sebaliknya, OKT tidak ada cadangan lain untuk memasuki hutan di dalam keadaan sedemikian, tetapi hanya berhasrat untuk mengambil botol putih yang mengandungi dadah yang dipersoalkan itu. [40] Di dalam kes Wan Amirul Mubin bin Wan Kamaruddin v PP [2017] MLJU 1253 MR, dadah yang dipersoalkan berada di belakang rumah yang disewa oleh perayu berhampiran dengan pagar. Perayu telah pergi ke belakang rumah tersebut mengalihkan tanah dan mengambil tin yang mengandungi dadah. [41] Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kesan kumulatif kepada di mana dadah itu disembunyikan di belakang rumah dan perayu adalah merupakan penyewa rumah tersebut memberikan satu kaitan yang kukuh bahawa inferens yang dapat dibuat adalah melebihi faktor pengetahuan. Menurut Mahkamah Rayuan lagi, inferens yang seterusnya ialah perayu mempunyai kawalan terhadap dadah yang dipertikaikan itu. [42] Oleh itu samada Eksh 7A adalah terjatuh seperti yang dicadangkan oleh peguam terpelajar atau dicampak oleh OKT adalah tidak relevan. Sebelum sesuatu barang itu terjatuh atau dicampak, barang tersebut hendaklah berada di dalam pegangan seseorang terlebih dahulu. [43] Ketika menyampaikan keputusan Mahkamah, Idrus Harun HMR (kemudiannya HMP) membuat pengamatan berikut: The site in question which was at the back of the house and near the rear fence was covered with the earth and the rock. When PW4 removed the rock using a steel digger (PW4 called ‘cok’ in the Malay language) which he found at the back of the house, he noticed that the spot was covered with earth. He used the steel digger to dig and remove the earth until he could see the cover of the biscuit tin. PW4’s evidence was supported by his officer PW5. In our judgment, the cumulative effect of the combined evidence of the manner in which the drug was concealed at the back of the house, coupled with the fact that he was the tenant thereof and PW7’s clear denial of any knowledge about the drug, clearly showed that there was a strong connection between the appellant and the place chosen as well as the drug that was found. An inference which could be drawn, without question, could significantly go beyond a mere inference of knowledge. We would say without any hesitation that an inference could also convincingly be made that considering the circumstances of this case, the appellant was in control of the drug and was so situated with respect to it that he had the power to deal with it as owner that would exclude others from enjoyment of the same and was thus in possession of the said drug [PP v Denish Madhavan, supra]. It clearly evinced the appellant’s intention to conceal the drug in order to avoid detection by the relevant enforcement authorities. [44] Mengaplikasikan kedudukan undang-undang ini, terdapat satu kaitan yang kukuh terhadap di antara OKT, tempat yang dituju oleh OKT dan dadah di dalam Eksh P7A. Adalah jelas kepada Mahkamah dan berpandukan kepada ratio di dalam kes Wan Amirul Mubin, “kesan kumulatif” daripada keterangan pendakwaan dan inferens yang dapat dibuat ialah bukan sahaja OKT mengetahui tentang kewujudan dadah tersebut tetapi juga mempunyai kuasa untuk mengawalnya secara eksklusif dengan mengecualikan penglibatan orang lain atau to the exclusion of others. Pengetahuan [45] Di dalam undang-undang, jagaan dan kawalan semata-mata adalah tidak memadai di dalam membuktikan elemen pemilikan. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa ia perlu jagaan dan kawalan perlu disertai dengan pembuktian pengetahuan; lihat Ibrahim Mohamad & Anor v PP [2011] 4 CLJ 113 MP. [46] Elemen “pengetahuan” ialah sesuatu yang hanya dapat dibuktikan melalui inferens bergantung kepada hal keadaan sesuatu kes. [47] Bagi menyempurnakan elemen pemilikan, berdasarkan kepada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan, terdapat keterangan yang jelas bahawa: