Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI SHAH ALAM DALAM NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN PERBICARAAN JENAYAH NO: BA-45A-84-07/2021 ANTARA PENDAKWA RAYA LAWAN KOH NGUN FOOK (NO KP: 900721-05-5399) ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Tertuduh telah dituduh dengan tiga (3) pertuduhan masing-masing menurut seksyen 39B(1)(a), seksyen 39A(1) dan seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah berbahaya pada 4 Julai 2020 jam lebih kurang 9.15 malam di rumah beralamat No 31-38, Blok B, Silk Sky, Jalan Seri Kembangan, dalam daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan. Pertuduhan [2] Pertuduhan-pertuduhan sepertimana ekshibit P3 seperti berikut: Pertuduhan Pertama Bahawa kamu pada 4 Julai 2020 jam lebih kurang 9.15 malam di rumah beralamat no. 31-38, Blok B, Silk Sky, Jalan KB 2/15 Kampung Baru Balakong, 43300, Seri Kembangan, di dalam daerah Hulu Langat, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati telah mengedar dadah berbahaya iaitu Methamphetamine seberat 1,511 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) akta dadah berbahaya yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta yang sama. Hukuman: jika disabitkan dengan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Pertuduhan Kedua Bahawa kamu pada 4 Julai 2020 jam lebih kurang 9.15 malam di rumah beralamat no. 31-38, Blok B, Silk Sky, Jalan KB 2/15 Kampung Baru Balakong, 43300, Seri Kembangan, di dalam daerah Hulu Langat, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati dalam kawalan kamu dadah berbahaya iaitu Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 6.84 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) akta dadah berbahaya yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) akta yang sama. Hukuman: Penjara tidak kurang 2 tahun dan tidak melebihi 5 tahun, dan juga dikenakan sebatan tidak kurang 3 sebatan dan tidak melebihi 9 sebatan. Pertuduhan Ketiga Bahawa kamu pada 4 Julai 2020 jam lebih kurang 9.15 malam di rumah beralamat no. 31-38, Blok B, Silk Sky, Jalan KB 2/15 Kampung Baru Balakong, 43300, Seri Kembangan, di dalam daerah Hulu Langat, di dalam negeri Selangor Darul Ehsan telah didapati dalam kawalan kamu dadah berbahaya iaitu Ketamine seberat 0.3 gram, dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) akta dadah berbahaya yang boleh dihukum di bawah seksyen 12(3) akta yang sama. Hukuman: denda tidak melebihi RM 100,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun, atau kedua-duanya sekali. KES PENDAKWAAN Saksi [3] Pihak Pendakwaan telah mengemukakan seramai 11 orang saksi. Saksi-saksi tersebut adalah seperti berikut: SP1 – Ng Lai Peng (Pengurusan Bangunan) SP2 – Yong Sau Theen (Pengurusan Bangunan) SP3 – Sjn Arwan Masu’ut (Jurustor) SP4 – Insp Ahmad Zarrin Abd Rashid (Pengadu) SP5 – Hasnulhadi b Abdullah (Ahli Kimia) SP6 – Sjn Rokidin (Jurustor) SP7 – Insp Nur Nadia Jamalullail (Pegawai Penyiasat) SP8 – Tan Chee Keong (Pemilik rumah) SP9 – Yeo Koon Sian (Ejen rumah) SP10 - Giam Tin Siong (Bapa saudara OKT) SP11 – Muhammad Najif Abd Rahman (Ahli Kimia) Naratif Kes Pendakwaan [4] Pemerhatian telah dibuat oleh pihak polis berdasarkan maklumat dadah dan hasil daripada itu Tertuduh telah ditangkap pada 4 Julai 2020 jam lebih kurang 9.15 malam di kawasan tempat letak kereta di aras 3A Silk Sky Jalan KB 2/15 Kampung Baru Balakong oleh Insp. Ahmad Zarrin iaitu SP4.