Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-8-02/2020, DA-45A-9-02/2020 DAN DA-45-1-02/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA
DA-45A-9-02/2020
High Court of Malaysia30 Jul 2023
The written judgment as the court issued it, with the coram, case number, and source links. Every paragraph has its own anchor.
Citations and treatment detected automatically from later judgments and the authorities this decision relies on.
Later cases and laws citing this decision
Not yet cited by a later decision.
Earlier cases and laws this decision relies on
“n oleh Mahkamah bagi sesuatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234 adalah sama ada hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup. [47] Hukuman seumur hidup telah ditafsirkan di bawah seksyen 3 Criminal Justice Act 1953 (Akta 345) seperti berikut; “Where any person is treated as having been sentenced or is hereaft”
“t an accused person who has pleaded guilty be given certain credit and discount, but we are of the view that there are exceptions to this rule. In our opinion, one of these are the offences under the Dangerous Drugs Act 1952. The Government and the legislature have taken very serious views in the abuse of usage of dang”
“urut meneliti keterangan bahawa tangkapan adalah pada jam 2.30 pagi dan kedua-dua Tertuduh masih belum tidur dan berada di ruang tamu berhadapan dengan dadah-dadah tersebut (PP v Loo Seong Chin & ors [2020] MLJU 357). Di ruang tamu tersebut turut terdapat alat-alat untuk menghisap dadah di mana kedudukan kedua-dua Tert”
Auto-detected from judgment text; not a substitute for a citator check.
Content
1 DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KOTA BHARU DALAM NEGERI KELANTAN DARUL NAIM, MALAYSIA PERBICARAAN JENAYAH NO: DA-45A-8-02/2020, DA-45A-9-02/2020 DAN DA-45-1-02/2020 ANTARA PENDAKWA RAYA
1
SAIFUL ANWAR BIN AHMAD MUSELIM [KP: 820517-06-5311]
2
MOHAMAD AFFANDI BIN KAMARUDIN [KP: 840225-03-5899] ALASAN PENGHAKIMAN Pendahuluan [1] Kedua-dua Tertuduh di dalam kes ini berhadapan dengan 4 pertuduhan secara bersama-sama di dalam 3 kes yang berlainan. Ia melibatkan pertuduhan pertama di bawah seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) kerana mengedar dadah Methamphetamine seberat 152.2 gram manakala 3 pertuduhan lagi adalah bagi kesalahan pemilikan dadah iaitu dua pertuduhan di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234 dan satu pertuduhan di bawah seksyen 12(2)/(3) Akta 234. Kesemua dadah adalah dari jenis Methamphetamine manakala kesemua pertuduhan dibaca bersama-sama dengan seksyen 34 Kanun Keseksaan, [2] Pertuduhan-pertuduhan ke atas mereka adalah seperti berikut: Kes DA-45A-9-02/2020 Pertuduhan “Bahawa kamu bersama-sama pada 11/9/2019, jam lebih kurang 2.30 pagi, bertempat di sebuah rumah beralamat Lot 10298, Taman Jintan (KB) VI Bukit Tuku, dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan telah mengedar dadah berbahaya iaitu 152.2 gram Methamphetamine dan dengan itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 39B Kanun Keseksaan”. Kes DA-45-8-02/2020 Pertuduhan “Bahawa kamu bersama-sama ada 11/9/2019, jam lebih kurang 2.30 pagi bertempat di sebuah rumah beralamat Lot 10298, Taman Jintan (KB) VI Bukit Tuku, dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan, telah didapati dalam kawalan kamu 13.36 gram Methamphetamine. Oleh itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 39A(1) Kanun Keseksaan.” Kes DA-45-1-02/2020 Pertuduhan Pertama “Bahawa kamu bersama-sama pada 11/9/2019, jam lebih kurang 2.30 pagi, bertempat di sebuah rumah beralamat Lot 10298, Taman Jintan (KB) VI Bukit Tuku, dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan, telah didapati dalam kawalan kamu 14.74 gram Methamphetamine. Oleh itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 39A(1) Kanun Keseksaan.” Pertuduhan Kedua “Bahawa kamu bersama-sama pada 11/9/2019, jam lebih kurang 2.30 pagi, bertempat di sebuah rumah beralamat Lot 10298, Taman Jintan (KB) VI Bukit Tuku dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan, telah didapati dalam kawalan kamu 1.09 gram Methamphetamine. Oleh itu, kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39A(1) Akta yang sama dan dibaca bersama sesyen 39A(1) Kanun Keseksaan.” [3] Di akhir kes pendakwaan, Mahkamah telah memerintahkan kedua-dua Tertuduh untuk membeladiri bagi kesemua pertuduhan. Selanjutnya, di akhir kes Mahkamah telah mensabitkan kedua-dua Tertuduh dan bagi pertuduhan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234. Mahkamah telah menjatuhi hukuman pemenjaraan sebagaimana pindaan ke atas Akta 234 yang diperuntukkan di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) dan bagi pertuduhan-pertuduhan lain hukuman adalah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Akta 234. [4] Pendakwa Raya (PR) dan kedua-dua Tertuduh memfailkan Notis Rayuan ke atas hukuman yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah. Alasan Penghakiman ini hanyalah berkaitan hukuman sahaja. Kes Pendakwaan [5] Pihak PR telah memanggil seramai 8 orang saksi yang membuktikan bahawa pada 11/9/2019 jam lebih kurang 2.30 pagi, berpandukan kepada maklumat pengedaran dadah, sepasukan polis yang diketuai oleh Pengadu iaitu ASP G/21009 Yuslihazlan Bin Mohd Yusup (SP5) telah membuat satu serbuan di sebuah rumah beralamat di Lot 10298, Taman Jintan (KB) VI Bukit Tuku, dalam Jajahan Pasir Mas, di dalam Negeri Kelantan (yang dicamkan sebagaimana gambar P10(1-17)). [6] Sebelum serbuan dilakukan ke atas rumah tersebut, SP5 dan SP7 telah membuat pemerhatian selama lebih kurang 20 minit di kawasan rumah tersebut dan hasil pemerhatian, mereka tidak melihat kehadiran orang lain di sekeliling kawasan rumah dan juga hadapan rumah tersebut. Semasa SP5 dan SP7 menghampiri rumah tersebut di bahagian pintu gril depan, SP5 dan SP7 dapati pintu gril dalam keadaan berkunci dengan satu mangga. [7] Semasa serbuan dibuat, Tertuduh Pertama dan Tertuduh Kedua berada di dalam rumah tersebut di bahagian ruang tamu tengah rumah (sebagaimana di tempat yang ditandakan “E” dalam P31). SP5 dan SP7 dapat melihat kedudukan kedua-dua Tertuduh di dalam rumah semasa mereka menghampiri pintu sliding kaca hadapan rumah yang berada dalam keadaan terbuka dan semasa kejadian terdapat pencahayaan dari lampu rumah tersebut. [8] Setelah SP5 memperkenalkan diri sebagai Pegawai Kanan Polis kepada kedua-dua Tertuduh, mereka telah cuba melarikan diri dan SP5 telah mengarahkan anggota serbuan D/L/Kpl 194129 Muhammad Syazwi bin Adnan untuk memotong mangga bertulisan “Secure Lock By Skl Top Security” berwarna emas dengan menggunakan pemotong besi. Semasa SP5 masuk ke dalam rumah tempat kejadian dan cuba menahan kedua-dua Tertuduh yang berada di ruang tamu tengah rumah tersebut, telah berlaku pergelutan sebelum kedua-dua Tertuduh berjaya ditangkap. [9] SP5 kemudiannya telah menjalankan pemeriksaan tubuh badan ke atas kedua-dua Tertuduh tetapi tidak menjumpai apa-apa barang salah. Kedua-dua Tertuduh juga dilihat oleh SP5 dan SP7 berada dalam keadaan terkejut, takut, gelisah dan cemas semasa pemeriksaan dijalankan. [10] Seterusnya dengan disaksikan oleh kedua-dua Tertuduh, SP5 telah menjalankan pemeriksaan di dalam rumah tersebut dan SP5 telah menjumpai (1) beg plastik lutsinar bertulisan “SEKOPLAS” di atas lantai di bahagian ruang tengah rumah tersebut. Hasil pemeriksaan di dalam beg plastik tersebut terdapat (4) paket plastik lutsinar di dalamnya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dan (1) paket plastik berwarna biru di dalamnya berisi (70) biji pil berwarna merah disyaki dadah jenis yaba. [11] Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut dengan disaksikan kedua-dua Tertuduh juga SP5 telah menjumpai (1) beg plastik berwarna jingga bertulisan “BRANDS OUTLET” di atas lantai bawah meja bahagian ruang tamu rumah. Hasil pemeriksaan di dalam beg plastik tersebut terdapat (4) paket plastik lutsinar di dalamnya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu serta (1) bungkusan plastik warna hitam yang diikat gelang getah. Hasil pemeriksaan di dalam bungkusan plastik tersebut telah menjumpai
5
paket plastik berwarna biru yang diikat gelang getah di mana setiap (1) paket plastik berisi (198) biji pil berwarna merah dan (2) biji pil berwarna hijau disyaki dadah jenis yaba. Keseluruhannya terdapat (990) biji pil berwarna merah dan (10) biji pil berwarna hijau disyaki dadah jenis yaba. [12] SP5 telah membuat rampasan terhadap barang-barang kes di tempat kejadian dan telah membawa balik barang-barang kes tersebut bersama-sama kedua-dua Tertuduh ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas, Kelantan untuk tindakan lanjut. Sepanjang perjalanan dari tempat kejadian sehingga ke Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Pasir Mas, barang-barang kes yang dirampas di tempat kejadian sentiasa berada di dalam kawalan SP5 sepenuhnya. SP5 telah membuat laporan polis berhubung tangkapan kedua-dua Tertuduh dan rampasan barang kes sebagaimana Pasir Mas Repot No. 5634- 5635/19 (P35). [13] Kesemua barang kes dan tangkapan telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat iaitu SP8. Barang-barang kes yang disyaki dadah berbahaya kemudiannya telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia cawangan Kota Bharu untuk dianalisis oleh ahli kimia. [14] Hasil analisis kimia oleh SP4 didapati barang kes dadah berbahaya yang dirampas oleh SP5 di dalam rumah tempat kejadian adalah merupakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine masing-masing seberat 152.2 gram, 13.36 gram, 14.74 gram dan1.09 gram. [15] Berdasarkan kepada keterangan daripada saksi-saksi yang memberi keterangan serta keterangan-keterangan dokumen, Mahkamah merumuskan fakta-fakta berikut:
a
rumah di mana dadah tersebut dijumpai adalah milik SP1 yang telah menyewakannya kepada SP2 yang merupakan kawan Tertuduh
1
SP2 kemudiannya telah menyewakan rumah tersebut kepada Tertuduh 1;
b
sebelum serbuan dijalankan ke atas rumah tersebut, SP5 dan SP7 telah menjalankan pemerhatian ke atas pergerakan keluar masuk dan mendapati tiada sebarang pergerakan keluar masuk berlaku;
c
di dalam permerhatian SP5 dan SP7, mereka dapat melihat Tertuduh 1 dan Tertuduh 2 sedang duduk di atas lantai di kawasan bertanda “E” sepertimana yang ditanda pada rajah kasar iaitu P31;
d
rumah tersebut adalah berkunci dan memerlukan pihak polis untuk memotong mangga ke atas pintu jeriji rumah tersebut;
e
tiada individu lain yang berada di dalam rumah tersebut selain kedua-dua Tertuduh;
f
barang kes pertama iaitu P18, P19 dan P20 berada di atas lantai dan berada di dalam jarak 1 meter dari kedudukan kedua-dua Tertuduh manakala barang kes kedua iaitu P22, P23, P24 dan P25 berada di bawah meja di ruang tamu namun masih boleh kelihatan apabila seseorang berdiri di sebelah meja tersebut;
g
tiadanya pecahan ke atas rantaian keterangan barang kes dan ianya telah dibuktikan sebagai dadah berbahaya sepertimana di dalam jadual Akta 234;
h
berkaitan pengetahuan Tertuduh-tertuduh, Mahkamah membuat dapatan secara inferens dari tingkahlaku kedua-dua mereka semasa serbuan iaitu keengganan mereka untuk membuka pintu rumah ketika pihak polis memperkenalkan diri sebagai polis dan tindakan mereka untuk cuba melarikan diri serta kedua-dua Tertuduh berada di dalam keadaan terkejut, takut, gelisah dan cemas semasa pemeriksaan dilakukan ke atas mereka; dan
i
Mahkamah turut meneliti keterangan bahawa tangkapan adalah pada jam 2.30 pagi dan kedua-dua Tertuduh masih belum tidur dan berada di ruang tamu berhadapan dengan dadah-dadah tersebut (PP v Loo Seong Chin & ors [2020] MLJU 357). Di ruang tamu tersebut turut terdapat alat-alat untuk menghisap dadah di mana kedudukan kedua-dua Tertuduh yang begitu hampir dengan dadah-dadah tersebut. [16] Sehubungan dengan itu, di atas pertimbangan maksimum, Mahkamah telah memutuskan bahawa PR telah berjaya membuktikan elemen dadah tersebut berada di dalam pemilikan kedua-dua Tertuduh tanpa sebarang sandaran ke atas peruntukan andaian secara khususnya seksyen 37(d) Akta 234. [17] Bagi elemen pengedaran, pihak PR bersandarkan kepada peruntukan andaian di bawah seksyen 37(da)(xvi) Akta 234 yang bersandarkan kepada elemen pemilikan. Memandangkan elemen pemilikan telah berjaya dibuktikan maka Mahkamah berhak membuat dapatan bahawa satu kes prima facie pengedaran dibuktikan di bawah seksyen 180(4) KTN dengan membangkitkan anggapan pengedaran di bawah seksyen 37(da) Akta 234. Pendekatan ini telah diputuskan sebagai betul di sisi undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan melalui penghakiman oleh YAA Tengku Maimun Tuan Mat Ketua Hakim Negara di dalam kes Abdullah Atan v. PP [2020] 9 CLJ 151 dan oleh yang demikian PR telah berjaya membuktikan elemen pengedaran. [18] Sayugia itu, Mahkamah memutuskan bahawa pihak PR telah berjaya membuktikan satu kes prima facie bagi kesemua pertuduhan ke atas kedua-dua Tertuduh dan oleh itu kedua-dua mereka telah diperintah untuk membeladiri. Kes Pembelaan [19] Setelah Mahkamah merumuskan dapatan di peringkat pendakwaan dan memerintahkan kedua-dua Tertuduh untuk membela diri, 3 pilihan telah diterangkan kepada mereka. Kedua-dua Tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi dan Tertuduh 2 telah memanggil seorang saksi iaitu SD3 untuk memberi keterangan. [20] Secara amnya, pembelaan kedua-dua Tertuduh adalah berpaksikan keterangan bahawa mereka tidak pernah menyewa rumah tersebut. Sebaliknya rumah tersebut adalah disewa oleh SP2. Kehadiran mereka ke rumah tersebut adalah untuk Tertuduh 2 membaiki kereta Audi Q7 bernombor KDN 6899 yang dimiliki Tertuduh 1 kerana ianya tidak dapat dihidupkan. [21] Perkara pertama yang dipertimbangkan oleh Mahkamah adalah isu berkaitan penyewaan rumah tersebut di mana Mahkamah telah mendapati kedua-dua Tertuduh tidak pernah membangkitkan isu bahawa rumah tersebut disewa oleh SP2 dan kehadiran mereka di rumah tersebut adalah untuk membaiki kereta milik Tertuduh 1. Malahan, Mahkamah mendapati kedua-dua Tertuduh semasa kes di peringkat pendakwaan, seolah menerima bahawa mereka menyewa rumah tersebut. [22] Oleh itu, Mahkamah ini berpandangan dan memutuskan bahawa keterangan kedua-dua Tertuduh bahawa mereka bukanlah penyewa rumah tersebut sepertimana yang didakwa adalah tidak boleh dipercayai dan diterima oleh Mahkamah. Ia jelas merupakan satu pembelaan yang difikirkan terkemudian. [23] Mahkamah berpandangan tidak mungkin suatu fakta sepenting ini dikecualikan oleh mereka untuk diketengahkan semasa SP2 dipanggil. Oleh itu, Mahkamah merumuskan bahawa keterangan kedua-dua Tertuduh berkaitan penyewaan rumah ini adalah tidak berwibawa untuk diterima. [24] Mahkamah turut mendapati bahawa pembelaan berkaitan kewujudan penama Abang Juri, Eyo dan Juma turut tidak pernah diketengahkan semasa kes di peringkat pendakwaan. Walaupun Mahkamah tidak menafikan bahawa ianya dibangkitkan di dalam Afidavit oleh Tertuduh 2 yang diterima masuk sebagai D12, namun ia hanya dikemukakan semasa Pegawai Penyiasat iaitu SP8 memberi keterangan. Oleh itu, ia juga pada dapatan Mahkamah ini suatu pembelaan yang terkemudian. [25] Kedua-dua Tertuduh turut tidak pernah menyatakan bahawa penama-penama ini telah dimaklumkan kepada pihak polis secara khususnya SP8 untuk dijalankan siasatan apatah lagi untuk memberi butiran mereka bagi dikesan oleh pihak polis. Oleh itu, bagi Mahkamah, penama-penama yang dibangkitkan ini tidak lain hanyalah satu yang direka-reka oleh kedua-dua Tertuduh. [26] Selanjutnya Mahkamah turut mendapati bahawa kedua-dua Tertuduh memberi versi yang berlainan berkaitan apa yang berlaku semasa serbuan dilaksanakan oleh pihak polis. Antara yang berbeza adalah berkaitan sama ada pihak polis memperkenalkan diri sebelum pihak polis memasuki rumah tersebut, sama ada kedua-dua mereka cuba melarikan diri dan kedudukan dadah semasa ianya ditemui oleh SP5 dan SP7. Yang paling menyerlah adalah dakwaan Tertuduh 2 bahawa muka mereka telah ditutup dengan kain oleh pihak polis. [27] Perkara ini pun kedua-dua Tertuduh tidak memeriksa balas secara sempurna kepada SP5 dan SP7 dan ia juga membangkitkan wibawa keterangan mereka berkaitan perkara ini. Namun dalam apa jua keadaan, Mahkamah tidak mendapati sebarang alasan bagi Mahkamah ini untuk menolak atau tidak menerima keterangan SP5 dan SP7. [28] Sehubungan dengan itu Mahkamah merumuskan bahawa naratif atau versi pembelaan kedua-dua Tertuduh ini bukan sahaja tidak munasabah untuk dipercayai bahkan telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah ke atas kes yang dikemukakan oleh pihak PR. [29] Pembelaan kedua-dua Tertuduh pada pandangan Mahkamah adalah tidak langsung boleh dipercayai dan bersifat penafian semata-mata. Tiada apa-apa keterangan yang boleh menyokong versi atau naratif mereka. [30] Di dalam masa yang sama, Mahkamah turut mendapati bahawa kedua-dua Tertuduh turut gagal mematahkan anggapan statutori di bawah seksyen 37(da) Akta 234 yang telah digunapakai oleh Mahkamah apabila membuat dapatan berkaitan elemen pengedaran. Ini kerana, sepertimana yang Mahkamah telah nyatakan, pembelaan mereka adalah bersifat pembelaan pemikiran terkemudian. [31] Setelah membuat penilaian maksima dan menimbangkan keseluruhan keterangan pihak pendakwaan dan pembelaan kedua-dua Tertuduh serta kredibiliti saksi-saksi, Mahkamah ini mendapati bahawa pembelaan kedua-dua Tertuduh, atas imbangan kebarangkalian, telah gagal mematahkan anggapan pengedaran dadah berbahaya di bawah seksyen 37(da)(vi) Akta 234. Mahkamah turut berpuashati bahawa pembelaan kedua-dua Tertuduh juga secara keseluruhannya telah gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan mengikut prinsip yang diputuskan dalam kes Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] 1 MLJ 263. Keputusan di akhir kes [32] Oleh yang demikian, Mahkamah berpuas hati dan mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan yang munasabah terhadap kedua-dua Tertuduh bagi pertuduhan-pertuduhan yang dihadapkan ke atas mereka. Kedua-dua Tertuduh telah didapati bersalah dan disabitkan ke atas kesemua pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Hukuman [33] Peguam Tertuduh 1 di dalam hujahan mitigasi telah menghujahkan bahawa Tertuduh 1 semasa kejadian berumur 36 tahun. Sepanjang ditahan, Tertuduh 1 telah insaf terhadap perbuatan yang telah dilakukannya dan ini memberi pengajaran kepadanya. Tertuduh 1 memohon satu peluang diberikan kepadanya kerana Tertuduh 1 percaya bahawa dia boleh berubah. Peguam Tertuduh 1 juga merayu Mahkamah ini untuk mengambilkira berat dadah di dalam kes ini yang dihujahkan sebagai tidak begitu berat. [34] Manakala peguam bagi Tertuduh 2 telah menghujahkan bahawa Mahkamah ini perlu menimbang niat Parlimen yang memansuhkan hukuman mati apatah lagi di dalam kes ini ia bergantung kepada peruntukan andaian. Tertuduh 2 merayu Mahkamah memberi peluang kedua kepadanya. Di samping itu, Tertuduh 2 juga telah memberi kerjasama dan tidak bertindak secara agresif apatah lagi peguam mengesahkan bahawa Tertuduh 2 telah insaf. [35] Puan Timbalan Pendakwa Raya sebaliknya menghujahkan bahawa walaupun Akta 846 telah berkuatkuasa, namun mengambilkira jumlah dadah yang dipertuduhkan, maka hukuman penjara seumur hidup adalah tidak sesuai. Puan Timbalan Pendakwa Raya mendesak Mahkamah ini mengenakan hukuman asal iaitu agar kedua-dua Tertuduh dihukum sampai mati mengambilkira kesalahan pengedaran adalah satu kesalahan serius dan Mahkamah ini perlu memberi hukuman maksimum ke atas kedua-dua Tertuduh. [36] Mahkamah berpandangan bahawa faktor mitigasi pertama yang relevan adalah berkaitan berat dadah di dalam kes ini yang melibatkan dadah Methamphetamine seberat 152.2 gram. Ia adalah 3 kali dari berat andaian pengedaran bagi dadah jenis ini. Jumlah ini bagi pandangan Mahkamah ini tidaklah terlalu tinggi. Terdapat kes-kes di hadapan Mahkamah ini yang melibatkan dadah yang lebih jauh beratnya. [37] Hakim Raja Azlan Shah CJ di dalam kes D.A Duncan v PP [1979] 2 MLJ 195 telah mengecualikan hukuman mati apabila berat dadah yang dipertuduhkan adalah tidak terlalu berat dengan menyatakan seperti berikut; “The enormity of the crime, and the seriousness of the view taken by this Court in sentencing drug traffickers need no further discussion. There is no occasion to repeat what we said in Loh Hock Seng & Anor. v. Public Prosecutor [1979] 1 LNS 48. There is no reason to depart from the approach summarised in that judgment as that appropriate when considering the sentencing of drug traffickers. The appellant is lucky to escape with life imprisonment and having regard to the quantity and variety of the drugs, with only six strokes.” [penekanan ditegaskan] [38] Keduanya, Mahkamah turut dimaklumkan bahawa kedua-dua Tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod sabitan lampau. Sebagai pesalah kali pertama, kedua-dua Tertuduh wajar diberi peluang kedua untuk memulihkan diri mereka agar dapat kembali kepada masyarakat. [39] Di dalam kes PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155, Yusof Abdul Rashid J telah menegaskan faktor pesalah kali pertama di dalam mengecualikan hukuman mati apabila menyatakan seperti berikut; “I would not hesitate to impose the maximum penalty authorised by law had the accused's antecedents in the instant case called for the imposition of the death penalty. Unlike the case considered by the Federal Court, the accused in the instant case was a first offender and had got himself involved only three months before he was arrested. The amount of drugs involved was not very substantial. In the circumstances, I was of the view a sentence of life imprisonment was adequate. Accordingly the said sentence was pronounced and in addition I imposed a sentence of whipping with 10 strokes of the rotan.” [Penekanan ditegaskan] [40] Di dalam masa yang sama, Mahkamah dimaklumkan bahawa keluarga kedua-dua Tertuduh hadir. Bagi Mahkamah kehadiran keluarga Tertuduh menunjukkan bahawa mereka masih diperlukan oleh keluarga mereka. Ia diharap memberi satu suntikan kepada mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat kelak sebagai seorang insan yang lebih baik. [41] Mahkamah menegaskan bahawa kedua-dua Tertuduh adalah sangat bernasib baik apabila mereka hanya dapat dijatuhi hukuman semasa hukuman yang boleh dijatuhkan sudah berubah di mana Mahkamah mempunyai pilihan yang luas di dalam menjatuhkan hukuman. Kedua-dua Tertuduh patut bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak. [42] Hukuman yang Mahkamah jatuhkan perlu menggambarkan pandangan Mahkamah akan kebencian terhadap kesalahan-kesalahan bagi kes-kes dadah seumpama ini. Ia musuh negara dan ia menjahanamkan generasi masa hadapan negara. Mahkamah terpanggil untuk merujuk kepada apa yang dinyatakan oleh Hakim Mokhtar Sidin HMR di dalam kes Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] 4 CLJ 77; [2004] 4 MLJ 249; [2005] 5 AMR 93 seperti berikut; “9. It is true that the general rule is, when imposing a sentence, the court should take into consideration the fact that an accused person who has pleaded guilty be given certain credit and discount, but we are of the view that there are exceptions to this rule. In our opinion, one of these are the offences under the Dangerous Drugs Act 1952. The Government and the legislature have taken very serious views in the abuse of usage of dangerous drugs. Drug addictions are rampant and the Government as well as the legislature have tried to curb these addictions especially amongst youths but met with little success. Death sentences and heavy penalties have been introduced but we find drug addicts everywhere. The addiction to drugs have led to other offences such as thefts, burglary and snatch thefts. Some of these offences lead to serious consequences. We have read In the newspapers that some drug addicts have gone to the extent of hurting their own families such as their mothers, sisters and grandmothers in order to get some money to purchase the drugs to support their addictions. Recently, a woman died when a snatcher snatched her handbag and she was dragged together with the handbag some distance away and as a result of that she died.
10
In our view, the source of all these evils are the drug traffickers and the drug peddlers. They are the ones who have been trafficking, selling and peddling the drugs to those drug addicts. It is public knowledge that the return in this type of business is very lucrative.” [43] Di atas pertimbangan-pertimbangan ini, Mahkamah berpandangan bahawa adalah wajar bagi Mahkamah ini untuk melaksanakan budi bicara Mahkamah ini untuk tidak mengenakan hukuman mati bagi kesalahan pengedaran dadah. [44] Sehubungan dengan itu Mahkamah telah menjatuhkan hukuman seperti berikut:
a
Kes DA-45A-8-02/2020 iaitu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234, dipenjara selama 18 tahun penjara dan 12 sebatan;
b
Kes DA-45A-9-02/2020 iaitu kesalahan di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234, dipenjara selama 5 tahun penjara dan 3 sebatan;
c
Kes DA-45-1-02/2020 iaitu untuk Pertuduhan 1 iaitu kesalahan di bawah seksyen 12(2)/39A(1) Akta 234, dipenjara selama 5 tahun penjara dan 3 sebatan dan untuk Pertuduhan 2 iaitu kesalahan di bawah seksyen 12(2)/(3) Akta 234 dipenjara selama 2 tahun penjara. Kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 11/9/2019. [45] Namun selepas hukuman dijatuhkan, Mahkamah mendapati bahawa terdapat kesilapan bagi hukuman yang Mahkamah ini jatuhkan bagi kes DA-45A-8-02/2020 iaitu bagi kesalahan pengedaran dadah di bawah seksyen 39B(1) Akta 234. [46] Mahkamah dapati bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234, Seksyen 54 Akta 846 telah meminda secara khusus seksyen 39B Akta 234 dengan memotong terus subseksyen 2A dan 2B. Ini menjadikan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah bagi sesuatu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234 adalah sama ada hukuman mati atau hukuman penjara seumur hidup. [47] Hukuman seumur hidup telah ditafsirkan di bawah seksyen 3 Criminal Justice Act 1953 (Akta 345) seperti berikut; “Where any person is treated as having been sentenced or is hereafter sentenced to imprisonment for life, such sentence shall be deemed for all purposes to be a sentence of imprisonment for thirty years.” [48] Ia dengan jelas menyatakan bahawa tempoh hukuman bagi penjara seumur hidup adalah bagi tempoh 30 tahun (rujuk; Tan Chee Kern v PP [2004] 2 CLJ 482) di mana tempoh pemenjaraan adalah secara mandatori selama 30 tahun. Tiada sebarang peruntukan yang membenarkan Mahkamah ini mengurangkan tempoh pemenjaraan tersebut. [49] Oleh yang demikian telah berlaku kekhilafan oleh Mahkamah ini apabila menetapkan tempoh pemenjaraan selama 18 tahun bagi hukuman kes DA-45A-8-02/2020. Ini mewajarkan Mahkamah Rayuan untuk memperbetulkan hukuman tersebut kepada perintah pemenjaraan seumur hidup. Ia sepertimana yang dinyatakan dengan jelas di dalam kes-kes PP v Mohamed Halipah (supra) dan D.A Duncan v PP (supra). Kesimpulan [50] Secara kesimpulan, Mahkamah berpandangan hukuman pemenjaraan seumur hidup bagi kesalahan di bawah seksyen 39B(1) Akta 234 adalah sesuai dan setimpal. Hukuman-hukuman lain bagi 3 pertuduhan yang lain adalah turut pada pandangan Mahkamah ini adalah setimpal. Bertarikh: 17hb Oktober, 2023 (DATUK MOHAMAD ABAZAFREE BIN MOHD ABBAS) Hakim Mahkamah Tinggi (2) Kota Bharu Kelantan. Pihak-Pihak: Bagi Pihak Pendakwa Raya : Norazlinawati binti Mohd Arshad Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan Blok 5, Aras Bawah Kota Darulnaim 15050 Kota Bharu, Kelantan. Bagi Pihak Tertuduh Pertama : Nik Mohd Faris Syazwan bin Zainuzzaman Tetuan Alias Ibrahim & Co. Peguambela dan Peguamcara Lot 1161-A, Kampung Jambu Merah 16400 Kota Bharu Kelantan. Bagi Pihak Tertuduh Kedua : Cheah Poh Loon Tetuan P L Cheah & Co. Peguambela dan Peguamcara No. 3850, Jalan Hamzah Lorong Limau Manis 1 Kampung Limau Manis 15050 Kota Bharu Kelantan. Tarikh Bicara : 13hb. April, 2023 Tarikh Keputusan: 30hb. Julai, 2023 Undang-Undang yang dirujuk: ➢ Akta Dadah Berbahaya 1952 ➢ Akta 234 ➢ Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) ➢ Criminal Justice Act 1953 (Akta 345) Kes-kes yang dirujuk: ➢ PP v Loo Seong Chin & ors [2020] MLJU 357 ➢ Abdullah Atan v. PP [2020] 9 CLJ 151 ➢ Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] 1 MLJ 263 ➢ D.A Duncan v PP [1979] 2 MLJ 195 ➢ PP v Mohamed Halipah [1982] 1 MLJ 155 ➢ Tia Ah Leng v. Public Prosecutor [2004] 4 CLJ 77; [2004] 4 MLJ 249; [2005] 5 AMR 93 ➢ Tan Chee Kern v PP [2004] 2 CLJ 482 ➢ PP v Mohamed Halipah (supra) ➢ D.A Duncan v PP (supra).
Wrong text, a broken link, out-of-date content, or a removal request — tell us and we'll check it against the official source.